Anak Sungai Derhaka |
- Muhyiddin: Perangi rasuah jihad utama kerajaan
- UMNO musuh nombor 1 negara
- Chegubard akan keluar PKR tapi tidak akan sertai UMNO
- Selamat hari jadi Altantuya!
- Mahathir diperdaya supaya percaya tuduhan terhadap Anwar
- 11.11.11 tarikh PRU13?
- Kemarahan rakyat tak lagi relevan di Perak.. cari isu lain..
- Adakah cerita ini pula yang akan didedah Eskay?
Muhyiddin: Perangi rasuah jihad utama kerajaan Posted: 06 May 2011 06:42 AM PDT KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan usaha memerangi amalan rasuah adalah jihad paling utama setiap kerajaan yang berintegriti. Timbalan Perdana Menteri berkata, persoalan rasuah tidak hanya berlegar di sekitar nafsu penguasa, tetapi ia membabitkan pemberi dan penerima. "Kedua-dua pemberi dan penerima rasuah adalah pelaku jenayah terkutuk di sisi undang-undang negara, norma masyarakat dan agama. "Maka untuk memerangi rasuah secara menyeluruh, sewajarnya gejala ini dibendung sehingga ke akar umbi," katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana Agenda Integriti Nasional, di sini hari ini. Berita Harian |
Posted: 06 May 2011 05:39 AM PDT KUALA LUMPUR, 6 Mei: Bagaimana PAS boleh bersatu dengan Umno sedangkan Umnolah yang 'menjajah' bumi dan rakyat Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Katanya, Umno bertindak zalim terhadap rakyat dan bumi Malaysia dengan mencengkam kebebasan rakyat dan bertindak tanpa keadilan kepada rakyat dan bumi Malaysia. "Fatah dan Hamas boleh bersatu menentang Israel, mengapa Umno dan PAS tidak dapat bersatu membela umat Melayu?" soalnya dalam kenyataan. Jelasnya, Hamas setuju untuk bersatu dengan Fatah semata-mata atas tujuan membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan Israel. Katanya lagi, penjajahan Israel zalim, yang mencengkam kebebasan rakyat Palestin dan penjajahan yang menidakkan keadilan sejati kepada rakyat dan bumi Palestin. "Bagaimana boleh kami, PAS bersatu dengan golongan (yakni Umno) yang mengamalkan budaya rasuah, yang mempratikkan budaya politik samseng dan yang mempersendakan hukum Allah SWT?" soalnya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena. Justeru, PAS tegasnya akan terus memperjuangkan untuk meminda Perlembagaan dan undang-undang negara agar badan keadilan dan perundangan (judiciary) benar-benar bebas dan Peguam Negara (AG) bertanggungjawab kepada Parlimen. Selain itu, tambahnya SPR, SPRM dan ROS diletakkan di bawah pengawasan Parlimen dan pembentukan IPCMC dan diletakkan di bawah pengawasan Parlimen. Kesimpulannya, kata beliau kembalikan supremacy of parliament yang telah dinodai oleh Kerajaan Umno BN semenjak merdeka lagi. "Jika Umno jujur dia membentangkan pindaan perlembagaan dan undang-undang, kalau Umno itu ikhlas, maka pulangkan royalti minyak kepada rakyat Kelantan dan Terengganu," katanya. Di samping, beliau juga mahu Umno BN menubuhkan Suruhanjaya-suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pembelian kapal selam Scopene, saham-saham allocation untuk Bumiputra dari 1970 sehingga sekarang dan siapa penerimanya, penggunaan pendapatan minyak dan gas negara daripada 2004-2009, kes kematian pegawai kastam, Sarbani dan kes PKFZ. "Kami menentang parti Umno bukan kerana dia Umno, kami menentang parti Umno kerana mereka zalim, mereka menindas rakyat Malaysia, mereka merompak harta negara dan mereka (parti Umno bukan ahli Umno) adalah musuh nombor satu negara," ujarnya. Harakahdaily |
Chegubard akan keluar PKR tapi tidak akan sertai UMNO Posted: 06 May 2011 01:51 AM PDT KUALA LUMPUR, 6 Mei — Bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin disebut-sebut akan keluar parti itu dan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam waktu terdekat. Bagaimanapun The Malaysian Insider difahamkan jika pun keluar PKR, Badrul Hisham, yang turut dikenali sebagai "Chegubard", akan kekal bersama Pakatan Rakyat (PR) dengan menyertai sama ada PAS atau DAP. The Malaysian Insider juga difahamkan beliau yang tewas pemilihan ketua Angkatan Muda PKR akhir tahun lalu sudah membincangkan perkara itu bersama rakan-rakannya dalam parti itu dan membayangkan "sudah sampai masanya" berbuat demikian. Beliau juga pernah disebut-sebut akan meninggalkan PKR sejurus selepas kalah pemilihan tempoh hari. "Ya, memang betul... Chegubard sudah membuat keputusan, cuma belum diumumkan secara rasmi lagi. "Ada banyak sebab mengapa Chegubard memutuskan untuk keluar, dengan ada halangan kepada dia daripada menjalankan program, aduan Chegubard mengenai pemilihan pusat tahun lalu juga belum selesai sampai sekarang," kata seorang rakan Badrul Hisham dari Negeri Sembilan kepada The Malaysian Insider. Usaha The Malaysian Insider untuk mendapatkan pengesahannya masih belum berhasil. Badrul Hisham (gambar) juga merupakan ketua cabang PKR Rembau. Pada pilihan raya umum 2008 beliau bertanding di kerusi Parlimen Rembau menentang Khairy Jamaluddin iaitu Ketua Pemuda Umno dan Pemuda BN. Sumber ibu pejabat PKR yang dihubungi juga mengesahkan ada mendengar desas-desus itu tetapi tidak dapat disahkan kesahihan. "Saya ada dengar Chegubard sudah berkongsi pendiriannya dengan beberapa pengikut dan penyokongnya baru-baru ini," kata sumber itu lagi. Sumber juga berkata beberapa pemimpin kanan PKR juga sedia mengetahui keputusan Badrul Hisham itu, yang akhir tahun lalu turut menolak pelantikan sebagai penolong setiausaha agung PKR selepas tewas pemilihan. Badrul Hisham merupakan antara beberapa pemimpin mempertikaikan proses pemilihan tahun lalu. Ketika ditanya parti yang bakal sertai Badrul Hisham, sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa, "pilihan Chegubard adalah sama ada PAS atau DAP." "Kemungkinan besar DAP, sebab parti itu memerlukan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Melayu di mana Chegubard merasakan boleh menyumbang melalui DAP," kata sumber itu. Dalam entri terbaru di blognya kelmarin, Badrul Hisham ada menyentuh tentang DAP dan keperluan kepimpinan Melayu dalam parti itu. Antaranya kata beliau, "DAP tidak anti-Melayu" tetapi momokan media dengan parti-parti yang berkuasa telah membuat orang Melayu mempunyai perasaan takut kepada dominasi parti itu kalangan kaum Cina. "Maka yang menggunakan sentimen rasis ini adalah Umno dan ini hakikat. Takkanlah saya keliru kerana saya juga pernah bergiat aktif dalam Umno dan itu perkara yang di antara sesama Melayu memahaminya," katanya. Kata Badrul Hisham, jika DAP menunjukkan kepada rakyat bahawa ia adalah parti untuk semua kaum, maka DAP sepatutnya meletakkan beberapa calon Melayu. "Dan, jika ini dilakukan oleh DAP, maka yang pasti akan terjadi parti itu akan mendapat sokongan dari sebahagian pengundi Melayu di dalam pilihanraya yang akan datang," katanya lagi. The Malaysian Insider |
Posted: 05 May 2011 09:30 PM PDT Jika Altantuya Shaariibuu masih hidup, hari ini genap 32 tahun warganegara Mongolia itu, menyambut hari lahirnya. Altantuya dibunuh dengan kejam di Mukim Bukit Raja berdekatan Shah Alam Selangor, antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. Mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C4, yang dikatakan hanya boleh diperoleh dari kementerian pertahanan. Cebisan mayatnya ditemui di Empangan Tasik Subang, di Hutan Simpan Puncak Shah Alam. Ia menjadi kes berprofil tinggi, apabila rakan baik kepada perdana menteri, Abdul Razak Baginda ditahan dan didakwa dalam kes pembunuhan itu. Razak didakwa bersubahat membunuh Altantuya, 28, dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Konstabel Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, No. 148, Jalan Ampang antara pukul 9.54 pagi dan 11.05 pagi, 18 Oktober 2006. Abdul Razak Baginda, yang juga merupakan seorang penganalisis politik, dikatakan mempunyai hubungan intim dan sulit dengan Altantuya. Namanya turut dikenali sebagai seorang broker atas pembelian kapal selam Scorpene, oleh Tentera Laut Diraja Malaysia. Perundingan dijalankan menerusi Perimekar Sdn bhd, untuk membeli dua kapal selam Scorpene dan Agosta- di bawah usahasama syarikat Sepanyol-Perancis, Armaris. Perimekar dimiliki satu syarikat bernama Ombak Laut, yang dimiliki sepenuhnya Abdul Razak dengan menerima komisyen sebanyak €114 juta (RM510 million) bagi pembelian kapal selam berkenaan. Pada 31 oktober 2008, Abdul Razak dibebaskan dari tuduhan bersubahat membunuh Altantuya kerana kononnya kes itu, tiada prima facie. Manakala tertuduh lain, Cif Inspektor Azilah Hadri, dan Koperal Sirul Azhar Umar diarah membela diri. Sepanjang perbicaraan selama 151 hari, Sirul Azhar dan Azilah Hadri enggan mendedahkan muka , sebaliknya hanya memakai topeng. Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian menjatuhkan hukuman mati pada kedua-duanya pada 9 April 2009. Pada 3 Julai 2009, seorang penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam, bekas anggota polis cawangan khas dan pernah bertugas dengan Abdul Razak, menggemparkan negara apabila membuat pendedahan mengaitkan Najib Razak dalam kes pembunuhan itu. Beliau membuat sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, mengumumkan akuan bersumpah yang dirangka bersama peguamnya, Americk Singh Sidhu sebelum membuat akuan bersumpah kedua sehari selepas itu- sekaligus menafikan pendedahan yang dibuat nya. Akuan bersumpah ke-2 didakwa dibuat setelah berjumpa dengan Deepak Jaikishan, seorang ahli perniagaan permaidani yang rapat dengan Najib dan seorang berpangkat Datuk di The Curve, Damansara, yang kemudian didedahkan sebagai Nazim Razak, adik kepada Najib. Kedua-dua individu itu didakwa mahu Balasubramaniam segera meninggalkan Malaysia sehingga Najib sah menjadi perdana menteri yang baru, ketika itu. Bagaimanapun, Najib Tun Razak menafikan pembabitan beliau dengan Altantuya dan spekulasi tindakan untuk mempngaruhi supaya Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpah tersebut. http://www.keadilandaily.com/?p=12870 |
Mahathir diperdaya supaya percaya tuduhan terhadap Anwar Posted: 05 May 2011 09:25 PM PDT KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diperdaya untuk mempercayai bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam kegiatan homoseksual, sebelum memecat bakal penggantinya itu pada 1998. Perkara itu didedahkan Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Ia menjurus kepada peranan yang dimainkan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, serta orang-orang di sekeliling Mahathir pada 1998. Gani dan Musa, adalah individu yang bertanggungjawab dalam mengendali kes mata lebam Anwar, yang menyebabkan bekas Ketua Polis Negara pada masa itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor dipenjara selama dua bulan. "Pada bulan September 1998, Tun Mahathir pernah diperdayakan untuk mempercayai bahawa kecederaan mata-lebam Anwar adalah akibat "self-inflicted" sepertimana yang dirakamkan dalam memoirs beliau muka surat 693. "Pada bulan Januari 1999 Gani Patail sendiri terlibat menipu Tun Mahathir dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai sesuatu yang tidak benar berkaitan dengan hasil siasatan Polis bersangkut insiden mata-lebam. "Akibat perdayaan ini Tun Mahathir telah membenarkan pembentukan Suruhanjaya Di-Raja mengambil alih siasatan insiden mata-lebam daripada tangan Penyiasat PDRM," ujar beliau. Menurut Mat Zain, beliau menyimpulkan bahawa Mahathir sangat percaya bahawa Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual berdasarkan kepada dua surat yang diterima daripada Umi Hafilda pada 1997 dan taklimat daripada Musa Hassan yang ketika itu merupakan pegawai penyiasat. "Persoalan yang timbul adalah sama ada Musa Hassan telah memberi Tun Mahathir taklimat yang jujur dan betul mengenai keterangan yang telah dikumpulkannya terhadap Anwar itu, ataupun Musa Hassan telah menokok tambah keterangan dalam taklimatnya untuk memperdayakan Tun Mahathir supaya mempercayai bahawa Anwar benar-benar terlibat dalam aktiviti homoseksual itu," tulis beliau. Mat Zain berkata, ia bukan pertama kali Mahathir ditipu oleh individu di sekelilingnya. Pada Julai 1993, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik juga pernah menipu Mahathir dengan membuat Akuan Sumpah Palsu bagi menyembunyikan harta berjumlah RM40 juta yang diperolehi menerusi salahguna kuasa dan rasuah. Ia dilaporkan oleh Badan Pencegah Rasuah yang disahkan sendiri oleh Gani Patail ketika itu. Menurut Mat Zain lagi, pada bulan Julai 2010 pula, bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr.Ling Liong Sik pula didakwa kerana menipu Jamaah Menteri, termasuk Mahathir sendiri dalam kes skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). "Contoh-contoh di atas dengan jelas membuktikan bahawa Tun Mahathir juga terdedah kepada perbuatan penipuan oleh Menteri atau Ketua Menteri ataupun oleh Pegawai-Pegawai Kerajaan atau mana-mana orang yang berpeluang memberi taklimat kepada beliau mengenai sesuatu perkara. "Ringkasnya Tun Mahathir tidak "kebal" dari penipuan. Dengan demikian itu kemungkinan Tun Mahathir telah diperdayakan untuk mempercayai bahawa Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual tidak boleh diperkecilkan," tulisnya lagi. Dalam surat 16 perenggan itu, Mat Zain berkata, persepsi buruk rakyat terhadap Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan berterusan jika pihak berkuasa itu "terlalu menurut karenah" Peguam Negara. "Secara peribadi saya mendapati PDRM terlalu menurut karenah Peguam Negara seolah tidak bebas bertindak sendiri. "Sebagai seorang pesara yang mengetahui sedikit sebanyak asal usul isu dalam persoalan, saya berasa sedih dan khuatir sejarah lama akan berulang dan "pisang akan berbuah dua kali"," ujarnya. http://www.keadilandaily.com/?p=12868 |
Posted: 05 May 2011 08:43 PM PDT Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencetuskan teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum ke-13 apabila menyebut timbulnya ramalan ia akan diadakan pada 11.11.11 kerana angka 11 amat signifikan dalam hidup beliau. Ketika ditanya pemberita, beliau tidak mengia mahupun menafikan ramalan itu, sebaliknya menyifatkan ramalan sedemikian memang menjadi kegemaran dalam arena politik sebelum ini. Sebelum itu, Najib dalam usaha merapatkan hubungannya dengan golongan muda ke udara di rangkaian radio Hot FM pagi ini dan menceritakan signifikan angka 11 dalam hidupnya. Wawancara selama sejam bermula jam 7.30 pagi itu juga disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen 8TV. DJ stesen radio berkenaan Fara Fauzana dan Faizal Ismail juga sempat bertanyakan mengenai pasukan bolasepak kegemaran perdana menteri Manchester United yang akan berentap dengan Chelsea bagi menentukan kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Selain itu, Najib juga menceritakan tabiatnya yang gemar menghabiskan masa di laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Dalam nada yang serius, beliau juga mengumumkan kerajaan akan melancarkan satu program baru iaitu Rumah Mampu Milik Berkualiti bagi memantapkan Skim Rumah Pertamaku selewat-lewatnya Julai ini. "Melalui program tersebut, kos rumah untuk Skim Rumah Pertamaku akan dipastikan berharga RM220,000 ke bawah," katanya. Di bawah skim itu, beliau berkata pemaju swasta akan terbabit sebagai projek tanggungjawab sosial korporat mereka, manakala kerajaan akan menyediakan tanah sebagai tapak rumah. Perdana Menteri juga sempat bermain catur dengan DJ radio Hot FM. Malaysiakini |
Kemarahan rakyat tak lagi relevan di Perak.. cari isu lain.. Posted: 05 May 2011 08:20 PM PDT Pakatan Rakyat Perak perlu menyusun strategi lebih berkesan untuk menang pada pilihan raya mum ke-13 akan datang, apabila kajian jelas menunjukkan sentimen kemarahan rakyat berhubung tindakan BN merampas kerajaan negeri awal tahun lalu, kini sudah tidak lagi relevan. Bagaimanapun, kajian terbaru oleh Zentrum Future Studies mengenai perkembangan politik di Perak mendapati menteri besar yang disingkirkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin terus kekal sebagai tokoh pemimpin yang disegani dan diperlukan oleh seluruh rakyat Perak. Namun beliau perlu dibantu dan diimbangi dengan tokoh muda lain yang setara dengannya. Pemimpin Zentrum, Dr Abu Hassan Hasbullah ketika mendedahkan perkara itu berkata, untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, Pakatan Rakyat ternyata sudah tidak lagi boleh bergantung kepada isu sentimen kemarahan rakyat berhubung tindakan BN itu kerana isu tersebut sudah tidak sekuat tahun 2008 atau 2009. Menurut beliau, sebaliknya, jika isu itu terus dimainkan, ia pasti akan mendatangkan kesan lebih buruk kepada Pakatan Rakyat kerana isu berkenaan ternyata sudah berjaya dimanipulasi oleh BN untuk mengelirukan rakyat, sehingga menjadikannya sudah tidak boleh diterima oleh lebih separuh rakyat negeri itu. Katanya, bagi menggantikannya, Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya perlu menyusun tiga usaha penting mulai sekarang yang merangkumi kesepaduan serta kestabilan Pakatan Rakyat, penonjolan tokoh-tokoh muda berkaliber selain tokoh sedia ada dan membuktikan kemampuan mereka memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat. Tidak berganjak "Dari kajian yang dijalankan oleh Zentrum di Perak jelas menunjukkan orang-orang Cina tetap tidak berganjak daripada terus menyokong Pakatan Rakyat. Ini sememangnya satu petunjuk yang cukup baik kepada Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi. Namun, menurut Abu Hassan, sokongan masyarakat Melayu dan India kepada Pakatan Rakyat di Perak ternyata semakin merosot, apabila mereka sendiri menjadi semakin keliru dengan isu rampasan kuasa dan isu-isu lain yang berjaya dimanipulasikan oleh BN. "Sokongan orang Cina terhadap Pakatan Rakyat di Perak terus kekal sebanyak 40 peratus. Selain isu rampasan kuasa, orang Cina di Perak tetap menaruh keyakinan yang tinggi terhadap Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan politik di Perak. "Tetapi bagi orang Melayu dan India yang sebanyak 60 peratus lagi, ia amat perlu ditangani dengan baik oleh Pakatan Rakyat bagi membolehkan Pakatan Rakyat berjaya dalam PRU Ke-13 nanti," katanya. Dengan angka itu, Pakatan Rakyat hanya perlu menarik sokongan 20 peratus sahaja dari orang Melayu bagi membolehkan Pakatan Rakyat memerintah di Perak, manakala angka sekecil itu bukanlah sesuatu yang sukar dicapai jika usaha yang dilakukan itu berjaya menarik perhatian orang Melayu. Tokoh berkaliber Walaupun BN telah berjaya mengalih sokongan orang Melayu dari Pakatan Rakyat, tetapi pembangkang tetap berpeluang memenangi kembali hati orang Melayu jika usaha-usaha yang dilakukan berjaya menyakinkan mereka. Abu Hassan berkata selain tokoh yang idealis dan berkaliber seperti Nizar, orang Melayu di Perak juga amat memerlukan jaminan dengan kemunculan tokoh lain yang setanding dengannya bagi mengimbangi menteri besar yang disingkirkan itu jika berlaku perkara tidak diingini. "Tokoh itu pula diharapkan bukan dari PKR dan DAP, tetapi dari PAS sendiri. Dari kajian yang dibuat oleh Zentrum, kami mendapati ketua penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim merupakan orang yang diharapkan dan beliau amat perlu ditonjolkan ke depan oleh Pakatan Rakyat Perak," katanya lagi. Malaysiakini |
Adakah cerita ini pula yang akan didedah Eskay? Posted: 05 May 2011 10:41 AM PDT Adakah akan ada lagi Melayu yang mengaku dirinya Islam akan mempercayai kata-kata seorang lelaki munafik yang ketika menayangkan video lucah di Carcosa Seri Negara tidak terfikir akan dosa mengaibkan saudara seugamanya tetapi bila gagal meyakinkan masyarakat (kecuali puak UMNO) menggunakan nama Allah untuk memperkukuhkan dakwaannya..? Adakah akan masih ada lagi manusia yang mengaku dirinya sebagai seorang Islam mempercayai kata-kata seorang lelaki munafik yang telah bersumpah laknat didalam masjid mengatakan pelaku dalam video lucah itu adalah Anwar Ibrahim tetapi kemudiannya menafikannya pula secara terbuka seolah-olah semua Melayu Islam itu mudah lupa? Shazryl Eskay Abdullah berkata beliau akan mendedahkan beberapa lagi salah laku lebih besar membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik polis mendedahkan pelaku sebenar dalam video seks yang dikaitkan dengan ketua pembangkang itu. "Saya hanya akan dedahkan beberapa konspirasi membabitkan Anwar sebaik polis mengesahkan kepada masyarakat siapa pelaku sebenarnya dalam video berkenaan." Katanya. Kali ini Eskay menunjukkan kepada kita bahawa beliau tahu bila pihak polis akan mengumumkan siapakah lelaki didalam video lucah itu.. Seolah-olah ada kerjasama antara beliau dan pihak polis bagi menjahanamkan imej Anwar.. Ada yang berkata lelaki di dalam video lucah itu akan didedahkan pada atau sehari selepas mahkamah mengumumkan samada kes tuduhan liwat terhadap Anwar dibuang atau Anwar dipanggil untuk membela diri pada 16 hb ini.. Apakah yang dimaksudkan dengan salah laku yang lebih besar itu? Anwar akan dituduh meliwat lagi? atau Anwar akan dituduh berzina lagi? Atau Anwar akan dituduh meliwat dan berzina sekaligus pula? Kedua-dua tuduhan itu didalam Islam memang satu tuduhan yang amat berat dan dosa yang ditanggung oleh pembawa fitnah itu juga adalah berat.. Jika Eskay mendakwa akan mendedahkan beberapa lagi salah laku lebih besar, sudah tentu baginya meliwat dan berzina itu bukanlah satu kesalahan yang besar.. Mungkin apa yang didedahkan oleh Tuan MSO ini adalah perkara yang lebih besar seperti yang dimaksudkan oleh Eskay.. Sebahagian dari artikel yang dipetik dari MSO.. Satu maklumat yang diterima malam ini apa yang bakal didedahkan Eskay itu ialah berhubung dengan apa yang dinamakan sebagai tindak tanduk Anwar yang dilakukan di luar negara terhadap negara ini. Katanya satu ucapan Anwar di sebuah negara jiran akan didedahkan kononnya ia memberi ancaman keselamatan negara. Dalam ucapan di majlis itu, Anwar dikatakan telah berucap sehingga boleh menimbulkan keadaan tidak tenteram di negara ini. Di mana dan apakah butiran ucapan Anwar itu sama-sama kita tunggu yang akan didedahkan oleh Eskay. Menurut maklumat berkenaan Eskay katanya turut berada sama pada majlis berkenaan dan kemungkinan ia ada merakam ucapan atau tindak tanduk Anwar itu. Kalaulah ia hanya semata-mata berdasarkan ucapan Anwar rahsia yang dikatakan menggemparkan itu tidaklah sangat mengejutkan kerana mustahil polis tidak mengetahuinya. Kata sumber itu mereka yang membenci Anwar sangat berharap apabila ia didedahkan menyebabkan Anwar akan disiasat kemudian ditangkap! Tambahnya juga beberapa orang tokoh Umno sudah pun mengetahui akan butiran yang bakal didedahkan oleh Eskay seperti mana dijanjikan itu. Sepenuhnya sila baca di mso.melayu.blogspot.com Segalanya mungkin.. kerana Eskay telah menunjukkan kepada kita beliau telah memandang ringan akan hukum Allah dengan bersumpah dirumah Allah kemudiannya menafikan secara terbuka.. |
You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan