Isnin, 18 April 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Pakatan gagal manfaatkan Youtube, Facebook; terus berangan tentang media baru?

Posted: 18 Apr 2011 09:14 AM PDT

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Walaupun saya belajar kejuruteraan selama lima tahun di Universiti Teknologi Malaysia (1981-86), namun saya boleh dianggap sebagai orang yang cukup "lembab" untuk menguasai teknologi baru. Semasa menyertai Harakah pada 1987, hatta untuk menggunakan perisian komputer yang paling mudah, iaitu sekadar untuk menulis bagi menggantikan mesin taip, saya "merangkak-rangkak". Dari segi aplikasi, seorang rakan sepejabat, lulusan sekolah Arab, lebih cepat memahami.


Dunia ICT berkembang pesat dan cukup menakjubkan -- umpama sebuah revolusi. Sebagai wartawan dan kemudiannya editor, saya memang sering "ketinggalan keretapi". Ketika teriakan reformasi 1998 mengejutkan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan seterusnya merebak ke seluruh negara, saya lebih banyak tertumpu di Harakah, majalah Tamadun dan kemudiannya menerbitkan sendiri, Detik. Bagaimanapun, saya tetap menjadi pencandu laman-laman web popular seperti Mahazalim, Mahafiraun dan Minda Rakyat.

Sehinggalah apabila majalah Detik, yang saya sewa permitnya daripada seorang teman, diharamkan KDN, pada pertengahan tahun 2000, barulah ada idea untuk menerbitkan Detik versi online. Apa pun, saya akui saya tidak cukup stamina untuk mengendalikan sebuah laman berita, yang terpaksa memenuhi ketagihan luar biasa pembaca. Pelayar internet mahukan proses kemaskini dari minit ke minit.

Mengenali beberapa webmaster, saya begitu mengkagumi dedikasi hebat mereka. Tenaga, masa dan wang dihabiskan tanpa memikirkan imbalan. Malah sebahagiannya langsung tidak dikenali walaupun oleh tokoh-tokoh yang mereka sanjung, mungkin antara lain, disebabkan mereka sendiri jarang menulis.

Kuasa siber mengoncang keyakinan lama terhadap media tradisi. Pembolotan elit penguasa terhadap maklumat dipecahkan. Jika laman-laman web atau portal berita menjadi popular menjelang pilihan raya umum 1999, fenomena blog pula mempengaruhi suasana politik 2008. Tiba-tiba sahaja seorang blogger menjadi insan paling berkuasa; boleh menerbitkan apa saja idea tanpa suntingan dan tapisan.

Namun bagi saya, isu utama masih kepada kandungan yang disiarkan, bukan sekadar pelebaran proses pendemokrasian. Jaringan internet membentuk komuniti tersendiri, yang tidak terikat lagi dengan undang-undang represif seperti Akta Mesin cetak dan Penerbitan. Ya, sesiapa saja boleh mencipta blog dan menulis tanpa sekatan, tetapi bagaimana dengan kualiti dan kesahihan kandungannya, serta kemampuan untuk mempengaruhi audien?

Tanpa meremehkan ratusan ribu blog di Malaysia, yang menyiarkan pelbagai info dan cerita, soalnya, sejauh mana ia berupaya menjadi pengimbang kepada media yang dikuasai sepenuhnya pemerintah? Ada yang bertanya saya, mengapa keputusan pilihan raya 2004 begitu memihak BN, sehingga menguasai lebih 90 peratus kerusi Parlimen sedangkan lebih ramai rakyat Malaysia dapat akses internet waktu itu berbanding pilihan raya 1999?

Tidak mudah untuk saya meremehkan pengaruh media tradisi, seperti akhbar dan televisyen, yang kekal dikontrol Umno-BN, sekurang-kurangnya untuk PRU13 nanti. Saya turut ternanti-nanti kajian sistematik pengaruh media sosial seperti Facebook dan Twitter, yang menjadi kegilaan semasa, terhadap realiti politik, misalnya dalam pilihan raya Sarawak. Maaf, jika pemerhatian rambang saya tidak melihat jumlah pengguna FB yang melebihi 10 juta itu sebagai kuasa yang cukup menakutkan BN sekiranya mesej yang dikongsi di dalamnya kekal seperti sekarang .

Malah, harus diingat, "senjata" yang sama juga boleh menikam Pakatan Rakyat jika strategi dan pendekatan politiknya masih tumpul atau tidak disokong oleh "keresahan rakyat". Revolusi Tahrir di Mesir atau Revolusi Jasmin di Tunisia bukan semata-mata dijayakan oleh media sosial tetapi digembleng bersama oleh kreativiti aktivisnya mengungkapkan kebobrokan dan kebejatan politik secara berkesan melalui FB dan YouTube.

Media, baik baru mahupun lama, hanya "kenderaan" yang banyak bergantung kepada pemandu dan pemiliknya, bukan "mukjizat" yang dapat memastikan kemenangan memihak mereka yang dilihat lebih mendominasikannya. Kemenangan sesebuah parti bergantung kepada pelbagai elemen yang saling berkait.

Banyak isu rakyat melengkari kehidupan seharian kita, yang sepatutnya dipersembahkan dengan begitu "menakjubkan" melalui media. Pengalaman saya mengetuai beberapa akhbar dan majalah menjadi bukti kesukaran mencari penyumbang berkualiti (juga mendidik wartawan berketrampilan terutama untuk melakukan laporan penyiasatan). Kita turut ketandusan penulis blog (terutama dalam bahasa Melayu) yang baik untuk dikongsi ideanya menerusi FB atau pembikin dokumentari pendek yang kreatif bagi dimuatkan dalam YouTube, seterusnya disebarkan melalui media sosial.

Potensi YouTube memang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Bagi saya, ini satu kegagalan yang mesti ditangani segera. Ia tidak seharusnya diserahkan kepada usaha individu malah patut digerakkan secara bersepadu, dan menagih sumber yang besar. Propaganda TV hanya dapat disanggah dengan berkesan oleh slot YouTube yang dirancang rapi. Bagi saya, zaman TV masih belum berakhir, khususnya dalam era televisyen satelit ini.

Kadang-kadang sudah terhidang pendedahan eksklusif seperti dalam laman Sarawak Report (sebelum diserang) tentang seribu satu kisah penyelewengan regim Taib Mahmud tetapi sukar untuk mencari berita mengenainya yang diolah semula agar lebih mesra-pembaca. Saya membayangkan alangkah baiknya jika ada sekumpulan editor berpengalaman, dengan bahasa mudah, ringkas dan tepat, menghidangkan semula koleksi pendedahan itu. Aneh sekali, apabila laman berkenaan digodam menjelang hari mengundi, koleksi artikel yang cukup bernilai tentang "kebusukan" regim 30 tahun Taib seolah-olah terkubur bersama.

Ya, siapa yang begitu rajin untuk menelaah bahan-bahan yang bertaburan dalam blog, ibarat mencari "permata dalam lumpur", menyunting dan "membersihkannya" dan kemudian menyebar-luaskannya? Atau mungkin saya masih terikat dengan pengalaman lama seorang wartawan, yang sukar memahami mesej daripada arus deras ICT yang melanda ini!

Perjuangan bukan mudah, tapi juga bukan mustahil

Posted: 18 Apr 2011 07:31 AM PDT

Oleh Anwar Ibrahim

Pilihanraya Negeri Sarawak 2011 membuktikan perjuangan menuntut Keadilan untuk semua tanpa mengira batas kaum mahupun kepercayaan bukanlah tugas mudah, namun ianya juga bukan mustahil. Walaupun tidak mengecapi keputusan yang diingini, kita berjaya menanam benih politik murni agar rakyat Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, berani melawan kezaliman yang sekian lama membelenggu dan berusaha memperkukuh amalan Demokratik.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan sepanjang tempoh berkempen, berbekalkan sumber yang terhad serta berilitizam dengan kempen yang bersih, Pakatan Rakyat tetap berjaya menembusi kawasan pendalaman, yang sentiasa dianggap kubu kuat Barisan Nasional.

Sungguhpun demikian, sekali lagi kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya tercalar kerana wujudnya laporan bahawa Suruhanjaya itu bertindak berat sebelah ataupun sengaja menutup mata terhadap sebarang penipuan ketika hari pengundian. Saya difahamkan petugas Parti Keadilan Rakyat dinafikan borang 14 di beberapa kawasan sedangkan borang ini penting untuk memastikan keputusan pilihanraya bersih dari penipuan. Selain itu terdapat juga laporan wujudnya usaha membeli undi di beberapa kawasan seperti Dudong, Bawang Assan dan Meradong.

Selain itu keengganan SPR untuk mengira semula undi di kawasan Senadin ternyata mengukuhkan lagi dakwaan ramai bahawa Suruhanjaya Pilihanraya bertindak demi kepentingan Barisan Nasional. Calon Parti Keadilan Rakyat, Dr.Michael tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 58 undi sahaja. Mengapa enggan mengira semula tanpa memberi alasan yang munasabah?

Keputusan ini bukanlah satu pengakhiran, bahkan yakinlah ianya satu permulaan kepada satu tuntutan perubahan yang jitu dan menyeluruh. Pastinya ini tidak dapat dicapai sekiranya rakyat Sarawak tidak bersama sama memastikan ianya terlaksana. Saya menyeru kepada rakyat Sarawak yang mahukan Perubahan dan cintakan Keadilan, tingkatkan usaha, jangan sesekali berputus asa, terus mara dan pastikan regim yang korup ini tumbang pada pilihanraya yang akan datang. Kepada seluruh rakyat Sarawak dan jentera Pakatan Rakyat, saya ucapkan terima kasih dan syabas kerana keberanian serta pengorbanan yg dicurahkan. Dengan izin Allah, kemenangan pasti tiba.

* Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang Parlimen merangkap Ketua Umum PKR.

Najib bersama rakan FB,Twitter suatu sandiwara

Posted: 18 Apr 2011 07:26 AM PDT

Oleh Safar Jumaat

KETIKA ini, generasi muda sedang bermesra dengan Twitter, Facebook dan Youtube, yang suatu ketika dahulu, peranan ini dimainkan oleh media massa khususnya media cetak, TV, radio dan blog. Kemesraan generasi muda yang mula mengundi buat kali pertama dalam PRU-13 dengan Twitter, Facebook dan Youtube ini cukup merisaukan.

Apa tidaknya, Perdana Menteri (PM) Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kini sedang menggunakan "alat" ini untuk mencari kawankawan, kononnya mahu membuktikan bahawa beliaulah PM yang paling dekat dengan generasi muda.


Padahal, ia sebenarnya lakonan. Mana mungkin generasi muda boleh dekat dengan PM sedangkan ketua-ketua Umno bahagian dan Ahli Parlimen BN pun, hanya boleh bertemu dengan Najib sekali, selepas dua tahun Najib menjadi PM.

Ingat, PM berjumpa mereka ini, dalam satu kumpulan enam orang, secara terbuka dan disertai Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta beberapa orang pegawai PM, bagi membuktikan PM tidak mudah untuk ditemui secara empat mata.

Jika PM ke Sarawak dan mengadakan jamuan minum petang dengan sekumpulan generasi muda yang dikatakan kawan FB, Twitter kepada PM, ia hanyalah satu lakonan dari seorang yang terlalu inginkan undi dalam pilihan raya.

Yang penting, Najib harus tahu, dua tiga ratus orang yang ditemuinya ini, tidak mungkin dikenalinya secara perseorangan, kecuali mahu memberi publisiti kepadanya sebagai seorang PM, beliau berusaha untuk bertemu dengan generasi muda, yang semakin sukar dibaca sifir politiknya.

Apakah dengan lakonan Perdana Menteri, seluruh anak muda yang terlalu mesra dengan Youtube, Twitter dan FB akan menyokong Najib dan menyokong BN?

Walaupun itu bacaan Najib dan mereka yang menjaga Twitter dan FB pemimpin-pemimpin BN, hakikatnya terlalu jauh lagi untuk ini dijadikan kayu pengukur bahawa generasi muda ini akan menjadi penyokong BN.

Namun, Najib dan mereka yang terpaksa menwujudkan FB, twitter dan menggunakan youtube untuk diihat dekat dengan rakyat, hakikatnya sudah terlalu banyak yang rakyat tahu mengenai kepimpinan kerajaan.

Saban hari rakyat membaca berita betapa besarnya kerugian yang kerajaan tanggung akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa kastam. Rakyat tahu jabatan kastam itu terletak di bawah Kementerian Kewangan dan menterinya ialah Najib sendiri.

Rakyat juga mendengar bagaimana kecohnya isu KOMSAS Interlok, hingga beberapa individu ditahan polis. Padahal isu itu, jika menteri yang bertanggungjawab pantas menyelesaikannya, ia tidak berpanjangan dan boleh diselesaikan segera, tanpa mengundang rasa tidak puashati mana-mana pihak.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap isu ini ialah Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri.

Apakah rakyat tidak tahu bahawa beberapa orang pegawai Imigresen sudah didakwa di mahkamah kerana isu rasuah? Siapa menteri yang bertanggungjawab menjaga Imigresen jika bukan Naib Presiden Umno, Dato' Seri Hishammuddin Hussein.

Begitu juga dengan pelbagai isu yang melanda Kementerian Pertahanan walaupun menterinya, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terlepas dari isu orang Cina dan India kurang patriotik, menyebabkan mereka kurang menganggotai Angkatan Tentera.

Jadi, apakah generasi muda masih tergamam dengan lakonan Najib yang mahu menutup semua kelemahan ini, menjamu teh dan sedikit makanan, dengan alasan menemui mereka yang menjadi sahabat FB dan Twitternya? Tidak semudah yang disangka.

Generasi muda hari ini, khususnya mereka yang bermesra dengan Twitter, FB dan Youtube sebenarnya mempunyai corak pemikiran yang berbeza dengan cara berfikir mereka yang gagal menjaga Jabatan Kastam, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan dan Jabatan Imigresen.

Semua kelemahan ini bukan boleh ditutup dengan minum petang bersama Perdana Menteri, atas tiket sahabat FB dan Twitter, kerana dalam masa yang sama, rakyat mahukan ketelusan, kejujuran dan bukan mereka yang bergelumang dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Jadi, jangan sesiapa terkejut jika Hosni Mubarak di Mesir boleh hilang kuasa hanya kerana pengaruh media baru ini dan ia dimulakan seorang anak muda yang terlalu mentah dari segi usia dan pengalamannya.

Inilah yang BN cuba lakukan. Semua menteri seperti diarahkan untuk mempunyai rakan-rakan FB dan Twitter seperti Najib sendiri.

Malangnya, kebanyakan menteri tidak mampu membuat majlis dan jamuan seperti Najib buat dengan rakan-rakan FB dan Twitternya. Ini menunjukkan, hasrat Najib seperti gagal diterjemahkan oleh rakan-rakan sepasukannya.

Anak-anak muda sebenarnya laparkan maklumat. Generasi ini mencari maklumat seperti mereka mencari peluang pekerjaan.

Pantang mereka dengar ada majlis, mereka akan cuba hadiri dan ikuti. Mereka akan terus mencari dan melayari – kerana mereka tahu, mereka tidak boleh bergantung kepada akhbar-akhbar milik penguasa.

Jangan terkejut jika jumlah edaran akhbar harian arus perdana merosot teruk. Ini kerana anakanak muda sudah beralih angin.

Mereka sudah menjadikan blog sebagai media untuk santapan minta mereka.

Mereka boleh bertwit dengan sesiapa sahaja dan mereka boleh berfacebook dengan rakan-rakan FB mereka untuk mendapatkan sebarang maklumat yang mereka perlukan. Jadi, keputusan PRU 13 akan datang, bakal ditentukan dengan pengaruh Twitter, Facebook dan Youtube.

Walaupun pembangkang diserang begitu hebat oleh akhbar arus perdana, ia hanyalah kegemparan biasa dan tidak seperti dilanda tsunami.

Namun, tsunami akan menyerang BN kali ini, dengan budaya berfacebook dan Twitter yang banyak membantu.

Apakah terdaya semua pemimpin BN mengepung dan mengawal maklumat yang tersebar seperti tersebarnya virus H1N1 ini? Tentulah jawapannya tidak.

Jadi, apakah cara yang paling wajar bagi BN untuk mengekalkan kuasa – tidak lain ialah menggunakan "saluran fitnah" yang boleh mereka buat termasuk dengan video, media cetak, radio dan tv yang mereka kawal selain menyusun konspirasi.

Terkini: Video: Polis sahkan bukan Anwar

Posted: 17 Apr 2011 10:58 PM PDT

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan bahawa lelaki di dalam video bukan Datuk' Seri Anwar Ibrahim seperti yang didakwa oleh BN dan media milik mereka.

Bernama melaporkan kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani yang berkata bahawa siasatan mengenai video seks itu telah siap dan siasatan kini menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

"Bagi pihak kami (polis), siasatan telah lengkap dari setiap sudut menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mengedar bahan lucah).

"Terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan susulan terhadap kes ini dan sekiranya ada mana-mana perkara yang perlu disiasat semula (atas arahan Peguam Negara), kita akan siasatlah," kata Acryl seperti yang dipetik Bernama.

Pengedar dan pemilik video lucah itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Dengan kenyataan ini, polis dengan sendirinya mengesahkan bahawa pelakon dalam video tersebut bukan Anwar.

Tiada ulasan: