Isnin, 9 Mei 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Video: Laksana Perubahan,Selamatkan Malaysia

Posted: 09 May 2011 03:00 PM PDT





Apa salah Kristian jadi PM, kata Bernard Dompok

Posted: 09 May 2011 08:22 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok berkata, tidak menjadi masalah jika perdana menteri Malaysia itu seorang beragama Kristian.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) itu menegaskan Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut hanya perdana menteri yang beragama Islam yang boleh menerajui kerajaan.

"Bagi persoalan seorang perdana menteri Kristian, apa masalahnya, saya tidak nampak.

"Lagipun Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan soal agama dalam soal melantik perdana menteri, satu-satunya syarat adalah mendapat sokongan dalam Parlimen.

"Jika orang Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut, Kelabit, Cina atau India yang memenuhi peruntukan Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan, dia boleh menjadi perdana menteri negara ini," kata Dompok.

Tambah beliau, kedudukan Islam sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia telah diterima semua pihak.

"Semua orang bukan Islam menerima Islam dalam Perlembagaan dan di Malaysia kita bebas untuk mengamalkan agama masing-masing," katanya.

Bagaimanapun tegas Dompok, laporan Utusan Malaysia bertajuk "Kristian Agama Rasmi?" tanpa mengesahkan kesahihannya akan menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum dalam negara.

"Bagaimana sebuah akhbar boleh menyiarkan laporan dengan memetik daripada penulis blog? Ia tidak bertanggungjawab. Saya telah beberapa kali ke gereja dan selama ini mereka berdoa yang baik mengenai negara, pemimpin dalam kerajaan dan rakyat Malaysia.

"Sesungguhnya doa yang dibuat itu adalah untuk kesejahteraan negara dan pemimpin-pemimpin," katanya.

Utusan Malaysia kelmarin dengan tajuk "Kristian Agama Rasmi?" mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri daripada kalangan penganut itu.

Utusan Malaysia juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.

Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan kelmarin.

Bagi pakar undang-undang Prof Abdul Aziz Bari berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut hanya perdana menteri beragama Islam boleh menerajui kerajaan pusat dan keperluan seperti itu bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

"Peruntukan bahawa perdana menteri mesti seorang yang beragama Islam tidak selaras peruntukan di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Bakar api perkauman, mirip Ops Lalang- Mat Sabu

Posted: 09 May 2011 08:02 AM PDT

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Pas, Mohammad Sabu berkata tidak mustahil pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat menjalankan Operasi Lalang ke 2, ekoran tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan pimpinan Umno-BN sejak kebelakangan ini.

Beliau merujuk laporan akhbar Utusan Malaysia, Sabtu lalu yang sengaja membakar sentimen Melayu-Islam, dengan mendakwa wujud agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi di negara ini.

"Tindakan mereka kini mirip seperti yang terjadi pada 1987, iaitu tuntutan ekstrim oleh kelompok tertentu dalam parti komponen Barisan Nasional.

"Waktu itu (1987) Lee Kim Sai (Ketua Pemuda MCA) menuntut supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada orang Cina. "Tetapi tangkapan tidak dibuat kepada mereka, sebaliknya ahli politik pembangkang dan pemimpin NGO yang disumbat dalam ISA," kata Mohammad yang turut ditahan ketika operasi tersebut.

Menurut Mat Sabu, Najib kini mula menjalankan peranan yang pernah dimainkannya pada 1987 sewaktu menjadi Ketua Pemuda Umno, dengan mengapi-apikan sentimen permusuhan keagamaan dan kaum di kalangan rakyat Malaysia.

Ia ditambah dengan beberapa kenyataan pimpinan Barisan Nasional sejak mutakhir ini, termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang membuat kenyataan akan menyertai KEADILAN sekiranya parti itu bersedia menggugurkan hak keistimewaan orang Melayu.

Justeru itu, katanya, tidak menghairankan apabila Umno melalui Utusan Malaysia cuba memarakkan lagi kebencian orang Melayu-Islam dengan memapar laporan pada muka depannya yang bertajuk 'Kristian Agama Rasmi?' 7 Mei lalu.

"Sekarang, Utusan Malaysia mengapi-apikan perasaan orang Melayu seolah-olah Pakatan Rakyat tidak peduli dengan kedudukan agama rasmi Persekutuan, iaitu agama Islam.

"Ini adalah putar belit fakta dan Ketua Pengarang Utusan Malaysia sepatutnya dipanggil polis untuk memberikan keterangan," tegas Mohammad Sabu.

Sementara itu, seorang lagi bekas tahanan Operasi Lalang, Suhaimi Said menasihati pimpinan Pakatan Rakyat untuk tidak secara terbuka memberikan kenyataan berhubung isu sama bagi mengelakkan manipulasi media Umno-BN.

Suhami adalah salah seorang pemimpin pembangkang yang turut ditahan pada Ops Lalang 1987.

"Barisan Nasional sangat terdesak sekarang ini. Mereka merancang perkara yang lebih jahat berbanding apa yang berlaku sekarang.

"Pertama, mereka akan terus menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan merekacipta fitnah yang lain. Dan pemimpin Umno-BN akan berlakon seolah-olah tiada apa yang berlaku," ujarnya yang merupakan Pengerusi Biro Felda dan orang Asal KEADILAN.

"Ini adalah permainan mereka. Momentum rakyat untuk mengubah pemerintah memang ada, bahkan orang Umno sendiri meluat dengan berita yang sampai kepada mereka.

"Kita jangan terperangkap dengan isu perkauman dan sentimen agama yang dicipta," ujarnya.

PRU-13: Umno adakan pilihan raya olok-olok Julai

Posted: 09 May 2011 07:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Umno akan mengadakan simulasi pilihan raya olok-olok sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 pertengahan Julai ini.

Proses itu akan melibatkan semua peringkat jentera parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

Menurut Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, langkah itu diambil bagi melancarkan persiapan parti menjelang pilihan raya umum ke-13.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta Umno Selangor membuat persiapan menghadapi pilihan raya.

Desas-desus menyebut pilihan raya akan diadakan sebelum Ramadan ataupun awal Oktober.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan pilihan raya umum sebelum Ramadan ini.

Bagaimanapun menurut Tengku Adnan, simulasi tersebut hanya melibatkan jentera Umno.

"BN akan dibuat secara berasingan dan akan diputuskan dalam mesyuarat BN akan datang," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Mengenai komen bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar BN tidak menggadakan pilihan raya umum ke-13 tahun ini, Tengku Adnan berkata pandangan bekas presiden Umno itu akan diambil kira.

"Dalam Majlis Tertinggi Umno yang lepas pun kita ada bincang mengenai isu ini, kita serahkann kepada Perdana Menteri untuk buat keputusan," katanya.

SU Agung setuju pandangan Mahathir Umno lemah

Posted: 09 May 2011 06:30 AM PDT

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani


KUALA LUMPUR, 9 Mei – Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersetuju dengan pandangan bekas ketua parti itu, Tun Dr Mahathir Mahathir bahawa komponen teras BN itu kini lemah sambil menambah, ia perlu menjauhkan diri daripada "hubungan-hubungan yang lemah."

Semalam, bekas presiden Umno itu berkata parti itu sangat lemah sekarang disebabkan kewujudan pemimpin-pemimpin lemah, yang tidak lagi berjuang untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Dr Mahathir juga memberi amaran BN akan berhadapan lagi dengan prestasi buruk yang disaksikan pada pilihan raya 2008 jika parti itu tidak menjauhkan diri daripada rasuah dan nepotisme.

Bagaimanapun Tengku Adnan (gambar) mempertahankan Datuk Seri Najib Razak dan menekankan presiden sedang bekerja keras untuk memperkukuhkan parti.

"Ya, ia perkara baik yang dikatakan oleh bekas presiden saya. Beliau adalah betul. Ada beberapa hubungan lemah dalam Umno sendiri di mana presiden sedang berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan itu.

Dr Mahathir memimpin Umno selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.

"Itu sebabnya perdana menteri mengambil tindakan tegas," kata beliau.

Sebenarnya kata Adnan, Najib sendiri mahu meminda perlembagaan Umno dan mahu memudahkannya mudah agar undi akar umbi tinggi.

"Saya memberitahu beliau bahawa ia kemungkinan satu masalah bagi penyandang. Beliau berkata tidak dan biarkan agar ia lebih bebas," kata beliau kepada pemberita pada sidang media hari ini.

Akhir 2009, Umno meminda perlembagaannya dan memansuhkan sistem kuota.

Pindaan itu membolehkan 60,000 perwakilan berbanding 2,600 sebelum itu.

"Ini perkara-perkara yang saya percaya orang ramai akan faham apa yang presiden sedang cuba lakukan.

"Ya, saya tidak boleh menafikan ada kelemahan hubungan, bukan sahaja bagi Umno, tetapi juga Barisan Nasional, malah pembangkang juga lemah berbanding dengan kita buat masa sekarang," katanya.

Amaran Dr Mahathir itu mirip kritikan yang beliau pernah melontarkan ke arah penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi beberapa tahun selepas melepaskan jawatannya pada Oktober 2003.

Abdullah meletakkan jawatan pada 2009 dengan menyambut baik kepimpinan Najib.

Tengku Adnan mengulangi bahawa Najib melakukan sedaya upaya bagi Malaysia menjadi sebuah negara yang bukan sahaja bagi Melayu tetapi juga bagi komuniti-komuniti lain agar turut berbangga.

"Ia adalah cabaran sebenar ketika harga barangan dan minyak semakin meningkat. Tolong berikan perdana menteri satu peluang dan saya percaya beliau sedang cuba sedaya upaya," katanya.

Bagaimanapun Tengku Adnan enggan mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa kerajaan harus menangguhkan pilihan raya umum.

Katanya, perkara itu akan ditentukan oleh Najib.

SPR Jangan guna persempadanan untuk manipulasi undi – Fuziah

Posted: 09 May 2011 06:00 AM PDT

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diingat agar tidak menggunakan persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk manipulasi undi yang memihak kepada Umno-Barisan Nasional.

Demikian dinyatakan Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh sewaktu mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa suruhanjaya itu sedang membuat kajian awal persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Abdul Aziz memberi alasan persempadanan itu perlu dilakukan kerana tempoh lapan tahun selepas kali terakhir persempadanan semula kawasan pilihan raya tamat 21 Mac lepas.

Menurut Fuziah, persempadanan semula pilihan raya hanya boleh dilakukan dengan syarat jumlah kerusi di Parlimen juga ditambah pada masa yang sama.

Penambahan kerusi juga hanya boleh dilakukan jika SPR berjaya membuktikan jumlah penduduk dalam sesuatu kawasan bertambah.

"Misalnya kawasan A ada 75 ribu penduduk dan kawasan B juga ada 75 ribu penduduk, maka kita boleh tambah lagi satu kawasan kerusi agar setiap kerusi Parlimen ada kira-kira 50 ribu penduduk.Hanya jika kerusi ditambah, baru lah persempadanan semula boleh dilakukan," kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Bagaimanapun katanya, BN berkemungkinan besar tidak akan memperolehi cukup sokongan untuk berbuat demikian.

"Untuk menambah jumlah kerusi ia memerlukan sokongan dua pertiga dari Ahli Parlimen dan saya tidak rasa mereka (BN ) akan mampu berbuat demikian," ujarnya.

Tambahnya, seandainya SPR tetap ingin melakukan persempadanan semula tanpa penambahan kerusi, ia tidak mustahil merupakan satu lagi manipulasi undi oleh BN.

"Kita khuatir jika ia benar-benar dilaksanakan, ia merupakan penyalahgunaan undang-undang untuk memastikan BN terus berkuasa.

"Justeru, saya ingatkan SPR agar tidak melakukan sebarang 'gerrymandering' untuk memberikan kelebihan yang tidak adil kepada BN," kata Fuziah.

Bercakap lebih lanjut, Fuziah berkata beliau berani membuat dakwaan itu kerana terdapat bukti SPR cuba memindahkan pengundi pada pilihan raya kecil sebelum ini, demi memastikan kemenangan Umno-BN.

"Pilihan raya kecil Hulu Selangor yang lepas, Kampung Tanjung yang merupakan kubu kuat Pakatan Rakyat dipindahkan secara senyap-senyap ke Parlimen Selayang (demi memastikan BN menang).

"Malah, pada tahun 2004 juga, kem tentera Batu 9 di Kuantan yang terdapat lebih 10,000 anggota tentera udara dipindah ke Parlimen Pekan yang merupakan kawasan Parlimen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," kata Fuziah.

Menurutnya lagi, KEADILAN kini juga mendapat laporan kira-kira 14,000 pengundi di Selangor ditukarkan daerah mengundi tanpa pengetahuan mereka sendiri.

"Pengundi akan kecewa dan bosan kerana mereka ditukar tempat mengundi sesuka hati dan ini mungkin memberi kesan kepada Pakatan Rakyat," kata Fuziah.

Tahniah! Harga gula naik 20 sen sekilo, kuat kuasa esok

Posted: 09 May 2011 05:30 AM PDT

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Harga gula mengalami kenaikan 20 sen sekilogram kepada RM2.30 berkuat kuasa esok.

Kenaikan itu sebahagian daripada langkah rasionalisasi, yang akan membolehkan kerajaan menjimatkan RM116.6 juta.

Minggu lalu, harga petrol RON97 mengalami kenaikan 20 sen seliter.

Umno terdesak raih sokongan Melayu-Islam

Posted: 09 May 2011 05:00 AM PDT

KUALA LUMPUR: Umno cuba mencetuskan ketegangan agama dan kaum dengan menjadikan media mereka, Utusan Malaysia bagi menyebar propaganda murahan, kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) KEADILAN, Ahmad Kassim.

Katanya, laporan Utusan menyiarkan berita yang mengundang sensitiviti kaum dan agama, dilakukan bagi mengalih perhatian rakyat, di saat Umno semakin kehilangan sokongan orang Melayu-Islam.

"Tindakan ini menunjukkan betapa terdesaknya Umno-BN untuk meraih sokongan orang Melayu-Islam hingga terpaksa membuat propaganda murahan, setelah tidak yakin akan mendapat undi daripada masyarakat Cina dan masyarakat minoriti lain.

"Motifnya adalah sama, iaitu cuba menarik semaksimum mungkin sokongan orang Melayu kepada Barisan Nasional," katanya kepada Keadilandaily.com.

Utusan dalam laporannya, mendakwa wujud usaha menjadikan kristian sebagai agama rasmi, dengan mengheret nama pimpinan Dap dalam dakwaan itu.

Ia mendapat kecaman keras Dap dan pimpinan Pakatan Rakyat yang menyifatkan berita itu berunsur fitnah dan berniat jahat.

Menurut Ahmad Kassim, sentimen kebencian kaum dan agama itu kemudian disemarakkan lagi oleh pertubuhan rasis seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa, yang mengapi-apikan kemarahan orang Melayu.

"Ini merupakan tindakan lanjut berikutan kegagalan pertubuhan Perkasa yang sebelum itu kononnya mahu menghimpunkan 30,000 orang Melayu di Kedah, dua minggu lalu. Walaupun dengan kehadiran penasihatnya Tun Dr Mahathir, mereka tidak mampu mengumpul lebih dari 2,000 orang pun, katanya.

"Mereka inilah sebenarnya yang menjadi pengkhianat apabila cuba mencetuskan ketegangan. Namun saya yakin rakyat Malaysia tidak mudah diperbodohkan," katanya kepada Keadilandaily.

Oleh kerana itu, katanya, Umno cuba memberikan gambaran Pakatan Rakyat mengenepikan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia.

Sedangkan, Pakatan Rakyat, katanya sejak dulu tegas mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi seperti mana yang terkandung dalam perlembagaan negara.

"Secara jelas dan didokumenkan, jaminan Pakatan Rakyat untuk mempertahankan perkara asas di dalam perlembagaan Malaysia iaitu kedaulatan Institusi Diraja, agama Islam sebagai agama rasmi, hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dipertikai," ujarnya.

Tambah beliau, selepas meniup api kebencian yang berupaya mencetuskan pertelagahan kaum dan agama, Umno cuba berlagak hero untuk menjernihkan keadaan.

Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini yang meminta semua pihak bertenang dan tidak mengekploitasi isu agama itu.
"Selepas memanaskan negara dengan isu yang menegangkan perhubungan antara kaum atau pun penganut sesuatu agama dengan yang lain, mereka cuba berlagak sebagai hero bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Ini adalah langkah terakhir oleh pihak yang menggelabah dan panik," katanya.

Contohi Umar Abdul Aziz jika Pakatan perintah – Anwar

Posted: 09 May 2011 05:00 AM PDT

KUALA PILAH: Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Pakatan Rakyat akan mencontohi tata kelola yang diamal pemerintah Islam, Umar Abdul Aziz jika gabungan itu diberi mandat memerintah Malaysia, pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut Anwar, antara kaedah pentadbiran yang diamal Umar adalah memastikan hak rakyat sentiasa dipelihara dan kekayaan negara diagih secara adil kepada golongan miskin.

"Suatu ketika, Menteri Kewangan memberitahu Umar Abdul Aziz bahawa negara memiliki emas, gandum dan wang yang begitu banyak. Menteri bertanya mahu dibuat apa dengan harta sebanyak itu.

"Umar lalu mengarahkan Menterinya itu menyenaraikan ke semua rakyat yang masih miskin di seluruh wilayah dan beri zakat bermula dari rakyat yang paling miskin," katanya semasa berceramah di Kampung Pilah Tengah, Kuala Pilah malam tadi yang turut disertai pimpinan Pakatan Rakyat Pusat dan Negeri Sembilan.

Kira-kira 5,000 rakyat pelbagai kaum hadir walaupun kawasan tersebut terletak jauh dari pusat bandar selain sekatan polis di laluan utama menuju ke situ.

Anwar yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kewangan berkata, dalam masa dua tahun setengah pemerintahan Umar, tiada seorang pun rakyatnya yang miskin.

Bahkan katanya, pemerintah Umar turut membiayai perkahwinan kepada golongan muda yang mahu mendirikan rumah tangga.

Anwar dalam ucapannya turut membandingkan pemerintahan mantan Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memerintah Malaysia selama lebih 20 tahun.

"Dua tahun kerajaan Islam perintah, tiada lagi orang miskin. Mahathir perintah 22 tahun, orang Melayu lagi banyak miskin," katanya yang disambut ketawa hadirin.

Umar atau nama sebenarnya Abu Jaafar Umar bin Aziz merupakan cucu kepada Saidina Umar Al-Khatab, di lahirkan pada 61 Hijrah.

Sebagai pemimpin rakyat, kehidupan Umar Abdul Aziz semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama sahaja sebagaimana kehidupannya semasa menjadi rakyat biasa.

Rakyat Malaysia di Singapura, bawa balik angin perubahan- Rafizi

Posted: 09 May 2011 04:30 AM PDT

KUALA LUMPUR: Angin perubahan yang melanda Singapura, diharap akan memberi kesan kepada hampir setengah juta rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, ini kerana majoriti rakyat Malaysia di Singapura terutama warga Johor, akan kembali untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang.

"Kita berharap angin perubahan yang melanda Singapura, dibawa balik oleh rakyat Malaysia yang berkerja di sana, terutama oleh rakyat Johor pulang ke negeri kubu kuat Umno-Barisan Nasional.

"Saya pasti BN tidak tidur lena selepas ini memikirkan gelombang rakyat yang semakin kuat selepas PRU pada 2008," kata Rafizi ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Beliau mengulas kemenangan parti pembangkang, Parti Pekerja (WP) yang berjaya memecah tradisi pilihan Raya Singapura yang selama ini didominasi parti pemerintah negara itu, Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Rafizi, yang juga Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor menyifatkan kemenangan parti Pekerja Singapura sebagai kejayaan besar.

Katanya, ia menggambarkan hasrat rakyat Singapura yang membuak-buak untuk menolak parti pemerintah yang sejak puluhan tahun rakus memegang kuasa.

Keadaan itu, tambahnya, sama seperti situasi politik yang berlaku di Malaysia.

"Apabila terlalu lama memegang tampuk pemerintahan, mereka lupa menjaga kebajikan rakyat dek kerana mengejar kemajuan yang mengkayakan sesetengah golongan sahaja.

"Kalau dulu, Parti Tindakan Rakyat (PAP) berjaya takutkan pembangkang sehingga tiada calon yang berwibawa mahu menyertainya. Tetapi apa yang berlaku sekarang, calon-calon pembangkang juga terdiri daripada golongan profesional yang membantu mendapatkan sokongan daripada rakyat Singapura," ujarnya.

Kata beliau, masalah yang dihadapi Singapura mempunyai persamaan dengan Malaysia terutamanya dari segi isu ekonomi dan peningkatan kos hidup.

"Malaysia dan Singapura ada beberapa persamaan terutamanya isu dan kempen pembangkang. Isu yang ketara disuarakan oleh golongan muda adalah mengenai pengagihan ekonomi kerajaan yang tidak sekata kerana hanya segolongan sahaja yang mampu merasai kekayaan.

"Walaupun Singapura lebih maju dua kali ganda daripada Malaysia kerana mencatatkan tangga kedua tertinggi di Asia dalam bidang ekonomi, namun isunya tetap sama kerana taraf hidup yang terlalu tinggi terutamanya harga hartanah sehingga tidak mampu dibeli golongan muda," katanya.

Dalam pilihan raya Singapura yang berlangsung minggu lalu, Pembangkang menang kawasan Pilihan Raya Kawasan Tunggal (SMC) sebanyak enam kerusi dari 87 kerusi yang dipertanding.

Bilangan kerusi yang dimenangi Parti pemerintah PAP pula merosot dari 82 kepada 84 kerusi semasa pilihanraya 2006.

Jumlah undi popular keseluruhannya jatuh dari 67% kepada 60% dalam tempoh yang sama.

Dalam satu saingan paling sengit, Menteri Luar Singapura George Yeo dan empat calon PAP yang lain tewas kepada Parti Pekerja di dalam Kawasan Pilihan Raya Kumpulan (GRC) Al-Junied, memaksa beliau tersingkir dari kabinet.

Kawasan Aljunied, yang mempunyai 143,000 pengundi itu jatuh kali pertama ke tangan pembangkang, sepanjang sejarah politik negara itu.

PM harus Muslim selagi Raja-raja Melayu wujud, kata Perkasa

Posted: 09 May 2011 04:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Sayap Wanita Perkasa berkata selagi Perlembagaan Persekutuan menjamin kedaulatan Raja-raja Melayu secara automatik perdana menteri mestilah seorang beragama Islam.

Ketua Wiranitanya Zaira Jaafar berkata, walaupun tiada peruntukan yang mengatakan seorang perdana menteri mesti beragama Islam tetapi dalam Perlembagaan Persekutuan jika difahami secara holistik, Raja-raja Melayu beragama Islam, begitu juga perdana menteri.

"Jika kita merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri tidak semestinya beragama Islam tapi peruntukan itu perlu dibaca bersama dan bukan diasingkan kerana kesemua peruntukan itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

"Di bawah Artikel 181 kedaulatan Raja-raja Melayu, kami faham raja mesti Melayu dan beragama Islam," Zaira (gambar, tengah) kata kepada pemberita selepas membuat aduan polis berhubung laporan Utusan Malaysia yang mengatakan ada cubaan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini.

Utusan Malaysia kelmarin dengan tajuk "Kristian Agama Rasmi?" mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri daripada kalangan penganut itu.

Utusan Malaysia juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.

Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan kelmarin.

Berdasarkan pandangan pakar undang-undang Prof Dr Abdul Aziz Bari, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan hanya perdana menteri beragama Islam boleh menerajui kerajaan pusat dan keperluan seperti itu bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata walaupun perdana menteri bukan beragama Islam, namun ia boleh menjamin hak orang Melayu dan agama Islam seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Zaira menafikan Perkasa mahu membangkitkan terus dakwaan itu, sebaliknya menegaskan hanya mahu mengetahui sekiranya tuduhan itu benar atau tidak.

"Kita telah lihat banyak laporan polis dan kami mengambil sikap yang sama hari ini kerana ia adalah isu besar dan kami tahu ramai yang tidak faham akan perlembagaan. Baca banyak kali tapi tidak faham.

"Kami bukan mahu memperbesarkan isu ini tapi kami mahu polis ambil tindakan. Kami mahu tahu sama ada laporan itu benar atau tidak. Jika ia benar ia akan jadi masalah yang besar," katanya.

Zaira juga mengaku bahawa Islam bukan agama rasmi tapi sejak ia menjadi agama dalam Perlembagaan Persekutuan, ia harus diterima semua pihak.

"Mereka perlu faham dan terima Islam bukan agama rasmi tapi Islam adalah agama dalam Perlembagaan dan mustahil untuk memindanya. Islam diletakkan dalam kedudukan yang istimewa, paling tinggi dan ia dilindungi Perlembagaan, juga melalui undang-undang dan Raja-raja Melayu.

"Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia dan Islam adalah agama rasmi perlembagaan, jadi ia membuatkan Islam lebih tinggi dari agama-agama lain tapi penganut agama lain bebas untuk mengamalkan agama masing-masing," katanya.

Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan Islam sebagai agama "rasmi" negara.

Kristian-Islam: Persekutuan Kristian kecam laporan Utusan

Posted: 09 May 2011 04:00 AM PDT

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) menafikan sekeras-kerasnya laporan Utusan Malaysia kelmarin mendakwa pihaknya berkonspirasi dengan pemimpin DAP untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara dan perdana menteri pula dilantik daripada kalangan penganut agama itu.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, CFM berkata DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak pernah meminta pastor-pastor Kristian untuk berdoa meminta keberkatan Tuhan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian ataupun memiliki pengikut Kristian sebagai perdana menteri.

"Paderi Kristian dan pihak Gereja selalunya berdoa agar diberi keberkatan kepada negara, keamanan dan kehidupan yang lebih baik, penyatuan dan keharmonian di antara semua bangsa dan kepimpinan yang jujur dan adil," kata kenyataan bersama itu yang dikeluarkan oleh CFM dan Lim sendiri.

CFM terdiri daripada Gereja Katolik Roman, Majlis Gereja Malaysia dan National Evangelical Christian Fellowship of Malaysia.

Justeru, pastor-pastor Kristian dan Gereja berkata mereka tersinggung kerana pembohongan sedemikian disiarkan dalam media massa.

"Kami dengan tegas dan ikhlas menggesa Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana menerbitkan dan menyebarkan pembohongan yang bahaya, yang telah mengganggu keharmonian masyarakat, mencetuskan rasa takut dan gelisah di kalangan rakyat Malaysia," kata kenyataan itu lagi.

Malah menurut kenyataan itu, mereka risau kerana Utusan Malaysia menyebarkan pembohongan-pembohongan merbahaya, yang menjadikan penganut-penganut Kristian bahan kebencian dan menghasut perasaan membenci terhadap komuniti Kristian yang mungkin membawa kepada implikasi-implikasi tidak diingini.

Ia menambah, Lim akan terus mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Kristian, biskop dan pastor sebagaimana beliau melakukan dengan pemimpin-pemimpin agama lain selaku kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kelmarin, DAP juga telah menolak laporan Utusan Malaysia yang mendakwa parti itu berkonspirasi dengan pemimpin-pemimpin Kristian untuk mengambil alih Putrajaya dan menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu juga mendakwa laporan akhbar milik Umno itu satu pembohongan yang bahaya kepada negara.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan, pembohongan sedemikian bercanggah dengan konsep 1 Malaysia yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno.

"Utusan mahu meletakkan (gagasan) 1 Malaysia di atas api... ia elemen paling jahat dan bahaya di negara kita pada masa sekarang," kata beliau hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, beliau telah meminta pemimpin-pemimpin partinya agar membuat aduan polis berhubung laporan tersebut.

Tun Dr Mahathir Melayu yang semakin pelupa

Posted: 09 May 2011 03:30 AM PDT

Keputusan Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak terus menjadi bahan perbualan di bibir orang politik sehingga hari ini. Walaupun BN Sarawak kekal menang dengan majoriti dua pertiga kerusi namun beberapa trend yang terbit dari keputusan tersebut menjadi tajuk ulasan dan kupusan hangat sesetengah pihak.

Seharusnya keputusan rakyat dihormati oleh semua. Keputusan samada masyarakat Melayu, Melanau, Iban, Dayak, Cina atau Orang Ulu untuk memilih parti yang mereka yakini jangan dijadikan suatu kebimbangan sehingga mencetuskan prejudis dan syak wasangka sedangkan demikianlah amalan demokrasi, rakyat diberikan hak untuk menyatakan pilihan mereka. Keputusan mereka itu jangan dihukum tetapi diraikan kerana rakyat telah bersuara secara aman dan bebas.

Apabila BN contohnya menang besar dalam Pilihanraya Umum 2004 sehingga menawan kembali Terengganu dan meninggalkan Kelantan di bawah tangan PAS dengan majority yang rapuh keputusan rakyat itu dihormati. Apabila di Selangor contohnya dalam PRU 1995, pihak pembangkang ditolak sehingga DAP hanya bertahan dengan 1 kerusi iaitu melalui Teng Chang Khim di Kelang (sekarang Dato') kecenderungan masyarakat Melayu, Cina dan India untuk kembali bernaung di bawah BN tidak pernah dipertikaikan.

Mengapa apabila ada segmen rakyat menolak BN contohnyanya dalam kes Sarawak maka ditonjolkanlah seolah masyarakat tertentu berbahaya dan mahu wujudkan dominasi dan ketegangan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad baru-baru ini apabila mengulas perkembangan politik semasa menyatakan:

".....sekarang kita lihat apa berlaku pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke 10 lalu, kaum Cina hanya mahu bersama kaumnya dan tidak mahu bekerja dengan orang Melayu."

Reaksi Dr Mahathir ini apabila melihat DAP memenangi 12 dari 15 kerusi yang dipertandinginya di Sarawak dirata-rata kerusi majoriti Cina. Tetapi apakah benar kenyataan bahawa kaum Cina hanya mahu bersama kaumnya? Tidakkah kenyataan serupa ini merendahkan intelek dan kewibawaan masyarakat tersebut?

Apa pun yang nyata komen bekas PM itu meleset dan mungkin dikeluarkan kerana menyedari bahawa BN dan bukannya Negara atau rakyat yang sesungguhnya akan menghadapi masa depan yang kelam. Ianya meleset kerana DAP diketahui bukan bersendirian dalam PR Negeri Sarawak mahupun PRU ke 12 yang lalu. Jika MCA dan Gerakan bersekongkol dengan Umno melalui BN, DAP diketahui umum termasuk oleh Dr Mahathir sendiri bekerjasama dengan PKR dan PAS melalui Pakatan Rakyat.

Kaum Cina, India dan Melayu di dalam Pakatan Rakyat sebagaimana yang di dalam BN menyedari bahawa mereka perlu bekerjsama jika mahu berkuasa dan berperanan dalam arus perdana politik Negara. Tiada suatu kaum boleh berkuasa secara mutlak di Malaysia melainkan di negeri-negeri tertentu contohnya Kelantan dan Terengganu yang memang didominasi orang-orang Melayu.

Bukan menjadi rahsia lagi bahawa di Sarawak tempoh hari DAP ketara bersama PKR dan PAS. Demikian juga calon-calon PKR dan DAP yang bertanding masing-masing menzahirkan secara terbuka kerjasama mereka melalui Pakatan Rakyat. Jadi dimanakah bukti kenyataan Dr Mahathir itu bahawa kaum Cina hanya mahu bersama kaumnya dan tidak mahu bekerja dengan orang Melayu.

Lupakah Dr Mahathir (yang mempopularkan terma "Melayu mudah lupa" itu) bahawa semasa DAP mendominasi Pakatan Rakyat di Perak pada PRU ke 12 lalu, calon yang diangkat sebagai Menteri Besar Perak adalah dari PAS, orang Melayu Islam.

Sesungguhnya masyarakat Cina sebagaimana masyarakat lain dalam Negara berhak untuk memilih dan memutuskan apa sahaja dalam amalan demokrasi yang dianuti oleh Negara kita. Saya merasakan Dr Mahathir lebih bimbang kepada kemampuan Pakatan Rakyat, berbanding dengan apa yang beliau cetuskan itu. Begitulah juga pimpinan lain dalam BN khasnya Umno dan MCA.

Sekiranya masyarakat Cina kekal trendnya begini sebagaimana yang ditunjukkan dalam PRU ke 12 dan Pilihanraya Sarawak baru-baru ini, ditambah dengan sokongan orang-orang Melayu yang pernah bangkit mengundi protes dalam PRU 1999 di era Reformasi serta masyarakat India yang sudah bosan dengan kepimpinan mereka dari MIC, tidak mustahil lanskap politik Negara akan turut berubah.

Itulah sebenarnya kebimbangan Dr Mahathir dan beliau pula sebagaimana doa Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor satu ketika dahulu, akan hidup menyaksikan kejatuhan Umno dan BN. Itulah kebimbangan beliau.

Malaysia perlu belajar menghormati suara rakyat sekiranya kita masih percaya dengan sistem demokrasi yang telah kita amalkan sejak lebih 50 tahun dahulu. Hari ini kita hidup menyaksikan Negara-negara yang mengawal, mengekang dan menghapuskan demokrasi satu per satu runtuh di hadapan mata kita. Malaysia jangan jadi seperti Libya, Mesir, Syria dan Negara-negara Timur Tengah lain.

Dan rakyat pula jangan diancam dan ditakut-takutkan dalam bersuara. Rakyat Malaysia sudah matang dan dewasa. Mereka terdedah kepada maklumat dan berilmu. Jika mereka menolak parti atau kelompok tertentu kerana parti dan kelompok itu rasuah, zalim dan pincang, maka mereka sesungguhnya berhak berbuat demikian. Tidak kiralah orang Cina, Melayu atau India, siapalah kita untuk memaksa mereka menyokong yang kotor dan durjana.

http://n32.blogspot.com/2011/05/tun-dr-mahathir-melayu-yang-semakin.html

Umno khianati Islam agama rasmi, lebih teruk dari penjajah- Teras

Posted: 09 May 2011 03:00 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno tidak pernah memartabat Islam sebagai agama rasmi dalam setiap tindak tanduk mereka, malah pengkhinatan parti itu selama berpuluh tahun terhadap Islam disifatkan lebih teruk dari penjajah, kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid.

"Namakan apa sahaja yang tidak dilakukan, dan kita tidak akan lupa. Kekangan terhadap guru-guru agama sehingga ada yang jauh dipindahkan. Masjid-masjid 'dikurung' sehingga ilmu agama tidak dapat diajarkan.

"Sekolah Agama Rakyat (SAR) 'dibunuh'. Pandangan para mufti dan ulama diperlekeh.

"Mahkamah syariah dijadikan sebagai mahkamah kelas kedua dan banyak lagi tragedi terhadap umat Islam adalah hasil dari kepincangan dan kerja tangan pemimpin Umno itu sendiri.

"Dalam masa yang sama, kita tidak pernah lihat mereka berusaha untuk memperkembangkan fahaman dan syiar Islam.

"Jika ada pun, ia hanyalah bersifat kosmetik, bahkan mereka memperkudakan institusi dan agensi agama Islam semata-mata kepentingan politik mereka," kata Cikgu Azmi dengan nada tegas.

Beliau memberikan reaksi demikian ekoran laporan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia bertarikh 7 Mei 2011 di muka depannya dengan tajuk 'Kristian agama rasmi?'

Tulisan tersebut menerima kecaman dan kritikan keras pelbagai pihak.

Azmi menyelar Utusan kerana secara tidak beretika, menyiarkan laporan yang berupaya mencetuskan pertelagahan antara kaum dan agama di negara ini.

Umno pula katanya, sengaja memperkuda media seperti Utusan bagi membangkitkan sentimen kemarahan orang Melayu- Islam terhadap penganut agama lain.

"Dalam hal ini, jelas mereka memperalat media secara rakus. Apakah mereka tidak sedar implikasi terhadap keharmonian perhubungan kaum di negara ini?

"Tidak lain, tindakan ini adalah percubaan Umno untuk meleraikan hubungan yang terjalin antara komponen parti Pakatan Rakyat, terutamanya antara DAP dengan parti Pas.

"Mereka cuba membolot sokongan orang Melayu dan Islam dengan cara melempar fitnah, gara-gara keretakan dalam komponen Barisan Nasional itu sendiri.

"Apakah dengan cara begini, mereka layak untuk memimpin umat Islam? soalnya lagi.

Azmi menjelaskan, sebarang permasalahan yang timbul di kalangan umat Islam perlu diperbincangkan secara tuntas bersama institusi dan sarjana Islam.

"Tidak boleh sama sekali melempar tuduhan yang belum tentu membawa penyelesaian," ujarnya.

SMM tuntut Utusan, blogger mohon maaf jika dakwaan tak benar

Posted: 09 May 2011 02:30 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 9 Mei — Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak Utusan Malaysia dan blog memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia jika didapati menyiarkan laporan tidak bertanggungjawab kononnya ada konspirasi mengubah status agama rasmi negara ini.

Pengerusinya Ahmad Syukri Ab Razab berkata, Utusan Malaysia selaku media arus perdana tidak sepatutnya menyebarkan laporan yang dipetik daripada penulisan blog kerana ia kemungkinan tidak benar dan boleh menimbulkan ketegangan antara agama terutamanya orang Islam dan penganut Kristian.

Ahmad Syukri berkata demkian sebagai respons terhadap akhbar berkenaan kelmarin yang melaporkan wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dalam kalangan penganut itu.

Laporan itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadi Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Laporan muka depan dengan tajuk "Kristian agama rasmi" itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.

Tegas Ahmad Syukri, penulisan blog yang dipetik Utusan Malaysia tidak seharusnya dijadikan bahan publisiti oleh akhbar milik Umno itu kerana ia tidak menghormati sensitiviti agama lain.

"Sekiranya penulis blog itu benar-benar memiliki bukti mengenai isu yang ditimbulkan, saluran yang betul perlu digunakan agar isu ini dapat disiasat tanpa mewujudkan ketegangan yang mengancam keharmonian rakyat.

"Selain itu, SMM juga mendesak agar mana-mana pihak tidak menjadikan isu ini sebagai isu politik bagi menamatkan kekeruhan yang telah tercetus... SMM berpendirian untuk menunggu siasatan polis dan sekiranya terbukti isu yang ditimbulkan adalah fitnah dan berniat jahat, maka blogger itu perlu dikenakan hukuman berdasarkan kesalahan fitnah," katanya.

Tambah beliau, sekiranya dakwaan penulis blog itu benar pihaknya menuntut agar siasatan lanjut dilakukan agar Perlembagaan Persekutuan dijaga dan terpelihara.

"Sekiranya isu yang ditimbulkan oleh blogger berkenaan adalah benar iaitu wujud sentimen yang cuba mencabar kedudukan agama Islam dalam Artikel 11 Perlembagaan, maka SMM menuntut agar siasatan lanjut diadakan agar integriti Perlembagaan Malaysia kekal sebagai undang-undang tertinggi negara," katanya.

Teressa Kok : Ambil Tindakan Tegas Penggugat Keharmonian Kaum Dan Agama

Posted: 09 May 2011 02:15 AM PDT

SHAH ALAM 9 Mei - Sebagai menteri yang bertanggungjawab Hishamuddin dan Rais sepatutnya seharusnya serta-merta mengarahkan polis untuk menyiasat Utusan Malaysia serta kedua-dua blogger di bawah Akta Hasutan sejak dahulu lagi kerana Utusan Malaysia sudah berkali-kali menerbitkan laporan berita dan komentari yang menggugat keharmonian etnik dan agama di Malaysia, tegas Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor Teressa Kok.

"Saya merasa amat kesal terhadap reaksi Menteri Dalam Negeri Hishamuddin dan Menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan Rais Yatim kerana menerima laporan palsu Utusan Malaysia yang bertajuk "Malaysia negara Kristian?" tanpa menyoal dan mengesahkan kesahihan laporan tersebut terlebih dahulu," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Teressa laporan tersebut berfitnah bahawa DAP dan para penganut agama Kristian berhasrat menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi Malaysia. Laporan itu adalah palsu, tidak berasas dan berpandukan fitnah dua orang blogger penyokong UMNO yang mempunyai niat jahat mengapi-apikan perasaan takut, benci dan syak wasangka, terutamanya di kalangan penganut agama Islam terhadap penganut agama Kristian.

Lebih mengecewakan lagi, Hishamuddin dan Rais tidak mengutuk akhbar Utusan Malaysia atau cuba menenteramkan keadaan hening ini tetapi sebaliknya mengeluarkan amaran kepada orang awam agar jangan mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Tindakan tersebut menunjukkan bahawa mereka jelas berat sebelah terhadap Utusan Malaysia dan menyokong laporan mereka tanpa sebarang siasatan.

Namun begitu, sehingga kini Utusan Malaysia yang dimiliki UMNO itu tidak pernah dikenakan sebarang tindakan atau hukuman oleh pihak kementerian. Utusan Malaysia seolah-olah memegang lesen untuk menerbitkan apa jua yang diingini. Profesionalisma dan etika kewartawanan boleh diabaikan.

"Saya percaya UMNO menggunakan akhbar Utusan Malaysia sebagai senjata untuk menghasut orang Melayu demi mengukuhkan kedudukan UMNO di mata orang Melayu. Perbuatan ini amat keji dan berbahaya kerana Malaysia merupakan negara majmuk. Oleh itu, saya menggesa Hishamuddin dan Rais agar menunjukkan keikhlasan mereka terhadap konsep 1 Malaysia dan mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap Utusan Malaysia," katanya.

Kristian-Islam: BN perlu pikul kesan laporan Utusan, tegas Guan Eng

Posted: 08 May 2011 11:30 PM PDT

Oleh Clara Chooi


KUALA LUMPUR, 9 Mei - DAP memberi amaran kepada Barisan Nasional (BN) hari ini bahawa ia perlu bertanggungjawab ke atas sebarang kejadian tidak diingini, yang kemungkinan menimpa komuniti Kristian ekoran tindakan parti itu memperakui dakwaan laporan Utusan Malaysia kononnya pihak berkenaan mahu mengubah status Islam di negara ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata perikatan itu sengaja enggan menghukum akhbar milik Umno itu, yang menyebarkan kempen membenci dengan pembohongan terhadap komuniti Kristian.

"Dengan kegagalan menghentikan kempen pembohongan Utusan Malaysia yang berterusan, akhbar milik Umno, kerajaan BN, (sebenarnya) mencetuskan kebencian ke atas komuniti minoriti Kristian," katanya.

Kata beliau, DAP sangat bimbang keran kempen pembencian terhadap Kristian oleh Utusan Malaysia kemungkinan tidak akan berakhir dengan serangan lisan yang disaksikan sekarang.

"Kerajaan BN perlu memikul tanggungjawab penuh ke atas sebarang kesan tidak diingini terhadap komuniti Kristian di Malaysia berdasarkan kempen pembencian bersifat berbohong Utusan," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang juga mengecam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berjanji akan laporan itu akan disiasat tanpa mengatakan bahawa tindakan akan diambil terhadap akhbar harian terbabit yang menyiarkan laporan palsu.

"Sangat jelas, kerajaan BN bukan sahaja telah gagal untuk menghentikan Utusan Malaysia daripada meneruskan serangan-seranganya tidak berasas sedemikian, malah memberi galakan kepada mereka dengan menjanjikan tindakan ke atas pastor-pastor Kristian dan DAP jika mendapati (laporan) adalah benar.

"Mengapa kerajaan BN tidak berjanji untuk mengenakan tindakan tegas ke atas Utusan Malaysia apabila pembohongan Utusan didedahkan?" soal beliau.

Justeru Lim mempersoalkan sama ada Utusan Malaysia kini menikmati kekebalan penuh untuk menyebarkan dakwaan-dakwaan tidak berasa tanpa berhadapan dengan kemungkinan dihukum kerana laporan palsu.

Katanya, adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab bagi Umno bermain api dengan menyebarkan pembohongan menerusi akhbar Utusan Malaysia hanya untuk menerima sokongan Melayu tanpa mempedulikan kosnya.

"Ramai pemimpin Kristian telah melahirkan rasa tidak senang mereka ke atas pembohongan-pembohongan provokatif dan menafikan sekeras-kerasnya bahawa kumpulan pastor Kristian bekerja dengan DAP untuk mewujudkan negara Kristian dan melantik perdana menteri (dari kalangan orang Kristian)," katanya lagi.

Kuan Yew: Generasi baru Singapura sudah mula lupa

Posted: 08 May 2011 11:14 PM PDT

SINGAPURA, 9 Mei — Bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew dalam kenyataan pertama, secara tidak langsung mengenai pilihan raya republik itu berkata, tahun "2011 telah menyaksikan satu generasi yang tidak lagi ingat dari mana kita datang."

Pada pilihan raya umum yang berlangsung kelmarin Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengekalkan kerajaannya tetapi mengalami kemerosotan undi popular dan kerusi di Parlimen.

Pembangkang menguasai lapan kerusi daripada 87 kerusi diperuntukkan.

Buat julung kali pembangkang, Parti Pekerja (WP) memenangi kerusi Perwakilan Kawasaan Kumpulan Pilihan Raya (GRC), yang turut menyaksikan kekalahan menteri luar.

"Tetapi itu yang perlu dijangkakan. Tetapi saya dan mereka di kalangan anda, (berusia) lebih 50 akan ingat (dari mana kita datang)," katanya di sini semalam.

Justeru Lee yang kini merupakan Menteri Mentor mengingatkan bahawa, jangan mengharapkan "pesawat Singapura" akan bergerak menggunakan platform juruterbang auto.

Katanya, "pesawat Singapura" boleh bergerak dalam semua kesukaran dan kecemasan, tetapi "kita memerlukan juruterbang yang baik dalam kapal terbang."

Lee, yang mempertahankan kerusinya tanpa cabaran bercakap kepada penduduk kawasan Queenstown untuk meraikan penyempuraan pembinaan beberapa pavilion di plaza komuniti.

Terdahulu, Lee bersama lima anggota GRCnya dan Ahli Parlimen Radin Mas Sam Tan melawat kawasan GRC Tanjong Pagar kira-kira dua jam dengan menaiki sebuah bas tanpa bumbung untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi kawasan tersebut.

PAP menang di Tanjong Pagar tanpa cabaran manakala Tan menguasai kerusi Radin Mas dengan lebih 67 peratus undi.

Ketika ditemui media, Lee ditanya mengenai peralihan sokongan kepada PAP yang hanya menerima 60.1 peratus berbanding 66.6 peratus pada 2006, paras paling rendah diperoleh parti itu.

"Saya pasti Perdana Menteri dan pasukannya akan melihat dan menganalisis secara mendalam sebab-sebab dan penerimaan polisi-polisi kita. Saya tidak boleh cakap lebih dari itu. Saya bukan Perdana Menteri," kata Lee.

Ketika ditanya pemberita akhbar Berita Harian sama ada komen-komennya memberi ke atas arah aliran sokongan, Lee berkata, beliau tidak lihat begitu.

"Isu-isu nasional yang besar telah diketengahkan. Komen-komen saya sebahagian daripada buku yang saya tulis mengenai kebenaran yang sukar (diterima)," katanya lagi.

Mengenai soalan bagaimana PAP boleh bekerja dengan WP yang memperoleh lapan kerusi di Parlimen, demi kepentingan rakyat Singapura, Lee membalas:

"Adakah anda percaya Parti Pekerja (berada) di Parlimen untuk membantu rakyat Singapura atau membangkang PAP?" — Today

Isu penyatuan Umno-PAS perlukan perspektif luas, kata pakar

Posted: 08 May 2011 11:05 PM PDT

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Soal penyatuan Umno-PAS yang menjadi polemik sejak tiga tahun lalu, bukan hanya isu orang Melayu dan Muslim, sebaliknya perlu dilihat dari sudut lebih meluas melibatkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum, kata pakar perundangan.

Malah negara juga memerlukan persaingan politik yang sihat menerusi sistem dua parti bukannya dihadkan kepada penyatuan dan penggabungan.

Sehubungan itu, kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari UIA, melihat pada perkembangan tersebut, PAS perlu melihat pelawaan daripada pesaingnya dengan cermat, bukan sahaja disebabkan pengalaman pahit ditendang keluar dari Barisan Nasional (BN) pada 1997, tetapi lebih penting implikasi penggabungan politik kebangsaan.

"Kita kini dalam persekitaran (politik) mahu mewujudkan sistem dua parti di Malaysia dan ini hanya boleh berlaku jika kita mempunyai satu pakatan yang berbeza dalam kerusi kuasa di Putrajaya.

"Kita tahu Umno menentang keadaan ini sebab sistem dua parti bermakna akan berakhirnya dominasi mereka dalam sistem (politik) negara kita," kata beliau.

Beliau juga berkata ketiadaan fungsi semak dan imbang, sebagimana dibolehkan oleh Perlembagaan Persekutuan adalah disebabkan oleh kewujudan sistem satu parti yang dijuangkan oleh Umno, yang kekal sebagai parti teras dalam BN.

Penganalisis dan pemerhati politik ini mendakwa Umno, selaku parti teras BN, memainkan peranan di sebalik tabir untuk mengeluarkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari arus politik nasional memandangkan ketua pembangkang itu dilihat sebagai 'pengikat' komponen-komponen dalam perikatan tiga parti itu.

PAS bersama DAP dan PKR membentuk Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

"Kini Umno sedang berusaha untuk melemahkan PAS, yang akan melemahkan lagi Pakatan.

"PAS harus ingat bahawa ia dapat lebih banyak kerusi ekoran sokongan bukan Muslim dan Umno sedang akan perkara ini," kata beliau sambil menambah, mereka tahu bahawa jika boleh mencetuskan keraguan dalam fikiran bukan Islam berhubung prinsip Islam ia akan tanda-tanda akhir kebangkitan PAS.

"Malangnya beberapa pemimpin PAS tidak sedar tentang perkara ini. Itu sebabnya mereka memajukan idea kerajaan perpaduan, yang sangat kurang jelas, sekuran-kurangnya dari perspektif perlembagaan," katanya lagi.

Dalam pendirian terbaru semalam, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mahu Umno-PAS duduk semeja dengan kedua-duanya menunjukkan husnun niyyah atau niat baik demi menjunjung tinggi titah perintah Allah dan Rasul yang menuntut orang mukmin agar sentiasa bekerjasama atas kebaikan dan takwa, bukannya atas perkara dosa dan permusuhan.

"Permusuhan lama itu perlu dipadamkan untuk selama-lamanya! Musolahah adalah seruan al-Quran kepada semua apabila berlaku perbalahan dalam apa bentuk sekalipun," kata beliau dalam pandangannya diemelkan kepada The Malaysian Insider.

Minggu lalu, Juanda menyifatkan pihak yang menentang soal penyatuan Umno-PAS sebagai pengkhianat Islam.

Sementara sesetengah pihak bercakap mengenai penyatuan Umno-PAS penting untuk kepentingan Melayu-Islam, Aziz bertanya, "adakah kita boleh mengatakan Islam dan kebajikan Muslim di negara ini telah terpelihara dengan kerjasama Umno-PAS ketika 1974?"

Sebaliknya kata beliau, keadaan yang bertentangan wujud dan PAS dikeluarkan apabila Umno bertapak kukuh pada 1977, malah orang Melayu masih ketinggalan.

Justeru kata Aziz, sudah tiba masanya orang Melayu mengambil pendekatan berbeza dan apa juga formula yang dihalusi seharusnya dalam rangka perlembagaan.

"Ini bermakna tidak kepada sistem satu parti, tetapi keadaan yang lebih besar. Ini bermakna lebih banyak ruang kepada siaran pendapat dan orang Melayu mesti memastikan adanya lebih ruang untuk (elemen) semak dan imbang.

"Kini kita bercakap mengenai ketirisan saham lebih RM50 bilion milik orang Melayu dan Bumiputera. Ini adalah kerana ketiadaan pewakilan Melayu yang kuat dan ini mesti ditangani menerusi lebih daripada satu parti orang Melayu," katanya.

Kata Aziz, kerjasama Umno-PAS tidak selari dengan perkara ini kerana "kita memerlukan lebih banyak saingan" politik.

"Kita perlu mengakhiri monopoli Umno. Ini adalah kunci kepada survival Melayu," katanya.

Apabila Utusan menggugah keharmonian negara

Posted: 08 May 2011 09:00 PM PDT

Oleh Wira Arjuna

Bagaimana autusan malaysia kritian agam rasmigaknya persepsi pelabur asing, terutama yang datang dari barat dan beragama Kristian bila memahami kandungan laporan Utusan Malaysia pada Sabtu, 7 Mei 2011?

Laporan itu mendedahkan ada usaha untuk menjadikan Krisitian agama rasmi Malaysia dan perdana menteri negara ini mungkin seseorang yang beragama Kristian.


Mungkin ada di kalangan mereka yang teruja untuk terus melabur di Malaysia dengan harapan apabila Malaysia menjadi sebuah negara Kristian akan mudah mereka berurusniaga.

Sudah tentu ada yang berkira bahawa pegangan agama mereka akan memberi kelebihan dalam iklim niaga yang dikendalikan oleh pemerintah Kristian yang seagama dengan mereka.

Sudah pasti juga ada sebilangan pelabur yang waras dan bijaksana membaca laporan Utusan itu sebagai sesuatu yang membimbangkan. Pelaburan mereka mungkin dalam bahaya.

Sudah pasti sebagai pengusaha skala besar-besaran mereka dapat mencongak bahawa tidak mudah Kristian menggantikan Islam di Malaysia.

Majoriti rakyat Malaysia adalah Melayu dan Bumiputera. Hampir semua Melayu di Malaysia adalah penganut Islam. Sudah tentu pelabur kategori ini dapat merumuskan betapa gempita reaksi orang Melayu dan Islam tehadap komplot Kristian ini.

Mereka juga pasti akur bahawa majoriti anggota polis adalah Melayu-Islam. Begitu juga dengan tentera. Maka adakah institusi ini akan membiarkan perubahan tunggak agama ini dengan mudah berlaku di negara ini?



Jangan melabur

Natijahnya tentu mudah ditelah. Lebih baik jangan melabur di Malaysia. Peniaga yang bijak tentu tidak mahu melabur di bumi yang akan bergolak.

Benar atau tidak laporan Utusan itu bukan persoalan di sini. Itu harus dipulangkan kepada pihak berkuasa untuk menilainya.

azlanJika benar, tindakan perlu diambil bagi menjamin kedamaian dan ketenangan sosio-politik negara.

Jika tidak benar, maka makin lebih perlu lagi tindakan diambil ke atas jenis kewartawanan sensasi yang memperjudikan keharmonian negara.

Namun kesannya amat mengerikan. Yang pertama akan merasa bahana perang agama ini adalah pelabur. Ia juga akan mencengkam rasa damai dan tenteram rakyat beragama Kristian.

Bagaimana mereka dapat merenung mata jiran dan sahabat handai Islam mereka jika orang Islam mula curiga akan keikhlasan mereka bermaustatin di bawah naungan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan?

Orang Melayu Islam pun juga bimbang. Jika pelabur asing mulai meninggalkan negara ini tentu ramai yang menganggur.

Namun tidak kurang juga yang akan "berdiri tocang" kerana marah akan niat buruk Kristian mahu merampas kuasa di negara ini. Orang Melayu memang berdarah pahlawan.

Tentu ramai yang sedia syahid untuk mempertahankan agama dan bangsa mereka. Akibatnya tentu lebih parah daripada 13 Mei 1969.

Secara ringkasnya, ini adalah di antara pelbagai kesan negatif daripada laporan media arus perdana perihal perkara sensitif dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Penawarnya...

Sebab itu, para pemimpin yang berfirasat tinggi memutuskan untuk meluluskan perundangan menghalang prasangka begini menular di kalangan rakyat. Akta Hasutan adalah penawarnya.

NONESedihnya, ini bukan kali pertama Utusan bersikap begini. Akta Hasutan langsung tidak menggerunkannya. Mungkin ini kerana Utusan yakin ia berada di luar lingkungan kuasa apa jua akta di negara ini.

Mungkin di atas lessen memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam, ia wajib mendedahkan sebarang ancaman yang mungkin menggugat kepentingan khalayak yang menjadi pendokong parti pemerintah - Umno.

Menteri Dalam Negeri ahli Umno. Mungkin sebab itu, Utusan merasakan mustahil Umno akan bertindak ke atasnya kerana menjadi jurucakap Umno.

Bicara ini bukan soal kesahihan sumber atau landasan laporan Utusan itu. Ia bersabit soal tanggungjawab sosial dan politik Utusan disuluh dari sudut kewartawanan.

Apakah Utusan berharap dengan laporan sensasi ini ia akan membantu pulihkan jumlah akhbarnya yang kian merosot? Atau, agendanya ialah menggertak orang Melayu supaya terus berpayung di bawah parti pemerintah, Umno?

Jika itu niatnya, amat malang bagi Malaysia. Utusan mungkin mendabik dada ia berbuat demikian kerana sayangkan bangsa Melayu dan agama mereka.

Namun dalam pada itu, ia jelas tidak menunjukkan kecintaan kepada negara apatah lagi cita-cita 1Malaysia perdana menteri.

Tamil Eelam

Laporan Utusan itu menyindir ahli parlimen Jelutong dari DAP sebagai penganjur sidang paderi yang dikatakan mengatur konspirasi memartabatkan Kristian sebagai agama rasmi negara.

Ini mengingatkan kita pada tuduhan beberapa tahun lalu bahawa gerakan pelampau Tamil Eelam bergerak di Malaysia dan beberapa pemimpin Hindraf turut terbabit dengan gerakan itu. Hingga hari ini tiada pendakwaan atau bukti kukuh diketengahkan.

Apa yang patut dilakukan oleh Utusan ialah serahkan pada pihak berkuasa menyiasast dahulu perkara sensitif ini sebelum menggemparkan rakyat.

Menyakat rakyat dengan kemiskinan, prasangka kaum dan prejudis agama adalah jelas bertentangan dengan semangat perpaduan 1Malaysia.

Apa yang perlu ditanyakan Utusan bagi pihak rakyat apa sudah jadi dengan Badan Pemuafakatan Antara Agama yang ditaja oleh kerajaan? Hormati institusi kerajaan. Usahlah bertindak secara unilateral.

Jika tiada tindakan diambil ke atas laporan sebegini, maka rakyat haruslah maklum bahawa memang benar ada amalan siasatan terpilih berlaku dan dilakukan dengan sedar dan sengaja di negara ini.

Penyegaran Dalam PAS Harus Bermula

Posted: 08 May 2011 06:00 PM PDT

Oleh Mohd Faris Zaini

Baru-baru ini, setelah selesai sahaja satu kenyataan akhbar, YB Dato' Husam dikerumuni wartawan yang mahukan penjelasan YB Husam terhadap kenyataan beliau berkenaan pemerkasaan parti PAS beberapa hari sebelum itu. Beliau menjelaskan bahawa pandangannya kepada parti atas indikator pemerkasaan dalam dua aspek.


Pertama, memperkasa program media dalam PAS dan kedua, menggerakkan secara serius pimpinan pelapis. Beliau berpandangan, hari ini dua aspek itu adalah dilihat penting dalam memastikan parti akan terus bergerak ke hadapan, untuk revolusi politik berlaku di Malaysia, dengan Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat.

Media dilihat sebagai medium utama penyebaran maklumat kepada rakyat dan pemerkasaan media secara "nyata yang berpijak di tanah" akan merancakkan lagi agenda parti. Kepimpinan pelapis pula adalah agenda sepanjang zaman yang perlu diluaskan dan dijanakan demi survival parti pada masa akan datang.

Kepimpinan itu diangkat kerana kelayakan dan kebolehan seseorang melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul, bukan sekadar pandai untuk bercakap, kuliah dan sebagainya namun tidak mempunyai gagasan dan lemah dalam pengurusan dan ilmu kepimpinan. Pendekatan dakwah juga perlu mengikut zaman dan keperluan semasa.

Islam sendiri menggariskan dua elemen ataupun dua asas penting untuk melayakkan seseorang itu untuk diangkat sebagai pemimpin. Al-amanah (miliki sikap amanah terhadap kepimpinannya) dan al-qawiy (mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk melaksanakan kepimpinannya). Ini keperluan asas. Belum lagi dibahaskan secara mendalam kriteria-kriteria yang khusus.

Saya amat bersetuju pemerkasaan aspek media ataupun penerangan, dan juga pembinaan pelapis ataupun pemerkasaan sistem perkaderan dalam Pas yang perlu diambil perhatian buat masa sekarang. Pas hebat dalam membina pengikut yang wala' dan setia dalam perjuangan, namun harus diingat Pas juga sebuah harakah Islamiyyah yang merangkumi politik (siasah), dakwah dan juga tarbiyyah.

Oleh itu, penekanan aspek keperluan semasa juga amat-amat perlu terutamanya aspek media dan penerangan. PAS pada saya perlu memenangi kawasan majoriti Melayu dalam PRU 13 akan datang untuk menawan kerusi-kerusi ditandingi Umno terutamanya, namun adakah kawasan Melayu itu letaknya di kawasan bandar? Adakah di sana mereka sudah mendapat maklumat yang sebenarnya tentang Pas dan Pakatan Rakyat sendiri?

Sedangkan daripada analisis-analisis sebelum ini, yang kita dapati sama ada dari keputusan siri-siri PRK mahupun PRN Sarawak baru-baru ini, jelas sekali kawasan majoriti yang letaknya di luar bandar, akan memberi undi kepada BN kerana mereka tidak mendapat maklumat yang cukup. Berbanding di kawasan bandar, mereka lebih akses kepada maklumat dan media alternatif.

Mereka masih lagi bergantung kepada media cetak seperti akhbar arus perdana untuk mengetahui isu semasa dan maklumat, yang semestinya memberi berpihak kepada BN. Media elektronik seperti televisyen juga dikuasai pihak kerajaan kini, apatah RTM dan TV3 sendiri banyak memainkan isu-isu memburukkan Pakatan Rakyat.

Lihat sendiri kawasan-kawasan luar bandar di Kedah dan Selangor, adakah mereka yang kebanyakannya orang Melayu dan berada di kawasan yang sukar untuk mendapat akses internet, adakah mereka ini mengetahui tentang perubahan yang telah dilakukan Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah negeri mereka sekarang? Jangan terkejut jika ada yang akan menjawab, mereka akan kembali mengundi BN pada PRU 13 akan datang.

Hampir 75% pengundi di bandar-bandar dan sub-bandar akan mengundi PR tidak kira dari parti mana, tetapi hampir 70% pengundi akan mengundi BN di kampung-kampung dan desa. Malah undi BN hampir 80% akan dimenangi oleh UMNO. Itulah sebab utama mengapa BN masih berjaya menang undi di luar bandar. Maka PAS perlu memenangi kawasan Melayu manakala DAP dan PKR memenangi kawasan Cina atau kawasan yang bercampur, jika mahu Pakatan Rakyat menawan Malaysia.

Jadi, secara ringkasnya golongan ini, akses kepada media-media alternatif sangat kurang. Mereka masih lagi ketinggalan terutamanya generasi yang lebih berusia. Golongan muda mungkin boleh kita katakan sebahagiannya sudah mendapat akses luas terhadap media-media alternatif yang ada. Dunia facebook, twitter, blog dan sebagainya sudah berada di hujung jari.

Persoalan sekarang, apakah jentera penerangan Pas sudah dipunyai oleh setiap kawasan dan cawangan? Lajnah IT Pas setiap kawasan sudah mempunyai kelengkapan dan kepakaran untuk membantu usaha Pas menguasai medium maya ataupun media-media alternatif yang ada? Paling mudah, blog Pas kawasan sentiasa dikemaskini ataupun tidak, dengan isu-isu setempat dan negeri??

Generasi muda kini lebih ke hadapan dalam hal-hal sebegini. Mereka lebih terbuka dalam menerima sesuatu maklumat. Mereka tidak hanya menerima dari media arus perdana semata-mata. Mereka akan mendapatkan maklumat dari media-media alternatif sebelum menilai sesuatu perkara.

Jadi, aspek pembinaan pelapis ataupun pemerkasaan sistem perkaderan dalam Pas yang perlu diambil perhatian buat masa sekarang. Selain mereka diserapkan dalam Briged Amal dan Pemuda, elok kiranya serampang dua mata dalam hal ini, golongan muda inilah sepatutnya diberi kepercayaan sekurang-kurangnya untuk membantu lajnah IT dan media, sama ada Pas kawasan atau Pemuda kawasan, pada peringkat permulaan.



Rata-rata anak muda kini terutama golongan atas pagar, menilai pimpinan-pimpinan parti yang ada sekarang. Contohnya mereka melihat kepimpinan Najib Razak (UMNO), Anwar Ibrahim (PKR), TG Hj. Hadi (PAS), Lim Kit Siang (DAP), Chua Soi Lek (MCA) dan sebagainya, adakah corak kepimpinan mereka mengambil kira pandangan golongan muda seperti mereka?



Contoh mudah, anak muda kini melihat dan membanding beza Setiausaha Agung parti-parti tersebut. Tengku Adnan Tengku Mansor dari UMNO, Saifuddin Nasution (PKR), Mustaffa Ali (PAS), Lim Guan Eng (DAP) dan dalam parti-parti lain juga, mereka melihat dan menilai. Mendepani dan bertepatan dengan aspirasi anak muda atau tidak?? Umur keempat-empat nama di atas ini pun sudah cukup menceritakan serba sedikit tentang pandangan anak muda terhadap mereka.



Dari sejarah PAS sendiri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz seusia 37 tahun sudah diberi kepercayaan untuk menjadi Ketua Dewan Ulama' Pas Pusat. Semasa Tuan Guru Dato' Hj. Fadzil Noor menjadi Presiden Pas, banyak tenaga anak muda diketengahkan beliau. Contohnya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa sendiri ketika itu menjadi Exco Dewan Pemuda, diangkat menjadi Setiausaha Agung Pas Pusat.

Kini adakah Pas mahu melangkah ke belakang lagi? Dato' Hj. Fadzil Noor ketika itu sudah memandang berat soal kepimpinan pelapis anak muda dalam cabaran politik negara kita ini. Ironinya, survival PAS pada masa akan datang sangat penting, kepimpinan pelapislah sebagai kepimpinan pengganti kepada pimpinan sedia ada sekarang.



Jadi, jangan ditunggu bila tiba suatu masa, semua orang akan berbicara, siapakah bakal pengganti TG Nik Aziz dan TG Hj. Hadi bila mana mereka sudah tiada upaya untuk terus menerajui kepimpinan Pas nanti. Pemergian Tuan Guru Ustaz Fadzil Noor suatu ketika dahulu pun, sememangnya masih dirasai dan dirindui. Memang patah tumbuh silih berganti, namun pembinaannya harus bermula dari sekarang!!

Rakyat semakin benci politik lucah

Posted: 08 May 2011 04:17 PM PDT

OLEH ABD SHUKUR HARUN

Belum pernah dalam sepanjang sejarah tanah air, politik paling kotor -fitnah, lucah dan jijik - melanda negara. Ini sebuah phenomena paling malang dengan menimpakan kerosakan paling parah kepada minda rakyat, malah sangat memalukan umat Islam.

Bayangkan murid sekolah, remaja lelaki dan perempuan terdedah kepada media yang mendedahkan perihal pelbagai kelucahan yang dipaparkan dengan 'amat berani' untuk tatapan dan tontonan. Seolah-olah tidak ada apa lagi yang boleh disembunyikan. Ini adalah gambaran kerosakan sebuah masyarakat, hilangnya maruah dan harga diri. Tidak ada orang yang bersetuju dengan kegiatan mungkar ini kecuali petualang politik yang rendah moralnya.

Orang-orang politik sekular, yang tidak prihatin dengan persoalan dosa dan pahala, dengan putar belit dan manipulasi politik mereka, sedang "merosakkan' minda rakyat dengan mendedahkan bahan lucah dengan begitu berani, seolah-olah negara ini tidak ada undang-undang yang mesti dipatuhi. Sementara hukum agama dan etika moral universal dilimparkan ketepi oleh pendukung politik sekular.

Itu belum lagi isu rasuah yang terus menerjah masyarakat, dilakukan secara besar-besaran dengan pelbagai cara. Ikan-ikan besar yang 'bijak' melepaskan diri dari tangkapan masih berkeliaran dan masih mampu tersenyum lebar, malah tertawa atas kejayaan mereka menyembunyikan perbuatan mereka.

Negara luar, baik jiran mahupun serantau sedang mentertawakan, malah merasa pelik dengan politik jahat yang berlaku di negara ini, sebuah negara yang mendukung Persidangan Negara Islam (OIC), pada ketika seruan rhetoric 'supaya kita mencontohi kepimpinan Nabi Muhamad s.a.w.' bertalu-talu dan nyaring diteriakkan dalam perarakan dan sambutan Maulidul Rasul di sana sini setiap tahun.

Para pemikir, golongan agamawan dan rahyat prihatin selama ini telah mengadakan konvensyen, seminar dan pelbagai wacana membincangkan mengenai tasaruur Islam yang syumul, namun dalam masa yang sama video lucah – sedang 'mengamuk' untuk mencari mangsanya.

Pada ketika pelbagai seminar rancak membincangkan gejala sosial, zina, khalwat, kelahiran anak luar nikah dan pelbagai lagi, kegiatan politik mungkar bermaharajalela, seolah-olah 'mentertawakan' kegiatan seminar dan perbincangan seumpama itu. Pada hal, seminar seumpama itu, yang diinisiatifkan oleh golongan prihatin adalah sangat penting.

Pada pendapat saya, kejijikan yang berlaku dalam dunia politik sekarang adalah puncak kejahatan yang sedang membakar masyarakat. Tidak mudah untuk membaikinya.

Ini belum lagi dengan kemungkaran yang lain – rasuah dan penipuan, manipulasi politk - yang berkembang serentak seperti tidak terlawal menjadikan wajah politik Malaysia paling buruk dan menjijikkan.

Dalam hal ini, sudah ramai para mufti dan tokoh agama yang bersuara mengenai kejijikan dunia politik ini dan ini adalah sesuatu yang baik. Mereka menyatakan kebimbangan yang amat sangat mengenai perkembanhan politik kotor ini, terutama mengenai video lucah dan politik fitnah. Namun disebabkan mereka tiada kuasa, maka kritikan dan tantangan mereka itu terbang bersama angin lalu saja, justru para pemain politik kotor ini tidak takut kepada sesiapapun di dunia ini.

Dalam keadaan begini, saya yakin semakin ramai tokoh agama - baik yang berkedudukan tinggi dalam pelbagai institusi pengajian tinggi, mahupun para ustaz yang mengajar di masjid dan surau serta madrasah seluruh negara – yang dengan nyaring menentang kegiatan politk lucah dan fitnah ini. Mereka bercakap mengenai politik jijik ini di pelbagai pertemuan, kuliah dan sebagainya.

Kesannya adalah positif, di mana semakin ramai pendengar yang menentang kegiatan politik kotor ini. Bagaimanapun, masih ada tokoh agama yang bergelar ulama 'membisukan' diri dari menyatakan tentanghan terhadap politik fitnah yang amat kotor ini atas pelbagai sebab yang sudah dikjetahui.

Diharapkan para ustaz yang masih 'membisu' ini supaya berani bersuara menentang kemungkaran politik ini baik dari golongan manapun yang melakukannya. Jangan ada yang berfikir untuk 'mencari jalan selamat' saja dalam menyampaikan kuliah, lalu membisukan diri dan enggan bercakap mencegah kemungkaran. Ini adalah kewajipan mereka untuk mencegah politik jahat.

Perlu diingat, seluruh ajaran Islam yang dipancarkan di dalam al-Quran dan hadis sentiasa menggandingkan dua perkara – amar makruf, nahi mungkar – menyeru yang baik, mencegah yang mungkar. Al-Quran tidak pernah memisahkan dua perkara ini. Maknanya, adalah menjadi kewajipan umat supaya melakukan kerja baik dan dalam masa yang sama mencegah kemungkatran.

Tayangan video lucah, fitnah, rasuah, penyelewengan dan penipuan adalah gejala mungkar yang nyata. Oleh itu kegiatan mungkar ini mesti dicegah hingga ke akar umbinya, dalam masa yang sama kegiatan amar makruf mesti sama beriringan.

Pada pendapat saya, kini ada perubahan pemikiran yang amat ketara dalam masyarakat, apabila kegitan fitnah ini berleluasa disiarkan di dalam pelbagai media dan percakapan orang politik sekular. Iaitu masyarakat semakin tidak berminat membeli akhbar dan enggan menonton TV yang menyiarkan hal-hal yang lucah ini.

Di dalam perbualan sehari-hari, di mana-manapun, ramai yang mengecam pendedahan video lucah dan kemungkaran yang lain. Bahkan ada para ibu bapa yang mengajak anak-anak mereka supaya menjauhkan diri dari membaca dan menonton berita yang menyiarkan perlakuan kemungkaran ini.

Sementara itu pelbagai ruang dalam internet –wabe-site, blog, twitter dan facebook - sudah tersiar pelbagai ulasan dan pendangan yang menentang gejala paling buruk ini.

Semuanya ini menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat semakin meningkat bahawa mereka benci kepada kemungkaran ini. Orang-orang politik sekular yang tidak pedulikan persoalan dosa pahala perlu memahami kehendak masyarakat ini, supaya mereka menghentikan politik fitnah dan seumpamanya. Di samping itu berusaha membersihkan negara dari rasuah, penipuan, penyelewengan, manipulasi dan seumpamanya.

Sementara itu badan-badan Islam, khususnya badan dakwah, sewajarnya meningkatkan lagi usaha menentang kejahatan politik mungkar ini..

Gejala politik jahat ini sangat merbahaya kepada masyarakat kerana ia memusnahkan harapan masa depan generasi sekarang dan akan datang yang ingin menikmati suatu kehidupan bermoral, yang patuh kepada tuntutan agama. Oleh itu, golongan prihatin mestilah berusaha mencegah politik tanpa moral seumpama ini.

Tiada ulasan: