Selasa, 10 Mei 2011

bumiperak

bumiperak


Umno pimpin Malaysia hingga kiamat jika PAS keluar Pakatan

Posted: 10 May 2011 12:07 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Sambil mempertahankan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu berkata, Umno-Barisan Nasional (BN) semakin terdesak kerana tidak putus-putus menggesa parti Islam itu keluar daripada perikatan tersebut.

Tegas Mohamad, sekiranya PAS bertindak keluar Pakatan Rakyat, secara automatik BN akan terus memerintah negara "sehingga hari kiamat."

"Kalau PAS keluar Pakatan Rakyat, BN akan memerintah sehingga hari kiamat sebab dia (BN) tahu kalau PAS bersama Pakatan Rakyat ini sahaja yang boleh menggugat BN.

"Sebab itu BN tiada jalan lain, jadi terpaksa mencari apa sahaja jalan bagi memastikan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat, ini kerana BN bimbang kekuatan PAS dalam Pakatan Rakyat... tambahan yang boleh kalahkan Umno adalah PAS," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau yang mesra dengan panggilan "Mat Sabu", BN kini bergantung kepada kekuatan Umno selepas parti komponen lain dilihat seperti "hidup segan, mati tak mahu."

"BN sudah hilang tongkat, MCA dan Gerakan seperti hidup segan, mati tak mahu... tongkat BN hanya pada Umno.

"Kalau Umno rebah, rebahlah BN dan kawasan Melayu yang Umno wakili akan jadi milik Pakatan Rakyat... sebab itu saya katakan kalau PAS keluar Pakatan Rakyat sama ada secara bersendiri atau bersama BN selamatlah Umno sebab dapat nafas baru," kata Mohamad sambil menggesa ahli parti Islam itu tidak terpedaya dengan pandangan dari "nakhoda kapal yang sedang tenggelam" - merujuk kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap Dr Mahathir yang mengatakan PAS perlu bertindak di luar Pakatan Rakyat kerana gabungan tiga parti perikatan itu adalah palsu dan merugikan orang Melayu.

Dr Mahathir berkata, PAS tidak semestinya menyertai BN tetapi jika PAS mahu bertanding menentang Umno, biarlah parti tersebut berada di luar Pakatan Rakyat.

"Jika PAS mahu kembali kepada BN seperti era 70-an lalu, saya percaya BN akan menerimanya. Mahu lawan Umno, mahu pecah undi Melayu, lawanlah, kita tiada masalah. Tetapi kalau boleh PAS jangan bekerjasama dengan PKR dan DAP," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir turut menegur PAS kerana perjuangan mereka sekarang dilihat amat jauh menyimpang daripada perjuangan asal yang mahu menubuhkan sebuah negara Islam dengan undang-undang syariahnya sekali.

Katanya, PAS dahulu tidak boleh melihat dan mendengar perkataan DAP tetapi kini parti tersebutlah yang paling hadapan sekali mempertahankan DAP dalam banyak isu.

"Apa sudah jadi dengan pemikiran orang Melayu Islam PAS? Semuanya sudah tunggang-langgang sekarang," katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata PAS patut keluar Pakatan Rakyat jika pun memutuskan untuk tidak menyertai BN. Sehubungan itu Najib mendakwa PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam Pakatan Rakyat, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada parti DAP.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Dr Mahathir tidak perlu untuk terlibat dalam politik negara, sebaliknya dinasihatkan agar menggunakan segala pengalaman yang ada untuk menangani isu-isu sensitif yang berlaku.

"Sebagai bekas perdana menteri, beliau (Dr Mahathir) perlu bertindak sebagai penasihat yang baik kepada rakyat dan kerajaan terutamanya dalam isu kaum dan agama serta isu-isu sensitif, saya pasti dengan pengalaman yang beliau ada, beliau tahu dan faham masalah yang dialami negara.

"Beliau patut bertindak ke arah perpaduan rakyat bukan menyemarakkan lagi api perkauman dan dari sudut PAS kita lihat PAS dengan gabungan dalam Pakatan Rakyat mula diterima rakyat, malah rakyat sudah mula menolak parti yang bersifat perkauman," katanya.

Selain itu, menurut Tuan Ibrahim, PAS tidak akan melayan sebarang gesaan yang meminta parti Islam itu keluar Pakatan Rakyat.

"Pada pandangan saya parti komponen BN masih lagi berfikiran lama dengan sikap double standard antara kaum, sebagai contoh bila pemimpin Umno bercakap dengan prang Melayu mereka minta tolak PAS sebab PAS berkawan dengan DAP tapi bila bersama masyarakat Cina mereka takutkan dengan dasar Islam yang diperjuangkan PAS.

"Jadi PAS tidak akan melayan gesaan itu," katanya.

Tiada ulasan: