Selasa, 17 Mei 2011

KARPET KUNING

KARPET KUNING


OPERASI Geronimo

Posted: 17 May 2011 08:25 PM PDT


Oleh: M. Effendy A. Hamid

OPERASI Geronimo: Itulah kod bagi tindakan memburu dan membunuh orang paling dikehendaki Amerika Syarikat, Osama bin Laden (1957- 2011).

Ternyata peribumi Amerika, kaum Red Indian atau khusus suku Chiricahua Apache, amat terguris dan terlalu marah.

Mereka menganggap tentera Amerika menghina pahlawan mereka, Goyalthlay atau Geronimo (1829-1909).

Geronimo memang berwibawa dan menjadi tokoh spiritual atau semangat Orang Asli Amerika. Beliau pernah memimpin serangan puak Apache ke atas tentera Mexico dan Amerika demi mendapatkan pembebasan tanah air kaumnya yang dijajah orang kulit putih dari Eropah.

Kini kaum asli Amerika merupakan minoriti kecil - hanya membentuk 1.37 peratus daripada lebih 306 juta rakyat Amerika. Kebanyakan mereka tinggal di kawasan simpanan (reservation) di pedalaman yang gersang dan mundur.

Sejarah mencatatkan betapa Amerika telah mensesiakan potensi dan masa depan kaum aslinya. Padahal, Amerika mendabik dada sebagai pejuang hak asasi.

Proses pembukaan Dunia Baru (Amerika) bermula dengan pendaratan pelayar asal Italy (diambil bertugas oleh kerajaan Sepanyol), Christopher Columbus (1451- 1506), yang cuba mencari jalan dagang ke India dengan meredah laluan barat - Atlantik.

Columbus tiba di Caribbean pada 1492 dan memanggil peribumi di sana sebagai 'Indios'. Tetapi nama Amerika sempena peneroka dan ahli peta Italy, Amerigo Vespucci (1454-1512).

Proses penjajahan Amerika berterusan dan agresif menjelang abad ke-19 dengan teknologi senjata dan organisasi yang canggih sehingga terpinggir kaum asli.

Bahkan Amerika menggunakan kaedah peluasan jajahan tadi untuk menakluki Kepulauan Hawaii yang beraja dan Filipina pada penghujung abad ke-19.

Dalam proses penjajahan, kaum kulit putih turut mencedok banyak ilmu kaum aslinya - dari segi istilah sehingga teknologi berkhemah dan kayak (berperahu).

Antara istilah Red Indian yang kini menjagat antaranya:

  • Tomahawk - sejenis senjata seperti lembing tetapi digunakan sebagai nama peluru berpandu Amerika; dan
  • Chinook - angin kering di Banjaran Rocky dan sejenis ikan salmon yang besar tetapi kini dikaitkan dengan nama helikopter penyerang.

Tentera Amerika memang sudah menundukkan penentangan kaum aslinya sehingga penjajahannya juga melimpah pada penggunaan istilah yang dikaitkan dengan 'bahasa kekerasan' - seperti istilah kaum aslinya yang digunakan dengan sewenang-wenangnya.

Dalam makalah Burke A. Hendrix, Memory in Native American Land Claims (terbitan jurnal Political Theory 33, Nombor 6, 2005), terpapar isu hak orang asli Amerika ke atas tanah mereka.

Profesor Hendrix menegaskan seharusnya berlaku suatu peralihan dalam pemikiran warga Amerika terhadap kaum orang asli. Katanya, tuntutan tanah kaum asli Amerika memang harus dipertingkat kerana sudah banyak tanah diambil secara tidak adil daripada mereka.

Beliau menekankan Amerika wajar mengingati sejarah penjajahan yang bak cuba dilupakan demi berlaku adil terhadap kebenaran. Hal ini masih berlarutan dalam proses penjajahan batin kaum asli Amerika, hujahnya.

Saya teringat peribahasa Melayu 'alah jadi abu, menang jadi arang' yang sebenarnya menjelaskan erti konsep Darwinisme atau hukum rimba iaitu pergelutan untuk menonjolkan yang terkuat (struggle for the fittest).

Selaku adikuasa tunggal dunia, Amerika memang perlu menonjolkan keampuhannya untuk mengalahkan penentangnya seperti tokoh silam, Geronimo, atau yang terbaru, Osama.

Jika tidak begitu, gelaran 'adikuasa' yang diperolehinya sebagai kesan hukum rimba itu tentu tidak lagi bermakna.

Tiada ulasan: