Ahad, 22 Mei 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Semoga UMNO Pulau Pinang terkejut dengan kejutan dari rakyat..

Posted: 22 May 2011 06:16 AM PDT

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Zainal Abidin yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, beliau mengharapkan kejutan daripada rakyat untuk menumbangkan kerajaan negeri pimpinan DAP yang dilihat mengamalkan politik tidak bertanggungjawab.

Tak tahulah aku apa jenis kejutan dari rakyat yang dimaksudkan oleh Datuk Zainal Abidin tu.. kejutan dari rakyat buat UMNO dengan menguburkan terus UMNO di Pulau Pinang atau kejutan dari rakyat buat Pakatan Rakyat dengan memenangkan semua calon-calon dari Pakatan Rakyat..

Di kawasan Seberang Perai ni yang aku tahu dua nama besar dari UMNO tak akan bertanding lagi pada PRU13 ni.. sorang ADUN dari Seberang Jaya dan seorang lagi MP dari Kepala Batas..


Yang dari Seberang Jaya tu dah kena cantas pasal tak sehaluan dengan Ketua Bahagian biarpu ada persamaan yang ketara antara mereka .. orang kata depa takut bini... ha..ha.. tak tahulah aku betul atau tidak.. ramai kawan-kawan depa kata macam tu..

Dari Kepala Batas pulak Pak Lah bakal berundur pasai dah tak laku dah.. ada pun serupa tak ada saja sekarang.. Semoga Tun Pak Lah berbahagia..


Umno Pulau Pinang harap kejutan dalam pilihan raya umum

PEKAN: Umno Pulau Pinang mengakui bakal menghadapi cabaran getir pada pilihan raya umum akan datang, namun mengharapkan 'kejutan' daripada rakyat untuk menguasai kembali negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) kini bukan hanya melawan parti politik, sebaliknya turut berdepan jentera kerajaan negeri.

"Kalau dulu, BN bertarung bagi mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang, begitu juga di Selangor dan Kedah…kini, kita bukan sahaja melawan parti tetapi jentera kerajaan negeri, orang yang sedang berkuasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri Umno Bahagian Pekan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan Datuk Ishak Muhammad dan Ketua Puteri Umno Pekan Nor Azita Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang sebagai paling sengit dalam sejarah politik tanah air.

Kejutan rakyat

Zainal Abidin yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno bagaimanapun berkata, beliau mengharapkan kejutan daripada rakyat untuk menumbangkan kerajaan negeri pimpinan DAP yang dilihat mengamalkan politik tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata Pakatan Rakyat mengharapkan keburukan pada negara dan kesusahan rakyat demi untuk berkuasa.

"Mereka mahu ekonomi negara merudum dan harap harga barang serta minyak naik supaya rakyat akan marah kerajaan (BN)," katanya.

Beliau berkata Umno di negeri itu kini sedang berusaha keras bagi mengembalikan sokongan rakyat termasuk mengadakan program tinjauan mesra setiap minggu.

"Malah parti-parti komponen BN juga telah bangkit dan mula mengorak langkah dan saya yakin sedikit masa lagi rakyat akan kembali kepada BN," katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin memohon kerajaan persekutuan agar mengkaji mekanisme terbaik bagi mengatasi kenaikan harga barangan dan minyak yang kini menjadi kegusaran rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah.


- Bernama

Tanah Runtuh : Wajarkah seorang Menteri berkata begini?

Posted: 22 May 2011 02:17 AM PDT

Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan jutaan takziah kepada keluarga, pewaris dan pihak rumah anak yatim yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Hulu Langat.

Disamping itu Datuk Seri Dr Wan Azizah turut menggesa kajian menyeluruh dilakukan ke atas bangunan dan kawasan sekitar insiden kerana bencana melibatkan kehilangan nyawa tidak boleh diambil mudah.

Tanpa merakamkan takziah mahupun sebarang rasa simpati terhadap mangsa dan sanak saudara mereka seorang Menteri di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengeluarkan kenyataan seperti dibawah..


Wajarkah kenyataan begini dikeluarkan ketika kaum keluarga terdekat mangsa berada di dalam keadaan tertekan dan sedih seorang Menteri dari UMNO datang dan berkata seperti ini?


Shahrizat: Rumah Al-Taqwa tak berdaftar

Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Kampung Gahal, Hulu Langat tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mana-mana agensi di bawah Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Bernama memetik menteri berkenaan Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata beliau juga tidak pasti sama ada rumah anak yatim itu berdaftar di bawah mana-mana agensi di kementerian lain.

"Yang terlibat (dalam tragedi ini) ada pelajar, ada anak yatim, ada guru. Kita tidak tahu ia di bawah agensi mana," katanya kepada pemberita semasa melawat kawasan kejadian tanah runtuh di rumah anak yatim itu malam semalam.

Sehingga awal pagi ini, semua 25 mangsa yang tertimbus berjaya dicari dan dikeluarkan. Mangsa yang terkorban dalam tragedi itu ialah 16 orang manakala sembilan mangsa yang terperangkap selamat pada kejadian tanah runtuh yang berlaku pada pukul 2.30 petang semalam itu.

Shahrizat berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan agensi dan kementerian berkaitan dalam masa terdekat untuk mengetahui status rumah anak yatim itu.


Malaysiakini

Tanah runtuh: Kerajaan Pulau Pinang hulur bantuan

Posted: 22 May 2011 01:49 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menghulurkan bantuan RM25,000 kepada kesemua 25 mangsa dan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa yang ditimpa tragedi tanah runtuh semalam.

Seramai 16 kanak-kanak maut dalam tragedi itu dan sembilan selamat dengan kecederaan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, malapetaka itu amat menyayat hati dan telah menyentuh hati semua rakyat Malaysia tanpa kira kaum dan agama, yang penuh simpati dan sedih atas nasib malang dialami mangsa.


Katanya, sungguhpun wang tidak seberapa, ia adalah sokongan moral untuk memberi semangat kepada keluarga mangsa yang maut dan untuk mereka yang terselamat meneruskan kehidupan mereka dengan tabah.

Beliau yang juga setiausaha agung DAP berkata partinya juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dalam tragedi itu.

"DAP juga ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat dan pihak polis yang bertungkus-lumus menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa-mangsa dengan penuh dedikasi," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, DAP menyerahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan tragedi semalam dapatlah dielakkan.


The Malaysian Insider

Bagaimana PERKASA tahu kereta disabotaj?

Posted: 22 May 2011 01:39 AM PDT

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan bagaimana Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dapat mengetahui mengenai kerosakan yang berlaku kereta yang dinaiki anggota keluarganya – berbulan-bulan sebelum insiden berkenaan berlaku.

Anwar berkata, PERKASA perlu menjelaskan laporan polis yang
dibuat pada 11 Februari lalu berhubung kebimbangan bahawa ketua pembangkang itu akan melakonkan satu kemalangan jalan raya.

Ketua pembangkang itu berkata, PERKASA kini perlu tampil dengan penjelasan ekoran ancaman yang diterima oleh isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan juga anaknya Nurul Izzah.


Dalam temubual dengan Malaysiakini minggu lalu, Anwar bagaimanapun berkata, beliau tidak menuduh PERKASA sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas dakwaan sabotaj berkenaan.

Isnin lalu, bekas ketua pemuda PERKASA, Armand Azha Abu Hanifah pula ketika dihubungi berkata beliau membuat laporan polis berkenaan selepas mendapat maklumat bahawa Anwar dan beberapa pemimpin PKR didakwa merancang untuk mengadakan kemalangan berkenaan bagi meraih simpati.

Armand juga berkata, PKR didakwa berbuat demikian bagi membolehkan Anwar – yang diperintah oleh mahkamah supaya membela diri berhubung kes Liwat II – dibawa keluar ke negara lain bagi mendapatkan suaka politik.

Armand yang juga ketua penerangan pemuda Umno Petaling Jaya Utara turut menggesa supaya pasport Anwar dserahkan kepada mahkamah.

Kata Armand lagi, beliau bimbang sekiranya Anwar akan menjadi dalang kepada mobilisasi massa dan keadaan huru-hara.

Anwar bagaimanapun berkata, beliau tidak ingin memberi reaksi kepada dakwaan yang ditimbulkan PERKASA itu kerana tidak ingin menguatkan lagi dakwan berkenaan.

Tambahnya, beliau tidak ingin membangkitkan perkara itu sebelum ini sehinggalah diberitahu bahawa kerosakan pada kenderaan Mercedes itu hanya akan berlaku jika sengaja dibuat oleh seseorang.

Anwar berkata, sekiranya dakwaan itu melibatkan elemen jenayah, polis perlu menyiasat dan tidak menutup perkara itu.


Malaysiakini

Tiada ulasan: