PERAKITE |
- Ibrahim Ali wajar ditahan kerana provokasi ke arah ketegangan
- Tiga hari lepas, kata tak naik, hari ini nak naik pulak?
- Anwar diperintah bela diri
Ibrahim Ali wajar ditahan kerana provokasi ke arah ketegangan Posted: 15 May 2011 11:25 PM PDT 1. Kenyataan Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali di media : "Kalau nak perang Salib, boleh.." adalah satu provokasi berbahaya yang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Ia boleh mencetuskan darurat dan menghuru-harakan negara. Ini jelas sekali satu tindakan provokatif yang tidak wajar sama sekali diucapkan oleh seseorang Ahli Parlimen. 2. Ibrahim Ali yang selama ini kelihatan pro Umno juga kini ternyata telah sewenang-wenangnya memperlekeh prinsip 1Malaysia yang didokong oleh kerajaan pimpinan DS Najib Razak dan secara langsung kenyataannya itu (Ibrahim) melanggar prinsip Rukunegara apabila mencabar komuniti Kristian untuk melancarkan jihad. 3.Presiden Perkasa itu memang telah dengan sengaja menguji kesabaran komuniti Kristian dan cuba membangkitkan semangat anti-kristian di kalangan komuniti Islam. 4.Lantaran bukti yang jelas ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein sepatutnya telah bertindak segera membendung perkara seumpama itu daripada berterusan berkembang subur, namun sikap Hishamuddin yang memandang ringan perkara itu bakal menimbulkan keresahan rakyat semata-mata. Ibrahim sepatutya telah ditahan untuk siasatan lanjut dan ditegah daripada berterusan membuat kenyataan seumpama itu. 5.Pimpinan Umno dan Barisan Nasional sewajarnya menyokong kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang nampak lebih berani mencabar dan menyifatkan kenyataan Ibrahim sebagai biadap dan tidak wajar dengan nada ektremis. 6. Sejarah telah membuktikan bahawa Ibrahim merupakan antara peribadi yang kerap mencetuskan provokasi pada rakyat agar mencetuskan huru-hara. Inilah Ibrahim, seorang opportunis yang mahu dilihat sebagai wira dalam memperjuangkan Melayu dan Islam, serta sanggup menjentik kepala politik sesiapa pun demi kepentingannya.. 7. Segenap rakyat khususnya, ahli dan penyokong PAS jangan mudah terpengaruh dengan karenah Ibrahim ini, yang ternyata sedang mencari pengaruh dan posisi memandangkan pilihanraya umum semakin hampir. YB Ustaz Salleh bin Man Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang 16hb Mei 2011 |
Tiga hari lepas, kata tak naik, hari ini nak naik pulak? Posted: 15 May 2011 08:23 PM PDT Rakyat perlu bersedia kemungkinan berlaku kenaikan harga petrol RON95, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan. "Saya ingin rakyat bersedia. Saya tidak mahu nanti rakyat terkejut, kata harga minyak tidak naik tetapi akhirnya naik juga," katanya kepada Bernama di Putrajaya, semalam. Beliau diminta mengulas laporan akhbar baru-baru ini bahawa harga bahan mentah itu tidak akan naik buat masa ini. Ismail Sabri berkata kenyataan tidak akan naik buat masa ini tidak bererti harga bahan mentah itu tidak akan naik. "Jadi rakyat kena bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana trend penurunan harga minyak tidak mungkin berlaku. Ini bermakna sama ada harga akan kekal atau pun naik. Jadi ia bergantung kepada kajian itu," katanya. Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember tahun lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter. Tiga hari lalu, Ismail berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa harga minyak petrol RON95 tidak akan dinaikkan buat masa ini. Beliau berkata, kerajaan masih mengkaji untuk mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut pasaran minyak dunia. |
Posted: 15 May 2011 08:17 PM PDT Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah hari ini memerintahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari. "Berdasarkan bukti, saya dapati ada kes prima facie terhadap tertuduh dan arahkannya untuk mempertahankan diri," katanya. Mendengar penghakiman itu, Anwar mengeluh manakala isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata keputusan itu satu lagi hari yang sedih untuk keadilan. Hakim Zabidin kemudiannya menangguhkan perbicaraan seketika untuk menentukan tarikh bagi mendengar pembelaan Anwar. Sebelum itu, beberapa anggota pemuda PKR bertengkar dengan pihak polis yang membuat sekatan jalan ke perkarangan kompleks Mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur, pagi ini. Seorang daripada mereka menuntut supaya polis menghentikan sekatan itu dan mendakwa sebagai pembayar cukar, rakyat berhak masuk ke kawasan berkenaan dengan bebas. Beberapa rakannya yang lain cuba mententeramkan ahli itu dan menariknya ke tepi. Ratusan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dapat masuk ke bilik perbicaraan kemudian menyantikan lagu 'ole ole' dengan lirik 'bebas, bebas, bebas, bebas, bebas Anwar, bebas Anwar'. Sementara itu, selepas 59 hari perbicaraan yang bermula awal tahun lalu, Anwar akan mengetahui sama ada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memerintahkannya untuk membela diriu ataupun melepaskan daripada tuduhan liwat. Ketika ini, kompleks Mahkamah, Jalan Duta di Kuala Lumpur dikawal ketat. Penyokong Anwar mula tiba seawal jam 4.30 pagi ini dan berkumpul ke Masjid Kuala Lumpur yang terletak bersebelahan kompleks mahkamah bagi menunjukkan sokongan mereka kepada ketua pembangkang itu. Mereka juga sempat bersarapan nasi lemak yang berbungkuskan aklhbar Utusan Malaysia sebagai protes simbolik mengenai peranan akhbar milik Umno yang didakwa menyiarkan pelbagai fitnah dan pembohongan terhadap Pakatan Rakyat. Penyokong juga menunaikan solat hajat subuh sebelum beredar ke mahkamah. Ada yang datang sejauh dari kawasan kerusi parlimen Anwar di Permatang Pauh dan terdapat juga beberapa bas yang dari Gopeng, Perak. Ketika ini, Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah sedang membacakan penghakimannya dengan merujuk kes yang dibentangkan oleh kedua-dua pihak pendakwaan dan juga pembelaan. Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008. Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan rotan jika sabit kesalahan. |
You are subscribed to email updates from PERAKITE To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan