Khamis, 5 Mei 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Osama : Shura hantar nota bantahan ke Kedutaan US petang ini

Posted: 05 May 2011 09:40 PM PDT

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Sekretariat Himpunan Ulama Malaysia (Shura) akan mengetuai gabungan badan bukan kerajaan (NGO) menghantar nota bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) berhubung pembunuhan Osama bin Laden jam 4.30 petang ini.

Nota bantahan itu juga bagi mendesak AS menghentikan pencerobohan ke atas Pakistan dan Afghanistan bagi memburu musuh AS.

Menurut Setiausaha Agung Shura, Azmi Abdul Hamid, pembunuhan Osama dan cara jenazahnya dikebumikan dengan membuangnya ke laut merupakan satu penghinaan yang dasyat kepada umat Islam.

Tindakan tentera AS menceroboh masuk ke Pakistan tanpa menghiraukan bantahan rakyat negara itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi rakyat sesebuah negara.

Selain itu, gabungan itu turut mengecam pandangan beberapa pemimpin negara Islam termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak bahawa kematian Osama akan menjadikan dunia lebih aman.

"Kami (gabungan NGO Islam) menyatakan pandangan pemimpin di beberapa negara Islam bahawa kematian Osama akan memberi keamanan kepada dunia tidak mewakili pandangan umat Islam.

"Mereka (pemimpin Islam) banyak menyokong pembunuhan Osama termasuk Malaysia. Itu bukan sentimen rakyat Malaysia dan kami tidak mengiktiraf pendapat itu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata, gabungan itu akan menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan persidangan khas bagi membincangkan pencerobohan AS ke Pakistan untuk membunuh rakyat yang disyaki pengganas dan musuh AS.

"Kami ingin menuntut supaya PBB mengadakan persidangan khas membincangkan pencerobohan AS ke Pakistan untuk membunuh. Ini namanya pembunuhan di luar penghakiman.

"Usul itu mesti dibuat oleh Malaysia kerana ini tidak akan meredakan kemarahan umat Islam dan orang yang cintakan keadilan," katanya yang juga Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Menurutnya, penyerahan nota bantahan itu akan diketuai oleh Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin dan telah dimaklumkan kepada pihak kedutaan AS.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat untuk sama-sama menyertai himpunan di hadapan kedutaan AS petang ini sebagai tanda sokongan mereka.

Sementara itu, di Masjid Negara akan diadakan Perhimpunan Hari Kemarahan Rakyat selepas solat Jumaat.

Program itu anjuran Saf Anti Fitnah (SAF) yang menggabungkan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Teras, Shura, Muafakat Perubuhan Islam Kedah (Wehdah), Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (Jama'iy) dan Insititut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat.

Penganjuran perhimpunan itu turut bekerjasama dengan Gabungan Pemuda Pakatan Rakyat Anti Politik Lucah/Fitnah (Maruah) bagi membantah gejala politik fitnah dan lucah.

"Kita akan maklumkan kepada orang ramai mengenai penyerahan nota bantahan ini dan menjemput mereka untuk turn bersama-sama ke Kedutaan AS. Kita anggarkan ratusan umat Islam akan turut serta," katanya.


Mahathir diperdaya - Datuk Mat Zain

Posted: 05 May 2011 07:50 PM PDT

Mahathir diperdaya supaya percaya tuduhan terhadap Anwar

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diperdaya untuk mempercayai bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam kegiatan homoseksual, sebelum memecat bakal penggantinya itu pada 1998.

Perkara itu didedahkan Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Ia menjurus kepada peranan yang dimainkan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, serta orang-orang di sekeliling Mahathir pada 1998.

Gani dan Musa, adalah individu yang bertanggungjawab dalam mengendali kes mata lebam Anwar, yang menyebabkan bekas Ketua Polis Negara pada masa itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor dipenjara selama dua bulan.

"Pada bulan September 1998, Tun Mahathir pernah diperdayakan untuk mempercayai bahawa kecederaan mata-lebam Anwar adalah akibat "self-inflicted" sepertimana yang dirakamkan dalam memoirs beliau muka surat 693.

"Pada bulan Januari 1999 Gani Patail sendiri terlibat menipu Tun Mahathir dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai sesuatu yang tidak benar berkaitan dengan hasil siasatan Polis bersangkut insiden mata-lebam.

"Akibat perdayaan ini Tun Mahathir telah membenarkan pembentukan Suruhanjaya Di-Raja mengambil alih siasatan insiden mata-lebam daripada tangan Penyiasat PDRM," ujar beliau.

Menurut Mat Zain, beliau menyimpulkan bahawa Mahathir sangat percaya bahawa Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual berdasarkan kepada dua surat yang diterima daripada Umi Hafilda pada 1997 dan taklimat daripada Musa Hassan yang ketika itu merupakan pegawai penyiasat.

"Persoalan yang timbul adalah sama ada Musa Hassan telah memberi Tun Mahathir taklimat yang jujur dan betul mengenai keterangan yang telah dikumpulkannya terhadap Anwar itu, ataupun Musa Hassan telah menokok tambah keterangan dalam taklimatnya untuk memperdayakan Tun Mahathir supaya mempercayai bahawa Anwar benar-benar terlibat dalam aktiviti homoseksual itu," tulis beliau.

Mat Zain berkata, ia bukan pertama kali Mahathir ditipu oleh individu di sekelilingnya.

Pada Julai 1993, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik juga pernah menipu Mahathir dengan membuat Akuan Sumpah Palsu bagi menyembunyikan harta berjumlah RM40 juta yang diperolehi menerusi salahguna kuasa dan rasuah.

Ia dilaporkan oleh Badan Pencegah Rasuah yang disahkan sendiri oleh Gani Patail ketika itu.

Menurut Mat Zain lagi, pada bulan Julai 2010 pula, bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr.Ling Liong Sik pula didakwa kerana menipu Jamaah Menteri, termasuk Mahathir sendiri dalam kes skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Contoh-contoh di atas dengan jelas membuktikan bahawa Tun Mahathir juga terdedah kepada perbuatan penipuan oleh Menteri atau Ketua Menteri ataupun oleh Pegawai-Pegawai Kerajaan atau mana-mana orang yang berpeluang memberi taklimat kepada beliau mengenai sesuatu perkara.

"Ringkasnya Tun Mahathir tidak "kebal" dari penipuan. Dengan demikian itu kemungkinan Tun Mahathir telah diperdayakan untuk mempercayai bahawa Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual tidak boleh diperkecilkan," tulisnya lagi.

Dalam surat 16 perenggan itu, Mat Zain berkata, persepsi buruk rakyat terhadap Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan berterusan jika pihak berkuasa itu "terlalu menurut karenah" Peguam Negara.

"Secara peribadi saya mendapati PDRM terlalu menurut karenah Peguam Negara seolah tidak bebas bertindak sendiri.

"Sebagai seorang pesara yang mengetahui sedikit sebanyak asal usul isu dalam persoalan, saya berasa sedih dan khuatir sejarah lama akan berulang dan "pisang akan berbuah dua kali"," ujarnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=12868

Umno semakin gelisah raih sokongan melayu

Posted: 05 May 2011 07:30 PM PDT

PETALING JAYA: Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar berkata Umno kian gelisah untuk meraih sokongan Melayu sehingga sanggup mengajak partinya menyertai Barisan Nasional (BN) dan meninggalkan Pakatan Rakyat (PR).

Menurut beliau, ekoran kegelisahan Umno itu mereka menggunakan pendekatan membuli kaum Cina manakala Melayu pula ditipu semata-mata untuk meraih sokongan.

"PAS merupakan sebuah parti yang lebih matang dan lebih 'futuristik' berbanding Umno dan akan terus kekal bersama Pakatan," terang beliau kepada FMT ketika dihubungi.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menjelaskan, "ekoran dari keputusan pilihan raya negeri Sarawak tempoh hari, BN kehilangan banyak kerusi kerana MCA dan SUPP kalah kepada DAP.

"Maka mereka (Umno) mula gelisah dan bimbang kehilangan sokongan daripada kaum Cina mahupun orang Melayu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," ujar beliau.

Umno ugut Cina


Umno kata beliau, membawa pendekatan membuli Cina dengan taktik mengugut dan mengancam apabila Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika mereka tidak menyokong BN maka tiada lagi menteri dari kalangan mereka dalam kabinet.

"Mereka tahu sokongan daripada kaum Cina semakin mengecil dan terhakis maka mereka tipu dan menakut-nakutkan orang-orang Melayu dengan memainkan sentimen 'kuasa' orang-orang Cina melalui DAP.

"Persoalannya jika Umno yakin mempunyai sokongan Melayu kenapa perlu 'kalut' ajak PAS sertai mereka?" soal beliau.

Ditanya sama ada isu ajakan menyertai Umno bakal diutarakan dalam Muktamar Jun depan, Mahfuz berkata pendirian ahli PAS adalah kukuh untuk menolak sebarang perpaduan bersama Umno-BN.

"Saya tidak bimbang walaupun wujud percubaan untuk menimbulkan suasana seperti ini oleh Umno lebih-lebih lagi Muktamar PAS akan diadakan dalam masa sebulan. Jelas Umno kini diserang fobia kehilangan kuasa," katanya.

Mengulas mengenai pendirian beliau sama ada mahu mengekalkan jawatan sebagai Naib Presiden, Mahfuz berkata, perkara itu akan diumumkan pada 15 Mei nanti.

Eksploitasi Umno

Menyentuh soal perpaduan Umno dan PAS, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohamad Sabu pula berkata, tindakan Umno itu satu eksploitasi bagi mengeruhkan perpaduan dalam parti tersebut.

"Umno melihat trend dan kekuatan pengundi bukan Melayu bukan seperti dulu maka mereka (Umno) cuba mendapatkan sokongan daripada orang Melayu melalui PAS.

Apa yang mereka cuba lakukan……….untuk berbaik-baik dengan PAS ataupun memburukkan PAS di mata orang Melayu," soal beliau.

"Tetapi Umno memang tidak boleh dipercayai kerana mereka akan mempertikaikan kewibawaan PAS semata-mata untuk menarik sokongan pengundi Melayu," katanya yang dihubungi FMT.

Perdana Menteri dalam ucapannya di Kuala Terengganu 30 April lalu, mengajak PAS menyertai BN dan meninggalkan rakannya DAP atas alasan kononnya Umno memperjuangkan agama, bangsa dan negara manakala DAP menolak Islam. FMT

Tak kan dah jadi pengkhianat Islam bila tak nak bersatu dengan Umno wahai Tuan Mufti Perlis oi?,

Posted: 05 May 2011 06:38 PM PDT

Isu PAS-Umno: Mufti Perlis tak wajar label 'pengkhianat Islam'



KUALA LUMPUR, 6 Mei — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya tidak wajar menyamakan mereka yang menentang penyatuan Umno-PAS sebagai pengkhianat Islam, kata seorang pegawai Jakim.

Zamihan Mat Zain, yang baru-baru ini memberikan pandangan kontroversial mengenai isu Wahabi dan Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais berkata, adalah terlalu "melampau apabila Mufti Perlis menghukum ulama Islam dan umat Islam yang tidak mahu menerima pandangannya sebagai sesat, khawarij dan pengkhianat Islam."

"Tahukah tuan Mufti Perlis tuduhannya itu bukan hanya ditujukan kepada seorang imam terkenal atau penulis blog sahaja tetapi penghukuman tersebut dijatuhkan bersama nilai cerca dan menghina ke atas jutaan umat Islam, para ilmuan Islam dan pejuang Islam.

"Bukan perbincangan kepartian yang diutarakan di sini tetapi melampau dalam menghukum adalah sikap yang amat memalukan institusi agama negara, inikan pula dihentam secara melulu," kata beliau dalam tulisan blognya.

Sehubungan itu, Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia berkata, "dengan ini diminta agar Mufti Perlis menarik kembali dan bertaubat dari kata-kata yang menghukum ulama Islam dan umat Islam secara umum sebagai sesat, khawarij dan pengkhianat Islam."

"Mohon tarik balik dan bertaubat dengan segera sebelum terlambat," kata beliau lagi.

"Kita sokong penyatuan Umno dan PAS, tetapi untuk mengatakan seseorang itu pengkhianat Islam hanya kerana tidak bersetuju atau tidak membantah penyatuan Umno dan Islam, saya anggap ia satu kenyataan yang tidak wajar datang daripada seorang mufti," katanya ketika diminta penjelasan mengenai tulisan dan pandangannya dalam entri blog.

Ketika ditanya tokoh agama lain seperti Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pernah memberikan pandangan mengenai perlunya kerjasama politik PAS dan Umno, Zamihan yang pernah terlibat dalam perang kenyataan dengan Juanda (gambar) dalam isu Wahabi lebih seminggu lalu berkata:

"Ya, ada... tetapi pandangan Tan Sri Harussani tidak melabelkan seseorang itu sebagai pengkhianat Islam jika membantah penyatuan Umno dan PAS."

"Tidak wajar sebab dalam isu PAS dan Umno ini isu politik kepartian... BN atau PAS adalah parti politik sedangkan Islam bukan parti politik, ia mempunyai nilai yang tinggi, agama yang bersifat universal," katanya sambil menambah, perkataan "khawarij" seolah-olah menganggap seseorang itu sebagai "pengganas."

Beberapa pihak tidak bersetuju dengan kenyataan Juanda khususnya dari PAS sendiri.

Bagaimanapun dalam kenyataan lewat semalam, Juanda yang kini berada di Arab Saudi atas jemputan kerajaan negara itu mempertahankan kenyataannya sambil berkata mengapa pemimpin-pemimpin PAS harus melenting apabila beliau mengatakan pihak yang menentang penyatuan Umno dan parti Islam itu sebagai pengkhianat Islam.

"Hairan kenapa ada yang melenting? Ini demokrasi? Saya cakap ikut nas al-Quran dan Hadis. Itu tugas saya," kata beliau kepada The Malaysian Insider dalam kenyataan SMS.

Beliau juga berkata, jika Hamas dan Fatah boleh musalahah-berdamai hari ini di Mesir, "kenapa tidak Malaysia?"

"Golongan ekstrem dalam dua parti (Umno dan PAS) mesti disekat. Malaysia sedang menuju wajah baru. Lupakan sikap lama yang buruk," katanya lagi.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata tidak timbul soal siapa pengkhianat Islam jika Umno dan PAS tidak bersatu.

Oleh itu katanya, apa yang perlu masyarakat faham ialah sebenarnya memutuskan hubungan silaturrahim sesama Islam tidak dibenarkan dalam agama.

"Saya rasa kita perlu faham sebenarnya kita tidak boleh putuskan hubungan silaturahim. Apa yang terjadi sekarang ialah cuma perbezaan pandangan politik dan itu merupakan perkara biasa.

"Jangan terlalu cepat mengeluarkan kata-kata pengkhianat itu. Sebuah negara demokrasi diberi kebebasan untuk berpolitik dan menubuhkan parti politik," katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, terpulang kepada Mufti Perlis itu untuk berkata apa-apa sekalipun kerana ia merupakan permainan Umno.

"Dia (Juanda) nak kata apa, dia punya suka nak kata apa pun.

"Umno main sentimen ini kerana Umno sebenarnya dah tenat dan ada masalah penyakit dalam jiwa. Kita perlu sedia pakar sakit jiwa untuk pimpinan Umno kerana takut mereka akan tertekan sehingga menyebabkan mereka bunuh diri atau terjun bangunan. Jadi kita perlu bersedia," katanya berseloroh.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad juga menganggap kenyataan Juanda sebagai seorang yang tidak memahami situasi yang berlaku antara Umno dan PAS.

Kelmarin akhbar melaporkan kenyataan Juanda yang menyifatkan pihak-pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam.

Selain itu Juanda berkata, mereka juga boleh dianggap pendukung fikrah puak Khawarij iaitu sebuah kumpulan yang amat bencikan kesatuan di dalam Islam.

"Penyatuan (Umno dan PAS) sebenarnya adalah wajib khususnya untuk kekuatan Islam dan Malaysia amnya. Semua pihak wajib berusaha ke arah itu," katanya.

STONE HAHAHA tetiba saja aku jadi pengkhianat Islam .... tak patut tak patut ... gara-gara tak sokong PAS sertai umno. Ada ker patut si mufti ni cakap macam tu. Katanya dia ada hadis la bla bla bla ...............
Lantak korang lah ...Yang aku tau kenapa dia ckp mcm tu sebab dia ni PENYOKONG UMporNO TEGAR.

TINDAKAN KPN MELANGGAR POLISI DAN KEDAULATAN NEGERI SELANGOR DIKESALI

Posted: 05 May 2011 08:52 AM PDT


TINDAKAN KPN MELANGGAR POLISI DAN KEDAULATAN NEGERI DIKESALI

Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengalu-alukan mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu melawat dan bermesra dengan warga negeri ini. Apatah lagi usaha untuk memberi pendedahan keperluan menjaga keselamatan oleh pihak keselamatan; Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun tindakan PDRM di bawah Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam menganjurkan program selama 4 hari bermula hari ini Khamis 5 Mei hingga Ahad 8 Mei di daerah tersebut tanpa berbincang dan bekerjasama dengan Kerajaan negeri, Pegawai Daerah dan pemimpin setempat amat dikesali.

Kerajaan Selangor dan Menteri Besar langsung tidak dimaklumkan sedangkan program tersebut melibatkan kawasan jajahan negeri Selangor. Tindakan KPN mengenepikan JKKK yang dipilih kerajaan yang sah juga amat bercanggah dengan slogan PDRM-Tegas, Adil dan Berhemah.

Sikap yang tidak menghormati kerajaaan negeri sepatutnya tidak dilakukan oleh sebuah egensi kerajaan yang penting seperti PDRM. Lebih menghairankan kebanyakan program yang dilaksanakan seolah-olah program Pemuda UMNO; Program 1Malaysia, antaranya Senamrobik Tarian 1Malaysia dan Acara 1Malaysia.

PDRM seharusnya menghormati polisi Kerajaan Selangor yang tidak mahu slogan hipokrasi seperti 1Malayasia disebar luas di negeri ini. PDRM juga seharusnya menghormati keputusan kerajaan melalui JAIS dan MAIS yang hanya membenarkan pembaca khutbah bertauliah membaca khutbah Jumaat dan tidak dengan sewenangnya mengarahkan pihak Masjid membenarkan wakil PDRM membaca khutbah pada solat Jumaat.

PDRM sepatutnya mengajar rakyat bagaimana menghormati undang-undang dengan membentuk kerja sama dalam usaha menguatkuasakan undang-undang di negara ini, baik yang berbentuk polisi mahupun ketetapan negeri.

Didikan asas inilah yang akan menjadikan sesuatu organisasi itu dilihat mempunyai integriti. Kerajaan Negeri Selangor melihat perkara ini secara serius dan tidak hairanlah PDRM kini kerap dicabar kewibawaannya.

PDRM juga sepatutnya bersikap neutral dan tidak condong kepada mana-mana parti politik ketika melaksanakan tugas hakikinya iaitu menjaga keselamatan rakyat tanpa membezakan bangsa, latar belakang dan ideologi politik.

Struktur pentadbiran PDRM tidak boleh disalah guna untuk kepentingan politik seperti program 1Malaysia yang tidak diiktiraf di Selangor, penerangan tentang video seks kepada guru-guru yang berlaku di Kelantan dan tindakan lain yang ada kaitan secara langsung dengan ahli dan parti politik.

BN semakin terdesak kerana bukan saja menyalah guna anggota polis malah juga memperkudakan sistem pentadbiran PDRM untuk kepentingan politik dengan mengarahkan polis menjalankan kempen politik bagi pihak mereka, Alangkah baiknya jika PDRM menggunakan dana menjalankan kempen politik itu untuk menambah baik kempen-kempen kesedaran pentingnya menjaga keselamatan kepada rakyat.

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Mansuhkan pengisytiharan darurat

Posted: 05 May 2011 08:02 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Mei: Kerajaan turut digesa memansuhkan pengisytiharan darurat yang sudah lebih 40 tahun digunakan di negara ini selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, Malaysia seharusnya mencontohi negara lain seperti Mesir yang telah memansuhkan pengisytiharan darurat.

"Kita berada dalam kerangka undang-undang yang tempang. Memang ISA itu zalim, itu memang jelas tapi isu yang lebih utama ialah mengenai deklarasi darurat yang masih digunakan di Malaysia sedangkan negara lain seperti Mesir ianya sudah dimansuhkan," kata beliau dalam satu diskusi bertajuk 'Siapa di belakang ISA' di KL & Selangor Chinese Assembly Hall (KLCAH), kelmarin.

Terdahulu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Civil Rights Committee, KL & Selangor Chinese Assembly Hall (CRC) dan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) melancarkan buku yang ditulis Adun Hulu Kelang dari PAS, Saari Sungib, bertajuk Sengsara Kem Kamunting: Kisah Hidup dalam Penjara ISA.

Menurut Nurul yang juga Naib Presiden PKR, ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah menyediakan usul mengenai perkara tersebut namun ditolak Speaker Dewan Rakyat atas alasan ianya hanya boleh dibawa oleh Menteri.

"Keputusan yang kita (Pakatan Rakyat) ambil dalam sesi lepas adalah untuk memperkenalkan dan membahaskan akta pemansuhan darurat supaya semuanya ditarik balik di Parlimen dan pada masa yang sama kita kena menyediakan langkah-langkah susulan kerana apabila ditarik pengisytiharan darurat unang-undang yang diwujudkan semasa darurat berkuat kuasa akan menerima akibatnya.

"Usul (untuk memansuhkan pengisytiharan darurat) telah disiapkan dan diserahkan kepada Speaker malangnya atas kuasa Speaker ianya ditolak kerana dikatakan mana-mana ahli Parlimen atau undang-undang persendirian tidak akan dilayan kecuali usul memansuhkan pengisytiharan darurat itu dibawa oleh menteri," katanya.

Beliau juga berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah mungkir janji apabila berkata bersedia menarik balik pengisytiharan di Sarawak dan Kelantan namun tidak melaksanakannya sehingga sekarang.

"Nazri Aziz dalam jawapannya kepada saya dan Ipoh Timur di Parlimen menyatakan kerajaan bersedia menarik balik pengisytiharan darurat Sarawak dan Kelantan tapi tidak dibuat sampai hari ini," katanya.

Sebelum ini, seorang pakar perlembagaan, Shad Saleem Faruqi berkata, banyak faktor yang mungkin menyebabkan kerajaan tidak menamatkan darurat.

Pertama, mungkin kerajaan jahil dalam perkara ini dan keduanya, kerajaan mungkin mendapati undang-undang yang digubal ketika darurat memberi "kemudahan" ketika digunakan.

Menurut artikel 150 (7) dalam Perlembagaan Persekutuan, seandainya darurat ditamatkan, semua akta yang digubal ketika tempoh darurat akan hilang penguatkuasaannya selepas enam bulan.

Pada 8 Mac lalu, seorang remaja Muhammad Arif Abud Semah, 19, ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO), atas tuduhan mencuri motosikal.

Ketika ditahan Arif turut mendakwa dipukul dengan teruk di bahagian kaki dengan kayu panjang dan wajar. Menurut Arif, meskipun beliau merayu dan meminta bantuan perubatan, namun ia tidak diedahkan.

Penangkapan Arif di bawah EO dan seksaan fizikal dan mental yang dialaminya dikecam hebat NGO seperti Pertubuhan Lawyer For Liberty (LFL) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Ini kerana tangkapan di bawah EO itu membenarkan penahanan tanpa bicara selama 60 hari, yang bertentangan dengan hak asasi manusia untuk mendapatkan pembelaan.

Renungan : Sisa radioaktif masih bertaburan di Bukit Merah

Posted: 05 May 2011 06:42 AM PDT

Pada 28 tahun yang lalu, Ng Toong Foo, seorang peniaga berusia 38 tahun ketika itu, menerima tawaran projek pengendalian sisa kilang daripada Asian Rare Earth, kerana tertarik dengan harga tawaran yang tinggi. Beliau mengupah empat orang pekerja, termasuk tiga orang pemandu lori dan seorang pemandu jentolak untuk mengangkut sisa buangan dari kilang.

Sisa yang berwarna putih ini basah dan lembut, tiada bezanya dengan lumpur, namun berbau masam jika dihidu. Pihak kilang memberitahu Ng bahawa sisa ini boleh dijadikan baja. Jadi Ng bersama pekerjanya mengangkut sisa tersebut dari kilang untuk dibuang ke ladang kebun yang berdekatan, termasuk kebun sayur pakciknya untuk dijadikan "baja", atau membuang begitu sahaja di tepi kawasan perumahan dan jalan raya.

Fitnah lucah: Pemerintah di Malaysia ‘mandul’, dayus- Teras

Posted: 05 May 2011 04:05 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno-Barisan Nasional disifatkan mandul dan dayus kerana membiarkan gejala fitnah dan lucah berleluasa, kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Azmi Abdul Hamid.

Kata Azmi, sikap berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan membendung gejala itu, merendahkan nilai dan norma masyarakat selepas 53 tahun negara mencapai kemerdekaan.

"Institusi agama Islam termasuk perundangan dan pihak berkuasa Malaysia diibaratkan seperti orang yang telah 'mandul' dan 'dayus' kerana tidak mampu mengambil sebarang tindakan berhubung gejala fitnah yang berleluasa.

"Sebagai sebuah negara yang mengangkat agama Islam sebagai agama rasmi, tindakan berdiam diri pemerintah adalah sangat memalukan. Dalam masa yang sama, undang-undang syariah diketepikan.

"Ketika negara lain maju ke hadapan, Malaysia mengambil langkah mundur sehingga berada di ambang kehinaan," kata Azmi kepada Keadilandaily.

Beliau menegaskan perkara ini berlaku akibat sikap pucuk pimpinan negara yang mahu menjatuhkan lawan politik mereka dengan cara yang tidak bermoral.

"Segala institusi yang dibina melalui Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat, dengan perkenan Yang Dipertuan Agong dimusnahkan semata-mata perbuatan sumpah laknat.

"Semenjak kemerdekaan, persaingan politik tidak sehina dan sekotor begini. Gejala ini hanya muncul selepas peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tohmah dan fitnah disebar di kalangan orang Melayu-Islam sehingga menjadi 'budaya'. Ini berlaku akibat lawan politik mereka itu didapati terlalu kuat dan menjadi pilihan orang ramai untuk menjadi pemimpin.

"Oleh kerana mereka telah kehabisan modal, maka digembeling seluruh jentera kerajaan, kehakiman dan media massa sebagai senjata untuk menyerang lawan," ujarnya yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Azmi.

Dalam pada itu, Azmi tidak yakin dalam keadaan politik hari ini, negara mampu untuk membina generasi baru dan kepimpinan yang berwibawa.

"Rumusan yang akan digunapakai oleh anak-anak muda hari ini ialah, persaingan politik mengabsahkan penggunaan politik kotor dan jijik. Sepatutnya Malaysia mencapai tahap politik yang murni jernih dan matang.

"Tetapi nampaknya, ada pihak-pihak tertentu yang memang tidak mahu negara Malaysia ini, menuju ke arah itu," ujarnya.



TV3, Utusan dan Berita Harian dilindungi kerajaan

Posted: 05 May 2011 03:13 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, media perdana seperti TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian, diberikan perlindungan atau imuniti oleh kerajaan dalam menyebarkan fitnah dan politik lucah.

Beliau menyuarakan kekesalannya apabila media berkenaan berterusan memberikan liputan 'bertali arus' berhubung video seks fitnah yang didakwa melibatkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Walaupun ramai tokoh-tokoh Islam dan bukan Islam mengecam tindakan ini, namun kerajaan sengaja 'menghalalkan' isu ini diberi liputan meluas tetapi jauh sekali untuk menangkap pesalah yang mengedar bahan lucah," kata Nik Nazmi ketika dihubungi Keadilandaily.

Menurut Nik Nazmi, tindakan TV3, Utusan dan Berita Harian semakin ketara menjadi alat Umno menyebarkan fitnah dan pelbagai perkara lucah sehingga melenyapkan etika kewartawanan dalam menyampaikan berita kepada orang ramai.

Tambah beliau, cara media berkenaan menangani isu itu juga jauh berbeza dengan skandal seks membabitkan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek beberapa tahun lalu.

"Kita boleh simpulkan secara mudah sahaja apabila video seks Soi Lek tidak diberi 'liputan' yang meluas bahkan polis digesa menangkap pengedar video tersebut. Tetapi dalam kes video terbaru, kerajaan dan media bersungguh-sungguh menjadikannya berita sensasi," ujarnya yang juga Adun Seri Setia.

Menurutnya lagi, media perdana di negara ini seolah menjadi hamba yang hanya mengikut perintah tauke mereka iaitu Umno- Barisan Nasional sehingga melupakan tanggungjawab terhadap orang awam.

"Kita sedar itu semua agenda politik Umno menggunakan media yang mengikut sahaja perintah daripada 'tauke' mereka.

Sementara itu Ketua Penerangan Selangor, Shuhaimi Shafiei menyifatkan TV3, Utusan dan Berita Harian 'dinaungi' pemimpin tertinggi negara ekoran berita yang disiarkan sejak kebelakangan ini menjurus kepada politik lucah dan fitnah.

"TV3,Utusan dan Berita Harian dinaungi pemimpin tertinggi negara yang jelas melihat kepada laporan beritanya yang mengikut acuan pemimpin mereka yang satu persatu bertujuan menjatuhkan Anwar bagi menghilangkan sokongan orang Melayu terhadapnya.

"Media adalah senjata terakhir puak Umno yang kita akan lawan balik sebagai senjata makan tuan dengan mempersiapkan program siri jelajah Selangor Tawan Malaysia (Jelas) yang akan bermula hujung minggu ini selama dua bulan," kata beliau.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=12857

Skandal Scorpene bermula

Posted: 05 May 2011 02:53 AM PDT

Skandal Scorpene: Gelombang Perancis bermula
WONG CHOON MEI

LAPORAN kemas kini tiga kumpulan hak asasi Malaysia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menjangkakan tuntutan mahkamah berkenaan rasuah yang difailkan ke atas syarikat senjata api tentera laut Perancis DCNS akan didengari di mahkamah terbuka dan perbicaraan akan bermula pada Mei atau Jun ini.

Ini akan membuka jalan bagi rakyat Malaysia untuk akhirnya mendapatkan akses kepada butiran yang boleh dipersoalkan mengenai perjanjian kapal selam RM6.7bilion yang ditandatangani oleh Kementerian Pertahanan mereka pada tahun 2002, dan terus dirahsiakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

DCNS merupakan vendor kapal selam tersebut dan Najib telah dituduh memberi keuntungan kepada teman rapatnya, Razak Baginda dengan komisen 114 juta euro melalui perjanjian tersebut.

"Terdapat bukti kukuh mengenai rasuah dan antaranya adalah maklumat baru mengenai rasuah baru yang didedahkan semasa penyiasatan.

"Sebahagian daripada ini boleh menjadi sesuatu yang sensitif atau memalukan kepada kerajaan Malaysia tapi ini adalah sebahagian daripada proses untuk membantu pembayar cukai Malaysia mendapatkan semula wang mereka yang hilang melalui perjanjian korup," kata Pengarah Urusetia Suaram, Cynthia Gibrael kepada Malaysia Chronicle.

Pada Disember 2009, Suaram memfail tuntutan awal terhadap DCNS di mahkamah Paris untuk 'rasuah aktif dan pasif, pertukaran untuk pertolongan dan penyalahgunaan aset syarikat' selepas gagal membuat sebarang kemajuan dengan kerajaan Malaysia, yang enggan memberikan sebarang butiran walaupun tidak henti-henti didesak oleh ahli-ahli pembangkang di Parlimen.

Perjanjian yang dipersetujui antara Najib yang merupakan Menteri Pertahanan ketika itu, dan DCNS melibatkan penjualan dua kapal selam Scorpene dan satu kapal selam Agosta kepada kerajaan Malaysia.

Di bawah konvensyen OECD 2000 di mana Perancis merupakan ahli, mana-mana individu rakyat Perancis ataupun syarikat Perancis yang didapati terlibat dalam perjanjian korup dengan kerajaan asing boleh dihukum 10 tahun penjara dan didenda 150,000 Euro.

Keputusan ini memberikan ruang terhadap permohonan Suaram untuk mencuba dan mendapatkan kembali wang pembayar cukai yang hilang melalui transaksi yang salah.

"Kami telah memohon agar hakim siasatan untuk mempengerusikan perbicaraan terbuka. Ini akan membuat perbicaraan itu lebih bebas dan kami pasti akan mendesaknya untuk mengarahkan lebih banyak penyiasatan dan siasatan yang lebih terperinci," kata Cynthia dipetik.

Sememangnya, seorang hakim yang dilantik kerajaan Perancis mungkin kurang neutral memandangkan DCNS yang berpengaruh ini merupakan salah satu syarikat terbesar di Perancis.

Seks dan pembunuhan C4 Altantuya

Aspek sensasi dari perjanjian taruhan tinggi ini adalah pembunuhan rakyat Mongolia berusia 28 tahun, Altantuya Shaariibuu, seorang penterjemah dan perantara yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah kepada Razak Baginda dan syarikat Perancis tersebut.

Dia dibunuh di Kuala Lumpur dengan bahan letupan C4 di hutan cerang di Shah Alam setelah dia dikatakan cuba mengganggu Razak untuk bahagiannya daripada komisen tersebut.

Dua daripada bekas pengawal Najib telah dijatuhi hukuman gantung bagi pembunuhan itu, tapi perbicaraan mahkamah mereka telah dikecam sebagai tidak adil.

Bekas-bekas polis itu mendakwa mereka dibayar RM100,000 untuk membunuh Altantuya, tetapi testimoni ini telah ditolak oleh hakim perbicaraan Malaysia, yang juga menangkis segala usaha oleh peguam pembela untuk bertanya tertuduh, siapa yang memerintahkan mereka untuk membunuh Altantuya.

Akhbar Perancis – La Liberation melaporkan bahawa si rupawan Altantuya, yang boleh bercakap empat bahasa termasuk Russia, memberitahu kedua-dua pembunuh itu bahawa dia mengandung dan telah merayu agar dirinya tidak diapa-apakan sebelum mereka menembaknya di kepala, mengikat C4 di tubuhnya dan kemudian meledakkan bahan letupan yang hanya tersedia untuk tentera di Malaysia.

Seorang penyiasat persendirian yang diupah oleh Razakmenyatakan bahawa Najib yang bertemu Altantuya di pameran berlian di Singapura, dan mereka mempunyai hubungan sebelum beliau 'melepaskan' Altantuya kepada Razak.

Tetapi Altantuya akan dipertonjolkan dalam perbicaraan Perancis itu, bahagian yang lebih besar dari perbicaraan itu akan berpusat kepada kapal selam dan kos transaksi antara DCNS dan kerajaan Malaysia.

Kos perjalanan Razak dan Altantuya 2.5 juta Euro

Kemungkinannya, di antara saksinya adalah bekas pengurus pentadbiran dan kewangan DCNS, Gerard-Philippe Menayas, yang telah disoal siasat oleh polis Perancis melibatkan kes serupa di Pakistan. Gerard telah mengaku mempunyai bukti untuk menyokong sogokan yang terlibat dalam perjanjian Malaysia tersebut.

Pada mulanya, Amaris, anak syarikat DCNS dan Thales, telah disyaki membayar komisen sebanyak 114 juta euro kepada sebuah syarikat Malaysia bernama Perimekar, yang diterajui oleh isteri Razak.

Namun, maklumat terkini menunjukkan bahawa bukan Armaris tetapi kerajaan Malaysia yang telah membayar 114 juta euro kepada Perimekar, untuk membolehkan syarikat Perancis itu memintas konvensyen OECD.

Perlu diambil perhatian bahawa ia bercanggah dengan penjelasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Zainal Abidin Zin di Parlimen pada tahun 2006 di mana Zainal mengatakan bahawa kerajaan Malaysia yang telah membayar US$100 juta komisen bagi perjanjian untuk membeli tiga kapal selam tersebut.

Sementara itu, dua bukti baru yang telah ditemui, termasuk bayaran 30 juta euro oleh DCNS kepada salah satu syarikatnya sendiri dan bayaran 2.5 juta euro kepada perantara yang masih tak dikenali.

"Para penyiasat kami masih menyiasat perantara tersebut tetapi kami mendapati bahawa sebuah syarikat bernama Gifen telah ditubuhkan di Malta oleh seseorang bernama Jean-Marie Boivin untuk memudahkan pemindahan kewangan bagi tujuan membiayai perjalanan Baginda dan Altantuya," tambah Gabriel.

* Rencana ini dipetik dan diterjemah dari Malaysia Chronicle.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=12846

Polis samseng : Ugut campak peguam

Posted: 05 May 2011 12:42 AM PDT

PETALING JAYA: Pertubuhan Lawyer For Liberty (LFL) menyelar tindakan polis yang mengugut peguam kepada remaja yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO), Fadiah Nadwa Fikri.

Menurut Fadiah, pegawai polis berkenaan mengugut untuk 'mencampak' nya ke luar bangunan ketika beliau ingin menemui anak guamnnya di Ibu Pejabat Polis daerah Gombak.

Pegawai berkenaan katanya, mendakwa akan melakukan perkara yang sama dilakukan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam kes Teoh Beng Hock.

Pada sidang media di pejabat LFL pagi ini, Fadiah menjelaskan kehadirannya ke sana bagi mendapatkan keterangan anak guamnya Mohamad Arif Abu Samah, yang ditahan dibawah Seksyen 3 Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969.

"Seorang pegawai polis mengugut saya dengan berkata – 'Jangan sampai jadi macam SPRM.

"Ketika saya sedang berurusan dengan anak guam saya, seorang polis datang mengganggu dan meminta nama dan nombor telefon saya. Saya mempersoalkan kehadiran mereka dalam bilik tersebut, dan mereka enggan keluar apabila diminta," kata Fadiah.

Menurut Fadiah, terdapat 5 anggota polis di dalam bilik tersebut dan memerhatikan perbualan mereka.

"Ini adalah kesalahan besar, kerana komunikasi di antara peguam dan anak guam adalah sulit. Tiada siapa berhak untuk merakam atau campur tangan," kata Fadiah.

Muhammad Arif Abud Semah, 19 ditangkap sekumpulan anggota polis dari IPD Gombak, 8 Mac lalu dan ditahan di rumahnya di Selayang atas tuduhan mencuri motorsikal.

Ketika ditahan Arif turut mendakwa dipukul dengan teruk di bahagian kaki dengan kayu panjang dan wajar. Menurut Arif, meskipun beliau merayu dan meminta bantuan perubatan, namun ia tidak diedahkan.

Penangkapan Arif di bawah EO dan seksaan fizikal dan mental yang dialaminya dikecam hebat NGO seperti LFL dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Ini kerana tangkapan di bawah EO itu membenarkan penahanan tanpa bicara selama 60 hari, yang bertentangan dengan hak asasi manusia untuk mendapatkan pembelaan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=12812

Tiada ulasan: