Khamis, 26 Mei 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Naib Presiden: Tumpuan Kepada Mohd. Nizar Yang Belum Buat Keputusan

Posted: 26 May 2011 01:10 AM PDT

Naib presiden PAS: Nizar terus berteka-teki

Tindakan Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang masih enggan menyatakan pendiriannya sama ada mahu bertanding jawatan naib presiden PAS hingga ke saat-saat akhir mencetuskan pelbagai tanda tanya.

Ini kerana, seramai 13 lagi yang dicalonkan telah membuat keputusan sama ada untuk bertanding atau menolak hasrat daripada 146 kawasan PAS itu.

"Saya belum membuat keputusan. Saya hendak menunggu tiga atau empat fakta (untuk pertimbangan). Saya akan fakskan kepada ibu pejabat parti sebelum jam 5 petang.

"Jadi saya ada (lebih kurang) lima jam lagi untuk (menunggu) tiga, empat maklumat untuk diambil kira," katanya ketika dihubungi Malaysiakini tengah hari.

Jawatankuasa pemilihan yang diketuai ahli parlimen Pengakalan Chepa Datuk Abdul Halim Abd Rahman menetapkan jam 5 petang hari ini merupakan waktu akhir bagi semua calon yang layak untuk menghantar borang penerimaan pencalonan.

Nizar bagaimanapun dilihat berminat turut bersaing ke jawatan itu kerana menjadi kebiasaan bagi pemimpin PAS menolak pencalonan awal-awal lagi sekiranya tidak berminat.

Tindakan Nizar itu dilihat bagi menyusun percaturan dan membuat perkiraan terakhirnya, di samping melihat kekuatan lawannya buat masa ini. -mk

Ulasan GB

Sebelum ini GB pernah menyatakan:

PAS memerlukan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin di dalam barisan pimpinannya sekurang-kurangnya untuk kerusi Naib Presiden.

Kepimpinan beliau diakui dan diterima oleh sebilangan besar bukan sahaja ahli PAS tetapi oleh rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat.

Seorang OKU Rentung Apabila Rumahnya Dijilat Api

Posted: 25 May 2011 11:45 PM PDT

Kuantan - Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) rentung apabila rumahnya hangus dalam kebakaran di Batu 4 Jalan Kuantan-Sungai Lembing di sini hari ini.

Gambar: AZAHAR Ismail, 37, (baju kuning) bersama anggota Bomba dan Penyelamat Kuantan melihat kesan kebakaran yang mengakibatkan abangnya, Nazri Ismail, 40, ditemui rentung selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 6, Jalan Sungai Lembing, dekat Kuantan, pagi semalam. Foto: Shahrul Nizam Mohamad (25/05/2011)

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Nazili Mahmood berkata, ketika kejadian pada jam 10.30 pagi itu, Nazri Ismail, 40, yang lumpuh hampir seluruh badan tinggal bersendirian di rumah.

"Mangsa yang hampir rentung keseluruhan badan dijumpai dalam keadaan cuba menyelamatkan diri akibat rumah kayu yang didiaminya dijilat api dengan cepat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. Sementara itu, adik mangsa, Azha Ismail, 37, berkata kali terakhir dia bertemu dengan abangnya itu ketika menghantar makanan kepadanya di rumah pusaka milik ibunya malam tadi.

"Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, saya terus bergegas ke rumah itu untuk menyelamatkan abang saya, tetapi dihalang oleh penduduk berikutan api yang telah marak," katanya. - Bernama

Wajah Ceria Untuk Menutup Hiba - Mangsa Tragedi Sudah Yatim, Kini Kudung Pula

Posted: 25 May 2011 10:15 PM PDT

Ampang: Mangsa tanah runtuh yang kaki kirinya terpaksa dipotong di lokasi kejadian bagi menyelamatkan nyawanya, Zulkhairi Aminuddin, 13, menerima nasib menimpanya sebagai suratan takdir dan ketentuan Allah.

Walaupun kejadian tanah runtuh itu sudah lima hari berlalu, namun beliau yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang di sini, masih sebak dan trauma terkenangkan saat-saat cemas itu, terutama kehilangan 16 rakan serentak.

"Hingga ke saat ini saya masih sebak dan trauma dengan apa yang berlaku. Namun, saya reda dan menganggap ini semua ketentuan Allah," katanya menitiskan air mata ketika ditemui semalam.

Zulkhairi yang belajar di madrasah itu sejak tiga tahun lalu, berkata ketika kejadian beliau berada di bawah khemah di tepi bangunan utama apabila tiba-tiba berlaku gegaran disusuli tanah runtuh.

"Kejadian berlaku sangat pantas... saya tidak sempat lari menyelamatkan diri menyebabkan kaki saya dihempap batu besar dan tertimbus di bawah runtuhan tanah sehingga ke paras pinggang," katanya.

Kaki kirinya terpaksa dipotong hingga paras lutut oleh pasukan perubatan di tempat kejadian kerana hancur akibat dihempap batu besar.

Selain Zulkhairi, turut dirawat di ICU hospital ialah Mohd Izzuddin Abdullah @ Ibrahim, 29. Seorang lagi, Mohd Irwan Zakaria, 32, yang juga terpaksa dipotong kaki kanan kini sudah dipindahkan ke wad lain untuk pemantauan.

Seorang daripada enam yang dirawat di wad khas bencana hospital itu, Khairul Anuar Nazri, 9, pula dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut kerana disyaki mengalami kecederaan dalaman.

Belum dapat dipastikan bila semua mangsa akan dibenarkan pulang kerana masih diberikan rawatan susulan termasuk oleh pakar psikologi berikutan trauma yang dialami mereka akibat tragedi itu.

Sementara itu, Mohd Irwan pula berkata beliau tidak mungkin boleh melupakan peristiwa sedih dan mencemaskan, Sabtu lalu itu.

Namun, Mohd Irwan yang dipotong kaki hingga paras paha, berkata beliau tidak patah semangat untuk meneruskan pengajian di madrasah itu apabila sembuh kelak dan menganggap apa yang berlaku adalah ketentuan Allah. -BH

Ulasan GB

Mereka akur dengan taqdir Ilahi, bersabarlah wahai anakku...
wahai orang berada, memberilah meskipun mereka tidak meminta ..
mana tahu esok lusa giliran siapa..
Allah sebenarnya sedang menguji kita juga..

Tabie Kurniaan Ilahi Diubah Ikut Suka...

Posted: 25 May 2011 08:25 PM PDT

Mahu tukar nama lelaki

TIDAK KESAMPAIAN... hasrat Mohd Ashraf Hafiz untuk menukar jantina ditangguhkan keputusannya pada 18 Julai depan.

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang pemuda, Mohd Ashraf Hafiz Abd Aziz, 25, untuk menukar jantina dan nama kepada Aleesha Farhana Abd Aziz tertangguh lagi apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan 18 Julai depan untuk mendengar keputusan permohonan berkenaan.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu bagi membolehkannya meneliti hujah dikemukakan peguam Horley Isaacs yang mewakili Mohd Ashraf Hafiz selaku pempetisyen, selain Peguam Kanan Persekutuan, Adhha Abu Bakar bagi pihak Jabatan Pendaftaran Negara selaku responden.

Mohd Ashraf Hafiz, lulusan diploma dalam bidang perubatan dari sebuah institusi pengajian tinggi yang mengenakan pakaian wanita lengkap dengan berbaju kurung berwarna kuning air, bertudung merah jambu dan berkasut tumit tinggi menarik perhatian awam yang menyedari kehadirannya di mahkamah, semalam.

Dia yang menjalani pembedahan menukar jantina di Thailand antara 2008 hingga 2009 kerana mendakwa lebih cenderung kepada perwatakan wanita memfailkan petisyen memohon mahkamah membenarkannya menukar nama Mohd Ashraf Hafiz kepada Aleesha Farhana pada November tahun lalu bagi memudahkannya menguruskan kehidupan seharian selain mahu memasuki universiti untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sama.

Horley dalam hujahnya pada prosiding akhir di mahkamah semalam berkata, anak guamnya disahkan pakar perubatan Pusat Perubatan Pantai dan Hospital Putrajaya layak untuk menjalani pembedahan menukar jantina dan melakukan rawatan hormon serta psikologi sebelum membuat pembedahan di negara jiran. -hm

Ulasan GB

Tak tahu berapa lama dunia akan bertahan... tanda-tada kehancurannya telah terlalu nyata. Tabie kurniaan Allah diubah ikut suka.. astaghfirullah...



Sekolah Diancam Tanah Runtuh

Posted: 25 May 2011 07:00 PM PDT

Baling - Kira-kira 232 pelajar dan 17 guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Bakai dekat sini diancam bahaya ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah bukit di belakang sekolah berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Dalam kejadian terbaru pada dua hari lalu, satu runtuhan kecil berlaku selepas hujan lebat mengakibatkan hakisan di kawasan pinggir sekolah berkenaan.

Akibatnya, dua lubang besar terbentuk yang menjadi laluan air dari puncak bukit.

Kesan-kesan runtuhan batu dan tanah itu hanya kira-kira lapan meter dari bilik darjah dan menjejaskan struktur sekolah yang berkeluasan 1.2 hektar itu.

Pengetua sekolah terbabit, Alias Abdul Rahman berkata, pergerakan tanah dikesan sejak dua hari lalu mengakibatkan berlakunya runtuhan batu dan tanah sehingga memasuki kawasan sekolah berkenaan. -kosmo

Ulasan GB

Kementerian Pelajaran sepatutnya telah bertindak segera terhadap hal-hal sebegini demi mengelak tragedi Hulu Langat berulang.

Binatang Mana Yang Edar Video Lucah Secara Meluas Itu?

Posted: 25 May 2011 05:15 PM PDT

Pengedaran video seks semakin meluas

Semakin ramai pemimpin masyarakat mendakwa menerima video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang.

Terbaru, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Hulu Bernam Mohamad Salleh Ri, seramai sepuluh ketua kampung baru dalam DUN Kuala Kubu Bharu membuat laporan polis berasingan berhubung penyebaran video seks itu.

Katanya, sepuluh ketua kampung berkenaan membuat aduan itu selepas menerima video seks yang dikaitkan dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diposkan ke rumah mereka.

Laporan polis itu dibuat di ibu pejabat polis daerah Kuala Kubu Bharu kira-kira jam 4 petang semalam.

Menurutnya, ketua kampung berkenaan terdiri daripada lapan ketua dari perkampungan Cina dan masing-masing satu dari perkampungan Melayu dan India.

Mereka menerima VCD itu di mana kandungannya adalah versi penuh yang telah dimuatnaik ke internet sebelum ini, kata Mohamad Salleh.

"Mereka menerima VCD fitnah seks Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diposkan ke rumah mereka. Cop (atas sampul surat) ada dari Shah Alam dan ada dari Melaka.

"Kita minta pihak polis menyiasat siapa (yang bertanggungjawab) menghantar VCD ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Tidak sepatut berlaku

Menurutnya lagi, semua ketua kampung itu terkejut dengan apa perkembangan berkenaan kerana penyebarannya tidak sepatutnya berlaku dan merupakan kesalahan di sisi undang-undang.

"Adalah lebih malang sekiranya ia diterima oleh anak-anak ketua kampung," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Mohamad berkata beliau dimaklumkan sebanyak dua lagi ketua kampung Melayu dalam DUN Hulu Bernam menerima VCD yang sama melalui kiriman pos.

Beliau bagaimanapun setakat ini belum menerima VCD tersebut dan pihaknya akan mengumpul jumlah ketua kampung yang menerimanya sebelum membuat laporan polis.

DUN Hulu Bernam mempunyai 18 kampung yang meliputi 14 kampung Melayu, tiga (Cina) dan satu perkampungan India.

Mohamad Salleh yang juga ketua Kampung Gesir Tengah - yang terletak dalam DUN itu - turut dimaklumkan rakannya, bahawa seorang ketua kampung di Kuala Selangor turut menerima VCD tersebut pagi ini.

Dalam satu kenyataaan, exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah berkata VCD seks turut diedarkan antaranya di Hulu Langat, Rawang, dan Sekinchan.

Beliau yang memegang portfolio jawatankuasa tetap pembangunan kampung baru dan penyelesaian kilang haram menggesa ketua kampung membuat laporan polis sekiranya menerima VCD tersebut.

Dilaporkan VCD itu turut diedarkan disebuah masjid di Kuala Langat dan di Selayang sewaktu ceramah tokoh ulama Syria, Dr Wahbah Az-Zuhaili. -mk

Ulasan GB

Apabila tidak ada "manusia" yang mengaku menjadi pengedar video lucah secara besar-besaran di seluruh negara, maka nampaknya ia kerja "binatang" atau kerja "hantu".

Polis jangan marah apabila jika ada rakyat berpersepsi bahawa polis terlibat di dalam konspirasi ini apabila pertamanya kegagalan polis untuk menahan dan mendakwa Datuk T ke muka pengadilan dan keduanya, penyebaran video lucah ini lansung tidak ada larangan malah seperti ianya digalakkan pula oleh pihak polis.

Jika benar begitu, sahih, BN akan tumbang kerana POLIS.


UNIK: Kucing Jadi Ibu Kepada 30 Anak Ayam, Anjing Susukan Anak Harimau

Posted: 25 May 2011 04:30 PM PDT

Heilongjiang, China - Seekor kucing cenderung bertingkah sebagai ibu dari 30 anak ayam yang baru lahir. Tentu saja gelagat kucing itu mengejutkan pemiliknya.

Lao, seorang petani asal, Heilongjiang, China, awalnya khuwatir ketika pertama kali melihat kucingnya, Niu Niu, selalu berdekatan dengan ayam-ayamnya.

"Saya datang ke rumah dan menemukan Niu Niu berada di kandang anak ayam. Pada ketika itu saya khuwatir Niu Niu akan memakannya," katanya, seperti disiarkan di website Orange, Rabu (25/5/2011).

"Saya berteriak ketika itu agar Niu Niu ke luar dari kandang. Namun Niu Niu tetap tak mau keluar dari sana. Ia malah terdiam dan membiarkan anak-anak ayam memanjat ke badannya dan membiarkan mereka bermain," tambah Lao.

Sekarang Lao tak khuwatir lagi untuk meninggalkan Niu Niu bermain bersama bayi-bayi ayam, sementara dia pergi ke ladang.

"Menakjubkan," ujar Lao. "Niu Niu bahkan memeluk anak-anak ayam tersebut dalam tidurnya, dan mereka berkicau seolah-olah mereka berada di bawah perut ibu mereka.

"Niu Niu menjilati anak-anak ayam itu dan bermain dengan mereka sementara mereka mengikutinya ke mana-mana," jelas Lao.


Dua Anak Harimau Disusui Anjing



BEIJING - China memang memiliki pelbagai keunikan. Baru saja diberitakan anak ayam yang diasuh seekor kucing, kini seekor anjing mengasuh dua anak harimau.

Sebuah zoo di China, mengkhabarkan anak-anak bayi harimay yang terlahir hasil dari kahwin silang diantara singa dan harimau atau biasa lebih dikenal dengan liger (lion and tiger) kini dirawat oleh seekor anjing setelah ditinggalkan induknya.

Zoo Xixiakou di selatan China menyatakan bahawa sebenarnya anak-anak harimau tersebut ada empat, namun dua di antaranya tersebut telah mati kerana kelemahan.

Belum diketahui mengapa sang induk meninggalkan anaknya lahir awal bulan ini. Yang jelas sang induk sempat menyusui bayinya selama empat hari, kemudian meninggalkan mereka.

Seperti disiarkan Associated Press, Rabu (25/5/2011), penjaga kebun binatang Cong Wen, mengatakan kedua anak harimau kacuk itu yang kini diasuh oleh anjing tersebut awalnya mengalami kesulitan untuk menyesuaikan susu sang induk baru.

Liger merupakan haiwan peranakan yang jarang wujud. Haiwan peranakan tersebut biasanya dilahirkan hanya di zoo.





Selangor & Pulau Pinang Paling Banyak Terima Pelaburan Asing

Posted: 25 May 2011 08:50 AM PDT

Selangor - paling banyak terima FDI pada Q1

Selangor terus menjadi negeri yang mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi bagi sektor pembuatannya bagi suku pertama tahun ini, menurut perangkaan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (Mida).

Dalam kenyataan media hari ini, ahli exco Selangor Teresa Kok berkata statistik Mida menunjukkan kelulusan FDI bagi sektor pembuatan berjumlah RM1.01 bilion, bagi tempoh Januari hingga Mac.

Kok juga berkata Mida mencatatkan Selangor sebagai negeri dengan projek industri tertinggi iaitu 59, - kira-kira satu pertiga daripada jumlah projek keseluruhan di negara ini yang diluluskan sepanjang tempoh berkenaan.

"Jumlah FDI dan projek membuktikan bahawa ekonomi Selangor adalah kukuh dan ia adalah destinasi popular pelabur luar negara dan juga tempatan,"
kata Kok.

Data Mida juga menunjukkan bahawa Johor adalah negeri utama dari segi jumlah pelaburan kapital dengan jumlah RM3.3 bilion dengan RM2.6 bilion datangnya dari pelaburan dalam negara pada tempoh yang sama.

Dari segi pelaburan kapital, Selangor berada di nombor tiga di belakang Sarawak.

Pulau Pinang pula berada di tangga kedua dalam pelaburan langsung asing dan di tangga keempat dari segi jumlah pelaburan kapital. -mk


Selangor Capai Jumlah Pelaburan Asing Tertinggi Bagi Tempoh Januari - Mac 2011

SHAH ALAM 25 MEI : Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Teresa Kok berkata jumlah pelaburan asing dan projek perindustrian yang tertinggi di Malaysia menunjukkan bahawa ekonomi Selangor terus mantap dan merupakan destinasi pelaburan popular bagi pelabur asing dan tempatan.

Menurut Teresa statistik terkini MIDA (Malaysia Industrial Development Authority) mengenai pelaburan perindustrian di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mac 2011 mengikut negeri menunjukkan bahawa Selangor mencapai jumlah pelaburan perindustrian yang diluluskan sebanyak RM 2.5 billion bagi tempoh tersebut.

Selangor juga berjaya mencapai jumlah pelaburan asing yang tertinggi di Malaysia berbanding negeri-negeri lain iaitu sebanyak RM 1.5 billion. Angka ini merupakan dua kali ganda negeri di tempat kedua iaitu Johor yang memperolehi nilai pelaburan asing sebanyak RM 766 juta.Ia diikuti oleh Sarawak di tempat ketiga dengan pelaburan asing sebanyak RM 656 juta.

Tambah Teresa, Selangor juga mencapai jumlah projek perindustrian yang diluluskan yang tertinggi di Malaysia dengan 59 projek perindustrian. Angka ini merupakan 32 peratus daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia.

"Daripada 59 projek perindustrian yang diluluskan di Selangor, 43 merupakan projek baru manakala baki 16 merupakan projek yang diperkembangkan,Selangor diikuti oleh Johor di tempat kedua dengan 51 projek dan Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 20 projek," katanya.

Menurut Teresa lagi, Selangor mencapai jumlah peluang pekerjaan yang dihasilkan yang kedua tertinggi di Malaysia dengan 3,880 pekerjaan.

Sementara itu RM 1.5 billion atau 60 peratus daripada pelaburan di Selangor terdiri daripada pelaburan asing manakala 40 peratus atau RM 1 billion terdiri daripada pelaburan tempatan.

"Ini menunjukkan bahawa pelabur tempatan juga berpuas hati dengan Kerajaan Negeri Selangor, maka mereka sudi melabur di Selangor.

Di kalangan pelaburan asing di Selangor, Korea Selatan menanam pelaburan yang paling banyak dengan nilai pelaburan sebanyak RM637 juta, diikuti oleh Singapura dengan RM 485 juta, dan Australia dengan RM102 juta." katanya. -tvsnews


Ulasan GB

Tahniah Selangor, tahniah Tan Sri Khalid Ibrahim, tahniah YB-YB PR Selangor. Begitu juga Pulau Pinang. Anda membuktikan PR BOLEH dan menutup terus pintu kritikan para menteri UMNO BN yang selama ini memburuk-buruk pemerintahan PR kononnya PR tidak tahu dan tidak pandai mengurus dan mentadbir kerajaan.

Diharap juga tuan-tuan dapat membantu menggalakkan juga para pelabur untuk melabur di negeri PR yang lain seperti Kedah dan Kelantan dengan bermodalkan "GOOD GOVERNANCE" dan "GOOD GOVERNMENTS" di mana-mana negeri yang diperintah PR.


Takut Rakyat Sokong PR, K'jaan Tangguhkan Kenaikan Harga RON95, Diesel, LPG

Posted: 25 May 2011 07:20 AM PDT

Menteri: Tiada kenaikan RON95, diesel, LPG

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi mengumumkan tidak ada kenaikan bagi petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

"Keputusan ini dibuat kerana kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya.

Bagaimanapun katanya, jemaah menteri tidak membincangkan selama mana keputusan itu akan bertahan.

"Kerajaan tidak tetapkan jangka masa berapa lama harga ini akan dikekalkan tapi buat masa sekarang keputusan kerajaan ialah mengekalkan pemberian subsidi terhadap bahan bakar ini.

"Namun, pada masa yang sama kerajaan akan tetap meneruskan kajian rasionalisasi subsidi secara menyeluruh berikutan peningkatan harga minyak dan gas di pasaran global," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya.

Harga petrol RON95 kini ialah RM1.90 seliter dan diesel RM1.80 seliter. Harga LPG ialah RM1.90 sekilogram.

Tiada kaitan pilihan raya

Kali terakhir harga RON95, diesel dan LPG diselaraskan ialah pada Disember tahun lalu.

Ismail berkata pengekalan harga ketiga-tiga bahan api ini mengakibatkan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM18 bilion setakat ini.

Tahun lalu kerajaan menanggung kira-kira RM8.15 bilion subsidi bagi bahan api yang sama.

Ditanya adakah pengekalan harga bahan api ini ada kaitan dengan pilihan raya umum ke-13, Ismail berkata: "Ia tiada kena mengena dengan pilihan raya."

"Subsidi ini sudah lama kita perkenalkan. Sudah lama. Kalau kita mahu ambil kira soal pilihan raya kita boleh naikkan (harga) ikut bulan-bulan yang kita suka. Tiada siapa tahu (bila) pilihan raya akan diadakan," katanya.

Ismail juga menolak tanggapan bahawa pengekalan harga bahan api itu juga adalah berikutan desakan pembangkang.

"Kita tidak dengar pun daripada pembangkang. Pemuda Umno pun ada buat usul dan sebagainya. Ia bukan sebab pembangkang," katanya.

Ismail juga menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu terpengaruh dengan khabar angin terutama yang dibawa oleh parti pembangkang.

"Saya dapat lihat dalam blog, dalam Facebook, dalam risalah yang dikeluarkan oleh pembangkang mengatakan bahawa kerajaan akan menaikkan harga. Ada yang kata 20 sen, 30 sen. Semua cerita itu adalah cerita bohong, cerita tidak benar," katanya.

Kerajaan sentiasa prihatin

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana "cerita bohong" yang dibawa oleh pembangkang ini lebih dipercayai.

"Percayalah kepada kerajaan (kerana) kerajaan hari ini adalah kerajaan yang mendengar segala pandangan daripada rakyat. Sebelum membuat sesuatu keputusan kerajaan akan ambil kira semua sudut."

"Apa yang kerajaan buat ini jelas menggambarkan kerajaan sentiasa prihatin kepada rakyat. Jadi, saya harap cukuplah jangan percaya kepada cerita bohong daripada pembangkang ini."

Awal hari ini, wartawan sibuk 'mengejar' beberapa menteri di Putrajaya bagi mengetahui keputusan kabinet berhubung cadangan mengurangkan subsidi bahan api itu.

Adalah difahamkan bahawa jemaah menteri tidak membuat sebarang keputusan berhubung kenaikkan tarif elektrik atau isu lain berkaitan subsidi pada mesyuarat mingguannya hari ini.

Sebaliknya menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Ekonomi Kebangsaan (NEC) bagi keputusan muktamad. Selain itu, katanya, kemelut pengagihan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan juga dibawa ke mesyuarat tersebut.

Panel NEC akan putuskan

Panel NEC dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga adalah menteri kewangan dan dianggotai oleh 12 ahli, termasuk, menteri kabinet dan pegawai kanan seperti Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga menganggotai majlis itu.

Dalam perkembangan berkaitan, taklimat media dan sidang akhbar oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin di mana pengurangan subsidi petrol RON95 dan kenaikkan tarif elektrik dispekulasi akan diumumkan telah dibatalkan.

Taklimat media itu dijadualkan di pejabat kementerian berkenaan di Putrajaya pada jam 12.30 tengahari dan diikuti sidang akhbar pada jam 2 petang.

Beberapa akhbar juga melaporkan bahawa jemaah menteri akan membincangkan sama ada untuk menaikkan tarif elektrik dan mengurangkan subsidi petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair pada mesyuarat mingguannya itu. -mk

Ulasan GB

Tajuk GB lebih tepat: sebenarnya Kerajaan Takut Rakyat Beralih Menyokong PR, apatahlagi di dalam situasi bahang pilihanraya makin terasa. Dan keputusan mengejutkan dari Sarawak bikin BN pening kepala.

Terpandang poster macam kat sebelah kanan ni lagi tercacak rambut mereka dan lagi terbeliak mata mereka.

Sebelum ini GB dah cabar, naikkan harga minyak dan harga barangan dan kita akan tengok BN tertonggeng di dalam PRU13 nanti, lebih cepat dari yang dijangkakan oleh ramai penganalisa.

Kuasa di tangan rakyat be!


MUBARAK: Kerjasama PAS&UMNO - Nasharudin OK, Tuan Ibrahim OK

Posted: 25 May 2011 05:45 AM PDT

Pemilihan PAS akan tentukan 'nasib' kerjasama Umno-PAS, kata Mubarak

KUALA LUMPUR, 25 Mei — Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), yang dianggotai pemimpin pro-BN, percaya keputusan pemilihan PAS bulan depan akan mempengaruhi dan menentukan masa depan idea kerjasama antara Umno dan PAS.

Walaupun tidak mengatakan siapa yang boleh membawa ke arah kerjasama itu, namun Presiden Mubarak Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata peluang kerjasama itu akan lebih cerah jika jawatan timbalan presiden dimenangi penyandangnya Nasharudin Mat Isa atau Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut mengesahkan turun gelanggang.

Selain Nasharudin dan Tuan Ibrahim, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu juga akan bertanding jawatan nombor dua itu.

"Nasharudin OK, Tuan Ibrahim OK... perspektif berbeza tapi ada kekuatan masing-masing.

"Tetapi saya rasa jauh di lubuk hati kerjasama itu wujud,"
kata Abdul Aziz pada sidang media di sini.

Beliau bagaimanapun tidak mahu meramalkan siapa yang menang bagi jawatan itu.

"Saya tidak mahu masuk campur, itu terserah kepada PAS untuk menentukannya," katanya.

Mubarak merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri bekas wakil rakyat dan mempunyai keahlian kira-kira 1,000 orang seluruh negara.

Selain Nasharudin, Mohamad dan Tuan Ibrahim, turut dicalonkan untuk jawatan itu adalah Datuk Seri Azizan Razak, Datuk Husam Musa dan Salahudin Ayub.

Bagaimanapun Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Husam memutuskan untuk tidak bertanding jawatan nombor dua itu.

Kesemua calon untuk jawatan tertinggi PAS mesti mengesahkan kesediaan mereka untuk bertanding sebelum pukul 5 petang esok.

Pada sidang media itu juga, Abdul Aziz berkata konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh diperkuatkan sekiranya Umno dan PAS bekerjasama.

"Soal Melayu itu tunggal, kekuatan orang Melayu dan 1 Malaysia tidak boleh diperkuatkan jika orang Melayu berpecah.

"Jadi kekuatan 1 Malaysia itu bergantung kepada kekuatan satu Melayu, 1 Malaysia adalah satu Melayu dan ia boleh dijayakan sekiranya orang Melayu ini bergabung," katanya.

Ditanya mengenai sama ada Barisan Nasional (BN) akan kembali memperoleh kemenangan dua pertiga dalam Parlimen, Abdul Aziz berkata berdasarkan transformasi yang dilakukan Najib, ia boleh.

"Berasaskan kepada transformasi yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak, BN boleh (mencapai kemenangan dua pertiga).

"Kalau kita lihat ia ditunjukkan dalam beberapa pilihan raya kecil yang mana pengundi-pengundi muda, pengundi Cina, pengundi India sudah kembali selepas pilihan raya umum 2008," katanya.

Bagaimanapun tegas beliau, kemenangan itu tidak seharus diletakkan di atas bahu Najib tetapi keseluruhan parti komponen BN.

"Tapi untuk meraih sokongan ini tidak boleh hanya diserahkan kepada Datuk Seri Najib sahaja, beliau ada populariti tapi apa yang diperlukan adalah populariti calon-calon yang akan bertanding.

"Selain itu, MCA, Gerakan dan MIC perlu memainkan peranan yang lebih agresif untuk menjelaskan transformasi yang dibawa Datuk Seri Najib, ini bukan kerja beliau seorang... ini kerja semua parti komponen BN. Transformasi yang dilakukan ini sudah dapat diterima, komponen parti BN juga perlu ada transformasi dan ia perlu dilakukan dengan segera," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat menafikan kemenangan dua pertiga BN dalam Parlimen selain berjaya merampas Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Namun pada 16 pilihan raya kecil yang diadakan, BN dan Pakatan Rakyat berjaya memenangi lapan kemenangan. -TMI

Ulasan GB

Tak perlu ulas kot. Rahsia sudah pecah. Masing-masing dah sedia faham maksud Mubarak tu. Yang tak OK bagi UMNO dalam hal Kerajaan Perpaduan daripada 3 orang calon Timbalan Presiden PAS nampaknya cuma Mohd Sabu. Selain Mohd Sabu, yang dua lain tu dilihat UMNO-friendly. Ayat ini mengesahkannya:

peluang kerjasama itu akan lebih cerah jika jawatan timbalan presiden dimenangi penyandangnya Nasharudin Mat Isa atau Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Jadi wahai perwakilan, pandai-pandailah membuat pilihan!

Sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian?
TIDAK BERGUNA!

p/s Tetapi jika perwakilan pilih juga salah seorang dari dua calon yang disenangi oleh UMNO tersebut, ahli-ahli PAS yang lain macam GB akan tetap bersabar, sehingga ke satu saat ia akan menjadi serupa dulu jugak, mereka sendiri akan menikam "orang mereka". Itu sunnatullah, atau hukum karma atau Teori Fibonacci atau The Golden Rule.... sebutlah apa istilah pun, ia akan mengambil tempatnya. Tak tengok kah dan tak belajarkah apa yang terjadi kepada PKR semasa pemilihan 2010?

Imbas Kembali: Anggota Bomba Titis Airmata Lihat Mayat Kanak-kanak Bertindih

Posted: 25 May 2011 03:50 AM PDT

Kajang, 24 Mei — "Menitis air mata apabila melihat mayat anak-anak ini bertindih antara satu sama lain," kata anggota bomba Khairul Rizal Hassan.

Beliau yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Kuala Lumpur, berkata, apa yang dilihat itu akan menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan sepanjang hidupnya.

"Saya memulakan operasi menyelamat bermula pada hari kejadian lagi, melihat mayat kanak-kanak ini membuatkan hati saya sebak.

"Apatah lagi ada mangsa yang cedera teruk akibat dihempap batu sehingga terpaksa dipotong kakinya," katanya kepada Bernama di lokasi tanah runtuh di Felcra Semungkis, Hulu Langat hari ini.

Beliau berkata kejadian runtuhan ini merupakan tragedi yang paling teruk dan menyayat hati sepanjang tahun ini.

"Jika sebelum ini operasi menyelamat yang saya sertai melibatkan mangsa dari golongan orang dewasa, tetapi melihat nasib kanak-kanak ini dan melibatkan jumlah korban yang besar . . . ia satu perkara yang tidak dapat dilupakan.

"Walaupun sedih ketika itu tetapi sebagai anggota penyelamat kita perlu bersikap profesional dan perlu menjalankan tugas sehingga selesai," katanya yang telah bertugas sebagai anggota bomba selama 16 tahun.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur Dr Che Hassandi Abdullah berkata perasaan sedih mengenai tragedi itu menyelubungi jiwanya sehingga hari ini.

"Walaupun tugas menyelamat dipikul oleh anggota bomba, tetapi pasukan kami turut bekerjasama dengan mereka sejak hari pertama kejadian lagi.

"Sedih sangat apabila melihat kanak-kanak menjadi korban di depan mata kita sendiri dan kejadian itu tidak akan dapat saya lupakan sampai bila-bila," katanya.

Sementara itu seorang pelakon, Tengku Sarina Tengku Muzani, atau lebih dikenali sebagai Kuna, berkata, tragedi yang menimpa anak-anak yatim itu telah membuka hatinya untuk datang dan melihat sendiri keadaan lokasi kejadian yang meragut 16 nyawa.

"Saya datang ke sini bersama rakan-rakan, saya bersimpati dengan keadaan mereka dan dengan itu saya juga datang untuk melawat anak-anak yang terselamat serta memberi sedikit sumbangan peribadi kepada mereka," katanya yang turut berkunjung ke Lembah Azwen Resort yang merupakan tempat perlindungan sementara bagi 24 kanak-kanak yang terselamat. -TMI

PAS Ganti UMNO: PAS Perlu Serius - Prof Abd Aziz Bari

Posted: 25 May 2011 02:45 AM PDT

Aziz Bari: PAS jangan syok sendiri tapi perlu serius jika nak ganti Umno

KUALA LUMPUR, 25 Mei — Prof Dr A Aziz Bari mengingatkan PAS, komponen Pakatan Rakyat, agar tidak terlalu syok sendiri sekiranya serius mahu menggantikan Umno pada pilihan raya umum ke-13.

Justeru kata penganalisis politik itu, PAS yang diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu melakukan lebih banyak transformasi dalam parti.

"Yang kita nak cari dalam PAS ini bukan tok imam tapi panglima, pejuang... sebab itu PAS jangan syok sendiri.

"PAS nak syok sendiri atau mahu kemukakan alternatif kepada rakyat, kalau PAS masih bincang berapa ramai tok lebai nak diletakkan di atas (barisan tertinggi PAS) buat apa? Kalau macam ini PAS belum layak untuk menggantikan Umno?" katanya pada pada forum "Melakar Masa Depan PAS" di sini malam tadi.

Selain itu, beliau juga menegaskan ideologi pimpinan PAS bahawa barisan tertinggi harus dari kalangan golongan ulama perlu dikikis selain bersikap lebih terbuka untuk menerima lebih banyak perubahan dalam parti.

"Dalam PAS ini memang ada yang antiperubahan yang mana mereka nak kekal dengan apa yang ada dan memang ada kumpulan yang gabra dengan perkembangan baru ini.

"Ada yang rasa gelisah bila parti ini buka pintu kepada orang bukan Melayu dan mereka yang gabra ini masih bertanyakan perkara ini," katanya penganalisis ini yang seringkali memberikan pandangan keras mengenai masa depan PAS.

Sementara itu, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Khalid Samad berkata, konsep kepimpinan ulama dari sudut perlembagaan parti itu merujuk kepada Majlis Syura.

Selain itu beliau juga menegaskan tiada dalam perlembagaan parti bahawa barisan kepimpinan harus terdiri daripada golongan ulama.

"Soal kepimpinan ulama kalau dari segi perlembagaan parti merujuk kepada Majlis Syura, tidak mengatakan presiden dan timbalan presiden harus dari golongan ulama.

"Cuma ahli PAS kadang-kadang terpengaruh dengan peranan media dan golongan yang berkepentingan dalam parti yang mengatakan presiden dan timbalan presiden harus dari kalangan ulama," katanya.

PAS, yang berusia lebih enam dekad, akan mengadakan muktamarnya awal bulan depan dengan pemilihan peringkat pusat bagi penggal 2011-2013.

Hadi telah berjaya mempertahankan jawatannya tanpa saingan. -TMI


Aziz Bari: Nasha akan terima kesan lebih parah bila Tuan Ibrahim bertanding

Pengumuman Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti yang akan datang dijangka memberi "kesan yang lebih parah" kepada penyandang yang mempertahankan jawatan, iaitu Nasharuddin Mat Isa, berbanding dengan seorang lagi calon iaitu Mohamad Sabu, kata Profesor Abdul Aziz Bari.

Pertandingan tiga penjuru dijangka berulang dalam pemilihan parti pada Jun 2011, setelah tiga orang pemimpin memperolehi pencalonan yang mencukupi mengumumkan kesediaan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Dalam pemilihan pada tahun 2009, pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Sabu, Husam Musa dengan Nasharuddin Mat Isa akhirnya memihak kepada penyandang, meskipun jumlah undi yang diperolehi kedua-dua orang "pencabar" lebih daripadanya.

Sesetengah penganalisa menganggap Nasharuddin Mat Isa menang kerana kebanyakan perwakilan PAS meletakkan "kepimpinan ulamak" sebagai pertimbangan utama mereka, lantas Husam dan Mat Sabu yang bukan dari golongan ulama gagal mendapat tempatnya. Kali ini, apakah pula kesudahannya apabila Tuan Ibrahim yang berasal dari golongan ulama mengambil bahagian dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden?

"Itu tanggapan atau persepsi kita (bahawa ahli PAS mahukan ulama menyandang jawatan Timbalan Presiden). Sama ada ia benar atau tidak kita kena lihat masa pengundian nanti. Saya yakin perwakilan mahu PAS melonjak dalam politik nasional," jawab Abdul Aziz Bari kepada MerdekaReview melalui emel.

Beliau menambah, "Saya tidak fikir PAS akan mendapat lonjakan di peringkat nasional melalui Tuan Ibrahim atau Nasharuddin . Logiknya saya fikir Tuan Ibrahim akan mengambil undi yang dijangka memihak kepada Nasharudin. Logiknya Nasharuddin yang akan menerima kesan lebih parah berbanding Mat Sabu."

Penilaian terhadap Nasharuddin

Ketika diminta untuk menilai prestasi penyandang jawatan Timbalan Presiden, Aziz Bari melontarkan kritikannya, "Beliau tidak banyak bekerja untuk memperkuat jentera parti. Nasha lebih banyak keluar negara. Di parlimen beliau tidak aktif. Kawasan parlimen juga tidak dijaga dengan baik sama ada di Yan (1999-2004) atau sekarang di Bachok. Nasha juga terlibat dengan usaha mendekati UMNO. Jadi Nasha bukan sahaja tidak memperkasa parti tetapi juga melemahkan PAS dan Pakatan Rakyat."

Abdul Aziz Bari juga mengulas "kepimpinan ulamak", yang dikatakan masih menjadi faktor pertimbangan utama ketika perwakilan memilih pemimpin mereka. "Kita kena sedar bahawa kelayakan 'ulama' ini tidak ada dalam perlembagaan PAS. Ia hanya timbul kerana pengaruh revolusi Iran pada tahun 1979 dan begitu kedengaran sebagai slogan untuk menjatuhkan Asri Haji Muda pada tahun 1982. Selepas itu slogan itu terus ditiup untuk menjadi retorik parti. Tetapi dalam keadaan politik yang sudah berubah dan PAS perlu merakyat dan membuka pintu kepada non-muslim, ulama tidak lagi penting. Malahan ia seperti menjadi liabiliti apabila mereka yang digelar ulama gagal menjalankan kerja," Katanya.

Tuan Ibrahim mengumumkan bahawa kesediaannya untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PAS -MR



Dicekup Berbogel Masa Berurusan Jualbeli Kereta

Posted: 25 May 2011 01:30 AM PDT

Sura Gate, Dungun – Tindakan seorang jurujual kereta yang membawa pelanggannya ke sebuah bilik hotel atas alasan kononnya untuk membincang urusan jual beli kenderaan, membawa padah apabila dia dicekup pihak berkuasa ketika berada berdua-duaan di tempat penginapan tersebut.

Serbuan kira-kira jam 9.30 malam di Hotel Sri Gate juga berjaya membongkar taktik jurujual lelaki terbabit yang difahamkan sering memperdaya wanita untuk urusan tersebut sebelum mendapat habuan seks.

Ketika serbuan dilakukan, jurujual lelaki berasal dari Kuala Terengganu itu hanya memakai tuala mandi, manakala teman wanitanya bersembunyi di dalam bilik air dalam keadaan bogel.

Sehelai baju kurung dan coli wanita milik pasangan perempuan yang berasal dari Besut serta baju kemeja lelaki berusia 28 itu turut dirampas sebagai bahan bukti untuk disabitkan di mahkamah ketika proses pendakwaan nanti.

Pasangan itu bakal dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun atas tuduhan khalwat mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. -SH

Tiada ulasan: