Rabu, 25 Mei 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Penyamun Menjelma Jadi Kucing

Posted: 25 May 2011 12:20 AM PDT

Skudai – Misteri penemuan seekor kucing hitam didakwa jelmaan individu yang mengamalkan ilmu hitam menggemparkan penduduk Jalan Laksamana, Taman Ungku Tun Aminah, di sini.

Kisah berkenaan terus menjadi tajuk perbualan hangat di kalangan orang ramai kerana haiwan terbabit dikatakan sering ditemui apabila serbuan dilakukan sebaik sahaja suara jeritan penduduk kedengaran setiap kali azan berkumandang.

Berkat doa dan solat hajat secara berjemaah selepas selesai isyak malam kelmarin, sekumpulan anak muda berjaya menangkap kucing hitam itu di tandas rumah seorang penduduk.

Kucing jadian itu dimasukkan dalam sangkar dan dibawa ke Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah untuk pengawasan selama 24 jam.

Ia bertujuan untuk memastikan sama ada haiwan terbabit boleh menjelma sebagai manusia, namun tiada sebarang perubahan dilihat selepas sehari kucing hitam itu berada di perkarangan balai polis itu.

Imam Masjid Laksamana, Ahmad Tahir Mohamed, berkata, kucing itu dilepaskan di Sungai Skudai, petang semalam dengan harapan ilmu hitam itu hanyut dibawa arus.

"Kejadian yang berlaku sejak dua bulan lalu menggusarkan penduduk kerana beberapa rumah di sini di pecah masuk yang melibatkan kerugian ribuan ringgit.

"Penyamun berkenaan dipercayai mengamalkan ilmu hitam dan terpaksa memenuhi kehendak untuk melengkapkan ilmunya yang didakwa akan berakhir pada malam Jumaat ini.

"Modus operandi penyamun ini ialah masuk rumah melalui atap belakang. Dakwaan orang ramai berasas, apabila dikejar penyamun ini. Ia akan berakhir dengan penemuan kucing itu," katanya.

Menceritakan kejadian ketika menangkap jelmaan terbabit, Ahmad Tahir berkata, haiwan berkenaan bertindak agresif dengan menggigit salah seorang anak muda yang cuba menangkapnya.

"Keadaan fizikalnya amat pelik dengan mata yang berwarna kemerah-merahan, telinga yang sedikit panjang umpama kucing hutan dan tidak ada bunyi dengusan ketika ditangkap.

"Saya tidak pernah melihat kucing seperti treler (panjang). Tidak sama seperti kucing biasa. Saya percaya ini ada kaitan dengan ilmu hitam," katanya.

Kegusaran penduduk di situ tercetus sejak dua bulan lalu, apabila lebih tujuh kejadian pecah rumah di kawasan itu dilaporkan.

Atas rasa keprihatinan tersebut, 40 penduduk taman itu lakukan pemantauan secara sukarela di waktu malam

"Kami bersembunyi di atas pokok selama beberapa jam untuk menjejaki penyamun ini. Salah seorang penduduk turut tercedera kerana cubaan menangkap jelmaan itu.

"Kami terpaksa berjaga setiap malam sejak dua bulan lalu, dan turut dapat kerjasama polis. Kami bersyukur dan berharap kejadian ini tidak berulang lagi," katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner, Ruslan Hassan enggan mengulas.

"Tiada sebarang laporan yang dibuat oleh orang ramai," katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Dalam pada itu, kejadian mistik ini turut dipanjangkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata, kesahihan kejadian jelmaan seperti itu tidak dapat dikenal pasti sama ada benar-benar berlaku atau tidak.

Menurutnya, kejadian seumpama itu juga ada kalanya bergantung kepada kepercayaan masing-masing.

"Saya tidak pasti sama ada ia benar atau tidak dan adanya kewujudannya seperti itu, jelmaan itu benar-benar berlaku atau tidak, boleh jadi betul atau boleh jadi tak betul, saya tidak pasti, ia terpulang kepada kepercayaan individu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam. -SH

Ulasan GB

GB sebenarnya bukanlah dari kalangan yang percaya kepada kisah "jelmaan-jelmaan", tetapi memaparkan kisah di atas utuk direnung dan difikir bersama.

# Hanya untuk yang mampu berfikir kerana tiada satu pun kejadian Allah itu sia-sia. Setiap sesuatu yang Allah jadikan ada tanda-tanda untuk orang yang berfikir. Ayat manzurah memerlukan ketajaman aqal fikiran untuk mengetahui pengertian disebalik kejadian Allah itu. Itu emnguji "makrifat" kita. Clue: kucing itu melambangkan apa, warna hitam itu maknanya apa? Dan ia dikatakan jelmaan seorang penyamun.



Wanita Terselamat Dari Disimbah Asid

Posted: 24 May 2011 10:50 PM PDT

Kuala Lumpur: Keengganan seorang eksekutif pemasaran wanita membuka tingkap kereta apabila diketuk seorang lelaki bermotosikal di lampu isyarat di Pasar Seni, di sini, menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa terbaru kes simbah asid, semalam. Gambar fail.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun dikatakan dalam perjalanan ke pejabatnya sebelum tingkap keretanya diketuk suspek ketika berhenti di lampu isyarat berkenaan. Lelaki terbabit yang berang dengan tindakan mangsa enggan membuka tingkap kemudian bertindak mengambil botol yang disimpan dalam raga motosikalnya sebelum menyimbah ke arah kereta mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek dipercayai berang dengan keengganan mangsa untuk membuka tingkap sebelum menyimbah cecair berwarna merah jambu itu ke kereta mangsa.

"Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu segera memberhentikan keretanya sebaik tiba di stesen minyak berhampiran untuk melihat apa yang berlaku," katanya.

Menurutnya, mangsa yang dilaporkan berada dalam ketakutan itu kemudian dihampiri seorang lelaki mendakwa berada di belakang kenderaan mangsa ketika kejadian itu berlaku.

"Lelaki terbabit mendakwa sempat mengambil gambar suspek dan berjanji menghantar e-mel kepada wanita berkenaan. Namun, sehingga kini mangsa masih belum menerimanya," katanya.

Katanya, polis kini masih mengumpul maklumat untuk mengesan lelaki berkenaan. -hm

Ulasan GB

Moralnya? Ya, usah buka cermin kereta apabila diketuk oleh orang yang tidak dikenali.

Kes Polis Tembak Mati Remaja: Ibu Mohon Bedah Siasat Kedua

Posted: 24 May 2011 09:16 PM PDT

Shah Alam: Permohonan seorang ibu agar bedah siasat kedua dilakukan ke atas mayat anak lelakinya yang ditembak polis di Dengkil, dekat sini, pada 13 Mei lalu, akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Peguam N Surendran yang mewakili Salmah Mohamed Shariff, 41, berkata tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Khairul Nizam Abu Bakar selepas kes itu disebut di hadapannya dalam satu prosiding pengurusan kes, semalam.

Surendran ketika ditemui di luar mahkamah, berkata anak guamnya memfailkan notis usul berkenaan pada 19 Mei lalu, bagi memohon supaya bedah siasat kedua dilakukan ke atas mayat Mohamad Johari Abu Bakar, 17, yang kini berada di Hospital Serdang, untuk mengetahui kecederaan sebenar anaknya.

Dalam permohonan itu, Salmah meminta bedah siasat itu dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan serta-merta untuk mengetahui punca kematiannya mengikut Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah.

Selain itu, Salmah juga menuntut supaya semua laporan bedah siasat dan dokumen berkaitan bedah siasat yang dilakukan di PPUM dan Hospital Serdang, diserahkan kepada peguam yang mewakilinya pada masa munasabah yang ditetapkan mahkamah.

Pada 13 Mei lalu, seorang remaja yang dipercayai terbabit dengan geng samun kenderaan mewah, mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan sepasukan anggota polis tidak jauh dari sebuah hotel bajet di Cyber Valley, Dengkil.

Ketika kejadian, remaja itu baru saja keluar dari hotel berkenaan sebelum memasuki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan di belakang hotel.

Mohamad Johari, anak ketiga daripada tujuh beradik itu dilaporkan tidak lagi bersekolah sejak kematian bapanya pada 2009. -BH

Dituduh Rogol Remaja Dalam MPV

Posted: 24 May 2011 08:30 PM PDT

Ampang: Seorang pembantu jualan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam, atas tuduhan merogol remaja bawah umur dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard putih milik ibunya, dua minggu lalu.

Tertuduh, Khairul Ivan Iqmal Khairul Azizan Saw, 22, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dibacakan di depan Hakim Manira Mohd Nor.

Dia dituduh merogol pelajar sebuah sekolah menengah berusia 15 tahun dalam kenderaan itu di tepi jalan sekitar Ampang pada jam 11 pagi, 11 Mei 2011.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Rajuni memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana kesalahan dilakukan tertuduh membabitkan jenayah kekerasan selain untuk melindungi mangsa.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap Sabtu awal bulan dan menetapkan tarikh sebutan pada 20 Jun depan.

Tertuduh yang memakai baju T coklat muda dan seluar jeans biru kelihatan sugul dan terus mencium tangan ibunya sejurus keluar dari kandang tertuduh apabila mahkamah menangguhkan prosiding. -BH

Kumpulan Ajaran Syiah Diserbu

Posted: 24 May 2011 06:50 PM PDT

Gombak - Kumpulan Syiah yang difatwakan sesat dan menyimpang daripada landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini tidak pernah serik apabila jemaah itu sekali lagi diserbu oleh pihak berkuasa di Dataran Padang Rakyat, Taman Sri Gombak di sini semalam.

Ketika serbuan pada pukul 1.15 petang oleh sepasukan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu, penganjur didapati telah menjemput kira-kira 150 tetamu untuk hadir pada majlis 'Wanita Dalam Penyelesaian Masalah Global dan Pencapaian Keamanan Sejagat' yang sengaja diadakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk menyebarkan fahaman tersebut.

Antara ajaran kumpulan itu ialah menghalalkan para pengikutnya bernikah secara kontrak dan membenarkan sembahyang jamak dilakukan pada bila-bila masa walaupun bukan dalam keadaan darurat.


Empat anggota Syiah ditahan JAIS



Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akhirnya menangkap empat anggota ajaran Syiah di Gombak, termasuk ketuanya Mohd Kamil Zuhairi dalam sambutan ulangtahun kelahiran puteri Nabi Muhammad di Gombak sebentar tadi.

Jurucakap majlis itu Radin Ahmad Faizul berkata, selain Mohd Kamil, beliau sendiri ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak.

Dua lagi, menurutnya hanya dikenali sebagai Syed Syafiq dan Ashraf. Nama penuh mereka belum diperoleh setakat ini.

Sebelum itu, Radin berkata, lebih 20 anggota JAIS kelihatan hadir di majlis itu selepas berlangsung 20 minit bermula jam 12 tengah hari.

Ketika itu, tambahnya, JAIS cuma mengambil kad pengenalan beberapa tokoh penting penganjur, termasuk Mohd Kamil.

"Lagi pun majlis itu cuma majlis makan-makan sahaja," kata Radin sambil mendakwa mereka mendapat permit polis untuk menganjurkan acara itu.

JAIS: Langgar fatwa

Kira-kira 500 orang hadir dalam program sambutan ulangtahun Fatimah Az-Zahrah yang diadakan di perkarangan hauzah atau markaz mereka di Gombak.

Ketua penolong pengarah bahagian pengurusan penguatkuasaan JAIS Mohamad Rais Rasid ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan tangkapan empat orang itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu kerana pihaknya merancang mengadakan sidang media khusus tentang perkara itu esok pagi.

"Mereka ditangkap kerana melanggar fatwa (dengan menyebarkan fahaman Syiah)," katanya ringkas.

Pada Disember tahun lalu, JAIS telah menahan seramai 128 pengikut Syiah -- aliran yang diharamkan negeri itu pada tahun 1989.

Bagaimanapun, dianggarkan terdapat kira-kira 40,000 mengikuti ajarannya di negara ini secara senyap-senyap.



Husam Sahkan Bertanding Naib Presiden

Posted: 24 May 2011 06:00 PM PDT

Kuala Lumpur – Ahli jawatankuasa kerjas PAS pusat Datuk Husam Musa mengumumkan akan kembali bertanding jawatan naib presiden parti pada pemilihan bulan depan. Gambar: Husam bersama Mohd Sabu

Bulan lepas beliau membuat pendirian bahawa tidak akan bertanding mana-mana jawatan tertinggi kecuali kerusi ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Husam pernah memegang jawatan naib presiden selama satu penggal iaitu daripada 2007 hingga 2009.

Pada 2009, beliau bertanding jawatan timbalan presiden tetapi gagal.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu berkata, beliau membuat keputusan untuk menimbang semula pendirian selepas salah seorang penyandang jawatan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memutuskan untuk menyertai persaingan kerusi timbalan presiden.

"Pada mulanya saya hanya bercadang bertanding jawatan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, namun dengan perkembangan terbaru di mana Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan sikap (pendirian) mutakhirnya menawarkan diri untuk bertanding jawatan lebih tinggi, maka saya terpaksa menimbang semula pendirian saya.

"Oleh itu, di atas perkembangan dalam dan luar parti, saya dengan penuh rasa rendah diri dengan ini mengumumkan untuk menerima pencalonan jawatan naib presiden pada pemilihan kepimpinan parti awal bulan depan," kata Husam dalam satu kenyataan petang ini.

Pagi tadi, Tuan Ibrahim secara rasmi mengumumkan mahu bertanding jawatan timbalan presiden walaupun sebelum ini menegaskan tidak berminat turun gelanggang kerusi nombor dua parti itu.

Selain Tuan Ibrahim, penyandang jawatan itu Nasharudin Mat Isa dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu telah mengesahkan pendirian masing-masing.

Husam juga berkata, keputusan itu dibuat ekoran mendapat pencalonan yang memberangsangkan bagi jawatan nombor tiga itu.

"Saya berpandukan pandangan PAS kawasan-kawasan yang mencalonkan saya, terutamanya di atas pandangan perlunya seorang wakil dari Kelantan untuk menduduki peringkat jawatan yang lebih tinggi dalam parti.

"Hal ini bertepatan dengan kedudukan Kelantan sebagai tapak utama PAS pada waktu ini dan juga secara keseluruhannya," katanya.

Jelas Husam, gabungan antara golongan ulama dan profesional dalam PAS akan dapat diperkukuhkan dengan pendirian terbaru beliau itu.

"Saya percaya polisi PAS untuk menjalin gabungan kepimpinan ulama dan profesional melalui konsep memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional, yang telah terjalin selama ini, perlu terus diperkukuhkan.

"Dalam hal ini, kepimpinan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS, diharap dapat diperkukuhkan dengan gabungan tersebut," katanya.

Sebelum ini, penyandang jawatan itu Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad mengesahkan mahu bertanding jawatan itu.

Seramai 14 orang layak untuk bertanding kerusi naib presiden. Bagaimanapun Ketua Penerangan PAS Nik Zawawi Nik Salleh dan dua ahli jawatankuasa kerja Dr Mujahid Yusof Rawa dan Mazlan Aliman memutuskan untuk menarik diri.

Ketika ditemui pada sidang media tengah hari tadi, Mazlan mengumumkan tidak akan bertanding jawatan naib presiden parti itu.

Beliau berkata tidak mahu bertanding jawatan itu kerana masih belum bersedia untuk memikul "tanggungjawab" itu walaupun mendapat pencalonan yang memberangsangkan.

Beliau sebaliknya memutuskan hanya akan mempertahankan jawatan yang disandang sekarang yang disandang sejak dua penggal lalu.

"Saya pada hari ini mengumumkan tidak akan bertanding jawatan naib presiden PAS, sebaliknya saya bersedia untuk mempertahankan jawatan ahli jawatankuasa kerja.

"Saya akan terus tumpukan komitmen dalam menyelesaikan isu tanah rakyat kerana ada banyak aduan dan salah laku yang dalam Felda dan Felcra termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya. -TMI



Husam Musa, satu-satunya nama yang dicalonkan kesemua jawatan

Satu-satunya nama yang dicalonkan untuk bertanding bagi kesemua jawatan yang dipertandingkan pada Muktamar PAS awal Jun ini ialah Datuk Husam Musa.

Husam dicalonkan bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan AJK PAS Pusat. Namun demikian Husam menolak pencalonan Pas Kawasan Bukit Bintang agar bertanding jawatan Presiden.

Husam pantas menolak pencalonan itu dan berikrar menyokong kepimpinan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang dan pada ketika itu berkata: akan bertanding hanya bagi jawatan AJK PAS Pusat.

Perkembangan itu dilihat seolah-olah Husam cuba meminggirkan diri. Beberapa pemimpin seangkatan beliau melihat pendirian Husam itu juga merugikan parti yang dihimpit cabaran demi cabaran apa-tah lagi pada PRU13 yang semakin hampir.

Semasa PRU12, Husam yang ketika itu Naib Presiden PAS merupakan salah satu instrumen penting yang memainkan dalam mengatur strategi pilihanraya untuk Kelantan dan Nasional. Husam juga telah membuktikan kewibawaannya dalam menjana strategi ekonomi negeri Kelantan, malahan menjadi ikon ekonomi yang baik.

Husam yang berlatarbelakang pendidikan ekonomi Universiti Malaya ternyata telah banyak melalui ujian getir di negeri cik siti wang kembang itu. Hubungan baik beliau dengan pimpinan saf utama PKR dan DAP juga menjadi aset penting kepada PAS.

Amatlah rugi bagi PAS untuk menolak dan meminggirkan Husam daripada arus persada utama PAS.

Benar Husam sekurang-kurangnya wajar menerima pencalonan untuk bertanding sekurang-kurangnya bagi jawatan Naib Presiden bagi membolehkan beliau memainkan peranan lebih berkesan dalam persada PAS dan menonjolkan kehebatan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Empat belas orang layak bertanding jawatan Naib Presiden PAS, namun setakat ini hanya mantan Salahuddin Ayob dan Ketua Penerangan Idris Ahmad mengesahkan kesediaan bertanding pada muktamar Pas awal Jun ini.

Dua calon sudahpun menarik diri bagi jawatan itu, iaitu Anggota Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof dan Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh (Ketua Penerangan Dewan Ulamak).

Dua lagi mantan naib presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man belum memberikan jawapan. Namun Tuan Ibrahim turut dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden yang setakat ini memperlihatkan mantan Nasharuddin akan dicabar Mohamad Sabu.

Banyak desakan meminta Tuan Ibrahim bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Selain nama besar lain yang turut dicalonkan bagi jawatan Naib Presiden ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak (juga layak bertanding timbalan presiden dan juga AJK PAS Pusat dan Menteri Besar Perak Ke-10 Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Selain mereka, turut layak bertanding jawatan naib presiden ialah Datuk Mohd Amar Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan) dan Dr Mohd Hatta Md Ramli (BendahariPAS Pusat). -ajijoi


BONGKAR: Keterlanjuran Pegawai SPRM Cungkil Keraguan Dalam Kes Kematian Sarbani

Posted: 24 May 2011 04:40 PM PDT

Kematian Ahmad Sarbani: "Keterlanjuran" pegawai penyiasat cungkil keraguan

"Keterlanjuran" seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mencungkil keraguan balu kepada Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, yang pada asalnya telah "redha" dengan kematian suaminya. Maziah Manap, terkejut dengan kenyataan "Bukan saya...Orang saya" dari bibir seorang pegawai penyiasat SPRM bernama Ghani, dalam satu perjumpaan pada 28 April 2011.

Maziah Manap membuat repot polis pada 2 Mei 2011 di Balai Polis Kelana Jaya, mengesyaki bahawa Ghani telah "terlepas cakap", semasa perjumpaan di pejabat Kastam dengan mendedahkan siapa yang bertanggungjawab di dalam kes kematian suaminya. Maziah berharap agar polis akan menyiasat maklumat tersebut.
Dalam perjumpaan pada 28 April, Maziah telah meluahkan perasaannya kepada pegawai penyiasat, termasuk Ghani. Di akhir luahannya, Maziah menyatakan bahawa dirinya redha dengan kematian suaminya, seterusnya bertanya soalan, "Apakah Encik Ghani akan buat sekiranya Encik Ghani berada di tempat saya?"

Apa yang mengejutkan Maziah adalah "jawapan yang perlahan daripada Ghani, yang menyatakan "BUKAN SAYA... ORANG SAYA". Maziah menyusul dengan pertanyaan "ORANG?", namun Ghani terus mendiamkan diri dan Jariyana bt Yusof terus mengajak Ghani keluar kerana ada operasi.

Demikianlah repot polis yang dibuat oleh Maziah pada 2 Mei 2011, didedahkan oleh ADUN Teja, Chang Lih Kang dalam satu ceramah di Tualang Seka pada malam 20 Mei 2011.



Serah dokumen peribadi

Menurut repot polis tersebut, sepasukan anggota SPRM telah datang ke pejabat Maziah Manap di Shah Alam pada 27 April 2011. Bagaimanapun, Maziah tidak berada di pejabat ketika itu, dan anggota keselamatan syarikat itu diberitahu bahawa tujuan lawatan SPRM adalah untuk menyerah dokumen peribadi Allahyarham Ahmad Sarbani kepadanya.

Temujanji diaturkan pada 28 April, setelah Maziah menghubungi Tuan Hj Sarip, Penolong Kanan Pegawai Kastam di bahagian pengurusan. Pada 10.30 pagi 28 April, Maziah bersama dua orang anaknya Sabtiyah dan Syahirah sampai di pejabat Kastam Subang Jln LTS ASS Subang. 11 dokumen diserahkan oleh Jariyana bt Yusof dari SPRM, sambil disaksikan oleh Sarip, dan pegawai penyiasat kes suaminya, Ghani. Maziah pula ditemani dua orang anaknya dalam bilik di mana dokumen diserahkan.

Kejadian "terlepas cakap" berlaku selepas penyerahan dokumen, menurut repot polis. Malah, seorang lelaki Melayu yang memperkenalkan diri sebagai "Ghani dari SPRM" menelefon anak Maziah pada 29 April, untuk meminta nombor telefon Maziah.

Kejadian ini telah mencungkil keraguan Maziah Manap tentang punca kematian suaminya, Ahmad Sarbani. Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani, 56, dijumpai mati di gelanggang badminton selepas jatuh daripada tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 6 April 2011.

Sarbani antara 62 pegawai kastam yang ditahan dalam "Operasi 3b" yang dijalankan SPRM pada 1 April lalu di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah, penggubahan wang haram dan beberapa kesalahan lain. Kematian Ahmad Sarbani adalah kes kematian kedua dalam tahanan SPRM, selepas kes Teoh Beng Hock pada 16 Julai 2009. 73 pertubuhan sivil mendesak agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kes kematian ini.

Bagaimanapun, pada 21 April, Ketua Polis Kuala Lumpur Zulkifli Abdullah berkata penelitian penuh yang dijalankan beberapa pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan jabatan kimia merumuskan bahawa punca kematian Ahmad Sarbani adalah kerana kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dari tempat tinggi.

Zuklifli Abdullah menambah, laporan kematian mengejut (Sudden Death Report) Ahmad Sarbani akan dihantar kepada Peguam Negara dalam masa satu minggu. Dengan kata lain, laporan tersebut telah dihantar sebelum Maziah membuat laporan polis pada 2 Mei 2011.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Ghazali Ramli, iaitu peguam Maziah Manap berkata polis pernah menghubungi Maziah untuk mengambil keterangan. Namun demikian, sebagaimana yang diketahuinya, polis tidak berbuat demikian setakat ini.

"Laporan media seolah-olah suami saya kaki rasuah"

MerdekaReview juga menghubungi Maziah Manap, dan beliau meluahkan perasaannya bahawa laporan media arus perdana tidak adil untuk dirinya. Misalnya, media melaporkan bahawa dirinya memiliki empat buah kereta, tanpa menyatakan apa jenis kereta itu. "Saya pandu (kereta) kancil salah ke?" tanya Maziah Manap, yang bekerja sebagai seorang supervisor.

Jelas, Maziah kelihatan agak berhati-hati dengan media, sepanjang temuramah dijalankan. Beliau akan merenung sebelum berkata sesuatu kepada wartawan.

"Reaksi masyarakat terbahagi kepada dua, yang kenal I,percaya I, sebab mereka tahu cara hidup saya. Yang tak kenal I, kutuk I. Laporan media itu seolah-olah suami saya kaki rasuah. Saya pasti suami saya tidak makan rasuah dan tidak membunuh diri," kata Maziah Manap.

Pada 12 April, peguam Maziah Manap, Ghazali Ramli mengisytiharkan harta Ahmad Sarbani secara terperinci, iaitu tiga buah kereta (Kancil, Honda CRV second hand, Proton Persona); sebuah motorsikal Modenas Kriss; satu unit apartment di Klang bernilai RM65,872; satu unit apartment di Puncak Alam bernilai RM68,988; satu unit rumah semi-D di Saujana Impian, Sungai Buluh bernilai RM230,000 (dibeli dengan pinjaman kerajaan dan wang simpanan KWSP isterinya), dan simpanan Amanah Saham Bumiputera yang bernilai RM35,000. -MerdekaReview

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.



Ambil tindakan ke atas penyiasat SPRM

SURAT FMT


Suaram menggesa pihak polis mengambil tindakan dan penyiasatan segera dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernama Ghani yang berbunyi "Bukan saya…Orang saya" dalam satu perjumpaan dengan keluarga allayarham Ahmad Sarbani pada April 28,2011 lalu.

Maziah Manap, isteri Allayarham Ahmad Sarbani telah melakukan perjumpaan dengan pegawai penyiasat SPRM, Ghani pada April 18, 2011 di Pejabat Kastam Subang Jaya sewaktu dalam proses menyerahkan 11 dokumen peribadi Allayarham kepada SPRM.

Dimaklumkan bahawa pegawai tersebut telah terlepas cakap tentang penglibatan orang lain dari kalangan SPRM (orang saya) dalam kes melibatkan kematian Allayarham Ahmad Sarbani.

Hal ini menimbulkan keraguan mengenai punca sebenar kematian Ahmad Sarbani di Bangunan SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada April 6, 2011, lalu. Sebagai sebuah badan hak asasi manusia, Suaram memandang serius terhadap kes kematian tersebut yang berlaku di bangunan pihak SPRM. Sehubungan itu, kami juga ingin menekankan di sini tentang perkembangan siasatan kes tersebut?


Pihak polis telah bertindak tegas dalam siasatan kes video seks membabitkan pemimpin politik dan kes kematian Sosilawati. Justeru, kami juga menuntut pihak polis untuk bertindak tegas dan menyiasat kes kematian Allayarham Ahmad Sarbani. Ini penting bagi keluarga Allayarham yang sehinga hari ini mencari-cari punca sebanar kematian Allayarham dan keadilan untuk keluarga.

Polis perlu mengembalikan reputasi dan kredibilitinya memandangkan 59 kes aduan awam terhadap penyalahgunaan kuasa oleh SPRM belum diselesaikan sehingga kini.

Kami menuntut kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menjalankan siasatan kes kematian Allayarham Ahmad Sarbani dan separuh daripada jumlah ahli suruhanjaya perlu dipilih oleh masyarakat sivil. Penubuhan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) perlu disegerakan untuk menghentikan segala kes penyalahgunaan kuasa dalam anggota polis dan juga badan-badan penguatkuasa. -Yap Heng Lung

Penulis adalah penyelaras Suaram



[Video] Kenaikan Minyak 20 sen Memberikan Kesan Besar Kepada 40% Rakyat

Posted: 24 May 2011 09:00 AM PDT

Shah Alam: Kerajaan Pemerintah kini giat mencanang betapa kabinet hari ini terpaksa menanggung beban yang sangat tinggi akibat memberi subsidi kepada rakyat.

Akan tetapi, dalam masa yang sama, kerajaan pemerintah enggan menerima pelbagai cadangan yang dikemukakan pimpinan Pakatan Rakyat yang dilihat menjamin kebajikan rakyat marhaen.

Malah analisis demi analisis dibuat yang hanya menampakkan seolah- olah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak ini akan 'nazak' jika terus memberikan subsdidi kepada rakyat.

Hari ini, firma penyelidikan pelaburan, AmResearch pula meramalkan harga RON 95 akan naik 20 sen bulan hadapan menjadikan harga bahan bakar itu mencecah RM2.10 seliter.

Analisis itu turut menyebut kenaikan itu perlu berikutan harga minyak mentah dunia naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu.

Analisis itu disambut dingin Ahli Parlimen Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin.

Beliau menyifatkan kenaikkan itu, walaupun 20 sen, akan memberi impak yang besar kepada golongan yang mempunyai pendapatan bulanan RM2000 kebawah.

"Kita tahu bahawa Malaysia sekarang, rakyat yang teramai tu mempunyai pendapatan yang rendah, lebih kurang 40% rakyat Malaysia berpendapatan kurang daripada RM 2000, maka pemotongan subsidi sekarang betul-betul menyusahkan rakyat
," katanya.

Tze Tzin menyertai pimpinan Pakatan Rakyat yang lain, mengutuk tindakan 'liat' kerajaan memotong subsidi berjumlah RM19 bilion kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) tetapi rakus mengurangkan pemberian subsidi kepada rakyat terbanyak.

"Saya rasa ini adalah masalah UMNO-BN, di mana mereka sekarang kurangkan subsidi kepada rakyat tetapi kekalkan subsidi kepada kroni-kroni mereka," katanya.

Baru- baru ini, Najib Razak dalam ucapan beliau di Pusat Pengajian Islam di Oxford 17 Mei lalu menyatakan subsidi ibarat "candu" kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet.

Kenyataan itu dibidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpim Pakatan Rakyat yang lain, sebagai tidak bertanggungjawab.

"Jadi ini adalah polisi UMNO-BN langsung tidak menjaga kepentingan rakyat, 1Malaysia apa? siapa didahulukan? sebenarnya 1Malaysia, kroni-kroni didahulukan dan rakyat menjadi mangsa," katanya.

Hari ini AmResearch menjangkakan harga petrol RON95 mengalami kenaikan 20 sen bulan depan, mencecah RM2.10 seliter, selepas kos subsidi meningkat tiga kali ganda kesan pergolakan politik di rantau Timur Tengah dan utara Afrika.

Firma penyelidikan pelaburan itu menganggarkan Putrajaya kini memperuntukkan subsidi sehingga 90 sen seliter bagi petrol RON95 berbanding 30 sen seliter yang disasarkan selepas harga minyak mentah dunia naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu.

Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.

RON97 yang mengalami empat kali kenaikan tahun ini dijual RM2.90 seliter sekarang.

Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya.

Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka dibuat sekali lagi bulan depan. -tvsnews


AmResearch: RON95 dijangka naik 20 sen bulan depan

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Harga petrol RON95 dijangka mengalami kenaikan 20 sen bulan depan, mencecah RM2.10 seliter, selepas kos subsidi meningkat tiga kali ganda kesan pergolakan politik di rantau Timur Tengah dan utara Afrika, demikian menurut AmResearch. Firma penyelidikan pelaburan itu menganggarkan Putrajaya kini memperuntukkan subsidi sehingga 90 sen seliter bagi petrol RON95 berbanding 30 sen seliter yang disasarkan selepas harga minyak mentah dunia naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu — hampir sama dengan paras AS$100 setong pada 2008.

Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter. RON97 sudah naik empat kali tahun ini termasuk awal bulan ini untuk dijual RM2.90 seliter sekarang.

Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya.

Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka dibuat sekali lagi bulan depan.

Beliau berkata, kerajaan masih mengkaji untuk mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut pasaran minyak dunia.

Kalau kekal dengan keadaan sekarang kemungkinan besar dari segi unjurannya, kata beliau, subsidi akan bertambah daripada RM10.3 bilion kepada RM17 bilion.

AmResearch juga berkata, subsidi petrol akan menyebabkan defisit fiskal kerajaan meningkat sehingga enam peratus berbanding 5.4 peratus jika RON95 kekal dengan harga semasa RM1.90 seliter sepanjang tahun ini.

"Kesemua faktor menunjukkan ke arah kenaikan harga RON95," kata firma itu sambil menambah, dengan mengambil kira kenaikan berterusan harga global bagi minyak mentah dan kemungkinan naik lagi pada masa depan, kerajaan kini tersepit antara mengamalkan urus tadbir fiskal seimbang dan keperluan menggambarkan ia mengambil berat tentang kebajikan rakyat.

Justeru, AmResearch berkata kerajaan boleh memberi rebat dan menyusun semula skim saraan sektor awam untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah, yang dihimpit dengan beban pemotongan subsidi.

Firma itu juga menambah, ia menjangkakan bahawa kadar inflasi akan naik mendadak ke arah empat peratus dalam waktu terdekat susulan pusingan pertama impak potongan subsidi ke atas makanan, pengangkutan dan tenaga.

"Secara purata, inflasi tahun ini mungkin melepasi kadar 3.5 peratus yang telah diramalkan sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, ia akan masih rendah berbanding 8.5 peratus, paling tinggi dalam 25 tahun, yang dialami pada Julai dan Ogos 2008.

Semalam, Ismail Sabri (gambar) berkata, kerajaan pusat akan mengumumkan perkembangan langkah rasionalisasi subsidi termasuk pelarasan harga petroleum minggu ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menyediakan kaedah paling sesuai untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan itu.

"Tunggulah (pengumuman) dalam masa seminggu ini... kita akan membuat keputusan sama ada ingin meneruskan subsidi petrol, diesel dan gas memandangkan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan terus meningkat dari RM8 bilion kepada RM18 bilion," katanya.

Dalam satu kenyataan petang semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan tarif elektrik dinaikkan bulan depan, tetapi mahu pentadbiran Najib mengkaji balik konsesi pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tidak membebankan rakyat.

Di sebalik kenyataan demi kenyataan mengenai kemungkinan pemotongan bakal dibuat oleh Putrajaya, beliau berkata, beliau sudah sekian lama menegaskan sekitar RM22 bilion subsidi gas yang diberi kepada IPP tidak memberi makna kepada rakyat, sebaliknya ia hanya memberi keuntungan kepada ahli perniagaan dan kroni rapat dengan pemerintah.

The Malaysian Insider difahamkan Kabinet dalam mesyuarat mingguannya esok akan menyentuh soal itu.

Ketua Umum Pakatan Rakyat ini berkata, merujuk kepada kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh beberapa menteri berkaitan, kemungkinan tarif elektrik dijangka naik bulan depan.

Anwar berkata, isu kenaikan tarif elektrik negara ini berkait rapat dengan perjanjian berat sebelah dipaksa ke atas TNB untuk dimeterai bersama dengan IPP terutamanya dengan pengeluar tenaga swasta generasi pertama. -TMI




DHPP Harap Timb Presiden Bukan Ulamak Agar PAS Dapat Sokongan Golongan Berlainan

Posted: 24 May 2011 07:20 AM PDT

Petaling Jaya: Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat Hu Chang Paw berharap para penyokong bukan Islam berpeluang terlibat lebih aktif dalam program dan aktiviti parti.

Hu berkata langkah pertama yang sepatutnya dibuat ialah dengan memastikan penyertaan penyokong bukan Islam di dalam mesyuarat parti di semua peringkat.

"Pada ketika ini, para penyokong hanya menerima jemputan untuk menyertai mesyuarat di negeri Perak," kata Hu yang mengetuai 25,000 penyokong bukan Islam dalam PAS.

DHPP Pusat dirasmikan oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Klang pada tahun 2010. Sebelum itu ia berfungsi sebagai kelab sejak tahun 2004.

Hu menambah bahawa PAS perlu lebih terbuka dan melibatkan para penyokongnya agar PAS boleh maju ke hadapan.

Dua usul demi parti

Hu turut ditanya berkenaan dengan mesej yang akan dibawa beliau sebagai mewakili DHPP dalam sesi muktamar PAS pada 3 Jun ini di Pusat Tarbiyah Taman Melewar, Gombak dekat Kuala Lumpur.

"Cadangan pertama ialah penubuhan sebuah kumpulan pemikir atau 'think tank' yang akan menyusun strategi parti dan diwakili semua kaum. Ini adalah kerana buat masa ini PAS tidak mempunyai kumpulan pemikir yang khusus dan melibatkan semua pihak.

"Kami juga akan mengusulkan penubuhan sebuah yayasan dengan dana permulaan sebanyak RM10 juta. Wang tersebut akan digunakan untuk tujuan pelaburan dan latihan yang melibatkan program parti.

"Ia berguna agar kita boleh menggaji golongan cerdik pandai untuk menjadi kakitangan parti," tambah Hu.

Hu berharap agar Timbalan Presiden dipilih dari golongan bukan ulama.

"Mereka berdua (Presiden dan timbalannya) perlu berupaya mendapatkan sokongan pihak-pihak yang berlainan. Jika kedua-duanya dari satu kumpulan, maka adalah payah untuk mendapatkan sokongan golongan bukan Islam," jelas Hu.


Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sokongan terhadap mana-mana calon timbalan presiden atas alasan ahli DHPP tidak mempunyai hak mengundi.

Abdul Hadi berjaya mengekalkan jawatannya sebagai presiden apabila menang tanpa bertanding tempoh hari. - FMT.




Ukay Perdana Pula Di Ambang Bahaya

Posted: 24 May 2011 05:30 AM PDT

Ampang – Trauma kematian sebanyak 16 mangsa tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini pada Sabtu lalu masih terasa dan kini penduduk di kawasan Ukay Perdana di sini pula berada dalam bahaya.

Sehari selepas kejadian tanah runtuh di Jalan UP 1/8, Ukay Perdana di sini berlaku namun hingga petang semalam tiada usaha membaiki kerosakan di kawasan tersebut dilakukan.

Tinjauan Kosmo! mendapati rata-rata penduduk di kawasan itu dilanda kebimbangan dan mahu pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya berbuat sesuatu menanganinya.

Seorang pekerja syarikat swasta, Nurul Firdaus, (gambar) 42, berkata, dia bimbang dengan keadaan tersebut kerana tebing terbabit tidak stabil sejak kejadian tanah runtuh di tebing itu petang kelmarin.

"Saya bimbang tebing ini akan runtuh dengan lebih teruk memandangkan kini kerap hujan. Sepatutnya pihak terlibat mengambil tindakan pantas apabila laporan dibuat berhubung kejadian tanah runtuh," dakwanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam. -kosmo

Bongkar: BN Pergunakan JPN Daftar Rakyat Thai Sebagai Pengundi

Posted: 24 May 2011 04:30 AM PDT

Percubaan mendaftar warga asing dipercayai dari Thailand sebagai pengundi kini dikesan di Kelantan apabila satu program di bawah Jabatan Pendaftaran Negara dikenali 'Mydaftar' akan diadakan Sabtu ini.

Perkara itu didedahkan oleh ahli parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar yang melahirkan rasa bimbang memandangkan program seperti itu belum pernah berlaku sebelum ini.

Beliau mendakwa tindakan ini sebagai langkah Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan undi dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Menurut Kamaruddin, beliau mengesyaki pendaftaran membabitkan warga Thailand sebagai pengundi ekoran kawasan parlimen Tumpat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berdekatan dengan sempadan.

Empat DUN dalam parlimen Tumpat ialah Pengkalan Kubur, Kelaboran, Pasir Pekan dan Wakaf Baru. Dalam pilihan raya umum lalu, BN hanya menang satu kerusi iaitu Pengkalan Kubor iaitu Noor Zahidi Omar.

Sempadan Thailand

"Kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersempadan dengan Thailand. Maka ramai rakyat Thailand adalah beragama Islam dan selalu keluar masuk ke negeri ini (Kelantan).

"Saya dimaklumkan perkara ini pagi semalam. Namun ia berlaku ketika solat Jumaat minggu lalu. Operasi seperti ini belum pernah berlaku dalam jajahan Tumpat ini.

"Operasi ini dijalankan menerusi satu program dikenali Mydaftar iaitu satu program bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri untuk rakyat Kelantan yang masih belum mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta bagi yang layak memohon," katanya dalam sidang media di pejabat agung PAS hari ini.

Program itu dikatakan diumumkan imam masjid di salah satu mukim di daerah tersebut Jumaat lalu, sebelum menunaikan solat Jumaat.

Program tersebut akan diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor Satu (1), Tumpat.

"Program ini sealiran dengan pemberian kad pengenalan segera kepada warga asing yang sedang berangsung seperti yang dilaporkan contohnya di Hulu Selangor," katanya. -FMT

Majlis Perbandaran Sandakan Ancam Tutup PASTI

Posted: 24 May 2011 02:50 AM PDT

MPS ANTI ISLAM? Oleh : KRANGKANG BATRUSI

PAS Sabah menasihatkan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) agar menghentikan segera ancaman untuk menghentikan operasi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) milik PAS yang telah ditubuhkan sejak 25 tahun yang lalu secara sah menurut Perlembagaan PAS Fasal 6 (2).

"Saya menasihatkan MPS supaya menghentikan tindakan yang sia-sia ini dan bertindak mengikut lunas demokrasi serta undang-undang yang sedia ada," demikian tegas Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Tuan Hj Hamzah Abdullah (gambar).

Haji Hamzah merujuk kepada notis yang dikeluarkan oleh MPS bertajuk "Notis menghentikan operasi taska PASTI" yang bertarikh 23 Mei 2011 dengan nombor rujukan MPS:200-00/031/0004/007/. Notis ini menuntut supaya PASTI menghentikan operasinya serta-merta.

Tegasnya lagi, PAS tidak akan menghentikan operasi PASTI kerana kewujudannya adalah sah serta memberi manfaat kepada masyarakat dalam membentuk peribadi Muslim dan ini adalah isu lama yang telah selesai sejak lebih 20 tahun lalu.

Kata Hamzah, PASTI adalah sah dan berdaftar di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat serta dihalalkan oleh perlembagaan parti. Bagaimana mungkin perlu menghentikan operasi PASTI sedangkan ia merupakan salah satu aktiviti parti yang disebut di dalam perlembagaan PAS.

"Apakah MPS Anti-Islam dan mencabul Perlembagaan Persekutuan? Sewajarnya MPS bertindak menutup Pusat-Pusat Maksiat yang telah banyak menjerumuskan remaja Muslim ke lembah maksiat dan keruntuhan moral," sambungnya lagi. -sabahkini

Tiada ulasan: