Khamis, 14 April 2011

MANDOR.BLOGSPOT.COM

MANDOR.BLOGSPOT.COM


KEADILAN gesa SPR siasat salah laku kempen BN di Belaga

Posted: 13 Apr 2011 07:00 PM PDT

BELAGA: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera menyiasat kehadiran beberapa agensi kerajaan yang didapati berkempen untuk Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N57 Belaga.

"Beberapa hari lalu, kami menerima maklumat bahawa di N57 Belaga, beberapa agensi Kerajaan Pusat seperti KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat), JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas), dan TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) sedang beroperasi. "Mereka dikatakan menetap di rumah-rumah panjang dan berkempen untuk Barisan Nasional," kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah berkata, siasatan itu perlu berikutan ia adalah salah laku ketika tempoh kempen sedang berlangsung. Jelas beliau, pengunaan agensi terbabit juga membawa pelbagai tanda tanya dan dikhuatiri akan digunakan di semua DUN Pilihan Raya Sarawak kali ini yang dianggap paling berisiko buat Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. "Kami dengan ini meminta satu siasatan dibuat SPR dengan segera, demi keadilan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak," tegasnya.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut mempersoalkan adakah tindakan membawa masuk agensi-agensi ini sebenarnya satu pengakuan BN bahawa jentera mereka di Sarawak gagal dan memerlukan bantuan BN Semenanjung. "Adakah ini satu petanda Umno sedang cuba memasuki negeri Sarawak dengan senyap memandangkan kerana ramainya anggota agensi-agensi ini adalah ahli Umno," soal Nurul Izzah.

Nurul Izzah berkata, salah laku kempen BN juga boleh wujud di kawasan pedalaman kerana sistem pengundian di Sarawak agak unik di mana peti-peti undi akan dibawa ke rumah-rumah panjang untuk proses pengundian dijalankan. "Proses pengundian sebegini akan terbuka kepada pelbagai unsur yang mungkin sukar dikawal. "Sebagai contoh, kewujudan jentera BN yang bertapak di rumah-rumah panjang mungkin menjadi satu tekanan, atau bagaikan ancaman kepada para pengundi di situ untuk mengundi dengan bebas. Lebih-lebih lagi sekiranya jumlah anggota jentera BN itu melebihi jumlah petugas SPR," jelas Nurul Izzah.

Dalam pada itu, beliau berkata, KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak-pihak tertentu kerana melakukan serangan Distributed Denial of Service (DDoS) ke atas laman web Malaysiakini, Radio Free Sarawak dan Sarawak Report semalam. "Kami menggesa SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia) agar menyiasat dengan segera pihak-pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut dan membawa mereka ke muka pengadilan. Kejadian sebegini tidak boleh dibenarkan berlaku, terutamanya dipertengahan waktu berkempen," katanya./KeadilanDaily

RAIS YATIM `TANGGANG MODEN' ?

Posted: 13 Apr 2011 08:27 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

RAIS anak kepada Yatim seorang Ahli Parlimen Jelebu, iaitu MP bagi kawasan saya juga. Saya berada di Dun Pertang iaitu salah satu Dun di bawah Parlimen Jelebu. Rais Yatim baru-baru ini pernah digemparkan dengan satu skandal dan kisah itu berlarutan hingga ke mahkamah kerana Rais menafikan tuduhan terhadapnya dan memfailkan saman ke atas seorang Blogger yang hanya membuat `copy paste' kununnya skandal melibatkan beliau.

Sekarang ini, Rais ke hulu ke hilir di bumi sarawak menawarkan WIFI kepada beberapa kawasan sempena Pilihanraya Negeri pada 16 Apr ini. Di mana ada pilihanraya kecil sebelum ini, itulah modal yang ada pada Rais. Lihat sahaja sewaktu PRK Galas, Tenang, Merlimau dan juga di Kerdau sebelum ini. Sekarang modal yang sama dibawa ke Sarawak.

Saya tidak tahu samada kesemua kawasan yang Rais telah janjikan itu sudah berjalan atau belum WIFInya, tetapi setahu saya WIFI yang dijanjikan sewaktu PRK Bagan Pinang dahulu pun tidak berjalan lagi. Yang jelas, Adun Bagan Pinang Isa Samad nikah baru. Kali ini janji dibawa ke Sarawak pula, mana tahu jika rakyat Sarawak mudah tertipu lagi.

Mana lojiknya Rais mahu wujudkan WIFI di merata tempat kerana di Parlimennya sendiri, usahkan WIFI, bas awam pun tiada. Jika anda tidak percaya, anda naik bas dari Seremban ke Kuala Pilah. Dari K.Pilah, anda cuba cari bas menuju ke kawasan Jelebu. Anda tidak akan jumpa mana-mana bas yang akan masuk ke beberapa kawasan kampung di Jelebu termasuk ke kampung saya. Memang malu mahu ceritakan betapa dhaifnya kampung sendiri, tetapi terpaksa juga ceritakan kerana nampaknya Rais Yatim seperti `Si Tanggang Moden 'yang lupa asal usul kawasannya. Itu belum dilihat kepada beberapa jalanraya di kawasan Jelebu, amat teruk dan memalukan.

Jika anda pergi ke Pekan Kuala Klawang, iaitu suatu Pekan yang menjadi ibu daerah Jelebu anda akan lihat sekitar jam 6 petang pekan ini akan sunyi sepi. Berbeza dengan Pekan Bahau yang kini berada di bawah DAP, pekan ini meriah dan sibuk sehingga ke tengah malam. Jalan yang paling baik di Jelebu hanyalah sekitar jalan dari Seremban ke Pekan Kuala Klawang sahaja. Mungkin jalan itu hanyalah untuk memudahkan perjalanan Rais Yatim dari KL balik ke kawasannya di Kuala Klawang.

Rais Yatim tentu fikir rakyat di Jelebu tidak tahu apa-apa tentang internet, IT dan sebagainya. Sebab itu WIFI tidak perlu di Jelebu. Perkhidmatan 3G pun banyak kawasan yang tidak memperolehinya. Apakah rakyat Jelebu mahu mimpi untuk menikmati perkhidmatan WIFI? Jika rakyat Jelebu terasa ingin menikmatinya juga, tunggu sahaja jika ada PRK di Jelebu. Soalnya sekarang, adakah rakyat Sarawak terpedaya dengan `Si Tanggang Moden' ini? /wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: