DAP: Suasananya umpama Pulau Pinang sebelum BN tumbang Posted: 12 Apr 2011 06:22 AM PDT Suasana Sarawak kini umpama Pulau Pinang sebelum kerajaan Barisan Nasional tumbang pada 8 Mac 2008, kata Liew Chin Tong, ahli parlimen Bukit Bendera merangkap Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya DAP. Bagaimanapun, beliau berkata DAP memerlukan sokongan Iban yang melebihi paras 30% untuk memenangi kesemua 15 kerusi DUN yang dipertandingkan. Hanya peralihan sokongan Iban kepada DAP akan meningkatkan peluangnya untuk memenangi 15 kerusi yang dipertandingkan, kata Liew Chin Tong ketika mengulas kenyataan SUPP bahawa seandainya DAP memenangi 15 kerusi yang dipertandingkan, maka kesemuanya dalah kawasan majoriti Cina. "Kami memerlukan sekurang-kurangnya 25% atau 30% undi Iban, barulah kami menaruh harapan untuk mengambil 15 kerusi. Malah di Sibu, seandainya kami tidak mempunyai lebih daripada 30% undi Iban, kami gagal menang keempat-empat DUN di bawah Sibu," ulas Liew Chin Tong. Menurut Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng yang juga calon DUN Bukit Assek, DAP memperolehi sokongan kira-kira 22% daripada pengundi Iban dalam PRK Sibu 2010, maka mereka masih memerlukan 8% untuk memenangi kesemua 15 kerusi. Ahli parlimen Sibu ini berkata, mereka mendapat sambutan yang agak baik dari kawasan orang asli, jadi tidak menolak kemungkinan bahawa sokongan terhadap DAP akan meningkat. Sokongan Iban untuk PKR juga meningkat Seandainya DAP mampu meningkatkan sokongan Iban kepada 30% atau lebih, maka undi kepada PKR berkemungkinan lebih daripada DAP. "Jikalau DAP mampu mendapat 30% undi Iban, maka DAP bukan hanya menang di kawasan Cina. Dan kerusi lain BN juga akan tumbang. Dengan kata lain, penafian dua pertiga atau membentuk kerajaan baru di Sarawak menjadi sesuatu yang mungkin," kata Liew Chin Tong. Liew (gambar kanan) menambah, tempoh kempen PRN kini memasuki hari keenam, dan suasananya seolah-olah Pulau Pinang sebelum tsunami politik melanda pada 8 Mac 2008. Pada ketika itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Koh Tsu Koon tidak tahu untuk melantik siapa sebagai penggantinya, dan keadaan inilah yang sedang dihadapi Taib Mahmud sekarang.
Beliau berkata, Taib tidak tahu bagaimana untuk berundur, gagal menentukan penggantinya, malah tidak menentukan masanya walaupun digesa Perdana Menteri. Jadi, PR perlu menafikan majoriti dua pertiga atau menumbangkan BN, barulah Taib Mahmud boleh berundur dari jawatannya. Selain itu, ketika ditanya isu Baru Bian sebagai Ketua Menteri seandainya PR menang dalam PRN Sarawak, Wong Ho Leng berkata, rancangan mereka kekal, iaitu Baru Bian tetap calon utama seandainya PR berjaya membentuk kerajaan negeri. Namun demikian, Baru Bian perlu juga menang di kawasan DUN Ba'kelalan. "Jikapun kami (DAP) menang 15 kerusi, kita masih memerlukan 21 kerusi lagi. Jika DAP mendapat 15 kerusi, PKR 15, kami masih memerlukan enam kerusi dari PAS. Namun kemungkinan ini rendah." Wong berkata PKR perlu memenangi kerusi yang lebih daripada DAP untuk Baru Bian menjadi Ketua Menteri. Bagaimanapun, beliau enggan menyebut "mustahil", sekadar berkata, "Kami telah bersedia." SUPP cuba raih undi simpati Wong Ho Leng seterusnya berkata, SUPP sendiri mengakui bahawa keadaan mereka semakin meruncing, melalui iklan yang dimainkan. Wong berkata SUPP kini cuba meraih undi simpati daripada khalayak umum, termasuk menangis ketika berucap. Wong (gambar kiri) cuba menenangkan orang Cina bahawa hak mereka tidak tergugat, walaupun calon SUPP kecundang. Beliau mengambil contoh bagaimana negeri Perak yang sebelum ini dimenangi DAP di 18 kawasan Cina. Akhirnya, tujuh EXCO keturunan Cina dilantik dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Selepas rampasan kuasa berlaku, MCA-BN yang hanya memenangi satu kerusi dijadikan EXCO keturunan Cina yang tunggal dalam kerajaan negeri BN di Perak. Dasar yang mesra kepada komuniti Cina sebelum ini tidak terjejas, kerana BN sedar bahawa komuniti Cina adalah kingmaker. *Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal. |
BN Didakwa Guna Provokasi Agama Di Sarawak Posted: 12 Apr 2011 06:02 AM PDT
KUCHING 12 APRIL : Barisan Nasional dikatakan mula membakar sentimen perkauman dan keagamaan rakyat Sarawak dalam cubaan terdesak mencari sokongan dengan kempen pilihanraya negeri yang cuma tinggal empat hari lagi. Kain rentang tertera "Kalau undi PKR bermakna undi negara Islam" dan "Mengundi PKR adalah mewujudkan negara Kristian" dilaporkan kelihatan di beberapa tempat di sekitar Sarawak untuk menghakis sokongan rakyat terhadap Parti Keadilan Rakyat. Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli hari ini menggesa BN untuk menghentikan kempen provokasi sedemikian kerana ia adalah "taktik murahan yang membahayakan rakyat Sarawak sendiri." "Jika BN ikhlas tidak mahu rakyat tunduk kepada sebarang provokasi, maka BN sendiri harus berhenti menggunakan agama dan kaum untuk menakut-nakutkan mereka,' tegas beliau. Rafizi berkata PKR akan terus berkempen seperti biasa dengan memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan. Pada masa sama, ceramah penerangan juga terus memberi fokus kepada kepincangan Sarawak akibat 30 tahun pemerintahan Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud. Rafizi berkata Taib yang menegaskan beliau akan terus memerintah Sarawak untuk jangka masa terdekat, jelas tidak mahu melepaskan kerusi Ketua Menteri walaupun menerima isyarat daripada Perdana Menteri untuk berbuat demikian. Pendirian bercanggah yang dibuat oleh dua pemimpin itu menimbulkan persoalan siapa yang memimpin kempen BN di Sarawak. "Dia (Taib) kata: dia memerlukan dua sehingga tiga tahun untuk berundur."Kita (PKR) dari awal-awal lagi menganggap Taib tidak akan berundur kecuali rakyat mengubah pemerintah,' kata Rafizi. Rafizi berkata jika ikhlas, Taib harus mengumumkan tarikh baru beliau akan berundur setelah gagal melaksanakan janji untuk meletak jawatan pada tahun 2000. Dalam pada itu, Rafizi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk berani menyiasat BN bersabit perbelanjaan parti itu pada pilihanraya negeri ini. "Dah terlalu banyak (perbelanjaan Barisan Nasioanl) sehingga tidak terhitung oleh kami. Rakyat boleh menilai sendiri. Kalau layak untuk masuk ke Malaysia Book's of Record, harap Barisan Nasional boleh usahakan, kata beliau. Selain itu, Rafizi turut mempersoal peranan pasukan Taib dalam menggodam Free Radio Sarawak dan sesawang Sarawak report yang menjadi sumber bertia alternatif bagi rakyat negeri ini. Beliau membidas BN kerana mengekang sumber-sumber maklumat yang memerinchi dasar-dasar BN di bawah Taib untuk Sarawak. "Apakah mereka (pentadbiran Taib) bertanggungjawab atas serangan sehingga melumpuhkan radio Sarawak dan sesawang Sarawak Report," tanya beliau lagi. "Jangan mengambil tindakan keras dengan halang media-media ini," beliau menambah. |
Bridget Welsh:Musim bunga di Sarawak? Posted: 12 Apr 2011 06:00 AM PDT Bridget Welsh | Semasa angin perubahan menggoncang Timur Tengah daripada Tunisia ke Yemen, ramai yang berpendapat bahawa perkara tersebut tidak akan berlaku di Malaysia. Kerajaan BN yang mempunyai rekod pentadbiran yang baik, dengan semua ketidakseimbangan dalam lapangan pertarungan, telah mengadakan satu pilihanraya yang kompetitif.
Namun, dengan berlangsungnya kempen di Sarawak, ia semakin jelas bahawa perubahan sedang berlaku. Pentadbiran 30 tahun Abdul Taib Mahmud yang sama panjang dengan kekuasaan regim Hosni Mubarak sudah memberi inspirasi yang tidak pernah dilihat di bumi kenyalang.
Dengan rekod jumlah pengunjung ke ceramah di seluruh pelusok negeri, pintu perubahan sudahpun terbuka, dengan Perdana Menteri Najib Razak menyuruh semua anggota kabinet turun berkempen di Sarawak yang sudah menjadi satu ujian kertas litmus negara yang penting.
Pilihanraya ke 10 Sarawak bakal menjadi medan ujian yang sebenar selepas Mac 2008 samada Malaysia bakal menyaksikan satu lagi musim bunga atau membantutkan angin perubahan.
Hilang kepercayaan terhadap pimpinan Sarawak
Terdapat beberapa persamaan yang penting antara Sarawak dan Timur Tengah selain tempoh kekuasaan kepimpinan yang lama. Yang paling ketara ialah ketidakpuashatian yang semakin mendalam terhadap pimpinan negeri di mana semakin banyak rakyat Sarawak telah hilang kepercayaan terhadapnya.
Dengan keputusan Taib Mahmud untuk bertanding dan tidak menawarkan satu pelan pemindahan kuasa yang nyata, fokus tetap terpaku kepada keperibadian dan kekayaan keluarganya. Usaha untuk menyekat laman Sarawak Report sudahpun terlalu lewat.
Dengan ramai yang masih tetap setia kepada Taib, terutamanya dari golongan Melayu/Melanau dan pada tahap yang lebih rendah di antara beberapa komuniti Iban, isu rasuah dan nepotisme telah menjadi fokus utama sehingga menjadikan ianya pusat berbanding dengan keadaan di pilihanraya negeri 2006.
Isu-isu ini telah dibincangkan di rumah panjang dan kedai kopi secara terang-terangan, dengan rujukan kepada contoh-contoh konkrit yang membolehkan isu-isu tersebut menyerap luas ke dalam masyarakat. Terdapat pengundi yang merasakan dirinya dikhianati dan ditipu sehingga ada pemimpin negara dan BN yang hilang kredibiliti mereka.
Apa yang berbeza ialah perbualan kedai kopi daripada pilihanraya yang lepas ialah skop perbincangan dan peningkatan mendadak terhadap kepercayaan mengenai "excesses" (kelampauan salah tadbir negeri), ialah persis kelampauan.
Keadaan ekonomi yang tidak baik
Masa pilihanraya negeri kali ini tidak memihak kepada BN, dan memberikan lagi kesan terhadap faktor kelampauan. Inflasi tetap pada kadar yang tinggi (lebih tinggi daripada Semenanjung Malaysia), dan kesan pertumbuhan di bawah pentadbiran Najib, contohnya Model Ekonomi Baru (NEM), tidak dirasai pada kadar yang sama.
Pembangunan di Sarawak sudah terbantut untuk beberapa tahun yang lepas, di mana pertumbuhan telah mundur dan pendapatan tidak naik-naik. Manfaat ekonomi negeri dilihat tertumpu pada tangan golongan elit Taib. Ekonomi Sarawak – selain daripada pelancongan dan pembangunan pelabuhan berkaitan dengan gas asli, secara umumnya kurang dinamik.
Bahkan harga komoditi yang lebih tinggi untuk barang-barang seperti minyak kelapa sawit tidak menetes ke bawah dalam cara yang sama seperti Semenanjung Malaysia, kerana ini didominasi oleh syarikat yang menguruskan ladang (banyak di tangan elit politik dan orang dari Semenanjung Malaysia) daripada petani kecil.
Sektor runcit pula tersepit oleh pengurangan pembelanjaan, disebabkan kesinambungan upah rendah, yang tetap berada di tahap rendah mengejutkan dalam sektor perkhidmatan dan pertanian khususnya, dengan pekerja mendapat kurang dari RM500 satu bulan di pasaran pelanggan yang boleh dikatakan sekurang-kurangnya 30 peratus lebih mahal daripada Semenanjung Malaysia.
Isu sekuriti makanan juga telah muncul sebagai masalah, dengan perubahan dalam pengeluaran pertanian dan inflasi, mengurangkan kualiti makanan, terutama di kawasan luar bandar.
Tahap kemiskinan melampau walaupun mungkin telah turun dari tahun 1980, namun pada saat ini kadar kemiskinan relatif tetap tinggi, dengan rekod kedua tertinggi di negara. Jurang antara kaya dan miskin di Sarawak telah meningkat dan bertambah lebih luas - meskipun seseorang percaya hanya beberapa laporan kekayaan elit ahli politik negeri itu - daripada Semenanjung Malaysia.
Kesulitan ekonomi dan perbezaan jauh lebih menonjol dalam pemilihan ini dan ini juga sedang dibicarakan secara terbuka.
Hilangnya rasa takut
Perbincangan terbuka ini telah mula mengubah satu lagi elemen penting yang telah menjadi sebahagian integrasi dari politik Sarawak iaitu rasa ketakutan.
Walaupun ada kebimbangan yang cukup bahawa proses pungutan suara tidak rahsia (yang difahami dalam masyarakat penduduknya lebih sedikit), ada juga kesediaan yang lebih tinggi untuk keluar dan berkumpul, dan, seperti yang berlaku di jalanan di Kaherah, dinamik ini sedang mendapat momentum.
Banyak pemilih, yang berdiam diri dalam menunjukkan kesetiaan mereka kepada pihak pembangkang, yang mendapat keberanian untuk menghadapi kesan sampingan dan menghadiri perhimpunan. Mereka memberikan sokongan kewangan di beberapa bandar yang menyamai sumbangan tahun pilihan raya Mac 2008.
Sementara BN yang menunjuk ke arah ketidakstabilan - mengingatkan pada pilihanraya 2001 selepas 11 September - ini tidak mempunyai kesan sama sekali, kerana pemilih di Sarawak seperti di Mesir, lebih bersifat engkar.
Kempen Internet lebih dinamik
Ini kerana sebahagian daripada alasannya berkaitan dengan sumber-sumber maklumat baru, iaitu akses pada sumber maklumat alternatif. Blog, website seperti Malaysiakini, YouTube dan banyak lagi telah menjadi sebahagian integral daripada kempen pilihanraya. Ini tidak berlaku dahulu, bahkan pada Mac 2008.
Kempen siber sangat panas, bahkan mungkin lebih panas daripada rally ceramah. Adalah penting untuk menghargai bahawa penetrasi internet di Sarawak jauh lebih terhad daripada Semenanjung Malaysia, di mana ia hanya tertumpu di bandar-bandar besar. Maklumat walaupun secara tapisan tersebar ke daerah semi-luar bandar dan luar bandar, akan tetapi secara perlahan-lahan dan tanpa impak yang besar sehingga sampai saat ini.
Ironisnya, ini adalah situasi di Timur Tengah juga, kerana perkongisan maklumat hanya tertumpu di kawasan bandar. Golongan kelas menengah dan profesional itu merupakan saluran yang amat penting dan pemimpin perbincangan, dan dinamik ini tampaknya akan bermain di Sarawak juga.
Peranan diaspora yang kritikal
Kesamaan terkini sebagai faktor penentuan melibatkan peranan penting dari diaspora (penduduk Sarawak di luar kawasan) Sarawak. Ada sekurang-kurangnya 300,000 pengundi Sarawak berada di luar negeri. Majoriti yang keluar kerana kurangnya peluang pekerjaan dan mereka tertumpu di Singapura dan Kuala Lumpur.
Mereka telah mengikuti pilihanraya kali ini dari jauh, memberikan sokongan dan kepulangan mereka untuk memilih akan menjadi faktor penting dalam membentuk keputusan di kawasan-kawasan yang sengit. Berapa ramaikah mereka yang akan kembali bakal menjadi penentuan dalam keputusan akhir.
Masalah yang sama juga bermain di dalam negeri, di mana pemilih muda di Kuching, Miri dan Bintulu akan membentuk kempen masyarakat luar bandar (apabila mereka pulang).
Pertandingan yang amat sengit
Walaupun perkara-perkara di atas menunjukkan gelombang ke arah perubahan, terdapat beberapa lagi cabaran penting yang membuatkan pilihanraya kali ini sebuah pertandingan yang paling kompetitif dalam sejarah Sarawak. Kemenangan pembangkang pada tahun 2006 dimenangi dengan margin yang sangat kecil, dan jumlah kecil keseluruhan pemilih di konstituensi membuatkan banyak pertandingan menjadi sengit.
Tiada satu pun dari kerusi pembangkang yang "selamat", dengan sengitnya pertandingan kali ini, lebih banyak kerusi menjadi pertandingan terbuka. Hampir separuh daripada 71 kerusi di dalam ruang, dengan jumlah pemilih atas pagar yang sangat tinggi, terutama di daerah Iban dan di kerusi semi-luar bandar. Keputusan di semua kerusi akan ditentukan pada saat terakhir, termasuk setiap kerusi pembangkang.
Jentera dan kewangan BN
BN akan terus bergantung kepada kelebihan tradisinya iaitu sumber kewangan. Jentera BN - termasuk penggunaan jabatan kerajaan – bergerak dengan baik dan BN mempunyai akses kepada kawasan luar bandar, yang membolehkannya mendapat sebuah kawasan selamat – beberapa kawasan yang "pasti" menang.
Wang tersebut telahpun mengalir keluar, dengan rumah-rumah menerima RM1,000, individu RM200 dan individu yang berpengaruh sebanyak RM5, 000. Sebelum ini mereka ini hanya dibayar sebanyak RM20. Apa yang akan menarik untuk dilihat adalah, jika benar wang terus menjadi kuasa penentuan, yang telah terjadi dalam pilihan raya sebelum ini, adalah berapa banyak lagi wang yang perlu disalurkan.
Penyaluran kewangan awal telah dibuat untuk menjadikan ini satu pilihanraya yang mahal. Meningkatnya penggunaan insentif kewangan untuk mendapatkan sokongan memberikan gambaran terhadap cabaran yang sedang dihadapi BN di dalam usaha memperkukuhkan dan dalam beberapa kes untuk mendapatkan kembali kesahihannya. Laungan janji pembangunan di Sarawak nampaknya tidak mempunyai kesan yang sama.
Pada peringkat ini, adalah amat sukar bagi BN untuk mengadakan pilihanraya umum.
Pertalian peribadi dan pertikaian parti
Penerusan budaya 'perlindungan' membezakan musim bunga yang mungkin melanda Malaysia daripada perubahan di Timur Tengah. Di Sarawak, dengan penduduk yang lebih kecil, terutama di kawasan luar bandar, ikatan mereka lebih bersifat peribadi. Ada banyak dalam masyarakat luar bandar yang mempunyai rasa kesetiaan yang kuat kepada Ketua Menteri Taib, kerana hidup dan mata pencarian mereka terikat pada pemerintahannya.
Tidak seperti pertalian akar umbi Umno di kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia yang sudah musnah, hubungan peribadi adalah lebih kuat di Sarawak, dan menghasilkan kesetiaan.
Melintasi jambatan ke tempat yang tidak diketahui – terutamanya dengan ketidakpastian di dalam kepimpinan di segelintir golongan pembangkang – bukanlah langkah yang sanggup harungi oleh banyak pihak. Hal ini memberikan BN kekuatan, meskipun telahpun tercemar.
Salah satu alasan mengapa SUPP sedang menghadapi cabaran untuk mempertahankan nyawa ikannya ialah kerana parti itu telah kehilangan sentuhan peribadi di kawasan bandar. Hal ini tidak menghairankan apabila logo kempen mereka cuba untuk menggunakan daya tarikan ini, walaupun dengan kesan yang terhad sampai saat ini.
Satu lagi elemen hubungan peribadi dalam kempen Sarawak adalah hubungan peribadi calon dengan masyarakat. Calon diketahui, daripada yang bebas kepada menteri-menteri BN. Mereka sangat bergantung kepada sokongan keluarga besar dan persahabatan peribadi. Dalam komuniti kecil, isu-isu ini memainkan peranan yang penting.
Semakin banyak pertikaian dalam sesebuah kerusi tertentu, dengan calon bebas yang mempunyai pangkalan mereka sendiri dan ketidakpuasan hati untuk bertarung, ia akan meningkatkan ketidaktentuan dalam perlumbaan-perlumbaan yang sudahpun sengit. Pertikaian telah menyebabkan PKR, Snap dan PBB bertembung dalam pertandingan tiga penjuru dimana calon bebas turut bertarung. Secara keseluruhan, ini membantu BN dalam tahap yang lebih besar daripada pembangkang.
Politik etnik yang mengerikan
Apa yang membezakan kempen dari yang sebelumnya di luar mobilisasi besar pengundi adalah dari sudut etnik dalam kempen kali ini. Secara tradisinya, dinamik etnik di Sarawak hanya dimainkan di peringkat elit, dengan pertikaian kepimpinan yang jarang diperluaskan ke dalam masyarakat. Sementara itu, walaupun nasionalisme Iban juga penting, ia mempunyai kesan yang kecil pada pilihanraya negeri kali ini.
Sekarang semuanya telah berubah. Pertama, politik perkauman sedang digunakan dalam/daerah Melayu Melanau, dengan alasan bahawa sokongan mereka sangat penting untuk menentukan kedudukan komuniti tersebut dalam kepimpinan Sarawak.
Dengan foto Baru Bian daripada PKR yang diedarkan dan mesej yang halus dihantar dalam kempen, isu 'Ketuanan Melayu' akan mempunyai kesan.
Hujah halus yang disebut-sebut seperti orang Cina tidak setia kerana menyokong pembangkang telah menimbulkan kemarahan beberapa pemilih, yang melihat politik etnik Semenanjung Malaysia telah dibawa ke Sarawak sebagai tidak bersesuaian. Hal ini terjadi pada masa yang sama orang Kristian - Iban, Cina, Dayak dan beberapa orang Melanau – berada dalam keadaan sangat marah atas pengendalian Alkitab dan isu-isu 'Allah'.
Agama telah lebih terjalin dengan etnik dan dalam negeri ini, yang majoritinya Kristian, soalan kebebasan beragama telah menimbulkan riak politik, seperti yang berlaku pada bulan Mac 2008 di Semenanjung Malaysia.
Lebih merumitkan dinamik etnik adalah masalah tanah, yang telah terikat pada marginalisasi yang sedang dirasai masyarakat Iban dan Dayak, dengan mengorbankan masyarakat lain dan pihak luar.
Kurangnya kemajuan dalam masalah-masalah tanah adat mempunyai kesan dalam komuniti tertentu dan masalah ini sahaja memiliki arti-penting di lebih daripada 15 kerusi - dari Ba'Kelalan ke Belaga.
Menjadikan pertandingan seadil mungkin
Yang menarik untuk diamati dalam pertandingan ini adalah apakah pilihan raya akan terus dijalankan dalam keadaan terhormat dan adil. Orang Sarawak secara tradisinya akan mengelak konfrontasi dan polarisasi politik. Sementara wang telah diterima sebagai satu norma, masalah lain seperti proses pemilihan juga telah muncul.
Pemilih inginkan, dan patut diberi, satu pertandingan yang adil. Mereka ingin suara mereka diambil kira. Ura-ura bahawa telah ada pemindahan pemilih antara kawasan mengundi, masalah dengan senarai pemilih, cabaran undi pos, kad pengenalan yang didakwa telah diserahkan untuk pembayaran bagi seseorang untuk mengundi individu tertentu, pembatalan permit polis, tekanan pada pemilik kedai untuk membolehkan perbincangan politik telah meningkatkan kebimbangan mengenai integriti dan pendapat.
Apapun yang terjadi ketika keputusan akhir datang, adalah penting bahawa proses pilihanraya ini kredibel. Ramai rakyat Sarawak berharap bahawa seruan BN untuk berkelakuan baik dalam kempen di Sarawak akan dipanjangkan ke proses pungutan undi juga.
Peranan berkecuali dan profesionalisme di antara pegawai negeri di Malaysia dalam pilihan raya Sarawak, adalah sama pentingnya dengan tindakan kerajaan di Timur Tengah.
Ujian kepimpinan Najib
Pada hari-hari terakhir kempen, PM Najib telah membuat langkah berani untuk melibatkan dirinya dalam pilihanraya kali ini. Kehadirannya di bumi Sarawak lebih daripada perdana menteri yang lain kerana ini adalah pertarungan kalah-mati untuk mendapatkan mandat beliau nanti.
Adalah penting untuk melihat apakah beliau mampu mengalihkan kecemasan terhadap kerajaan negeri dan menyalurkan undi terhadap BN.
Pola bersejarah ini sememangnya menjadi salah satu kekuatan Taib daripada pemimpin BN yang lain. Namun segalanya bertukar tempat di pertandingan kali ini. Satu perbandingan selari boleh dibuat ke Tunisia dan Mesir apabila para pemimpin lain datang untuk mengelakkan pembangkang diarahkan dari arah atas.
Target dan kemungkinan
Cabaran di kedua-dua belah pihak sangat besar kerana pertandingan kali ini mempunyai kepentingan yang lebih besar sebagaimana yang disaksikan dalam kempen yang telah berlangsung. BN, Taib dan SUPP sedang menghadapi referendum penentuan yang akan mempengaruhi masa depan mereka, dan mereka harus memegang majoriti dua pertiga dan sekurang-kurangnya kerusi masing-masing.
Bagi pembangkang, apa jua kemenangan yang melebihi 15 kerusi berbanding tahun 1987 adalah prestasi yang besar. Menghalang BN daripada dua pertiga majoriti walaupun tidak mustahil, namun perjuangan ini amatlah sukar bagi semua pihak, dan keunggulan tetap berada di pihak BN walaupun ramainya yang menyerbu ceramah pembangkang.
Setiap undi adalah penting. Musim bunga masih belum tiba ke Sarawak, tapi dengan perubahan yang berlaku di bumi kenyalang, ia masih berada dalam keadaan serba mungkin. ------------------------------------ Bridget Welsh adalah profesor sains politik di sebuah universiti di Singapura. Tulisan asal berbahasa Inggeris disiarkan dalam laman web Malaysiakini. Terjemahan dibuat oleh Li Fook Gao. |
|
Anwar : Taib Harus Undur, Sistem Pemerintahan Mesti Ditukar Posted: 12 Apr 2011 05:59 AM PDT KUCHING 12 APRIL : Pembaharuan politik yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat adalah untuk menerapkan sistem pemerintahan yang beramanah dan berwibawa di Sarawak , bukan semata-mata untuk menuntut pengunduran Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertukaran pucuk pimpinan harus seiring dengan perubahan dalam sistem pemerintahan yang mencorak dasar sesebuah negara atau negeri.
"Politik ini bukan soal peralihan kuasa. Perdana Menteri dan Ketua Menteri silih berganti tapi yang kita mahu ubah ialah sistem," kata Anwar dalam ceramahnya di Satok.
"Yang kita suruh berhenti bukan Taib seorang, tapi seluruh kekuatan Barisan Nasional Sarawak," tegas Anwar, disahut tepukan gemuruh hadirin yang rata-rata masyarakat kaum Melayu.
Anwar yang berada di Sarawak sejak minggu lalu kini giat menjelajah ke seluruh pelusok Sarawak untuk membantu calon-calon Pakatan Rakyat melakukan kejutan pada pilihanraya negeri Sabtu ini.
Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, PKR meletakkan calon muda, Ahmad Nazib Johari untuk pertandingan satu lawan satu menentang calon veteran BN, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
Abang Johari mempertahankan kerusi itu untuk penggal ke lapan.
Dalam ucapannya, Anwar mengupas soal hak kesamarataan yang dinafikan kepada penduduk Sarawak.
Beliau membidas pemimpin-pemimpin BN yang berjuang atas nama Melayu namun membiarkan kaum itu hidup dalam kedaifan di bumi Sarawak.
Justeru Ketua Pembangkang itu, pengundi Sarawak tidak harus membenarkan BN pimpinan Taib terus-menerus memperlekehkan rakyat.
Beliau berkata masa sudah sampai untuk Sarawak membebaskan diri daripada cengkaman Taib yang selama ini memperalatkan rakyat demi memperkayakan diri.
"Jangan orang lain berani bodohkan dan menjadikan rakyat kuli mereka," tegas Anwar.
Anwar turut isu kitab Injil versi Bahasa Malaysia (Alkitab) yang mencetuskan kemarahan rakyat beragama Kristian kerana setiap penyelesaian yang ditawarkan Umno berpandukan kepada mencari kelebihan politik semata-mata.
Katanya, sejak zaman kebangkitan Islam, penganut islam dan Kristian sering bertolak ansur demi menjaga keharmonian dengan mempercayai prinsip agama masing-masing sekaligus menolak perhambaan keatas umat manusia.
Anwar seterusnya berkata, sekiranya rakyat Sarawak memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah negeri itu pada pilihanraya negeri kali ini, maka perubahan sistem dan dasar kesaksamaan akan dijulang sekaligus mengembalikan hak semua kaum.
"Dia kata kalau Anwar, Tok Guru Nik Aziz kalau perintah beri semua kepada Cina. Itu kempen dia (BN). Saya kata hak dia kita beri, saya tidak bimbang. Saya mahu jawab kalau kami perintah, Insyallah pada ketikanya, kami akan adil kepada Melayu, Cina, Iban dan India," ujarnya lagi.
Pilihanraya negeri Sarawak ke 10 kali ini dijangka sengit berikutan Pakatan Rakyat meletakkan calon pada hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan.
Gagasan itu mensasarkan kemenangan sekurang-kurang 24 buah kerusi bagi menafikan majoriti dua pertiga BN. |
Mesej Khalid Kepada BN : Berpolitiklah Dengan Cara Lebih Matang Posted: 12 Apr 2011 02:40 AM PDT SHAH ALAM 12 APRIL : Populariti negeri Selangor bawah pimpinan Pakatan Rakyat dicemburui Barisan Nasional lalu menjadikan ia sasaran kritikan demi menonjolkan kegagalan pentadbiran di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Itu taktik terbaru yang digunakan Barisan Nasional dalam siri kempen mereka di Sarawak apabila Pakatan Rakyat menjadikan Selangor sebagai negeri contoh kejayaan mereka membangunkan Selangor di bawah konsep 'Merakyatkan Ekonomi Selangor'.
Khalid yang ditemui Tv Selangor hari ini melahirkan kekecewaannya dengan taktik Barisan Nasional itu yang sanggup menyebarkan fitnah dalam memastikan kelangsungan politik mereka.
"Itu adalah satu tindakan terdesak dengan memburuk-burukkan tanpa asas dan fakta yang benar, jadi di Selangor kita lebih matang dengan perkara tersebut, jadi apa yang berlaku ini kita harus mengambil pengajaran dan menjadikan ia sebagai contoh yang tidak harus digunapakai di Selangor dan Malaysia,"katanya.
Terbaru, pada sesi Dialog Bersama Masyarakat Kristian di Kuching semalam, Exco Selangor, Teresa Kok dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendedahkan pelbagai bentuk fitnah yang direka cipta Barisan Nasional sama ada melalui papan iklan mahupun pada akhbar berbahasa Cina untuk memburukkan pentadbiran Pakatan di Selangor.
Antara gambaran buruk yang diberikan ialah kerajaan Selangor dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga lesen penjaja di pasar dan larangan penjualan arak.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Khalid.
Menurut Khalid, beliau akur pelbagai usaha dilakukan oleh parti bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak demi meraih perhatian rakyat, namun katanya biarlah ia dilakukan dengan adil, telus dan tidak menyelitkan elemen fitnah demi menjatuhkan lawan. "Dari segi politik, sudah tentulah kita berpendapat, semua pihak akan bertanding dan pertandingan kita mestilah atas dasar bagaimana ingin membawa pembangunan yang terbaik untuk rakyat, jadi sebab itu bagi saya, apa yang kami mahu tunjukan di Sarawak ialah sejauh mana usaha kita membangunkan Selangor jika dibandingkan dengan pemerintahan di Sarawak yang sudah lebih 40 tahun,"katanya lagi.
Khalid berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat exco di SUK Shah Alam hari ini.
Turut Hadir, Exco Pelaburan, perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Halimah Ali.
Teresa Kok juga turut menyeru BN berkempen dengan cara yang lebih matang dan tidak memutarbelitkan fakta untuk mengaburi mata pengundi.
"Saya ingin menyeru pihak BN agar berkempen khususnya di Sarawak kini, dengan cara yang lebih matang, bercakap benar dan bukannya melaporkan perkara yang salah untuk kepentingan politik berkempen kerana ia jelas satu tipu helah,"katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kebangkitan dan penerimaan rakyat Sarawak terhadap corak pemerintahan Pakatan Rakyat, ia adalah petanda baik kerana rakyat Sarawak kerana tertarik dengan perkembangan di Selangor, kata Khalid.
"Sangat baik, rakyat Sarawak tertarik dengan konsep Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang mana menerusi konsep MES ini kerajaan negeri memberi harapan kepada rakyat bahawa sumber kekayaan negeri akan mengalir terus kepada rakyat dan mereka juga memang menerima baik konsep 'Hasil Negeri Untuk Rakyat' . "Apabila saya berada di Sarawak dan menerangkan konsep ini mereka berharapkan konsep seumpama ini dapat dijalankan apabila pemerintahan baru berjaya ditubuhkan di Sarawak, dan untuk melaksanakannya, rakyat Sarawak perlu memlilih Pakatan Rakyat,"tambah Khalid lagi.
|
Selepas 'You help me' kini 'percayalah saya' Posted: 12 Apr 2011 02:39 AM PDT Harakahdaily
| KUCHING, 12 April: "Percayalah saya, percayalah saya," yang menjadi ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pilihan raya negeri Sarawak kini menjadi mainan pelbagai pihak.
Kata-kata itu menjadi popular dalam pilihan raya negeri kali ini. Semasa pilihan raya kecil Sibu, perkataan popular dari Najib adalah, "You help me, I help you." (Awak tolong saya, saya tolong awak).
Ia merujuk kepada permintaan dari beliau agar pengundi menolong parti beliau iaitu BN dengan mengundi calon BN. Jika mereka berbuat demikian, Najib berjanji akan menolong mereka pula.
Namun, kata-kata Najib ini ditolak oleh pengundi pilihan raya kecil Sibu apabila kerusi BN itu jatuh ke tangan calon Pakatan Rakyat dari DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi.
Wong Ho Leng mendapat 18,845 undi, calon BN dari SUPP Robert Lau Hui Yew 18,447 undi, manakala calon bebas Narawi Haron hanya mendapat 232 undi.
"Najib masih percaya rakyat Sarawak tidak tahu apa-apa dan mudah pergunakan. Saya meminta saudara-saudari semua di Sarawak bangun sekarang dan tuntut apa yang sepatutnya milik kita.
"Cukuplah setakat ini, sementara kita mengucapkan terima kasih kepada apa yang telah dibuat BN untuk kita, tetapi kita tidak patut lacurkan diri kita lagi. Sarawak milik rakyatnya," tulis seorang aktivis Ronnie Charles Klassen dalam Facebooknya. Kini Najib berjanji akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pilihan raya Sarawak apabila mengumumkan akan berada di sini sehingga 16 April. Beliau didakwa telah mengambil alih tunggak kempen BN di Sarawak dari Ketua Menteri, Datuk Patinggi Taib Mahmud. Najib juga mengumumkan, Taib akan melepaskan jawatan Ketua Menteri selepas pilihan raya ini dan dijelaskan oleh Taib, dia akan bersara beberapa tahun lagi. |
|
Angin Perubahan Politik Sarawak Lebih Hebat Dari Tsunami 2008 Posted: 12 Apr 2011 02:37 AM PDT KUCHING 12 April : Angin perubahan yang bertiup kencang di Sarawak dilihat lebih hebat daripada apa yang berlaku ketika tsunami politik pada Pilihan Raya Umum 2008. Malah menurut Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, perubahan landskap politik yang bakal berlaku di Bumi Kenyalang itu adalah 1,000 kali ganda daripada apa yang berlaku semasa PRU12.
"Saya lihat keadaan yang amat menakjubkan di Sarawak. Pendidikan politik kepada rakyat Sarawak yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat benar-benar telah membawa hasil yang di luar jangkaan kita.
"Sama ada perubahan ini akan membawa kepada undi Pakatan Rakyat adalah soalan kedua tetapi apa yang lebih penting kesedaran politik rakyat Sarawak berada pada tahap yang tinggi," kata beliau ketika di temui TV Selangor.
Johari berkata "politik mee segera" dan curahan imbuhan kepada pengundi di negeri ini mungkin tidak lagi dapat membantu Barisan Nasional mengekalkan kuasa mereka apatah lagi kini sentimen anti-Taib amat jelas di seluruh pelusuk Sarawak.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, Kapten Dr M.R. Summugam pula berkata, pengamatan beliau sejak 1994 mendapati penduduk Sarawwak kini sedar mereka sudah mempunyai parti alternatif yang mempunyai kapasiti, pengalaman serta kredibiliti untuk mentadbir negeri ini.
"Ini berdasarkan kepada pentadbiran negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat di Semenanjung yang menjadi model dan rangsangan kepada kebangkitan dan semangat baru untuk membuat perubahan," kata Dr Summugam.
Kata beliau perubahan pemikiran politik rakyat Sarawak adalah satu hukum alam yang pasti berlaku apabila masyarakat tidak lagi boleh menerima kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh BN terhadap mereka sejak 50 tahun lalu. |
Tongkat Langit ...."Saya Tetap Berkuasa Beberapa Tahun Lagi", Kata Taib Posted: 12 Apr 2011 12:45 AM PDT
SHAH ALAM 12 APRIL : Dua puluh empat jam selepas Perdana Menteri Najib Razak memberi jaminan Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan berundur dalam masa terdekat, Ketua Menteri itu tampil memberitahu beliau akan terus menerajui Sarawak untuk "beberapa tahun lagi."
Kenyataan itu di buat oleh Taib di hadapan Perdana Menteri itu sendiri malam tadi pada majlis ceramah di Kuching, empat hari sebelum rakyat Sarawak keluar mengundi memilih kerajaan negeri yang baru.
Dalam responnya, Najib hanya berkata rakyat harus terus mengundi BN dan tidak terpengaruh dengan desakan pembangkang untuk Taib berundur segera.
Taib yang menerajui kerajaan negeri sejak 30 tahun lalu dibelit dengan tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa yang menyaksikan Sarawak yang kaya dengan balak dan minyak tercorot sebagai negeri keempat paling miskin di Malaysia.
"Apabila saya berhenti nanti dalam beberapa tahun (lagi), saya ingin hendak melihat generasi awaklah yang akan menyokong orang yang akan menyambut kuasa daripada saya memelihara Sarawak terus benar-benar maju dan benar-benar mewah sekali," kata beliau pada konsert 1 Malaysia di Padang Merdeka Kuching.
Pada sidang media pagi tadi Taib mengesahkan pihaknya tidak akan mengumumkan sebarang pelan peralihan kerana tidak mahu terperangkap dalam jerat pembangkang. "Kita tidak sebegitu jahil untuk mengumumkan pelan peralihan dan kemudian menetapkan tarikh melepaskan jawatan," kata beliau kepada pemberita.
Selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 21 Mac lalu, Taib berkata, beliau akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya negeri ke-10 ini.
Najib mengulangi jaminan itu ketika kempen pilihan raya dibayangi dakwaan mengenai rasuah dan salah guna kuasa Taib.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika dihubungi Tv Selangor hari ini membidas sikap kedua-dua pimpinan Barisan Nasional itu sambil berkata, tidak ada sebarang kata sepakat pun yang dicapai antara kedua pemimpin BN itu tentang bila Taib akan berundur.
" Ini satu lagi bukti sikap tidak jujur dan ikhlas berhubung isu yang menjadi subjek utama dalam pilihanraya besar Sarawak. Apabila beliau berkata akan berundur dalam beberapa masa namun tidak menyatakan tarikh tertentu sama ada setahun, dua tahun atau lima tahun. " Sungguhpun Perdana Menteri mengatakan ada persefahaman mengenai perancangan pengunduran Taib, tapi sangat jelas bahawa Najib pun tidak tahu bila Taib akan undur," katanya.
Sementara itu, Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan media berkata, Najib sendiri gagal untuk mengawal Taib yang sudah terlalu lama memegang tampuk kuasa di Sarawak.
Najib yang terdesak dan bimbang akan kedudukan BN di Sarawak hanya mampu mencanang berita kononnya Taib akan berundur dalam masa terdekat
" Menyedari hakikat tersebut, Najib selaku Presiden BN sebelum pilihanraya sudah memulakan rundingan untuk proses pengunduran Taib, namun oleh kerana takut dengan ugutan Taib, jentera BN akan berada di luar kawal jika Taib tidak menerajui BN dalam pilihanraya negeri kali ini, maka Najib bersetuju Taib terajui jentera pilihanraya negeri tetapi akan berundur sebaik sahaja selepas itu.
" Namun setelah memulakan mood kempen disedari sememangnya rakyat menolak Taib sepenuhnya dan tanpa selindung Najib mengumumkan Taib akan berundur dalam masa terdekat. Najib sendiri panik akan kehilangan banyak kerusi di Sarawak maka dia sendiri terpaksa berkampung di Sarawak,"katanya. |
PAS : Hanya Bahasa Undi Akan Kejutkan Pemimpin BN Posted: 12 Apr 2011 12:44 AM PDT SHAH ALAM 12 APRIL : Rakyat Sarawak bernasib baik kerana masih ada pembangkang yang kuat sehingga pemimpin BN tidak boleh tidur lena. "Insya Allah rakyat Sarawak akan ajar pemimpin yang angkuh pada 16 April ini, bahasa undi sahaja pemimpin BN boleh faham untuk mereka insaf tentang tanggungjawab mereka kepada rakyat," kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad dalam satu kenyataan media.
Portal Malaysiakini melaporkan Idris sebagai berkata, hanya setelah ditolak rakyat baru pemimpin BN akan sudi turun meninjau kesempitan rakyat sedangkan sewaktu berkuasa mereka tidak pernah memikir keperluan rakyat.
Justeru, katanya, apa yang berlaku di Sarawak hari ini adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya Sarawak. BN kini diberi tentangan hebat sejak pada hari penamaan calon pada 6 April lalu.
Menurutnya, menjadi kelaziman pada hari penamaan, calon BN akan menang beberapa kerusi tanpa bertanding, tetapi pilihan raya kali ini tidak berlaku seperti yang dijangkakan.
"Pemimpin BN daripada atas sampai ke peringkat bawah menabur berbagai janji untuk pengundi di Sarawak.
"Kemiskinan suatu yang dirancang supaya modal pembangunan sentiasa relevan untuk BN kepada pengundi," katanya.
Justeru, kata Idris, peruntukkan jarang sekali sampai ke sasaran agar ia dapat dijadikan modal kempen sepanjang hayat untuk rakyat yang miskin.
"PAS merasa hairan kenapa Sarawak masih miskin dan ketinggalan dari sudut kemudahan jalan raya, air dan elektrik.
"Pada hal dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) diperuntukkan RM13 bilion untuk Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk tempoh lima tahun.
"Daripada jumlah berkenaan sebanyak RM1.7 bilion adalah untuk pembinaan jalan luar bandar, RM1.7 bilion untuk bekalan elektrik, selain RM900 juta untuk bekalan air dan RM100 juta untuk Program Bantuan Rumah," katanya.
Menurut Idris dalam pembentangan RMK-10, perdana menteri juga mengumumkan pembinaan 2,800 kilometer jalan berturap, liputan 95 peratus bekalan air dan memperluaskan kemudahan elektrik di kawasan luar bandar ke 76,000 buah rumah di Sarawak.
"Jika melihat kepada peruntukan yang diberikan kepada negeri Sarawak kita tidak akan bertemu di sana jalan raya, rumah, air yang begitu daif.
"Persoalannya kenapa jadi begini?
"Ke mana hasil bumi Sarawak sedangkan pemimpin BN Sarawak hidup mewah sedangkan rakyat merempat dan melarat," soalnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan