Rabu, 4 Mei 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Pulak Dah! Eskay nafi tuduh Anwar lakukan seks. Mana Blogger Umno?

Posted: 04 May 2011 08:15 AM PDT

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah hari ini menafikan beliau menuduh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam video seks yang didedahkannya.

Pengakuan itu bercanggah sama sekali dengan dakwaan beliau sebelum ini.

"Saya tidak pernah menuduh Anwar berzina. Bila saya tuduh dia berzina? Soal dia zina atau tidak berzina tidak ada kena mengena dengan saya," kata Eskay selepas memberi kenyataan di Balai Polis Kepong petang tadi, lapor Malaysiakini.com.

Eskay juga dilapor cuba meletakkan beban dakwaan kononnya Anwar adalah pelaku dalam video itu kepada wartawan.

Menurutnya, beliau menjemput wartawan terpilih untuk menonton video itu di Hotel Carcosa pada 21 Mac lalu kerana mahukan mereka membuat penilaian sama ada pelaku dalam rakaman itu adalah Anwar.

"Saya menghubungi wartawan untuk tanya sama ada orang dalam rakaman itu adalah Anwar, itu sahaja. Anda yang paling rapat dengan dia, selalu mewawancara dia," kata Eskay kepada pemberita yang kelihatan tercegang dengan kenyataan beliau.

Anwar sebelum ini membuat laporan polis terhadap Eskay, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim kerana menfitnah beliau bersabit rakaman 21 minit itu.

Mereka turut mengugut untuk menyebarkan video itu kepada rakyat jika Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berundur dari politik dalam tempoh seminggu.

Video fitnah berkenaan kemudian disebar secara meluas di internet oleh blogger Umno- Barisan Nasional.

Terima Kasih Najib Dan Rosmah. I Love U!

Posted: 04 May 2011 07:48 AM PDT

Ron 97 Berharga RM2.90 Bermula Tengah Malam


KUALA LUMPUR 4 Mei – Bermula tengah malam ini, petrol RON 97 akan dijual pada harga baru, iaitu RM2.90 seliter.

Kenaikan itu bagaimanapun tidak melibatkan RON 95 dan bahan api lain di negara ini.

RON 95 kekal pada harga RM1.90 seliter.

Kenaikkan RON 97 ini adalah yang tertinggi dalam sejarah negara dan dipercayai berikutan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Bulan lalu, harga petrol RON 97 dinaikkan 20 sen kepada RM2.70 seliter.

Harga RON 97 diapungkan sejak 31 Januari lalu mengikut harga pasaran semasa dan sejak itu ia kali ketujuh harga petrol gred itu dinaikkan.

Petrol gred ini lazimnya digunakan oleh kenderaan yang memerlukan prestasi yang tinggi. Semua kenderaan berpendaftaran asing dilarang membeli RON 95 dan mereka menggunakan minyak gred RON 97.

RON 97 pada suatu ketika juga adalah minyak yang seringkali digunakan oleh rakyat sehingga minyak lebih murah RON95 diperkenalkan pada September 2009. Ketika itu RON 97 berharga RM1.80 seliter.

Ulama Malaysia kutuk cara Amerika urus jenazah Osama

Posted: 04 May 2011 05:30 AM PDT

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengutuk cara yang digunakan Amerika Syarikat (AS) ke atas jenazah Osama bin Laden sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang memalukan dan bercanggah dengan prinsip menghormati agama.

Dalam satu kenyaan dikeluarkan hari ini, Yang Dipertua PUM Datuk Syeikh Abdul Halim Abd Kadir berkata mengurus jenazah, dalam kes ini melibatkan Osama, dan mencampakkannya ke dalam Laut Arab merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan yang ditunjukkan oleh mereka.

"Apalagi yang mereka mahu setelah umat Islam diperlakukan mengikut citarasa mereka?

"Mereka menyerang Libya dengan menggunakan NATO walaupun (pemimpin Libya Muammar) Gaddafi telah bersetuju untuk berunding. Tiada langsung sifat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh mereka ke atas perlakuan jijik sebegini," kata beliau lagi.

Syeigh Abdul Halim berkata walaupun Osama dikelaskan sebagai pengganas dan merupakan orang yang paling dikehendaki Washington, namun jenazah beliau masih perlu dihormati dan diuruskan pengebumian dengan sempurna.

"Bukan dengan cara mencampakkan ke dalam laut tersebut.

"Kami berpandangan sepertimana Al-Azhar dan umat-umat Islam yang prihatin di seluruh dunia di dalam hal ini," katanya lagi.

Tambah beliau, cara pengurusan jenazah ala Amerika ini dikhuatiri akan menambah kemarahan umat Islam dengan tindakan yang sengaja membuat provokasi tidak sihat.

"Kita bersetuju menentang sebarang bentuk keganasan dan keganasan tiada tempat di dalam Islam.

"Namun kaedah menanganinya janganlah menampakkan bahawa seakan sudah ada satu keputusan pihak barat untuk menghukum Islam dan menjadikan umat Islam sebagai mangsa," kata beliau lagi.

Jenazah Osama disemadikan di utara Laut Arab semalam.

Negara tak stabil tanpa wakil Cina dalam kerajaan, tegas Mahathir

Posted: 04 May 2011 04:57 AM PDT

Oleh Clara Chooi


PUTRAJAYA, 4 Mei – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata komuniti Cina perlu mengekalkan MCA dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan dan kerjasama pelbagai kaum negara ini berterusan.

Sehubungan itu tegas bekas perdana menteri , perkara tersebut menjadi perhatian seluruh negara memandangkan tanpa kerjasama antara pelbagai kaum dalam kerajaan, ketidakstabilan akan menjadi satu isu.

"Ia akan mencetuskan kebimbangan bagi seluruh negara. Apabila kita membahagikan kita kepada Cina dan Melayu, dan kita bertelagah satu sama lain, maka akan berakhirlah kerjasama dan tidak akan wujud kestabilan dalam negara," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Penulisan Esei MPH-Yayasan Kepimpinan Perdana 2010 di sini hari ini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kaum Cina perlu membuat pilihan sama ada untuk memilih MCA pada pilihan raya umum ke-13 atau kehilangan wakil dalam Kabinet pusat dan negeri.

Kata Najib, masyarakat Cina telah diberikan mesej yang jelas dalam isu tersebut.

"Pengundi kaum Cina telah diberi mesej jelas berhubung perkara itu," kata beliau.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata beliau melihat MCA mahu memberi satu mesej kepada pengundi keturunan Cina bahawa mereka tidak boleh menyokong pembangkang dan dalam masa yang sama mahu penyertaan kuat dalam kerajaan.

Sehari sebelum itu, MCA, komponen kedua terbesar dalam BN, mengumumkan pendirian tidak akan menerima sebarang jawatan peringkat pusat dan negeri jika calonnya gagal mencapai keputusan terbaik pada pilihan raya umum ke-13.

Presidennya Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, penolakan jawatan tersebut turut melibatkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

''Keputusan yang diambil hari ini hanyalah (bermakna) kita tidak akan menerima apa-apa jawatan di peringkat Kabinet dan negeri, bagaimanapun MCA masih tetap kekal sebagai parti komponen BN.

''MCA akan terus duduk dan menyokong BN kerana kita masih yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib khususnya dalam program transformasi ekonomi dan negara," kata beliau.

''Kami yakin kewibawaan Perdana Menteri selaku pemimpin masyarakat majmuk untuk mencapai gagasan 1 Malaysia," katanya.

Dr Chua berkata, keputusan yang diambil itu secara tidak langsung akan menyuntik semangat kepada seluruh ahli MCA untuk menggandakan usaha bagi meningkatkan sokongan masyarakat Cina menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Pada 8 Mac 2008, MCA memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen dan 31 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi parti terbabit.

Dalam komennya hari ini, Dr Mahathir bersetuju bahawa Najib telah menekankan dengan jelas bahwa sekiranya MCA memperlihatkan prestasi buruk dalam pilihan raya umum akan datang, pemimpin-pemimpin parti itu tidak akan dilantik menganggotai kerajaan.

"Anda tidak boleh mengharapkan bahawa jika tidak ada calon-calon (MCA) tetapi Barisan Nasional menang, mereka akan mengambil seorang wakil DAP sebagai menteri.

"Ia tidak mungkin," kata beliau dengan merujuk kepada senario 1969 apabila bekas presiden MCA mendiang Tun Tan Siew Sin mengambil pendirian yang sama.

"Tetapi dalam mana-mana kes, MCA masih menang sejumlah banyak kerusi, dan oleh itu ada calon-calon MCA untuk diwakili dalam kerajaan."

Shazryl: Saya akan dedah perkara baru pasal Anwar

Posted: 04 May 2011 03:30 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 4 Mei — Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah berkata beliau akan membuat pendedahan baru mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun tegas Shazryl, pendedahan itu hanya akan dibuat selepas polis menyelesaikan siasatan dan mendedahkan siapa pelaku dalam rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar.

"Saya akan dedahkan lagi mengenai Anwar tapi akan tunggu siasatan polis selesai.

"Selain itu, saya juga tunggu polis mendedahkan siapa pelaku dalam rakaman video seks itu... kemudian baru saya akan buat tindakan.

"Pendedahan terbaru ini tiada kena-mengena dengan rakaman video seks, ini soal lain," katanya kepada wartawan selepas memberikan keterangan berhubung kekecohan yang berlaku ketika beliau melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru al-As.

Shazryl, salah seorang "Datuk T" pada 21 Mac lalu telah menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks itu kepada wakil media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara.

Dua lagi "Datuk T" adalah bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Pada sidang media ringkas itu juga Shazryl juga menafikan dakwaan kononya rakaman video seks itu dibuat di Thailand ekoran klip yang disiarkan di laman Youtube mempunyai perkataan Thailand.

"Saya tidak tahu, video yang saya dapat hanya ada tarikh sahaja dan tiada perkataan-perkataan lain.

"Video itu diperoleh di Malaysia," katanya sambil menambah terpaksa memakai baju kalis peluru ketika melakukan sumpah laknat kerana bimbang akan diserang penyokong Pakatan Rakyat yang turut berada di Masjid Amru al-As.

Beliau juga berkata baju kalis peluru adalah miliknya sendiri dan bukan ditaja mana-mana pihak.

"Ia baju saya sendiri sebab sebelum ini saya adalah konsul besar Thailand dan jurucakap untuk negara ini dalam soal keamanaan, jadi anda tahu bagaimana keadaan di sana?

"Tan Sri Rahim dan Datuk Shuib saya tidak tahu daripada mana mereka dapat," katanya.

Mengenai keengganan Anwar melakukan sumpah laknat dan ujian poligraf, Shazryl bagaimanapun berkata "biar rakyat sahaja menilai siapa sebenar Anwar."

"Saya tidak buat qazaf sebab saya tidak tuduh Anwar berzina, saya tanya betulkah beliau?" katanya.

Selain itu, beliau juga meminta supaya penyokong Pakatan Rakyat yang mencetuskan kekecohan ketika upacara sumpah laknat itu meminta maaf kepada umat Islam.

"Ya... ya.. mereka perlu minta maaf kerana perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku dalam masjid.

"Saya minta Allah melaknat saya, bukan saya minta melaknat orang itu... saya minta Allah laknat saya kenapa perlu halang?

"Kenapa perlu halang saya minta Allah laknat saya? Masjid bukan tempat buat kecoh," katanya.

Shazryl pada 27 April telah memberikan sampel DNA kepada pihak polis bagi membantu siasatan rakaman video seks itu.

Mengulas keterangan yang diberikan hari ini, Shazryl berkata menerima panggilan telefon pagi tadi meminta beliau hadir ke Balai Polis Kepong untuk membantu siasatan berhubung kekecohan yang berlaku itu.

"Saya menerima panggilan telefon pagi tadi meminta saya hadir memberikan keterangan di Balai Polis Kepong berhubung kekecohan yang berlaku di Masjid Amru al-As.

"Saya hadir pada pukul 11 pagi sehingga 1.30 petang tadi. Dalam keterangan itu mereka bertanyakan bagaimana keadaan yang berlaku dalam masjid itu dan saya telah memberikan kerjasaman," katanya.

Tambah Shazry, Rahim dan Shuib juga akan memberi keterangan hari ini.

Kekecohan yang berlaku di Masjid Amru al-As itu diketuai Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin bersama barisan kepimpinan sayap pemuda PKR itu selain mendapat sokongan penyokong Pakatan Rakyat.

Sejurus selepas solat Jumaat, mereka melaungkan takbir dan mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil tindakan qazaf terhadap "Datuk T" sebelum membenarkan sumpah laknat dilakukan.

Selain Shamsul, turut berada dalam masjid itu timbalannya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan naib ketua Azmizam Zaman Huri.

Shazryl bagaimanapun berjaya melafazkan sumpah laknat dengan dikawal ketat polis.

Khairy fail minta batal saman fitnah RM100 Juta Anwar

Posted: 04 May 2011 03:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah RM100 juta yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khairy memfailkan permohonan itu pada 21 Februari lalu atas alasan saman itu remeh dan menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Laporan Bernama menyebut, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Anisah Normah Muhammad Nor menetapkan 16 Jun bagi pengurusan kes itu selepas mengadakan perjumpaan dengan peguam Sarah Abishegam yang mewakili Khairy dan Sulaiman Abdullah yang mewakili Anwar, semasa kes itu dibentangkan untuk pengurusan kes hari ini.

Sarah memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan tarikh itu untuk semua pihak meneliti afidavit berhubung permohonan pembatalan saman itu.

Anwar, 63, memfailkan saman terhadap Khairy pada 7 Mac 2008, mendakwa Khairy, ketika itu naib ketua Pemuda Umno, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan telah menyebabkan klip video bertajuk "Anwar and kin no threat" dimuat naik dalam beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com.

Anwar mendakwa klip video yang dimuat naik dalam Malaysiakini.com memaparkan Khairy mengeluarkan perkataan berunsur fitnah pada satu ceramah di Lembah Pantai di sini atau pada 20 Februari 2008.

Beliau berkata perkataan memfitnah itu, antara lain membawa maksud beliau terlibat dalam aktiviti yang bercanggah dengan Islam, tidak berkelakuan baik dan tidak layak memegang jawatan politik atau jawatan lain.

Anwar memohon ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM100 juta dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Khairy, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 8 Oktober lalu berkata beliau bersandar pada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.

Katanya sebagai naib ketua pergerakan Pemuda Umno pada masa itu, beliau mempunyai tanggungjawab undang-undang, moral dan sosial kepada orang awam dan masyarakat Melayu. Orang awam secara amnya mempunyai suatu kepentingan sah yang bersamaan dalam menerima maklumat tentang hal-hal dalam perbincangan-perbincangan yang memberi kesan kepada kebajikan sosial, ekonomi dan politik.

Pada 4 Disember 2008, Anwar memperoleh penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi terhadap Khairy apabila Ketua Pemuda Umno itu gagal hadir di mahkamah selepas writ saman diserahkan kepadanya.

Bagaimanapun, pada 24 September lalu, Khairy menang dalam rayuannya untuk mengetepikan penghakiman ingkar itu.

Tiada siapa percaya MCA sanggup tolak jawatan kerajaan, kata Guan Eng

Posted: 04 May 2011 02:28 AM PDT

Oleh Debra Chong

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Lim Guan Eng mendakwa MCA berbohong sambil menegaskan tiada siapa yang percaya komponen Barisan Nasional (BN) itu akan berada di luar kerajaan jika sokongan pengundia Cina kepadanya merosot pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung DAP itu berkata sejarah telah menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin Cina dalam BN tidak dapat 'mengelak' diri mereka daripada keistimewaan dan ganjaran yang dinikmati hasil pemegangan kuasa.

Sehubungan itu, Lim menekanakn langkah Datuk Lee Kee Shin dari SUPP yang mengangkat sumpah sebagai pembantu menteri pembangunan insfrastruktur Sarawak semalam sebagai contoh klasik ugutan kosong digunakan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan jika tidak, ia tidak akan ada perwakilan masyarakat Cina dalam kerajaan.

"Tiada siapa yang akan percaya bahawa MCA akan menunaikan kata duanya untuk menolak jawatan atau kedudukan jika pengundi (Cina) sekali lagi menolak MCA dalam pilihan raya umum.

"Lagi pun jika pengundi sudah menolak BN, mengapa tidak MCA keluar (sahaja) dari BN? Sama ada MCA menang besar atau kalah teruk dalam pilihan raya umum, MCA akan terus diberi empat jawatan menteri," kata Lim dalam satu kenyataan.

Edaran Segera: Kenyataan Mufti Perlis : Satu Penjelasan Dari SU Menteri Besar Kelantan

Posted: 03 May 2011 10:29 PM PDT

Kenyataan Mufti Perlis : Satu Penjelasan

Nik Abdul Aziz Nik Mat

Saya merujuk kepada kenyataan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya yang disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia pada hari ini. Beliau dilaporkan berkata mana-mana pihak yang menentang penyatuan di antara UMNO dan PAS ialah pengkhianat kerana al-Quran sendiri telah memerintahkan supaya umat Islam bersatu dan Islam perlu ditegakkan.

Dengan bersangka baik kepada Sohibus Samahah Mufti Perlis, saya menganggap kenyataan tersebut separuh masak atau sengaja dilaporkan separuh masak untuk meletakkan persepsi bahawa Mufti Perlis menghentam pihak-pihak tertentu khususnya di dalam PAS yang menentang penyatuan PAS dan UMNO.

Perlu diingat, PAS melalui pemimpinnya termasuklah Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah berkali-kali menyatakan bahawa penyatuan di antara PAS dengan UMNO boleh berlaku bila-bila masa DENGAN SYARAT UMNO MENGUBAH DASAR KEPADA ISLAM. Ini boleh dirujuk di muka hadapan Sinar Harian, Rabu 14 Julai 2010 yang lepas.

Sekiranya seseorang itu dianggap Islam melalui syahadahnya, maka syahadah sesebuah pertubuhan ialah perlembagaannya. Adakah UMNO telah bersyahadah di dalam perlembagaannya?

Persoalannya, bagaimanakah PAS boleh bekerjasama dengan DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat? Hakikatnya DAP dan PKR tidak menolak prinsip Islam yang dibawa oleh PAS dan tidak mendesak supaya PAS menggugurkan dasar perjuangannya selama ini.

Mufti Perlis seharusnya memberikan komen apakah hukum kerjasama di antara UMNO dengan MCA apabila Presiden MCA menyatakan dengan jelas bahawa mereka boleh menerima kehadiran PAS di dalam BN tetapi DENGAN SYARAT PAS MENGGUGURKAN AGENDA PERJUANGAN NEGARA ISLAM. Utusan Malaysia selaku akhbar yang membela agama, bangsa dan negara juga boleh turut mengulas isu ini. Jika pihak Mufti Perlis berminat untuk mendapatkan kenyataan ini, saya sedia membekalkan salinan laporan akhbar New Straits Time pada 2 Mei 2011 yang lepas di muka surat 9 untuk rujukan pihak Mufti Perlis. Atau saya menukilkan semula bahasanya untuk rujukan : "However, party president Datuk Seri Chua Soi Lek said PAS had to first set aside its agenda to turn the country state into an Islamic State before it could sit down and talk with UMNO about any possible return to the Barisan Nasional fold.."

Begitu juga dengan cadangan MCA untuk menyaman kerajaan negeri Kelantan sekiranya terus menguatkuasakan undang-undang menghalang premis judi beroperasi, apakah hukumnya UMNO selaku rakan kongsi MCA dalam Barisan Nasional membisu seribu bahasa?

Justeru, saya berharap agar Mufti Perlis dapat mengemukakan pelan cadangannya secara terperinci agar dapat difahami dengan jelas letak duduknya kenyataan beliau. Hakikatnya, PAS tidak pernah meletakkan ke tepi agenda perpaduan umat Islam tetapi perlulah diletakkan Islam sebagai dasar terlebih dahulu.

Sekian, wassalam.

Ahmad Fadhli bin Shaari,

Setiausaha Akhbar,

YAB Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 4 Mei 2011 / 1 Jamadil Akhir 1432

Bijak Cerdik TG Nik Aziz Dari Najib

Posted: 03 May 2011 08:15 PM PDT

Apa yang dipaparkan berkaitan isu kematian osama oleh tg nik aziz menyerlah kecerdikan dan kebijaksanaan yang tinggi berbanding ulasan bangang dan bodoh dari najib.

Sekarang ramai ahli agama mengkritik cara najib mengulas. Sebab tu kebebalan najib rakyat perlu ajar!

PAS hanya berjuang tumbangkan Umno — Jamhariah Jaafar

Posted: 03 May 2011 06:00 PM PDT

Pemimpin tertinggi Parti Islam Semalaysia (PAS) bukan saja menolak pelawaan Umno untuk menyertai Barisan Nasional (BN) bagi penyatuan agama, bangsa dan negara, malah secara rasmi menghalalkan kerjasama dengan DAP atas nama tahalul siyasi (kerjasama politik) yang didakwa dibenarkan Islam dan tidak menggadaikan prinsipnya untuk mewujudkan negara Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, nyata sengaja melupakan kenyataan pemimpin veteran DAP, Karpal Singh, supaya PAS "langkah mayatnya dulu sebelum menubuhkan negara Islam".

Sebaliknya, melabel kerjasama politik antara Umno dengan MCA dan MIC sebagai menggadaikan prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu Islam sejak puluhan tahun memerintah.

Ramai bangsa Melayu berasa terpukul dengan kenyataan Hadi yang sadis ini. Nyata ulama ini amat taksub dalam perjuangan politiknya untuk menumbangkan Umno, sehingga mengetepikan dan memandang buruk semua usaha untuk berbaik antara parti sesama agama dan bangsa.

Sabtu lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, meminta PAS menarik diri daripada kerjasama dengan DAP yang langsung tidak menghormati perjuangan menegakkan keagungan Islam, apa lagi untuk membenarkan PAS menubuhkan negara Islam.

"Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam? Hadi, cukup-cukuplah dengan DAP. Ini merugikan kita (umat Islam), jangan sebut mengenai perjuangkan Islam, tinggalkan DAP.

"Tak kisahlah sama ada PAS mahu bersendirian atau bergabung dengan Umno, yang penting mereka tidak boleh bergabung dengan DAP kerana usaha PAS dalam memperjuangkan Islam akan terhalang," kata Najib di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Sebenarnya bukan saja Najib berasa bimbang terhadap sikap biadap DAP ke atas Islam, tapi kebimbangan turut menular di hati pejuang Islam lain apabila pimpinan parti itu terang-terangan menentang usaha penubuhan negara Islam, apa lagi selepas melihat cara ia mengurus orang Melayu di bawah pentadbiran negeri Pulau Pinang.

Tindakan DAP membakar semangat bangsa Cina supaya tidak mengundi Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno, turut menjadi bukti hala tuju parti itu dalam usaha mereka menawan Putrajaya.

Pemimpin DAP juga tidak segan-segan untuk menjilat ludah mereka dalam usaha mencapai apa yang mereka idamkan.

Karpal antara paling lantang mengkritik PAS suatu masa dulu kerana mahu mewujudkan negara Islam dan kenyataannya — "langkah mayat aku dulu" — sudah pasti tidak akan dilupakan setiap umat Islam negara ini.

Karpal juga antara pemimpin DAP yang pernah mendedahkan kegiatan tidak senonoh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 1997, tapi kini dia pula menjadi peguam bela bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang turut pernah dimaki kerana berbohong mengenai usaha menawan Putrajaya pada 16 September, 2008.

Ini adalah hakikat mengenai pemimpin DAP bernama Karpal Singh yang tidak boleh diubah sesiapa pun. Dia adalah musuh perjuangan Islam paling utama.

Justeru, tindakan Hadi menghalalkan kerjasama politik dengan DAP, malah berkata ia tidak menggadaikan prinsip Islam adalah keputusan yang amat mengaibkan pejuang Islam terutama ulama PAS yang membiarkan pemimpin mereka melakukan apa saja demi mencapai cita-cita politik.

Tidak ada siapa yang boleh mendakwa Umno sebagai parti tonggak Melayu dan Islam, gagal dalam melaksanakan pentadbiran Islam kerana usaha memperkasakan Islam dilakukan setiap masa.

"Umno sentiasa istiqamah dalam mempertahankan kesucian Islam dan membela bangsa Melayu kerana itulah prinsip asas perjuangan Umno. PAS sebaliknya boleh mengetepikan sementara prinsip perjuangan semata-mata untuk meraih sokongan politik," kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, tidak salah jika ahli PAS menerima nasihat Perdana Menteri supaya menilai semula kerjasama dengan DAP.

Seperti kata Najib, PAS tidak perlu menyertai Umno sebalik sudah cukup baik jika boleh duduk semeja untuk berbincang mengenai perjuangan agama, bangsa dan negara.

Hadi menyifatkan nasihat Najib itu sebagai janggal dan aneh kerana baginya PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan Umno dan BN yang didakwa melakukan kezaliman.

"PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama dengan pembangkang (DAP dan PKR) dibina dengan berpegang kepada dasar saling membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman," katanya.

Kita mahu tahu di mana Umno dan BN tidak adil dan zalim? Adakah semua ahli PAS tidak mampu mencari rezeki yang halal di negara ini, adakah mereka tidak dibenarkan berjuang untuk parti, adakah masjid ditutup untuk mereka, adakah suara dan kritikan pemimpin mereka disekat daripada disebarkan?

Sudah tiba masanya, ahli PAS membuat pendirian mengenai hala tuju umat Islam negara ini. Jika pemimpin PAS menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak menjadi "pak angguk" kepada BN, ahli PAS juga tidak boleh terus menjadi "pak angguk" untuk menerima apa saja keputusan dan dasar yang digariskan pemimpin tertinggi mereka. — Berita Harian

Negara polis dan kebangkitan rakyat — Fadiah Nadwa Fikri

Posted: 03 May 2011 05:00 PM PDT

"Dalam masa sehari semalam, Malaysia telah bertukar kepada sebuah negara polis", itulah kata-kata yang diungkapkan Tunku Abdul Rahman berikutan Operasi Lalang yang berlaku pada tahun 1987 yang yang menyaksikan penangkapan pemimpin-pemmpin barisan pembangkang dan aktivis-aktivis yang lantang bersuara dalam mengkritik dasar pemerintahan Barisan Nasional.

Operasi Lalang 1987 yang didalangi Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu dengan menggunakan kuasa polis di bawah undang-undang tahan tanpa bicara, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyaksikan sebuah kematian demokrasi, pencabulan hak asasi dan prinsip kebebasan, dan penghinaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia.

Negara polis adalah didefinasikan sebagai "sebuah negara yang dikawal oleh sebuah kerajaan yang bersifat menekan dan menindas secara politik, ekonomi dan sosial masyarakat melalui kuasa polis yang digunakan sewenang-wenangnya tanpa mengikut nas undang-undang".

Negara polis jelas menekan dan menindas kebebasan dan hak asasi rakyat walaupun ia telah dijamin dan termaktub dalam perlembagaan demi mengekalkan kuasa pemerintahan yang bersifat kuku besi.

Kebangkitan rakyat yang ditekan di bawah sebuah negara polis dalam mengekalkan pemerintahan bersifat kuku besi ini dapat dilihat melalui kebangkitan kuasa rakyat di Timur Tengah yang dimulai di Tunisia, diikuti Mesir dan Syria.

Angin kebangkitan rakyat menentang pemerintahan kuku besi ini masih bertiup kencang merentas benua, menyampaikan pesan keramat kuasa rakyat untuk terus bangkit menuntut hak dan kebebasan dari cengkaman dan penindasan pemerintahan yang tidak adil dan zalim.

Mesir, sebuah negara yang diperintah diktator Hosni Mubarak telah menyalahgunakan institusi polis sewenang-wenangnya di mana pada bila-bila masa sahaja polis-polis akan menangkap, menculik, menyeksa dan membunuh rakyat yang lantang bersuara menentang ketidakadilan pemerintahan Mubarak.

Rakyat Mesir, di bawah pemerintahan Mubarak sentiasa diselubungi ketakutan di mana polis pada bila-bila masa sahaja bebas untuk melakukan tangkapan yang tidak sah dan ugutan tanpa dikenakan sebarang tindakan meskipun tindakan polis itu sendiri jelas melanggar peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Sebelum tercetusnya revolusi di Mesir pada tanggal 25 Januari 2011, satu kejadian yang segar di ingatan setiap rakyat Mesir tentang keganasan polis terhadap seorang pemuda bernama Khaled Said telah menjadi satu titik penting kebangkitan rakyat yang tidak lagi sanggup ditekan di bawah budaya keganasan polis.

Khaled Said, 28 tahun, telah ditangkap oleh beberapa orang polis di sebuah kafe internet di Alexandria di mana beberapa orang saksi telah menyaksikan Khaled Said dipukul, badannya ditendang, kepalanya dihentak ke dinding, rambutnya ditarik dan kepalanya dihentak bertubi-tubi di tangga.

Saksi-saksi selanjutnya menyatakan bahawa walaupun Khaled Said berhenti bergerak tetapi polis-polis tersebut masih lagi mencekik lehernya dan terus menendangnya tanpa belas kasihan sehingga Khaled Said menghembuskan nafas terakhirnya.

Kes keganasan polis seperti yang terjadi kepada Khaled Said di Mesir, dan di negara-negara polis di bawah pemerintahan kuku besi tidak asing jika hendak dibandingkan dengan kes keganasan polis di tanah air kita sendiri, Malaysia.

Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Malaysia (Suhakam) Dato' N Siva Subramaniam pernah menyatakan bahawa 70% kes yang dirujuk kepada kepada Suhakam adalah berkaitan dengan kegansan polis yang secara terang melanggar peruntukan undang-undang, norma-norma kebebasan dan hak asasi yang jelas dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kes Khalid Said di Mesir telah menjadi salah satu pencetus kebangkitan rakyat Mesir di mana satu gerakan yang menggesa keadilan ditegakkan untuk Khaled Said di internet telah mencabar rakyat Mesir yang cintakan keadilan dan ingin menamatkan budaya keganasan polis untuk keluar berhimpun dan mendesak agar pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak dijatuhkan.

Washington News dan ABC News telah melaporkan bahawa Khaled Said adalah "Wajah Pencetus Revolusi" yang mencetuskan perhimpunan kebangkitan rakyat Mesir mendesak agar pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak yang memperalatkan institusi polis dijatuhkan.

Malaysia, sebuah negara polis yang diterajui kerajaan Barisan Nasional yang terus-terusan memperalatkan institutsi polis hari demi hari, menyaksikan seorang demi seorang rakyat Malaysia menjadi mangsa keganasan polis.

Kematian dalam tahanan, tembakan tidak mengikut peruntukan undang-undang, penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan sudah menjadi budaya yang berakar umbi di mana polis-polis yang terlibat terlepas dari dihukum kerana undang-undang yang sedia ada hanyalah sekadar hiasan di atas kertas.

Keadilan untuk mangsa-mangsa keganasan polis terus-terus dinafikan, suara keramat rakyat yang dahagakan perubahan terus-terusan ditekan, hak dan kebebasan rakyat terus-terusan dicabul sewenang-wenangnya.

Sudah tiba masanya, kita rakyat Malasyia yang bebas merdeka bangkit untuk mengakhiri budaya keganasan polis yang hanya memanfaatkan kuasa pemerintahan kuku besi kerajaan yang sekian lama menghinjak dan menekan kita, rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan dan keadilan.

* Fadiah Nadwa Fikri adalah seorang peguam dan anggota kanan NGO Lawyers for Liberty.

Pakatan rangka strategi besar hadapi Pilihan Raya Umum ke 13

Posted: 03 May 2011 04:00 PM PDT

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan membincangkan mengenai pelbagai perkara termasuk gerak kerja dan kerjasama antara ketiga-tiga parti, bagi merangka strategi besar menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat akan bermesyuarat untuk membincangkan strategi berkenaan sepertimana diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat hari ini.

"Setiap dua minggu kita akan berjumpa untuk merangka strategi besar hadapi pilihan raya umum ke-13 yang mana ia juga akan membincangkan mengenai persediaan Pakatan Rakyat dan dasar bersama kita, " katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Pakatan Rakyat akan mengambil kira pandangan semua parti komponennya sebelum mengeluarkan senarai kabinet bayangan untuk Sarawak.

"Kita setuju supaya rundingan dibuat. Di Sarawak pun begitu. Kita telah sampaikan kepada kepimpinan parti di Sarawak supaya senarai itu dibincangkan.

"Kita masih berbincang. Ada cadangan daripada DAP dan kita perlu ambil pandangan PAS dan Keadilan Sarawak. Semangat muafakat itu harus diketengahkan," jelas Anwar.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Timbalan Presiden KEADILAN, Mohammad Azmin Ali.

Sementara itu, Pakatan Rakyat sebulat suara bersetuju mengadakan mesyuarat pimpinan tertinggi setiap dua minggu.

Ia bagi memastikan mesej Buku Jingga, satu dokumen rasmi Pakatan Rakyat sampai ke akar umbi di samping menangani isu-isu berbangkit.

Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mesyuarat itu juga akan memperinci persiapan Pakatan Rakyat dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

"Fokus diberikan kepada Buku Jingga dalam menangani beberapa isu rakyat. Ini penting memandangkan Pakatan merupakan pilihan alternatif untuk rakyat akibat kegagalan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun memerintah," katanya.

Ketika ditanya mengenai tindakan Sahzryl Eskay Abdullah yang mengangkat sumpah laknat mengenai video lucah yang ditayangkannya baru-baru ini, Abdul Hadi berkata, ia tidak berlandaskan hukum Islam dan Al-Quran.

"Mereka telah melakukan sumpah yang salah. Sumpah pakai al-Quran, tetapi hukum di dalam al-Quran tidak dipakai. Mengapa bersumpah al-Quran di gunakan tetapi hukum tidak dipakai? Biar dia jawab," katanya.

"Kalau sumpah, mesti pakai hukum yang ada dalam itu (al-Quran). Mengikut Islam tidak cukup menggunakan kitab tetapi mesti memakai hukumnya. Ini sumpah pakai Kitab tetapi tidak digunakan hukum dalamnya, tambah beliau.

Tiada ulasan: