Roslan SMS Corner |
Posted: 23 Apr 2011 08:13 PM PDT Apabila mayat mendiang Teoh Beng Hock dijumpai dalam keadaan terlungkup pada pagi 16 Julai 2009 di bumbung di kaki bangunan Plaza Masalam ia mencetuskan pelbagai spekulasi. Mendiang merupakan Pembantu Khas kepada EXCO Selangor yang juga Pengerusi DAP Negeri ketika itu Ean Yong Hian Wah. Beliau sehari sebelumnya dipanggil untuk siasatan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor, atas pertuduhan rasuah di tingkat 14 bangunan berkenaan. Bagaimana seorang anak muda yang dijadualkan berkahwin keesokan harinya boleh "terjatuh" dari tingkat 14 bangunan berkenaan sedangkan beliau dilaporkan memberi kerjasama dalam siasatan SPRM itu, dan beliau juga dikenali sebagai seorang yang peramah dan baik peribadinya. Berita kematian mengejut Beng Hock itu mendapat liputan meluas khasnya dikalangan masyarakat Cina Malaysia. DAP serta-merta melancarkan kempen "Justice for Beng Hock" apabila mengesyaki kematian mendiang ini mungkin berpunca dari pihak ketiga lantas menunutut siasatan oleh sebuah suruhanjaya terbuka. DAP malah membawa insiden kematian tragis mendiang ini kemana sahaja ia pergi termasuklah dalam kempen-kempen pilihanraya kecil dan ternyata ia berjaya membangkitkan sentimen simpati khasnya dikalangan pengundi Cina yang semakin marah kepada parti pemerintah apabila tidak berpuas hati dengan punca kematian mendiang. Sehingga hari ini hasil dari desakan banyak pihak kerajaan telah pun menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja yang sedang menyiasat punca sebenar kematian Beng Hock. Pihak Suruhanjaya masih belum mengeluarkan keputusannya. Namun benarlah sebagaimana ditulis oleh bekas PM Tun Dr Mahathir di dalam memoirnya "A doctor in the house" bahawa politik perkauman tetap wujud dalam Negara Malaysia yang berbilang kaum ini walaupun dikalangan yang maju dan terpelajar. Lantas dalam kes mendiang Beng Hock ini walaupun sentimen simpati masyarakat Cina terhadap mendiang dan dalam hal ini terhadap DAP begitu menebal tetapi kaum lain khasnya orang-orang Melayu tidak pula menganggapnya sebagai sesuatu yang luarbiasa. Tambahan pula ada golongan politik tertentu yang mereka-reka dan mencanang-canangkan cerita kononnya kematian mendiang adalah berpunca dari "bunuh diri" tanpa melibatkan mana-mana pihak lain. Maka jadilah orang Melayu rata-rata tidak berasa apa-apa berikutan kematian tragis itu walaupun ianya hangat dikalangan masyarakat Cina sehingga mencabar kredibiliti kerajaan BN. Hanya PAS sahaja sebagai anggota Pakatan Rakyat yang merupakan kelompok Melayu yang membawa isu ini itupun tidak tanpa diperli dan dicaci oleh rakan-rakan mereka dari Umno kononnya PAS membela seorang Cina yang mati bunuh diri! Gambar hodoh yang mewarnai imej pihak SPRM ekoran kematian Beng Hock itu terus terlekat dikalangan setengah-setengah pihak khasnya dikalangan masyarakat Cina walaupun dikalangan orang-orang Melayu ia agak "suam". Tiba-tiba dengan takdir Allah swt tanpa diduga berlaku lagi satu insiden "kematian mengejut" seumpama Beng Hock pada 6 April baru-baru ini. Berlaku sekali lagi juga di bangunan SPRM dan simati sebagaimana Beng Hock juga sedang disiasat oleh pihak SPRM! Cuma kali ini yang meninggal dunia adalah seorang Melayu Islam. Mayat Penolong Pengarah Kastam Selangor, Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed dijumpai di tingkat bawah dalam keadaan tertiarap dengan kecederaan serius di bahagian kepalanya dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cocharane Kuala Lumpur. Lalu timbullah seribu satu tandatanya. Masyakarat Cina yang sudah sedia bersimpati terhadap Beng Hock akan semakin serabut kepala mereka memikirkan bagaimana insiden yang sama boleh berlaku selang tak sampai dua tahun sedang siasatan Suruhanjaya Diraja terhadap Beng Hock pun belum selesai. Bagi masyarakat Melayu pula sudah tentu melihat gambar wajah ibu Allahyarham pengsan semasa hari pengkebumian allahyarham sudah cukup menyayat hati sesiapa sahaja yang prihatin. Laporan-laporan mengenai peribadi allahyarham oleh rakan-rakan dan kenalan beliau mencurah-curah dalam laman-laman web dan blog sekaligus semakin mencetuskan kemusykilan dan syak wasangka. Bagaimana seorang pegawai kanan yang baik peribadinya dan dijadul akan mengerjakan haji boleh bertindak "bunuh diri"? Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan bahawa kematian Beng Hock tidak seharusnya disama atau dikaitkan dengan kematian Ahmad Sarbani. Kita menghormati pandangan beliau, walaubagaimanapun hak rakyat untuk tahu dimana bezanya juga perlu dihormati kerana berdasarkan apa yang ada tanpa pengesahan dari mana-mana pihak rakyat lebih yakin bahawa kematian Beng Hock dan kini Ahmad Sarbani adalah berpunca dari tindakan pihak ketiga dan bukannya "bunuh diri". Dan yang sahnya kini imej pihak SPRM bukan sahaja tercalar di mata masyarakat Cina dan Melayu tetapi hodoh dan tercalar di mata seluruh rakyat dan tidak mustahil diperingkat antarabangsa juga ekoran kedua-dua kejadian ini. Apa yang penting diperingkat ini adalah untuk meyakinkan rakyat akan punca sebenar kematian kedua-dua hamba Allah ini. Jangan ada mana-mana pihak diselindungi aatu dibenar menyelindungi kebenaran. Apa yang kelihatan sudah hampir dua tahun berlalu namun sehingga hari ini punca sebenar kematian Beng Hock tidak disahkan manakala kaum keluarga dan kenalan Ahmad Sarbani juga berhak mengetahu punca kematian mengejut allahyarham itu. Pihak kerajaan menanggung beban menjernihkan keadaan kerana atas prinsip akauntabiliti mereka perlu bertanggungjawab atas tindakan para pegawai mereka kecuali dapat dibuktikan ada elemen jenayah pada mana-mana individu atau golongan yang berkaitan. Saya yakin isu kematian Beng Hock dan Ahmad Sarbani akan terus diperkatakan oleh rakyat dan tiada siapa boleh menafikan hak mereka untuk bersuara. Kini ia bukan lagi isu perkauman kerana yang mati adalah dari dua golongan kaum terbesar dalam Negara. Rata-rata rakyat kini tanpa mengira ras kaum menuntut agar keadilan diberikan kepada kaum keluarga kedua-dua pihak. Jika hari ini Beng Hock dan Ahmad Sarbani boleh mati dalam keadaan mengejut sedang siasatan terhadap mereka belum pun selesai, bagaimana esok? Siapa lagi akan mati di kaki bangunan SPRM? Sehingga segala kemusykilan rakyat terjawab dengan penuh meyakinkan, maka kerajaan BN pusat akan menanggung derita hukuman rakyat ekoran kedua-dua insiden malang ini. Berilah keadilan buat Beng Hock dan Ahmad Sarbani! ARTIKEL INI TERBIT DALAM AKHBAR MINGGUAN SIASAH BIL. 0260 |
Posted: 23 Apr 2011 07:49 PM PDT Muktamar PAS telah dijadualkan pada 3 hingga 5 Jun 2011 ini di Taman Melewar, Gombak. Oleh kerana muktamar kali ini sekali lagi akan menyaksikan proses pemilihan pimpinan tertinggi PAS maka ia menjadi hangat dan diberi perhatian oleh kawan dan lawan.Parti yang akan menjangkau usia 60 tahun pada 23 Ogos tahun ini merupakan salah sebuah parti yang tertua dalam Negara dan satu-satunya parti yang kekal memperjuangkan Islam dalam Negara. Semua jawatan tertinggi parti dari Presiden sehinggalah AJK Pusat dipertandingkan. Pimpinan baru nanti akan ditentukan oleh perwakilan parti yang akan memilih berdasarkan pencalonan yang dilakukan oleh kawasan-kawasan seluruh Negara. Calon-calon akan memutuskan samada menerima pencalonan atau tidak, jika menerima maka akan adalah pertandingan berdasarkan syarat dan peraturan yang ditetapkan. Sebagai sebuah gerakan Islam, parti Islam, PAS mempunyai adab dan disiplin tersendiri dalam memilih pimpinan. Memang ia memeluk amalan demokrasi, walaubagaimanapun amalan berkenaan diterapkan dengan adab dan disiplin peraturan Islam. Seluruh ahli PAS akan member tumpuan terhadap muktamar kali ini kerana ia akan menetapkan halatuju dan garispanduan perjuangan seterusnya parti Islam ini khasnya dalam menghadapi PRU ke 13 nanti. Pimpinan yang akan dipilih nanti akan menggalas amanah u ntuk membawa panji-panji PAS menghadapi peperangan pilihanraya selewat-lewatnya pada tahun 2013. Dalam "excitement" pemilihan ini adalah beberapa pihak yang melontarkan pandangan kononnya ada pimpinan yang merupakan liability kepada PAS. Kiranya PAS mahu bergerak ke hadapan dengan pencapaian lebih baik maka pimpinan tertentu termasuklah Presiden mesti ditukar. Tukar-tukar ini mengingatkan kita pada kisah Nabi Allah Ibrahim yang menasihatkan anaknya Ismail melalui menantunya agar menukar tiang pintu rumahnya. Nabi Ibrahim berbuat demikian dengan harapan Nabi Ismail meneceraikan isterinya kerana merungut dalam ketiadaan suaminya. Tetapi dalam hal ini yang memberi pandangan bukannya Nabi dan yang mahu ditukar pula bukannya menantu yang tidak baik. Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz dalam hal ini berpandagan: Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT. Tok Guru menambah: Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihan raya adalah satu langkah kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihan raya. Dewan Pemuda PAS Wilayah dalam kenyataannya menegaskan: Di bawah kepimpinan Presiden hari ini, PAS berjaya menguasai dua negeri iaitu Kelantan dan kedah walaupun gagal menguasai Terengganu pada 2080 (PAS turut membantu kerajaan Selangor dan Pualau Pinang). Malah jumlah kerusi PAS di Parlimen pada 2008, bertambah tiga kali ganda iaitu 24 kerusi dari 7 kerusi pada 2004. Sebagai Presiden keupayaan prestasi beliau dilihat berdasarkan keupayaan parti diseluruh negara bukannya di Terengganu sahaja. Dan ianya sudah cukup membuktikan kebangkitan semula kepimpinan PAS dibawah Presiden. Tetapi yang paling menarik perhatian saya dalah kenyataan AJK PAS Pusat Datuk Paduka Hj Husam Musa yang menyatakan bahawa PAS kini perlu berkerja untuk menuyrunkan BN dan bukannya Hadi! Dalam keadaan pencapaian terbaik bagi seorang Presiden PAS dalam sejarah penubuhannya sejak 60 tahun tidak ada sebab mahu ditukarkan tunggak nombor satunya kecualilah Islam mengajar kita sebagaimana diajar oleh Tok Guru jika pemimpin tersebut melanggra syariat Allah swt. Akhbar media arus perdana sedang menari-nari memain-main dan menghangat-hangatkan isu pemilihan dalam PAS. Walaupun cuma satu kawasan yang tidak mencalonkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang setakat ini mereka mahu menggambarkan seolah separuh negara dibelakang kawasan itu. Mengikut sejarah PAS, para perwakilan PAS tidak pernah mengganti Presidennya lantaran berpegang kepada adab yang dimaksudkan. Apalagi mahu ganti Presiden yang memberikan prestasi paling baik buat parti setakat ini.Dizaman Allahyarham Datuk Asri Muda, beliau mahu digulingkan, tetapi Asri memilih untuk letak jawatan terlebih dahulu. Saya yakin Tuan Guru akan kekal sebagai Presiden PAS sebab lazimnya para perwakilan PAS tidak akan lari dari adab dan disiplin Islam dalam membuat pemilihan. Kepimpinan Ulamak masih dan terus akan menjadi teras kepimpinan PAS. Inilah kepimpinan yang telah membangktikan PAS kembali setelah hampir hanyut dihanyutkan oleh Nasionalisma Islam yang mahui dibawa Asri dan rakan-rakan. Inilah juga kepimpinan yang melonjakkan kembali sokongan anak muda, para professional terhadap PAS. Inilah kepimpinan yang membawa PAS sehingga ke hari ini. Yang penting sekarang sebagaimana dinyatakan Husam, adalah untuk PAS menjatuhkan BN. |
You are subscribed to email updates from Roslan SMS Corner To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan