Jumaat, 27 Mei 2011

jiwo kelate

jiwo kelate


Royalti: Mahkamah tolak permohonan Kelantan ..

Posted: 26 May 2011 06:31 PM PDT

Oleh Harakahdaily
Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Kerajaan Negeri Kelantan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kerajaan persekutuan menjadi pencelah dalam samannya ke atas Petronas berhubung royalti minyak.

Keputusan itu dibuat Hakim Low Hup Beng setelah mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili kedua-dua pihak.

Kerajaan Kelantan diwakili peguam Tommy Thomas.

Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Paduka Husam Musa berkata, beliau meminta Tommy memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan itu.

“Saya telah minta peguam kita untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan di atas kedua-dua keputusan tadi,” kata beliau kepada pemberita di luar kamar mahkamah selepas mendengar keputusan berkenaan.

Menurutnya, Kelantan tetap berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan tidak perlu campur tangan dalam kes ini kerana tidak memberi sebarang impak kepada mereka.

“Kes ini sebenarnya begitu simple. Jika kerajaan Kelantan menang dalam kes ini, lima peratus bahagian (royalti) Kerajaan Pusat tidak akan berkurangan.

“Kalau Kerajaan Kelantan ditakdirkan kalah dalam kes ini bahagian lima peratus Kerajaan Pusat tak bertambah. Jadi tidak ada apa-apa kesan negatif dan positif kepada Kerajaan Pusat.

“Dan kerana itulah kita masih berpendapat bahawa Kerajaan Pusat tidak perlu campur tangan dalam kes ini kerana kes ini adalah kontrak antara Kerajaan Kelantan dengan Petronas,” katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Tambahnya Kelantan berharap agar rayuan di Mahkamah Persekutuan nanti akan diterima.

“Kita berharap Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan dan memberi keputusan sebaliknya daripada apa yang diputuskan hari ini,” katanya.

Rayuan di Mahkamah Persekutuan boleh dibuat dalam masa 30 hari daripada hari ini.

Sementara itu Mahkamah Rayuan hari ini turut menolak satu lagi rayuan oleh kerajaan negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan permohonan bagi kes saman itu dipindahkan semula ke Mahkamah Komersial Baru (NCC).

Kerajaan negeri mahu kes itu dipindahkan semula memandangkan saman berkenaan pada mulanya difailkan di NCC, tetapi kini akan didengar di Mahkamah Sivil Baru (NCvC).

Pada 30 Ogos tahun lalu, kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti yang dianggarkan RM800 juta setahun sejak 2005.

Menurut kerajaan negeri, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan negeri antara lain memohon perintah untuk mendesak Petronas supaya mendedahkan kesemua fakta berkaitan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Ia termasuk tempoh petroleum dikeluarkan, dijumpai atau diperoleh di pesisir Kelantan; kawasan atau blok tempat petroleum dijumpai dan diperoleh; dan jumlah keseluruhan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Kerajaan negeri turut mendesak agar semua pembayaran tunai tertunggak yang ditetapkan oleh mahkamah mesti dibayar dalam tempoh satu bulan daripada perintah mahkamah dikeluarkan. Sumber dan Foto Harakahdaily


Anak Perantau tubuh JK Menuntut Hak Royalti Kelantan

Posted: 26 May 2011 06:17 PM PDT

Jawatankuasa Bertindak Anak Perantau Menuntut Di Tunai Janji Royalti Kelantan

Pendahuluan
Royalti Minyak Kelantan ditimbulkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada Julai 2009. Exconya, Datuk Husam Musa menganggar royalti minyak Kelantan melebihi daripada RM1 bilion. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia terbaru menunjukkan Kelantan mula mengeluarkan minyak sejak 2004 dan berikutan itu kerajaan negeri mengutus surat rasmi menuntut sebanyak RM1 bilion. Laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun adalah RM2.5 bilion.

Akta Petroleum 1974

Pada 1975, perjanjian telah ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah. Menurut terma perjanjian itu, Kelantan diberikan royalti sebanyak 5 peratus setahun – dibayar tunai dua kali setahun – untuk hasil minyak yang ditemui di kawasan pantai dan pesisirnya.

Kerajaan negeri Kelantan menuntut antara RM850 juta dan RM1 bilion daripada kerajaan pusat mengikut Akta Petroleum 1974, yang membolehkan negeri Kelantan menerima royalti minyak sebanyak 5 % daripada hasil perolehan petroleum. Isu tuntutan royalti menjadi bahan ceramah parti PAS menjelang Pilihan raya kecil Manik Urai 2009 pada 14 Julai 2009. Hal diskriminasi yang sama terhadap Kelantan mengenai royalti itu berlaku kepada Terengganu semasa PAS memerintah pada 1999 hingga 2004 dan peruntukan itu ditukarkan kepada wang ehsan.

Pada 8 Julai 2009,Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan untuk lebih kredibiliti, Kabinet membuat keputusan biarlah Petronas menjelaskan kedudukan sebenar dari sudut perlembagaan dan perundangan.

Pengumuman Menteri BEsar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam sidang DUN Terengganu ke 12 baru-baru ini, bahawa Kerajaan Persekutuan membayar royalti petroleum sebanyak RM 938 juta secara berperingkat. Sehingga Jun 2011, membuktikan bahawa tiga batu nautika adalah tidak relevan dan secara jelas menafikan hak royalti Petroleum Kelantan.

Pembayaran semula royalti minyak Terengganu itu juga menunjukkan Perdana Menteri mempunyai dua polisi berlainan bagi isu yang sama dan ia memberi petanda aras bahawa slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan adalah slogan kosong tidak bermakna.

Tujuan

1. Jawatankuasa ini akan bertindak sebagai badan penyelaras terutamanya dari segi gerakerja, maklumat dan kenyataan media secara bersama.

2. Memantau isu-isu yang timbul dan menjawab dengan fakta dan maklumat melalui sidang media, kenyataan bertulis dan memorandum.

3. Menyediakan dan menjadi pusat maklumat bagi membolehkan orang awam dan NGO lain di Lembah Kelang untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai tuntutan ditunai janji royalti.

4. Menggerakkan program-program dan penerangan demi memahamkan masyarakat berkaitan hak Kelantan ke atas hasil bumi yang dinafikan.

5. Menjadi platform utama bagi masyarakat perantau dalam mendepani isu-isu Royalti ini secara berkesan dan serius serta proaktif.

Jawatankuasa

Pengerusi : Haji Apandi Mohamad (Bekas Ahli Parlimen Jeli)
Timb. Pengerusi : Ali Hanafiah Mohamed ( Presiden Persatuan Anak
Kelantan Darulnaim di Selangor dan Kuala Lumpur (PERSADA).
Setiausaha : Wan Johari b Wan Omar

Ahli Jawatankuasa

1. Dr Abdul Halim Yusof – Pengerusi Gegar (NGO)
2. Al Hafiz Ibrahim – Ahli Jawatankuasa Gegar (NGO)
3. Hj Md Zulaimi Kazin – Timbalan Presiden PERSADA
4. Muhammad Azihan Che Seman – Ketua AMK Kelantan
5. Ustaz Wan Ji Wan Hussin – Blogger Al Bakistani
6. Haji Arifin Hassan – Individu (Pakar Motivasi)
7. Haji Fauzi Abu Bakar – (Individu)
8. Mohd Nazri M. Noor – (Individu)
9. Razali Mat Ail – Setiausaha Agung PERSADA
10. Bustamam bin Hassan – Naib Presiden PERSADA
11. Che Saiful Baharil – Wakil Perakan

Pertemuan Anak Kelantan Perantauan di Restoran Al Amin, Greenwood, Gombak pada 23 Mei 2011 telah mengambil keputusan berikut:

1. Menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Anak Kelantan Perantauan Menuntut Di Tunai Janji Hak Royalti Rakyat Kelantan (ROYALTI Kelantan) yang dipengerusikan oleh Haji Apandi Mohamad, Bekas Ahli Parlimen Jeli. Dianggotai oleh Ahli-ahli Persatuan Anak Kelantan Darulnaim di Selangor dan Kuala Lumpur (PERSADA), NGO Gegar, Perakan Malaysia, Kelab individu Penyokong Red Warriors Lembah Kelang, individu, sertai ahli-ahli Parlimen.

2. Antara program terdekat yang akan dianjurkan ialah:
a. Menyerahkan Memorandum kepada Perdana Menteri pada 31 Mei 2011.
b. Demo Aman setiap minggu di perkarangan MEnara PETRONAS, KLCC.
c. Munajat Royalti pada 4 Jun 2011 di Masjid Bandar Baru Sg Buloh.
d. Bersama Gomo Kelate Gomo di Stadium Bukit Jalil pada 11 Jun 2011 sempena Final Piala FA antara Kelantan lawan Terengganu.
e. Cabaran Debat terbuka Menuntut Hak Royalti Kelantan.
f. Menghantar memorandum ke International Court of Justice (ICJ), The Hage
g. Menghantar memeorandum ke PBB, New York
h. Menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Thailand

Dikeluarkan oleh;
Hj. Apandi Mohamed
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Anak Perantau Menuntut Di Tunai Janji Royalti Kelantan (ROYALTI)

24 Mei 2011


Tiada ulasan: