Kerabu Bersuara ® |
- KEADILAN selar Berita Harian bawa agenda jahat Umno
- Putrajaya tanpa PM, TPM
- NGO dakwa Muhyiddin berbohong, isu Interlok belum selesai
- Kamus Dewan: MIC gesa Kementerian Pelajaran, DBP jaga sensitiviti kaum
- Kekalahan PAS Dan PKR Di Serawak Disebabkan Keangkuhan PKR Dan Anwar? Satu Teguran Keras Dari Kerabu Bersuara!
- Prof Dr Abdul Aziz Bari
- J/kuasa Fatwa Pulau Pinang Tolak Video Fitnah, Nasihat Orang Ramai
- Emel 1Malaysia terima reaksi negatif di Facebook, Twitter
- Hadi: Saya sedia ditentang jika ada calon layak
- Cina lebih percaya kepada PAS dari Umno
- SPR harus di'BERSIH'kan
- Sembang politik pasca pilihan raya Sarawak
- Jangan anggap PRU ke-13 lambat lagi
- Menjawab pandangan Abdul Aziz Bari
KEADILAN selar Berita Harian bawa agenda jahat Umno Posted: 21 Apr 2011 09:07 AM PDT KUALA LUMPUR: KEADILAN mengutuk tindakan akhbar arus perdana, Berita Harian yang tidak mencerminkan etika kewartawanan kerana melaporkan secara semberono kononnya individu dalam video seks fitnah sepadan dengan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Naib Presiden, N Surendran berkata, selepas meneliti laporan berita tersebut beliau mengesyaki pihak polis turut bersekongkol membocorkan maklumat yang seharusnya sulit kerana masih dalam tempoh siasatan. "Ini merupakan modus operandi biasa dengan niat jahat yang dilakukan untuk mencalar imej seseorang dengan membuat tajuk berita utama secara sensasi untuk mengelirukan orang ramai. "Tidak mustahil pihak polis turut bersekongkol dan mereka turut mempunyai agenda politik," kata Surendran. Pada tajuk utamanya hari ini, akhbar itu memetik sumber tanpa nama, kononnya sebuah agensi penyiaran terkemuka di Korea Selatan yang menganalisis rakaman video seks mendapati pelaku dalam rakaman itu sepadan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurut akhbar itu lagi, polis juga telah mengenalpasti lokasi video tersebut dirakamkan, iaitu di sebuah kondominium di pinggir Kuala Lumpur dan wanita terbabit dipercayai seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara. "Akhbar tersebut tidak menamakan siapa, dimana dan apa kelayakan makmal atau pun penganalisis yang menjalankan kajian di Korea Selatan itu. Ia dilaporkan secara tergantung dan dibuat secara sensasi. "Agenda Berita Harian ini adalah agenda Umno dan Barisan Nasional," Ujar Surendran. Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat individu atau pihak yang kononnya dilihat bebas dan berkecuali 'dipasang' (planted) oleh mereka yang mempunyai motif jahat untuk mencalar kredibiliti Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat. "Ada kemungkinan pihak polis sendiri yang melantik mereka (penganalisis) ini," katanya Sementara itu, Surendran menambah, isteri Ketua Umum, Datuk Seri Dr Wan Azizah sendiri telah memastikan bahawa individu dalam video tersebut bukan suaminya. "Siapa lagi yang boleh mengesahkan tubuh seseorang, kalau bukan isterinya sendiri. Ini merupakan percubaan akhir pihak-pihak yang takut kepada kemaraan Pakatan Rakyat," jelasnya. |
Posted: 21 Apr 2011 04:30 AM PDT Oleh Haji Abdul Subky Latif Apa yang menarik tentang Pilihan Raya Negeri Sarawak yang berakhir dengan mengekalkan Tan Sri Patinggi Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri? Apakah kemenangan semula kerajaan Barisan Nasional dengan majoriti dua pertiga? Atau kekalahan teruk SUPP di tangan DAP? Atau Taib Mahmud mampu buat apa yang Suharto dan Hosni Mubarak tidak mampu? Semuanya menarik tetapi paling menarik ialah pilihan raya itu menjadikan Jabatan Perdana Menteri kosong dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri antara seminggu dan sepuluh hari. Pertama kali dalam pilihan raya bukan Parlimen Jabatan Perdana Menteri atau kini masyhur dengan Putrajaya tanpa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri begitu lama. Mungkin kecanggihan teknologi alam maya memungkinkan boleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri boleh serentak meninggalkan Jabatan Perdana Menteri buat tempoh semiggu atau lebih. Perdana Menteri dan timbalannya boleh memantau pejabat masing-masing dari jauh tanpa sedikit pun maklumat tercicir. Setahun pun Perdana Menteri tidak turun ke pejabat, dengan bantuan teknologi maklumat dan komunikasi yang serba canggih itu tiada perkembangan di pejabatnya yang dia tidak tahu dan ketiadaannya tidak dirasakan dia tidak ada di pejabatnya. Saudagar komunikasi Jerman yang terkemka Axel Springer tidak menjenguk pejabat-pejabat akhbarnya barang sekali pun setahun, melainkan dia menghabiskan banyak masa di pergunungan Switzerland, tetap arahannya tiba kepada CEOnya dari masa ke masa dan syarikatnya tetap berkembang. Boleh gaya saudagar itu dijadikan ikutan, tetapi ia mendedahkan orang terasa boleh berjalan tanpa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Siapakah yang menjalankan kerja Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri semasa ketiadaan mereka? Tentulah segala-galanya terserah kepada Ketua Setiausaha Negara. Kalau Tan Sri Sidik Hussein boleh menjalan dan menggerakkan pentadbiran negara tentulah Perdana Menteri seperti tidak diperlukan lagi. Dalam sejarah Pilihan Raya Negeri Sarawak tiada yang lebih mencemaskan Kuala Lumpur selain dari pilihan raya untuk menggantikan pengaruh Datuk Stepen Kalong Ningkan dengan Tun Abdul Rahman Yaakub awal tahun 1970an dan pilihan raya bagi mengekalkan Taib Mahmud dari ancaman pengaruh Tun Abd Rahman Yaakub pertengahan tahun 80an. Pilihan raya itu adalah untuk menentukan Kuching berada di tangan orang dipercayai oleh Perdana Menteri atau tidak. Sekali pun Ketua Menteri Sarawak sebelum Tun Rahman adalah Tawi Sli yang penuh setia kepada pentadbiran Jabatan Perdana Menteri tetapi pengaruh bekas Ketua Menteri Stepen Kalong Ningkan adalah lebih besar. Masalah Kalong Ningkan ialah politiknya lebih dekat ke Singapura dari Kuala Lumpur. Tun Razak tidak berada sepenuh masa di Kuching. Timbalannya Tun Dr Ismail lagilah terkenal sebagai orang yang suka menghabis banyak masa di pejabat. Walau pun Tun Razak ada juga ke Kuching masa pilihan raya itu, tetapi dia sekejap-sekejap saja ke sana. Tidak ditinggalkan Kuala Lumpur sampai seminggu. Taib Mahmud pernah diancam oleh Tun Rahman, Ketua Menteri sebelumnya dan Yang Dipertua Negeri ketika Taib mula jadi Ketua Menteri. Taib boleh ditumbangkan oleh undi tidak percaya di DUN oleh penyokong-penyokong Tun Rahman. Perdana Menteri Dr Mahathir menasihatkan Taib mengadakan Pilihan Raya Negera sebagai langkah menyelamatkannya. Pengaruh Tun Rahman adalah besar. Dia disukai pula oleh Timbalan Perdana Menteri Ghafar Baba tetapi orang Dr Mahathir adalah Taib. Dr Mahathir lebih banyak masanya di Jabatan Perdana Menteri sepanjang kempen pilihan raya itu. Ternyata usaha Tun Rahman untuk kembali berpolitik semula gagal. Dr Mahathir dapat melakukannya tanpa beernaung lama di Kuching. Mungkin cabaran Pakatan Rakyat dan pimpinan Anwar Ibraahim mencemaskan Taib dan Perdana Menteri Najib. Mungkin tanpa Najib dan Muhyiddin Yasin berkubu terus di Sarawak diperlukan bagi mengekalkan Taib dan BN. Apa pun seolah-olah Perdana Menteri dan timbalannya tidak berani meninggalkan Sarawak sepanjang kempen itu. Adakah begitu? Adalah penting bagi Najib dan Muhyiddin bagi memastikan Taib dan kerajaan BN dikekalkan, tetapi tidaklah sampai membiarkan Putrajaya ditinggalkan kepada Ketua Setiausha Negara sana semata-mata kedua-duanya mahu mempertahankan Taib. Dalam pilihan raya-pilihan raya sebelumnya Perdana Menteri tidak berapa turun. Ia diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri saja. Itu pun tidak pula Timbalan Perdana Menteri meninggalkan pejabatnya langsung. Hanya Najib dan Muhyiddin mengutamakan kempen lebih dari menjaga Jabatan Perdana Menteri. Ia tidak salah tetapi ia menjadi contoh, boleh kerja Perdana Menteri dibuat dari jauh. Haji Abdul Subky Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia |
NGO dakwa Muhyiddin berbohong, isu Interlok belum selesai Posted: 21 Apr 2011 03:00 AM PDT Oleh Shazwan Mustafa Kamal KUALA LUMPUR, 21 April — Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin berbohong apabila bulan lalu mengatakan bahawa kontroversi berkaitan novel "Interlok" sudah selesai. Kumpulan itu yang terdiri daripada pelbagai organisasi khususnya mewakili kaum India juga mendakwa Kementerian Pelajaran juga telah gagal dalam memberi respons ke atas laporan-laporan yang dihantar mereka, menggariskan alasan mengapa novel itu seharusnya digugurkan daripada silibus kementerian. Pengerusi NIAT Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim Al-Hai berkata novel itu pada keseluruhannya menggambarkan kesemua rakyat Malaysia secara negatif, bukan hanya masyarakat India. Mereka mendakwa novel itu tidak memenuhi kriteria garis panduan asas Kementerian Pelajaran. "Timbalan Perdana Menteri berbohong... beliau memberitahu Parlimen pada 24 Mac (lalu) bahawa novel itu akan dikekalkan dalam silibus. "Tetapi apa yang beliau beritahu rakyat Malaysia, berdasarkan laporan media, ialah Interlok hanya akan digunakan selepas pindaan yang sewajarnya dibuat," kata beliau pada sidang media hari ini. Katanya, selaku pengerusi NIAT beliau ada menulis kepada Muhyiddin dan juga Ketua Pengarah Pelajaran untuk membincangkan perkara itu, tetapi tiada pihak yang memberikan respons setakat ini. "Kami hendak tahu mengapa novel itu dimasukkan ke dalam silibus jika ia tidak memenuhi garis panduan kementerian? "Adakah beliau (Muhyiddin) hendak memberitahu bahawa kami perlu menerima sampah (novel) ini," kata Thasleem. Oleh itu katanya, adalah salah jika Muhyiddin menuduh NIAT "mempolitikkan" isu ini memandangkan kaum Cina juga kini menentang novel Interlok. Katanya, berdasarkan penyelidikan selama "900 jam" pihaknya, novel itu seharusnya ditarik balik daripada digunakan sebagai teks sastera Bahasa Melayu SPM. |
Kamus Dewan: MIC gesa Kementerian Pelajaran, DBP jaga sensitiviti kaum Posted: 21 Apr 2011 02:06 AM PDT Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani PUTRAJAYA, 21 April — MIC turut turun gelanggang debat mengenai isu Kamus Dewan dengan menggesa Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) agar mengambil kira sensitiviti kaum dalam menerbitkan buku panduan bahasa itu. Timbalan presidennya Datuk Dr S. Subramaniam berkata kerajaan perlu mempertimbangkan sensitiviti kaum dalam setiap dasarnya sepanjang masa. "Saya merasakan ini satu isu yang sukar. Kita perlu melihatnya dari perspektif komuniti (India) dan (juga) perspektif Kementerian Pelajaran dan cuba untuk menyelesaikan sebab dalam konteks rakyat Malaysia, sensitiviti kaum akan sentiasa wujud. "Ia sesuatu yang perlu diambil pertimbangan dalam mana-mana polisi yang lazimnya kita lakukan dan dalam mana-mana sistem pembentukan negara ini," katanya lagi. Katanya, kerajaan mesti mempertimbangkan sensitiviti kaum yang berlainan dalam pendekatannya. Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata kerajaan perlu melihat aspek ini agar Kementerian Pelajaran dan DBP akan melihat isu secara lebih holistik, bukannya dari segi bahasa malah "dari segi sensitiviti pelbagai kaum." Sabtu lalu, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), pertubuhan mewakili penulis kaum India, mendakwa Kementerian Pelajaran menafikan hak bukan Melayu terhadap Bahasa Malaysia ekoran kenyataannya bahawa Kamus Dewan, terbitan DBP hanya milik orang Melayu dan tidak boleh dipersoalkan oleh kaum lain. Presidennya Uthaya Sankar SB berkata, jawapan Kementerian Pelajaran berhubung isu semasa — dakwaan yang Kamus Dewan mempunyai banyak kata-kata menyinggung perasaan kaum India — ternyata cuba menafikan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh bangsa Malaysia. Sebaliknya (Kementerian Pelajaran) memaksa orang lain melihat serta menganggap Bahasa Malaysia (bahasa Melayu) sebagai milik kaum tertentu sahaja. DBP terletak di bawah penyeliaan Kementerian Pelajaran. "Jawapan dan pendirian seperti ini yang mewakili kerajaan Malaysia pasti menggagalkan usaha murni mengangkat martabat dan maruah Bahasa Malaysia, serta usaha membina Bangsa Malaysia," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini. Kamus Dewan semasa adalah edisi keempat, dipasarkan sejak 2005. Edisi pertama keluar pada 1970. Isu terbaru ini muncul ketika kontroversi novel Interlok masih berlarutan meskipun Kementerian Pelajaran menegaksan ia sudah ditutup. Bagaimanapun pertubuhan-pertubuhan penulis Melayu seperti Gapena dan Pena mempertahankan Kementerian Pelajaran dan DBP. |
Posted: 20 Apr 2011 11:15 PM PDT Salam. Selepas dari PRN Serawak lepas, kami jarang kemaskini blog ini. bukan sebab kami kecewa akan kekalahan ini. Tapi amat kecewa dengan sesetengah pemimpin pakatan yang membuat sesuatu keputusan tanpa memikirkan perasaan rakan-rakan dalam pakatan yang lain. Siapa yang awal-awal umumkan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri Serawak jika pakatan dapat memerintah? Siapa? Pertama, jika beliaulah yang telah mengumumkan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri Sarawak dalam PRN Sarawak baru-baru ini yang telah menyebabkab PBB memperolehi undi swing Melayu Melanau Islam di sana dengan mudah dan percuma yang menyebabkan PAS apatah PKR sendiri kehilangan banyak undi. Siapa? Kenapa PKR dan Anwar terlalu melulu dalam membuat sesuatu tindakan. Susah sangat ke nak berbincang sesama rakan dalam pakatan di mana zaman moden ni orang dah ada teknologi canggih? Siapa punya kerja? Pemimpin senang-senang membuat sesuatu pengumuman tanpa memikirkan mereka yang di bawah. Pikir dulu wahai pemimpin Pakatan. Buat lah sesuatu ikut sesuatu mengikut ajaran agama Islam. Jangan sampai orang menyampah dengan anda. Berubah la cara berfikir dan berbincang lah dengan cara yang paling baik dengan memikirkan apa yang terbaik. PKR jangan hanya fikir untuk kepentingan puak sahaja. Fikirkan juga rakan pakatan yang lain samada PAS atau DAP. Kami di Team Kerabu Bersuara amat benci dengan pemimpin yang keras kepala dan susah nak dengar nasihat! Berubah la Anwar, Haji Hadi dan Lim Kit Siang! |
Posted: 20 Apr 2011 11:05 PM PDT Oleh nik mohamad abduh Saya terlewat dua hari. Baru sekejap tadi jengok Malaysian Insider cari berita pasal Prof Dr Abdul Aziz Bari kritik Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang untuk ke sekian kalinya. Tapi dah ada tiga berita rupanya. Kelmari dulu beliau kritik lalu semalam dikritik pula oleh para pemimpin PAS dan hari ini beliau datang lagi mempertahankan kritikannya itu. Ini saya tulis ini kira himpun yang tiga-tiga tu jadi satu. Terima kasih Prof Aziz kerana kritik. Tahniah Dewan Pemuda PAS Wilayah kerana 'mengamuk' dan terima kasih sekali lagi kepada Prof Aziz kerana melarang mereka yang muda-muda itu daripada mengamuk. Antara pantang larang orang-orang akademik ialah tidak boleh mengamuk. Mengamuk tanda tidak akademik dan ilmuan. Nasib baik mereka dah habis belajar di universiti. Jika tidak Prof Aziz akan anggap mereka mahasiswa yang tidak akademik dan berilmu. Di universiti sekarang, yang terlebih mengamuk ialah kumpulan pro pembangkang. Adapun mahasiswa yang pro kerajaan mereka tidak buat perangai mengamuk. Mereka pada sisi pandang Prof Aziz Bari adalah lebih akademik dan ilmuan. Inilah masalah pembangkang, asyik melahirkan penyokong yang mudah mengamuk. Tak puas hati sikit mengamuk. Dikritik sikit, mengamuk. Mengkritik pun mengamuk. Tapi saya pula ucap tahniah pada rakan-rakan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Bukan hanya kerana mempertahankan balik presiden mereka, tapi kerana mereka dianggap pengamuk oleh Prof Aziz. Saya tak fikir mereka rasa mereka sedang mengamuk semasa tindakan mempertahan itu berlaku. Hanya apabila Prof Aziz kata jangan mengamuk, baru mereka sedar tindakan mereka adalah amukan kepada Prof Aziz di mata Prof Aziz sendiri. Jadi tindakan mereka cukup berkesan sehingga dianggap satu amukan oleh seorang bertaraf ilmuan dan akademik. Itu bukan calang-calang. Jadi saya fikir kena ucap tahniah kepada rakan-rakan saya itu. Saya sendiri memang tak boleh mengamuk dah. Dah dua hari terlewat. Mengamuk bukan boleh buat-buat, apatah main tangguh-tangguh. Untuk pengetahuan, baru- baru ini saya tengok di TV ramai orang mengamuk di Mesir dan Tunisia. Hasilnya tumbanglah kedua-dua kerajaan yang sedia ada. Dengar kata, kerajaan tersebut sebelum itu tak suka rakyatnya mengamuk, malah menyekatnya. Nampaknya, mengamuk ini tidak disukai oleh orang-orang akademik seperti Prof Aziz Bari dan kerajaan yang zalim seperti Husni Mubarak. Tetapi di sisi orang-orang berilmu di medan kehidupan dan perjuangan, oleh kerana sifat amuk itu berakar semulajadi dan tabie sifatnya, apatah di kalangan orang-orang Melayu mengikut kata orang putih, mereka telah menjadikannya satu aset penting memacu perjuangan dan kejayaan. Di Mesir tadi contohnya, amukan rakyat marhaen dan anak-anak muda itu telah disusun dan ditarsyidkan dengan sempurna oleh orang-orang berilmu yang berbakti di medan kehidupan dan perjuangan. Dikatakan, para ulama banyak memainkan peranan besar mengurus kerja-kerja tarsyid terhadap amukan rakyat tersebut sehingga membuahkan hasil yang diinginkan oleh semua termasuk Prof Aziz sendiri, iaitu kemenangan menumbangkan kezaliman. Para ulama tersebut walau bagaimanapun, sepertilah tuan guru presiden, biasanya dianggap lembap, kurang strategi dan terlalu ukhrawi dan kurang duniawi. Mungkin kerana itulah saya gembira dengan 'amukan' pemuda Wilayah itu. Ini kerana mereka mengamuk mempertahankan ulama. Oleh kerana ulama ini kerja besarnya adalah tarsyid dan mengurus kebangkitan umat, maka saya yakin pemuda Wilayah, bahkan seluruh pemuda PAS akan sentiasalah amukan mereka itu terurus dengan baik kerana sentiasa diurus para ulama yang dipertanggung jawab oleh Allah untuk mengurus umat Islam sampai bila-bila selagi tak kiamat. Tapi, Prof Aziz Bari tak boleh mengamuk. Pertama beliau tak suka orang mengamuk, maka mana boleh dia memgamuk? Kedua, jika beliau mengamuk tak ada ulama atau sesiapa pun boleh uruskan dia. Lihat saja dua tahun lepas, beliau telah mengamuk dan amukannya tak henti-henti sehingga datang mursyidul am PAS mengarahkan sebuah muktamar tergempar parti PAS untuk 'menyelesaikan' amukan Prof Aziz itu. Susah habis segala orang bila amukan tiada tarsyid berlaku. Mungkin Prof Aziz Bari tak merasa pun dia mengamuk pada masa itu, tetapi saya dan ramai melihat dia telah mengamuk. Samalah seperti Prof Aziz anggap pemuda PAS Wilayah mengamuk hari ini sedangkan mereka tak rasa pun mereka sedang mengamuk. Untuk pengetahuan, orang mengamuk secara umumnya memang tak sedar dia mengamuk. Kita hanya boleh melarang orang mengamuk selama mana kita sendiri tidak dalam dunia amukan. Kemudian, Prof Aziz Bari nampaknya begitu bersyukur PAS kalah di Beting Maro, Sarawak dalam pilihan raya negeri itu baru-baru ini. Agak lama beliau tidak memiliki peluru buat membedil tuan guru presiden. Bayangkan jika PAS menang, peluru itu pasti bertukar menjadi peluru plastik. Prof Aziz akan bungkam atau jika dia mahu menembak juga dia akan berkata, sepatutnya PAS menang di dua atau tiga kerusi yang ditandinginya atau PAS sepatutnya bertanding di seluruh DUN majoriti Islam! Ha, keplastikan sangat peluru itukan. Maka mari bersyukur PAS kalah di Beting Maro.. Kemudian, Prof nampaknya terus mengagumi dan meratapi pemergian almarhum Dato Fadhil Nor. Seolah-olah beliau berkata, oh, kalaulah almarhum masih hidup, bla bla.. Saya pula lain. Bagi saya nasib baik beliau telah pergi menemui kekasihnya yang hakiki itu. Kerana 'jikalah' beliau hidup, siapa pula akan memimpin Pakatan Rakyat? Fadhil Nor atau Anwar? Saya naik bimbang pula bahawa Prof Aziz pada masa itu akan menghentam Anwar pula semacam RPK lakukan atau mencincang lumat almarhum Dato Fadhil Nor sambil berkata, "Kamu ni menyusahkan, sepatutnya kamu telah mati 10 tahun lepas lagi." Bahasa orang mengamuk mana boleh agak? Jadi, bagi saya, ketiadaan almarhum yang telah dipilih awal oleh Allah itu adalah kebaikan untuk semua. DSAI selesa memimpin PR dan Prof Aziz pula selesa melibas sana sini, wassana wassini. Akhirnya, bagi saya, presiden PAS adalah liabiti jika; Pertama, jika beliaulah yang telah mengumumkan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri Sarawak dalam PRN Sarawak baru-baru ini yang telah menyebabkab PBB memperolehi undi swing Melayu Melanau Islam di sana dengan mudah dan percuma yang menyebabkan PAS apatah PKR sendiri kehilangan banyak undi. Kedua, jika beliaulah yang mendesak MB Kelantan agar mengekalkan larangan premis jualan untuk judi loteri yang mencetuskan kemarahan DAP, MCA, kaki judi dan sebahagian non muslim lelaki (wanita mana suka suami berjudi?). Ketiga, jika beliau tidak suka Prof Aziz Bari mengkritiknya. Jika tidak, maka tidaklah. Jadi, nasihat saya, teruslah mengkritik dan teruslah mengamuk. Kedua-duanya adalah bukan liabiliti buat PAS dan para ulama rabbani. |
J/kuasa Fatwa Pulau Pinang Tolak Video Fitnah, Nasihat Orang Ramai Posted: 20 Apr 2011 11:00 PM PDT Dari KeadilanDaily Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinangyang bersidang pada 7 April 2011 lalu, telah membincangkan mengenai isu penyiaran video lucah yang didakwa melibatkan ketua pembangkang. Mesyuarat yang dipengerusikan Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Haji Hassan Ahmad, memutuskan bahawa penyiaran video lucah kepada orang ramai jelas bertentangan dengan Hukum Syarak. Menurut AJK Fatwa berkenaan, rakaman video tidak boleh diterima sebagai bukti keterangan dalam Islam kerana ianya boleh direka dan dilakonkan semula. Manakala mereka yang terlibat menyiarkannya adalah tidak bermoral sebagaimana firman Allah dalam surah berikut: Surah an-Nur : ayat 4 "Dan orang yang melimparkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik-baik, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka selamanya; dan mereka adalah orang yang fasik". Surah an-Nur : ayat 13 "Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat saksi itu, maka mereka itu pada sisi hukum Allah adalah orang yang dusta" Surah an-Nur : ayat 23 "Sesungguhnya orang yang menuduh wanita-wanita yang terpelihara kehormatannya, yang tidak memikirkan sebarang kejahatan, lagi beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di Akhirat, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar". Surah al-Hujarat : ayat 6 "Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan". Oleh itu kata Jawatankuasa Fatwa tersebut berkata , orang awam dinasihatkan tidak menonton video itu kerana menurut Hukum Syarak dan Undang-Undang Islam, rakaman video tidak boleh dijadikan hujah dalam pembuktian untuk menjatuhkan hukuman had zina. "Malah orang yang menyiarkan video itu boleh dijatuhi hukuman had qazaf (tuduhan zina) jika gagal membawa empat orang saksi yang adil. |
Emel 1Malaysia terima reaksi negatif di Facebook, Twitter Posted: 20 Apr 2011 10:45 PM PDT KUALA LUMPUR: Projek emel 1Malaysia yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, rata-rata mendapat reaksi negatif daripada rakyat Malaysia. Tinjauan KeadilanDaily.com di laman sosial Facebook dan Twitter mendapati kebanyakan rakyat Malaysia merasa ragu-ragu dengan inisiatif tersebut, malah turut menjadikan ia sebagai modal untuk gurauan. Sehingga kini, di laman Facebook, Kumpulan membantah inisiatif tersebut, '1M Malaysians who don't want Najib's 1 Malaysia email', menjangkau 40,000 penyertaan dalam tempoh kurang 48 jam, selepas projek itu diumum Najib. Bilangannya dijangka semakin bertambah. Menurut status-status yang ditulis pengguna laman sosial tersebut, ada yang berpendapat Emel 1Malaysia akan digunakan Najib sebagai saluran kempen Barisan Nasional dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan datang. "Najib sedang bersedia untuk PRU ke-13. Beliau akan spam kesemua akaun email 1Malaysia dengan emel kempen BN," kata seorang pengguna Facebook dengan nama Soo Ching Pin. Seorang lagi pengguna Facebook yang dikenali sebagai Tan Min Aik mempersoal mengapa akaun emel percuma mahu diberikan kepada rakyat Malaysia sedangkan terdapat sesetengah tempat yang masih tidak menerima bekalan elektrik. "Ia tidak masuk akal untuk memberikan akaun emel percuma apabila masih ada tempat di Malaysia yang tiada bekalan elektrik apatah lagi capaian Internet)," kata Tan Min Aik. Penguna Twitter yang bernama @Aminahmad berkata "Bila PR kata nak naik gaji guru RM500 Tok Din (Muhyiddin Yassin) kata negara akan bankrap. RM50 juta untuk e-mel 1Malaysia negara akan kaya raya?" Malah, halaman twitter perdana menteri turut diserang dengan pelbagai soalan daripada rakyat. Pengguna bernama @Fazlitaufek bertanya kepada Najib, "Free emails to Malaysian that needs RM50M to build? Ever heard of Gmail? @NajibRazak," Ada juga yang berpendapat Najib perlu mendahulukan akses jalur lebar kepada rakyat dan bukannya pemberian akaun emel percuma. "@NajibRazak why not spend RM50m on better access of broadband first? how to use #1Malaysiaemail if no internet access," kata pengguna Twitter dengan nama whykimi. Manakala ada juga yang bimbang dengan faktor keselamatan seperti yang dilontar pengguna twitter bernama @Nurulakmar. "Cuba bayangkan jika tiba-tiba emel 1Malaysia kita diceroboh oleh orang lain. Habis la dokumen2 penting (softcopy) kita kan," ujarnya. Pengguna memakai nama @jasonmumbles berkata, penjelasan Najib bahawa projek itu sebenarnya dibiayai pihak swasta merupakan alasan semata-mata. Malahan alasan yang sama juga diberikan kepada rakyat selepas rakyat membantah projek Menara Warisan Merdeka beberapa bulan lalu. Seorang lagi pengguna Twitter, @zhiQ mempersoalkan keupayaan Tricubes membiayai projek bernilai RM50 juta jika benar dakwaan Najib projek itu sebenarnya dibiayai pihak swasta. Ini kerana Tricubes disenarai sebagai syarikat bermasalah di Bursa Malaysia. "PM says #1MalaysiaEmail is private sector funded. Do u think Tricubes is capable to fund the RM50mil?," kata @zhiQ. Seorang lagi pengguna Twitter, @akumijaedotcom pula secara berseloroh berkata, emel 1Malaysia merupakan satu usaha kerajaan untuk 'membasuh minda' rakyat. "Now government can 'brainwash' our mind by sending the government ideology via #1malaysiaemail, deny me if i'm wrong," kata @akumijaedotcom. Maklumbalas kepada projek itu diperolehi di laman Twitter menggunakan tag #1MalaysiaEmail. |
Hadi: Saya sedia ditentang jika ada calon layak Posted: 20 Apr 2011 10:26 PM PDT Hadi berkata beliau "bukan mahu menjadi pemimpin selamanya". — gambar fail KUALA LUMPUR, 21 April — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini disifatkan sebagai liabiliti kepada parti itu berkata, beliau sedia ditentang pada pemilihan pusat Jun ini. PAS Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencalonkan Datuk Husam Musa iaitu ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan untuk bertanding jawatan presiden. "Jika ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (saya), saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin selamanya. "Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis," kata beliau dipetik media. Kata Hadi, PAS juga mengalu-alukan pertandingan sebarang jawatan untuk membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin selain memantapkan kepimpinan parti. "Pertandingan digalakkan bukan sahaja bagi jawatan parti peringkat cawangan dan kawasan, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi melibatkan jawatan presiden, timbalan dan naib," kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini. Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata pemimpin, ahli dan penyokong perlu sambut baik jika ada pencalonan daripada pemimpin PAS untuk jawatan tertentu daripada latar belakang dan pendidikan yang berbeza. Susulan komen penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mempertahankan Hadi dengan berkata, PAS tidak perlu mengubah pemimpin hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi di Sarawak minggu lalu. Sambil menegaskan tindakan menukar pemimpin hanya kerana pilihan raya sebagai "langkah kurang tepat", Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, "pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT." Beliau menambah PAS mempunyai kaedah-kaedah yang tersendiri untuk memilih pemimpin. "Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihan raya adalah satu langkah kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihan raya," kata beliau. Laporan media kelmarin memetik Aziz, yang lazimnya memberi pandangan terbuka mengenai PAS sebagai berkata, kepimpinan parti Islam itu perlu berubah terutama Hadi yang kini dilihat sebagai liabiliti. Pendirian lantang beliau ini dikeluarkan ketika parti Islam berusia lebih enam dekad ini sedang bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan pusat Jun ini. Lebih-lebih lagi pandangan ini dilontarkan selepas PAS sekali lagi gagal memperoleh sebarang kerusi di Sarawak apabila tewas di kesemua lima kerusi yang ditandinginya. Sehubungan itu kata Aziz, Hadi, 64, dilihat telah gagal mempertahankan parti dalam beberapa isu berbangkit. Nik Aziz menambah kata, sememangnya memenangi pilihan raya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihan raya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi. "Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? "Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT," kata beliau lagi. |
Cina lebih percaya kepada PAS dari Umno Posted: 20 Apr 2011 08:00 PM PDT KUALA TERENGGANU - Kecenderungan bukan Melayu terutamanya kaum Cina mengundi untuk pembangkang adalah terbentuk kerana perjuangan Umno yang bersifat perkauman atau 'rasis'. Oleh itu, menurut Pengerusi Penaja Dewan Himpunan Penyokong PAS negeri Terengganu Dr. B. Chandran, kaum bukan Melayu telah hilang kepercayaan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN). "Trend orang-orang bukan Melayu, Cina dan India, terutamanya kaum Cina mengundi pembangkang bukan salah pembangkang, tapi salah Umno dan BN sendiri, "perjuangan Umno dan parti-parti komponen, MCA dan MIC, adalah perjuangan berasaskan kaum (perkauman) yang rasis,"katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Kuala Nerus, Muhamad Ramli Nuh. Oleh yang demikian, Chandran menasihatkan Ramli supaya tidak membazirkan masa dan wang ringgit untuk mencari kaedah dan memujuk kembali kaum Cina. Beliau yakin kekecewaan bukan Melayu khususnya kaum Cina tidak akan terubat dan mereka tidak akan kembali menyokong Umno dan BN. http://buletinonline.net/images/stories/berita46/Dr%20Bala%20Chandran.JPGDr, Chandran (Gambar kiri) mengingatkan kembali, Ramli Nuh sendiri adalah seorang 'rasis' yang telah menakut-nakutkan orang Melayu daripada orang-orang Cina ketika berucap disebuah sekolah di Kual Nerus tidak lama dulu. "Ramli itu sendiri pun 'rasis' dia takut-takutkan orang Melayu dengan kata orang Cina adalah komunis, dia guna sentimen bangsa untuk raih sokongan politik, "padhal parti DAP itu berdaftar dengan kerajaan Malaysia, kerajaan izinkan, bermakna bukn komunis,"tegas Chandran Beliau berkata, di negeri Terengganu orang-orang bukan Melayu dan non-muslim kini lebih percaya kepada PAS daripada Umno-BN kerana pemerintahan PAS pada tahun 1999-2004 telah menunjukkan banyak teladan yang baik. Katanya, walaupun DAP di Terengganu nampak lemah tetapi parti tersebut bekerjasama dengan PAS sejak dari zaman Barisan Alternatif sehingga Pakatan Rakyat sekarang. "DAP Terengganu walaupun dianggap lemah oleh UMNO tetapi kekuatan mereka adalah kerana bekerja rapat dengan PAS sejak zaman BA dan sekarang PR untuk menegakkan keadilan dan membanteras rasuah,"jelasnya. Umno dan BN tidak boleh diharapkan lagi, katanya, kerana bergelumang dengn penyelewengan dan rasuah. http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=3423:orang-cina-lebih-percaya-kepada-pas-dari-umno&catid=35:dalam-negeri&Itemid=85 |
Posted: 20 Apr 2011 07:00 PM PDT Oleh Mohd Rashidi Hassan Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak yang baru berlangsung minggu lepas memperlihatkan kepada kita betapa sistem demokrasi di Malaysia, masih ditahap yang mencurigakan.Pertikaian terus kedengaran terhadap ketelusan dan kesahihan pengendalian pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia SPR memperlihatkan ianya tidak bebas dan masih lagi dikawal sepenuhnya oleh kerajaan Barisan Nasional. Antara yang masih menjadi pertikaian ialah mengenai kebersihan senarai daftar pemilih, sistem undi Pos, had kempen parti-parti politik, penggunaan jentera kerajaan untuk kepentingan BN, rasuah kepada pengundi dan banyak lagi. Pertikaian ini tidak akan berbangkit sama sekali jika pilihan raya dijalankan secara adil. Sejak Dun dibubarkan, SPR berura-ura untuk mengehadkan tempoh berkempen hanya selama tujuh hari. Namun selepas dibantah dipanjangkan sedikit kempen untuk tempoh 10 hari. Percubaan menghadkan tempoh kempen atau memendekkan tempoh kempen ini sebenarnya, secara tidak langsung memberi kelebihan kepada parti yang memerintah. Kedua, pada hari penamaan calon di Muara Tuang, calon BN yang juga adik kepada Ketua Menteri Sarawak, dengan jelas melakukan kesalahan pilihan raya iaitu tidak mengemukakan borang laporan kewangannya pada pilihan raya 2006. Sepatutnya PAS menang percuma kerusi tersebut. SPR menunjukkan dengan jelas ia memihak kepada BN dengan mempergunakan kuasanya melengah-lengahkan pengumuman calon sehingga lebih satu jam dari tempoh masa yang ditetapkan. Kelambatan pengumuman calon diambil kesempatan oleh pihak yang berpihak kepada BN untuk menyiapkan segera penyata kewangan tersebut. Sepanjang kempen pilihan raya, media massa dipergunakan sepenuhnya, secara berleluasa untuk menabur fitnah kepada Pakatan Rakyat, sedangkan ruang Pakatan Rakyat, hanya dipentas ceramah disusahkan. Pemimpin tertinggi negara dibenarkan merasuah rakyat secara terbuka, rasuah pembinaan hospital, peruntukan masjid, pembinaan jambatan segera, bantuan untuk sekolah dan lebih ketara lagi didedahkan rasuah pembelian kertas undi secara terbuka. Malah di hari kempen, wujud dakwaan secara terbuka pihak-pihak yang memakai tag nama SPR secara jelas dilihat mengajar pengundi, khususnya golongan tua untuk memangkah simbol dacing. Di samping itu wujud pertikaian berkenaan borang 14 yang dikatakan enggan ditangani oleh pegawai SPR yang bertugas. Keseluruhannya, kita mendapati sistem pilihan raya di negara kita masih meragukan. Banyak terdapat ruang-ruang yang perlu diperbaiki bagi menjamin ketelusan dan keadilan. Pakatan Rakyat menghadapi kesukaran kerana segala peruntukan perundangan yang ada dikuasa SPR boleh dipergunakan oleh BN kerana mereka tertakluk kepada kuasa Perdana Menteri. Pakatan Rakyat tidak mampu mengubah kebobrokan ini sendirian. Hanya ada dua cara untuk mengatasi masalah ini. Pertama, perjalanan pilihan raya mesti dipantau masyrakat antarabangsa, iaitu melalui badan bebas yang dilantik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kedua, dengan sokongan rakyat. Rakyat harus bangkit untuk menegur SPR. Hanya Perhimpunan BERSIH 2.0 sahaja yang mampu mengubah keadaan ini. Pakatan Rakyat harus bertindak sebelum terlambat |
Sembang politik pasca pilihan raya Sarawak Posted: 20 Apr 2011 06:00 PM PDT Oleh Wan Nik Wan Yussof Sewaktu masa senggang, sempat juga bersembang politik pasca pilihan raya negeri Sarawak bersama Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan. Isu yang disembangkan tidak lain adalah kredibiliti Ketua Menteri Sarawak yang baru dilantik semula, Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud. Di sebalik isu tersebut, kami membicarakan beberapa persoalan panas dan serius. Ia berlegar-legar atas fakta, kenapa Abdul Taib terus utuh dan kental di tampuk kuasa Sedangkan muncul di sebaliknya ialah cakap-cakap dan pandangan yang mahukan Abdul Taib menamakan tokoh penggantinya. Mungkin pandangan sama muncul dari pimpinan utama Negara sendiri, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib yang pastinya inginkan Taib berundur tatkala menjelang pilihan raya 16 April lalu. Apa pun, Abdul Taib nampaknya sudah tidak menghormati Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib kerana terus mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri dan tidak menamakan pengganti. Sewajarnya Abdul Taib boleh menamakan pengganti berikutan BN Sarawak mencatatkan kekalahan teruk di kawasan bandar, meskipun menang selesa dengan meraih kuasa dua pertiga. Sudah tentu ada pihak yang kecewa. Walau bagaimanapun, sikap menolak pengundi bandar di Sarawak terhadap Abdul Taib jelas tergambar berikutan kebanyakan Dun di kawasan pusat pertumbuhan ekonomi penting negeri itu sudah bersetuju memilih calon DAP sebagai penyambung misi politik perniagaan mereka. Ia adalah manifestasi kegagalan Abdul Taib yang dilihat sudah tidak ekonomik di pusat aktiviti perniagaan dan ekonopmi (di bandar). Abdul Taib sudah dilihat tidak ekonomik di kawasan bandar. Oleh kerana itu, sepatutnya Abdul Taib sudah wajar berundur, tetapi kenapa kejap tidak juga berundur? Berdasarkaan maklumat 'di luar gelanggang' semacam telah ada signal bahawa kepimpinan Kuala Lumpur inginkan Abdul Taib diganti oleh Datuk Amar Abang Johari Bin Tun Abang Openg? Apakah sekali lagi Abdul Taib akan bertindak defensive, dan tidak akan melayan kehendak Kuala Lumpur? Mungkin di pihak Abdul Taib ada asasnya untuk tidak melayan kehendak itu, lantaran keputusan pilhan raya lalu menampilkan kejayaan PBB di bawah pimpinannya yang memenangi kesemua 35 kerusi bertanding. Berbeza dengan SUPP yang kalah teruk apabila hilang 13 daripada 19 Dun, SPDP hilang dua daripada lapan kerusi dan PRS hilang satu daripada sembilan kerusi yang bertanding. Mungkin juga sikap Abdul Taib tidak mahu berundur dalam masa terdekat itu ada kaitannya dengan ura-ura pihak tertentu yang ingin membawa masuk Umno ke Sarawak. Kalau sebelum ini, pihak Umno melalui parti Berjaya telah dapat melemahkan Usno di Sabah sehingga membawa pembubaran Usno dan penubuhan Umno dengan memilih Tun Mustapha sebagai pengerusi dan selepas itu dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri . Mungkin pelan yang sama akan berlaku dan PBB dijangka bakal berdepan dengan perpecahan ekoran keengganan Abdul Taib berundur dalam masa terdekat. Persoalannya, apakah Umno serius untuk masuk ke Sarawak? Bolehkah pengundi Sarawak menerima Umno? Sedangkan Umno sebagai sebuah parti kebangsaan Melayu yang bersimbolkan keris telanjang terpacak ke bumi sudah ditolak oleh kaum-kaum lain dalam pilihan raya umum 2008 lalu. Jika model kemasukan Umno ke Sabah sebagai asas untuk Umno masuk ke Sarawak, apakah orang Melayu Sarawak sedia berpaling dari PBB dan melupai Abdul Taib yang sudah berjasa lebih 30 tahun? Soalan yang sama boleh diaju kepada kaum Dayak dan Orang Ulu dalam keadaan mereka sudah ada parti kaum masing-masing? Jauh sama sekali kalangan pengundi Cina untuk merestui kemasukan Umno kerana dalam pilihan yang baru lalu mereka sudah beralih dari SUPP, regu PBB kepada Pakatan Rakyat. Hanya masa yang menentukan, setelah Bumi Kenyalang diratah dan hak rakyat sudah banyak dimilik'kroni'kan. Maka harapannya, rakyat Sarawak kini sudah memasuki gerbang politik matang mampu menilai masa depan mereka, apakah untuk terus bersama Abdul Taib lagikah? Wan Nik Wan Yussof Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan |
Jangan anggap PRU ke-13 lambat lagi Posted: 20 Apr 2011 05:00 PM PDT Oleh Abd Shukur Harun Ada beberapa hal penting yang perlu difikirkan oleh PAS selepas meneliti keputusan pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu. Bukan semata-mata kerana kekalahan semua calonnya di sana, tetapi lebih kepada memikirkan bagaimana PAS membuat persediaan secukupnya untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti Yang penting difikirkan ialah: 1. Mempelajari sungguh-sungguh keputusan pilihan raya Sarawak itu dan siri kekalahannya dalam pilihan raya kecil yang lain sebelum ini. Apakah aktibar yang dapat diambil dari kekalahan berterusan itu? 2. Bagaimana dengan keupayaan penerangan PAS untuk menghadapi PRU Ke13 nanti. Ini kerana penerangan ialah urat nadi untuk mencapai kemenangan. 3. Bagaimana strategi PAS selepas ini - dengan mempelajari senario pilihan raya di Sarawak minggu lalu – di mana PAS bertanding tanpa strategi dan terlambat pula datang ke negeri tersebut untuk membuat persiapan. Tentu saja kita telah mendengar dan membaca pelbagai ulasan mengenai keputusan pilihan raya tersebut dan mengetahui sebab-sebab PAS kalah di sana. Bahkah PAS juga sudah mengetahui benar faktor kekalahannya dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini. Oleh itu PAS wajar secara sungguh-sungguh dan terbuka memikirkan mengenai kekalahan tersebut, justeru kalah menang adalah gerak nafas PAS untuk masa depan. Oleh itu ia hendaklah berusaha sungguh-sungguh memperbaiki kelemahannya? Dalam pengalaman di Sarawak, PAS - khususnya pemimpin – lambat datang untuk mengatur kempen dan segalanya. Sementara PAS bertanding pula tanpa strategi, bekerja secara ad-hoc dan tidak terancang, sedangkan DAP jauh lebih lama membuat persediaan dan strategi, demikian juga PKR. Memikirkan semuanya ini bagaimana kiranya tanpa strategi dan persiapan secukupnya kita dengan tiba-tiba dihadapkan dengan PRU Ke-13. Jika ini berlaku sudah tentu PAS menghadapi masalah yang sangat besar. Dalam hal ini PAS mestilah dilihat sentiasa berpadu erat dalam Pakatan Rakyat justru gabungan ini sedang dilihat oleh rakyat sama ada mampu atau tidak mampu menjadi alternatif kepada BN di masa depan. Kempen PAS yang nyaring 'PAS ganti Umno' mestilah diisi maknanya sebagai gagasan yang mampu direalisasikan. Dalam ini PAS mestilah berwatak nasional, melampaui batas kaum dan dilihat sentiasa peka dengan masalah rakyat. Ia mestilah menjadi badan politik moden, yang melaksanakan kepentingan masyarakat tetapi dalam masa yang sama juga bergerak di bidang dakwah. Janganlah ada sebarang tanggapan, yang bersifat 'memujuk hati', bahawa jika PAS kalahpun, namun kita menang dalam berdakwah iaitu berjaya menyampaikan risalah Islam. PAS perlukan kemenangan kedua-duanya sekali, iaitu menang dalam pilihan raya dan berjaya dalam dakwah. Ini penting. Kemenangan politik boleh menghantar PAS kepada kuasa dan dengan kuasa akan membuka peluang PAS seluas-luasnya untuk berdakwah dan menjalankan tuntutan Islam tanpa sebarang gangguan. Ini sewajarnya difahami benar-benar oleh pendukung PAS akan maksud politik dakwah, iaitu mengaplikasikan tuntutan syarak bersama tuntutan masyarakat. Semuanya ini seiring dengan kehendak demokrasi dan tidak bercanggah dengan Islam. Inilah keperluan yang dinamakan siasah syariah dan dengan pemahaman inilah sewajarnya kita berada dalam Pakatan Rakyat. Dalam suasana dan keadaan masyarakat majmuk di Malaysia, tidak memungkinkan PAS bersendirian menghadapi pilihan raya. Maknanya dengan kekuatan tiga parti dalam Pakatan Rakyat inilah kita mampu menghadapi Barisan Nasional dan jika berjaya boleh memerintah. Kemengan DAP dan PKR mestilah dirasakan oleh PAS sebagai kemenangan bersama, demikian juga kemenangan PAS dirasakan kemenangan bersama oleh PKR dan DAP. Kemenangan DAP dan PKR di Sarawak minggu lalu mestilah juga dirasakan seabagi kemenangan bersama Pakatan Rakyat. Semangat setiakawan dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat ini mestilah diperlihat dan direalisasikan dalam semua gerak kerja Pakatan Rakyat untuk menghadapi PRU Ke13 nanti. Sementara itu media baru, malah yang terbaru – twitter dan facebook akan mengambil peranan center stage – peranan utama – dalam PRU Ke-13 akan datang. Dulu melalui internet, kita hanya menerima maklumat melalui blog dan wabe-site selain sms, tetapi kini dunia maklumat ditambah lagi dengan laman sosial yang baru twitter dan facebook, meninggalkan jauh maklumat dari media cetak dan tv. Ini semua akan tambah rancak dalam menyambut kedatangan PRU Ke-13 nanti. Pengalaman dalam pilihan raya di Sarawak baru-baru membuktikan pengaruh twitter dan facebook, yang sangat kuat dalam mengalirkan maklumat segera dan terus menerus kepada pengundi di kawasan yang ada akses internet. Malah maklumat ini berkembang dalam masyarakat. Justeru, PAS mestilah memikirkan persoalan ini dan bagaimana memanfaatkan secara maksima lama sosial yang baru ini. Semuanya ini adalah antara cabaran yang dihadapi oleh PAS untuk menghadapi PRU ke-13. Sekali lagi ditegaskan, PAS mestilah membuat persiapan dari sekarang walaupun ada pihak yang mengatakan BN tidak mungkin akan mengadakan pilihan raya umum segera berdasarkan keputusan di Sarawak itu di mana undi popular BN merosot lapan peratus. Sudah pastilah bahawa BN sedang merancang dan akan melakukan pelbagai cara untuk menang dalam PRU ke-13 nanti, di mana ahli-ahli Pakatan Rakyat sangat mengetahui hal ini. Dari itu jangan ada sebarang kelalaian dan jangan juga merasa 'sedap hati' kerana kononnya PRU Ke-13 lambat lagi maka bolehlah membuat persiapan secara perlahan. Untuk menghadapi PRU Ke-13 ini, PAS mestilah dilihat berada di dalam keadaan yang kuat dan terkini dalam Pakatan Rakyat, bersedia menangkis tuduhan berterusan dari komponan BN kononnya PAS menjadi alat DAP dan begitu sebaliknya. Isu perkauman pula tentunya akan berlanjutan dimainkan menjelang PRU Ke-13. Justeru PAS yang sudah dapat diterima oleh pelbagai kaum dan agama sewajarnya mengambil peranan penting menyerlahkan sebagai parti Islam yang sederhana, sangat seimbang, memancarkan keadilan, kesaksamaan dalam jalur demokrasi di mana dalam semua keadaan ia tidak berkompromi dengan prinsip Islam yang menjadi dasarnya. |
Menjawab pandangan Abdul Aziz Bari Posted: 20 Apr 2011 03:58 PM PDT Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu. Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS. Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya. Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik. Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya. Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi. Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT. Sekian, wassalam. YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Darul Naim. |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan