Isnin, 23 Mei 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Peringatan Telah Sampai. Ketua Hakim Dimasukkan Ke CCU.

Posted: 23 May 2011 01:00 AM PDT

Ketua Hakim Negara Kritikal

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dipercayai berada dalam keadaan kritikal setelah mengalami tekanan darah rendah dan komplikasi jantung.

Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN) di sini kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Tinjauan mStar Online mendapati ahli keluarga Tun Zaki masih menunggu di luar bilik CCU.

Menurut Pegawai Khas beliau, Mohd Aizuddin Zolkeply, Tun Zaki mengalami serangan jantung sebanyak dua kali pagi tadi termasuk semasa berada di Wad ED, Hospital Putrajaya pagi Isnin.

Beliau dikatakan mengalami serangan jantung secara tiba-tiba di rumah dan kali kedua ketika berada di Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.

"Saya mendapat panggilan telefon daripada pengawal peribadi beliau (Tun Zaki) yang mengesahkan beliau kini berada dalam kritikal.

"Isteri beliau turut berada di sisinya kini," kata sumber itu kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Bagaimanapun, Mohd Aizuddin enggan mengulas lanjut mengenai keadaan Tun Zaki sebaliknya memberitahu pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.

Zaki, 64, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 18 Oktober 2008 dan beliau merupakan pengerusi pertama bagi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sejak penubuhannya pada 16 Februari 2009.

Beliau dilahirkan pada 12 September 1945 di Alor Setar, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Sekolah Anderson, Ipoh dan English College, Johor Baharu.

Pada 1969, beliau telah melanjutkan pengajian di Lincoln's Inn, London dan dianugerahkan Barrister-at-Law.

Beliau merupakan anak bekas Ketua Hakim Negara (1966-1974), Allahyarham Tun Mohamed Azmi Mohamed.

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Nik Sazlina Mohd Zain dan mempunyai 4 anak iaitu Dzofrain Azmi, Razif Azmi, Azri Azmi dan Azfar Azmi. -mstar



Ulasan GB

Itu satu "memo" peringatan dari Tuhan. Sepertimana Ketua Polis Negara yang sebelum ini telah pengsan, maka kes Ketua Hakim Negara pula lebih "keras" - dimasukkan ke CCU.

Hidup di dunia ini tidak lama. Ambillah pengajaran dan peringatan, wahai sekalian hakim.

Pertambahan Mendadak Pengundi Baru Di Negeri-negeri PR Strategi BN & SPR - Mohd Sabu

Posted: 22 May 2011 11:29 PM PDT

Pas mendakwa pertambahan mendadak pengundi baru di beberapa negeri Pakatan Rakyat (PR) sebagai strategi Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi membolehkan BN merampas negeri-negeri terbabit daripada Pas.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu berkata, strategi seperti itu pernah dilakukan oleh BN di Terengganu pada pilihan raya umum (PRU) ke-11 tahun 2004 lalu dan di Sabah untuk membolehkan BN merampas Terengganu dari Pas dan mengekalkan cengkaman di Sabah.

Menurutnya, Pas ragu dengan pertambahan pengundi melebihi 17 peratus bagi setiap negeri PR, memandangkan pertambahan sebenar berdasarkan pendaftaran yang dilakukan Pas pada suku pertama tahun ini sehingga Mac lalu hanyalah enam peratus paling maksimum.

"Sebelum ini Pas yang mendahului SPR dalam pendaftaran pengundi baru, tetapi kini angkanya ternyata jauh menyimpang dari jumlah yang sebenar.

"Lebih meragukan, berdasarkan semakan, pertambahan pengundi baru yang dilakukan oleh SPR itu bukannya pengundi yang didaftarkan di negeri terbabit, tetapi di Kuala Lumpur dan mereka yang bukan warganegara Malaysia.

"Saya bimbang dengan keadaan ini dan tidak menolak kemungkinan ianya satu strategi jahat BN dengan kerjasama SPR untuk merampas kembali negeri-negeri PR secara tidak sah,"
katanya sewaktu ditemui Sinar Harian semalam.

Mohamad Sabu berkata, corak pendekatan itu kini sudah dikenal pasti giat dilaksanakan di Selangor bagi menghadapi PRU-13 tidak lama lagi.

Menurutnya, strategi jahat itu sememangnya amat sukar diatasi Pas dan PR kerana mendakwa turut melibatkan kerjasama SPR sendiri.

"PR belum tentu menang di Selangor kerana saya difahamkan SPR bertindak mendaftarkan bukan rakyat Malaysia untuk mengundi di Selangor sebagaimana dilakukan di Sabah dan Terengganu sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Mohamad turut mendakwa UMNO mengkhianati suara orang Melayu di Parlimen apabila tidak menambah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk Melayu tinggi seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menurutnya, tindakan BN itu dipercayai disebabkan bimbang kerusi di negeri terbabit dimenangi Pakatan Rakyat (PR), walhal keperluan untuk menambah kerusi di kawasan majoriti Melayu diperlukan untuk mengukuhkan suara Melayu di Parlimen.

"SPR dan BN sewajarnya menambah kerusi Parlimen di kawasan seperti Baling dan Kuala Kedah yang mempunyai penduduk lebih 30,000, selain menambah kerusi di negeri Kelantan dan Selangor," katanya. -SH

Jodoh Mereka Bertemu Juga Walaupun Di Usia Tua

Posted: 22 May 2011 09:30 PM PDT

Sekitar 50 tahun lalu, pinangan Encik` Wan Abdul Rahman Wan Abu Samah ditolak Cik Kalthom Yacob.

Gambar: Encik Wan Abdul Rahman, 71 tahun, dan isteri, Cik Kalthom, 68 tahun, menjadi pasangan suami isteri selepas 50 tahun terpisah. - Foto ihsan KALTHOM YACOB

Sebabnya, pada ketika itu, Cik Kalthom hendak memberi peluang kepada salah seorang anak saudara perempuannya yang memendam rasa kepada jejaka tampan itu.

Ini meskipun pada ketika itu, Cik Kalthom, yang kecil molek orangnya, turut sama 'meminati' Encik Wan Abdul Rahman, yang juga merupakan sepupunya.

Encik Wan Abdul Rahman akhirnya mendirikan rumah tangga dengan anak saudara Cik Kalthom itu.

Cik Kalthom pula dijodohkan dengan seorang lelaki pilihan arwah bapanya.

Namun, tanpa diduga, cinta yang pernah berputik semasa zaman remaja itu mekar semula 50 tahun kemudian selepas mereka kematian pasangan masing-masing.

Lima bulan selepas isterinya meninggal dunia akibat masalah buah pinggang, Encik Wan Abdul Rahman masuk meminang buah hati lamanya itu.

'Kali ini, pinangan saya tidak lagi ditolak seperti dahulu,' kata Encik Wan Abdul Rahman, kini 71 tahun.

Menceritakan kisah lama sehingga mereka terputus hubungan, Encik Wan Abdul Rahman, yang mempunyai tiga orang anak dan 11 cucu hasil perkahwinan pertamanya, menganggap semua yang berlaku adalah takdir Tuhan.

'Memang saya kecewa ketika pinangan saya ditolak pada ketika itu.

'Akibatnya saya membawa diri jauh hingga ke London di mana saya melanjutkan pengajian,' kata kakitangan sebuah institusi kewangan di Kuala Lumpur itu lagi yang masih bekerja.

Sekembalinya ke tanah air, warga Malaysia itu mendirikan rumah tangga dengan anak saudara Cik Kalthom dan pasangan itu dikurniakan tiga anak.

Mereka kemudian dikurniakan pula seramai 11 cucu.

Isterinya, bagaimanapun, meninggal dunia pada November tahun lalu.

'Sebelum pemergiannya, arwah isteri saya yang tahu akan kisah lama saya, cuba menemukan saya dengan Kalthom yang kini menetap di Singapura menerusi satu perjumpaan keluarga.

'Tapi ketika itu, saya terlalu sibuk melayan cucu sehingga tidak perasan kehadiran beliau.

'Sehinggalah selepas isteri saya meninggal dunia November lalu barulah saya mula teringat akan Kalthom.

'Memendekkan cerita, saya cuba telefon beliau,' katanya yang kini menetap di kawasan Damansara Utama.

Jarak jauh bukan halangan buat mereka.

Sejak itu, Encik Wan Abdul Rahman menghubungi Cik Kalthom, 68 tahun, sebanyak dua kali sehari - setiap hari.

'Senang kata, kami macam mata air yang sedang bercinta.

'Cuma kami tidak bertentang mata, setakat berbual di telefon sahaja,' tambah Encik Wan Abdul Rahman.

Awal Mac lalu, timbul soalan yang mengubah kehidupan mereka.

Cik Kalthom, yang pendiam orangnya, telah bertanya jika Encik Wan Abdul Rahman tiada hasrat untuk berumah tangga sekali lagi.

'Sebelum ini, saya aturkan segala perbualan kami macam main catur kerana saya ingin menganalisis isi hatinya.

'Jadi apabila diaju soalan itu, saya rasa macam hampir melakukan checkmate.

'Sebelum menjawab, saya bertanya sekiranya beliau sedang duduk dan adakah sesiapa di sebelahnya.

'Sebab, saya bimbang kalau-kalau beliau pengsan kerana beliau ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan juga kolesterol.

'Kemudian saya jawab bahawa saya ingin mejadikannya teman hidup saya,' katanya sambil memandang wajah isteri tersayang.

Cik Kalthom, yang mulanya hanya tersenyum mendiamkan diri sepanjang perbualan dengan wartawan selama sejam di flat keluarganya di Pandan Gardens, kemudian mencelah:

'Saya menggigil mendengar jawapannya itu dan terdiam seketika.

'Kerana tahu-tahu saja, beliau ingin pinang saya,' ujar suri rumah itu lagi yang kemudian mendapat sokongan keluarganya.

Cik Kalthom, yang mempunyai tujuh anak, 16 cucu dan lima cicit, berkata sepanjang empat tahun selepas kematian suaminya, beliau tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga lagi.

Malah, beliau sendiri sukar berkata-kata tatkala pasangan itu bertemu dan menjadikan pusat beli-belah Vivocity sebagai tempat bersejarah mereka - ditemani salah seorang cucu Cik Kalthom.

'Beliau hadiahkan saya sepasang jam tangan pada hari pertemuan itu sebagai tanda kasihnya,' kata Cik Kalthom tersenyum sipu.

Menurut pasangan itu, selepas bertunang pada 19 Mac lalu, mereka diijab kabul di Kempas, Johor, di rumah salah seorang saudara mereka pada 2 April lalu. Majlis itu dihadiri sekitar 200 tetamu.

Mereka kini menetap di rumah Encik Wan Abdul Rahman di Malaysia dan berulang alik ke Singapura setiap kali Cik Kalthom perlu menjalani pemeriksaan doktor di sini.

Menurut salah seorang cucu mereka, Cik Nur Fazrina Rosli, 25 tahun, beliau mulanya agak terperanjat apabila mendapat tahu neneknya itu bakal 'naik pelamin' pada usia yang sudah lanjut.

'Tapi alhamdulillah, semua keluarga kami begitu gembira melihat nenek kini cukup gembira.

'Yang penting kini, beliau akan berteman, dan tidak lagi keseorangan. Malah, saya diberitahu nenek temankan datuk ke pejabat setiap hari kerana takut duduk rumah seorang diri,' katanya. -BHS

Mahfuz: Subsidi Sebagai Candu - Najib Hina Rakyat Malaysia Di Mata Dunia

Posted: 22 May 2011 08:30 PM PDT

Kuala Lumpur, 22 Mei — PAS mendakwa pentadbiran Najib mengalih beban akibat defisit fiskal ke atas bahu rakyat dengan memotong subsidi ke atas barang-barang keperluan asas.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, Putrajaya tidak mampu mencari jalan untuk memotong perbelanjaannya tetapi rakyat pulai terpaksa "membayar subsidi kepada kerajaan untuk membayar hutangnya."

"Ini sebuah kerajaan yang lemah, yang tidak boleh mengurangkan defisitnya tanpa membebankan rakyat," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan kini mengambil wang daripada saku rakyat untuk membayar defisitnya.

Meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka memanggil pilihan raya tergempar tahun ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu meneruskan langkah pemotongan subsidi bagi mengurangkan beban subsidi yang dijangka mencecah RM21 bilion tahun ini.

Mahfuz juga mengkriitk Najib kerana menggambarkan subsidi sebagai "candu" ketika bercakap di depan khalayak luar negara.

"Beliau memberitahu komuniti antarabangsa bahawa rakyat Malaysia ketagih subsidi. Ini satu penghinaan dan beliau seharusnya menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf," kata beliau.

Dalam satu kenyataan di London 16 Mei lalu, Najib berkata, subsidi bahan api ibarat "candu" kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pentadbirannya telah memperuntukkan subsidi bernilai RM11 bilion tahun ini tetapi paras itu telah mengalami kenaikan, sehingga mencecah RM18 bilion ekoran harga minyak mentah antarabangsa yang begitu tinggi.

"Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik," kata beliau.

Pada Mac lalu, Najib berkata, beliau berkomited untuk memotong subsidi jangka panjang dan penjimatan seharusnya disasarkan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan.

"Pengurusan ekonomi yang baik dan makro membolehkan anda mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat.

"Maka, anda membolehkan faktor pasaran untuk memperuntukkan sumber-sumber dengan berkesan," katanya lagi.

Dipetik laporan Reuters, Najib berkata, keperluan untuk menarik balik subsidi secara berperingkat-peringkat perlu diseimbangkan dengan keperluan Malaysia untuk mengurangkan defisit bajet.

Kerajaan meletakkan sasaran untuk mengurangkan defisit sehingga 5.4 peratus tahun ini berbanding 5.6 peratus sebelum ini, kemudian sehingga 2.8 peratus menjelang 2015.

Minggu lalu, Pemuda Umno mendesak agar Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, sebaliknya mahu kerajaan mencari jalan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi kebajikan rakyat.

Harga RON97 telah mengalami kenaikan 20 sen seliter awal bulan lalu.

Harga gula pula naik 20 sen sekilogram berkuat kuasa dua minggu lalu.


Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu menambah, subsidi kepada barang-barang keperluan asas seperti minyak dan gula tidak seharusnya dilihat sebagai herot-benyot kepada pasaran, sebaliknya ia "tanggungjawab kerajaan untuk mengurangkan beban orang ramai."

"Ia satu mekanisme bagi pengagihan kekayaan. Kerajaan harus mengurangkan perbelanjaannya sendiri daripada menarik balik hak rakyat," kata beliau lagi.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Donald Lim berkata kerajaan telah mengarahkan semua jabatan kerajaan agar memotong perbelanjaan ekoran peningkatan kos. -TMI

Gadis Turki Berbogel Mengaku Bukan Muslim

Posted: 22 May 2011 07:30 PM PDT

Berlin - Seorang pelakon berketurunan Turki, Sila Sahin yang beraksi dalam keadaan bogel untuk dua belas muka surat majalah Playboy Jerman edisi Mei mengaku dia bukan beragama Islam, lapor sebuah akhbar semalam.

Sila membuat pengakuan itu selepas banyak pihak menganggap dia merupakan gadis Muslim Turki yang pertama berbogel untuk majalah Playboy.

"Ibu bapa saya adalah penduduk Turki dan saya dibesarkan dalam komuniti Islam tetapi saya bukan beragama Islam. Orang ramai membuat andaian bahawa saya beragama Islam.

"Saya tidak faham kenapa masyarakat menggunakan soal agama untuk menentang keputusan saya bergambar dalam majalah Playboy," kata anak tunggal berusia 25 tahun itu.

Aktres itu yang membintangi drama telenovela Jerman, Good Times, Bad Times menjelaskan, bapanya tidak menganuti sebarang agama manakala ibunya seorang wanita Islam yang bertukar kepada agama Kristian.

"Saya sentiasa dipesan supaya tidak keluar rumah, tidak boleh memiliki rakan lelaki, tidak perlu kelihatan menarik dan dilarang mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin." jelas Sila kepada akhbar News of the World semalam.

Dia mencetuskan kontroversi apabila bercinta dengan dengan pelakon popular Jerman, Jörn Schlönvoigt, 24, selepas berpisah dengan teman lelakinya yang beragama Islam pada tahun lalu.

Sila yang menjadi wanita berketurunan Turki pertama yang berbogel untuk penerbitan majalah terkenal itu menerima pelbagai ugutan termasuk diberi gelaran pelacur dan wanita murahan Barat menerusi Internet daripada golongan fanatik Islam kerana dia disangka seorang Muslim.

Bosan dengan kawalan kebebasan ibu bapanya, Sila menerima tawaran Playboy yang meminta dia menjalani penggambaran fotografi bogel di Sri Lanka pada Mac lalu.

"Selepas bertahun-tahun mengikuti apa yang disuruh kepada saya, ia (bergambar bogel) merupakan satu bentuk kebebasan," kata Sila.

Namun, tindakannya berbogel itu menyebabkan saudara-mara Islamnya mendakwa ibu Sila tidak membesarkannya dengan menggunakan pendekatan yang betul. Ibunya itu juga enggan berbual dengan Sila ekoran penyiaran gambar bogel tersebut. - Agensi

Kaki Mangsa Terpaksa Dipotong Di Tempat Kejadian Untuk Selamatkan Nyawanya

Posted: 22 May 2011 05:50 PM PDT

Kaki seorang mangsa tragedi tanah runtuh yang tersepit dan tertimbus dari paras pinggang terpaksa dipotong di tempat kejadian bagi menyelamatkan nyawanya yang ketika itu sudah lemah akibat terlalu lama menanggung kesakitan.

Mangsa, Zulkhairi Aminuddin, 13, terpaksa mengharungi keadaan mengerikan itu selepas kaki kirinya didapati hancur dan mula bertukar menjadi kebiruan.

Menurut sumber hospital, pasukan perubatan yang ditugaskan terpaksa membuat keputusan sukar itu bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang semakin lemah akibat kehilangan banyak darah.

"Sebaik menemui mangsa di lokasi runtuhan, kami diarah melihat keadaan mangsa terlebih dulu dan mendapati lebih 90 peratus kakinya dalam keadaan parah.

"Kami terpaksa memotong kaki mangsa sehingga paras lutut di kawasan kejadian dan memberi rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang (HA) bagi rawatan lanjut," katanya.

Mangsa kini masih berada dalam keadaan lemah dan masih dirawat di ICU HA.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd Erwan Zakaria, 33, juga kehilangan kaki kanan selepas mengalami kecederaan dan pendarahan dalaman yang dikhuatiri mengancam nyawanya.

Sumber itu berkata, selepas dikeluarkan dari runtuhan tanah, Mohd Erwan dikejarkan ke HA dan menjalani pembedahan selama kira-kira empat jam oleh sekumpulan doktor pakar tulang sebelum ditempatkan di ICU bagi rawatan lanjut.

"Kaki Mohd Erwan tidak hancur tetapi mengalami pendarahan dan kecederaan dalaman yang serius akibat tersepit terlalu lama dan tidak dapat diselamatkan. "Sekiranya kakinya dibiarkan dan hanya diberikan rawatan, kami bimbang ia akan dijangkiti kuman sehingga menjadi busuk seterusnya mengancam nyawa," katanya.

Katanya, seorang lagi mangsa, Mohd Aizat Khusyairi Abdul Karim, 12, juga dirawat di ICU HA kerana kecederaan di kepala.

Menurutnya, setakat ini, keadaan ketiga-tiga mangsa stabil dan masih dipantau secara berterusan oleh pegawai perubatan dan jururawat.

"Hanya keluarga terdekat dibenarkan melawat mangsa kerana pihak hospital tidak mahu emosi mereka terganggu dan boleh memudaratkan kesihatan kerana mereka masih trauma," katanya.

Sumber itu berkata, pihak hospital sudah melakukan rawatan terbaik bagi memastikan mangsa yang terselamat mendapat rawatan sempurna dan kembali pulih sama ada fizikal atau mental. -hm

[Video] Jadikan Tragedi Sebagai Iktibar, Pernah Berlaku Runtuhan Kecil

Posted: 22 May 2011 04:15 PM PDT

TTanah Runtuh : Ambil Musibah Sebagai Iktibar Untuk Perbaiki Masa Depan

KUALA LUMPUR 22 MEI : Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan jutaan takziah kepada keluarga, pewaris mangsa dan pihak rumah anak yatim yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini semalam.

Beliau turut menggesa kajian menyeluruh dilakukan ke atas bangunan dan kawasan sekitar insiden kerana bencana melibatkan kehilangan nyawa katanya tidak boleh diambil mudah.

Ia penting kata Azizah bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga yang telah kehilangan nyawa dan semualah yang telah ditimpa malapetaka ini tetapi kita mesti redha.

"(Namun) kita mesti cari penyelesaian kerana kalaulah tragedi ini berulang dan berlaku banyak kali, jadi kita mesti tengok puncanya. Apakah dengan pembangunan bangunan yang tanpa mengira persekitaran?," katanya kepada TV Selangor selepas melawat mangsa yang terselamat di Hospital Ampang petang tadi.

Beliau turut diiringi isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut, Exco Selangor Rodziah Ismail dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Haniza Talha.

Dalam kejadian tanah runtuh semalam, 16 mangsa maut manakala sembilan lagi mengalami kecederaan dan dilaporkan dalam keadaan stabil kini.

Azizah turut mengingatkan tentang amalan beringat yang bersifat sementara di kalangan masyarakat.

Katanya, semua pihak seharusnya melihat dan belajar terhadap apa yang berlaku serta menjadikanya panduan supaya boleh mengharungi masa depan dengan lebih baik.

Jelasnya, peristiwa malang yang berlaku ini amat menyedihkan kerana ia melibatkan kehilangan nyawa yang besar serta di kalangan mereka yang masih anak-anak.

"Kadang kala kita nampak macam beringat sedikit bila lepas tragedi untuk seketika tetapi kejadian yang sama masih berulang.

"Nyawa (yang diambil seharusnya) menjadi pelajaran tetapi kita tak belajar dari pelajaran ini," katanya. -tvsnews


Tanah Runtuh: Pernah Berlaku Runtuhan Kecil

KAJANG: Tanah bukit di kawasan belakang Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat, iaitu lokasi kejadian tanah runtuh yang meragut 16 nyawa pernah berlaku pergerakan kecil dan runtuhan pasir.

Bagaimanapun jurucakap rumah anak yatim berkenaan, Roslan Othman, 69, berkata, runtuhan pasir berkenaan dianggap perkara biasa kerana ia berlaku beberapa kali terutama ketika hujan serta dinggap tidak berbahaya.

"Sebelum ini pun memang pernah runtuh, tapi hanya runtuhan pasir halus dan tanah.

"Kami anggap ia perkara biasa, bila jatuh (tanah) kami sapu dan bersihkan. Tidak pernah terfikir perkara begini (runtuhan besar) berlaku," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan orang Islam Dusun Naning di sini, Ahad.

Namun Roslan berkata, tragedi yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang Sabtu yang melibatkan jumlah mangsa keseluruhan yang tertimbus seramai 25 orang adalah teruk dan begitu menyayat hati.

"Ini adalah tragedi yang teruk, saya tak kata ia paling teruk kerana ia pertama kali berlaku...jadi kita tak boleh buat perbandingan," katanya yang sudah berkhidmat sebagai sukarela di rumah anak yatim berkenaan selama lebih 10 tahun.

Dalam pada itu Pengetua Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Idris Musa ketika ditemui enggan mengulas mengenai tragedi berkenaan.

"Saya tidak mahu cakap apa-apa, anak-anak saya baru sahaja pergi (meninggal).


"Tolong bagi saya masa untuk bertenang, harap anda faham," katanya ringkas. -mstar



[Video] Cadangan Projek Tepi Lereng Bukit Dibekukan Segera

Posted: 22 May 2011 08:00 AM PDT

PKR Sgor Cadang Beku Segera

SHAH ALAM 22 MEI : Parti Keadilan Rakyat Selangor menggesa kerajaan negeri untuk membekukan serta merta aktiviti berhampiran kawasan yang berstruktur lemah dan lereng bukit untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafie berkata, kejadian lalu haruslah dijadikan iktibar apabila beberapa tragedi menyayat hati berlaku dan banyak nyawa yang terkorban.

"KEADILAN Selangor sedar, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor telah pun mengambil inisiatif supaya kawalan lebih ketat dalam meluluskan sebarang aktiviti dan pembangunan di kawasan lereng bukit yang mempunyai potensi untuk berlakunya tanah runtuh dan bencana runtuhan,"katanya.

"Namun terdapat rungutan melampau apabila ia mula dilaksanakan. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor perlu mengambil serius isu ini kerana ia melibatkan belasan nyawa yang terkorban dan kerosakan harta benda disamping perubahan ekologi persekitaran.

"(Bahkan) jika dikaji memang ada kelemahan dan ketidakcekapan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu menyebabkan banyak pembangunan yang diluluskan tanpa kawalan ketat dari segi keselamatannya dan inilah masanya Kerajaan Negeri Selangor sekarang bertindak tegas,"tambahnya lagi.

Negara semalam digemparkan dengan berita menyedihkan apabila 16 anak yatim termasuk seorang petugas Rumah Anak-anak yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat maut dalam runtuhan tanah kira-kira 2.30 petang semalam.

Justeru beliau mewakili KEADILAN Selangor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seluruh tenaga pengajar dan anak-anak yatim yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

Beliau juga menggesa insiden sedih ini tidak dijadikan medan politik untuk berkempen.

"Marilah kita berjiwa besar berganding bahu bersama Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor dan pihak keselamatan di peringkat kerajaan Persekutuan bersama-sama membantu mangsa kejadian tanah runtuh ini. Pihak Polis perlulah memberi kerjasama baik kepada wakil kerajaan Negeri yang hadir ke kawasan runtuhan setiap hari bagi membantu menyelaras bantuan,"ujar beliau.

Semalam, tindakan pihak polis menyekat EXCO Kerajaan Negeri Selangor menghampiri kawasan runtuhan, pada masa sama membenarkan pimpinan Umno dan wakil kerajaan Pusat masuk ke kawasan runtuhan adalah tindakan yang tidak wajar.

Dalam keadaan bencana seperti itu, semua pihak seperti Majlis Tempatan, BOMBA, Polis, Jabatan Kerja Raya dan semua agensi milik kerajaan Negeri dan Pusat mempunyai tugas berat dan digesa berkerjasama bagi menyelamatkan mangsa dan Kerajaan Negeri punyai tanggungjawab lebih besar membantu mangsa. -tvsnews




[Video] Keadaan 9 Mangsa Insiden Tanah Runtuh Stabil - updated

Posted: 22 May 2011 07:00 AM PDT

Sembilan Yang Terselamat Insiden Tanah Runtuh Stabil

KUALA LUMPUR 22 MEI : Semua sembilan orang yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Batu 14 Hulu Langat semalam, yang sedang dirawat di hospital, berada dalam keadaan stabil, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata enam mangsa kejadian di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Al-Taqwa itu ditempatkan di wad khas (bencana) manakala tiga lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak diselamatkan semalam.

"Tiga di ICU kini stabil, dua lagi yang berumur 13 dan 33 tahun terpaksa dipotong kaki kerana kecederaan teruk manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kepala," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat mereka di Hospital Ampang di sini beliau berkata, semua mereka berumur antara sembilan dan 33 tahun.

Sementara itu semasa merujuk kepada kesukaran wartawan mendapat maklumat tepat mengenai tragedi terutamanya ketika berlaku bencana dalam skala besar, Rosnah berkata keadaan itu berlaku disebabkan keadaan yang kelam-kabut susulan kejadian.

"Pihak hospital terpaksa menumpukan perhatian dalam merawat pesakit sehingga tidak mempunyai masa untuk menyalurkan maklumat kepada wartawan," katanya dan menambah perkara itu akan diperbetulkan supaya media mendapat maklumat tepat untuk disalurkan kepada orang ramai.

Kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 2.30 petang semalam itu sehingga kini mengorbankan 16 nyawa.

Seorang mangsa yang terselamat, Mohd Alauddin Shafie, 14, yang ditemui di wad khas hospital itu semasa bercerita mengenai kejadian itu berkata ia berlaku dengan pantas, semasa dia bersama tiga lagi rakannya sedang menyusun kerusi di bawah khemah berhampiran rumah itu.

"Saya tengah susun kerusi, dan sedang mencari lagi rakan untuk membantu semasa saya nampak tanah dari lereng bukit jatuh menghala ke arah saya. Saya cuba berpusing tetapi pintu berhampiran tak boleh dibuka, tiba-tiba saya dihempap kerusi dan papan putih mengakibatkan tangan kiri patah," katanya.

Dalam tragedi itu, Mohd Alauddin kehilangan adiknya Mohd Hazim, 10, tahun yang meninggal dunia akibat tertimbus dalam runtuhan itu.

Sementara itu seorang lagi mangsa yang terselamat Muhamad Akmal Mohd Jefry, 11, ketika ditemui berkata kejadian berlaku semasa dia sedang mengemas untuk menyambut ketibaan tetamu bagi satu majlis rasmi apabila secara tiba-tiba dia melihat tanah yang datang dengan banyak secara tiba-tiba.

"Saya ingatkan khemah jatuh sahaja, tapi saya dengar bunyi kuat tanah runtuh. Ketika saya tengah lari saya terjatuh, tergelincir dan terhantuk dengan
dinding. Kaki saya tersepit," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Marliza Sulong, 43, emak Akmal yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir di SK Bandar Tun Hussein Onn 2, doktor memberitahu beliau bahawa anaknya boleh pulang ke rumah dalam sehari dua lagi.- BERNAMA



Dasar Laut Berganjak Kerana Gempa

Posted: 22 May 2011 05:30 AM PDT

Tokyo: Dasar laut berganjak lebih 20 meter dan naik tiga meter selepas Jepun dilanda gempa bumi magnitud 9 pada Mac lalu, perubahan lebih besar daripada jangkaan awal saintis.

Ia berdasarkan ukuran peralatan yang diletak pada dasar laut dan direkodkan Pengawal Pantai Jepun, menunjukkan mengapa kemusnahan berlaku di kawasan timur laut negara itu yang dilanda gempa bumi disusuli tsunami.

"Skala yang didapati itu lebih dua kali ganda daripada jangkaan data terkumpul menerusi ukuran pada tanah," kata Dr Mariko Sato kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Pengawal Pantai Jepun meletakkan lima peralatan lokasi untuk mengukur perkembangan di dasar laut.

Gempa itu berlaku dekat Jurang Jepun, satu sempadan pelantar tektonik terletaknya bongkah batu dasar Lautan Pasifik ditarik ke bawah Jepun serentak pergerakan ke barat, ke arah Eurasia.

Gempa bermula di laut dalam, 130 kilometer dari bandar Sendai di wilayah Miyagi pada kedalaman 32 kilometer.

Berikutan itu, penyelidik memberi amaran bahawa masih ada banyak tekanan yang tersimpan di kawasan berkenaan sekali gus wujud kemungkinan gempa lebih besar berlaku.
Jurnal Science menerbitkan tiga kertas kerja baru mengenai kesan dan punca gempa mega 11 Mac lalu yang menunjukkan keadaan di lokasi gempa bumi lebih rumit dan bahaya.

Satu daripada kertas kerja itu menunjukkan Pengawal Pantai Jepun menyiarkan data lima peralatan geodetic yang diletakkan di bawah laut pada 2000 hingga 2004, dekat kawasan gempa bermula.

Satu daripada peralatan itu yang diberi nama MYGI diletakkan hampir di atas pusat gempa berkenaan menunjukkan sejauh mana anjakan dasar laut berlaku sejak ukuran diambil pada Februari lalu.

Empat peralatan di lokasi lain dikenali dengan nama FUKU, MYGW, KAMS dan KAMN.

Sato percaya, perubahan itu berlaku ketika gempa bumi melanda. Malah, ada yang menganggarkan anjakan di bawah dasar laut lebih besar, antara 48 hingga 60 meter.

"Kami guna satelit, kemudian kedudukan alat itu dari kapal menggunakan ombak akustik.

"Kami ulanginya dan memerhati kedudukan alat itu sebelum dan selepas gempa," kata Sato. – Agensi

[Video] Pasca Tragedi Tanah Runtuh Hulu Langat

Posted: 22 May 2011 04:25 AM PDT



Lebih 500 Sertai Solat Jenazah Mangsa Tanah Runtuh

KUALA LUMPUR: Lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga dan waris mangsa serta penduduk setempat hadir di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, Pekan Batu 14 Hulu Langat, bagi menunaikan solat jenazah untuk tujuh mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa semalam.

Ketujuh-tujuh jenazah itu disembahyangkan selepas solat Zohor di masjid berkenaan.

Masjid berkenaan mulai dipenuhi jemaah sejak 10 pagi tadi untuk urusan pengebumian jenazah mangsa terbabit.

Mereka ialah Dzahir Haziq M Muin, 18; Mohd Azret Azahari, 8; Wan Ahmad Hasrim Hazim, 11; Mohd Mustakim Mamat, 12; Mohd Zaid Azahari, 14; Mohd Imal Fahad, 9; dan Mohd Hazim Sapri, 10.

Mereka disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding, Batu 14, Hulu Langat.

Dalam kejadian tanah runtuh kira-kira 2.30 petang semalam, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus dalam runtuhan tanah.

Enam belas orang terkorban dalam tragedi tersebut manakala sembilan lagi yang turut terperangkap dalam runtuhan itu selamat.

Semua mayat mangsa yang terkorban di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Semua jenazah selesai dituntut ahli keluarga dan waris pada kira-kira 12.05 tengah hari tadi.

Jenazah mangsa yang lain akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing iaitu tiga di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Dengkil (dua) dan masing-masing satu di Batu Caves, Perak, Pahang dan Kelantan. - BERNAMA


Slimming Sanctuary Diarah Bayar RM26,793.57 Ganti Rugi Melecur

Posted: 22 May 2011 02:45 AM PDT

Sebuah pusat kecantikan diperintahkan Mahkamah Sesyen di sini, semalam, membayar sejumlah RM26,793.57 kepada seorang pemilik butik selepas didapati cuai sehingga menyebabkan pelanggannya melecur di beberapa bahagian badan ketika menggunakan kemudahan spa di pusat itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Sivil Norshila Kamaruddin membuat keputusan itu selepas selesai mendengar semua keterangan saksi pada 28 April lalu dalam kes saman kecuaian difailkan Lim Wah Kiau terhadap Slimming Sanctuary Sdn Bhd.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 11 Februari tahun lalu, Wah Kiau berkata, beliau membeli pakej kecantikan merangkumi rawatan muka dan kemudahan spa daripada Slimming Sanctuary berharga RM10,072.20 di cawangan Ampang.

Wah Kiau berkata, beliau mengalami kecederaan melecur tahap kedua di bahagian tangan, bahu dan belakang kerana suhu air terlampau panas dalam tab jakuzi ketika menggunakan kemudahan spa di pusat kecantikan itu pada 31 Disember 2008.

Katanya, sebelum memasuki tab jakuzi itu, pekerja pusat kecantikan itu hanya menambahkan sedikit air ke dalam tab untuk mengawal suhu walaupun sudah diberitahu air dalam tab terlampau panas.

"Apabila berbaring dalam tab jakuzi itu, saya rasa degupan jantung amat cepat dan cuba bangun tetapi saya kemudian pengsan. Apabila sedar kembali, saya berasa hendak mandi air pancur, bagaimanapun sekali lagi saya pengsan," katanya.

Wah Kiau berkata, beliau hanya dijumpai pekerja di spa itu pada jam 4.30 petang, iaitu lebih sejam selepas berada di pusat kecantikan berkenaan.

Disebabkan kecuaian itu, wanita itu berkata belakang, tangan dan bahunya berparut selain mengalami penderitaan dari segi mental dan emosi dan kehilangan pendapatan kerana tidak berupaya menjalankan perniagaannya lagi.


Tiada ulasan: