Ahad, 3 April 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


PRN Sarawak : Kali ketiga ceramah DSAI diserbu polis

Posted: 03 Apr 2011 08:11 PM PDT

SARAWAK: Polis terus menjadi alat dan perkakas Barisan Nasional apabila bertindak menghalang ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Betong, Sarawak, menjelang pilihan raya negeri itu 16 April ini.
Ini adalah kali ketiga polis mengganggu ceramah Ketua Umum KEADILAN itu selepas melakukan perkara yang sama pada dua program yang dihadiri Anwar di DUN Semariang dan Satok minggu lalu.
Betong merupakan kubu Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Alfred Jabu.
Ceramah itu yang diadakan di medan selera terbuka di situ, bermula dengan lancar apabila pemimpin KEADILAN, termasuk empat calon memberikan ucapan kira-kira lebih sejam.
Anwar tiba di lokasi berkenaan pada jam 9.30 malam dan disambut hampir 1,000 penduduk pelbagai kaum beserta laungan reformasi.
Namun beliau hanya dapat berucap selama 10 minit sebelum seorang pegawai polis meminta nya menghentikan ucapan.
Tindakan tersebut menyebabkan kemarahan dan ketegangan di kalangan orang ramai yang hadir. Selepas rundingan, Anwar bersetuju memendekkan ucapannya sebelum polis mengganggunya lagi.
"Jika hanya ada 10 orang, polis tidak akan ganggu. Tetapi bila terdapat ramai orang seperti malam ini, mereka akan mengganggu," katanya dipetik laporan Malaysiakini.com.
Menurut Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Sarawak, Cecilia Siti Una, kehadiran orang ramai dalam program Pakatan Rakyat malam semalam adalah yang terbesar dalam sejarah Betong.
"Bukan mudah untuk meminta penduduk Betong menghadiri ceramah politik," katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=10549

Bubar Umno tubuh KEADILAN

Posted: 03 Apr 2011 05:04 AM PDT

KUALA LUMPUR: Umno cawangan Linear City 2 hari ini dibubar berikutan timbalan ketuanya, Mahadi Mohd Nor bersama hampir 20 penyokong beliau meninggalkan parti itu dan menyertai KEADILAN.
Pembubaran cawangan itu diganti dengan penubuhan Ranting baru KEADILAN yang ke-16 dalam Parlimen Lembah Pantai.
Borang penyertaan diserahkan kepada Ketua Cabang KEADILAN Lembah Pantai yang juga Ahli Parlimen, Nurul Izzah Anwar.
Bercakap kepada KeadilanDaily, Mahadi berkata, beliau menyertai KEADILAN kerana yakin dengan komitmen parti itu bersama Pakatan Rakyat dalam menjaga kebajikan rakyat.
Katanya, komitmen itu jelas apabila Selangor yang diterajui pimpinan KEADILAN, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjaya merakyatkan ekonomi Selangor melalui pelbagai dasar kebajikan.
"Di peringkat persekutuan, KEADILAN bersama Pakatan Rakyat menawarkan dasar kebajikan yang jelas melalui agenda Buku Jingga.
"Antara yang menarik perhatian ialah tekad untuk menurunkan harga minyak dan menghapus tol secara berperingkat-peringkat," katanya pada 3 April lalu.
Mahadi juga mengakui Umno walaupun giat mencerca Buku Jingga dengan pelbagai tohmahan tetapi sebenarnya cuba meniru dasar itu secara diam-diam.
Pada masa ini, katanya, Umno hanya mampu meredakan kemarahan rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang melalui gimik politik.
Mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka, Nurul Izzah menegaskan, KEADILAN sedia menerima individu yang komited bagi menjayakan perubahan besar di negara ini.
Turut hadir majlis itu ialah puluhan pimpinan KEADILAN Cabang Lembah Pantai dan masyarakat setempat.

Tiada ulasan: