Rabu, 20 April 2011

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


`SUSU DIBALAS TUBA' - MENGAPA KITA SAKIT HATI BILA KAUM CINA BERSATU ?

Posted: 20 Apr 2011 10:00 PM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

PEPATAH `Susu Dibalas Tuba' yang diperkatakan oleh PERKASA terhadap DAP boleh dijadikan bahan ketawa oleh golongan cerdik pandai. Apa kata jika kaum Cina mengatakan bahawa selama ini kebanyakan mereka hanya mendapat `tuba' bukan `susu'?

Apakah PERKASA ingat di negara ini semua kaum Cina hidup mewah? Mungkin ada beberapa kerat yang dapat `susu' yang terdiri dari kroni-kroni puak tertentu termasuk beberapa taukeh judi yang kaya raya. Mengapa kita perlu sakit hati bila kaum Cina lebih cerdik dari kita berpolitik?

Saya mengulas isu ini setelah membaca laporan yang disiarkan di dalam Malaysiakini, "Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) cawangan Sarawak mendesak kerajaan BN supaya jangan keterlaluan melayan tuntutan kaum Cina yang didakwanya sanggup "membalas susu dengan tuba".

NONE"Sejak PERKASA dilancarkan di Sarawak, ia tidak pernah mempersoalkan sebarang tuntutan kaum Cina demi menghormati Gagasan 1Malaysia dan demi keharmonian negeri Sarawak dengan memberi pengorbanan dan toleransi yang amat tinggi dalam hal ini. "Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi DAP harus dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan oleh kaum Cina jika kaum pribumi Sarawak menidakkan semua tuntutan kaum Cina," katanya (Malaysiakini).

Jika kaum Melayu masih ramai yang buta di dalam berpolitik, yang langsung tidak peka kepada untung nasib orang Melayu yang semakin tertekan, masalah harga barang yang semakin tinggi, masalah pendidikan, agama, sosial dan sebagainya maka mengapa kita sakit hati atau dengki dengan kaum Cina yang bijak berpolitik itu? Sepatutnya kita belajar dari mereka bagaimana untuk bersatu meruntuhkan keegoan pemerintah yang tidak peduli akan nasib rakyat? Mengapa kita harus terhutang budi dengan sehelai kain pelekat atau kain batik?

Memang kaum Cina lebih pasif di dalam menunjukkan ke arah mana mereka di dalam politik, sebab itu sukar untuk kerajaan menafsirkan sokongan mereka. Namun demikian, walaupun mereka pasif tetapi akal mereka ligat memikir yang mana satukah parti yang benar dan yang mana satukah parti yang selalu menipu. Berbeza dengan kaum Melayu yang jelas begitu aktif berpolitik dan mudah dibaca arah sokongan mereka. Tetapi, kaum Melayu sering tidak menggunakan akal untuk menilai yang mana benar atau tidak.

Tidak hairanlah amat sukar untuk kita melihat kaum Cina bercerita soal video seks yang kebanyakan kaum Melayu sibuk bercerita di kedai-kedai kopi. Bagi kaum Cina, isu tersebut tidak membantu kehidupan rakyat apatah lagi mereka tahu isu tersebut hanyalah fitnah dan bohong semata-mata.

Ingin saya peringatkan PERKASA agar tidak menyalahkan kaum Cina kerana kebijaksanaan mereka berpolitik, tetapi PERKASA kena selidik mengapa terlalu mudah kaum Melayu diperkotak-katikkan oleh pemimpin yang kununnya berjuang untuk Melayu ini. PERKASA juga harus buktikan bahawa selama ini kaum Cina yang mana mendapat `susu' dan yang mana mendapat `tuba'. Jika kerajaan sendiri yang memberi `tuba' kepada rakyat, mengapa pula kaum Cina mahu disalahkan?/wfauzdin.blogspot.com

TIMB PRESIDEN PAS - MAT SABU BAKAL PENCETUS `REVOLUSI'?

Posted: 20 Apr 2011 07:00 PM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

SEBELUM ini saya ada menulis tentang perlunya Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dikekalkan sebagai Presiden PAS di dalam pemilihan parti Jun nanti. Memang ada beberapa kelemahan yang terdapat di dalam kepimpinan beliau tetapi pada saya ianya boleh diatasi sekiranya beliau mempunyai Pembantu yang lebih `vokal' di dalam merealisasikan hasrat PR untuk ke Putrajaya.

Pembantu yang saya maksudkan itu adalah Timbalan Presiden dan juga Naib Presiden yang lebih serius, bijak dan mudah bekerjasama di dalam satu Pakatan. Saya masih mengharapkan agar Husam Musa berada di sisi Presiden PAS, namun Husam Musa awal-awal lagi sudah tarik `hand brake' untuk bertanding jawatan nombor dua itu. Justeru itu, saya berfikiran bahawa tiada pilihan lain untuk mengantikan Husam Musa yang boleh diharapkan membantu Presiden kecuali Mohamad Sabu.

Dalam pemilihan parti dua tahun lalu, Mohamad Sabu tewas kepada penyandangnya Us Nasharuddin Mat Isa, dalam pertandingan tiga penjuru. Seorang lagi calon ialah Husam Musa.
husam musa mat sabu nasharuddin mat isa 220409Us Nasha mendapat 480 undi, Husam (281) dan Mat Sabu pula memperolehi 261 undi. Tokoh aktivis yang popular sebagai 'Abang Mat' itu kini layak untuk bertanding jawatan tersebut selepas mendapat tiga pencalonan dari Kubang Kerian, Bukit Bintang dan Muar.

Sekiranya di dalam pemilihan yang lalu hanya berlaku pertandingan dua penjuru samada Husam Musa atau Mat Sabu sahaja yang berdepan dengan Us Nasha, saya meramalkan agak sukar untuk Us Nasha berada di kerusi nombor dua seperti sekarang. Apabila berlaku pertandingan 3 penjuru, maka pecahan undi berlaku dan keputusan berpihak kepada Us Nasha.

Penggal Us Nasha telah pun hampir berakhir dan ahli-ahli PAS terutamanya boleh menilai adakah Us Nasha berjaya membantu Presiden PAS di dalam meningkatkan sokongan rakyat kepada PAS serta memberi impak yang besar kepada kesatuan dan kekuatan Pakatan Rakyat. Jika majoriti ahli PAS menganggap bahawa Us Nasha masih berupaya membantu Presiden, maka tidak mustahil Us Nasha masih menjadi pilihan.

Kehebatan Mat Sabu bukan sahaja kepada keberanian dan kekuatan pidatonya, tetapi beliau dilihat begitu rapat dengan kepimpinan DAP terutamanya Lim Guan Eng. Sememangnya DAP sering `bercakaran' dengan PAS di dalam isu yang melibatkan hukum Islam yang mahu diperjuangkan oleh PAS. Walaupun begitu, tentangan dari DAP terhadap PAS tidak begitu serius sehingga boleh mengakibatkan perpecahan DAP - PAS. Oleh kerana itu, kehadiran Mat Sabu yang dilihat intim dengan beberapa kepimpinan utama DAP amat diperlukan agar `percakaran' di dalam beberapa isu boleh dikurangkan.

Keperibadian Mat Sabu juga amat disenangi oleh berbagai golongan tua dan muda terutamanya di luar bandar. Cara pidatonya yang lantang, berfakta dan mudah difahami serta diisi dengan jenaka begitu menusuk hati yang mendengarnya. Beliau bukan seorang ustaz, jauh sekali Ulamak tetapi beliau tetap tegas di dalam memperjuangkan dasar PAS. Kehebatan Mat Sabu tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Ketua Umum PKR DS Anwar. Tidak menghairankan jika Mat Sabu kerap kali dijadikan mangsa, ditahan, dilokap, dipukul dan beliau juga pernah difitnah dengan isu khalwat suatu ketika dahulu.

Memang tepat jika Mat Sabu diberi peluang untuk berada di kerusi nombor dua di dalam PAS memandangkan PAS kini berdepan dengan politik yang lebih mencabar. Cabaran terbesar PAS adalah menghadapi `musuh dalam selimut' yang sentiasa berusaha agar PAS berjuang bersendirian tanpa rakannya DAP dan PKR. Musuh-musuh ini akan terus berusaha untuk meretakkan hubungan di antara PAS dengan DAP dan PKR, di dalam masa yang sama cuba untuk membawa PAS kembali ke dalam `selimut Umno'.

Cabaran ini lah yang saya rasa boleh diatasi sekiranya Mat Sabu digandingkan dengan Presiden PAS nanti. Mana tahu, sekiranya demokrasi di negara ini tidak lagi terpakai atau disalahgunakan, maka stail kepimpinan seperti Mat Sabu boleh mencetuskan `revolusi' untuk kebangkitan rakyat. Maka, apa salahnya?/wfauzdin.blogspot.com

PENANGAN BOB LOKMAN DI KUANTAN

Posted: 20 Apr 2011 10:52 AM PDT

KUANTAN, 20 April - Program ceramah umum bersama bekas Pengacara dan Pengkritik Tetap Raja Lawak Astro, Bob Lokman (foto) di Putra Balok semalam telah berjaya menarik perhatian ramai peminatnya.

Malah, sebahagian besar mereka yang hadir terdiri daripada generasi muda dari beberapa buah Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di bandar ini. Bob Lokman memulakan ceramah sekitar jam 11.10 malam selepas Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh memulakannya.

Ceramah beliau yang julung kalinya di kawasan ini telah berjaya menarik perhatian orang ramai yang hadir. Sebahagian besar dari kalangan mereka, masih tidak percaya dengan tindakan artis tersebut tiba-tiba berjuang dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS). Namun, itulah takdirnya dan Bob berjaya mencuit hati orang ramai dengan celoteh bersahajanya yang dilihat agak tertib dan bersopan.

Dalam ceramahnya semalam, Bob banyak menyentuh tentang soal iman dan takwa. Beliau juga menyeru hadirin yang hadir agar menyampaikan ilmu yang diperolehi pada malam itu kepada rakan-rakan yang lain terutamanya orang UMNO. "Saya rasa antara tuan-tuan dengan saya tuan-tuan lebih banyak hadir ke ceramah. Mungkin lebih dari 200 kali. Tetapi, berapa banyak ilmukah yang telah tuan-tuan sebarkan kepada rakan-rakan yang lain dikalangan UMNO?", tanya Bob kepada orang ramai. "Amatlah rugi bila ilmu yang bermanfaat itu tidak disebarkan, saya harap tuan-tuan akan memulakannya pada malam ini", kata beliau.


Bukti, sebahagian besar generasi muda telah berada di hadapan pentas

"Kerajaan yang ada pada hari ini ternyata gagal mendidik manusia ke arah keimanan dan ketakwaan. Unsur hiburan terus disogokkan kepada generasi muda dan inilah yang saya lalui selama ini. Buka Astro ada Akademi Fantasia, bukan TV3 ada Mentor, buka TV1 ada Bintang Klasik malah termasuk juga Bintang Kecil serta lain-lainnya. Inilah yang menyebabkan generasi muda akhirnya rosak akhlak dan akidah mereka. Media yang ada tidak digunakan untuk membawa manusia ke arah agama Islam yang sebenarnya", tambah Bob Lokman lagi.


Peminat Bob berpusu-pusu bergambar dan dapatkan tandatangannya

Ust. Suhami, Ust.Nasron (YDP PAS Indera Mahkota) dan YB Fuziah (PKR)

Sebahagian diantara ribuan rakyat yang hadir dalam ceramah umum itu

[Secara keseluruhannya mesej yang ingin disampaikan oleh Bob Lokman itu jelas dapat diterima oleh orang ramai yang hadir. Malah, selepas ceramah, beliau telah dikerumuni oleh ramai anak muda yang mahu mendapatkan autograf dan bergambar dengannya. Dalam pada itu, difahamkan sebelah petangnya satu majlis jamuan Hi-Tea juga telah diadakan di lokasi berhampiran dan beliau juga dikatakan telah menyampaikan tazkirah Maghrib di sebuah surau dekat Kempadang sebelum itu. Kehadiran Bob Lokman dilihat berjaya menarik perhatian ramai pihak, malah terdapat juga dikalangan mereka yang merupakan penyokong tegar UMNO turut hadir. Apapun syabas dan tahniah kita ucapakan kepada Bob, semoga beliau terus konsisten untuk menyebarkan dakwah Islamiah kepada seluruh umat Islam di negara ini. Tambahan pula, khabarnya beliau kini menerima begitu banyak undangan ceramah di seluruh negara. Jadualnya cukup ketat sehingga bilan Jun 2011 ini. Semoga masa depannya akan lebih bersinar lagi tatkala bersama perjuangan Islam di bumi Malaysia tercinta ini]./PahangDaily

TUKAR PRESIDEN PAS, TUAN GURU NIK AZIZ SOKONG HJ HADI ?

Posted: 20 Apr 2011 08:19 AM PDT

Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS. Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya. Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.

Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya.

Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi. Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.

Sekian, wassalam.

YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS
Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

VIDEO SEKS - HARI INI JAM, ESOK CINCIN, LEPAS ITU SAPU TANGAN

Posted: 20 Apr 2011 12:32 AM PDT

AG harus tumpu kepada fitnah Datuk T, kata Johari

Apr 20, 11

Gandingan trio 'Datuk T' harus menjadi fokus utama Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung video seks yang cuba dikaitkan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata ahli parlimen Sungai Petani Johari Abdul.

NONE'Datuk T' iaitu bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Easky Abdullah dan bekas Bendahari PERKASA Datuk Shuaib Lazim mengaku mendalangi tayangan video lucah itu di Hotel Carcosa pada 21 Mac lalu.

"Soal dia (Eskay) mahu heret isu jam, hari ini cerita jam, esok cincin, lusa tali pinggang, tulat sapu tangan… Manakan boleh kita mahu jawab semua ini. Sebab itu kalau polis merasakan ada (keperluan untuk) siasatan maka siasat sahaja. Bukan sahaja jam, tapi apa jua yang perlu disiasat," kata Johari (kiri) dalam wawancaranya dengan TV Selangor, petang semalam.

"Tetapi itu episod kedua selepas Peguam Negara dan polis mengambil tindakan jenayah atas fitnah dan ugutan yang dilemparkan," katanya.Peras ugut

Johari berkata Anwar sendiri tidak keberatan jika pihak berkuasa menjalankan siasatan telus untuk mengenal pasti pelaku dalam video berkenaan namun perkara pokok ialah tindakan fitnah dan peras ugut oleh Datuk T.

azlan"Jangan lari daripada isu di mana tiga orang ini telah melakukan jenayah. Rahim dan Eskay mengaku terlibat, perlu ambil tindakan perkara itu dahulu. Kita tidak mahu defensif. Kalau mahu siasat maka teruskan, sebab Anwar kata bukan dia. Kalau bukan dia, tentu orang lain. Guna apa sahaja undang-undang tiada masalah," kata Johari lagi.

Johari adalah ahli parlimen pertama diundang oleh Rahim menonton rakaman itu. Beliau mendakwa selepas menyaksikan video berkenaan Rahim memintanya untuk memujuk wakil rakyat PKR lain supaya keluar dari parti itu.


NONE

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata trio 'Datuk T' kemungkinan akan didakwa mengikut Sekyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah apabila mengaku menjadi dalang penayangan video seks terbabit.

Namun keputusan muktamad akan dibuat oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (kiri).

Johari berkata, tindakan polis seharusnya berlandaskan undang-undang dengan pengakuan ketiga-tiga individu terbabit dijadikan asas penangkapan bersandarkan laporan yang dibuat oleh Anwar sebagai mangsa fitnah.Qazaf


Beliau turut menyarankan agar ketiga-tiga individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Keselamatan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 bersabit Qazaf.Akta itu memperuntukkan mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan.

azlanJelasnya lagi, kabinet pimpinan Perdana Menteri Najib Razak dilihat teragak-agak dan terikat kepada pertimbangan politik sama ada untuk mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga individu terbabit.

"Ini adalah isu berprofil tinggi. Saya rasa kerajaan di bawah pimpinan Datuk Najib harus menghadapi hakikat bahawa jika anda tidak ambil apa-apa tindakan, rakyat tetap akan buat keputusan. Lebih baik anda ambil tindakan. Apa yang kita minta adalah tindakan yang berlandaskan undang-undang," katanya./Malaysiakini

Tiada ulasan: