Selasa, 31 Mei 2011

Anak Bapa

Anak Bapa


Allahyarham Ustaz Fadhil Noor Dalam Kenangan

Posted: 31 May 2011 07:22 PM PDT


Salah seorang pemimpin yang Anak Bapa amat kagumi sehingga ke hari ini ialah Allahyarham Ustaz Fadhil Noor, mantan Presiden PAS. Malah tidak keterlaluan jika Anak Bapa katakan bahawa pendidikan politik dan pengalaman berjuang Anak Bapa dalam PAS, sebahagian besarnya adalah dicanai oleh Ustaz Fadhil.

Ustaz Fadhil telah mencorakkan lanskap politik yang didokong oleh Pakatan Rakyat hari ini. Beliaulah antara pemimpin ulung yang merintis jalan ke arah transformasi PAS daripada parti picisan kepada parti "mainstream".

Kebetulan Anak Bapa terbaca satu artikel yang ditulis oleh Liew Chin Tong, Setiausaha Antarabangsa DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bendera mengenai Ustaz Fadhil yang amat menarik dan nostalgik. Dan yang menjadikan ia lebih istimewa kerana datangnya daripada seorang pemimpin DAP dan dicetak dalam akhbar DAP, The Rocket!

PAS amat memerlukan lebih ramai lagi pemimpin yang berfikiran luas dan terbuka seperti Ustaz Fadhil jika ingin kekal relevan di negara ini dan sememangnya ramai pemimpin yang berwibawa dan berkelayakan untuk menyambung misi Ustaz Fadhil yang belum selesai ada dalam PAS.

Para perwakilan ke Muktamar Agung PAS pada hujung minggu ini kena bijak mengenal siapa mereka lantas berpeluang untuk membuat pemilihan yang tepat. Apa pun, buat pilihan yang betul demi masa depan PAS dan rakyat Malaysia!

Anak Bapa: Terharu apabila mengingatkan Allahyarham Ustaz Fadhil Noor. Kehilangannya Anak Bapa sentiasa rindui. Moga roh mu ditempatkan di kalangan para solihin. Al-Fatehah …….

Tiada ulasan: