Isnin, 2 Mei 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Rupanya Gambar Mayat Osama Laden Palsu

Posted: 02 May 2011 08:00 AM PDT

http://a1.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/227868_10150167099428046_215868293045_6478571_3720332_n.jpg


Kesian apabila ditipu berkali-kali oleh amerika. kesian kat Hishamuddin

Eskay sedia jalani ujian poligraf dengan dua syarat

Posted: 02 May 2011 07:45 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Selepas sumpah laknat dipertikaikan banyak pihak, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah bersedia untuk melakukan ujian poligraf bagi membuktikan kebenaran berhubung rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun tegas Shazryl, yang merupakan salah seorang "Datuk T", Anwar yang juga Ketua Umum PKR perlu melakukan ujian poligraf selain proses itu perlu disiarkan secara langsung di televisyen.

Ini kerana beliau berkata, tujuan mengenakan dua syarat itu bagi mengelakkan sebarang penipuan dan konspirasi yang mungkin akan timbul jika ujian poligraf itu dilakukan.

"Ujian poligraf saya akan buat dengan dua syarat, yang pertama Anwar kena buat juga dan dia kena lakukan ujian ini dulu, lepas dia buat baru saya akan buat.

"Syarat kedua, ia perlu dibuat dan disiarkan secara langsung di televisyen, saya nak ia dibuat secara langsung...saya tak mahu nanti kata konsprirasi dan macam-macam lagi.

"Biar rakyat lihat ujian poligraf ini secara langsung dan biar rakyat tahu apa itu ujian poligraf dan biar rakyat lihat kebenarannya... kalau sumpah laknat pun kata tak dipakai, lagi kata konspirasi, lebih baik ujian ini dilakukan secara langsung," katanya.

Shazryl berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Datuk Husam Musa yang mencadangkan agar "Datuk T" menjalani ujian poligraf bagi mengesan sama ada mereka berbohong atau tidak berhubung rakaman video seks itu.

Husam yang juga exco kerajaan negeri Kelantan berkata, ujian itu perlu dilakukan bagi membolehkan dakwaan "Datuk T" itu benar-benar boleh dipercayai dan bukan sekadar tindakan terdesak untuk kepentingan politik murahan.

"Kalau Datuk T betul, saya cadangkan adakan ujian poligraf untuk memastikan mereka tidak berbohong mengenai isu video aksi seks). Ujian perlu dilakukan secara terbuka dengan dihadiri panel-panel pakar," katanya.

Selain itu, Husam turut mempersoalkan tindakan Shazryl tidak melaporkan kepada pihak berkuasa agama ketika kejadian seks itu didakwa berlaku, sebaliknya mendedahkannya ketika musim pilihan raya Sarawak berlangsung.

"Mengapa ketika kejadian itu berlaku dia (Eskay) tidak panggil penguat kuasa jabatan agama sebab itu lebih mudah kerana mempunyai saksi cukup untuk dakwa si pelaku dalam video itu," katanya.

Najib tak mahu sertai polemik negara Islam MCA bantah PAS

Posted: 02 May 2011 07:30 AM PDT

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Datuk Seri Najib Razak petang ini mengelak daripada diheret dalam debat berhubung bantahan MCA, yang mengenakan syarat ke atas pelawaan beliau kepada PAS agar menyertai Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri (gambar) mempelawa PAS menyertai BN tetapi Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semalam menutup pintu dengan mendakwa parti Islam itu mesti menggugurkan dasar negara Islamnya.

"Anda tahu, saya tidak mahu sertai polemik mengenai negara Islam sebab ada pelbagai tafsiran mengenai negara Islam," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Dr Chua menutup pintu menyertai BN kepada PAS kecuali ia sanggup menggugurkan prinsip-prinsip negara Islamnya terlebih dahulu.

Dr Chua berkata Najib sedar bahawa partinya tidak akan menerima PAS menukar Malaysia menjadi sebuah negara Islam.

"Pendirian MCA adalah sangat jelas bahawa kami tidak akan menerima PAS dalam usaha mereka menjadikan negara ini negara Islam. Kami tidak akan menerima yang itu dan Perdana Menteri juga memang sedar akan pendirian MCA ini," kata beliau.

"Mereka boleh menyertai BN jika mereka sanggup menggugurkan dasar menjadikan negara ini sebagai negara Islam," kata beliau.

Kelmarin, Najib berkata PAS patut keluar Pakatan Rakyat jikapun tidak memutuskan untuk tidak menyertai BN.

Sehubungan itu Perdana Menteri mendakwa PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam Pakatan Rakyat, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada DAP.

Najib berkata, pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini misalnya, PAS telah bekerja keras, sebaliknya DAP yang dilihat meraih kejayaan daripada usaha keras mereka itu.

"Kita lihat poster di sini (Terengganu) 'PAS ganti Umno', realitinya 'DAP ganti PAS', di Sarawak (pilihan raya negeri 16 April lepas), PAS berkempen berhempas pulas, akhirnya, yang untung, DAP," kata beliau.

"PAS, cukuplah dalam Pakatan Rakyat, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN pun tak apa, tetapi keluarlah dari Pakatan," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Pulau Duyong.

Selain itu, Najib yang juga Presiden Umno dilaporkan mempelawa PAS agar menyertai BN dengan berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

"Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?

"Hadi, cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN," kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia dekat Kuala Terengganu.

Jenazah Osama disemadi di laut

Posted: 02 May 2011 07:15 AM PDT

Paparan skrin laman web FBI menyebut Osama paling dikehendaki sudah mati. Dia terbunuh dalam serangan Amerika di Pakistan awal pagi ini. – Foto Reuters
WASHINGTON, 2 Mei – Amerika Syarikat (AS) berkata jenazah Osama bin Laden telah disemadikan di laut selepas pengasas dan ketua rangkaian Al-Qaeda itu disahkan terbunuh dalam serangan negara itu di timur laut Pakistan awal pagi ini.

Laporan awal menyebut jenazah Osama akan diuruskan mengikut amalan dan tradisi Islam.

Pegawai AS yang enggan namanya didedahkan berkata, amalan itu memerlukan mayat umat Islam dikebumikan dalam 24 jam dan usaha mencari negara yang sanggup menerima jenazahnya adalah sukar.

Oleh itu kata pegawai berkenaan, AS membuat keputusan untuk menyemadikannya di laut.

Bagaimanapun, pegawai itu enggan menyebut lokasi Osama, 54, disemadikan.

Osama disahkan terbunuh bersama empat yang lain termasuk anak lelakinya kira-kira 1.30 pagi tadi (waktu Malaysia).

AS mengadakan ujian DNA dan menggunakan teknik pengiktirafan wajah bagi mengenal pasti dirnya secara forml, lapor Reuters.

Keputusan ujian DNA dijangka akan diketahui dalam beberapa hari lagi.

Soi Lek ugut pengundi Cina?

Posted: 02 May 2011 07:00 AM PDT

Mohd Nasir Awang

Bersungguh benar nampaknya Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, memastikan cetusan ideanya mengenai kedudukan wakil masyarakat Cina dalam kerajaan diberikan perhatian.

Biar pun pendirian kontroversi itu pernah mendapat reaksi negatif termasuk oleh para pemimpin parti-parti rakan komponen Barisan Nasional (BN) sendiri ketika beliau pertama kali menyuarakannya ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 16 April lalu, itu sedikit pun tidak menumpulkan hasratnya terus menjulang ideanya itu.

Kini pendirian sama diulangnya lagi. Dalam kenyataan kepada media pada Jumaat, Soi Lek dilapor mempertegaskan bahawa sikap itu kini menjadi keputusan sebulat suara Majlis Mesyuarat Presiden partinya yang diadakan pada hari sama. Ertinya ia kini menjadi pendirian rasmi MCA dan bukan lagi pandangan peribadi Soi Lek.

Menurutnya, MCA tidak akan menerima sebarang jawatan di peringkat Pusat dan negeri jika parti itu gagal meraih sokongan masyarakat Cina terhadap BN. Katanya, penolakan tersebut bukan sahaja membabitkan jawatan Kabinet dan Exco negeri, tetapi turut melibatkan jawatan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Dalam ungkapan lain, partinya tidak akan mengambil bahagian dalam pentadbiran kerajaan sekiranya ia gagal mencatatkan keputusan memuaskan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

"Maksud kurang memuaskan di sini ialah kita akan guna keputusan pilihan raya umum lalu sebagai penanda aras... jika jumlah (kerusi dimenangi) pada pilihan raya umum akan datang kurang daripada apa kita menang pada 2008, ia dikira tidak memuaskan," katanya.

Pada 2008, MCA menang hanya 15 daripada 40 kerusi Parlimen diperuntukkan kepadanya. Manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun), ia menang hanya 31 daripada 90 kerusi ditandinginya.

Ertinya, jika dalam PRU-13 nanti prestasi MCA lebih buruk daripada itu, parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan. Ada sekurang-kurangnya dua alasan diberikan Soi Lek bagi menyokong pendirian itu.

Pertama, katanya, ia sebagai tanda MCA menghormati pendirian masyarakat Cina yang tidak lagi memilih parti itu. Logiknya, oleh kerana kaum itu tidak lagi menaruh kepercayaan kepada MCA untuk mewakili mereka dalam kerajaan BN, maka apa gunanya ia terus menawar diri memperjuangkan suara mereka.

Di atas hujah sama Soi Lek sebelum ini menggesa parti-parti berasaskan kaum Cina di Sarawak menolak sebarang tawaran menduduki Kabinet negeri seusai PRN Sarawak pertengahan bulan lalu. Kekalah teruk SUPP di tangan DAP dan PKR dijadikan bukti Cina menolak untuk bersama BN.

SUPP yang diberi tanggungjawab mewakili BN di 19 kerusi hanya mampu memenangi enam daripadanya. Bagi Soi Lek, itu sudah lebih dari cukup untuk membuktikan kaum Cina tidak lagi mempercayai SUPP sebagai wakil mereka.

Kedua, menurut Soi Lek, keputusan yang diambil itu secara tidak langsung akan menyuntik semangat kepada seluruh ahli MCA agar menggandakan usaha bagi meningkatkan sokongan masyarakat Cina menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang dijangkakan berlangsung tidak berapa lama lagi.

Sementara Soi Lek dan partinya cuba memperlihatkan sikap bertanggungjawab dan gentleman, pendirian itu juga tidak sukar dinilai dari perspektif berbeza.

Paling tidak, ada yang menilai desakan pemimpin MCA itu seakan menyindir parti-parti komponen lain yang gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan, tetapi tidak malu menerima tawaran menduduki Kabinet. Pada 2008 lalu, selain MCA, masalah kemerosotan sokongan kaum masing-masing turut dialami PPP, Gerakan dan MIC.

Turut menerima kekalahan di tangan pakatan pembangkang ialah presiden ketiga-tiga parti itu. Soi Lek sendiri tidak tersenarai bersama mereka kerana beliau tidak bertanding dalam PRU lalu.

Namun dalam pembahagian kerusi Kabinet, wakil-wakil parti terbabit turut diberikan peluang mengisinya. Barangkali Soi Lek melihatnya sebagai suatu yang tidak wajar.

Sepertimana dia beralasan ketika mendesak SUPP menolak sebarang jawatan Kabinet negeri Sarawak, Soi Lek berpandangan parti-parti terbabit perlu menerima hakikat bahawa kaum yang sepatutnya mereka wakil telah menolak hasrat mereka menjadi wakil kaum tersebut.

Justeru, secara 'gentleman' tidak ada gunanya mereka (parti-parti komponen) yang sudah tidak mendapat kepercayaan kaum mereka beriya-iya untuk terus menjadi wakil kaum masing-masing.

Ia sepintas lalu menampakkan ketegasan, di samping turut terselit unsur merajuk. Malah lebih ketara ia seakan sindiran buat pihak yang kalah agar tidak terus menuntut bahagian dalam pemerintahan, walau pun sudah gagal melaksanakan tanggungjawab meraih sokongan kaum masing-masing kepada BN.

Namun, kesan yang mungkin lebih dihasratkan Soi Lek ialah terhadap kaumnya sendiri. Pendiriannya itu seakan satu amaran tegas kepada masyarakat Cina agar berfikir semula untuk terus memalingkan sokongan daripada BN.

Soi Lek sebenarnya cuba bermain psikologi. Ia seakan mengugut dan memberi kata dua kepada pengundi Cina, sama ada membantu kemenangan MCA atau berdepan risiko tidak mempunyai wakil dalam kerajaan BN nanti.

Itulah tekanan psikologi yang tersirat di sebalik ketegasan Soi Lek. Beliau sebenarnya melontarkan pilihan agar masyarakat Cina berfikir, jika mereka mahu terus diwakili dan suara mereka masih didengari dalam setiap peringkat pentadbiran kerajaan dikuasai BN, mereka perlu kembali memberikan sokongan besar kepada MCA.

Cuma Soi Lek mungkin terlupa bahawa perkiraanya itu dibuat berdasarkan andaian BN masih memerintah negara selepas PRU-13 nanti. Sedangkan gelombang penolakan terhadap BN di kalangan masyarakat Cina sebenarnya dengan cita-cita melihat perubahan pemerintahan negeri dan negara.

Justeru, apa perlunya mereka kembali menyokong MCA dan BN?

Hishammuddin harap kematian Osama bawa keamanan sejagat

Posted: 02 May 2011 06:45 AM PDT

KLUANG, 2 Mei – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berharap kematian pemimpin kumpulan pengganas Al-Qaeda Osama bin Laden dalam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Pakistan hari ini dapat membawa dunia ke arah keamanan dan keharmonian sejagat.

Namun, beliau memberi amaran bahawa perjuangan kumpulan yang terlibat dalam beberapa serangan pengganas di seluruh dunia itu tidak berkisar kepada seorang individu sahaja.

"Saya harap ia (kematian Osama) akan menjurus kepada keselamatan dan keamanan sejagat yang merupakan tanggungjawab bersama," katanya dipetik Bernama.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden dan Ketua Umno Semberong berkata, adalah amat penting bagi semua pihak untuk memahami punca yang menyebabkan kelahiran gerakan militan.

Pemimpin Al-Qaeda kelahiran Arab Saudi yang hidup dalam persembunyian itu dilaporkan terbunuh di dalam satu operasi khas tentera Amerika Syarikat di sebuah rumah di bandar Abbottabad, berdekatan Islamabad.

Dalam pada itu, polis meningkatkan kawalan keselamatan di lokasi penting di seluruh negara sebagai langkah berjaga-jaga berikutan laporan kematian Osama.

Penolong Pengarah Pengurusan (Perhubungan Awam) Bukit Aman, ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata, langkah itu bagi memastikan rakyat negara ini bebas daripada sebarang ancaman keselamatan yang mungkin timbul ekoran laporan tersebut.

"Pihak polis telahpun meningkatkan lagi langkah-langkah keselamatan di kawasan berkepentingan dan sensitif," katanya ketika dihubungi Bernama.

AMK beri amaran, BN jangan buli mahasiswa

Posted: 02 May 2011 06:30 AM PDT

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) memberi amaran kepada Umno-Barisan Nasional supaya tidak berterusan membuli mahasiswa, dengan memperalat bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak berkuasa termasuk polis.

Pengarah Biro Mahasiswa AMK, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata demikian merujuk tindakan yang mahu dikenakan ke atas mahasiswa yang didapati terlibat dalam perhimpunan sambutan Hari Pekerja semalam.

"Dalam isu ugutan membuang mahasiswa yang terlibat dengan Himpunan Hari Pekerja membuktikan bahawa kerajaan UMNO-Barisan Nasional tidak serius menyelesaikan isu pengangguran Graduan dan Graduan kerja tidak ikut taraf pendidikan yang membelenggu mahasiswa.

"Budaya buli ini adalah budaya kerajaan kuku besi yang hanya menggunakan kuasa untuk mencengkam kuasa anak muda dan mahasiswa. Mahasiswa merupakan anak muda yang mempunyai intelek dan sumber daya harus diberi ruang untuk bersuara dan menggilap daya kepimpinan mereka," tegas beliau.

Sebelum ini, seorang aktivis Universiti Malaya yang juga Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Izzuddin Hilmi Mohd Zaini diberi amaran supaya tidak menyertai himpunan hari pekerja 1 Mei atau berdepan dengan tindakan dipecat dari universiti itu.

Menurut laman web gerakan mahasiswa terbabit, amaran itu dikeluarkan Timbalan Naib Canselor dan Alumni Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Rohana Yusof.

Semalam, 18 ditahan, termasuk anggota parlimen Sungai Siput Dr M Jeyakumar Devaraj dalam perhimpunan sempena hari buruh di ibu negara, yang turut disertai kumpulan pelajar.

Menurut Saifullah, pelbagai insiden dan ugutan yang diterima mahasiswa sejak pilihan raya kampus yang lalu sangat menyedihkan termasuk mahasiswa yang dibuang kolej kediaman di Universiti Malaya dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

"Pihak Angkatan Muda Keadilan Malaysia, ingin memberi amaran keras kepada pihak berkuasa UMNO-Barisan Nasional, jika meneruskan budaya pembuli seperti ini akan menyemarakkan lagi kebangkitan anak muda," tegas beliau.

Utusan pecat Presiden NUJ Hata Wahari

Posted: 02 May 2011 06:15 AM PDT

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Kumpulan Utusan telah memecat Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari kerana didapati bersalah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dikatakan mencemari imej syarikat milik Umno itu.

Syarikat itu memaklumkan keputusannya itu dalam satu surat bertarikh 21 April 2011, yang ditandatangani oleh Pengurus Besar Sumber Manusia Mohd Nazlan Osman.

Pada 14 April lalu, panel siasatan dalaman Kumpulan Utusan mendapati Hata bersalah atas tuduhan memburuk-burukkan nama syarikat itu melalui laporan yang disiarkan beberapa media tempatan.

Hata, wartawan kanan akhbar Utusan Malaysia, berhadapan dengan lapan tuduhan yang dikemukakan berdasarkan lapan laporan berlainan yang disiarkan portal dan akhbar.

Hata sebelum ini sering mengutarakan pandangan yang lantang berhubung isu pemilikan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, kejatuhan edaran akhbar dan 'kelemahan' dalam kepengarangan akhbar berkenaan.

Dia telah digantung kerja sejak 11 Januari lalu oleh Kumpulan Utusan.

Tidak jelas sama ada Hata akan dibenarkan meneruskan jawatannya sebagai presiden NUJ ekoran pemecatan hari ini, tetapi wartawan itu yakin kesatuan kebangsaan tersebut akan terus menyokongnya.

Dia juga merujuk kes J. Solomon yang terus kekal sebagai Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) meskipun dipecat oleh majikannya.

Hata menyertai Kumpulan Utusan pada 1995.

Pada 2009, Kumpulan Utusan turut menjalankan siasatan dan memecat Pengerusi NUJ cawangan Utusan, Amran Ahmad selepas didapati bersalah memfitnah syarikat itu dengan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kecurigaan Anwar terhadap Hishamuddin, polis berasas- Johari

Posted: 02 May 2011 05:48 AM PDT

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, kecurigaan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussien terlibat dalam kes video fitnah adalah berasas.

Justeru itu, katanya, Anwar mempunyai sebab untuk mengatakan polis turut terlibat dalam video fitnah berkenaan, memandangkan pihak polis berusaha melengahkan siasatan dan menangkap Trio Datuk T- dalang yang menyebarkan video itu.

Johari berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussien, yang mahu menyaman Anwar kerana mengaitkan beliau dalam isu itu.

"Apa sebenarnya keutamaan Hishamuddin dalam menangani kes video hitam putih ini. Polis lambat bertindak apabila ketiga-tiga datuk T membuat sidang media mengakui mereka terlibat dalam tayangan video seks ini. Anwar juga telah membuat laporan. Jadi apa bukti yang kamu (polis) hendak lagi.

"Sepatutnya Hishamuddin ambil tindakan dengan mengambil prosedur biasa mengikut undang-undang, seperti juga kes-kes yang lain apabila seseorang mangsa mengadu, dan saspek telah mengaku. Polis kena ambil tindakan dengan menyiasat dan mendakwa dia (Trio Datuk t)," ujarnya ketika ditemui di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.

Menurutnya, trio Datuk T telah secara terang mengaku mendedahkan video tersebut kepada orang ramai, yang nyata bercanggah dengan undang-undang iaitu Seksyen 5, Akta Penapisan filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menayang video lucah.

"Itu (polis bertindak) terlalu lambat. Pada 21 Mac video ditayangkan, seminggu tak ada apa lagi (tangkapan). Kalau sebagai pemimpin, sudah tentu Anwar mempunyai kecurigaan mengatakan polis terlibat.

"Oleh kerana polis lambat bertindak dan orang yang kena fitnah ini (Anwar) merasakan polis mengambil kes ini sambil lewa, sudah tentu dia mempunyai pemikiran bahawa kelewatan ini ada hubungkait dengan polis.

"Ini soal maruah. Dia (Anwar) mempunyai sebab musabab yang tinggi untuk mempercayai kelewatan polis bertindak dengan membuat kenyataan besar kemungkinan polis terlibat," tegasnya lagi.

Sementara itu, Naib presiden KEADILAN, Dr Mansor Osman pula berkata, beliau yakin Anwar tidak gentar dengan ancaman tersebut.
"Kalau benar, biarkan sahaja dia memfailkan saman. Kemudian kita, rakyat Malaysia boleh melihat kemampuannya sama ada wujud bukti bahawa polis tidak berpihak kepada kerajaan yang memerintah," kata Mansor.

"Apa yang dilakukan oleh pimpinan Umno dan Barisan Nasional akan 'backlash' kepada mereka, sehinggakan Barisan Nasional sesama mereka sendiri tidak yakin dengan isu tersebut.

"Manakala sokongan rakyat semakin tinggi terhadap kita. Ahli KEADILAN semakin teguh pendirian untuk mempertahan parti," kata Mansor.

Osama, anak bangsawan temui ajal ‘dalam buangan’

Posted: 02 May 2011 04:00 AM PDT

ANALISIS, 2 Mei – Osama bin Laden, anak orang kaya atau bangsawan Arab Saudi, mengubah dirinya menjadi ikon radikalisme Islam, yang mendorong keganasan menentang mereka yang berlawanan kepercayaannya, dan kemudian menjadi pemimpin rangkaian pengganas terkenal – yang menggerakkan siri serangan ke atas Barat.

Serangan yang paling segar dalam ingatan ialah peristiwa 11 September 2001.

Amerika Syarikat (AS) menembak mati Osama ketika Washington sedang membuat persiapan menyambut ulang tahun peringatan ke-10 11 September ini.

Osama, 54, lahir dalam keluarga yang berada, salah seorang daripada lebih 50 anak bagi magnet pembinaan Saudi dan Allahyarham menghabiskan usia mudanya di rumah agam yang dihiasi dengan pelbagai kemudahan mewah dan serba senang.

Pada awal 1980-an, Osama menjadi personaliti antarabangsa berpengaruh yang menyokong pejuang-pejuang kebebasan Muslim di Afghanistan. Kemudian, dia menjadi penganjur dan pembiaya kepada rangkaian pengganas yang melindungi tempat tinggalnya, tinggal di rumah-rumah yang selamat, khemah di kawasan terperinci dan malah di gua-gua di Sudan, Afghanistan dan Pakistan.

Lelaki paling dikehendaki di dunia ini ini terbunuh dalam serangan tentera AS di Abbottabad, kira-kira 50 kilometer (30 batu) di sebelah timur laut ibu negara Pakistan awal hari ini bersama isteri mudanya.

AS menyediakan ganjaran AS$25 (sekitar RM75 juta) ke atas kepala Osama sejak perang ke atas kumpulan pengganas disytiharkan satu dekad yang lalu.

Laporan Los Angeles Times memetik Yossef Bodansky, pakar mengenai aktiviti pengganas yang menulis biografi Osama, menyifatkannya sebagai "orang yang mengisytiharkan perang ke atas Amerika."

Bagi bekas presiden AS George W. Bush dan sebahagian rakyat Amerika, Osama sebenarnya seorang "syaitan."

Pada 1994, kerajaan Arab Saudi menggugurkan taraf kewarganegaraannya. Kebanyakan anggota keluarganya pula, yang rapat dengan kerabat diraja, memutuskan hubungan dengan beliau.

Senarai serangan yang dipertanggungjawabkan ke atas Osama bukan satu dua. Osama pernah dianggap sebagai hero bagi ramai umat Islam di seluruh dunia dan dilabel sebagai Saladin, sultan yang menghalau penceroboh Kristian dari Baitulmaqdis lapan abad yang lalu.

"Kami percaya bahawa pencuri terbesar di dunia dan pengganas ialah orang Amerika," kata Osama dalam satu temu bual dengan majalah pada Februari 1999.

Barat mengaitkan Osama dengan serangan peristiwa 11 September 2001, kedutaan AS di Kenya dan Tanzania, kapal pemusnah USS Cole di Yemen.

Hari ini, Perdana Menteri Britain David Cameron menyifatkan kematian Osama akan membawa "kelegaan besar" di seluruh dunia.

"Osama bin Laden bertanggungjawab ke atas kekejaman pengganas di seluruh dunia... 11 September dan banyak lagi, yang meragut banyak nyawa, kebanyakan rakyat Britian.

"Penemuan dia satu kejayaan besar dan kita tidak perlu membawa kempen menentang pengganas lagi," kata beliau dalam satu kenyataan di London.

Analisis Reuters pula menyebut pembunuhan Osama merupakan satu tamparan psikologi yang besar bagi rangkaian Al-Qaeda.

Bagaimanapun kata laporan itu, ia kemungkinan hanya akan membawa impak praktikal yang kecil ke atas kumpulan pengganas itu, yang semakin tidak berpusat dan secara taktik telah beroperasi tanpa Osama sejak beberapa tahun lalu.

Al-Qaeda dikatakan berhadapan dengan kesan ideologi selepas kebangkitan rakyat biasa di beberapa negara Arab sejak akhir tahun lalu.

Sayap Al-Qaeda yang kini menjadi ancaman besar kepada AS ialah gabungannya di Yemen iaitu AQAP, demikian menurut pegawai-pegawai AS. Beberapa kumpulan mirip Al-Qaeda juga mula mengalami pertumbuhan.

"Dari segi kepimpinan operasi pengganas, Osama tidak menjadi bahan cerita utama sejak beberapa lama," kata Paul Pillar, bekas pegawai risikan AS.

"Desakan kebanyakan operasi adalah bersifat pinggiran, bukannya berpusat... saya menyenaraikan kumpulan-kumpulan seperti AQAP, dan juga entiti-entiti kecil yang lain," kata beliau.

Jadi, timbul persoalan sama ada kematian Osama benar-benar akan mengakhiri rangkaian Al-Qaeda buat selama-lamanya.

Rumah Osama temboknya 6m, tiada telefon dan Internet

Posted: 02 May 2011 01:54 AM PDT

ISLAMABAD, 2 Mei — Kawasan rumah besar atau agam di Islamabad, Pakistan iaitu lokasi di mana Osama bin Laden terbunuh mengejutkan pasukan keselamatan Amerika Syarikat (AS).

Laporan BBC menyebut pegawai-pegawai AS terkejut dengan struktur rumah dan begitu kompleks, yang terletak di ibu negara Pakistan.

Rumah yang terletak di Islamabad itu mempunyai tembok setinggi empat hingga enam meter — lapan kali lebih besar berbanding rumah-rumah lain di kawasan Abbottabad.

Nilai rumah itu dianggarkan mencecah "beberapa juta ringgit", tetapi tiada hubungan atau kemudahan telefon dan Internet.

Pegawai-pegawai AS berkata unit risikan mengesan "utusan yang sangat dipercayai" Obama sejak beberapa tahun lalu.

Identitinya hanya dikesan empat tahun lalu manakala kawasan operasi dua tahun lalu dan pada Ogos 2010, rumahnya di Abbottabad dikesan, sekali gus membawa kepada operasi semalam.

Osama disah mati diserang Amerika di Islamabad

Posted: 01 May 2011 11:30 PM PDT

WASHINGTON, 2 Mei — Pengasas dan pemimpin rangkaian Al-Qaeda Osama bin Laden telah terbunuh dalam satu serangan Amerika Syarikat (AS) di Islamabad, Pakistan, demikian disahkan oleh Presiden Barack Obama pagi ini (waktu Malaysia).

Jenazah Osama yang menjadi buruan AS sejak lebih satu dekad lalu ditemui di sebuah rumah besar di ibu negara Pakistan selepas dipantau sejak tahun lalu.

Obama mengesahkan laporan itu menerusi satu ucapan disampaikan ke seluruh negara itu (sekitar 11.30 pagi ini, waktu Malaysia).
Media AS menyiarkan secara langsung ucapan itu.

"Malam ini (waktu Washington), saya boleh melaporkan kepada rakyat Amerika dan dunia bahawa AS telah mengadakan satu operasi yang membunuh Osama bin Laden, pemimpin Al-Qaeda, dan seorang pengganas yang bertanggungjawab ke atas kematian beribu-ribu orang yang tidak berdosa," kata Obama dalam ucapannya.

Kata Obama, sejurus selepas mengambil alih jawatan presiden pada Januari 2009, beliau telah mengarahkan Pengarah CIA Leon Panetta untuk menjadikan penangkapan atau pembunuhan Osama sebagai keutamaan perang mengatasi Al-Qaeda.

"Kemudian pada Ogos lalu, selepas kerja penat bertahun-tahun oleh komuniti risikan kita, saya diberi taklimat mengenai kemungkinan tangkapan Osama. Ia jauh daripada kepastian. Dan, ia mengambil masa berbulan untuk mengadakan operasi ini.

"Saya berulang kali bertemu dengan pasukan keselamatan saya ketika kami menghimpunkan lebih banyak maklumat mengenai kemungkinan bahawa kami telah mengesan tempat perlindungan Osama di satu kawasan dalam Pakistan," katanya.

Kemudian pada minggu lalu, kata Obama, beliau pasti bahawa AS mempunyai maklumat secukupnya untuk mengambil tindakan dan telah memberi kelulusan bagi operasi membawa Osama ke muka pengadilan.

"Hari ini, atas arahan saya, AS melancarkan opersi yang disasarkan ke atas kawasan di Abad Abad, Pakistan," kata Obama lagi.

"Selepas kejadian tembak-menembak, mereka membunuh Osama dan memperoleh jenazahnya," katanya.

Osama mendahului senarai teratas orang dikehendaki oleh Washington sejak lebih satu dekad lalu.

Dalam pada itu laporan Reuters pula menyebut, menurut pegawai-pegawai Amerika Syarikat hari ini jenazah Osama telah dikesan oleh pihak berkuasa negara itu.

Laporan itu juga menyebut ia dilihat satu pencapaian besar bagi pentadbiran Obama dan pasukan keselamatan kebangsaannya.

Bekas Presiden George W. Bush telah berulang kali tertekad untuk membawa Osama, yang dilabel sebagai dalang peristiwa 11 September, sebelum tamat tempoh perkhidmatannya pada Januari 2009.

Obama menggantikan Bush pada awal 2009.

Osama, kelahiran Arab Saudi, berjaya membolosi buruan askar Amerika Syarikat dan militia Afghanistan di kawasan pergunungan Tora Bora sejak 2001.

Usaha mengesan Osama menjadi 'dingin' selepas beliau dikatakan hilang dan banyak maklumat risikan rasmi percaya beliau berselindung di Pakistan.

Sejak itu, Osama mencemuh Barat dan menyebarkan pandangan Islam militannya menerusi rakaman video.

Selain serangan 11 September, Osama juga dipertanggungjawabkan sebagai dalang serangan bom ke atas Kedutaan Amerika di Kenya dan Tanzania pada 1998 dan ke atas kapal perang USS Cole di Yemen dua tahun kemudian.

AS jamin jenazah Osama diurus ikut tradisi Islam

Posted: 01 May 2011 11:15 PM PDT

WASHINGTON, 2 Mei — Amerika Syarikat memastikan jenazah pengasas dan pemimpin Al-Qaeda Osama bin Laden diuruskan mengikut amalan dan tradisi Islam, kata pegawai-pegawai White House hari ini.

Presiden Barack Obama dan pihak berkuasa Pakistan mengesahkan Osama terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat di Islamabad. — Reuters

Ayman al-Zawahri bakal ganti Osama ketuai Al-Qaeda

Posted: 01 May 2011 11:06 PM PDT

ISLAMABAD, 2 Mei — Doktor dan pakar bedah kelahiran Mesir Ayman al-Zawahri, orang kedua rangkaian Al-Qaeda dijangka akan menggantikan Osama bin Laden ekoran kematiannya dalam serangan pasukan Amerika Syarikat di Islamabad, Pakistan.

Ayman menjadi nadi bagi pergerakan Osama dan juga rangkaian Al-Qaeda dan seringkali mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengecam Amerika Syarikat dan sekutunya menerusi mesej-mesej video.

Dalam kenyataan terbaru yang dipantau SITE Intelligence Group bulan lalu, Ayman menggesa umat Islam menentang tentera Nato dan Amerika Syarikat ekoran serangan ke atas Libya yang masih berterusan.

Lahir dalam keluarga kelas atasan yang terdiri daripada sarjana dan doktor di Kaherah, Ayman yang kini berusia lewat 50 merupakan individu kedua selepas Osama diletakkan dalam senarai orang paling dikehendaki FBI.

Kedua-dua Osama dan Ayman membolosi tentera Amerika Syarikat yang menggulingkan kerajaan Taliban di Afghanistan pada akhir 2001 ekoran serangan 11 September.

Bagaimanapun Osama terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan tentera Amerika Syarikat semalam dan jenazahnya telah diperoleh, kata Presiden Barack Obama.

Bagaimanapun tiada sebarang butiran mengenai kedudukan Ayman.

Ayman, pemimpin yang berkaca mata dengan rambut kelabu, mendapat perhatian pada November 2008 apabila Obama yang dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat sebagai "house Negro", istilah yang digunakan oleh pemimpin Amerika Muslim berkulit hitam pada 1960-an, Malcolm X untuk menggambarkan hamba kulit hitam yang setia kepada golongan berkulit putih.

Kemudian dalam kenyataan video pada September 2009, Ayman kembali menyerang Obama dengan menyifatkan kepimpinannya tidak jauh berbeza daripada George W. Bush.

Seperti Osama, Ayman dipercayai berlindung di kawasan sempadan Afghanistan-Pakistan.

Rakaman video kedua-dua mereka bersama disiarkan oleh stesen TV Al-Jazeera pada 10 September 2003.

Ia menunjukkan kedua-dua mereka berjalan di kawasan pergunungan dan melaungkan jihad dan memuji mereka yang melakukan serangan 11 September.

Penganalisis menggambarkan Ayman sebagai ketua pengurusan Al-Qaeda dan mentor rapat Osama.

"Ayman seperti otak dan badan bagi Osama," kata peguam Montasser al-Zayat dari Kaherah yang pernah mewakili Ayman. - Reuters

Terkini: Isu Sumpah Laknat & Perlukah Dibalas Sumpah?

Posted: 01 May 2011 06:00 PM PDT

Oleh

Zaharuddin Abd Rahmanhttp://www.blogger.com/img/blank.gif

www.zaharuddin.net

oath

Sekali lagi isu sumpah berdengung hebat di dalam negara kita. Dalam peruntukan perundangan Islam, amalan sumpah wujud dengan syarat-syarat tertentu, bagi mensabitkan sesuatu dakwaan atau menolaknya. Apabila itu dilakukan, bermakna individu yang bersumpah sedang menyandarkan inti yang dikatakannya kepada Allah. Tindakan itu menjadikan inti yang didakwa atau bantah itu mempunyai suatu 'weight' menurut perspektif hukum Islam atau secara spiritual, malah juga mempunyai pengaruh di dalam menagih keyakinan dan kepercayaan hakim dan masyarakat umat Islam.

Ramai yang bertanya saya pandangan berkenaan sumpah yang dilakukan oleh orang-orang politik dengan bermotifkan politik tentunya. Sebenarnya, eloknya sokongan yang diinginkan tidaklah digunakan mana-mana kaedah-kaedah Islam sebagai platformnya. Ada yang berusaha untuk menjadikan satu peraturan dalam hukum Islam iaitu sumpah dengan nama Allah sebagai senjata dalam politik kepartian. Bagi saya,itu kurang sihat.

Bagi mereka yang sudi membaca dan menyelak lembaran artikel ini, saya nasihatkan agar membaca dengan tenang sehingga habis sebelum membuat sebarang tanggapan dan komentar. Itu perlu bagi mendapatkan gambaran jelas kandungan artikel ini.

WUJUDKAH SUMPAH LAKNAT DALAM HAL TUDUH ZINA?

Kembali kepada isu terkini iaitu 'sumpah laknat' yang dilakukan oleh Dato' Eskay di dalam masjid tempohari sambil memegang dan mencium Al-Quran. Oleh kerana sumpah tersebut dilakukan atas dasar dan prinsip hukum agama, bagi dianggap sah dan mempunyai nilai, cara ia dilakukan mestilah disandarkan kepada dalil khusus dari Al-Quran atau Al-Hadis. Oleh itu, menjadi satu KEMESTIAN bagi memastikan sumbernya dalam hukum Islam dan betul pula cara pelaksanaannya.

Kedua hal tersebut mesti disemak sebelum inti sesuatu sumpah itu diterima oleh orang ramai dan pihak berkuasa sebagai mempunyai 'sesuatu kekuatan' untuk menyokong kes individu yang melakukan bersumpah.

Secara ringkasnya, membaca pandangan beberapa tokoh ilmuan tanahair dalam hal sumpah laknat ini, saya bersetuju dengan pandangan beberapa mereka yang secara ringkasnya berkata, sumpah yang dilakukan itu :-

1. TIDAK PERLU; disebabkan proses mahkamah perlu dinantikan bagi menjamin keadilan bagi semua pihak. Maruah adalah isu besar dalam Islam, justeru, setiap kes yang boleh memalukan dan tidak lagi dipastikan benar atau salah, mestilah dibicarakan secara adil di tempat perbicaraan yang tertutup.

2. TIDAK TERPAKAI; sumpah laknat dengan nama Allah itu tidak dikira terpakai atau sah, kerana sumpah laknat atau li'an hanya wujud untuk urusan suami isteri yang menuduh isteri pasangan mereka berzina, sebagaimana wujud peruntukan di dalam Al-Quran dalam surah an-Nur ayat 6-8. Ertinya :

"Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima: bahwa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta." (An-Nur 6-7)

Justeru, sebarang tindakan mewujudkan sumpah laknat dalam hal menuduh zina individu lain adalah SATU TINDAKAN SALAH atau REKA CIPTA DALAM URUSAN AGAMA yang tidak dibenarkan oleh Islam. Ia ditegah oleh seluruh para ulama berdasarkan dalil-dalil yang sangat banyak, disebabkan ia memungkinkan individu secara bebas mencipta peruntukan baru tanpa sebarang basis atau sandaran dalil.

3. MENGELIRUKAN; Protokol sumpah tersebut dilaksanakan secara sangat mengelirukan dan ada juga yang kurang tepat, ini kerana bersumpah sambil memegang al-Quran bukanlah satu keperluan. Nabi bersabda :-

فمن كان حالفاً فليحلف بالله أو ليصمت

Ertinya : Barangsiapa yang ingin bersumpah, hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah atau (jika tidak), hendaklah dia diam sahaja (tidak bersumpah) (Riwayat Al-Bukhari)

Melakukannya di dalam masjid adalah HARUS menurut mazhab Hanafi dan Hanbali berdasarkan hadis nabi bahawa pernah kes kehakiman dan pertelingkahan serta sumpah laknat antara suami isteri dijalankan di masjid pada zaman Nabi s.a.w. ( rujuk Fath Al-Bari, 3/133 ; Syarah sohih Muslim An-Nawawi, 1/121 ).

Bagaimanapun mazhab Syafie menganggap melakukan urusan sumpah dan perbincangan pertikaian hak serta tuduh menuduh di dalam masjid adalah MAKRUH. (Fath al-Aziz, Al-Rafi'e, 8/165 ; Al-Muhazzab, Al-Shirazi, 2/293)

Apapun, kita tidak mahu, kaedah dan cara khususnya memegang Al-Quran ketika bersumpah dan dibuat di dalam masjid sedang telah wujud mahkamah, menjadi syarat dan kebiasaan masyarakat kita, hingga disalahfahami oleh ramai sehingga merasakan ia adalah kaedah dan cara sebenar pelaksanaan sumpah li'an. Sumpah laknat yang sebenarnya, perlu dilakukan di dalam proses mahkamah dengan empat kali, DIIKUTI yang kelima sumpah laknat dan IA TIDAK untuk tontonan dan sebaran awam.

4. Sumpah mubahalah juga tidak perlu dan tidak terpakai, kerana sumpah mubahalah memerlukan kedua-dua belah pihak untuk bertemu dan sama-sama bersetuju.

WALAUPUN BEGITU, SUMPAH BIASA MASIH SAH

Pun begitu, sumpah yang dikira terpakai dan sah dalam kes yang dirujuk adalah hanya sumpah biasa, bukan sumpah laknat. Sumpah biasa boleh dianggap sah apabila dimulakan dengan lafaz "wabillahi, wattallahi" atau salah satu antara lafaz tersebut juga sudah mencukupi.

Namun SUMPAH BIASA ini sepatutnya hanya dilakukan sesudahkan 'bayyinah' atau bukti yang diiktiraf oleh syarak dikemukan di mahkamah. Apakah bayyinah ini?

KEPERLUAN 'BAYYINAH' SEBELUM BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH

Di dalam Islam, setiap individu adalah dianggap TIDAK BERSALAH selagi belum dibuktikan bersalah. Prinsip ini datang dari pelbagai dalil dan disimpulkan oleh para ulama dalam kaedah dan dalil berikut :-



Hadis Nabi :-

لو يعطى الناس بدعواهم؛ لادعى رجال أموال قوم ودماءهم، ولكن البينة على المدعي، واليمين على من أنكر

Ertinya : Kalaulah diberikan (kebebasan) kepada manusia untuk mendakwa; nescaya akan akan individu yang mendakwa milikya harta satu kaum yang lain dan darah mereka, oleh itu (dalam Islam), Pembuktian menjadi tanggungjawab pertama ke atas pendakwa, dan (apabila telah sabit bukti), sumpah menolak adalah bagi mereka yang mengingkari (bukti tadi). ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Kaedah Fiqh :

الأصل برآءة الذمة

Ertinya : Hukum asal (bagi semua individu) adalah bebas dirinya dari tanggungan.

Dan satu lagi kaedahnya :

اليقين لا يزول بالشك

Ertinya : Yakin ( iaitu asal semua individu sebagai tidak bersalah), tidak akan dapat dihilangkan oleh bukti-bukti yang bertaraf syak.

Juga satu prinsip yang berbunyi

ان الشك يفسر لمصلحة المتهم

Ertinya : Sesungguhnya sebarang keraguan ( tidak kukuh bukti dakwaan), akan ditafsirkan sebagai menyebelahi pihak tertuduh (untuk membuktikannya tidak bersalah)

Berkata Az-Zubaydi

قاعدة أصولية مفادها أن الأصل براءة ذمة المكلف عن التكليف المشكوك

Ertinya : Kaedah di atas adalah kaedah usul yang kandungannya menyatakan bahawa asal bagi semua individu yang mukallaf adalah bebas dari dakwaan & tuduhan yang diragukan. (Az-Zubaydi, Taj Al-Urus)

AL-BAYYINAH yang disebut di dalam hadis nabi di atas AMAT diperlukan bagi mewajibkan sumpah ingkar dan bantah dari tertuduh, tanpanya, sumpah tertuduh TIDAK WAJIB sama sekali.

Imam Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni (10/139) dan para ulama menjelaskan ringkasan bahawa untuk mendapatkan bayyinah, ia bergantung kepada kes yang dibawa seperti berikut :

1. Zina dan liwat

Syarat untuk penuhi bayyinah : Empat saksi adil atau pengakuan pelaku.

2. Hukum hudud yang lain seperti bunuh, qazaf, murtad dan lainnya.

Syarat untuk penuhi bayyinah : saksi dua lelaki adil dan sumpah dibenarkan.

3. Jual beli, dan lain-lain pertikaian melibatkan isu harta dan pemilikan kewangan

Syarat untuk penuhi bayyinah : dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua orang wanita ( sebagaimana disebut di dalam Al-Quran) dan sumpah dibenarkan.

4. Penyusuan, kelahiran, dara dan tamat iddah

Syarat untuk penuhi bayyinah : Seorang wanita yang adil.

Justeru, perlu ditegaskan dalam hal zina dan liwat, bagi menganggap bersalah, salah satu antara dua cara ini mestilah menjadi jalannya, iaitu :-

IQRAR ATAU PENGAKUAN SUKARELA secara insaf oleh pelaku bahwa dia melakukan sesuatu kesalahan itu, sama ada mencuri, berzina, liwat, membunuh dan sebagainya. Sebagaimana yang dilakukan oleh pemuda bernama Ma'iz bin Malik Al-Aslami di zaman Nabi Muhammad s.a.w

EMPAT SAKSI LELAKI YANG ADIL; Khusus bagi kes zina dan liwat, sesiapa yang menuduh mestilah membawakan empat orang saksi yang adil lelaki bagi mensabitkan kesalahan pada hukum Islam. Selagi tiada saksi sebegitu, kes MASIH BOLEH diadili tetapi IA BUKAN LAGI TERMASUK DALAM KES HUDUD BAGI SI TERTUDUH. Manakala yang menuduh tanpa empat saksi pula BAKAL DISABITKAN KESALAHAN QAZAF, penuduh hanya boleh terselamat dari hukuman qazaf (yang perlu dilaksanakan di dunia, jika tiada, hukumannya menanti di akhirat amat berat) apabila membawakan 4 saksi seperti di atas atau membawa kes tanpa 4 saksi secara senyap dan tertutup untuk perbicaraan di mahkamah. Di sana, hakim mahkamah akan menyemak semua bukti-bukti tambahan sama ada video, DNA, gambar dan sebagainya untuk beliau menjatuhkan sebarang keputusan di bawah peruntukan ta'zir.

LEPAS 'BAYYINAH', BARU KITA NANTIKAN BANTAHAN

Kerana asal setiap indiivdu TIDAK BERSALAH sehingga dibuktikan sebaliknya, setelah bayyinah dipersembahkan, barulah tindakan menjawab bayyinah perlu dilakukan oleh tertuduh.

Bantahan dan keingkaran hanya diperlukan apabila pihak pendakwa berjaya membawakan bukti yang sah dan diterima oleh pihak qadhi atau hakim. Pihak hakim pula perlu memberikan masa yang sesuai untuk tertuduh membela diri. Namun tertuduh tidak boleh sengaja senyap sunyi tanpa membawakan hujjah balas, bantahan dan ingkaran terhadap bukti yang dibawa. ( Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 16/63; As-Syarh Al-Kabir, Ad-Dardir, 4/151)

BAGI KES DATO' SERI ANWAR IBRAHIM (DSAI)

Melihat perkembangan dalam kes DSAI, menurut pandangan Fiqh Islam tanpa campur tangan politik kepartian adalah seperti berikut :-

a. DSAI TIDAK WAJIB membalas dengan bersumpah bersihnya diri beliau kerana sumpah laknat yang dijalankan itu tidak sah.

b. DSAI juga TIDAK WAJIB menjawab atau respon kepada sumpah laknat yang dilakukan kerana 'bayyinah' belum dikemukan oleh pendakwa.

c. NAMUN, sumpah yang dilakukan dengan nama Allah dengan lafaz yang betul ( wabillah, wattallah) oleh Dato' Eskay adalah sah di sisi hukum Islam. Sama ada sumpah itu datang dari fakta yang benar atau tidak, tiadalah kita perlu menolaknya secara mutlaq. Namun umat ISLAM masih TETAP TIDAK BOLEH MEMPERCAYAINYA kerana ia tidak dilakukan di dalam proses kehakiman mahkamah dan ia juga tidak menyeratkan saksi empat orang yang adil. Sesiapa yang menyebarkan tuduhan zina itu akan tertanggung ke atasnya hukuman qazaf, yang walaupun tidak dilaksana di dunia, bakal amat menyusahkan di akhirat.

d. Jika individu yang dituduh adalah orang kebanyakan yang TIDAK DIKENAL OLEH RAMAI, PASTINYA SUMPAH YANG DITUJUKAN KEPADANYA TIDAK PERLU DILAYAN SAMA SEKALI. Kerana itu semua tidak memberi kesan kepada keputusan hakim di dunia dan Allah. Itulah hokum asal dalam kes seperti ini.

e. NAMUN, hukum asal boleh berubah mengikut zaman dan situasi sehingga menghasilkan hukum pengecualian tertentu. JUSTERU...

MENURUT PANDANGAN PERIBADI SAYA, disebabkan DSAI adalah seorang pimpinan politik tanahair yang besar, menggalas beban tanggungjawab gerakan perjuangan politik yang besar, dicampur dek kejahilan majoriti umat Islam dalam perskitaran Malaysia serta momokan media yang sentiasa memburukan lagi suasana, saya cenderung kepada DSAI PERLU BERSUMPAH dengan NAMA ALLAH MENAFIKAN BELIAU ADALAH INDIVIDU DI DALAM VIDEO SEKS YANG DIDAKWA, itu penting untuk menangkis sangka buruk masyarakat, bukan hanya terbeban ke atas dirinya selaku individu tertuduh, malah menjadi beban terhadap kepada seluruh ahli gerakan pakatan rakyat yang bersamanya serta masyarakat Malaysia lain yang melihatnya sebagai ketua pembangkang. yang terlibat dalam membentuk minda dan masa hadapan masyarakat Malaysia. Sebagaimana pertimbangan dalam bab Maqasid Shariah menyatakan :-

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Ertinya : Menolak keburukan didahulukan dari tindakan mensasarkan membawa kebaikan

Justeru, pada hemat saya, jika DSAI bersumpah dengan nama Allah, paling kurang ia mampu menyelamatkan keburukan yang lebih besar dalam masyarakat seperti bertambahnya individu yang di hukum qazaf di sisi hukum Islam, semakin melemahkan keyakinan terhadap gerakan Pakatan Rakyat di samping mampu meleraikan syak wasangka rakyat 'atas pagar'.

Walau apa jua keputusan mahkamah, itu adalah suatu isu terasing dan boleh dihujjah atas lain-lain platform dan politik. Namun untuk membiarkan sumpah dengan nama Allah iu dibiar beredar di dalam masyarakat tanpa sebarang respon, bagi saya mudaratnya lebih besar, tanpa menafikan melayaninya dengan melakukan sumpah juga ada mudaratnya.

KESIMPULAN

Saya sedar, ahli politik yang melingkungi DSAI pastinya mempunyai pandangan pelbagai, memikirkan strategi, maruah yang mungkin dirasakan jatuh kerana seolah telah berjaya dipaksa untuk turut bersumpah dan sebagainya. Namun tulisan saya ini, benar-benar dari rasa hati sebagai seorang yang neutral, ahli akademik yang melihat perkembangan isu-isu semasa.

Saya berasa amat senang sekali selaku rakyat Malaysia jika DSAI boleh menyahut cabaran sumpah biasa tadi, tiada sebarang malu ditanggung walau terpaksa melakukan itu.

Perkara kedua, kita tidak mahu umat Islam mengambil cara bersumpah ini apabila sahaja ingin mendakwa sesuatu, kerana ia bukanlah cara yang betul dalam masyarakat Islam yang sepatutnya bediri di atas sifat kekuatan amanah dan jatidiri, tiada memerlukan kepada sumpah untuk menagih kepercayaan dan keyakinan.

Bahkan, kita bimbang teknik ini bakal digunakan oleh ramai penipu di luar sana untuk bersumpah bagi mendapatkan perhatian dan mencuri hak orang lain serta mengaibkan. Dari tiga jenis sumpah di dalam Fiqh Islam, sumpah dari penipu dan pencuri ini dinamakan 'al-Yamin al-Ghamus'. Ditanya kepada Nabi apakah 'Al-Yamin Al-Ghamus' itu, baginda menjawab :

وما اليمين الغموس ؟ قال : الذي يقتطع مال امرئٍ مسلم هو فيها كاذب

Ertinya : Orang yang mengambil harta (hak, termasuk maruah dengan mengaibkan melalui qazaf) orang Islam lain (melalui sumpah) sedangkan dia adalah pembohong ( Riwayat Al-Bukhari)

Imam Az-Zahabi, Ibn Hajar Al-Asqalani menghuraikan sumpah dari pendusta (yamin ghamus) ini merupakan salah satu dari dosa besar. Ghamus ertinya tenggelam dan Imam An-Nawawi menyatakan dalam 'Tahzib Al-Asma wa al-Lughaat', sumpah tersebut dinamakan ghamus kerana penyumpah tenggelam dalam dosa dan bakal ditenggelamkan di dalam neraka Allah di akhirat kelak. Di dalam Al-Quran, pendusta bersumpah dan menagih habuan dunia ini disebutkan sebagai:

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Ertinya : Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan menyucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih (Al-Imran : 77).

Justeru, penyumpah dusta ini perlu segera bertaubat dan jika ia telah mengambil hak orang lain melalui sumpahnya, WAJIBlah atasnya untuk memulangkannya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

2 Mei 2011

Menanti pengakuan Anwar — Awang Selamat

Posted: 01 May 2011 04:06 PM PDT

Banyak perkembangan menarik sepanjang minggu ini. Paling mendapat perhatian ialah mubahalah atau sumpah laknat oleh Shazryl Eskay Abdullah, bekas rakan karib, Anwar Ibrahim di sebuah masjid di Sentul, Kuala Lumpur, kelmarin.

Sumpah itu dilakukan bagi membuktikan Anwar adalah pelaku di dalam video seks melibatkan seorang pelacur.

Biarpun dihalang oleh sekumpulan penyokong Anwar dan ahli PKR, beliau tetap meneruskannya. Eskay bersama Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim menghadapi detik yang cemas dalam kejadian semalam angkara ahli PKR termasuk bukan Islam merempuh masuk ke dalam masjid untuk mengagalkan upacara sumpah laknat itu.

Awang tidak faham kebodohan para penyokong Anwar terutama segelintir ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR. Untuk apa menghalang upacara itu kerana Islam membenarkan umatnya berbuat demikian jika perlu? Kalau Anwar dan sesiapa dalam PKR mahu bersumpah laknat juga tidak wajar dihalang. Sudahlah pemimpin PKR itu takut bersumpah laknat, janganlah menghalang orang lain bersumpah. Mana-mana orang Islam tidak boleh membenarkan keadaan di mana orang yang mahu menegakkan kebenaran, dimusuhi sedangkan orang yang melakukan maksiat serta penipuan dijulang. Ini budaya songsang yang bercanggah dengan ajaran Islam. Awang pun tidak tahu berapa lama lagi para penyokong Anwar yang taksub ini akan terus tertipu. Dalam kejadian kelmarin, jika pun Anwar mengarahkan mereka membuat kacau, janganlah sampai mencemari kesucian masjid. Ada penyokong PKR dari kalangan bukan Islam memekik melolong di dewan solat.

Sebenarnya suasana seperti itulah yang mahu Anwar cetuskan sebagai usaha menyelamatkan dirinya. Beliau akan mengheret masyarakat atas isu moral yang beliau sendiri terjebak. Orang tertentu yang 'berseronok' melakukan maksiat, orang lain dan rakyat pula yang mahu dijadikan perisai. Awang dapat tahu, lebih banyak demonstrasi dan bantahan liar akan diadakan oleh PKR selepas ini untuk menaikkan suhu politik negara.

Kepada Eskay, Awang bersyukur atas keberaniannya untuk menegakkan kebenaran. Dalam SMS beliau kepada beberapa kenalan ketika suasana kecoh di masjid semalam, Eskay memberitahu, beliau akan tetap bersumpah laknat biarpun berdepan dengan ancaman maut. Ketika Anwar asyik memberi helah untuk tidak bersumpah dan enggan memberikan sampel DNA (bagi satu kes yang lain), Eskay menampakkan keyakinannya. Itulah juga keyakinan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat oleh Anwar. Bekas pembantu peribadi itu turut membuat sumpah laknat meskipun dicemuh oleh penyokong Anwar. Bagi insan kerdil seperti Saiful, terasa amat getir mencari keadilan tetapi digagahi jua. Awang tabik.

Video seks versi penuh perlakuan seks seorang pemimpin pembangkang mirip Anwar Ibrahim sudah beredar di pasaran. Awang bukanlah mahu mendahului pihak berkuasa dalam membuat penilaian. Tetapi berdasarkan reaksi ramai terhadap rakaman versi penuh, rata-rata mengaitkannya dengan Anwar dan bukannya orang lain.

Rakyat adalah hakim terbaik. Lebih-lebih lagi dalam zaman sekarang, rakyat semakin bijak dan berani dalam membuat penilaian. Anwar harus menerima hakikat ini. Beliau boleh membuat penafian tetapi kebenaran tetap kebenaran.

Apatah lagi terdapat laporan memetik sumber polis baru-baru ini bahawa Anwar adalah orang yang melakukan seks dalam video berkenaan. Ini berdasarkan kajian forensik yang dilakukan di Korea Selatan. Walaupun kenyataan rasmi mengenainya belum diumumkan tetapi banyak petunjuk semakin jelas bahawa Anwar adalah orangnya.

Keengganan beliau melakukan sumpah laknat, misteri kehilangan jam Omega, tiada kemas kini dalam interaksi twitter beliau dan penjelasan yang meragukan, makin tidak memihak kepada beliau.

Persoalannya sampai bila Anwar mahu menafikannya? Lagi lama beliau berbuat demikian, ia akan memberi kesan amat buruk kepada beliau, keluarga serta partinya. Apatah lagi, desas-desus beliau dikatakan mempunyai skandal bersama beberapa lelaki dan wanita termasuk isteri seorang pemimpin, terus menjadi bualan hangat.

Ambillah iktibar daripada ramai tokoh yang pernah terjebak dalam skandal seks sama ada dengan wanita mahupun yang sejenis.

Chua Soi Lek (kini Presiden MCA) tidak mengambil masa yang panjang untuk membuat pengakuan. Beliau malah meminta maaf. Isterinya memaafkan beliau dan hari ini, Soi Lek kembali di persada kuasa parti itu. Awang masih ingat bagaimana pemimpin DAP, Karpal Singh pernah memuji tindakan Soi Lek. Pada hari ini, Karpal sepatutnya meminta Anwar mencontohi Soi Lek.

Di luar negara, Presiden Amerika Syarikat (AS) Bill Clinton turut mengaku selepas skandal seksnya bersama Monica Lewinsky terdedah. Clinton memohon maaf dan menyifatkannya sebagai kesilapan moral yang teruk. Atas pengakuan itu, isterinya, Hillary memaafkan beliau.

Seorang lagi, Gabenor New York, Eliot Spitzer membuat pengakuan terlibat skandal seks dengan pelacur walaupun pada mulanya menafikan. Isterinya turut memaafkan beliau selepas pengakuan itu. Perdana Menteri, John Major pernah menggemparkan negara itu apabila mengakui mempunyai hubungan cinta terlarang dengan seorang bekas menteri Kabinet wanita. Major terselamat kerana isterinya, Norma memaafkan beliau.

Awang percaya, jika Anwar membuat pengakuan, Wan Azizah tidak akan menghadapi masalah untuk memaafkan suaminya itu yang pernah disifatkan sebagai anugerah Allah.

Mengaku, bertaubat dan memohon maaf atas perbuatan yang terkutuk akan dapat membantu dalam proses membersihkan jiwa seseorang. Sebagai orang Islam, Anwar patut lebih tahu hal itu.

Di Barat, ia bukan sekadar tuntutan agama malah menjadi pegangan nilai. Pernah beberapa menteri di United Kingdom di bawar era Tony Blair meletakkan jawatan

Selepas skandal seks sejenis (gay) didedahkan pada 1998. Ron Davies misalnya mengakui bahawa dia adalah gay. Seorang lagi yang mengaku gay ialah Menteri Pertanian ketika itu, Nick Brown. Satu lagi kisah yang menarik melibatkan Menteri New South Wales, Australia, David Campbell setelah kecenderungan seks luar tabiinya terdedah. Campbell akhirnya mengakui beliau telah berselindung mengenai naluri songsangnya selama 25 tahun.

Kesemua politikus yang terlibat skandal itu cukup budiman. Mereka tidak sedikitpun menyalahkan kerajaan atau musuh-musuh politik. Apatah lagi untuk menuduh pihak lain melakukan konspirasi. Banyak lagi tokoh dan personaliti dunia seperti bintang golf, Tiger Wood dan pengacara David Letterman tampil berani membuat pengakuan terlibat skandal seks. Harga diri mereka adalah pada keberanian untuk mengakui perbuatan.

Tetapi ada juga beberapa kes tokoh yang tidak mahu membuat pengakuan walaupun terdapat bukti kukuh. Salah seorang daripadanya ialah bekas Presiden pertama Zimbabwe, Canaan Sodindo Banana, yang pernah menjadi paderi Kristian.

Beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meliwat pegawai peribadinya Jefta Dube pada 1998. Banana kemudiannya didapati bersalah atas 11 kesalahan meliwat, cubaan meliwat dan berkelakuan tidak senonoh. Dia akhirnya meninggal dunia akibat kanser namun tetap tidak mengaku terlibat dalam semua pertuduhan walaupun bukti sangat jelas. Ramai pemerhati melihat, Banana melepaskan kesempatan untuk mendapat sedikit rasa hormat daripada rakyat dan generasi terkemudian. Awang tidak pasti yang mana satu jalan yang Anwar pilih — sama ada akhirnya akan mengaku atau terus bersandiwara menafikan sehingga penghujung hayat. — Mingguan Malaysia

Tiada ulasan: