Khamis, 26 Mei 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Pelakon Razak Ahmad ditangkap di tempat terselindung

Posted: 26 May 2011 08:08 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Razak Ahmad yang menghadapi pertuduhan berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang dikatakan telah ditangkap di tempat yang terselindung di sebuah rumah.

Pelakuan tersebut yang membawa watak sebagai Tok Imam dalam drama bersiri Geng Surau itu dan wanita terbabit, Selamah Sahudin adalah dihujahkan boleh menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

Itu adalah sebahagian daripada intipati hujahan bertulis oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli yang difailkannya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.

Selain itu, Shafezan juga menghujahkan bahawa pihaknya telah membuktikan eleman yang diperlukan seperti pertuduhan khalwat, iaitu tertuduh adalah seorang lelaki yang bukan suami atau mahram kepada Selamah.

Hujah beliau lagi, semasa pasukan penguat kuasa Jais membuat serbuan, hanya Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 44, yang berada di rumah terbabit bersama Selamah, 45 tahun.

Razak dan Selamah didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006, di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Razak yang dihadapkan ke mahkamah untuk kali pertama pada 27 Julai 2006 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut manakala Selamah dijatuhkan hukuman denda RM2,850 selepas mengaku bersalah.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Pagar Padi dan tersenarai pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1992 itu akan mengetahui nasibnya, sama ada akan dipanggil untuk membela diri ataupun dilepaskan daripada pertuduhan itu pada 30 Jun ini.

Tarikh keputusan telah ditetapkan oleh Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada prosiding sebelum ini.

Sepanjang perbicaraan yang melibatkan tiga saksi pendakwaan, Razak diwakili oleh peguam syarie Mohamad Azman Karim.

Fakta kes yang diakui oleh Selamah yang merupakan seorang ahli perniagaan menyatakan bahawa pintu rumah dan jeriji besi rumah tersebut berada dalam keadaan berkunci manakala rumah dalam keadaan yang agak gelap.

Pintu rumah dibuka selepas beberapa minit diketuk.

Semasa itu, Selamah yang membuka pintu berpakaian lengkap dan pemeriksaan di bilik pertama rumah mendapati Razak sedang tidur dengan hanya berseluar jeans dan tidak berbaju. - mStar

Gara-gara pikat isteri orang telinga dipotong

Posted: 26 May 2011 07:41 PM PDT

May 27, 2011

NIBONG TEBAL, 27 Mei — Seorang lelaki berusia 47 tahun cedera parah apabila kedua belah telinganya dipotong kerana dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang.

Lelaki yang bekerja sebagai peniaga daging khinzir itu dipercayai diserang dengan menggunakan senjata tajam hingga mengakibatkan kedua-dua telinganya terputus.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat dipetik Bernama Online berkata mangsa ditemui terbaring oleh anaknya dalam longkang berhampiran rumah mereka di Taman Kasawari, Simpang Ampat pada 8 pagi semalam.

"Hasil siasatan mendapati kejadian itu berpunca akibat perasaan cemburu berikutan mangsa dipercayai telah menjalin hubungan sulit dengan isteri orang," katanya.

Polis telah menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori kira-kira dua jam kemudian selepas gerakan mencari suspek giat dijalankan setelah identiti lelaki itu dikenal pasti.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat   - FMT

Nurul AF2 bernikah di Thailand

Posted: 26 May 2011 08:00 AM PDT

KAJANG: Penyanyi Nurul, yang merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF2) telah berkahwin dengan seorang pensyarah, Mohd Munzil Muhamad di Narathiwat, Thailand.

Menurut Nurul, pernikahan itu berlangsung pada 23 Mei lalu. Dia menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 pada majlis yang dilakukan dengan berwalikan seorang lelaki Thailand, Wan Husin Wan Ab Rahman.

Katanya lagi, dia, suami dan ibu bapa mertuanya masuk ke Narathiwat menerusi Kota Bharu, Kelantan pada hari tersebut dengan menaiki kereta dan terus ke pejabat agama itu untuk mengisi borang pernikahan.

"Bagaimanapun, akad nikah dilakukan di rumah Wan Husin kerana semasa itu adalah hari cuti, iaitu Sabtu. Wan Husin adalah seorang wali bertauliah yang disyorkan oleh majlis agama," katanya.

Nurul atau nama sebenarnya Nurullah Abdul Hamid, 29, berkata demikian semasa memberi keterangan pada permohonan Mohd Munzil, 28, untuk mengesahkan pernikahan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini pada Khamis.

Permohonan tersebut didengar di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah dan mereka diwakili oleh peguam-peguam syarie, Mohamad Azlin Mohamad Razali dan Mohammad Fauzi Abdullah.

Pada keterangan lain, Nurul berkata, pernikahan itu diadakan di Thailand kerana timbul masalah wali ekoran keengganan bapa kandungnya, Zawawi untuk menjadi wali.

"Saya ada berjumpa dengan bapa kandung saya, tapi dia tidak mahu menjadi wali. Ini kerana masalah yang berlaku antara bapa dengan keluarga angkat saya sewaktu saya masih kecil," tambahnya.

Nurul juga menambah, dia dan suami ada mencuba untuk mendapatkan wali hakim daripada Majlis Agama Islam Sarawak, tetapi ia akan mengambil masa yang lama, sedangkan tarikh majlis pernikahan telah ditetapkan berlangsung pada Sabtu ini.

"Selepas perkahwinan itu, jika orang tanya siapa Mohd Munzil, saya akan jawab dia sebagai tunang saya, sebab tidak ramai yang tahu (berkahwin), hanya orang terdekat sahaja.

"Tetapi, dia sebenarnya suami saya. Selepas berkahwin saya tinggal dengan dia," katanya.Selepas mendengar keterangan itu, Abdul Halim memutuskan pernikahan tersebut sah di sisi hukum syarak kerana telah memenuhi hukum nikah, walaupun tidak menggunakan wali sebenar ekoran bapa kandung Nurul berada jauh di Kuching, Sarawak.

Beliau seterusnya mengarahkan pasangan tersebut untuk mendaftarkan pernikahan tersebut di Pejabat Majlis Agama Islam.

Sementara itu, Nurul yang ditemui di luar mahkamah berkata, dia berasa lega kerana masalah pernikahannya telah selesai.

"Saya rasa lebih berdebar dengan kes mahkamah berbanding dengan majlis persandingan Sabtu ini," katanya yang mengenakan baju kurung merah jambu dan selendang kelabu.

Selain itu, dia yang mengenali Mohd Munzil sejak Julai tahun lepas sebelum mengikat tali pertunangan pada 4 Februari lalu juga memberitahu akan berlepas ke Kuching pada malam Khamis untuk menyiapkan persiapan majlis perkahwinan.

Pasangan tersebut dijangkakan akan mengadakan majlis resepsi sebelah lelaki di De Palma Hotel Ampang, dekat sini pada 3 Jun depan.

Ditanya mengenai lokasi berbulan madu, Nurul memberitahu mereka mungkin ke Bali, Indonesia sebelum berlepas ke New Zealand seminggu selepas raya kerana Mohd Munzil akan menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) selama tiga tahun

Royalti : Kerajaan Kelantan akan buat rayuan

Posted: 26 May 2011 07:42 AM PDT

Hazayani Zakaria
PUTRAJAYA, 26 Mei: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Kerajaan Negeri Kelantan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kerajaan persekutuan menjadi pencelah dalam samannya ke atas Petronas berhubung royalti minyak.

Keputusan itu dibuat Hakim Low Hup Beng setelah mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili kedua-dua pihak.

Kerajaan Kelantan diwakili peguam Tommy Thomas.

Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Paduka Husam Musa berkata, beliau meminta Tommy memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan itu.

"Saya telah minta peguam kita untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan di atas kedua-dua keputusan tadi," kata beliau kepada pemberita di luar kamar mahkamah selepas mendengar keputusan berkenaan.

Menurutnya, Kelantan tetap berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan tidak perlu campur tangan dalam kes ini kerana tidak memberi sebarang impak kepada mereka.

"Kes ini sebenarnya begitu simple. Jika kerajaan Kelantan menang dalam kes ini, lima peratus bahagian (royalti) Kerajaan Pusat tidak akan berkurangan.

"Kalau Kerajaan Kelantan ditakdirkan kalah dalam kes ini bahagian lima peratus Kerajaan Pusat tak bertambah. Jadi tidak ada apa-apa kesan negatif dan positif kepada Kerajaan Pusat.

"Dan kerana itulah kita masih berpendapat bahawa Kerajaan Pusat tidak perlu campur tangan dalam kes ini kerana kes ini adalah kontrak antara Kerajaan Kelantan dengan Petronas," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Tambahnya Kelantan berharap agar rayuan di Mahkamah Persekutuan nanti akan diterima.

"Kita berharap Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan dan memberi keputusan sebaliknya daripada apa yang diputuskan hari ini," katanya.

Rayuan di Mahkamah Persekutuan boleh dibuat dalam masa 30 hari daripada hari ini.

Sementara itu Mahkamah Rayuan hari ini turut menolak satu lagi rayuan oleh kerajaan negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan permohonan bagi kes saman itu dipindahkan semula ke Mahkamah Komersial Baru (NCC).

Kerajaan negeri mahu kes itu dipindahkan semula memandangkan saman berkenaan pada mulanya difailkan di NCC, tetapi kini akan didengar di Mahkamah Sivil Baru (NCvC).

Pada 30 Ogos tahun lalu, kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti yang dianggarkan RM800 juta setahun sejak 2005.

Menurut kerajaan negeri, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan negeri antara lain memohon perintah untuk mendesak Petronas supaya mendedahkan kesemua fakta berkaitan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Ia termasuk tempoh petroleum dikeluarkan, dijumpai atau diperoleh di pesisir Kelantan; kawasan atau blok tempat petroleum dijumpai dan diperoleh; dan jumlah keseluruhan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Kerajaan negeri turut mendesak agar semua pembayaran tunai tertunggak yang ditetapkan oleh mahkamah mesti dibayar dalam tempoh satu bulan daripada perintah mahkamah dikeluarkan - HD

"Gajah Tidak Berkepala" hangatkan forum pemilihan PAS

Posted: 26 May 2011 07:22 AM PDT

Senario yang berubah selepas "tsunami politik" memberi impak kepada semua parti. Masing-masing berlumba-lumba untuk menawarkan sesuatu agar terus mendepani, dan bukannya tenggelam dalam arus perubahan. PKR misalnya, mengambil langkah yang berani dengan memperkenalkan sistem pemilihan langsung dalam parti, kini cuba ditiru UMNO yang tidak mahu dilihat ketinggalan. DAP pula, semakin proaktif untuk menembusi masyarakat Melayu/Muslim, antara usaha terbarunya, perlancaran laman bahasa Malaysia-nya, Roketkini

Tidak kurang pemerhati politik yang gusar dengan perkembangan PAS - parti yang memainkan peranan kunci ketika politik Malaysia berada di persimpangan jalan. Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, PAS dihantui isu rundingan bersama UMNO. Pendekatan untuk menggarap imaginasi rakyat Malaysia pula sering ditambat langkahnya apabila "kepimpinan ulamak" diketengahkan, meletakkan PAS di jurang antara "harapan rakyat Malaysia" dengan "sentimen akar umbi PAS". --- SETERUSNYA

Royalti : Kerajaan Kelantan kalah ... dah boleh agak !!!

Posted: 26 May 2011 05:08 AM PDT

PUTRAJAYA: Kerajaan Kelantan gagal dalam rayuan untuk menghalang Kerajaan Persekutuan menjadi pencelah dalam samannya ke atas Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berhubung royalti minyak.

Panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Wira Low Hop Bing memutuskan bahawa kehadiran Kerajaan Persekutuan dalam saman sivil adalah perlu bagi memastikan perkara yang menjadi pertikaian dalam kes itu benar-benar diputuskan.

Katanya panel hakim berpuas hati bahawa ada isu berbangkit daripada relif yang dituntut oleh kerajaan Kelantan dan ia "adil dan sesuai" bahawa isu-isu itu ditentukan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Petronas. "Kami dapati tiada merit dalam rayuan kedua kerajaan negeri, " kata Hakim Low dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Kerajaan Persekutuan untuk menjadi pencelah dalam saman itu.

Panel hakim itu terdiri daripada Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menolak rayuan kedua kerajaan negeri dan mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi bahawa saman itu dibicarakan di Mahkamah Sivil Baru (NCvC), dan bukan di Mahkamah Komersial Baru (NCC) di mana saman itu difailkan. Hakim Low memutuskan bahawa pertukaran ke mahkamah NCvC oleh hakim yang mengurus adalah konsisten dengan arahan amalan No 1/2008. Katanya pertukaran itu bukan satu pertukaran tindakan dari satu mahkamah ke mahkamah yang lain tetapi satu pertukaran antara satu bahagian di mahkamah yang sama.
Kerajaan negeri mahu saman itu dipindahkan semula ke NCC.
Mahkamah juga tidak membuat sebarang keputusan berhubung permohonan kerajaan negeri Kelantan untuk menangguhkan prosiding di Mahkamah Tinggi yang sebutannya dijadual Isnin ini.
Panel hakim memerintahkan peguamnya Tommy Thomas untuk memfailkan permohonan rasmi.
Thomas berkata kerajaan negeri menuntut perintah penangguhan kerana ia mahu memfailkan kebenaran untuk merayu dengan Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan hari ini.
Kerajaan negeri menyaman Petronas kerana didakwa melanggar kontrak berkaitan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada kerajaan negeri berhubung royalti minyak.
Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan negeri menuntut supaya Petronas membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum dikeluarkan di pesisir Kelantan seperti yang ditetapkan dalam Perjanjian Petroleum. Sebelum itu, Thomas berhujah bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kepentingan dalam saman sivil itu kerana tuntutan dan relif yang dituntut kerajaan negeri itu adalah terhadap Petronas.
Katanya Akta Pembangunan Petroleum 1974 menetapkan bahawa Petronas menerima 90 peratus daripada pembayaran tunai dan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri masing-masing menerima lima peratus daripada pembayaran tunai bagi petroleum yang diperoleh di pesisir dan di luar pesisir.
Thomas berkata kerajaan negeri Kelantan bukan mempersoalkan hak Kerajaan Persekutuan menerima lima peratus pembayaran tunai dari petroleum yang diperoleh di pesisir dan luar pesisir.
Katanya Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya menjadi pencelah dalam saman sivil ini kerana ia (Kerajaan Persekutuan) mempunyai kontrak berasingan dengan Petronas berhubung pembayaran tunai dan bahawa Petronas tidak menghentikan pembayaran kepada Kerajaan Persekutuan.
Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi yang mewakili Kerajaan Persekutuan membantah kerana perkara yang dipertikai itu adalah berhubung hak ke atas petroleum dalam pentas benua luar pesisir pantai Kelantan.
Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu dijadikan satu pihak dalam saman itu kerana petroleum di pentas benua itu adalah milik Kerajaan Persekutuan.
Petronas diwakili Tan Sri Cecil Abraham dan Rishwant Singh - BERNAMA

BERSIH pelawa BN sertai Perhimpunan Rakyat

Posted: 26 May 2011 01:02 AM PDT

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) hari ini mempelawa semua parti komponen BN menyertai perhimpunan besar-besaran 9 Julai ini bagi menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.

"Saya jamin menteri dan parti politik bahawa ini adalah insiatif masyarkat madani dan bukannya inisiatif mana-mana parti politik," kata pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Beliau merujuk amaran Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin, sebelum ini yang mahu BERSIH 2.0 sebagai penhanjur membatalkan perhimpunan jalanan itu.

"Saya ingin menjemput semua parti politik termasuk BN dan NGO lain supaya bersama kami pada perhimpunan ini untuk bersama dengan rakyat."

Pengumuman pertama perhimpunan itu dibuat oleh ahli jawatankuasa pusat PAS Mohamad Sabu pada Sabtu lalu. Tetapi jelas Ambiga, PAS dimaklumakan berhubung inisiatif berkenaan melalui mesyuarat BERSIH 2.0 baru-baru ini, di mana wakil beberapa kumpulan turut dijemput.

"Kami bermesyuarat dengan beberapa NGO dan kumpulan lain termasuk PAS kerana mereka mempunyai pengalaman menganjurkan perhimpunan seumpama ini," katanya.

Mengulas reaksi dingin daripada Hishammuddin, yang menganggap perhimpunan itu sebagai cubaan menimbulkan huru-hara dan memburukkan imej antarabangsa Malaysia, Ambiga berkata pemimpin politik yang berkuasa mesti menukar tanggapan mereka berhubung perhimpunan aman yang menjadi hak perlembagaan setiap rakyat.

"Kami tidak akan berundur. Ia pada 9 Julai dan ia akan diadakan," katanya lagi

Salahuddin Ayub, Nizar sah bertanding Naib Presiden

Posted: 26 May 2011 12:56 AM PDT

Jamilah Kamarudin and Fazy Sahir | May 26, 2011

Penyandang itu menyerahkan borang maklum balas pencalonan kepada Jawatankuasa Pemilihan di pejabat agung PAS di Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur kira-kira pukul 1 petang tadi.

PETALING JAYA: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub hari ini membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak penggal lalu dalam muktamar pemilihan Jawatankuasa Kerja Pas usat 2011-2013.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian mengesahkan dirinya sudah pun menyerahkan borang maklum balas pencalonan kepada Jawatankuasa Pemilihan di pejabat agung PAS di Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur kira-kira pukul 1 petang tadi.

"Saya hanya menghantar satu borang jawapan sahaja," katanya ketika dihubungi FMT sekaligus mengesahkan menarik diri daripada bertanding merebut kerusi Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat.

Katanya, keputusan itu diambil setelah mengambil kira sokongan ahli PAS daripada beberapa kawasan dan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk akar umbi.

Beliau sebelum ini tersenarai sebagai calon yang layak bertanding Timbalan Presiden namun mengambil keputusan pada 19 Mei lalu enggan bertanding kerana menganggap diri masih belum layak menggalas tanggungjawab nombor dua dalam parti itu.

Turut mengesahkan bertanding merebut jawatan Naib Presiden adalah AJK Pas Pusat yang juga bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin.

Talk show Nizar

Perkara itu disahkan oleh Pegawai Khasnya Amran Harun sebentar tadi sebelum Nizar memulakan satu rakaman 'talk show' berkaitan Pakatan Rakyat Perak dan persiapan pilihan raya umum ke 13 serta perbincangan mengenai isu Perak versi bahasa Inggeris di pejabat Harakah.

Pengesahan kedua-dua pemimpin itu sekaligus menjadikan setakat ini tujuh orang daripada 14 calon yang layak mengesahkan untuk bertanding.

Calon lain ialah penyandang Datuk Mahfuz Omar, Exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dan Datuk Nik Mohd Amar Abdullah, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad, Bendahari Dr Hatta Ramli.

Mengulas mengenainya, Salahuddin berkata beliau tidak berasa tergugat malah mengalu-alukan persaingan sihat daripada ramai calon berwibawa yang bersedia menerajui kepimpinan baru PAS.

Harga barang : BN takut Pakatan - Guan Eng

Posted: 26 May 2011 12:15 AM PDT

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan tindakan menangguhkan kenaikan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) bukti kerajan takut berdepan Pakatan Rakyat dalam Pilihan raya umum akan datang.

Guan Eng berkata, BN memutuskan untuk tidak meneruskan cadangannya ekoran kemampuan PR untuk memobilisasi usaha membantah kenaikan tersebut.

Pakatan, katanya berjaya mendedahkan ketidakadilan yang wujud dalam pemberian subsidi kepada syarikat besar seperti Tenaga Pengeluar Bebas/swasta (IPP) sebanyak RM19 bilion setahun, ketika 27 juta rakyat Malaysia berdepan kenaikan harga barang akibat penarikan subsidi.

"Kedua, BN berhasrat untuk mengadakan pilihan raya umum dan kenaikan harga yang berat sebelah ini tidak bersependapat dengan para pengundi.

"Ketiga, BN bimbang dengan kekuatan luar biasa PR sehingga BN takut untuk meneruskan pemotongan subsidi yang hanya akan menyebabkan mereka kehilangan sokongan rakyat," kata Guan Eng dalam kenyataannya hari ini.

Bagaimanapun katanya, BN masih berusaha untuk menaikkan harga barangan berikutan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyatakan kajian semula dasar subsidi adalah perlu.

Sementara Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula, katanya, menolak untuk menyatakan berapa lama kerajaan akan mengekalkan harga semasa.

"Dalam erti kata lain, sebaik BN memenangi pilihan raya umum yang akan datang, tiada siapa yang akan dapat menghalang BN untuk menghapuskan subsidi dan menaikkan harga barang," ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan pemberian subsidi kepada IPP, yang menerima sokongan padu Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui.

"Peter Chin ternyata sedang bermain dengan kata- kata kerana akhirnya IPP (60 %) dan TNB (40%) akan menikmati faedah daripada RM19 bilion subsidi tahunan.

"Chua pula harus menjelaskan mengapa kerajaan BN termasuk dirinya, menyokong dan menjeratkan diri mereka dalam perjanjian yang ternyata bertentangan dengan kepentingan 27 juta rakyat Malaysia," ujarnya.

Tambah Guan Eng, tidak ada cara lain bagi kerajaan untuk mencapai 5.4 peratus defisit fizikal tanpa pemotongan subsidi melainkan kerajaan BN mengamalkan dasar anti –rasuah.

"Menteri- menteri BN sendiri mengaku bahawa kos rasuah negara melibatkan sekurang- kurangnya RM28 bilion setahun dan ada yang menganggarkan sebanyak USD 100 bilion kehilangan secara kumulatif akibat rasuah sejak tahun 1980- an," katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=14220

Tiada ulasan: