Ahad, 1 Mei 2011

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

:: @ AL-BAKISTANI @ ::


ANWAR IBRAHIM TIDAK PERLU BERSUMPAH BALAS !!

Posted: 01 May 2011 10:20 AM PDT

Eskay telah bersumpah laknat dalam mendakwa Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video seks yang telah tersebar. Ramai tokoh- tokoh agama di Malaysia yang terlupa ingin menyebut hukum qazaf, tetapi lebih seronok menyebut "sumpah balas" dari Anwar Ibrahim. 

Sepatutnya, mereka perlu mengeluarkan kenyataan mendesak agar pihak mahkamah syariah mengambil tindakan terhadap Eskay atas kesalahan Qazaf. Ini kerana, tuduhan secara terang itu terpancul dari mulut Eskay dengan menyebut Nama Anwar Ibrahim.

Sumpah tidak semestinya menentukan benarnya dakwaan tersebut, tetapi dalam syariah, kebenaran itu melalui saksi seramai empat orang lelaki yang adil, yang tidak melakukan dosa kecil dan dosa besar. Disamping saksi tersebut melihat dengan mata kepalanya sendiri, bukan melalui video atau CCTV. Bersumpahnya Eskay itu, tidak menyebabkan tergugurnya kewajipan bagi dirinya mendapatkan empat orang saksi. Malahan, dia menyebut nama Anwar Ibrahim disamping bersumpah itu merupakan bukti kukuh bagi mahkamah syariah menangkap Eskay untuk dihadapkan mahkamah atas kesalahan Qazaf.

Tindakan menyuruh Anwar Ibrahim membalas sumpah tersebut merupakan satu perkara yang salah. Ini kerana, ia mampu menghapuskan kandungan maqasid syariah yang terpenting juga, iaitu menjaga maruah. [Sebilangan besar ulama mengatakan penjagaan maruah ini termasuk dibawah penjagaan keturunan, tetapi Al-Qurafi dalam kitab al-Furuq menyatakan penjagaan maruah itu adalah satu kandungan maqasid yang keenam] 

Ada pihak menyatakan dengan cara bersumpah balas dapat menjaga maruah Anwar Ibrahim seperti yang dikehendaki oleh kandungan Maqasid Syariah. Kenyataan ini jika dilihat dari lapisan yang nipis, akan dianggap sebagai benar. Tetapi jika dihayati secara mendalam, ia merupakan perkara yang salah dan boleh disifatkan sebagai mewujudkan perkara baru dalam agama, atau diistilahkan sebagai bidaah.

Ini kerana, dalam maqasid syariah, tidak boleh melakukan satu tindakan dengan tujuan untuk menghilangkan satu kemudharatan, boleh melahirkan kemudharatan yang lain. Dengan maksud, sekiranya Anwar Ibrahim tetap bersumpah juga, ia akan mendatangkan implikasi yang cukup buruk selepas dari itu. Iaitu, implikasi bahawa amat mudah berlaku kejadian tuduhan zina, penjenayah mampu mengelak diri dengan semata-mata bersumpah, hukum qazaf akan jadi hukum yang tidak relevan lagi di minda rakyat Malaysia dan banyak lagi.

Ada pula pihak mendakwa dibenarkan tindakan Anwar Ibrahim bersumpah balas itu dengan merujuk kepada hadis kisah Ifk, iaitu Peristiwa fitnah zina yang berlaku ke atas Sayyidatuna Aisyah. Ini kerana, ketika Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Aisyah bagi mendapatkan kepastian tentang apa yang dituduh.

فخرج صلى الله عليه و سلم حتى أتى منزل أبي بكر فدخل عليها فقال : يا عائشة ان كنت فعلت هذا الامر فقولي لي حتى أستغفر الله لك فقالت : والله لا أستغفر الله منه أبدا، ان كنت قد فعلته فلا غفر الله لي وما أجد مثلي ومثلكم إلا مثل أبي يوسف (يوسف الآية 86 )

Bermaksud : 
"Lalu Rasulullah SAW keluar sehingga sampai ke rumah Abu Bakar dan menemui Aisyah. Baginda berkata : Wahai Aisyah, jika kamu telah melakukan perkara ini katakan padaku supaya aku memohon keampunan kepada Allah bagi kamu. Lalu Aisyah menjawab : Demi Allah aku tidak akan sekali-kali memohon keampunan Allah kerananya, jika aku telah melakukannya, tiada keampunan Allah bagiku, aku tidak dapati diriku dan diri kamu semua kecuali seperti yang berlaku kepada bapa Yusuf (sambil membaca surah Yusuf ayat 86)"

Perlu diperlu diperhatikan pada hadis ini, bahawa sumpah yang dilakukan oleh Aisyah bukan merujuk kepada bersumpah untuk nafikan tuduhan fitnah, tapi ia tidak mahu memohon keampuan kepada Allah.

Jadi, dakwaan boleh bersumpah balas itu dengan merujuk kepada hadis ini adalah salah dari sudut pengadaptasiannya. Malahan, ia merupakan tindakan yang tidak cermat dalam merungkai perkara syariah.

Sekian

Wallahu 'Alam





FIQH JENAYAH SYARIAH, BUKAN FOKUS HUKUMAN TETAPI MENDIDIK

Posted: 01 May 2011 01:32 AM PDT

Seseorang timbul persoalan, jika dilihat hendak capai empat orang saksi bagi mensabitkan kesalahan zina, memang mustahil berlaku. Saksi tersebut pula mesti adil (bukan bekas parti keadilan, tetapi tidak buat dosa kecil dan dosa besar). Jika ikut logik, sampai bila hukuman tidak akan terkena hukuman kepada penjenayah zina. Dan lagi, dengan mudah dilepaskan orang bersalah sekiranya wujud syubhat. Makanya, mudah terselamatlah penjenayah-penjenayah.

Kita memahami syariah tidak boleh dilihat dari sudut akal kita yang maha bodoh, tetapi perlu dilihat kepada hikmat dan tujuan Allah SWT yang maha cerdik. Ekoran itu, dalam Islam ada pengajian Maqasid Syariah, iaitu mengetahui kemuncak tujuan disebalik sesuatu kewajipan syariah.

Dalam qanun jenayah syariah, sesuatu hukuman yang ditetapkan mempunyai dua unsur, iaitu Zajirah dan Radiah; Iaitu mencegah pelaku jenayah dari mengulangi jenayah dan mencegah orang yang lain agar tidak melakukan jenayah sepertimana yang telah dilakukan oleh penjenayah. Fikrah ini berasaskan kepada "nakalan" atau pencegahan dari Allah.

Firman Allah;

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya;
"Pencuri lelaki dan perempuan, hendaklah dipotong tangan-tangan mereka sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan. Ia sebagai pencegahan dari Allah. Allah SWT adalah tuhan yang maha gagah lagi maha bijaksana"

[Al-Maidah : 38]

Perlaksanaan hukuman itu bukan asas yang paling penting. Tetapi yang paling penting adalah pencegahan dari Allah SWT. Ekoran itu, jika mengikut kepada prosedur undang-undang Islam, kita akan dapati bagaimana hukuman tidak berjaya dilaksanakan, tetapi manusia berada dalam kebaikan.

Pernah berlaku di zaman Ali bin Abi Talib, berlaku kes kecurian baju besi kepunyaan Ali. Baju besi itu telah dicuri oleh seorang lelaki yahudi. Apabila Ali mengetahui hal itu, Ali telah menuduh yahudi itu sebagai pencuri. Tetapi yahudi itu mempertahankan dirinya dengan mendakwa bahawa baju besi itu adalah kepunyaannya, bukan kepunyaan Ali.

Pertikaian itu membawa ke mahkamah. Hakim yang mengambil Kes ini adalah Syuraih Al-Qadhi. Apabila mengetahui status kes, Syuraih Al-Qadhi berkata kepada Ali, "Al-Bainah Ya Amir Al-Mukminin (bukti wahai Amirul Mukminin)"

Ali mendatangkan seorang saksi, dan seorang lagi adalah Husaian, iaitu anak beliau yang merupakan cucunda Nabi SAW. Syuraih bertanya, siapakah husain yang dimaksudkan oleh Ali. Amirul Mukminin menyatakan bahawa Husaian itu adalah anak beliau.

Syuraih Al-Qadhi dengan berani menyatakan kepada Ali bahawa anak tidak boleh menjadi saksi untuk seseorang bapa. Lalu membacakan hadis Nabi SAW pernah menyatakan bahawa Husaian adalah pemuda syurga.

Syuraih Al-Qadhi tetap berkeras menyatakan anak tidak boleh menjadi saksi untuk seseorang bapa, waima Husaian itu dijanjikan Allah Sebagai Ahli Syurga. Keadaan ini menyebabkan Ali kalah dalam kes tersebut, dan baju besi itu terpaksa diberikan oleh Syuraih Al-Qadhi kepada Yahudi.

Jika diikut kepada logik, mana mungkin Ali menipu. Jika ikut kepada logik, mana mungkin Syuraih Al-Qadhi tidak mengenali Ali. Tetapi, mengenangkan prosedur penyelesaian kes ini, maka Syuraiah Al-Qadhi terpaksa memberikan baju besi itu kepada Yahudi tersebut.

Tindakan itu menyebabkan Yahudi itu kagum dengan keadilan Islam. Akhirnya, yahudi itu memeluk islam, dan baju besi itu dihadiah oleh Ali kepada Yahudi terbabit.


Dari ini, hendaklah kita fahami bahawa dalam Qanun jenayah syariah, hukuman dikenakan kepada penjenayah bukan fokus yang paling utama. Tetapi fokus utamanya adalah bagaimana dengan prosedur dan hukuman itu dapat mendidik manusia untuk menjadi baik.

Alangkah indahnya Syariah Islam…

Sekian

Wallahu 'Alam

IMPLIKASI JIKA ANWAR BERSUMPAH DAN TIDAK BERSUMPAH

Posted: 30 Apr 2011 11:30 PM PDT

Implikasi Anwar bersumpah, positifnya hanya dapat meredakan serangan UMNO/BN kepada Pakatan Rakyat. Tetapi dari sudut negatifnya, cukup banyak. Antaranya adalah, selepas ini amat mudah berlaku kejadian tuduhan zina, penjenayah mampu mengelak diri dengan semata-mata bersumpah, hukum qazaf akan jadi hukum yang tidak relevan lagi di minda rakyat Malaysia dan banyak lagi.

Adapun masalah hak maruah Anwar Ibrahim, ia tidak boleh diselesaikan dengan sumpah balas, tetapi hendaklah diselesaikan dengan hukum qazaf yang termaktub dalam Al-Quran.

Jadi, secara peribadi aku tidak bersetuju dengan pendapat sebilangan ilmuan-ilmuan Islam yang meminta Anwar Ibrahim bersumpah balas. Sepatutnya, ilmuan-ilmuan Islam perlu memikirkan implikasi perundangan syariah selepas Anwar sumpah balas. Ia akan melahirkan "gelak ketawa geng mahkamah sivil" sahaja. 

Malahan, sebagai ilmuan islam dalam negara, mereka sepatutnya mendesak pihak mahkamah syariah agar lebih cergas dan wajib bertindak segera terhadap tuduhan zina ini atas hukum qazaf bagi mengelak berlaku kekacauan dan kerancuan fiqh jinayah pada hari ini.

Sekian

Wallahu 'Alam


KALAU IKUT UNDANG-UNDANG ISLAM

Posted: 30 Apr 2011 10:20 PM PDT

Apabila eskay menyebut terang-terang nama Anwar Ibrahim sebagai pelakon dalam video seks bersekali dengan sumpah laknat di khalayak umum (Masjid Amru bin al-as, Bandar Baru Sentul), maka ia sudah melayakkan eskay di tangkap oleh polis menurut hukum jinayah syariah. Lalu, dia hendaklah dihadapkan dihadapan hakim mahkamah, lalu diminta dia datangkan empat orang saksi yang adil yang melihat perlakuan seks itu secara live (dengan mata kepala) sepertimana melihat masuknya kayu celak ke dalam botolnya.

Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia disebat sebanyak lapan puluh kali rotan seperti yang termaktub dalam al-Quran dari surah an-Nur ayat 4. Adapun jika dia mampu mendatangkan empat orang saksi, maka pihak hakim perlu meminta respon dari Anwar Ibrahim.

Sekiranya Anwar mengakui, maka dia dikenakan hukuman zina, iaitu rejam sampai mati. Ini kerana, beliau telah merasai jimak yang sah. Adapun jika Anwar tidak mengakui malah mengingkarinya, maka wajib hakim mendesak agar Anwar bersumpah.

Apabila Anwar Ibrahim bersumpah, maka gugurlah hukuman rejam pada diri anwar. Begitujuga, hukum qazaf gugur dari eskay. 

Ini kerana, Nabi SAW ada bersabda, "tinggalkan hudud sekiranya wujud syubhat"

Adapun dakwaan menyelesaikan kes ini dengan cara mubahalah, sama ada atas nama penyelesaiakan konspirasi politik atau tidak, maka itu adalah perkara-perkara baru dalam agama, dikira sebagai bidaah yang sesat lagi menyesatkan.

Sekian

Wallahu 'Alam.

Tiada ulasan: