Kerabu Bersuara ® |
- Lynas perlukan kajian antarabangsa
- Koh Tsu Koon, Presiden Gerakan Hanya Kerja Angguk. Geleng Haram
- Najib dan kekalahan Manchester United
- Tahniah Untuk 1Malaysia. Hadiah Dari Umno Dan BN Untuk Rakyat
- Ekonomis : Harga Makanan Dijangka Naik
- Petronas tanggung RM21 bilion kerugian dari perjanjian IPP-Rafizi
- Taksubnya Nik Aziz pertahan Anwar — Zulkiflee Bakar
- Najib tak faham fungsi Putrajaya, dakwa AMK
- Umno Cuba 'Ngorat' Nik Aziz, Tawar Jawatan Menteri
- Jeng Jeng! Tarif Elektrik Naik?
- Tarif elektrik: Putrajaya umum keputusan petang ini
- Muktamar Ipoh dan permulaan persaingan Erdogan-ulama
- Isu KUIN, muktamar PAS perlu tangani kenyataan MB Kedah
- Najib Silap Baca Golongan Muda, Kata Anwar
- Anwar: Belia tak akan terima seruan Najib pertahan Putrajaya ‘rasuah’
- Ibrahim Ali ahli politik Malaysia paling buruk, kata Anwar
Lynas perlukan kajian antarabangsa Posted: 30 May 2011 03:00 PM PDT 30 MEI — Kerja membangunkan projek Lynas yang sedang berjalan di Gebeng, Kuantan atas bantan penduduk tempatan terpaksa dihentikan dulu. Kerajaan pun bersetuju membentuk satu badan antarabangsa terdiri dari pakar atom. Tentulah ia akan diselia oleh suruhanjaya atom antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tiada orang dalam negeri dalam pasukan kajian itu bagi memastikan pandangannya bebas dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan. Ikut kata Menteri Perdagangan AntaraBangsa, Datuk Mustapa Mohamad, tiada orang Melayu, orang Cina dan orang India dalam badan itu. Apa perlunya kajian itu dibuat oleh orang antarabangsa? Apakah kita tidak percaya kepada orang dalam negeri sendiri? Atau tidak adakah orang dalam negeri yang layak dari segi kelulusan akadamiknya dan berwibawa untuk membuat kajian itu? Orang Malaysia yang ada pengetahuan itu ada seperti Dr Che Rosli Che Mat, Anggota Parlimen Pakatan Rakyat Hulu Langat, tetapi kerajaan BN tidak yakin akan kebebasannya. Dan kita juga ada badan menguasai atom malah pernah mewarwarkan untuk mengeluarkan tenaga neuklear sendiri. Tidak bolehkan mereka dipercayai? Agaknya kerajaan juga tidak yakin badan yang dikuasai kerajaan dan pakarnya dipercayai oleh orang ramai seperti tidak yakin setengah orang tentang wibawa Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua SPR Ketua SPRM dan lain-lain. Semua mereka ada kelulusan, ada pengalaman, ada latihan seperti latihan tokoh-tokoh negara asing, tetapi kerana mereka adalah pegawai yang berkhidmat dengan kerajaan Malaysia, maka wibawa dan integriti dipersoal oleh orang banyak bahkan setengah pemimpin dan penyokong Umno pun totok orang makan gaji, bukan sungguh-sungguh berkhidmat untuk profesion masing-masing. Antara mereka jujur dengan profesionnya tetapi kerana politik Malaysia benar-benar menghidupkan sifat haiwan politiknya, yang jujur pun diborong sebagai hamba Umno belaka. Lynas dibangkitkan oleh pembangkang sebagai projek melambakkan sisa dan hampas yang tidak berguna yang dikatakan membahayakan alam sekitar dan makhluk bernyawa. Australia telah menolaknya, maka ia dilambakkan pula di Pahang. Dikatakan projek itu boleh memberi banyak peluang pekerjaan dan menguntungkan. Tetapi mengapa pula Australia menolak tuah yang baik? Negeri itu adalah negeri Perdana Menteri Najib. Kalau Australia yang rakyatnya peka pada sebarang ancaman kesihatan, mengapa Perdana Menteri Malaysia mudah mengimpotnya ke negeri tok neneknya? Jarang kerajaan Barisan Nasional prihatin tentang isu yang dibangkitkan oleh pembangkang. Tetapi Lynas ini memaksa ia menangguhkan kerja yang sudah berjalan bagi memberi laluan kepada kajian pakar antarabangsa. Pertama bisa-bisa atom itu amat sensitif bagi masyarakat di dunia, dan kedua kita adalah di ambang pilihan raya. Isu yang dibawa pembangkang ini laris untuk pilihan raya. Boleh dipuji atas prihatin kerajaan itu. Tetapi mengapa diserah bulat kepada pakar antarabangsa saja? Mengapa tidak disertakan denan tenaga pakar dalam negeri sama? Suka sangat orang negara ini menyerahkan kepercayaan bulat kepada pakar asing. Menjelang kemerdekaan itu kerajaan pimpinan bersama Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak menyerah bulat kepada Suruhanjaya Reid yang terdiri dari pakar undang-undang Komenwel untuk merangka perlembagaan negara merdeka. Begitu ramai ahli undang-undang dalam negeri. Mereka tidak dihargai dan tidak diperlukan. Tanggungjawab dan prihatin orang luar negeri tidaklah sama dengan orang dalam negeri. Sekali pun kita mahukan ia tidak dipengaruhi oleh unsur dalaman, tetapi pandangan dalaman tetap diperlukan. Rakyat tidak seronok urusan merangka perlembagaan itu diserak bulat kepada geng Orang Putih. Kerana tiada orang dalam negeri dalam lembaga itu, banyaklah yang rakyat rasa perlu diberi perhatian dibiarkan saja. Perlembagaan itu akan lebih indah jika pakar dalam negeri disertakan. Bukan kita tidak yakin sepenuhnya kepada pakar luar tetapi pakar luar juga ada kalanya mengarut juga. PBB pernah menghantar pakarnya untuk memantau senjata memusnahkan yang dikatakan dimajukan oleh kerajaan Iraq di bawa Saddam Hussein. Laporannya dipalsukan kononnya senjata itu ada disorokkan. Tetapi setelah Iraq terbuka kepada tentera Amerika dan Nato ternyata senjata itu tidak ada, malah ada pula yang memecahkan rahsia bahawa laporan awal dulu memang dipalsukan. Ketika orang tahu isu senjata pemusnah itu hanya satu rekaan, Iraq sudah pun jadi padang jarak padang tekukur — Iraq sudah musnah. Pandangan pakar asing adalah penting, tetapi memberi hak kepada pakar asing saja menentukan sesuatu yang kita ada kepentingan adalah satu penyakit jiwa. Jangan jadikan Malaysia dikenali sebagai bangsa yang sakit jiwa! Haji Abdul Subky Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia. |
Koh Tsu Koon, Presiden Gerakan Hanya Kerja Angguk. Geleng Haram Posted: 30 May 2011 08:30 AM PDT Gerakan nafi usaha singkir Tsu Koon Presiden Gerakan KUALA LUMPUR, 30 Mei – Gerakan menafikan terdapat usaha dari dalam parti itu untuk menyingkirkan presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon walaupun terdapat laporan bahawa semakin ramai yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau. Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata malahan kini pemimpin dan ahli parti sedang sibuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 di bawah kepimpinan Koh. "Ia tidak benar. Ada orang yang mahukan publisiti dengan membuat dakwaan demikian," katanya dipetik laporan Bernama Online. Bekas naib ketua Pemuda parti itu, S Paranjothy mendakwa wujud perasaan tidak puas hati dalam parti dan terdapat ahli yang merancang untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menyikirkan Koh. Paranjothy yang merupakan ketua cawangan Taman Ehsan mendakwa ramai ahli yang tidak berpuas hati dengan gaya kepimpinan Koh yang dianggap lebih sebagai "yes man" dan mengetepikan pandangan dan isu yang dikemukakan oleh sayap Pemuda dan Wanita. Beliau juga dilaporkan sebagai berkata bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lebih berminat untuk menjaga kedudukan politiknya dalam kerajaan dan tidak menghiraukan masalah dalam parti. Laporan itu mendakwa bukan itu sahaja, Koh dikritik kerana kerana tidak mengemukakan strategi untuk merampas kembali Pulau Pinang daripada pembangkang. Namun Chang menjelaskan adalah perkara biasa bagi mana-mana ahli parti untuk mempunyai pandangan yang berbeza mengenai banyak isu, tetapi ia tidak bermakna mereka merancang untuk menjatuhkan pemimpin parti. Malah katanya, di bawah kepimpinan Koh, Gerakan telah membuka lebih banyak cawangan dan menarik lebih ramai ahli baru di seluruh negara. Beliau memberi contoh, Gerakan berjaya menarik empat anggota dewan undangan negeri bebas, tiga di Sabah dan seorang di Pahang menyertai parti itu. Mereka ialah Peter Pang En Yin (Karamunting), Raymond Tan Shu Kiah (Tanjung Papat) dan Au Kam Wah (Elopura) semuanya dari Sabah serta Ho Yip Kap (Tanah Rata) dari Pahang yang menang pada pilihan raya umum 2008. Pang keluar dari Parti Liberal Demokratik (LDP) dan menyertai Gerakan pada Mac lalu sementara Tan dan Au keluar dari Parti Maju Sabah (SAPP) selepas parti itu keluar dari gabungan Barisan Nasional pada September 2008. Chang juga berkata di bawah kepimpinan Koh, bekas naib presiden LDP, Datuk Liew Yun Fah turut menyertai Gerakan. Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow turut menafikan terdapat rancangan untuk mengadakan EGM bagi menyikirkan Koh. "Jika benar, saya adalah orang pertama yang akan tahu kerana mereka perlu mengemukakan permintaan kepada Setiausaha Agung. Saya boleh beritahu kamu, tidak ada perkara itu, hanya ada orang sengaja mahu buat cerita," katanya. |
Najib dan kekalahan Manchester United Posted: 30 May 2011 07:39 AM PDT Oleh HARIS ZALKAPLI Perhimpunan sejuta belia di Putrajaya semalam memberi tanda-tanda kegemilangan pada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak. Program di seberang lain oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan diatur dengan tergesa-gesa, dengan kehadiran belia yang terhad, dan dengan tajuk generik "sesi ramah mesra." PAS pula beberapa bulan lalu hanya dapat mengumpul 30,000 pemuda di Kedah. Najib menurut laporan media pro-Umno dapat mengumpulkan sejuta belia. Kemuncak program Najib itu ialah perlawanan akhir Piala Juara-Juara Eropah menemukan pasukan bola sepak ikon budaya popular, Manchester United dengan pasukan Sepanyol, Barcelona. Najib hadir sebagai penyokong pasukan paling popular - tetapi menjengkelkan pada pandangan sesetengah pihak - Manchester United, lengkap dengan jersi dan aksesori lain. Kemenangan Manchester United boleh memberikan poin besar kepada beliau, lebih-lebih lagi memandangkan usaha Najib mendekatkan diri dengan golongan muda untuk membina dan mengukuhkan sokongan mereka. Pemerintah juga kini semakin biasa mempolitikkan sukan untuk membina sentimen positif, seperti dilakukan ketika Kelantan menewaskan Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu. Walau bagaimanapun, Manchester United tidak berjaya, tewas kepada Barcelona dengan jaringan 1 berbalas 3, keputusan yang kemudian mencetuskan pelbagai kritikan keras termasuk dari media Inggeris sendiri. Poin besar yang diharapkan Najib tidak kesampaian, dan mendedahkan dirinya kepada sindiran-sindiran, seperti yang biasa, disebut sebagai menjadi punca kekalahan pasukan popular itu (walaupun ada juga yang mengaitkannya dengan isteri beliau yang sering dikait dengan imej negatif). Sindiran seperti ini sememangnya bersifat murahan, tetapi memberi sedikit poin kepada penentang Najib dan parti pemerintah untuk dijadikan bahan jenaka buat seketika. Boleh dijangkakan, media propemerintah hari ini penuh dengan laporan-laporan dan komentar mengaitkan Najib dengan kemenangan sekiranya Manchester berjaya, tetapi menjadi laporan sukan biasa apabila pasukan sokongan perdana menteri itu tidak mencapai kemenangan. Tetapi, sebagai pemimpin yang semakin selesa dan berjaya memanfaatkan budaya popular - termasuk Facebook, Twitter dan kemunculan di radio popular bersama DJ selebriti - kehadiran Najib menonton perlawanan itu, dengan publisiti yang meluas, sekurang-kurangnya telah berjaya mendekatkan dirinya dengan golongan belia. Sedikit demi sedikit, permainan imej melalui budaya popular oleh Najib kini semakin menunjukkan kesan, terutama pada tahun ini, ketika pilihan raya umum akan datang dirasakan semakin dekat. |
Tahniah Untuk 1Malaysia. Hadiah Dari Umno Dan BN Untuk Rakyat Posted: 30 May 2011 04:46 AM PDT Tarif elektrik naik 7.12 peratus, kuat kuasa 1 Jun PUTRAJAYA, 30 Mei – Tarif elektrik akan mengalami kenaikan sebanyak 7.12 peratus berkuat kuasa I Jun ini. Bagaimanapun ia tidak akan memberi impak ke atas 75 peratus pengguna domestik. Langkah itu sebahagian daripada proses merasionlisasikan subsidi yang sedang dilaksanakan. Di bawa keputusan itu, kerajaan mengumumkan purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 2.23 sen kilowatt sejam atau 7.12 peratus kepada 33.54 sen kw sejam daripada 31.31 sen kw sejam. Laporan Bernama Online menyebut, bagaimanapun langkah berkenaan tidak akan menjejaskan kira-kira 75 peratus penduduk yang menggunakan kurang daripada 300kw sebulan. Pengumuman berkenaan dibuat pada sidang akhbar bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Tenaga, Tenaga Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin. Mereka berkata kenaikan 7.12 peratus itu disebabkan oleh peningkatan harga gas asli untuk sektor tenaga. Dalam pada itu, kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Tenaga, Hijau dan Air menyebut harga gas untuk sektor elektrik di Semenanjun daripada RM10.70/MMBtu kepada RM13.70/MMBtu, maka tarif elektrik di Semenanjung perlu disemak semula. "Berkuat kuasa 1 Jun 2011, kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 2.23 sen/kWj atau 7.12 peratus daripada kadar purata semasa 31.31sen/kWj kepada 33.54sen/kWj," katanya. Kata kenyataan itu, ia melibatkan dua komponen iaitu kesan penyelarasan harga gas daripada RM10.70/MMBtu kepada RM13.70/MMBtu ke atas tarif elektrik sebanyak 5.12 peratus atau 1.60sen/kWj dan semakan tarif asas TNB iaitu kenaikan sebanyak 2 peratus atau 0.63sen/kWj daripada kadar purata tarif semasa. Ketika ini, gas asli merupakan sumber utama penjanaan elektrik di Semenanjung (54.2 peratus), diikuti arang batu (40.2 peratus) manakala selebihnya adalah daripada sumber hidro (5.2 peratus) dan 'distillate' (0.4 peratus). Oleh itu kata kenyataan, berikutan penyelarasan harga gas sebanyak RM3/MMBtu, maka tarif elektrik perlu diselaraskan 5.12 peratus atau 1.60sen/kWj. Walaupun pada masa sekarang, harga arang batu di pasaran antarabangsa adalah sekitar AS$120/tan, untuk semakan tarif elektrik kali ini, katanya, kerajaan menetapkan harga arang batu untuk sektor elektrik dikekalkan pada harga AS$85/tan sepertimana diguna pakai bagi penyelarasan tarif elektrik pada 1 Mac lalu. "Selaras dengan usaha kerajaan untuk merasionalisasikan harga tenaga mengikut mekanisme harga pasaran, maka kerajaan telah bersetuju supaya mekanisme pelepasan kos bahan api diguna pakai dalam penetapan tarif elektrik di masa hadapan," katanya. Kenyataan itu menambah, kuantum kos bahan api yang akan dilepaskan kepada pengguna adalah dikira berdasarkan pada kos sebenar bahan api iaitu gas dan arang batu bagi tujuan penjanaan untuk tempoh enam bulan. Mengenai semakan tarif asas TNB, kata kenyataan itu, selain mengambil kira kenaikan harga bahan api, pihak kerajaan telah meluluskan permohonan TNB untuk menyemak semula tarif asas. Katanya, keputusan telah dibuat supaya tarif asas TNB dinaikkan sebanyak dua peratus. Malah tambah kenyataan, semakan tarif asas TNB diperlukan bagi membolehkannya menampung peningkatan kos pembekalan elektrik semasa. KERAjaan sentiasa bersama rakyat dalam susah dan senang. Rakyat sentiasa dihati pemimpin umno dan bn. pemimpin umno bn faham akan kesusahan yang dialami rakyat sekarang. Rakyat perlu bersama KERAjaan dalam setiap masa. Pemuda belia negara akan pertahan putrajaya. Semua kenyataan di atas tu adalah lakonan tipu daya umno dan bn memperbodohkan rakyat. Tapi sayang, puak penyokong umno laknat masih bodoh dan tidak memikirkan apa yang telah dilakukan oleh pemimpin mereka. Sanggup diperbodohkan! |
Ekonomis : Harga Makanan Dijangka Naik Posted: 30 May 2011 04:00 AM PDT KUALA LUMPUR 30 Mei - Harga makanan dijangka meningkat seiring pengumuman kerajaan menaikkan tarif elektrik, kata ketua ekonomis Ratings Agency Malaysia Yeah Kim Leng. Katanya, ini ekoran industri pengeluaran makanan menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik. "Sebanyak 75 peratus isi rumah terlepas daripada kesan langsung kenaikan tarif elektrik, tetapi mereka akan menghadapi bebannya apabila pengeluar memindakah kos yang lebih tinggi kepada pengguna," katanya. Hasil daripada tekanan inflasi, Yeah berkata, kerajaan sebaiknya mengatur pemotongan subsidi untuk barangan yang berbeza-beza, sebagai contoh petrol. "Sekiranya kerajaan memotong subsidi petrol sekarang, ia akan menyebabkan gegaran berganda kepada pengeluar yang akhirnya memindahkan tekanan itu kepada harga barangan pengguna," katanya. Sebelum ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui bagi pengguna antara 301kW hingga 1000kW unit, tarifnya dinaikkan daripada 0.1 hingga 10 peratus bermula 1 Jun. Yeah berkata, pengumuman hari ini akan memberikan tekanan kepada kumpulan berpendapatan rendah walaupun jumlahnya mungkin kecil. "Ia mungkin tidak signifikan namum ia menjadi perbelanjaan tambahan untuk golongan miskin dan perlu ditelan," katanya. -Malaysiakini- |
Petronas tanggung RM21 bilion kerugian dari perjanjian IPP-Rafizi Posted: 30 May 2011 02:00 AM PDT KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa kerajaan mengkaji semula keseluruhan industri penjanaan dan pembekalan tenaga di negara ini supaya berlaku adil kepada rakyat. Menurut beliau, selepas menjadikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai kambing hitam oleh kerajaan, Petronas pula terpaksa menanggung bebanan sehingga RM21 bilion setiap tahun. "Untuk berlaku adil, keseluruhan industri penjanaan dan pembekalan elektrik perlu dikaji. TNB dipaksa menandatangani perjanjian membeli elektrik dari penjana bebas pada kadar yang tinggi. Lebih dari separuh kos TNB adalah untuk membayar Syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP). Yang dimarahi rakyat adalah TNB kerana TNB yang menjadi kambing hitam dan budak jahat. "Lebih teruk, apabila perjanjian itu juga menyebut kalau ada sebarang kenaikan kos bahan api (gas, arang batu), IPP ini tidak perlu menanggungnya. "Akibatnya Petronas pula yang terpaksa menanggung sehingga berjumlah RM21 bilion setiap tahun berdasarkan anggaran terbaru kita," kata Rafizi yang juga bekas Pengurus kanan di Petronas. Untuk rekod, TNB dipaksa membeli tenaga daripada IPP dengan harga mahal manakala Petronas pula diarah menjual gas dengan harga lebih murah kepada syarikat tersebut. IPP pula kemudian membeli tenaga lebih mahal daripada Indonesia dan kawasan minyak JDA di sempadan Malaysia-Thailand. Rafizi baru-baru ini mendakwa Petronas terpaksa membeli setong minyak dengan harga RM40 dan dijual pula kepada IPP dengan harga RM10. Katanya, ekoran keresahan Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan rakyat berhubung kenaikan tarif elektrik, mereka terpaksa menenangkan rakyat kononnya kerajaan memotong subsidi korporat. "Bila rakyat mula bangkit, BN resah dan mahu menenangkan rakyat dengan menghebahkan kononnya memotong subsidi korporat. Tetapi jalan yang diambil adalah dengan menghukum rakyat, apabila tarif elektrik dinaikkan supaya kenaikan harga bahan api (arang batu dan gas) ditanggung oleh rakyat. "Ini akan beri kesan kepada harga barang dan melonjakkan lagi kadar inflasi yang sudah tinggi akibat beberapa siri kenaikan harga baik gula, harga petrol, diesel dan lain-lain sejak kebelakangan ini. "Dalam keadaan gaji rakyat yang tidak naik akibat kegagalan BN mewujudkan agihan kekayaan yang adil, ini akan menyukarkan lagi hidup seharian rakyat," kata beliau kepada Keadilandaily.com. Selain itu katanya, kerajaan perlu mengambil inisiatif yang bijak bagi mengelakkan kenaikkan tarif elektrik yang membebankan rakyat. "Runding dengan IPP supaya caj yang terlampau mahal yang dikenakan kepada TNB atas elektrik yang dijual dikurangkan, kerana caj yang terlalu tinggi hingga memberi keuntungan besar dan berat sebelah inilah yang menyebabkan tarif elektrik di Malaysia tinggi. "Apabila caj dari IPP ini dikurangkan, barulah beban kewangan TNB boleh dikurangkan dan subsidi bahan api (gas dan arang batu) boleh dikurangkan agar wang boleh digunakan untuk tujuan lain sementara tarif lektrik dikekalkan kerana penjimatan dari caj IPP yang lebih rendah boleh digunakan untuk menampung kenaikan kos bahan api," kata beliau. |
Taksubnya Nik Aziz pertahan Anwar — Zulkiflee Bakar Posted: 30 May 2011 01:00 AM PDT 30 MEI — Mentri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi tampil sebagai "wira" untuk membela Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terbaru di Sungai Buloh, kelmarin, Nik Abdul Aziz yang berucap di satu majlis menasihatkan pihak yang dianggap memfitnah Anwar tampil memohon maaf. "Dosa orang yang buat fitnah tidak akan merasa nikmat kubur apatah lagi hendak masuk syurga melainkan kena minta maaf dengan Anwar, itupun kalau Anwar bagi." Malahan Nik Abdul Aziz juga berhujah bahawa, kredibiliti Anwar sebagai pemimpin berlandaskan syiar Islam adalah faktor kemaraan politiknya disekat kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) yang khuatir kehilangan kuasa. Demikianlah hebatnya "ketaksuban" Nik Abdul Aziz mempertahankan Anwar. Bagi Menteri Besar Kelantan itu apa pun orang kata tentang Anwar semuanya fitnah, konspirasi dan mainan politik semata-mata. Orang seperti Nik Abdul Aziz seolah-olah tidak mahu lagi mendengar hujah pihak lain sebaliknya hanya percaya kepada kata-kata Anwar sahaja. Persoalannya sejak bila pula, Nik Abdul Aziz begitu mengambil berat soal fitnah ini, apakah hanya kerana melibatkan Anwar atau mana-mana pemimpin pembangkang, ia dianggap fitnah tetapi kalau melibatkan pemimpin Umno atau BN, itu dianggap satu kebenaran? Kenapa Nik Abdul Aziz tidak bersuara apabila pelbagai fitnah dilemparkan oleh pembangkang termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak? Ini belum lagi mengambil kira bagaimana tindakan yang sama pernah dilakukan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad. Begitu juga dengan pelbagai tuduhan pembangkang kepada kerajaan BN dan pemimpin Umno yang sebahagian besarnya menjurus kepada fitnah tetapi Nik Abdul Aziz hanya senyap sahaja. Kepentingan politik telah menguasai pemikiran Nik Abdul Aziz sehinggakan beliau hanya akan mengeluarkan hujah-hujah berlandaskan al-Quran dan hadis jika sesuatu isu itu melibatkan kepentingan pembangkang. Kalau benar Nik Abdul Aziz begitu percaya bahawa Anwar difitnah, kenapakah beliau tidak membantu ketua pembangkang itu untuk membersihkan namanya dengan menggunakan apa juga cara? Anwar bukannya tidak diberi ruang untuk berbuat demikian, tetapi semuanya ditolak bulat-bulat manakala Nik Abdul Aziz sendiri menolak semua hujah biarpun dari semasa ke semasa kebenaran semakin tidak menyebelahi Ketua pembangkang tersebut. Hujah Nik Abdul Aziz bahawa Anwar seorang pemimpin berlandaskan syiar Islam juga boleh dianggap sesuatu melucukan dan hanya kenyataan politik semata-mata. Ia disebabkan tindak tanduk Anwar selama ini termasuklah berhadapan dengan dua tuduhan liwat tidak melayakkan beliau mendapat pengiktirafan seumpama itu. Apatah lagi Anwar sendiri lebih mengutamakan persahabatan dengan DAP berbanding PAS, sebab itulah suatu ketika Anwar secara terbuka berkata, pembangkang sepakat bahawa isu perjuangan negara Islam tiada agenda mereka. Malahan Anwar juga baru-baru ini menyinggung perasaan PAS apabila menyatakan bahawa parti itu memahami bahawa golongan gay dan lesbian harus diberi layanan sama seperti warga lain. Semua fakta ini tidak dinilai oleh Nik Abdul Aziz, sebaliknya beliau bermati-matian mempertahankan Anwar sehingga keadaan itu turut merimaskan sesetengah ahli-ahli PAS. Malahan ada antara mereka pernah mengesyorkan kepada penulis supaya jangan melaporkan apa juga kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz. Ia kerana pada pandangan mereka, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan kepada PAS. Begitulah juga dalam isu Anwar ini, Nik Abdul Aziz seolah-olah begitu teruja membela beliau biarpun semakin ramai ahli PAS meragui keikhlasan Anwar. Tetapi Nik Abdul Aziz seperti biasa tidak akan mempedulikan apa pandangan orang lain, selagi ada kesempatan untuk membela Anwar, maka beliau akan berbuat demikian. Mungkin Mentri Besar Kelantan itu sendiri tidak yakin bahawa ada orang lain yang boleh memimpin pembangkang selain Anwar. Oleh itu, beliau terus berusaha untuk memastikan kredibiliti Anwar tidak terjejas biarpun ketua pembangkang itu semakin banyak berhadapan dengan isu-isu berkaitan dengan moral. Keadaan itu menggembirakan Anwar dan juga pemimpin pembangkang lain kerana mereka tahu apa pun yang dilakukan pasti ada seorang mursyidul am yang akan membela mereka Kesudahannya, walaupun ada pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengan sesuatu perkara termasuklah dalam isu melibatkan Anwar mereka tidak akan berkata-kata apa-apa kerana bimbang bertentangan pendapat dengan Nik Abdul Aziz. Sebenarnya, tindakan Nik Abdul Aziz meletakkan PAS di dalam bahaya kerana jika siasatan polis selepas ini tidak memihak kepada Anwar ia boleh memberikan kesan buruk kepada politik PAS. Ia kerana sebagai Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz membawa suara PAS, oleh itu sudah pastilah apa yang beliau katakan akan dianggap pendirian PAS. Jika itu berlaku, PAS akan terus ditolak oleh rakyat seperti mana berlaku dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini yang jelas menunjukkan pengundi-pengundi atas pagar semakin meninggalkan PAS. Semua itu berlaku kerana mereka melihat PAS tidak konsisten dalam mempertegaskan sesuatu isu dan ia menjadi betapa buruk apabila seolah-olah tidak ada sesiapa pun di dalam parti berkenaan yang berani menegur keterlanjuran dan tindak-tanduk Nik Abdul Aziz. Malahan sebelum ini disebabkan tindak-tanduk Nik Abdul Aziz, ada pihak yang mendakwa kemerosotan pengaruh PAS adalah disebabkan oleh beliau. Sememangnya kita tidak boleh menyatakan sejauh manakah dakwaan itu benar, tetapi kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz sememangnya kadang kala boleh "memudaratkan imej" PAS sebagai parti Islam. Atas sebab itulah, ada pihak di dalam PAS sendiri yang menaruh harapan agar ada perwakilan di dalam muktamar tahunan parti itu pada Jumaat ini akan menegur secara berhemah sikap Mursyidul Am tersebut. "Teguran bukanlah dengan bahasa yang kesat atau kasar tetapi berlapik dan berhemah. Kita mahu sampaikan mesej kepada beliau bahawa tindakan-tindakannya banyak meresahkan ahli-ahli PAS di peringkat umbi," kata seorang ahli PAS ketika berbual-bual dengan penulis. Kita tidak pasti sama ada perwakilan PAS mempunyai keberanian itu atau tidak, biarpun sebelum ini pemimpin mereka mendakwa perwakilan bebas bercakap apa sahaja isu. Tetapi apa yang pasti dari semasa ke semasa imej PAS semakin tergugat kerana kenyataan-kenyataan Nik Abdul Aziz. Adalah lebih baik jika Mentri Besar Kelantan itu menumpukan perhatian sebagai mursyidul am yang menasihatkan parti dalam sesuatu isu dan bukannya melakukan tindakan politik yang dilihat seolah-olah di dalam PAS ada "dua Presiden". — Utusan Malaysia |
Najib tak faham fungsi Putrajaya, dakwa AMK Posted: 30 May 2011 12:00 AM PDT Oleh Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 30 Mei — Sayap pemuda PKR mengecam tindakan Datuk Seri Najib Razak yang menggunakan platform Himpunan Sejuta Belia 2011 sambil menyifatkannya sebagai langkah terdesak Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan sokongan golongan muda bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13. Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lee Khai Loon, ucapan Najib yang meminta golongan muda untuk mempertahankan Putrajaya daripada Pakatan Rakyat disifatkan sebagai agenda politik sempit yang masih diamalkan BN. Dalam ucapan Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, Najib yang juga presidennya berkata Putrajaya harus dipertahankan dengan apa cara sekali pun. "AMK mengecam tindakan BN yang mengeksploitasikan aktiviti Himpunan Sejuta Belia sebagai platform untuk mempertahankan kuasa pemerintah yang penuh dengan agenda politik sempit selain itu perhimpunan itu juga membazirkan wang rakyat. "Tahun lepas, Datuk Seri Najib Razak pernah menyatakan bahawa BN akan mempertahankan Putrajaya walau apa pun terjadi semasa pada Mesyuarat Agung Umno. Kini, beliau telah menggunakan Himpunan Belia sebagai alat untuk menyerang parti pembangkang," kata Lee dalam satu kenyataan. Tegas beliau, apa yang diucapkan Najib itu membuktikan perdana menteri keenam itu tidak memahami fungsi Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara. "Keadaan ini telah menunjukkan perdana menteri tidak memahami fungsi Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan. "Di bawah konteks sebuah negara yang demokrasi, Putrajaya adalah milik rakyat Malaysia dan ia merupakan kawasan pentadbiran kerajaan yang dipilih oleh rakyat semasa pilihan raya, jadi Putrajaya bukan dimiliki mutlak oleh mana-mana parti politik," katanya. Bagaimanapun Lee percaya golongan muda tidak akan mudah terpedaya dengan agenda politik yang digunakan BN. "AMK amat kesal dengan Himpunan Belia yang telah dijadikan sebagai majlis menyokong BN dan kebanyakan anak muda dipercayai tidak mengetahui bahawa perhimpunan tersebut merupakan rapat umum BN untuk mempertahankan Putrajaya. "Akan tetapi, terdapat juga pemimpin-pemimpin anak muda dalam NGO menyatakan bahawa NGO tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana parti politik selepas mengambil bahagian dalam program tersebut," katanya. Tambah beliau, Najib sepatutnya menjadi teladan kepada golongan muda dan bukan meminta agar mempertahankan Putrajaya daripada jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat meletakkan sasaran untuk menawan kerajaan pusat dalam pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa. "Sebagai seorang perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak seharusnya menjadi satu teladan yang baik kepada anak muda dan bukan semata-matanya melaungkan bahawa hendak mempertahankan Putrajaya bersama-sama dengan golongan muda. "Selain itu, perdana menteri juga perlu membersihkan sistem pilihanraya yang tidak adil, kotor dan ketidaktelusan terlebih dahulu sekiranya ingin disokong oleh rakyat," kata Lee. Najib dalam perhimpunan yang diadakan di Putrajaya mahu mahu golongan muda mempertahankan Putrajaya daripada Pakatan Rakyat jika ingin melihat Malaysia menjadi negara maju. Beliau berkata kerajaan tidak akan berjaya dalam usaha transformasi tanpa sokongan daripada belia negara ini. "Ada yang panggil saya Bapa Transformasi, saya tidak tahu, tetapi anda semua adalah pemangkin perubahan," katanya. "Jika belia bersama dengan kerajaan, negara kita akan aman dan kita boleh menjadikan negara kita makmur," katanya. |
Umno Cuba 'Ngorat' Nik Aziz, Tawar Jawatan Menteri Posted: 29 May 2011 11:13 PM PDT '5 kali cuba pujuk Nik Aziz, tawar 3 menteri' Abdul Rahim Sabri Usaha memujuk PAS bekerjasama dengan Umno dilihat berterusan apabila Datuk Nik Aziz Nik Mat mendakwa beliau didatangi wakil Umno sebanyak lima kali untuk tujuan itu dalam masa terdekat. Menurut ahli parlimen Pasir Puteh Muhammad Husain, Nik Aziz mendedahkan perkara itu ketika bertemu dengan anak-anak Kelantan di Lembah Klang di Dengkil petang semalam. "Ya, betul, beliau sebut (ada) lima kali pertemuan. Ia berlaku dalam masa terdekat, (ia) mengenai isu kerjasama PAS dengan Umno," katanya yang hadir dalam majlis di dewan orang ramai di situ. Menteri besar Kelantan itu bagaimanapun didakwa tidak memperincikan individu itu sebaliknya hanya menyebutnya sebagai "berpangkat datuk" dan "pesara kerajaan". Muhammad juga berkata, Nik Aziz ada memberitahu, PAS ditawarkan tiga jawatan menteri sekiranya membentuk kerajaan perpaduan dengan parti Islam itu. Bagaimanapun menurut Muhammad, Nik Aziz menolak mentah-mentah pujukan itu kerana PAS sudah membuat perjanjian dengan DAP dan PKR. Muhamad juga menjelaskan, mursyidul am PAS itu memberitahu, usaha itu berlaku sejak April lalu apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kembali menjaja isu kerjasama kedua-dua parti Melayu itu. Difahamkan, majlis itu dihadiri kira-kira 500 orang. Turut serta Setiausa Agung PKR Saifuddin Nasution dan dua anggota parlimen, termasuk Abdul Aziz Abdul Kadir (Ketereh), Abdullah Sani (Kuala Langat). Sementara itu, beberapa pihak yang hadir dalam majlis minum petang itu mengesahkan ucapan Nik Aziz itu dan ada daripada mereka yang difahamkan terkejut dengan pendedahan itu. |
Jeng Jeng! Tarif Elektrik Naik? Posted: 29 May 2011 11:07 PM PDT Saham TNB digantung tengah hari, dipercayai berkaitan tarif KUALA LUMPUR, 30 Mei — Saham syarikat tenaga elektrik negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) digantung tengah hari tadi di sebalik laporan bahawa Putrajaya akan mengumumkan keputusannya mengenai tarif elektrik petang ini. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan mengadakan sidang media berkaitan aspek itu pada pukul 4 petang ini. Tiada maklumat lanjut diperoleh. — Reuters |
Tarif elektrik: Putrajaya umum keputusan petang ini Posted: 29 May 2011 11:02 PM PDT KUALA LUMPUR, 30 Mei — Kementerian Tenaga, Hijau dan Air akan mengadakan sidang media pada pukul 4 petang ini, tiga hari selepas kerajaan mengatakan bahawa ia sudah memuktamadkan kajian semula tarif elektrik, yang ramai meramalkan ia akan mengalami kenaikan. Pegawai-pegawai kementerian yang dihubungi Reuters tidak memberikan butiran lanjut. Bagaimanapun The Malaysian Insider difahamkan satu mesyuarat telah diadakan pagi tadi berhubung perkara tersebut. Laporan itu berkata kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan tarif dalam usahanya mengawal kos subsidi. Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan meneliti laporan hasil mesyuarat Majlis Ekonomi Negara (NEC) berhubung dengan tarif elektrik. "Apa pun kita akan tengok dulu. Kita tak boleh kata apa. Itu laporan... terpulang kepada mereka," kata Najib. Mengulas mengenai pendirian kerajaan mengenai subsidi serta kesannya kepada rakyat, beliau berkata: "Saya sudah maklumkan dasar kita tetapi banyak orang tidak berapa faham." "Ini bukan pengurangan subsidi tetapi sebenarnya kurangkan kenaikan subsidi. Subsidi bukan sahaja tetap diberikan tetapi bertambah daripada RM11 bilion kepada RM20 bilion. "Jadi, kerajaan terpaksa cari tambahan lebih RM8 bilion, bukan satu jumlah kecil," kata Najib yang juga Menteri Kewangan. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata isu berhubung semakan harga gas dan tarif elektrik telah dibincangkan dalam mesyuarat NEC, Jumaat lalu. |
Muktamar Ipoh dan permulaan persaingan Erdogan-ulama Posted: 29 May 2011 08:00 PM PDT Tahun 2008 ialah permulaan jelas persaingan dua kumpulan dalam PAS, yang menyaksikan satu haluan lain diambil dan ditegaskan lagi sebagai jalan masa depan bagi PAS. Kumpulan yang kemudian digelar Erdogan itu memperlihatkan sikapnya dengan jelas pada muktamar PAS di Ipoh, Perak, pada 2008 selepas gabungan yang kemudian ditubuh sebagai Pakatan Rakyat menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun itu. Artikel di bawah ini, yang ditulis selepas muktamar PAS di Ipoh pada Ogos 2008, merupakan satu catatan yang mendokumenkan permulaan persaingan ide dalam parti itu, yang kemudian menjadi isu utama dalam muktamar-muktamar selepas itu, termasuk yang akan datang awal Jun nanti. PAS menghadapi cabaran politik baharu Oleh HARIS ZALKAPLI Muktamar PAS yang berakhir 17 Ogos lalu menunjukkan satu gambaran yang jelas, iaitu parti pembangkang terbesar Malaysia ini berdepan satu cabaran yang hebat ketika ia melangkah memasuki Malaysia yang lebih liberal dan politik baharu yang lebih mencabar. Apa yang jelas dilihat dalam muktamar kali ini ialah dalam masa tiga dekad kebelakangan ini, PAS pertama kali berdepan ujian perbezaan pendapat terbesar, sehingga perbezaan pendapat ini dapat dilihat dengan jelas sepanjang muktamar, melalui reaksi pemimpin-pemimpin. Malah, satu-satunya perkara paling jelas dapat diperhatikan dalam muktamar kali ini ialah perbezaan pendapat dua kumpulan besar ini, iaitu kumpulan yang menentang rundingan dengan Umno, yang digelar kumpulan Erdogan (merujuk kepada perdana menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan), dan yang menyokong diketuai Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan kumpulan ulama. Perbezaan dan persaingan ini dapat diperhatikan ketika dua tokoh ulama PAS, Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Harun Din dan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masing-masing mengemukakan hujah mewakili pandangan dua kumpulan ini. Sangat jelas reaksi pemimpin-pemimpin ketika tokoh mewakili dan tidak mewakili mereka berucap. Kemudian, pada hari Sabtu ketika berlangsung penamaan calon untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh, pentas pimpinan lengang seketika ekoran perginya pemimpin-pemimpin kumpulan Erdogan ke Permatang Pauh, memberikan petanda jelas sokongan mereka terhadap pengukuhan Pakatan Rakyat yang bercita-cita menubuhkan kerajaan pusat bermula 16 September nanti. Kedua-dua kumpulan menegaskan bahawa haluan merekalah yang sepatutnya diambil, sekiranya PAS ingin meneruskan lagi perjuangan secara terhormat pada masa hadapan. Persaingan kedua-dua kumpulan ini kelihatan seimbang, dan membawa PAS ke satu persimpangan yang menuntut parti ini memilih haluannya ke masa hadapan. Muktamar di Ipoh minggu lalu hanyalah satu permulaan persaingan yang boleh disifatkan sebagai untuk menguasai jiwa parti ini. Dalam ucapan dasar yang bersifat agak defensif, presiden PAS menegaskan kekuatan parti itu, yang ditegaskan sebagai penyumbang kepada kemenangan besar pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu. Ucapan ini, yang dibuat menjelang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang memerlukan sokongan dan kerja-kerja oleh ahli-ahli PAS, menegaskan sekali lagi kenyataan Abdul Hadi menuntut PR lebih menghormati PAS dalam menentukan hala tuju gabungan itu. Kata Abdul Hadi, "Kita hendaklah sama-sama menyedari betapa mahalnya pengorbanan ahli dan penyokong PAS untuk mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu. Perlu juga diingat bahawa PAS telah memberikan sahamnya yang sangat besar kepada kemenangan ini dengan mempunyai paling banyak jentera parti di kalangan Pakatan Rakyat dan bekerja untuk parti lain di kalangan Pakatan Rakyat. Kita sama-sama bekerja dan menyedari bahawa kita menghadapi pilihan raya di medan yang tidak sama rata, disebabkan oleh amalan demokrasi yang dipenuhi kecacatan, penipuan, kezaliman dan lain-lain." Jelasnya lagi, "Kejayaan kita mengerahkan himpunan rakyat di bawah payung organisasi yang dinamakan Bersih bagi menyuarakan desakan pemulihan demokrasi dengan pilihan raya yang adil, demokratik dan telus, sebelum pilihan raya umum, menunjukkan kepada kita bahawa PAS bukan sahaja boleh menyertai pilihan raya, bahkan PAS juga mampu mengerah rakyat turun ke jalan raya. Ini membuktikan bahawa PAS tetap mempunyai kekuatannya yang tersendiri, yang tidak boleh diperkecilkan." Abdul Hadi juga menegaskan apa yang mendasari rancangan berbincang dengan Umno. Katanya, "Dalam pilihan raya yang lalu kita terus melaksanakan thahaluf siyasi, dengan parti-parti dan semua pihak yang bersahabat dengan kita. Keputusan ini tidak dibuat oleh mana-mana individu secara berseorangan dalam PAS." Katanya lagi, "Perkara yang sebegini besar telah menempuh proses perbincangan, penghujahan dan diperhalusi menerusi Jawatankuasa Politik dan Jawatankuasa PAS Pusat, dan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama." Bagaimanapun, keputusan kumpulan ulama berhubung hal ini masih dipertikaikan, antaranya berhubung apa yang disifatkan sebagai kesan-kesan negatif daripadanya, seperti kehilangan sokongan penyokong bukan Muslim. Perselisihan ini menunjukkan perbezaan tafsiran - yang mendasari sikap dan tindakan dalam pelbagai perkara - masih satu isu sentral dalam PAS. Respons kepada isu ini dapat didengari dalam ucapan pengerusi kelab penyokong PAS, Hu Pang Chaw yang menegaskan dengan cara agak diplomasi bahawa penyokong bukan Muslim PAS akan meninggalkan parti ini sekiranya PAS bekerjasama dengan Umno. Tetapi, presiden PAS sebelum itu turut menegaskan pentingnya kelab penyokong bukan Muslim kepada parti, dan menyarankan agar kelab itu diberi peranan lebih luas. Katanya, "Penubuhan kelab ini sahaja tidak memberi apa-apa makna sekiranya tidak diisi dengan sesuatu program yang bersesuaian. Program kemasyarakatan bersama dengan ahli Kelab Penyokong PAS perlu dipergiatkan di seluruh negara. Kita juga amat mengharapkan agar mereka dapat diberikan peranan yang lebih besar di dalam PAS pada masa hadapan." Menghadapi cabaran ini, PAS perlu menyedari kesilapannya tidak menyuburkan wacana dalam kalangan pimpinan teratasnya mengenai pelbagai isu kritikal yang kelihatan agak jauh dari medan permainan PAS, seperti falsafah dan pemikiran baharu yang berleluasa dalam masyarakat, dan isu global yang akhirnya akan turut tiba di Malaysia. Dapat dilihat hari ini, PAS kelihatan tidak bersedia menghadapi cabaran-cabaran permainan baharu yang jauh lebih sofistikated berbanding cara PAS yang lebih lurus dan literal. PAS wajar sekali mengaktifkan pemikirannya, memerhati semua perkembangan di semua lapangan aktiviti manusia, termasuk seni budaya, media, ekonomi dan sebagainya. PAS tidak boleh lagi menghadkan rujukan hanya kepada lingkungan biasanya yang kecil itu. Dan sebagai gerakan Islam, PAS perlu merapatkan hubungan dengan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia yang mungkin mempunyai pengalaman berharga untuk dikongsi. Muktamar yang baru lepas ini memberi pengajaran berguna bagi PAS, sekiranya parti pembangkang terkuat Malaysia ini bersedia mengambil pengajaran daripada pengalaman tersebut. Politik baharu yang lebih mencabar ini menuntut pemikiran dan pendekatan yang lebih sofistikated, termasuk melibatkan penyampaian mesej dan jenama yang ingin dipersembahkan kepada masyarakat. - 20 Ogos, 2008 http://siasahdaily.blogspot.com/2011/05/muktamar-ipoh-dan-permulaan-persaingan.html |
Isu KUIN, muktamar PAS perlu tangani kenyataan MB Kedah Posted: 29 May 2011 07:00 PM PDT Oleh ZOMBI KG PISANG Hanya beberapa hari menjelang muktamar PAS 2011, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku menteri besar Kedah yang mewakili PAS sebagai kerajaan negeri telah mengeluarkan satu kenyataan yang rata-rata dilihat tidak berhemah malah mampu mencalar maruah serta kredibiliti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku pemimpin tertinggi PAS. Kenyataan berbunyi, "Insaniah (Kolej Universiti Insaniah - KUIN) bukan hak PAS, presiden PAS bukan ada locus standi dalam bab ni. Insaniah hak kerajaan negeri," dikeluarkan oleh menteri besar Kedah sebagai mengulas isu enam orang pelajar KUIN yang dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak pentadbiran kolej universiti tersebut. Kenyataan berkenaan telah dilaporkan oleh Harakahdaily dan dipetik oleh beberapa laman web lain seperti Malaysiakini. Menurut seorang pemerhati politik tempatan, kenyataan tersebut boleh disalah anggap sebagai memperlekeh wibawa jawatan presiden malah PAS itu sendiri dalam keadaan menteri besar Kedah itu adalah wakil yang dilantik oleh PAS untuk memerintah kerajaan negeri Kedah. Jika kenyataan itu dijadikan sandaran, maka apakah locus standi semua ahli politik di dalam negara ini sama ada daripada kalangan parti pemerintah atau parti pembangkang untuk mengulas atau mengkritik apa-apa isu bersabit dengan institusi pengajian tinggi apabila diminta berbuat demikian oleh mana-mana pihak? Jika keperluan locus standi yang disebut oleh menteri besar Kedah itu barangkali merujuk kepada aspek undang-undang dalam keadaan pelajar-pelajar terbabit memilih pendekatan penyelesaian bukan undang-undang iaitu merujuk kepada pemimpin tertinggi parti yang memerintah negeri Kedah, adakah beliau akan memberikan jawapan yang sama sekiranya pelajar-pelajar terbabit bertindak merujuk perkara tersebut kepada Sultan Kedah, yang juga dari aspek undang-undang tidak mempunyai locus standi? Tidak diketahui jika kenyataan Azizan itu berkaitan dengan perebutan jawatan sempena muktamar PAS 2011, walhal fakta mengesahkan bahawa menteri besar Kedah itu tidak dicalonkan untuk bertanding jawatan presiden PAS oleh mana-mana kawasan. Ada pun hanya terdapat seorang sahaja yang diketahui umum sejak beberapa ketika begitu tegar dengan dalilnya supaya ahli-ahli PAS seluruh negara menabalkan Azizan Abdul Razak sebagai presiden PAS jika mahukan PAS berjaya berkuasa di Putrajaya. Orang yang sama juga sejak sekian lama begitu ghairah mengkritik malah ke tahap memperlekeh kepimpinan Abdul Hadi sebagai presiden PAS. Orang itu merupakan seseorang berjawatan profesor bidang undang-undang perbandingan (comparative laws) iaitu salah satu daripada puluhan cabang bidang undang-undang. Profesor ini juga dianggap sebagai pakar salah satu lagi cabang undang-undang iaitu undang-undang perlembagaan (constitutional laws) malah sering menulis terutamanya di akhbar-akhbar alternatif serta memberi pandangannya berkaitan isu-isu perlembagaan. Laman web Malaysiakini turut melaporkan bahawa akibat kecewa dengan cara pengendalian isu tindakan tataterbib terhadap enam mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah, sekumpulan mahasiswa mengugut untuk menggegarkan isu itu dalam muktamar PAS 2011. Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, sekiranya dalam tempoh terdekat kepimpinan PAS masih berdiam, pihaknya akan memastikan ia menjadi antara isu utama yang dibahaskan. Zombi Kg Pisang ialah nama samaran seorang pembaca SiasahDaily. Beliau percaya pada motto "Tiada sokongan tanpa kritikan." |
Najib Silap Baca Golongan Muda, Kata Anwar Posted: 29 May 2011 06:00 PM PDT Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumpulkan belia di Putrajaya untuk meraih undi mereka memperlihatkan rasa gusar beliau terhadap kebangkitan generasi muda bagi menuntut perubahan di negara ini , kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Najib menggesa golongan belia Malaysia supaya membantunya mempertahankan Putrajaya agar BN terus berkuasa ketika melancarkan Himpunan Sejuta Belia sempena Hari Belia Negara 2011 yang hanya dihadiri sekitar 8,000 belia sahaja, semalam. Hakikat ialah persatuan-persatuan belia itu dibawa untuk mengisi pelbagai program riadah yang dianjurkan bersama oleh agensi-agensi persekutuan dan badan-badan korperat sempena Hari Belia Negara. Anwar malam tadi mengupas ucapan Najib di majlis sambutan Hari Belia itu yang dialas dengan gesaan supaya belia menyokong Umno-BN sebagai syarat menikmati kemakmuran. Kenyataan sedemikian, kata Anwar hanya menunjukkan rasa terdesak Perdana Menteri. Berucap kepada lebih 10,000 peneroka Felda dan penduduk kampong di Kerdau, Pahang semalam, Anwar berkata Najib tersilap membaca gerak hati anak muda. "Dia kata di Mesir satu juta orang muda tuntut perubahan. Jadi di sini dia minta orang muda sokong Barisan Nasional. "Orang muda ini dikaitkan dengan idealisme, cita-cita murni. Orang muda ini benci dengan kemungkaran, benci dengan rasuah, benci dengan kezaliman. "Najib silap. (Sebenarnya belia) yang minta perubahan tumbangkan kerajaan yang ada. Jadi saya nak sambut dengan katakan sudah sampai ketikanya anak muda Felda, anak muda Malaysia bangkit tuntut perubahan," kata Anwar. Anwar menegaskan perubahan itu amat perlu kerana kerajaan yang ada sekarang mengharapkan kepada pengitaran fitnah semata-mata untuk menarik sokongan bagi mengekalkan kuasa. Anwar berkata beliau tidak menuduh Umno sebagai parti yang tidak pernah membuat apa-apa. Namun yang dipersoalkan adalah kemungkaran dan kezaliman yang menyebabkan rakyat menderita manakala pemimpin hidup dalam keadaan kaya-raya. "Saya tidak samakan Umno dengan Firaun, Firaun pun buat bangunan dan jalan, negara komunis, Zimbabwe, mahupun Bangladesh pun buat pembangunan, soalnya kita ini mahu nilai apa kekurangan besar yang membolehkan sebuah perubahan kuasa itu perlu." katanya. Anwar mengajak rakyat supaya merenung hala tuju negara di bawah pemerintahan Umno-BN dan tidak termakan serta mudah terperdaya dengan dakyah dan gula-gula politik yang disebarkan parti itu. "Saya tidak pertikai hak sesiapa untuk sokong parti mana-mana, tetapi kita sanggupkah pertahankan kezaliman, bolehkah kita diam tentang rasuah, mampukah kita biarkan fitnah, lucah termasuk qazaf dan semulanya berlaku?" tanya Anwar. |
Anwar: Belia tak akan terima seruan Najib pertahan Putrajaya ‘rasuah’ Posted: 29 May 2011 05:00 PM PDT Oleh Shazwan Mustafa Kamal PETALING JAYA, 29 Mei — Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pengundi muda tidak akan menyokong BN pada pilihan raya umum ke-13, yang dijangka dipanggil dalam waktu terdekat, meskipun pentadbiran Najib menyeru peserta Himpunan Sejuta Belia mempertahankan Putrajaya daripada pembangkang. Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) ini berkata tiada gerakan belia yang akan menyokong sebuah pentadbiran yang diselubungi amalan kronisme dan rasuah di peringkat paling tinggi kuasa. "Saya tidak takut sama sekali," kata beliau pada sesi bersama 200 profesional muda di sini petang ini. "Tiada pergerakan belia akan menyokong sistem yang merosot akhlak, rasuah, sudah usang. Saya pasti mereka (pengundi muda) tidak akan mempertahankannya," tegas Anwar. Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa hadirin yang menyertai Himpunan Sejuta Belia mempertahankan Putrajaya daripada pembangkang jika ingin melihat Malaysia menjadi negara maju. PR meletakkan sasaran untuk menawan kerajaan pusat dalam pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa. Putrajaya dilihat sebagai simbol kerajaan pusat dan dijadikan ukuran prestasi sokongan oleh kedua-dua BN dan PR. Najib berkata, beliau gembira kerana berbanding kebangkitan rakyat di Mesir awal tahun ini menyaksikan kejatuhan Hosni Mubarak, sejuta orang muda berhimpun di Putrajaya untuk menyokong pentadbirannya. "Di Malaysia, satu juta belia berhimpun untuk mempertahankan Putrajaya," katanya. "Adakah anda bersedia untuk mempertahankan Putrajaya?" tanya beliau berulang kali ketika berucap di hadapan sekitar 8,000 orang hadirin. Dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, Najib yang juga presidennya berkata, Putrajaya harus dipertahankan dengan apa cara sekali pun. |
Ibrahim Ali ahli politik Malaysia paling buruk, kata Anwar Posted: 29 May 2011 03:45 PM PDT Oleh Shazwan Mustafa Kamal PETALING JAYA, 29 Mei — Datuk Ibrahim Ali, yang mengetuai pertubuhan bukan kerajaan Perkasa sejak tiga tahun lalu, merupakan seorang ahli politik Malaysia yang paling buruk, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu mendakwa presiden Perkasa itu cuba melaga-lagakan umat Islam dan Kristian antara satu sama lain dengan mengisytiharkan sanggup mengadakan perang jihad terhadap komuniti Kristian. Tindakan-tindakan Ibrahim, menurut Anwar, dilakukan atas restu Umno. "Masalahnya ialah sistem yang kita ada bertolak ansur dan menggunakan mereka seperti Ibrahim Ali," kata Anwar ketika sesi ramah mesra dengan golongan profesional di sini petang ini. "Ketepikan pelawak-pelawak ini," kata Anwar. Dalam ceramahnya tiga minggu lalu, Ibrahim memberi amaran kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan perang jihad jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini. Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu berkata, beliau bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam. Bagaimanapun beberapa pemimpin dari BN dan PR membantah tegas kenyataan tersebut dan meminta agar tindakan dikenakan terhadap Ibrahim. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pernah berkata, apa yang dikatakan Ibrahim itu tidak mewakili keseluruhan masyarakat Melayu. Pertikaian antara agama Islam dan Kristian timbul apabila Utusan Malaysia menyiarkan laporan bertajuk "Kristian agama rasmi?" pada 7 Mei lalu, mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu. Akhbar milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin DAP. Bagaimanapun pemimpin DAP dan pemimpin Kristian telah menafikannya. Dalam kenyataan terbaru hari ini, Ibrahim yang bertanding dalam pilihan raya umum 2008 atas tiket PAS di Kelantan berkata, pada pemilihan parti itu minggu depan berhadapan dengan nasib "menang sorak kampung tergadai" di arena politik tempatan. Ibrahim juga mendakwa yang akan untung ialah DAP dan Anwar. PR dianggotai DAP, PAS dan PKR. |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan