Blog-list Malaysia |
- Hapus dulu ‘candu besar’ sebelum sasar ‘candu kecil’
- DAP sokong Anwar kekal ketua pembangkang
- Presiden TI-M sahkan tiada ikrar PM Kristian, agama rasmi ganti Islam
- Ibrahim Ali Pertahan Jihad
- Nama Dr Dzulkefly Akhirnya Dimasukkan Dalam Senarai Pemilihan PAS Pusat
- Demonstrasi Umno gagal himpun ramai peserta
- Bongkar Konspirasi Menyingkirkan Dr Dzulkefli Dari Pemilihan PAS Pusat
- Zaid: Segerakan siasatan DVD seks
- Pakatan Rakyat Akan Teruskan Sesi Penerangan Walau Dihalang Polis
- Zahid Hamidi Hanya 'Buat-Buat' Prihatin Masalah Minyak Naik..
Hapus dulu ‘candu besar’ sebelum sasar ‘candu kecil’ Posted: 18 May 2011 01:25 AM PDT DAP menasihatkan pentadbiran Najib agar menghapuskan "candu besar" - pemberian subsidi bernilai RM19 bilion kepada Pengeluar-pengeluar Tenaga Bebas (IPP) daripada menekan rakyat dengan memotong subsidi keperluan mereka. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Putrajaya sepatutnya menghapuskan pemberian subsidi gas kepada IPP terlebih dahulu daripada menghapuskan subsidi yang hanya akan membebankan rakyat. "Kerajaan Barisan Nasional (BN) seharusnya menghapuskan terlebih dahulu candu besar pemberian RM19 bilion subsidi gas kepada IPP dan sektor komersial sebelum menghapuskan 'candu kecil' subsidi gula, diesel dan petrol untuk rakyat. "DAP menentang sekeras-kerasnya penarikan subsidi diesel sejak 1 Jun 2011 tanpa terlebih dahulu menghapuskan subsidi gas kepada IPP yang telah menyebabkan inflasi yang teruk kepada peniaga dan pengguna," kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan. Tegas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, pentadbiran Najib sepatutnya menghapuskan "candu besar" itu yang telah menyebabkan kerugian minimum sebanyak RM28 bilion setahun dengan anggaran beberapa lagi kerugian mencecah AS$100 bilion (RM303.06 billion) sejak 1980. "Mengapa 27 juta penduduk Malaysia terpaksa menanggung kenaikan harga ketika beberapa syarikat raksasa dalam IPP tidak sedikitpun berasa terbeban walau satu sen dengan pemotongan subsidi tersebut? Penghapusan subsidi kepada masyarakat miskin menambah derita berikutan upah yang rendah sementara keuntungan IPP meningkat. "Justeru kerajaan harus memadamkan candu besar dari subsidi gas yang sepatutnya boleh diselamatkan puluhan bilion ringgit setahun sebelum menghapuskan candu kecil yang hanya menjimatkan ratusan juta ringgit," katanya. Dalam ucapannya di London kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, subsidi bahan api ibarat "candu" kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pentadbirannya telah memperuntukkan subsidi bernilai RM11 bilion tahun ini tetapi paras itu telah mengalami kenaikan, sehingga mencecah RM18 bilion ekoran harga minyak mentah antarabangsa yang begitu tinggi. "Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik," kata beliau di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford. Bagaimanapun pemimpin Pakatan Rakyat menyifatkan BN sebenarnya telah gagal mengatasi ketagihan subsidi menerusi pendekatan-pendekatan alternatif sambil mencela pentadbiran Najib hanya menyalurkan "candu subsidi" yang memanfaatkan kroninya. Mereka juga mendakwa kos hidup semakin meningkat sedangkan kadar upah tidak bergerak telah menyebabkan rakyat terpaksa bergantung pada subsidi. Malah, mereka juga memberi amaran bahawa tindakan menarik balik subsidi akan menyebabkan rakyat muflis, sebaliknya kerajaan perlu menggalakkan daya saing dan mengatasi manipulasi harga barangan. |
DAP sokong Anwar kekal ketua pembangkang Posted: 18 May 2011 12:09 AM PDT DAP hari ini mengesahkan bahawa ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap kekal sebagai ketua pembangkang meskipun telah diarahkan untuk membela dirinya dalam perbicaraan liwat II. "Kami tidak akan menggantikan ketua pembangkang selagi beliau tetap adalah MP," kata setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, selepas merasmikan Festival Georgetown di Kuala Lumpur hari ini. Lim berkata demikian ketika ditanya wartawan sama ada keputusan mahkamah yang mendapati kes prima facie ke atas Anwar yang didakwa meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan akan menjejaskan Pakatan Rakyat. "Kita masih kuat dan akan meneruskan agenda pembaharuan," katanya. Anwar dan PKR dikatakan mengalami tamparan pada Isnin lalu apabila hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamed Zabidin Mohamed Diah memerintahkannya membela diri kerana berpendapat Mohd Saiful adalah saksi yang "berkata benar dan berwibawa". Perbicaraan hampir pasti menjejaskan Anwar, yang partinya kini pada tahap terendah sejak kejayaan cemerlang pada pilihan raya umum Mac 2008. Selepas beberapa siri paling tadah, PKR kini hanya mempunyai 23 kerusi di Dewan Rakyat, - jumlah yang sama dengan PAS manakala DAP memiliki 29 kerusi. Bagaimanapun Lim enggan mendedahkan sama ada Pakatan mempunyai "Rancangan B" sekiranya Anwar didapati bersalah. "Kami akan membuat pengumuman apabila perkara itu berlaku," kata Lim sambil tersenyum dan menambah beliau perlu berhati-hati membuat kenyataan berhubung Anwar kerana ia mungkin diputar belit oleh pertubuhan media milik Umno. Lim juga cuba mengelakkan diri daripada menjawap soalan sama ada kes prima facie ke atas Anwar telah menyebabkan kesan negatif kepada pembangkang. "Kami masih tidak tahu bahawa ia impak positif atau negatif. Lagi ditindas, lagi tinggi menukar sesuatu krisis kepada peluang. Ia tidak semestinya negatif." |
Presiden TI-M sahkan tiada ikrar PM Kristian, agama rasmi ganti Islam Posted: 18 May 2011 12:07 AM PDT KUALA LUMPUR, 18 Mei — Tiada sebarang bentuk pakatan atau konspirasi antara komuniti Kristian dan pemimpin DAP di Pulau Pinang awal bulan ini untuk menjadikan Malaysia negara Kristian, kata Datuk Paul Low. Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) itu yang hadir sebagai penceramah undangan pada program Unashamedly Ethical Conference (UEC) 5 Mei lalu di George Town berkata, ikrar yang dibuat hanyalah berkaitan dengan pendekatan antirasuah. "Saya boleh mengesahkan bahawa tiada pakatan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi atau kata sepakat mahu melantik perdana menteri daripada kalangan Kristian dibuat pada 5 Mei atau bila-bila masa ketika persidangan itu," kata Low pada sidang media di sini hari ini. Low (gambar) menambah, beliau amat risau ekoran dakwaan-dakwaan dibuat oleh beberapa blogger dan juga akhbar Utusan Malaysia kononnya ada sesi ikrar mahu melantik perdana menteri daripada kalangan Kristian. Pada sidang media khas ini, beliau beberapa kali menekankan bahawa dakwaan sedemikian adalah tidak benar. Sambil mempertahankan penganjuran persidangan itu, Low berkata, tujuannya adalah untuk menggalakkan amalan "beretika, nilai-nilai baik dan kehidupan yang bersih" di kalangan penganut Kristian. Katanya, ikrar atau kata sepakat yang dibuat termasuklah yang berkaitan dengan lafaz Integriti Korporat kendalian Institut Integriti Malaysia (IIM), Pemandu dan TI-M. Sehubungan itu kata Low, beliau bersedia untuk memberikan kenyataannya kepada polis. Low juga berkata, beliau melihat isu semasa semakin membesar dan ia tidak baik bagi negara. "... saya merasakan bertanggungjawab untuk mengatakan bahagian saya. Saya tidak boleh duduk diam. Saya telah hadir pada majlis itu, saya ada dalam gambar yang disiarkan di Internet," kata Low lagi. Laporan Utusan Malaysia bertajuk "Kristian agama rasmi?" pada 7 Mei lalu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu. Akhbar harian milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP. Utusan Malaysia melaporkan perkara itu selepas memetik laporan sebuah blog yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan paderi-paderi di sebuah hotel di Pulau Pinang. Bagaimanapun kumpulan Kristian dan DAP menafikan dengan keras dakwaan itu sambil menyifatkan laporan Utusan Malaysia itu "pembohongan yang bahaya." |
Posted: 17 May 2011 07:36 PM PDT Jihad: Salahkah saya beri ingatan, kata Ibrahim pertahan kenyataan KUALA LUMPUR, 18 Mei — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menegaskan kenyataan bersedia mengadakan perang jihad ke atas Kristian, yang dibuatnya minggu lalu, adalah bersifat peribadi dan bukan mewakili keseluruhan masyarakat Melayu negara ini. Ibrahim berkata, kenyataan itu merupakan satu mesej daripadanya kepada pihak yang selama ini mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan agar menghentikan segera perbuatan mereka itu. Katanya, beliau tidak berniat menimbulkan rasa tidak hormat kepada agama lain tetapi kenyataannya semata-mata mahu mempertahankan kedaulatan agama Islam yang sebelum ini telah diganggu gugat oleh pihak tertentu. "Saya berceramah di Kampung Changkat, Gombak dua hari lalu dan saya akui apa yang saya kata iaitu kalau posisi dominan dan kedaulatan Islam serta kedudukan orang Melayu terus diganggu gugat, saya bersedia berjihad ke jalan Allah. "Mesej saya adalah supaya mereka hentikan melakukan perbuatan yang tidak patut itu. Bukan bererti saya nak menimbulkan atau tidak menghormati lain-lain kaum atau agama," kata dipetik Utusan Malaysia, selepas mengadakan perhimpunan secara aman bertujuan menerangkan isu jihad yang disertai kira-kira 500 ahli Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman di sini semalam. Ibrahim (gambar) berkata, beliau bertindak sedemikian selepas timbul cerita tuntutan paderi di akhbar Utusan Malaysia yang kemudian dikecam oleh pelbagai pihak di negara ini. Beliau menegaskan bahawa tindakannya itu sebagai satu langkah awal untuk mengingatkan kepada orang ramai agar tidak lagi menyebut atau menyentuh isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama. "Saya buat kenyataan ini hanya apabila seorang ahli DAP yang hadir (pada majlis itu) membuat laporan polis dan selepas membaca kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di akhbar yang mengatakan laporan Utusan Malaysia itu ada asasnya. "Jadi salahkah apabila saya mengaitkan perkara ini untuk sekadar mengingatkan. Lainlah kalau saya mencetuskan sesuatu yang tidak ada. Memang saya patut dianggap salah atau patut diambil tindakan. "Saya sedar apa yang saya kata dan bertanggungjawab dengan kenyataan yang saya buat kerana saya tahu ia untuk kebaikan negara dan rakyat serta keselamatan negara," katanya. Ekoran kenyataan Ibrahim banyak pihak - pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional menggesa kerajaan mengambil tindakan ke atas Presiden Perkasa itu. Antaranya, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menggesa polis menyiasat kenyataan Ibrahim yang mahu melancarkan perang jihad terhadap komuniti Kristian ekoran kontroversi terbaru, termasuk laporan Utusan Malaysia kononnya wujud konspirasi mahu mengubah status Islam sebagai agama persekutuan. "Kenyataan biadap dan tidak wajar Ibrahim Ali dengan nada ekstremis, mencabar komuniti (Kristian) untuk berjihad bertentangan dengan semangat 1 Malaysia dan pendirian kesederhanaan (yang dibawa oleh) Perdana Menteri kita dan Barisan Nasional," kata beliau. Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau meluat sikap mendabik dada Presiden Perkasa itu yang mahu menjadi hero khususnya selepas Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Muslim dan Kristian secara berasingan minggu lalu menggesa agar semua pihak bertenang, memahami dan menghormati satu sama lain. Dalam ceramah hujung minggu lalu, Ibrahim memberi komuniti Kristian amaran bahawa beliau akan melancarkan "perang jihad" jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini. Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu berkata, beliau bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam. Ibrahim juga berkata, darahnya sedang mendidih ekoran laporan terbaru kononnya wujud konspirasi antara pengikut Kristian dengan pemimpin-pemimpin agama dan ahli politik pembangkang. "Di Kelantan sebelum ini, saya mengisytiharkan di depan polis, saya memberitahu pasukan keselamatan yang hadir bahawa jika mereka mahu menghantar mesej saya kepada (ibu pejabat polis) Bukit Aman, silakan," katanya. Dalam reaksinya Ahad lalu, Hishammuddin berkata, Ibrahim tidak mewakili keseluruhan kaum Melayu negara ini. |
Nama Dr Dzulkefly Akhirnya Dimasukkan Dalam Senarai Pemilihan PAS Pusat Posted: 17 May 2011 08:23 AM PDT Setelah GB membongkar isu ketiadaan nama YB Dzulkefli Ahmad di dalam senarai 82 orang calon AJK PAS Pusat, akhirnya, pada jam 10.40 malam, nama beliau disenaraikan di dalam lamanweb harakahdaily. Jumlah AJK yang tercatat akhirnya berubah menjadi 83 orang daripada cetakan asal senarainya 82 orang. Kesemua media eletronik & internet sebelum ini juga melaporkan 82 orang. Justeru harakahdaily tidak boleh berdalih untuk menyatakan bahawa mereka tidak mengubah senarai tersebut. Malah stesyen-stesyen TV pada malam ini juga menyebutkan 82 orang. Dan amat dikesalkan tiada sebarang kenyataan permohonan maaf samada dari Jawatankuasa Pemilihan atau Harakahdaily sebagai media rasmi yang melaporkan mengenai "kesilapan" berkenaan. Sikap yang tidak beretika itu melambangkan sikap bodoh sombong dan tidak profesyenal yang tidak sepatutnya ada di kalangan pimpinan PAS dan wartawan/penulis media PAS. Akhirnya Allah juga yang mendedahkan sepertimana doa kita sebelum ini Kami akan tetap berdoa kepada Allah s.w.t. untuk mendedahkan setiap konspirasi (jika ada) di dalam pemilihan yang berlansung kerana banyak hal yang terselindung dan tidak telus mengenai pemilihan pimpinan kali ini. Berikut dilampirkan video dari TVS yang juga melaporkan senarai awal AJK yang bertanding iaitu cuma 82 orang bukan 83 mengikut senarai yang terbaru. Sumber - Greenboc |
Demonstrasi Umno gagal himpun ramai peserta Posted: 17 May 2011 08:18 AM PDT KOTA BHARU, 17 Mei: Arahan seorang pemimpin wanita Umno Kelantan supaya setiap bahagian menghantar 500 peserta menyertai demonstrasi membantah Ladang Rakyat semalam ternyata gagal. Kelihatan hanya beberapa wanita dan Puteri sahaja yang hadir biar pun arahan mahu setiap bahagian menghantar 500 wanita dengan berpakaian merah. Ramai berhujah agenda permulaan Pemuda dan sayap lain Umno menggugat kerajaan negeri tersasar jauh apabila tidak sampai 500 peserta menyertai demontrasi di hadapan Kota Darulnaim semalam. Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelantan, Mohammad Azihan Che Seman berkata, Umno sengaja mencipta persepsi buruk terhadap kerajaan negeri bagi menafikan manfaat yang diperolehi rakyat miskin melalui dividen bulanan sebanyak RM200. "Sepatutnya usaha membantu rakyat miskin turut disokong Umno dan bukannya berdemontrasi seperti budak-budak. Ini jelas menggambarkan Pemuda Umno tidak mengikuti perkembangan semasa. "Tindakan Pemuda itu boleh menguris perasaan lebih 4,500 penerima dividen bulanan Ladang Rakyat kerana cuba menghalang usaha murni kerajaan negeri membantu penduduk," katanya di sini. Oleh itu AMK Kelantan menyokong penuh sebarang tindakan undang-undang terhadap media dan pihak yang sengaja menuduh kerajaan PAS merampas tanah rakyat. Semalam hanya kira-kira 200 pemuda dan wanita Umno berdemontrasi di hadapan Kota Darulnaim bagi membantah Ladang Rakyat kononnya merampas tanah rakyat. Bagaimanapun media harian seperti sepakat menggambarkan 1,000 hadir pada demontrasi tersebut. Ia dilakukan bagi menyelamatkan maruah Pemuda dan Wanita Umno Kelantan. Demontrasi tersebut diketuai Ketua Pemuda Umno, Anuar Safian yang turut disertai pemuda-pemuda Umno peringkat bahagian. Mereka berselindung di sebalik NGO yang dikenali sebagai Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (Ombak). |
Bongkar Konspirasi Menyingkirkan Dr Dzulkefli Dari Pemilihan PAS Pusat Posted: 17 May 2011 07:33 AM PDT Apakah beliau termasuk diantara calon-calon yang diketepikan oleh "perancangan tertentu" yang menyebabkan 6 pencalonan kawasan-kawasan ditolak? Saya harap Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustapha Ali (yang tak sepatutnya berada di dalam hal-hal pemilihan parti kali ini) tampil untuk menjawabnya sebelum ahli-ahli akar umbi berpersepsi wujud PENIPUAN di dalam hal pemilihan kali ini. Dr. Dzulkefli, seorang yang low-profile tidak kisah sangat samada namanya dicalonkan atau tidak, tetapi ahli-ahli PAS tidak mungkin boleh menerima kerja yang tidak profesyenal yang ditunjukkan oleh Jawatankuasa Pemilihan dengan mengenepikan orang yang tidak disukai oleh mereka sesuka hati. Amanah kawasan perlu dijalankan dan disempurna dengan sebaik-sebaiknya. Rasulullah menegaskan dalam satu hadis, Apabila amanah diabaikan, maka tunggulah masa kehancuran. (HR Bukhari dari Abu Hurai rah RA) Baca seterusnya di - sini |
Zaid: Segerakan siasatan DVD seks Posted: 17 May 2011 07:08 AM PDT PETALING JAYA: Presiden parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Datuk Zaid Ibrahim hari ini menggesa agar kes siasatan ke atas DVD seks 'Anwar' disiasat dengan kadar segera. "Tanpa penyelesaian yang pasti, spekulasi, was-was dan persoalan yang tidak terjawab akan berterusan. "Mengapa pihak polis keberatan untuk mengumumkan hasil penyiasatan dan pandangan pakar terhadap dua persoalan utama. Apakah kesahihan rakaman video tersebut? Adakah individu tersebut (ketua pembangkang) Anwar Ibrahim?" soal beliau dalam satu kenyataan media. DVD seks yang dikatakan membabitkan Anwar didedahkan oleh kumpulan trio Datuk T iaitu mantan ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Datuk Shuib Lazim dalam bulan Mac. Rentetan itu, Shazryl turut membuat sumpah laknat bahawa lelaki di dalam video tersebut adalah Anwar. Anwar bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut. Zaid turut menasihatkan pihak polis agar bersikap profesional dan menumpukan fokus terhadap penyiasatan kes. "Polis tidak menimbangkan implikasi politik dari pendedahan maklumat ini. Mereka tidak perlu memutuskan siapa akan menerima kesan baik atau buruk kerana itu akan ditentukan oleh ahli politik dan para pengundi." Zaid menambah bahawa keengganan pihak polis mendedahkan hasil siasatan akan meyakinkan rakyat bahawa polis bermain sandiwara politik. "Rakyat akan bertanggapan bahawa isu ini adalah hasil fabrikasi dan penipuan oleh pihak polis dan diusahakan oleh pihak yang mahu memerangkap Anwar," kata Zaid. Beliau menambah bahawa kes ini bukan hanya menjurus kepada Anwar dan wanita Cina. "Ia melibatkan integriti dan kredibiliti kerajaan, sistem politik negara dan pasukan politik. "Justeru, hanya kebenaran sahaja yang boleh mengembalikan ketulusan sistem negara ini." - FMT |
Pakatan Rakyat Akan Teruskan Sesi Penerangan Walau Dihalang Polis Posted: 17 May 2011 06:44 AM PDT Pakatan Rakyat akan mempelbagaikan cara untuk memastikan rakyat memperolehi maklumat tepat yang ingin disampaikan kepimpinan parti itu walapun sering dihalang polis. Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata, sesi penerangan yang dianjurkan gabungan parti itu merupakan platform utama penyaluran fakta kepada rakyat setelah media arus perdana dikawal oleh Umno-Barisan Nasional (BN). Beliau yang ditemui Tv Selangor petang tadi menyifatkan rakyat berhak untuk dibekalkan dengan informasi selain daripada kerajaan seraya memberi ruang menilai dasar-dasar yang relevan untuk diterima pakai. "Ini menunjukkan Umno cukup goyah sekiranya rakyat mendapat maklumat kerana apabila rakyat diberikan maklumat dan fakta, pastinya rakyat akan yakin dengan Pakatan dan akan menolak Umno-BN," jelasnya. Azmin diminta mengulas tindakan dwi standard pihak polis menyekat pengeluaran permit perhimpunan awam dalam program anjuran Pakatan Rakyat apabila mendapati beliau dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim diundang memberi ucapan. Ini termasuk melakukan sekatan jalan raya selain mengumpulkan Unit Simpanan Khas (FRU) untuk berkawal di lokasi-lokasi ceramah gabungan parti itu. Turut dikesali provokasi yang dilakukan pihak polis sehingga mengakibatkan pertempuran kecil di antara pengunjung-pengunjung dan FRU ketika Anwar hadir ke sesi penerangan di Taman Melawati Mac lalu. "Maka Umno terpaksa menggunakan jentera kerajaan termasuk polis bagi menghalang usaha-usaha dan program penerangan yang dianjurkan Pakatan Rakyat," tambah beliau. Dalam pada itu Azmin yang turut hadir ketika Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah mengumumkan keputusan memanggil Anwar untuk membela diri bersabit tuduhan kes fitnah liwat dua berkata, sistem kehakiman semakin dipandang remeh oleh rakyat. Ini berikutan katanya, jangkaan rakyat terhadap keputusan hakim ternyata tidak meleset walaupun jelas kes itu tidak kukuh dimata umum untuk mensabitkan Anwar dengan tuduhan. "Tetapi pokoknya, apabila umum (rakyat) telah menjangkakan sesuatu keputusan daripada mahkamah, ini adalah satu perkara yang tidak sihat. "Jelas menunjukkan rakyat tidak lagi yakin kepada badan kehakiman di Malaysia dan ini akan memberi kesan parah kepada negara Malaysia termasuk dalam isu pelaburan dan ekonomi masa akan datang kerana sistem kehakiman sudah dipertikaikan oleh rakyat," ujarnya lagi. Justeru Azmin menggambarkan seolah-olah hakim telah menghukum Ketua Pembangkang itu dengan mengatakan pengadu Saiful Bukhari Adzlan sebagai saksi yang berwibawa sebelum mendengar hujah daripada pihak pembelaan. Mahkamah menetapkan 6 hingga 30 Jun sebagai tempoh Anwar dipanggil untuk membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. |
Zahid Hamidi Hanya 'Buat-Buat' Prihatin Masalah Minyak Naik.. Posted: 17 May 2011 03:20 AM PDT RON95: Zahid juga minta k'jaan kaji beban rakyat Kerajaan diminta menjalankan kajian secara mendalam sebelum membuat keputusan menaikkan harga petrol RON95, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata kerajaan perlu mencari satu mekanisme lain bagi menjimatkan pemberian subsidi untuk bahan bakar itu. "Saya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai mekanisme lain yang boleh digunakan bagi menampung subsidi dan kenaikan harga minyak tersebut. "Kerajaan juga boleh menggunakan pelbagai sumber cukai untuk menampung subsidi tersebut," katanya kepada pemberita selepas menutup program gotong-royong Perdana Mukim Bangau anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sungai Gau dan Angkatan Tentera Malaysia di sini hari ini. Turut hadir Anggota Parlimen Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga timbalan menteri pengajian tinggi. Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaluddin semalam yang meminta kerajaan tidak menaikkan harga petrol RON95 bagi menjamin kebajikan rakyat. "Bagaimanapun, kerajaan dalam keadaan serba salah jika harga minyak tidak dinaikkan, kerana ia akan meningkatkan defisit kerajaan," katanya yang bersetuju kenaikan RON95 membebankan rakyat kerana harga barangan lain akan turut meningkat. Mengenai program gotong royong itu, beliau berkata program 'tentera masuk kampung' akan diteruskan bagi meningkatkan hubungan baik antara rakyat dan tentera. Ahmad Zahid berkata program sedemikian sebenarnya telah dilaksanakan sejak sekian lama dan dilihat memberi banyak manafaat kepada semua pihak. Di majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM20,000 kepada Masjid kampung Sungai Gau. - Bernama |
You are subscribed to email updates from BlogList Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan