Selasa, 19 April 2011

PRO REFORM

PRO REFORM


243 Puting Beliung 'Serang' Amerika

Posted: 19 Apr 2011 06:19 AM PDT

berpuluh kediaman penduduk Deltaville, Virginia rosak atau musnah dilanda puting beliung.
JACKSON (Mississippi): Sebanyak 243 puting beliung yang melanda sedozen negeri Amerika Syarikat sejak Sabtu lalu, menyebabkan 45 orang maut selain kerugian besar kepada penduduk apabila beratus-ratus rumah rosak atau musnah.

Selain kehilangan hampir semua harta benda, sebilangan mereka kehilangan rumah yang tercabut akibat ditiup angin kencang.

Ketika penduduk memulakan kerja pembersihan dan mencari sisa dari rumah mereka yang boleh digunakan semula, kisah puting beliung mencabut dan menerbangkan pokok seperti kayu besbol, memecah dan menyebabkan rumah tunggang terbalik, kedengaran hampir di mana saja.

Seorang penduduk di Dunn, Carolina Utara, Jonathan Robinson berkata ketika puting beliung mula membadai rumah bergerak miliknya, beliau segera mendukung anak lelaki sepupunya Ayden yang berusia tiga bulan bersembunyi di dalam sebuah peti di bilik tidurnya.

"Malangnya ketika hendak melompat masuk ke dalam peti itu angin puting beliung yang amat kuat memecahkan rumah menyebabkan Ayden terlepas dari pegangan saya dan diterbangkan ke udara," katanya.

Robinson berkata, selepas puting beliung reda, beliau bersama anggota keluarganya segera menggali runtuhan untuk mencari Ayden.
"Saya rasa akan kehilangannya," kata Robinson selepas bayi itu ditemui.

Penduduk daerah Askewville, Carolina Utara, Justin Dunlow, 23, hanya mampu berdoa, apabila beliau bersama dua anaknya yang masih kecil dihempap dinding rumah bergerak mereka yang runtuh.

"Saya boleh bina semula rumah saya, tetapi saya tidak dapat ganti dua anak jika kehilangan mereka. Saya bersyukur kerana kami selamat," katanya.

Audrey McKoy yang tinggal dekat Bladen County sedang berehat apabila puting beliung membadai rumah mereka.

"Ia kelihatan seperti dalam filem The Wizard of Oz," katanya.

Mereka yang bersembunyi di bilik air sempat mendengar bunyi pokok tumbang dan rumah lain ditiup angin. Sebaik keluar untuk melihat kemusnahan, rumah mereka juga sudah terbalik.

FOTO puting beliung melalui daerah Colerain, Carolina Utara, kelmarin diambil oleh seorang penduduk, Richard Burkett.
Puting beliung membadai wilayah Deep South termasuk Alabama, Georgia, Louisiana, Mississippi dan Carolina Selatan sebelum bergerak menuju ke Carolina Utara hingga ke Virginia sebelum menuju ke laut.

Akhbar Wall Street Journal melaporkan, puting beliung kuat yang melanda Carolina Utara petang kelmarin, menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang maut.

Pegawai pengurusan kecemasan melaporkan puting beliung memusnahkan 60 buah rumah dan merosakkan lebih 400 yang lain. Gabenor Bev Perdue mengisytiharkan perintah darurat berikutan kejadian itu. – AP/Agensi

-BH Online

" Ya.. Allah.., berilah hidayat, hifazat dan maghfirahMu kepada pemimpin kami Imam Mahadi Al-Muntazar walau di mana baginda berada. Selamatkanlah baginda, bantulah baginda, begitu juga para pejuang Islam yang akan bergadai nyawa di sisinya. Ya.. Allah.., selamatkanlah seramai mungkin umat ini dari fitnah dan sihir Dajjal. Ya.. Allah.., bantulah kami menghadapi gelombang-gelombang ujian yang bakal mendatang "

Senator Tepis Dakwaan Naikkan Cukai Tanah UUM 10 Kali Ganda

Posted: 19 Apr 2011 01:58 AM PDT

Dakwaan bahawa kerajaan negeri Kedah menaikkan cukai tanah UUM sehingga 10 kali ganda ditepis Senator Muhamad Yusof Husin.

Muhamad Yusof berkata hakikat yang tidak dapat disembunyikan adalah 3 tahun kebelakangan ini UUM menerima rebat cukai yang diberikan kerajaan negeri tatkala itu, UMNO BN.

Rebat itu membolehkan UUM membayar cukai tanah pada harga RM100'000 setahun.

Bagaimanapun sebaik sahaja tempoh 3 tahun itu tamat, UUM terpaksa kembali membayar cukai tersebut pada kadar RM1.2 juta setahun.

Untuk rekod, nilai cukai tersebut ditetapkan kerajaan UMNO BN.


"Menteri Besar pada ketika itu, Mahathir Khalid telah membuat keputusan dalam mesyuarat exco, dimana rebat ini akan diberikan selama tiga tahun iaitu pada tahun 2006, 2007 dan 2008, ini bermaksud UUM pada ketika itu hanya perlu membayar RM100,00 setahun cukai tanah kepada kerajaan negeri Kedah," katanya.

Muhamad Yusof berkata demikian ketika mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang semberono menuduh kerajaan negeri menaikan cukai UUM sehingga 10 kali ganda berbanding ketika negeri itu ditadbir oleh UMNO BN.

Muhamad Yusof menjelaskan, UUM telahpun membayar cukai RM1.2 juta bagi tahun 2010.

Namun untuk tahun 2011, pengurusan UUM bukan sahaja enggan membayar cukai tersebut, malah mendakwa kerajaan negeri menaikan cukai tanah tersebut sebanyak 10 kali ganda.

"Pihak saya dimaklumkan bahawa UUM telah pun membayar cukai berkenaan iaitu sejumlah RM1.2 juta setahun pada tahun 2010, dan pada tahun 2011 ini mereka (UUM) mendakwa tidak mahu membayar kerana kenaikannya sehingga 10 kali ganda dan ini adalah satu fakta yang tidak benar," ujarnya lagi

Muhamad Yusof berkata jika UUM tidak berkemampuan untuk membayar nilai cukai tanah tersebut, pihak pengurusan sepatutnya memohon agar dikurangkan kadar bayaran ataupun memohon agar disambung pemberian rebat cukai tanah daripada kerajaan negeri Kedah.

"kalau sekirannya UUM yang dibawah kerajaan pusat tidak mampu untuk mambayar cukai tanah, apa salahnya kalau UUM sekali lagi membuat rayuan, merayu kepada kerajaan negeri yang ada bagi mendapatkan rebat untuk ia dipertimbangkan, dan bukannya mengeluarkan kenyataan cukai tanah dinaikkan 10 kali ganda," katanya.

- TVSnews

" Ya.. Allah.., berilah hidayat, hifazat dan maghfirahMu kepada pemimpin kami Imam Mahadi Al-Muntazar walau di mana baginda berada. Selamatkanlah baginda, bantulah baginda, begitu juga para pejuang Islam yang akan bergadai nyawa di sisinya. Ya.. Allah.., selamatkanlah seramai mungkin umat ini dari fitnah dan sihir Dajjal. Ya.. Allah.., bantulah kami menghadapi gelombang-gelombang ujian yang bakal mendatang "

Syed Husin dedah SB ‘lantik’ pensyarah universiti

Posted: 19 Apr 2011 12:03 AM PDT

KUALA LUMPUR: Senator Dewan Negara, Profesor Dr Syed Husin Ali mendedahkan bahawa Polis Cawangan Khas (SB) bukan sahaja mempengaruhi keputusan yang dibuat kerajaan, malah turut campurtangan dalam pelantikan pensyarah universiti, yang disifatkan lebih bahaya dan teruk dari campurtangan politik.

Beliau mendedahkan perkara ini semasa membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Negara, semalam.

"Sekarang ini diketahui bahawa seseorang pemohon untuk menjadi pensyarah akan ditapis. Sebelum ia boleh diterima, namanya dirujuk kepada pihak keselamatan (biasanya SB) untuk dikaji dan dihalusi latar belakangnya.


"Hanya selepas dibersih atau diluluskan oleh pihak SB barulah tawaran jawatan dihantar kepadanya. Biasanya hubungan dan pendirian politik calon itupun boleh menjadi alasan menyekat perlantikan," ujarnya.

Menurut Syed Husin, selain pensyarah, pihak polis cawangan khas turut mempengaruhi keputusan dalam pelantikan seseorang profesor Emeritus, yang dilihat tidak sehaluan dengan kerajaan.

"Bahkan lebih buruk lagi diketahui bahawa SB campur tangan dalam hal perlantikan Profesor Emeritus. Gelaran ini diberi kepada seseorang yang telah berkhidmat selama tempoh tertentu di sesebuah universiti selepas ia bersara, atas dasar sumbangan dan kecemerlangannya dalam bidang akademik.

Menurutnya, terdapat kes di mana seorang bekas profesor yang terkenal dibatalkan gelaran Profesor Emeritus oleh sebuah universiti ulung di Malaysia kerana disekat SB.

"Badan-badan akademik dalam Universiti itu bersetuju mengaugerahkan gelaran ini kepada bekas Profesor berkenaan. Akan tetapi, apabila sampai ke peringkat Lembaga Universiti, campur tangan SB berlaku. Maka tidak jadilah gelaran itu dianugerah," katanya.

-Keadilan Daily

" Ya.. Allah.., berilah hidayat, hifazat dan maghfirahMu kepada pemimpin kami Imam Mahadi Al-Muntazar walau di mana baginda berada. Selamatkanlah baginda, bantulah baginda, begitu juga para pejuang Islam yang akan bergadai nyawa di sisinya. Ya.. Allah.., selamatkanlah seramai mungkin umat ini dari fitnah dan sihir Dajjal. Ya.. Allah.., bantulah kami menghadapi gelombang-gelombang ujian yang bakal mendatang "

Tiada ulasan: