Kelab Greenboc |
- PERKASA Perlu Lancarkan Jihad Dengan UMNO Sendiri Yang Mempunyai Ramai Ahli Kristian
- Video Seks Diedar Dalam Program PR Di Selayang
- Negara Kristian - Razali Jadi Alat Polis?
- Dalam UMNO Pun Ada Kristian. Utusan Mahu Bising Lagi Kah?
- Dugaan Tetap Ada, Masyarakat Pandang Poligami Sesuatu Yang Negatif - Salih
- Ghadafi Muncul Di TV: Aku di Tempat Dimana Kau Tak Dapat Membunuhku
- [Video] Dah Desperate Sangat Sampai Masjid Jadi Tempat Edar Video Lucah
- DAP Kecam BN Bazirkan Wang Rakyat Bina Tugu 1 Malaysia
- [Video] Pengedar Video Seks Fitnah Bakal Ditimpa Bahana - Nik Aziz
- Apabila Pengulas UMNO Kata Ust Nasha Lebih Layak...
- Salih Yaakob: Contoh Terbaik Poligami - Perunding Motivasi
PERKASA Perlu Lancarkan Jihad Dengan UMNO Sendiri Yang Mempunyai Ramai Ahli Kristian Posted: 15 May 2011 12:10 AM PDT Perkasa ugut jihad jika Kristian teruskan agenda rampas status Islam GOMBAK, 15 Mei — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali malam tadi memberi komuniti Kristian amaran bahawa beliau akan melancarkan "perang jihad" jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini. Bercakap di hadapan sekitar 200 hadirin pada satu ceramah di Kampung Changkat di sini, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini berkata, beliau (gambar) bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam. Meskipun mengadu keletihan ekoran sembilan ceramah bermula dari Kelantan sejak malam kelmarin, Ibrahim juga berkata, darahnya sedang mendidih ekoran laporan terbaru kononnya wujud konspirasi antara pengikut Kristian dengan pemimpin-pemimpin agama dan ahli politik pembangkang. "Di Kelantan sebelum ini, saya mengisytiharkan di depan polis, saya memberitahu pasukan keselamatan yang hadir bahawa jika mereka mahu menghantar mesej saya kepada (ibu pejabat polis) Bukit Aman, silakan. "Sila rakamkan kata-kata saya, jika ada mana-mana pihak di Pulau Pinang khususnya paderi-paderi Kristian yang didokong oleh DAP Pulau Pinang, jika mereka terus dengan agenda mereka yang sudah pun diketahui sekarang, saya bersedia untuk menawarkan, jika mereka mahukan perang salib, kami boleh adakan. "Ini selari dengan semangat Sultan Saladin Ayubi... jika mereka adakan perang salib, kami boleh," kata ketua pertubuhan bukan kerajaan ini, yang mendakwa bergerak atas platform mahu membela kepentingan dan hak kaum Melayu. Dalam ucapannya, Ibrahim juga memberi amaran agar bukan Islam tidak memandang mudah sikap berdiam diri umat Islam sambil menegaskan, umat Islam sebenarnya mengutamakan keamanan dan keharmonian. "Kami sudah bersedia. Berdiam diri bukan bermakna kami takut, kami telah berdiam diri sebab kami utamakan keamanan dan keharmonian. "Tetapi orang-orang ini, jika mereka merasakan keamanan yang mereka nikmati selama ini tidak cukup atau kestabilan dan kemajuan negara tidak cukup dan mereka mahu melakukan sesuatu yang kita tidak pernah terfikir, teruskan... kami bersedia," katanya lagi. Ibrahim mendakwa bukan Muslim kini seolah-olah berani dan tidak risau untuk bertindak sedemikian kerana mereka merasakan ada sokongan daripada ramai Muslim liberal dan pemimpin-pemimpin politik seperti Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. "Ini pandangan saya. Jika saya tidak tepat, ia hak saya. Jika saya kasar, saya minta maaf. Dosa saya, saya tanggung. "Tetapi mengapa ini berlaku sekarang selepas 53 tahun? Jawapannya anda tahu, punca utama ialah Anwar," katanya lagi. Ucapan Ibrahim kali ini berkisar pada kontroversi terbaru ekoran laporan Utusan Malaysia bertajuk "Kristian agama rasmi?" pada 7 Mei lalu, mendakwa paderi-paderi Kristian dan pemimpin-pemimpin DAP berkonspirasi mahu memansuhkan Islam sebagai agama persekutuan dan melantik orang Kristian sebagai perdana menteri. Pemimpin-pemimpin DAP dan Kristian menafikan kandungan laporan sedemikian. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Kristian Khamis lalu bagi meredakan keadaan, tetapi Ibrahim menegaskan malam tadi bahawa laporan akhbar milik Umno itu adalah betul. Ibrahim merujuk kepada laporan polis dibuat oleh seorang anggota DAP Islam kelmarin mendakwa dia tahu cerita sebenar apa yang berlaku ketika pertemuan di sebuah hotel di Pulau Pinang baru-baru ini. "Mereka menuduh Utusan Malaysia tetapi dari awal lagi, saya mengatakan ia sahih. Ia benar. "Mengapa? Ini kerana Ahli Parlimen yang hadir pada pertemuan itu adalah Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi. Beliau Ahli Parlimen macam saya dan saya tahu dari lagak dan pertuturan yang dia gunakan," katanya. Ibrahim juga mengulangi dakwaannya minggu lalu bahawa anggota bekas Parti Komunis Malaya (PKM) menggunakan kumpulan lokal untuk berkonspirasi menggantikan Islam sebagai agama persekutuan negara ini. Katanya, penyokong-penyokong PKM telah menyeludup masuk ke dalam parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan agama dan persatuan bisnes selepas ia meletakkan senjata pada 1989 bagi meneruskan aktiviti mereka.
Ulasan GB Perkara yang tiada diada-adakan iaitu tuntutan Kristian sebagai ugama rasmi oleh padri. Ia tiada, tetapi sengaja diada-adakan untuk menanamkan keebencian umat Islam terhadap Kristian dan menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat Islam di negara ini supaya mereka menolak DAP yang dikatakan hadir di dalam perjumpaan tersebut. Perkara yang ada ditiadakan (didiamkan) iaitu terdapat ramai masyarakat Kristian kini menjadi ahli UMNO. Mengapa PERKASA membisu? |
Video Seks Diedar Dalam Program PR Di Selayang Posted: 14 May 2011 10:30 PM PDT Program Pakatan Rakyat di Stadium Selayang dekat sini malam tadi, sekali lagi menjadi sasaran pengedaran VCD rakaman video seks, yang didedahkan "Datuk T" Mac lalu dan dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gambar: Penyokong Pakatan Rakyat mengumpulkan VCD dan risalah berkaitan isu video seks yang diedarkan di luar Stadium Selayang, malam tadi. — Foto Jack Ooi Pemimpin-pemimpin Pakatan mendakwa perbuatan itu didalangi oleh Umno. Selain mengedarkan VCD itu, risalah berkaitan video seks turut diedarkan di luar stadium - yang secara jelas mahu menjejaskan kredibiliti Anwar selaku Ketua Umum Pakatan Rakyat dan PKR. Dalam risalah yang diedarkan itu, selain memaparkan gambar pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan "Datuk T" pada 21 Mac lalu turut tertera perkataan "tak perlu jadi seorang pakar jika ingin buktikan sesuatu!!!, anda sendiri boleh lakukan". Ekoran pengedaran VCD dan risalah itu, petugas Pakatan Rakyat mengumpulkan kesemua VCD dan risalah dipercayai untuk dimusnahkan. Pakatan Rakyat menganjurkan program Munajat Perdana Rakyat Tolak Fitnah di Stadium Selayang. Turut hadir Anwar, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalannya Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat. Menurut Khalid, beliau kesal dengan tindakan Umno yang mengedarkan VCD rakaman video seks itu untuk menjatuhkan imej Anwar dan kerajaan negeri Selangor. "Mereka edarkan video lucah. Ini kerja bodoh di negeri yang kaya dan ia satu kerja yang tida patut dilakukan rakyat Selangor. "Kita nak jadikan Selangor ini negeri membangun, mewah dan dirahmati Allah tapi Umno bawa VCD tak guna ini, kalau nak tolong rakyat selesaikan masalah rakyat. "Ini yang Umno tak boleh buat, apa yang mereka boleh buat edarkan VCD, tak guna ini," kata beliau ketika berucap. Tegas beliau, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan mempedulikan strategi kotor digunakan Umno-BN untuk merampas semula Selangor. Sebaliknya, tegas Khalid, kerajaan negeri Selangor akan bekerja kuat bagi memastikan nasib rakyat di negeri itu terbela. "Saya tidak ada masa untuk VCD buruk ini, saya akan terus bekerja keras untuk bantu rakyat. "Rakyat pilih kita untuk buat perubahan dan ini yang akan kita buktikan," katanya. Semalam PKR Selangor menggesa polis menjelaskan pendirian pihaknya ekoran tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab menyebar VCD rakaman video seks ketika ceramah "Jelas — Tawan Malaysia!" anjuran parti itu di lokasi berlainan kelmarin. The Malaysian Insider difahamkan VCD itu diedarkan ketika ceramah-ceramah anjuran Pakatan Rakyat khususnya PKR di seluruh negara sejak lebih seminggu lalu. Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, ceramah "Jelas — Tawan Malaysia!" di Kampung Jalan Kebun dan Kampung Melayu Subang telah dicemari dengan pengedaran VCD lucah dan poster propaganda bergambarkan wajah Anwar. Ia diletakkan pada cermin kereta hadirin ceramah kedua-dua dua lokasi terlibat, kata Shuhaimi sambil menyifatkannya "mainan politik kotor tidak bertanggungjawab yang amat dikesali." Awal bulan lalu, klip rakaman aksi seks disebarkan menerusi Internet dan polis berjanji akan menyiasat siapa yang bertanggungjawab ke atas tindakan memuat naik bahan itu. Ulasan GB Sepatutnya, petugas PR perlu mengintip dan menahan mereka yang melakukan pengedaran tersebut. Dengan cara itu lebih mudah untuk diketahui dalangnya. |
Negara Kristian - Razali Jadi Alat Polis? Posted: 14 May 2011 09:00 PM PDT Pada 8 Mei lalu, Ahli DAP Mohamad Razali Abdul Rahman (gambar) hadir sama dengan Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi membuat laporan polis bahawa Utusan Malaysia menyiarkan berita fitnah kononnya wujud konspirasi paderi mahu menjadikan Kristian agama rasmi Malaysia. Laporan polis itu memaksa Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein mengeluarkan pelbagai kenyataan untuk "melindungi" Utusan Malaysia yang dimiliki oleh Umno. Hishamuddin, khususnya, diserang dalam laman-laman blog kerana masih mempertahankan Utusan, sungguhpun Ooi dan paderi berkenaan menafikan mesyuarat mereka menjurus kepada penubuhan negara Kristian. Secara tiba- tiba, semalam Razali membuat laporan polis memberikan versi lain mengenai mesyuarat paderi itu. Kehadiran semua beliau di balai polis kali kedua diberi liputan penuh oleh Utusan dan media arus perdana lain. Laporan polis Razali itu kemudian dipergunakan oleh Hishamuddin untuk mengeluarkan kenyataan kononnya berita "Negara Kristian" yang disiarkan Utusan mempunyai asas. Laporan polis oleh Razali bertambah mencurigakan apabila didapati beliau adalah saudara kepada seorang pegawai polis Cawangan Khas di kawasan parlimen Jelutong. Ooi tidak menolak kemungkinan Razali dipujuk atau dipaksa membuat laporan polis yang boleh diguna oleh pihak berkuasa termasuk Hishamuddin bagi menghalalkan laporan Utusan itu. Razali adalah ahli jawatankuasa DAP Bukit Tumba. Beliau tidak dapat dihubungi sejak semalam oleh pimpinan DAP untuk mendapatkan penjelasan. Apa yang jelas ialah Hishamuddin kini mempunyai alasan untuk menghalalkan tindakan KDN untuk hanya memberi surat teguran kepada Utusan bersabit laporan itu. Surat teguran itu dikeluarkan kelmarin, sehari sebelum Razali membuat laporan polisnya. "Kami diberitahu Mohamed Razali dan anggota polis itu ada pertalian keluarga dan anggota itu yang dikatakan berperanan membantu Utusan Malaysia mendapatkan berita itu. Saya harap polis juga boleh mula siasat dari sudut ini dan adil serta bebas dalam siasatan kes berkenaan," kata Ooi kepada wartawan. "Kita tidak tahu motif atau niatnya membuat laporan polis lima hari setelah kami membuat laporan polis menafikan dakwaan yang dibuat di Utusan... (yang) juga diiringi oleh beliau," kata Ooi sambil menunjukkan sekeping gambar Mohamed Razali bersamanya ketika membuat laporan polis pada 8 Mei lalu. Semalam, polis mengesahkan mereka menerima laporan yang mempunyai 'variasi lain' berhubung apa yang terjadi. Bagaimanapun kedua-dua Mohamad Razali dan pihak berkuasa juga enggan mendedahkan apa yang terkandung dalam laporan itu. "Kami berharap Mohamed Razali mengulangi apa yang dilaporkannya kepada polis supaya kami boleh mengambl tindakan undang-undang jika kenyataannya mengancam kedudukan DAP dan masyarakat Kristian," kata Ooi. Utusan pada 7 Mei lalu, bersandarkan pendedahan di dua blog pro-Umno menyiarkan tajuk utama mendakwa paderi Kristian bercadang menukar agama rasmi persekutuan dan melantik seorang pemimpin di kalangan penganut agama itu sebagai perdana menteri. Ooi berkata tindakan Mohamed Razali, yang tampil bagi membuat laporan untuk membolehkan Hishamuddin menyatakan laporan Utusan itu "ada asas kebenaran" sebagai tidak logik. "Jika wujud konspirasi, kami tidak akan menjemput sesiapa, apa lagi seorang Islam. "Ini common sense dan bagi mendakwa saya adalah penganjur supaya ikrar (negara Kristian) seperti ini diadakan juga tak masuk akal. Mereka harus tahu, saya beragama Buddha dan mengamalkan ajaran itu," kata Ooi. Menurut Ooi, kali terakhir beliau berhubungan dengan Mohamed Razali adalah pada 8 Mei lalu dan kedua-dua mereka mempunyai hubungan rapat selepas beliau meninggalkan Umno Pulau Pinang untuk menyertai DAP pada 2008. Ahli parlimen itu berkata beliau cuba menghubungi lelaki itu yang disifatkannya sebagai "penyokong setia DAP" tetapi gagal. -tvsnews |
Dalam UMNO Pun Ada Kristian. Utusan Mahu Bising Lagi Kah? Posted: 14 May 2011 07:50 PM PDT Sudahlah tu, dalam Umno pun ada Kristian! MASIH ingat lagi John Ghani? (gambar) Beliau ialah perwakilan Umno Sabah dan pertama kali muncul dalam perhimpunan agung parti itu setelah Umno membuka keahlian kepada Bumiputera selain bangsa Melayu. John Ghani menjadi popular kerana loghat Sabahnya apabila menyebut "zink" sebagai "jink" ketika berucap dalam perhimpunan agung Umno. Antara yang menyiarkan ucapan wakil Sabah dari etnik Kadazandusun beragama Kristian itu adalah Utusan Malaysia, akhbar milik Umno. Keputusan Umno untuk bertapak di Sabah sebenarnya membawa banyak perubahan kepada dasar, perlembagaan dan landskap parti nasionalis itu. Jika sebelum masuk ke Sabah, Umno dikenali sebagai parti Melayu dan hanya menerima Melayu (yang ditakrif mesti beragama Islam) sebagai ahli; namun setelah masuk ke Sabah, Umno mula menerima ahli bukan Islam asalkan ia seorang Bumiputera. Seorang Kadazan atau Murut beragama Kristian layak menjadi ahli Umno kerana mereka ialah Bumiputera. Malah Umno telah mencatat sejarah apabila seorang ahlinya yang beragama Kristian, Dato' John Ambrose dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Penampang. Fasal 4 perlembagaan Umno menyebut bahawa ahli-ahli Umno adalah dua jenis iaitu ahli biasa dan ahli bergabung. Ahli Biasa ialah Warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputera yang berusia 18 tahun ke atas (Fasal 4.2). Ahli Bergabung adalah sebuah pertubuhan politik yang bersetuju berkerjasama dengan Umno dan menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (Fasal 4.3). Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) kini menjadi Ahli Bergabung Umno. Pada Fasal 5 berhubung pendaftaran keahlian, disebut bahawa tiap-tiap orang Melayu dan Bumiputera berhak mendaftar diri sebagai ahli Umno mengikut Perlembagaan dan peraturannya. Sehubungan itu, bukanlah satu perkara yang pelik bagi Umno mempunyai seorang ahli beragama Kristian asalkan ia seorang Bumiputera. Malah bukan menjadi satu keganjilan jika Umno khususnya di Sabah satu ketika nanti akan dikuasai orang bukan Islam jika majoriti Bumiputera bukan Islam di Sabah mengambil keputusan menyertai Umno. Sebaliknya seorang Cina dan India beragama Islam tidak diterima menyertai Umno. Ini kerana parti itu menetapkan anggotanya mestilah seorang Melayu atau Bumiputera. Meskipun beragama Islam, seorang Cina atau India tidak boleh menyertai Umno kerana ia parti yang hanya dikhaskan untuk Melayu dan Bumiputera. Sebagai contoh, walau bagaimana hebat pun seorang Cina itu membela Umno mahupun dasar-dasar Umno dan BN, seperti dilakukan pensyarah kanan Universiti Pertahanan Malaysia, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah; beliau tetap tidak diterima menyertai Umno kerana dia seorang Cina yang hanya layak menyertai MCA atau Gerakan. Malah Ridhuan Tee juga tidak boleh menjadi Ahli Bergabung Umno kerana beliau seorang individu dan bukannya sebuah pertubuhan politik. Jadi apalah peliknya Umno untuk hidup harmoni dengan lain-lain masyarakat Malaysia berlainan agama kerana parti itu sendiri mempunyai ahli bukan Islam khususnya Kristian? Jika benar pun wujud konspirasi atau pakatan sulit untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, apakah logiknya pakatan itu jika penduduk Kristian di negara ini hanya mewakili 10 peratus jumlah penduduk. Malah ahli Parlimen DAP Jelutong yang dikaitkan dengan dakwaan konspirasi itu sendiri beragama Buddha dan bukannya Kristian seperti anggapan kebanyakan orang. Majlis itu juga turut dihadiri ahli jawatankuasa DAP cawangan Bukit Tumba, Mohamed Razali Abdul Rahman. Mustahil bagi para paderi dan pastor berkonspirasi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara dengan kehadiran penganut Islam. Jika Utusan Malaysia dan pemimpin Umno begitu risau dengan pengaruh Kristian di Semenanjung sehingga boleh menjejaskan taraf Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan, mengapa ia tidak melihat usaha Umno Sabah bagi menarik lebih ramai Bumiputera bukan Islam menyertai parti itu sebagai satu ancaman? Malah Umno Sabah telah membentuk satu pasukan petugas khas bagi menarik lebih ramai Bumiputera bukan Islam dari kalangan etnik Kadazandusun dan Murut untuk menyertai Umno. Usaha ini, kata John Ambrose adalah untuk menguatkan lagi kedudukan Umno di Sabah. Langkah Umno Sabah ini, kata Ketua Umno Bahagian Penampang itu mendapat lampu hijau daripada Presiden Umno (ketika itu), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Dato' Seri Najib Razak. Mungkin ada di kalangan penyokong fanatik Umno berpendapat bahawa keadaan ini khusus untuk Sabah sahaja dan tiada kaitan dengan politik Semenanjung. Bagaimanapun gerakan yang dipelopori Umno Selangor bagi memindahkan para pengundi Sabah ke Selangor khususnya di Shah Alam boleh menangkis hujah ini. Kesimpulannya, isu yang digembar-gemburkan Utusan Malaysia bersumberkan dua laman blog pro-Umno itu sengaja ditimbulkan untuk memburuk-burukkan DAP dan mengaitkannya dengan gerakan Kristianisasi. Ia tiada kaitan langsung dengan survival umat Islam mahupun kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Semua episod ini dirancang bertujuan mengocak sentimen umat Islam khususnya bangsa Melayu untuk memastikan sokongan mereka terus kepada Umno. Apatah lagi parti itu ingin dilihat sebagai pembela dan benteng politik Melayu Islam. Sudah-sudahlah tu... dalam Umno pun dah ada Kristian. -Ahmad Tajdid -------------- Sabah Umno out to woo non-Muslim bumiputras By RUBEN SARIO KOTA KINABALU: Sabah Umno is setting up a special taskforce to attract more non-Muslim bumiputras from the state's ethnic communities such as the Kadazandusuns and Muruts. Penampang Umno chief Datuk John Ambrose, the party's first non-Muslim division chairman, said the move was aimed at strengthening Umno in the state. Opening the Penampang Umno meeting at Kampung Limbanak here on Monday, he said both party president Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi and his deputy Datuk Seri Najib Tun Razak had given the green light for setting up the taskforce. "Sabah Umno is open to all races as the party fights for the rights of all bumiputras in the state. If Umno in Sabah is just serving one community, what would happen to the others?" he said. John said Najib was scheduled to launch the taskforce in the remote interior district of Pensiangan soon. He said Pensiangan was among eight of Sabah Umno's 25 divisions where there were large numbers of non-Muslim bumiputras. The others were Penampang, Tenom, Papar, Kota Belud, Keningau, Kota Marudu and Kudat. John said the primary objective of the taskforce would be to create awareness among non-Muslim bumiputras that Umno was open to them and that the party's struggles was not merely for any particular community. - The Star Online, 28 Oktober 2008 |
Dugaan Tetap Ada, Masyarakat Pandang Poligami Sesuatu Yang Negatif - Salih Posted: 14 May 2011 06:00 PM PDT Kuala Lumpur: Sebuah rumah untuk setiap isteri. Itu pemberian eksklusif penyanyi, pelawak, pelakon, pengacara dan penyampai Sinar FM, Salih Yaacob, 50, kepada semua isterinya termasuk bakal isteri keempat, Emi, 24. Beliau yang dijangka melengkapkan kuota poligami dengan penuntut ijazah sarjana di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) itu selepas Aidilfitri ini berkata, rumah berkenaan sebagai hantaran kepada Emi dan hadiah kepada tiga isterinya yang terdahulu. Menurutnya, pemberian itu bakal menjadi hadiah terhadap segala pengorbanan semua isterinya selama ini. "Ketiga-tiga isteri saya menerima pelbagai ujian dan dugaan akibat berpoligami. Walaupun sering dipandang negatif, ia tidak mematahkan semangat mereka. Kerana itu, saya ingin menghargai kekuatan mereka yang menyokong saya selama ini. "Bukan mudah untuk berpoligami. Setiap hari, ada saja dugaan dan ujian yang perlu dihadapi ketiga-tiga isteri saya. Malah, masyarakat kita rata-ratanya sering memandang isu poligami ini sebagai sesuatu yang negatif. "Pada masa sama, mereka (isteri) yang menjadi orang kuat di belakang saya sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Namun, sifat rendah diri dan tabah yang diterapkan dalam diri masing-masing menjadikan mereka kuat, dan itu adalah kekuatan bagi saya," katanya dalam temubual bersama wartawan Metro Ahad di sini. Menurut Salih, dia bercadang membeli rumah baru berkenaan dalam satu kawasan di sekitar Lembah Klang bagi menempatkan setiap isteri dan anaknya. Buat masa ini, ketiga-tiga isterinya menetap di Kampung Pandan. "Rumah mereka (ketiga-tiga isteri) masing-masing di sini. Bagaimanapun, tidak ada lagi rumah kosong untuk menempatkan bakal isteri keempat. "Jadi saya perlu mencari satu kawasan perumahan baru yang lebih luas dan selesa untuk mereka. Saya lebih suka mereka tinggal berdekatan. Dengan cara ini, saya ada banyak masa untuk menjaga dan bersama mereka," katanya. Sambil berbual, Salih membawa wartawan melihat ketiga-tiga apartmen milik isterinya yang terletak berhampiran di antara satu sama lain. Apartmen didiami isteri pertama dan kedua dibeli hasil titik peluhnya berkecimpung dalam dunia seni kira-kira tiga dekad lalu, manakala kediaman isteri ketiga disewa. Tinjauan Metro Ahad mendapati rumah isteri pertama dan kedua diubah suai dengan corak hampir sama seperti hiasan dalaman dan perabot. Begitupun, kediaman isteri ketiga tidak sempat ditinjau kerana kesuntukan masa berikutan Salih ada urusan lain. Menurut Salih, dia memastikan layanan kepada setiap isteri dan keluarganya sama adil dan saksama supaya mereka mampu hidup aman dan selesa hasil pendapatannya. "Alhamdulillah, tidak ada satu pun yang kurang. Jika seorang mendapat kereta, yang lain juga dapat. Ini yang cuba saya terapkan terhadap keempat-empat isteri nanti. Syukur kepada Allah, kami hidup selesa hasil rezeki pemberian-Nya. "Apa yang saya miliki kini menjadi kejayaan bagi setiap isteri dan anak. Jika mahu diikutkan, kejayaan saya adalah kejayaan untuk mereka. "Saya percaya, ini semua rezeki anak dan isteri. Rezeki saya hanya untuk membeli sekotak rokok. Mungkin jika tidak berpoligami, rezeki saya tidak seperti ini," katanya berseloroh. Pelawak popular itu kembali mencuri tumpuan masyarakat seluruh negara selepas akhbar ini secara eksklusif menyiarkan gambar bakal isteri keempat Salih yang berwajah ala Arab pada ruangan muka depan Khamis lalu. Bagaimanapun, Salih ketika ditanya tarikh sebenar perkahwinannya bersama gadis kelahiran Johor itu masih berahsia dan menjelaskan, semuanya terserah pada takdir dan kuasa Allah. "Saya serahkan semuanya kepada Allah kerana saya cuma mampu merancang. Insya-Allah, jika tiada halangan, saya akan melangsungkan perkahwinan selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya.-hm
|
Ghadafi Muncul Di TV: Aku di Tempat Dimana Kau Tak Dapat Membunuhku Posted: 14 May 2011 04:20 PM PDT Tripoli - Televisyen Nasional Libya menyiarkan rakaman suara Ghadafi pada hari Jum'at yang mengejek NATO sebagai "pasukan perang salib yang kecundang". Ghadafi juga menambahkan bahawa dirinya ada di tempat yang mereka tidak akan dapat kesan. Gambar terbaru Ghadafi. "Aku katakan pada para tentera perang salib yang kecundang itu (NATO) bahawa aku tinggal di tempat yang tak akan boleh mereka kesan dan mereka tidak akan dapat membunuh aku." Demikian perkataan Ghadafi yang dirakam. Seperti yang disiarkan oleh Reuters, Sabtu 14/05/2011. NATO, termasuk dengan Amerika Syarikat, Inggeris dan Perancis mengebom Libya sebagai sebahagian dari mandat PBB untuk melindungi orang awam dan mereka berkata bahawa, mereka akan berhenti ketika pemimpin Libya mengakhiri kepemimpinannya yang berusia 41 itu. Ghadafi menghadapi tiga bulan pemberontakan yang dilakukan oleh pemberontak yang menguasai Benghazi dan lombong minyak di bahagian timur Libya. Pemerintah Libya menyalahkan para pemberontak kerana menggunakan senjata api dan menjadi pendokong Al Qaeda serta menyatakan bahwa serangan NATO adalah tindakan penjajahan.
|
[Video] Dah Desperate Sangat Sampai Masjid Jadi Tempat Edar Video Lucah Posted: 14 May 2011 08:15 AM PDT Video lucah fitnah Datuk T yang dimuat naik di Youtube selain di pos kepada pemimpin politik tertentu dan diedar di kawasan perumahan, kini di sebarkan di masjid-masjid pula untuk mengaibkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pihak yang tidak dikenali meletakkan rakaman seks itu di Masjid Al-Hadiyah Telok Panglima Garang Kuala Langat pada Ahad lalu. Nazir Masjid Al- Hidayah, Rahman Amir berkata video berkenaan dijumpai semasa jemaah masjid bersarapan selepas mendengar kuliah subuh di masjid itu. "Nasib baiklah saya yang menemui dan tidak jemaah lain yang menjumpainya. Saya dengan tindakan sendiri sebagai seorang nazir tidak mahu bersubahat dengan perkara yang mana mungkin membolehkan terjadinya keadaan yang huru hara, kerana benda ini kita tonton kerap di TV. Tidak cukup di TV, disebar luas pula di masjid, tempat suci umat islam beribadah," kata beliau. Rahman kesal terhadap kesanggupan pihak yang tidak bertanggungjawab mencalar kesucian masjid dan agama untuk tujuan politik jahat dengan menyebarkan video itu. Dewan Pemuda PAS Kuala Langat (DPPKL) turut mengutuk tindakan itu dan menyifatkannya sebagai "tidak bertamadun". Ketua DPPKL, Hairul Nizam Tohar berkata pengedaran video lucah di masid bukan sahaja menghina kesucian agama Islam tetapi turut menyuburkan budaya fitnah di kalangan rakyat. "Penyebaran VCD lucah ini dilihat sebagai agenda politik sempit dan kotor yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh. Tidak mustahil ada lagi VCD yang disebarkan di masjid lain," kata beliau kepada TVSelangor. Mengulas isu yang sama, ADUN Sijangkang, Ahmad Yunus Khairi menegaskan rakyat harus menolak fitnah seks tersebut berikutan Islam menggariskan hukum yang jelas sebelum menuduh seseorang itu melakukan zina. "Islam meletakkan 4 orang saksi. Ini bukan main- main. Saksi mestilah cerdik, adil, muqallaf," katanya. Beliau turut mempertikaikan tindakan ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah yang membuat sumpah laknat dalam usahanya membabitkan Anwar dalam pertuduhan itu. "Dalam Islam sumpah laknat di dalam zina hanya dibenarkan apabila suami menuduh isterinya berzina dan perkara tersebut berlaku di dalam mahkamah," jelasnya. Tindakan Eskay membuat sumpah laknat sebelum ini dibidas oleh beberapa pihak termasuk mufti-mufti yang menegaskan hukum qazaf adalah cara terbaik untuk menangani isu- isu fitnah. Video seks 21 minit itu ditayangkan oleh Eskay, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari PERKASA, Shuib Lazim. Sebelum ini video seks fitnah dan risalah memalukan Anwar dikesan diedarkan secara meluas dari rumah ke rumah di daerah Klang. Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Klang, Yew Boon Lye semalam membuat laporan polis berhubung pengedaran risalah dan cakera padat (CD) rakaman video seks itu ke rumah-rumah di Teluk Gadung Indah Klang. Boon Lye mensyaki perbuatan itu didalangi oleh kumpulan pro Umno. Mereka mula mengedarkan risalah dan video itu dari rumah ke rumah sekitar jam 10.00 malam Sabtu lalu. Menurut Boon Lye lagi, kegiatan mengedarkan bahan lucah itu juga turut aktif sewaktu Ceramah Perdana Anwar di Klang baru-baru ini dimana ia dilihat bertaburan di sekitar kawasan perumahan. -tvsnews |
DAP Kecam BN Bazirkan Wang Rakyat Bina Tugu 1 Malaysia Posted: 14 May 2011 06:40 AM PDT Ipoh: Kerajaan UMNO BN membelanjakan jutaan ringgit untuk membina monumen 1Malaysia, dan DAP menyelarnya serta menganggap ia sebagai satu pembaziran terhadap dana awam, apa tah lagi di ketika rakyat Malaysia sedang sengsara dengan kenaikan harga akibat pemotongan subsidi terhadap beberapa barangan keperluan. "Mereka menyatakan bahawa mereka terpaksa bertindak demikian kerana masalah kewangan dan supaya penjimatan dapat dilakukan dengan pemotongan subsisdi gula dan minyak, tetapi RM38.4 juta dibelanjakan untuk tugu yang tak mendatangkan apa-apa faedah semata-mata untuk mempromosikan imej politik Perdana Menteri," kata Nga Kor Ming, ADUN Pantai Remis dan Penolong Bendahari DAP. Nga mendakwa di Pantai Remis sahaja terdapat lima struktur tugu berkenaan dan jarak setiap satunya tak sampai satu kilometer. Beliau menganggarkan setiap satunya berharga sekurang-kurangnya RM5,000 untuk dibina. Beliau khuatir ia akan menjadi seperti monumen Wawasan 2020 Tun Dr Mahathir Mohamad yang akhirnya semuanya musnah. "Wang cukai dibazirkan dengan slogan kosong dan tugu kaku kononnya untuk mendokong aspirasi 1Malaysia, yang tak pernah pun menjadi kenyataan," tambahnya. Wang yang dibelanjakan itu sepatutny boleh digunakan untuk projek-projek prasarana asas di luarbandar, katanya. "Harga gula telah naik sebanyak empat kali dalam setahun, dan harga minyak telah naik enam kali. "Tetapi Barisan Nasional membelanjakan secara rakus dana awam untuk projek-projek gajah putih ini, seperti membina monumen 1Malaysia yang tak bermenafaat di beberapa kawasan bandar dan luarbandar," ujarnya. |
[Video] Pengedar Video Seks Fitnah Bakal Ditimpa Bahana - Nik Aziz Posted: 14 May 2011 05:55 AM PDT Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan mereka yang memfitnah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengaitkannya sebagai pelaku dalam video seks, tidak akan masuk syurga. "Orang yang terbabit dalam komplot video berkenaan akan teruk nanti, selagi tak jilat kaki Anwar atas dunia ni, tak boleh masuk syurga dan ini sudah sah (tak masuk syurga). Hanya Allah saja yang dapat mengampunkan dosa mereka," kata Nik Aziz. Pertengah Mac lalu, 'Datuk T' merangkumi bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari PERKASA, Shuib Lazim mengaku bertanggungjawab menayangkan video tersebut kepada sekumpulan wartawan terpilih. "Walaupun orang itu menteri ke, tindakan mengaibkan itu tetap tidak boleh. Malah kini televisyen dan Internet sudah menayangkan video seks itu ke seluruh dunia, pihak berkenaan akan menerima bahana nanti," katanya lagi. Nik Aziz berkata pihak yang mengedar video itu melakukan kesalahan yang serius dan akan menerima bahana kelak. Sehingga hari ini, video tersebut bukan sahaja tersebar luas di Internet tetapi turut diagihkan dari rumah ke rumah. Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah membuat laporan polis berhubung pengedaran video seks tersebut secara meluas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pelbagai pihak meragui keabsahan video ini sehingga memaksa Eskay membuat sumpah laknat disebuah masjid di Kuala Lumpur. Namun sumpah laknat itu sekali lagi dikritik banyak pihak termasuk Mufti Perak, Datuk Harunsani Zakaria. Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ketulenan video seks itu dengan memperoleh pandangan pakar dari Amerika Syarikat. Bagaimanapun PDRM berpandangan tiada keperluan identiti video tersebut didedahkan. -tvsnews Terbaru Video seks: Muhyiddin dakwa Nik Aziz keluar fatwa baru KUANTAN, 14 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat "berkata benar walaupun pahit" berhubung isu video seks yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Timbalan Perdana Menteri berkata, Nik Aziz mengeluarkan fatwa baru ekoran kenyataan terbaru semalam bahawa mereka yang mengaitkan Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat dengan video seks, yang dikatakan mirip pemimpin pembangkang itu, tidak akan masuk syurga. Muhyiddin berkata kerajaan tidak pernah mengeksploitasikan isu video seks berkenaan, sebaliknya polis hanya membuat siasatan kerana ia didakwa membabitkan seseorang yang "ternama." "Bila keluar video sebegitu, dan ia dikaitkan dengan yang ternama, ketua pembangkang, sudah tentu ramai nak tahu. "Jadi disebabkan jadi perhatian awam, umum, pihak kerajaan bila dibawa aduan (itu), maka perlu buat siasatan dan perlu bukti fakta yang sebenarnya," katanya dipetik media hari ini. Muhyiddin yang ditemui pemberita selepas menghadiri program bersama warga pendidik Pahang di sini, diminta mengulas kenyataan Nik Aziz yang mengatakan 'tak masuk syurga tuduh Anwar' terbabit dalam video seks berkenaan. Dipetik Bernama, Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata: "(Ini) fatwa baru dia (Nik Aziz), saya fikir Nik Aziz biasa(nya) begitulah. "Dia menjawab lebih kepada bahasa politik, bukan kepada hukum," katanya. Sehubungan itu kata beliau, apa yang penting ketika ini ialah mencari kebenaran berhubung isu video seks berkenaan bagi mengelak sebarang fitnah dan tohmahan. Dalam satu kenyataan dikeluarkan di Kota Baru semalam, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyifatkan mereka yang mengaitkan Anwar dengan video seks, yang dikatakan mirip pemimpin pembangkang itu, tidak akan masuk syurga. Rakaman video itu didedahkan kali pertama oleh trio "Datuk T" pada 21 Mac lalu. Polis Diraja Malaysia semalam sekali lagi mengesahkan ketulenan video seks itu dengan memperoleh pandangan pakar dari Amerika Syarikat. "Orang yang terbabit dalam komplot video berkenaan akan teruk nanti, selagi tak jilat kaki Anwar atas dunia ni, tak boleh masuk syurga dan ini sudah sah (tak masuk syurga). "Hanya Allah saja yang dapat mengampunkan dosa mereka," katanya. "Walaupun orang itu menteri ke, tindakan berkenaan (mengaibkan itu) tetap tidak boleh. Malah kini televisyen dan Internet sudah menayangkan (video seks) ke seluruh dunia, pihak berkenaan akan menerima bahana nanti," kata Nik Aziz lagi. -TMI Ulasan GB Jika demikian, bererti Muhyiddin seolah-olah TURUT BERSEKONGKOL untuk menyatakan bahawa pelaku di dalam video seks itu adalah Anwar. Alangkan Eskay sendiri SUDAH MENAFIKAN yang beliau membuat tuduhan ke atas Anwar, pihak polis dan Muhyiddin nampaknya masih beriya-iya nak menyatakan Anwarlah pelaku di dalam video seks berkenaan. Meminjam kata-kata TGNA, "pihak berkenaan akan menerima bahana nanti". |
Apabila Pengulas UMNO Kata Ust Nasha Lebih Layak... Posted: 14 May 2011 04:00 AM PDT Ustaz Nasha lebih layak Pas akan terus memilih calon yang berpengetahuan luas dalam agama serta memiliki ketokohan ulama bagi memegang jawatan nombor dua parti itu kerana ia adalah dasar tidak bertulis yang diamalkan mereka. Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Attory Hussain berkata, perkara itu dilihat kerana jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipegang golongan ulama, bukan golongan profesional sejak parti ditubuhkan. "Bagi pemilihan jawatan Timbalan Presiden kali ini, gandingan antara Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa (gambar) lebih serasi, berbanding Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mohamad Sabu," katanya kepada Sinar Harian. Menurutnya, ketokohan dan kewibawaan calon menjadi faktor utama yang menjamin kemenangan. "Jika kita lihat, ramai calon kegemaran adalah calon yang petah berhujah, sebaliknya, latar belakang pendidikan tidak begitu diberi perhatian. Namun, pada satu sudut, faktor kewibawaan menjadi pilihan pengundi. "Selain itu, faktor politik juga perlu diambil kira terutama melibatkan isu yang dialami Pas sekarang dan sejauh mana ia dapat diselesaikan melalui pendekatan yang diambil calon," katanya. Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang terkenal lantang dan popular di akar umbi mendapat pencalonan terbanyak iaitu 70 manakala Nasharuddin yang akan mempertahankan jawatan disandangnya hanya memperoleh 40 pencalonan daripada lebih 130 kawasan yang bermesyuarat. Selain dua tokoh terbabit, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menerima 17 pencalonan walaupun pernah membuat kenyataan terbuka tidak mahu bertanding jawatan nombor dua itu. Pas memiliki 179 kawasan seluruh negara dan hampir 80 peratus kawasan telah selesai bermesyuarat dan memutuskan calon pilihan masing-masing. Ahmad Attory berkata, jika diukur dari sudut kewibawaan antara dua calon bagi jawatan Timbalan Presiden sudah tentu pe-nyandang jawatan itu memiliki ciri-ciri ketokohan yang disenangi ramai. "Walaupun Mohamad lebih menonjol, lebih petah berkata-kata dan mendapat pencalonan mengatasi Nasharuddin, kita percaya, Pas tetap akan mengekalkan tradisi mereka, iaitu mengekalkan kepimpinan ulama. "Bagaimanapun, amalan demokrasi yang diamalkan parti itu dipercayai tidak akan membatalkan kemenangan calon yang menang, sekali gus merangkul undi paling banyak," katanya. -SH
Ulasan GB GB tak payah ulas banyak-banyak, tetapi semua orang tahu Dr Ahmad Attory Hussain dan Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian adalah pengulas-pengulas politik yang selama ini condong kepada UMNO. Apabila mereka beriya-iya menonjolkan Ustaz Nasharuddin, semacam ada udang di sebalik mee. GB pernah berkesempatan berada bersama beliau di satu ketika (semasa di salah satu PRK) dan GB dapat melihat bahawa Ustadz Nasha sememangnya rapat dengan pihak media (baca wartawan pro-UMNO). Justeru itu tidak hairan liputan (samada jujur atau pun tidak) untuk Ustadz Nasha di media massa pro-UMNO, lebih banyak berbanding dengan pimpinan PAS yang lain. Ustaz Nasya akan menjawab apa juga soalan dari pihak wartawan ketika itu. GB yang duduk bersebelahan dengannya agak kurang selesa jugaklah semasa itu, mujur Datuk Mahfuz Omar yang turut ada bersama, tak berapa nak layan soalan wartawan-wartawan berkenaan dengan menyatakan "No komen buat masa ini, saya baru sampai." Pertandingan untuk jawatan nombor dua dalam parti sempena muktamar kali ini sememangnya dialu-alukan sebagai "meraikan demokrasi" dalam parti. Dan pertandingan memang sengit. Dari segi pencalonan, Kelantan, kecuali Bachok nampaknya bulat calonkan Mohd Sabu, tetapi Terengganu bulat calonkan Ust Nasha. Semacam ada pattern dan patent. GB tak tolak faktor UG, (walaupun dah dikuburkan kata sesetengah pihak) masih berperanan di dalam menentukan pencalonan dan pemilihan. Negeri-negeri lain bercampur-campur. Tetapi lebih banyak condong kepada Mohd Sabu, terutama yang anti-UG. Dan keputusan muktamad adalah di tangan perwakilan nanti. Hubaya-hubaya! |
Salih Yaakob: Contoh Terbaik Poligami - Perunding Motivasi Posted: 14 May 2011 02:45 AM PDT Kuala Lumpur: Pelakon, pelawak, pengacara dan penyampai radio Sinar FM, Salih Yaacob adalah contoh terbaik bagi suami yang perlu berkahwin lebih daripada seorang isteri dan berkemampuan melakukannya daripada semua sudut yang diputuskan agama. Penceramah bebas dan perunding motivasi Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh berkata, pendekatan digunakan suami kepada tiga isteri dan bapa 11 anak itu jelas menunjukkan dia mempunyai ilmu untuk beramal sekali gus memperlihatkan dimensi baru yang lebih positif mengenai poligami. Bagaimanapun, katanya bukan semua suami boleh mengikut jejak Salih kerana berkahwin lebih daripada seorang isteri adalah untuk mereka yang benar-benar memahami konsepnya, bukan bagi lelaki yang hanya mahukan keseronokan dan lupa tanggungjawab. "Poligami menjadi bagus dan seronok apabila orang yang mengamalkannya memahami matlamat dengan jelas, tetapi ramai suami berpoligami pada masa ini lebih cenderung memikirkan kehendak seksual mereka dibandingkan yang benar-benar tahu. "Apabila seseorang yang mengamalkan poligami dan mengikut pula sunnahnya, maka poligami dia akan jadi lebih kuat dan nampak sokongan daripada semua isteri, anak, malah mereka hidup dalam keadaan rukun serta aman damai seperti Salih. "Sebelum ini orang cenderung gambarkan poligami itu suatu yang negatif, tapi sekarang apabila akhbar menghebahkan mengenai kisah Salih, ia seolah-olah memberi satu dimensi baru kepada kita memandangkan poligami akan jadi (isu) sensitif apabila disembunyi-sembunyi, tapi menjadi positif apabila dihebahkan dan diberi penerangan dalam bentuk baik. "Apapun, kita tidak mahu ia sampai mewujudkan satu fenomena dalam masyarakat apabila orang (lelaki) yang tak berkemampuan juga mahu berkahwin (amal poligami) kerana akan timbul masalah kelak," katanya. Beliau mengulas kisah pendekatan poligami yang diamalkan Salih bersama tiga isteri dan 11 anak, malah lelaki berusia 50 tahun itu turut bercadang melengkapkan kuota poligami tidak lama lagi dengan mengambil Emi seorang penuntut ijazah sarjana sebuah universiti tempatan sebagai isteri keempat. Mohd Zawawi berkata, masyarakat perlu melihat berpoligami kadangkala sebagai satu rezeki, malah daripada sudut kemampuan kewangan juga beliau percaya ramai lelaki tempatan mampu, tetapi tidak ramai berani melakukannya. "Mampu saja tak cukup, perlu berani dan Allah juga memberi peluang untuk berpoligami. Saya melihat Salih diberi rezeki itu dan nampaknya dia betul-betul menghadapi (poligami) dengan telus dan ada ikatan sah. Poligami penyelesaian kepada masalah sosial termasuk zina dan kecurangan," katanya. Beliau juga bersetuju kisah Salih dan isterinya diberi pendedahan kerana menurutnya ia sedikit sebanyak memberi penawar kepada isteri yang sudah berpoligami, tetapi tertekan dan tidak tahu penghujung serta tiada harapan, malah tidak melihat kegembiraan. Katanya, dengan melihat kebahagiaan dikecapi isteri Salih akan mengubat duka isteri yang tertekan sekali gus mereka akan berusaha memberi kebahagiaan dalam perkahwinan masing-masing. -hm |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan