Muslimeen United |
- Selaraskan fatwa agar tidak jadi bahan gurauan
- Keputusan panggil Anwar bela diri 16 Mei
- Utusan & Perkasa Bantu PR Runtuhkan BN
- Sebagai umat Islam, jauhilah perkara Haram
- Bersatulah Melayu
- 10 Jari Manusia Dikerat Cantik Ditemui Di Tepi Landasan Stesen Kuang
- Ezam Kata, Cina Bodoh Yang Ikut DAP
- Fitnah Umno: Anwar hargai Mustafa
- Usah mimpi kami mahu melutut kepada umno!
- Kes Ahmad Sarbani: Laporan Siasatan Ke AG, PAS Tawar Bantuan Guaman
- Sedar Bahaya Rasuah, Bila Projek Untuk Kroni Sudah Habis
- TG Nik Aziz: ‘Mereka pertikai Pakatan, sila datang Kelantan lihat sendiri’
Selaraskan fatwa agar tidak jadi bahan gurauan Posted: 26 Apr 2011 07:22 AM PDT KUANTAN, 26 April: Sesuatu fatwa yang ingin diputuskan perlu diselaraskan terlebih dahulu untuk mengelakkannya menjadi bahan gurauan dan mainan ketawa orang ramai, nasihat Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar). |
Keputusan panggil Anwar bela diri 16 Mei Posted: 26 Apr 2011 07:05 AM PDT Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 16 Mei ini untuk mengumumkan keputusannya sama ada untuk memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri atau membebaskannya berhubung pertuduhan liwat yang dihadapinya. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menyatakan demikian di akhir kes pendakwaan hari ini. Semalam pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa profil DNA milik seseorang dikenali "lelaki Y" yang ditemui di dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, adalah kepunyaan Anwar. Anwar, 63, yang juga ketua pembangkang, dituduh meliwat Mohd Saiful, 25, yang merupakan bekas pembantu beliau, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansar di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. - Bernama |
Utusan & Perkasa Bantu PR Runtuhkan BN Posted: 26 Apr 2011 02:23 AM PDT MCA: Perkasa, Utusan hakis sokongan Cina BN Ketua Publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie mendakwa Utusan Malaysia dan Perkasa yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan masyarakat Cina sejak 2008. Oleh itu beliau juga menggesa Kementerian Dalam Negeri agar mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana mengesyorkan gelombang "1Melayu, 1Bumi" yang mana disokong Perkasa walaupun ditolak penaungnya Tun Dr Mahathir Mohamad. Heng memberitahu The Malaysian Insider bahawa akhbar milik Umno itu secara berterusan menerbitkan artikel yang bersifat perkauman dan ia akan memberi kesan kepada perpaduan negara. "Kami fikir jika ia satu trend, yang diamalkan Utusan (Malaysia), ia bukan hanya akan menyebabkan parti masyarakat Cina terutamanya dalam BN tetapi juga kepada perpaduan negara. "Lantaran itu, kami harap menteri peka dalam hal ini dengan mengambil tindakan untuk melindungi kepentingan rakyat dan negara," kata beliau. "Saya rasa perkara ini sudah berlanjutan terlalu lama, dan kami tidak (mungkin) ada keputusan 8 Mac (pilihan raya umum 2008) atau pilihan raya Sarawak di mana BN kalah di kawasan pengundi Cina," katanya merujuk kepada pilihan raya umum 2008 dan terbaru pilihan raya negeri Sarawak. Utusan Malaysia meminta Umno supaya menggerakkan gelombang "1Melayu, 1Bumi" yang melibatkan semua parti Melayu, dan mendakwa DAP berniat untuk menjatuhkan kepimpinan negara. Jumaat lalu, Timbalan Ketua Publisiti MCA Loh Seng Kok mengingatkan gerakan "1Melayu, 1Bumi" yang disyorkan akhbar harian berbahasa Malaysia itu akan mewujudkan suasana kurang senang di kalangan rakyat Malaysia. Bagaimanapun anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi menegur Loh kerana mempertikaikan akhbar itu dan memberitahu pemimpin MCA itu agar bekerja lebih kuat untuk mendapatkan semula sokongan pengundi yang terjejas sejak pilihan raya umum 2008. Di Perak, Perkasa juga mengecam MCA kerana meminta agar Utusan Malaysia diboikot, dengan mendakwa parti itu cuba meraih semula sokongan masyarakat Cina. Semalam Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkata Utusan Malaysia adalah suara bagi orang Melayu. Heng bagaimanapun berkata Utusan Malaysia perlu menghentikan daripada menerbitkan artikel bersifat perkauman. "Ini masa terbaik untuk mereka membetulkan kedudukan mereka... atas nama semangat patriotik jika semua orang sayangkan Malaysia apa sahaja yang kita buat atau kata, kepentingan negara paling penting," katanya. Beberapa pemimpin kerajaan juga cuba untuk tidak terlibat dengan syor akhbar itu minggu lalu, dengan mendakwa pandangan itu dikemukakan atas dasar peribadi editor Utusan Malaysia. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata syor akhbar berbahasa Melayu itu tidak akan menghalang beliau meneruskan komitmen melaksanakan konsep 1 Malaysia. Dr Mahathir juga menentang cadangan itu sambil menyifatkan ia akan menjadi lebih "malapetaka" jika dilaksanakan. Heng yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata sudah tiba masa Perkasa dan Utusan Malaysia bertanya kepada diri sendiri mengapa BN kehilangan sokongan masyarakat Cina. "Sebab utama ia disebabkan mereka (Perkasa dan Utusan Malaysia), semua institusi termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang bersifat rasis dan juga media menyebabkan masyarakat Cina marah. "Jadi sekarang kita fikir institusi seperti Perkasa dan Utusan Malaysia yang menuduh orang lain, mereka perlu tanya kepada diri sendiri adakah mereka menyumbang kepada perpaduan negara? Sudah tentu tidak," katanya. -TMI
Kepada Utusan, teruskan siar artikel dan tulisan yang menjulang perjuangan perkauman sempit UMNO. Kerana ia akan terus menyemarakkan penentangan kaum-kaum lain. Kementerian Dalam Negeri nampaknya lebih utama dan sayangkan Utusan daripada perpaduan kaum di negara ini. Pun teruskanlah. Supaya cepat sikit BN tumbang. Sememangnya pun BN sedang di era kehancuran. -GB |
Sebagai umat Islam, jauhilah perkara Haram Posted: 26 Apr 2011 02:22 AM PDT KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini disaran tidak membeli dan membaca Akhbar Utusan Malaysia kerana media tersebut boleh dikategori sebagai "haram" dari sudut Islam, tegas ulama terkemuka tanahair, Profesor Datuk Dr Haron Din Al Hafiz. Menurutnya, mana-mana media yang menghalalkan amalan fitnah, cubaan mengaibkan orang lain, menggalakkan berlakunya perpecahan umat Islam dan perpaduan kaum adalah haram untuk dibeli dan dibaca. "Islam adalah agama penyatuan, agama perpaduan, agama yang saling hormat menghormati dan agama yang memberi rahmat kepada sekelian alam. "Islam menegah amalan menyebarkan berita yang tidak baik seperti mengaibkan orang lain. Hukum Syarak menegah segala amalan yang dibawa oleh mulut atau pun media seperti ini," jelas beliau. Kenyataan Haron Din itu disiar dalam akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan yang boleh diperolehi di pasaran mulai hari ini. Menurut Dr Haron, Al-Quran juga menyatakan "Maka sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan berita-berita yang keji (menjatuhkan maruah seseorang), maka bagi mereka itu azab siksa di dunia dan di akhirat. Menurutnya lagi, berdasarkan hukum Fekah yang di sebut dalam kitab Fekah, Manhaji menyatakan, haram ke atas orang Islam menyebarkan berita keji ke atas orang Islam, tidak kira sama ada peritiwa itu benar atau sebaliknya. "Kalau berita itu palsu ia adalah suatu fitnah jahat yang mengundang bala Allah yang segera. Kalaulah ia benar maka ia membuka ruang fitnah yang mengundang pelbagai keburukan, sedangkan sepatutnya ia menutup perkara tersebut." jelas beliau. |
Posted: 26 Apr 2011 02:19 AM PDT Semenjak selesai Pilihan Raya Sarawak di mana DAP telah menang di 12 kerusi DUN, DAP telah menjadi sasaran pencacai UMNO khususnya Utusan Malaysia dengan slogan 'Bersatulah Melayu' mereka. Ini dilakukan walaupun diketahui umum bahawa semua parti-parti komponen PR juga turut menunjukkan prestasi yang semakin meningkat. DAP dijadikan sasaran kerana mereka telah berjaya memperolehi kebanyakan undi dari masyarakat Cina dan dengan itu dikatakan bahawa Cina telah bersatu bawah DAP! Dengan gaya pemikiran perkauman sempit yang menguasai minda UMNO, maka tidak pelik bagi kita apabila kejayaan DAP untuk meraih undi Cina ditafsirkan sebagai penyatuan Cina untuk 'menentang Melayu'. Pemikiran perkauman yang menguasai minda UMNO, yang diluahkan melalui lidah tidak rasmi mereka, iaitu Utusan Malaysia, tidak berkemampuan memikirkan sebab dan alasan yang lain mengapa masyarakat Cina secara padu menyokong DAP. Mata mereka dikaburi perkauman dan telinga mereka didendangkan dengan sorakan-sorakan perkauman. Tiada yang mereka mampu lihat dan tiada yang mereka mahu dengar melainkan perkauman. Hakikatnya, masyarakat Cina telah menyokong calon DAP dan menolak calon SUPP. Kedua-duanya adalah berbangsa Cina. Persoalannya, mengapa masyarakat Cina menyokong seorang calon Cina dan menolak calon Cina yang satu lagi? Ianya tidak boleh dijawab dengan alasan perkauman kerana pada hakikatnya dua-dua calon adalah berbangsa Cina. Yang berbeza adalah seorang calon (SUPP) berdiri bersama BN dan seorang lagi (DAP) berdiri bersam PR. BN melambangkan kerajaan yang tenggelam dengan rausah dan kronisma sambil PR pula melambangkan kerajaan yang bebas rasuah, telus dan berkebajikan. Keadaan Taib Mahmood sebagai pemimpin yang kaya raya hasil rasuah jelas terukir dipemikiran masyarakat Sarawak dan oleh itu masyarakat Cina menolak BN dan sekutu-sekutunya! Kita seharusnya mengucapkan tahniah kepada DAP dan kumpulan NGO Cina yang telah berjaya mendidik masyarakat Cina untuk menolak pemimpin Cina yang rasuah ataupun yang bersubahat dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah. Penolakan menyeluruh oleh masyarakat Cina terhadap amalan rasuah adalah berdasarkan kefahaman yang telah dibina bertahun-tahun melalui proses pendidikan formal dan tidak formal yang menyakinkan mereka bahawa rasuah ini akan memusnahkan Negara. Oleh itu, saya sememangnya bersetuju bahawa masyarakat Cina telah bersatu, tetapi bukan untuk menentang Melayu, mereka bersatu untuk menentang rasuah dan penyelewengan. Mereka telah berjaya membuktikan di Sarawak bahawa mereka akan menolak mana pemimpin Cina, walau 'BESAR' mana sekalipun, walaupun Presiden pada sebuah parti, sekiranya pemimpin itu mengamal atau bersubahat dengan rasuah. Sememangnya, orang Melayu juga wajib bersatu seperti mereka! Tetapi bukan bersatu di atas dasar perkauman seperti seruan Utusan Malaysia dan PERKASA. Orang Melayu harus bersatu di atas prinsip menolak pemimpin yang rasuah. Lebih-lebih lagi apabila diambil kira bahawa orang Melayu beragama Islam dan Rasulullah (SAW) telah menyatakan dengan jelas bahawa "pemberi dan penerima rasuah berada di dalam api Neraka". Sepatutnya, kita yang menunjukkan penolakan dan penentangan terhadap rasuah dan pemerintahan yang menyeleweng ini jauh lebih awal dari masyarakat lain. Sepatutnya kita yang berada di depan mendahalui yang lain, menjadi ummat yang boleh dicontohi, tetapi malangnya kita tetap berada ditahap lama, ditinggalkan masyarakat lain, khususnya masyarakat Cina pada ketika ini. Ini berlaku kerana malangnya, orang Melayu Islam di bawah pengaruh UMNO; dan UMNO di atas sebab kejahilan mereka, telah mengharuskan rasuah di dalam alam politik dengan menganggap pengampunan Allah akan terjamin apabila dilakukan umrah sekali sekala! UMNO yang menakut-nakutkan masyarakat Melayu sehingga terus menyokong perasuah dan perompak rakyat dari UMNO kerana sekiranya tidak, maka Cina akan mengambil-alih kuasa. UMNO yang memperbodohkan masyarakat Melayu sehingga mereka terus tidak sedar bahawa pada hakikatnya bila UMNO kalah yang menang bukan DAP; tetapi PAS atau calon Melayu dari PKR. Dalam suasana kejahilan, ketakutan dan kebodohan ini UMNO meraih kemenangan demi kemenangan dengan sokongan Melayu. Oleh itu, UMNO ingin suasana sebegini terus kekal di kalangan masyarakat Melayu, supaya mereka akan terus berkuasa. Dan inilah cabaran yang perlu diharungi PAS, khususnya. Untuk membebaskan masyarakat Melayu yang beragama Islam dari belenggu kejahilan, ketakutan dan kebodohan yang dipasang oleh UMNO ke atas mereka. Sehingga, satu hari kelak, masyarakat Melayu Islam akan bersatu, bukan untuk menentang Cina, tetapi untuk menentang rasuah dan menolak pemimpin yang rasuah dan parti yang membudayakan rasuah. Kalau DAP boleh berjaya dengan masyarakat Cina, mengapa tidak kita, masyarakat Melayu yang beragama Islam? Sekiranya tidak maka kita akan ketinggalan dan masyarakat lain akan menjadi jauh lebih maju dari kita. Bukan sekadar lebih maju dari sudut material, tetapi lebih maju dari sudut nilai ketamadunan juga. Maka akhirnya apa yang akan ada dengan masyarakat Melayu Islam? Seperti yang dikatakan TGNA, "sudahlah tiada wang, tiada ilmu, tiada akhlak pula!". Naudzubillah-himin dzalik. Pada hakikatnya, UMNO mahu menutup kelemahan dan kegagalan mereka dengan melaungkan kembali laungan zaman jahiliyyah. Korupnya mereka, tidak cekapnya mereka, menyelewengnya mereka, semua ini ingin mereka tutupi dengan laungan jahiliyyah perkauman. Supaya Melayu terus sokong mereka walaupun mereka telah gagal dalam semua aspek. Semoga kita tidak tertipu dengan laungan ini dan kita ingat kembali saranan Rasulullah (SAW); "Tidak dariku, mereka yang menyeru atas dasar assobiyyah, tidak dariku mereka yang berperang atas dasar assobiyyah, tidak dariku mereka yang mati atas dasar assobiyyah". Maka apabila ditanya oleh sahabat Baginda apa itu assobiyyah, maka dijawabnya "menyokong kaummu atas dasar yang zalim". Rasuah itu zalim, penyelewengan itu zalim, pemborosan wang rakyat itu zalim dan perkauman itu zalim. Yang dizalimi adalah rakyat yang akhirnya dinafikan hak mereka dan diadu-domba atas dasar perkauman sehingga persoalan kebenaran dan keadilan menjadi kabur dan tidak diutamakan. Semoga kita dibebaskan dari belenggu UMNO dan masyarakat Melayu juga akan turut bersatu menolak calon dari UMNO dan BN yang merupakan lambang pemerintahan rasuah dan penyelewengan. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
10 Jari Manusia Dikerat Cantik Ditemui Di Tepi Landasan Stesen Kuang Posted: 26 Apr 2011 02:17 AM PDT Kuala Lumpur: Seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang sedang memeriksa trek kereta api terkejut apabila menemui 10 jari manusia dalam sebuah beg plastik berhampiran Stesen Kuang, dekat sini hari ini. Sharudin Manaf dilaporkan menemui jari-jari tersebut dalam sebuah beg plastik berwarna putih kira-kira pukul 10 pagi, kata Ketua Polis Daerah Gombak ACP Rahim Abdullah kepada Bernama, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Turut ditemui dalam beg plastik itu ialah pita pelekat berwarna hijau, manakala sehelai baju berwarna hitam berbelang putih serta seluar panjang hitam ditemui berhampiran beg plastik tersebut, katanya. "Cap jari itu akan dirujuk segera ke Sistem Cap Jari Automatik Malaysia (MAFIS) untuk mengenalpasti butir-butir mangsa," kata beliau. Rahim berkata, perlakuan jenayah itu dipercayai dilakukan kurang dari tempoh 24 jam. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penemuan jari tersebut agar tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - BERNAMA
|
Ezam Kata, Cina Bodoh Yang Ikut DAP Posted: 26 Apr 2011 02:16 AM PDT Ezam dah bertambah cerdik sekarang. Cina yang ikut PR dan DAP Cina bodoh dan senang diperbodohkan, Cina yang ikut BN, Cina yang berintelek!! Adakah Cina begitu bodoh dan senang diperbodohkan!! Inilah tahap tertinggi pemikiran Ezam apabila orang lain tidak bersetuju dengannya. Ezam cerdiklah kerana dia bersenang lenang sekarang dengan jawatan Senatornya. Tak bodoh kan!! Dia juga berkata Kit Siang juga akan terus mempergunakan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memecahkan undi Melayu yang pastinya akan memberi dividen politik kepada DAP. Kasihan!! Ezam tak sedar dia juga dipergunakan Najib, sonang ko yek!! |
Fitnah Umno: Anwar hargai Mustafa Posted: 26 Apr 2011 02:13 AM PDT KUALA LUMPUR, 26 April: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menghargai pendirian Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (kanan) yang menjelaskan kenyataannya diputar belit oleh Umno. Bagi Anwar, fitnah Umno dan percubaan untuk melagakan pemimpin Pakatan Rakyat hendaklah ditolak. Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menyatakan perkara itu di laman twitter. Mustafa pada 23 April lepas menafikan laporan beberapa media termasuk Utusan yang mendakwa beliau berkata PAS akan menilai semula kedudukan dalam Pakatan Rakyat selepas siasatan video seks selesai. Sambil kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab akhbar pro Umno itu, Setiausaha Agung PAS itu berkata, laporan tersebut berniat jahat dan sengaja memanipulasikan kenyataannya. Katanya, dia sama sekali tidak pernah mengaitkan isu video seks dengan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, 22 April. "Saya ditanya berhubung saranan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mencadangkan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) melakukan sumpah mubahalah. "Jadi saya jawab, perkara itu tidak timbul kerana kerajaan sekarang ini menggunakan undang-undang sivil, Polis siasat sahajalah. "Kalau ubah kes ini ke Mahkamah Syariah, baru kita (PAS) tengok kembali apa pendirian kita dalam isu tersebut," katanya. Akhbar Utusan Malaysia pada 23 April menyiarkan laporan sidang media Mustafa semalam itu dengan tajuk 'PAS tunggu siasatan selesai'. Laporan itu menyebut bahawa PAS akan membuat ketetapan baru mengenai masa depan parti itu dalam pakatan pembangkang, apabila siasatan mengenai rakaman video seks yang pelakonnya dikatakan mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim siap sepenuhnya. Selain Utusan, beberapa media lain termasuk Berita Harian dan The Star turut melaporkannya. Sehubungan itu, beliau mahu media-media yang terlibat agar memohon maaf serta memperbetulkan laporan mereka sebelum tindakan perundangan diambil. "Saya hargai pendirian beliau dan PAS. Tolak fitnah Umno dan percubaan melagakan..." tulis Anwar. -Hrkh |
Usah mimpi kami mahu melutut kepada umno! Posted: 25 Apr 2011 03:38 PM PDT RAKYAT dah pasang niat, samada DS Anwar disabitkan bersalah atau tidak tumpuan rakyat kini adalah untuk menjatuhkan kerajaan Umno/Bn di dalam PRU Ke-13 akan datang. Apabila PR berjaya menduduki Putrajaya, barulah kita akan ketahui siapa sebenarnya yang selama ini menipu rakyat, yang merompak hak rakyat dan konspirator fitnah yang banyak memecah-belahkan masyarakat. Justeru itu, kita biarkan saja pihak Polis mahu siasatan kes video seks itu seberapa lama yang ia mahu. Begitu juga dengan trio datuk T, samada mereka ditangkap atau dilindungi rakyat sudah tidak peduli lagi kerana yang paling besar tugas kita selaku rakyat yang bermaruah adalah untuk menguburkan Umno/Bn di negara ini. Samalah juga dengan kes Liwat, rakyat sudah tidak peduli lagi berapa hari Saiful tidak membasuh duburnya kerana maruah dan nasib kita bukan terletak pada dubur pemuda itu. Itu beza kita dengan satu pihak lagi yang bersekutu dengan Apco itu. Adakah mereka ingat dengan mensabitkan Anwar dengan liwat dan video seks itu maka PKR akan berkubur? Kalau dulu PKR hanya ada seorang Ahli Parlimen sebagai wakil kita boleh berjuang dengan gigih, masakan ketiadaan DS Anwar kita mahu melutut dengan sekutu Apco? Kita masih ada PKR, DAP dan PAS yang boleh menyambung perjuangan Anwar. Silap besar mereka jika ingat PR akan hancur apabila Anwar tiada. Bahkan, PR akan menjadi bertambah kuat dan bersemangat lagi untuk menghentikan kezaliman Umno/Bn. Perjuangan kita bukan kerana batang tubuh Anwar tetapi untuk agama dan negara. Umno usah bermimpi untuk melihat PKR akan menjadi seperti Parti Melayu Semangat 46 yang mati setelah ramai pemimpinnya melutut dengan Umno./wfauzdin.blogspot.com |
Kes Ahmad Sarbani: Laporan Siasatan Ke AG, PAS Tawar Bantuan Guaman Posted: 25 Apr 2011 03:33 PM PDT PAS melalui Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Pusat telah menziarahi keluarga allahyarham Ahmad Sarbani Bin Mohamad di kediamannya di Kelana Jaya semalam. Kunjungan ini dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas yang dikendalikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasruddin Hassan At-tantawi bersama ahli keluarga allahyarham dan 30 orang ahli dan masyarakat setempat turut hadir sama dalam kunjungan tersebut. Ahmad Sarbani meninggal selepas dikatakan jatuh dari tingkat empat bangunan SPRM Kuala Lumpur selepas beliau ke pejabat itu baru-baru ini. Ekoran itu pelbagai andaian dibuat bagaimana beliau jatuh dan meninggal. Sebelum ini, para pemimpin kanan PAS turut menziarahim keluarga beliau bagi mengucapkan takziah atas kejadian itu. Nasruddin mengucapkan takziah kepada balu allahyarham Sarbani (Puan Maziah Bt. Manap) serta keluarga dalam insiden dan memohon agar terus bersabar dalam menempuh hidup. Nasruddin berkata, "Kita dari Dewan Pemuda dan rombongan yang hadir mengharap dan berdoa agar puan sekeluarga diberikan ketenangan dan keadilan yang sebenar. "Kita juga telah bersetuju untuk menyediakan khidmat guaman bagi membela Allahyarham serta kos guaman tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh Dewan Pemuda PAS Pusat," tambah Nasruddin lagi. Wakil keluarga yang juga merupakan adik kepada Allahyarham (Hussin bin Mohamad) turut berterima kasih atas kesudian PAS untuk datang mengujungi keluarga mereka dan bersama-sama membantu mereka untuk mencari keadilan bagi keluarga mereka. Apabila ditanyakan apakah tindakan yang bakal dilakukan oleh pihak keluarga dalam kes tersebut, Maziah mengatakan masih menunggu hasil siasatan selesai. "Kami masih menunggu siasatan polis sehingga selesai dan selepas itu kita akan buat tindakan hasil dari keputusan siasatan tersebut," kata Maziah yang telah berbincang dengan peguamnya yang juga merupakan abang iparnya. Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh juga turut memberikan sokongan kepada balu Allahyarham serta keluarga agar lebih cekal dan bersabar. Dewan Muslimat juga bersedia untuk menyalurkan kebajikan dan membantu bagi meringankan bebanan keluarga allahyarham yang telah meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak. Tiga daripada mereka masih lagi belajar di sekolah. Di akhir pertemuan tersebut sedikit sumbangan juga telah disampaikan kepada keluarga Allahyarham oleh Ustaz Nasruddin dan juga Ustazah Nuridah mewakili kedua-dua dewan. Kunjungan malam tadi turut dihadiri oleh Ustaz Hasbullah Ridwan (Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor) dan Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan (Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor) serta exco-exco kedua-dua dewan. -HD
|
Sedar Bahaya Rasuah, Bila Projek Untuk Kroni Sudah Habis Posted: 25 Apr 2011 03:29 PM PDT Parti Islam Semalaysia, PAS terkejut dengan kenyataan Datuk Najib Tun Razak yang baru sedar tantang bahaya rasuah boleh menjejaskan pendapatan negara. Mungkin beliau baru sedar rasuah merupakan barah yang boleh membawa kehancuran negara apabila wang negara semakin mengucup, sehingga projek untuk kroni tidak boleh diberikan lagi. |
TG Nik Aziz: ‘Mereka pertikai Pakatan, sila datang Kelantan lihat sendiri’ Posted: 25 Apr 2011 03:18 PM PDT "Menjelang pilihan raya umum ke-13, kami menjemput anda semua untuk datang ke Kelantan dan menyaksikan sendiri bagaimana Pakatan Rakyat melalui PAS memerintah Kelantan," kata Mursyidul Am PAS (gambar) ini. "Dan, bandingkan sendiri dengan negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN), apakah benar Kelantan seperti mana yang dilaporkan media milik BN... anda semua boleh datang dan menilainya sendiri," kata Menteri Besar Kelantan dalam laman Facebooknya hari ini. Selain itu, kata Nik Aziz, pihak yang mempertikaikan pencapaian kerajaan negeri Kelantan boleh menemuinya pada program Medan Ilmu, Kota Baru Jumaat ini. "Anda dialu-alukan untuk datang ke Medan Ilmu pada pagi Jumaat," kata beliau yang mengetuai pentadbiran kerajaan negeri sejak 1990. Kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan PAS telah menjadi pertikaian dan bahan serangan Umno-BN sejak sekian lama. Terbaru Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed membidas kerajaan negeri Kelantan kerana menutup pintu rundingan dengan 415 peniaga Pasar Lama Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB) dan Arkde Uda. Mustapa berkata kerajaan negeri Kelantan tidak bertimbang rasa kerana enggan memberikan peluang kepada peniaga berunding dengan mereka bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi. Selain itu, Umno Kelantan sebelum ini juga mendakwa kerajaan negeri Kelantan tidak bersih ekoran pendedahan yang dibuat Utusan Malaysia mengenai loteri "big sweep" dan juga aktiviti pelacuran di negeri itu. Malah penghujung tahun lalu, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menggesa Nik Aziz supaya meletakkan jawatan sebagai menteri besar. Ibrahim berkata gesaan itu berikutan keadaan kesihatan Nik Aziz yang sering terganggu dan gagal membawa sebarang perubahan biarpun telah lama mentadbir negeri itu. Beliau berkata, sudah sampai masa Nik Abdul Aziz mengundurkan diri bagi mengelakkan rakyat di negeri ini terus ditindas dan tidak mendapat hak mereka seperti mana yang dinikmati di negeri-negeri lain. |
You are subscribed to email updates from Muslimeen United To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan