Isnin, 18 April 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Ketua Pemuda: Saya serahkan kepada perwakilan

Posted: 18 Apr 2011 04:18 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

Beliau berkata, beliau akan memberi laluan jika ada orang lain yang lebih baik.



PETALING JAYA: Nasruddin Hassan Tantawi belum membuat keputusan sama ada mempertahankan jawatan ketua pemuda PAS aatu tidak dalam muktamar pemilihan parti, Jun depan.

"Jika masih diberi kepercayaan, saya akan mempertahankan (jawatan ketua pemuda PAS).

"Tetapi jika ada orang lain yang lebih baik, saya akan memberi laluan," katanya hari ini.

Beliau menjadi ketua pemuda PAS pada 2009 setelah Salahuddin Ayub bertanding jawatan naib presiden.

Nasruddin berkata, jawatan ketua pemuda PAS bukan untuk dibanggakan sebaliknya tetapi merupakan satu bebanan dan amanah.

"Oleh kerana itu saya serahkan kepada perwakilan untuk menentukan jawatan saya," tambahnya.

Ketika mengulas kekalahan semua lima calon PAS dalam pilihan raya negeri Sarawak Ahad lalu, Nasruddin berkata, antara faktor ialah PAS baru bertapak di negeri itu sekitar 10 hingga 15 tahun.

Katanya, Sarawak juga kubu kuat BN menyebabkan PAS sukar menang di negeri tersebut.

"Jadi saya fikir pemimpin PAS tempatan perlu pro aktif menonjolkan diri supaya perjuanang parti lebih diketahui umum.

"Ketika ini belum banyak pemimpin tempatan (Sarawak) muncul di kalangan pemimpin negeri lain," tambahnya.

Lima kerusi yang ditandingi PAS dalam pilihan raya negeri Sarawak ialah Beting Maro, Sadong Jaya, Tanjung Datu, Muara Tuang dan Sebuyau – kalah kepada BN.

ADUN Pelabuhan Kelang bercerai talak satu

Posted: 18 Apr 2011 04:07 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

Badrul Hisham melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh selepas Ramizah bersetuju menarik balik permohonan cerai secara fasakh yang difailkannya sebelum ini.

KLANG: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah dan isterinya, Ramizah Mazlan, bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Peguam Syarie Mahyuddin Md Zahari, yang mewakili Badrul Hisham, berkata Badrul Hisham melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh selepas Ramizah bersetuju menarik balik permohonan cerai secara fasakh yang difailkannya sebelum ini.

"Kes ini sepatutnya masih di peringkat perbicaraan hari ini tetapi dipinda selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan iaitu Badrul Hisham bersetuju untuk melepaskan Ramizah, yang bersetuju untuk menarik balik tuduhan, dakwaan dan keterangan dalam kes tuntutan cerai secara fasakh itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

PRN Sarawak tidak sekat Pakatan ke Putrajaya

Posted: 18 Apr 2011 04:06 AM PDT

Fakhri Ali


BAYAN LEPAS: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kekalahan dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, tidak menyekat kemaraan PAS dan Pakatan Rakyat untuk mencapai hasrat bagi menggagalkan kuasa pemerintahan BN ke Putrajaya.

Sebaliknya, kekalahan itu menjadi satu pendorong semangat untuk terus berjuang bagi memastikan keseluruhan keputusan sebenar mandat rakyat di Semenanjung, akan berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

"Jadikan kekalahan dalam PRN Sarawak itu, sebagai satu laluan yang penuh ranjau untuk mencapai hasrat murni menjejak kejayaan yang sedang menanti bersama seribu satu halangan dan tribulasi dari BN," tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ceramah isu semasa anjuran JKKK Permatang Damar Laut di Kampung Permatang Tepi Laut, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau yang juga ahli Parlimen Marang menjelaskan PAS tidak perlu merasuah rakyat untuk mendapat sokongan atau mandat bagi memerintah negara, sepertimana yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kuasa mereka.

Katanya lagi, selama 20 tahun PAS memerintah Kelantan, tiada juga laporan terhadap kegiatan rasuah atau penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

"Begitu juga dengan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu semasa ianya ditadbir oleh PAS semasa saya menjadi Menteri Besarnya. Tiada juga rasuah yang kita amalkan bagi mengekalkan kepimpinan dalam kerajaan negeri.

"Selama empat tahun kita memerintah di Terengganu dahulu, rasuah, skandal dan penyalahgunaan kuasa tidak menjadi amalan. Tetapi di Sarawak yang ditadbir oleh BN rasuah berleluasa sehinggalah menjelangnya pilihan raya negeri.

"Ini membuktikan dengan jelas bahawa, pemerintahan rasuah adalah pemerintahan yang diminati oleh mereka yang menyokong kepimpinan BN. Oleh kerana itu apabila berleluasanya ketirisan dalam pendapatan negeri dan negara, kepimpinan inilah yang harus dipersalahkan, tetapi ia sebaliknya berlaku di Sarawak, " tegasnya lagi.

Taib Mahmud terbukti kebal

Posted: 18 Apr 2011 04:04 AM PDT

Fakhri Ali


BAYAN LEPAS: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dilihat sebagai seorang yang kebal apabila tiga kali laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa sehingga ke hari ini.

Ini membuktikan dengan jelas kepada rakyat siapa sebenarnya Ketua Menteri Sarawak setelah berjaya mengangkat sumpah sekali lagi sebagai Ketua Menteri yang baru.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam ceramah beliau di Permatang Tepi Laut, Bayan Lepas malam tadi.

Menurut beliau lagi, walaupun terdapat bukti adanya penyalahgunaan kuasa dan rasuah terhadap kekayaan Ketua Menteri tersebut, tetapi SPRM masih lagi belum mengambil apa-apa tindakan terhadap laporan yang telah dibuat.

"Kemenangan BN juga banyak dikaitkan dengan rasuah di Sarawak. Mereka juga menggunakan taktik kotor dengan membuat fitnah dan dakyah jahat terhadap kepimpinan PR melalui manipulasi gambar dan seumpamanya.

"Walau bagaimana pun BN jangan cuba memperbodohkan rakyat apabila mengatakan kemenangan mereka menunjukkan keseluruhan rakyat negara ini menyokong mereka.

"Ini adalah satu lagi dakyah dan serangan mental cuba diselewengkan oleh BN. Kemenangan mereka di Sarawak, tidak mempengaruhi pendirian dan pemikiran rakyat di Semenanjung, " tambahnya lagi.

Beliau juga yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, turut menyatakan bahawa samada BN benar-benar disokong oleh rakyat negara ini boleh dijustifikasikan melalui pilihan raya umum dan bukannya melalui pilihan raya negeri Sarawak semata-mata.

Dari 9 ke 15 kerusi isyarat positif - Nik Aziz

Posted: 18 Apr 2011 04:03 AM PDT

Rizal Tahir


PENGKALAN CHEPA: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan kemenangan calon Pakatan Rakyat yang berjaya menawan 15 kerusi pada pilihanraya umum Sarawak, sebagai isyarat rakyat di negeri itu inginkan perubahan.

Katanya, walaupun BN berjaya membentuk kerajaan, hakikatnya mereka telah tergugat dengan parti lawan khasnya dari Pakatan Rakyat apabila pertambahan kerusi dan jumlah undi begitu ketara diperolehi.

(Gambar: MB Kelantan, menyampaikan sumbangan peribadinya di samping sumbangan penderma dari
petugas di Beting Maro kepada anak sulung Allahyarham Mohd Izan Yaacob, (Mohd Shah) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang semalam.
)


"Sebelum ini BN begitu bangga kononnya bakal pengganti Taib telah ada, sekarang terdiam mana ada bakal pengganti lagi,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung keputusan Pilihanaraya Umum Sarawak di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, semalam.

Nik Aziz berada di sini untuk menerima jenazah Allahyarham Mohd Izan Yaacob, petugas PAS dari Kelantan yang meninggal di Beting Maro 16 April lepas.

Beliau telah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Izan di samping menyampaikan sumbangan peribadi kepada anak beliau sebagai tanda simpati dari PAS dan kerajaan negeri kepada keluarga beliau.

Menurut Nik Aziz, walaupun PAS gagal memenangi mana-mana kerusi yang dipertandingkan, namun rakan dari Pakatan Rakyat berjaya menambah kerusi masing-masing termasuk jumlah undi juga semakin meningkat.

"Begitu juga calon PAS, walaupun gagal memperolehi kemenangan, namun ternyata secara keseluruhannya jumlah undi untuk mereka juga bertambah dan ianya memberi peluang yang cerah untuk masa depan.

"Lebih membanggakan kita, masyarakat Iban boleh menerima calon kita, itu petanda yang baik bagi perjuangan Islam,"ujarnya.

Menurutnya lagi, Malaysia sekarang mempunyai generasi muda yang berpandangan Islam lebih hebat dan diharapkan perjuangan itu akan sampai di Sarawak dengan lebih cepat lagi.

Ketika diminta mengulas berhubung sokongan masyarakat terhadap calon DAP khususnya di bandar begitu meningkat, beliau menyifatkan ianya berpunca dari masyarakat kawasan bandar khususnya mempunyai pengetahuan maklumat yang lebih jelas hingga menolak BN walaupun pelbagai janji diberikan.

Sambungnya lagi, sama ada orang Cina atau Melayu tidak menjadi masaalah, yang penting mereka penyokong keadilan yang telah menolak kepimpinan yang zalim.

"Cina ke mereka, Melayu ke mereka, tidak menjadi masaalah. Yang penting mereka tahu BN zalim.

"Dalam kempen pilihanraya BN zalim, dalam kerajaan juga zalim, bukan soal bangsa Cina, kalau tidak cina DAP, Cina MCA, sama saja, jadi jangan persoal kemenagan calon DAP,"ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya kempen memburukkan peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa terlibat dengan kegiatan seks juga langsung tidak termakan oleh masyarakat di negeri itu.

Bukan itu sahaja, kempen buruk yang di bawa oleh Umno Kelantan yang mengatakan beliau kahwin tiga telah disebarkan di sana juga tidak diterima oleh rakyat Sarawak.

"Sampai ke tahap itu Umno ni sanggup memfitnah dan menipu orang untuk kepentingan politik mereka,"ujarnya.

Penyokong PAS tidak perlu murung dengan Sarawak

Posted: 18 Apr 2011 03:59 AM PDT

Mohd Sabri Said


PERMATANG PAUH: Para ahli dan penyokong PAS tidak perlu murung dengan kegagalan parti mereka mendapat sebarang kerusi di Sarawak kerana pilihan raya ini telah membuka satu lembaran baru untuk parti Islam itu di bumi Kenyalang.

Exco kerajaan negeri Kedah yang juga Yang Dipertua PAS Jerlun, Ustaz Abdul Ghani Ahmad (gambar) menyifatkan kegagalan PAS memperolehi sebarang kerusi di Pilihanraya Sarawak pada 16 April lalu bukan bermakna PAS lemah.

Tidak dinafikan sebelum ini PAS jarang bertandang di negeri tersebut tetapi menerusi Pilihanraya Sarawak PAS berjaya memaparkan aktiviti dan perjuangan yang bagi masyarakat di sana terlalu baru ekoran sudah terpahat lama pengaruh Ketua Menterinya, Tan Sri Taib Mahmud.

"Bagi saya PAS berjaya di sana untuk membuka lembaran baru. Maklumlah ia merupakan benda baru setelah lama terpahat pengaruh Taib Mahmud, " jelasnya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung PAS Permatang Pauh kali ke 34 di Dewan Haji Yusuf Rawa, Sama Gagah, Permatang Pauh semalam.

Justeru itu menjadi pengajaran bagi semua pimpinan PAS agar rajin turun padang melawat terutamanya Sabah dan Sarawak sebab di sana pengaruh PAS terlalu kecil.

Walaupun PAS berjaya menubuhkan beberapa cawangan baru namun masih belum mencukupi untuk menguasai beberapa kampung tradisi menyokong Barisan Nasional (BN) tambahan lagi kawasan yang ramai diduduki oleh masyarakat Melayu berbanding Iban dan Cina.

"Masyarakat Melayu masih tidak celik berbanding masyarakat Cina termasuk Iban yang lebih matang berpolitik. Bila sesuatu isu terpampang di TV mereka terus terima tanpa berfikir panjang, " terangnya.

Jentera PAS sendiri tambahnya, usah murung dengan kekalahan tersebut sebaliknya kena perkuatkan semangat di samping berkeyakinan tinggi ia adalah sebahagian daripada kerja dakwah seiring dengan konsep PAS sendiri yang berperanan dua hala iaitu politik dan dakwah.

"Nyata kita kalah dari segi politik tetapi kita menang dari segi dakwah yang selama ini tidak sampai ke serata pelusuk kampung yang rata-ratanya masih terawang-awang keislamanya," katanya.

Kekalahan PAS di Beting Maro dengan hanya 400 undi, di Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjung Datu bukan tugasan terakhir PAS tetapi itu adalah jalan pembukaan kepada peranan PAS di masa depan, katanya.

Sekaligus memberikan daya saing kepada parti lain dalam Pakatan Rakyat agar menyusun jentera ke arah yang lebih terurus khasnya pada pilihanraya umum ke 13 nanti, tambah beliau.

Di Semenanjung PAS mesti memaparkan kecemerlangan kerana pengaruh PAS kuat setelah membuktikan kejayaan pada pilihanraya ke 10 lalu.

"Menjadi tanggungjawab kita semua menyatukan hati untuk bekerja dalam satu saf kepimpinan bukan mencari perpecahan yang nanti memberi ruang untuk musuh masuk merosakan perpaduan yang termeteri atas nama Islam, " tegasnya dalam mesyuarat PAS Permatang Pauh.

PAS tempa kejayaan bermakna di Sebuyau

Posted: 18 Apr 2011 03:55 AM PDT

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Walaupun tewas dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10, PAS tetap menempa kejayaan besar di Dun Sebuyau apabila berjaya mengislamkan seorang lelaki berketurunan Iban di kawasan itu.

Kejayaan tersebut ditempa 8 April lalu di kawasan pedalaman Sebuyau, apabila Jelani yang berusia 40-an datang menemui petugas-petugas PAS dari Perak yang berjumlah 7 orang yang bertugas di kawasan itu untuk diislamkan.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Haji Adam Ahid menjelaskan, majlis pengislaman Jelani dilakukan oleh para petugas PAS dari Perak di rumah sewaan mereka dalam suasana penuh kesyukuran.

Menurut beliau, lelaki tersebut yang telah mempunyai seorang isteri dan seorang anak kini akan terus dibimbing oleh pihaknya bagi membolehkan beliau memperdalami ajaran Islam dan menjalani hidup secara islamik.

Katanya, selain itu, pihaknya juga akan turut membantu Jelani menguruskan beberapa perkara lain termasuk pendaftarannya secara sah sebagai penganut Islam.

"Dari segi namanya memang dah cukup baik. Secara kebetulan, nama asalnya memang Jelani yang sudah dikira memenuhi ciri-ciri nama yang baik dalam Islam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pengislaman Jelani, menurut beliau, adalah hasil kempen yang dijalankan oleh PAS yang memperkenalkan tentang Islam kepada penduduk tempatan termasuk menerusi ceramah.

"Inilah kejayaan kita. Walaupun tewas dalam pilihanraya, kita amat berbangga kerana berjaya mengislamkan seseorang. Walaupun seorang, tetapi ia sememangnya cukup bermakna kepada kita.

"Ini juga jelas membuktikan kepada kita bahawa ceramah-ceramah yang kita adakan telah berjaya menyerap ke jiwa orang bukan Islam, sehingga menyebabkan mereka tertarik dengan Islam dan akhirnya salah seorang daripada mereka dengan rela mengucap dua kalimah syahadah," tegasnya.

Dalam hubungan ini, beliau amat kesal dengan sikap sesetengah orang Islam sendiri di kawasan itu yang mengaku beragama Islam tetapi tidak pula menjalani kehidupan sebagai orang Islam.

"Antaranya yang boleh dilihat adalah sesetengah anak-anak muda di kawasan ini. Walaupun mereka Islam dan ibu bapanya juga Islam, tetapi banyak yang minum arak.

"Pelik, ketika orang bukan Islam tertarik kepada Islam dan mahu menjalani kehidupan sebagai orang Islam yang sebenar, mereka yang sudah beragama Islam pula yang tidak menjalani hidup sebagai orang Islam seperti yang dituntut oleh Allah ke atas kita," katanya.

Beliau juga turut kesal dengan tindakan pihak BN dalam kempen mereka bagi menghadapi pilihanraya 16 April lalu, apabila para pemimpin mereka sanggup mengadakan pelbagai konsert di kawasan itu bagi menarik perhatian anak-anak muda supaya menyokong mereka, walaupun ia jelas akan lebih melalaikan lagi muda-mudi terbabit.

Menyentuh tentang kekalahan yang diterimanya dalam pilihanraya itu, beliau kesal kerana bukan sekadar berhadapan dengan parti lawan, tetapi kerajaan Malaysia, apabila pihak lawan menggunakan segala kemudahan kerajaan untuk menghadapinya.

Menjelang pilihanraya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri turut turun ke Sebuyau, sehingga membawa perlaksanaan pelbagai projek segera di kawasan itu termasuk pembinaan jalanraya, balairaya dan sebagainya yang kesemua itu adalah dengan menggunakan wang rakyat.

Selain itu, beliau juga kesal kerana pihak BN turut menggunakan pelbagai ancaman dan ugutan kepada orang ramai agar tidak menyokong PAS dalam pilihanraya itu.

"Antara ancaman dan ugutan yang dilakukan kepada orang ramai termasuk akan menarik bantuan persekolahan anak-anak, biasiswa dan bantuan kebajikan kepada golongan tua jika menyokong PAS," ujarnya.

Pada setiap program yang diadakan oleh PAS, katanya, pihak BN turut menghantar polis dari unit Special Brand (SB) untuk merakamkan sebarang aktiviti, ucapan para pemimpin dan ceramah yang diadakan.

"Para petugas PAS tidak pula menghalang kedatangan SB ke dalam program-program kita kerana tidak mengenalinya dan sesetengahnya kerana percaya kepada mereka. Tetapi di sebaliknya, SB-SB itulah yang membuat hal dengan menghantar rakaman program yang kita adakan itu kepada pihak BN untuk diadakan tindak balas dari apa yang telah kita adakan," katanya.

Di samping itu, beliau turut kesal kerana para pemimpin BN turut menghalang kemasukan orang dari Semenanjung ke kawasan itu untuk membantu PAS, dengan memberikan amaran menerusi kain-kain rentang yang dipasang di merata kawasan.

"Tetapi di pihak mereka, tidak pula ada halangan untuk orang dari Semenanjung ke Sebuyau untuk berkempen bagi pihak mereka.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab itu walaupun dapat diatasi oleh pihak PAS kemudiannya menjelang hari-hari akhir kempen, tetapi ia amat dikesalkan kerana tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang mengamalkan demokrasi seperti di negara kita," tegasnya.

Dalam PRN Ke-10 yang berlangsung 16 April lalu, Haji Adam yang bertanding atas tiket PAS bagi Dun Sebuyau, yang terletak dalam kawasan Parlimen Batang Lupar, berjaya memperolehi 1,769 undi, manakala calon BN, Julaihi Narawi memperolehi 4,045 undi dan calon Bebas, Ali Semsu memperolehi 67 undi serta hilang wang pertaruhan.


Selangor Serah Tugas Pengurusan Pembersihan Kepada PBT

Posted: 18 Apr 2011 03:14 AM PDT

TVS NEWS

SHAH ALAM : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan menyerahkan semula pengurusan pembersihan awam yang sebelum ini dikendalikan Alam Flora Sdn Bhd kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal seperti pungutan sampah di setiap rumah masih lagi dikendalikan oleh Alam Flora.

"Kami putuskan kuasa untuk perkhidmatan pembersihan diberi semula kepada PBT kerana kita dapati antara masalah terbesar dan aduan yang kita terima adalah mengenai kebersihan.

"Kita rasa dua tugas itu terlalu besar untuk dijalankan oleh Alam Flora.Sekiranya Alam Flora menumpukan kepada pemungutan sampah sahaja kita lebih senang tahu tugas mereka," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan Selangor, di sini hari ini.

Selain itu, Khalid berkata kerajaan negeri juga mendapati Alam Flora lebih banyak bertindak sebagai koordinator dan menggunakan khidmat kontraktor untuk menjalankan tugas pengutipan sisa pepejal.

Menurut Khalid, keputusan itu juga tidak akan memberi implikasi kepada kewangan PBT yang terpaksa membelanjakan antara RM300 juta hingga RM400 juta bagi kerja-kerja pembersihan serta pengurusan sisa pepejal.

"Kita menganggarkan lebih daripada RM200 juta akan digunakan untuk pengurusan pembersihan," katanya.

Jelas Khalid lagi, kerajaan negeri juga melihat pembahagian tugas antara Alam Flora dan sembilan PBT itu dapat menjimatkan 10 peratus kos pengurusan yang selama ini dikenakan oleh Alam Flora bagi pengendalian pengurusan pembersihan.

Katanya lagi, pengambilalihan tugas daripada Alam Flora sepatutnya dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bermula 1 April tahun ini menerusi peruntukan undang-undang yang diluluskan.

Menurutnya, peruntukan itu memberikan kuasa kepada kementerian untuk menentukan tugas syarikat konsesi perkhidmatan sisa pepejal tersebut di setiap negeri di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.

"Oleh kerana belum dapat diselaraskan lagi pentadbirannya jadi kementerian belum jalankan tanggungjawab itu. Sebab itu pada dua minggu lepas kerajaan Selangor telah buat keputusan untuk bahagikan tugas tersebut," katanya.

Tegas Khalid, keputusan itu juga tidak bercanggah dengan perjanjian kontrak yang dibuat kerajaan negeri dengan Alam Flora sebelum ini.

Tambah Khalid, walaupun kerajaan negeri memutuskan untuk menyerahkan semula pengurusan pembersihan awam kepada PBT namun beliau tidak akan menamatkan perkhidmatan Alam Flora selepas ini.

PR Sarawak Analisis Kelemahan, Hadapi PRU ke- 13

Posted: 18 Apr 2011 03:11 AM PDT

Ditulis oleh ZeanaAima



SHAH ALAM : Tidak leka dengan kemenangan di 15 kerusi DUN Sarawak pada pilihan raya negeri itu baru- baru ini, Pakatan Rakyat terus merangka strategi untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang berkemungkinan diadakan pada bila- bila masa sahaja.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian berkata pihaknya mengenalpasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memperkuatkan jentera parti.

"Saya sudah arahkan kepada calon- calon yang bertanding baru- baru ini agar menyediakan laporan. Kita akan buat 'bedah siasat' pada hujung minggu ini untuk persiapan menghadapi pilihan raya umum ke- 13 akan datang," ujar Baru Bian.

Baru Bian berkata, ia penting bagi mengekalkan trend sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat.

Antara kelemahan besar yang dikesan adalah, kelewatan penyaluran sumber kewangan yang sekaligus merencatkan pergerakan jentera parti.

Sementara disesetengah kawasan pedalaman pula, didapati tiada jentera parti.

"Didapati banyak kawasan tidak ada jentera. Jika kita anggap kita kuat, tapi jika kita tiada jentera, tiada strategi penyusunan baru, macam mana kita mahu pantau pengundi ?," katanya.

Pakatan Rakyat juga dikekang dengan sumber kewangan yang terhad untuk membolehkan gagasan itu menawarkan elaun yang tinggi kepada agen pengundian.

"Kita tidak mampu beri banyak elaun. Kita hanya mampu tawarkan RM50 seorang. Tapi BN mampu tawar sehingga Rm500 seorang,

"Kita harus pilih seseorang yang benar- benar ada pendirian. Ini jadi masalah, bila ada tawaran lebih tinggi dari Pakatan Rakyat, mereka hilang,"

Baru Bian ketika dihubungi Tv Selangor berkata, dasar Pakatan Rakyat yang jelas, menjadi faktor kepada kemenangan di 15 kerusi DUN 16 April lalu.

"Dasar dan isu yang kita tawarkan adalah benar. Ia penting sekali," katanya.

Baru Bian menjelaskan matlamat Pakatan Rakyat Sarawak kini adalah menerang dan memahamkan rakyat bahawa tugas membuat pembangunan adalah dibawah kuasa kerajaan negeri yang memerintah, bukannya wakil rakyat.

Wakil rakyat hanya menjadi penasihat kepada kerajaan negeri berikutan mereka tiada kuasa sedemikian.

Ditambah lagi diskriminasi kerajaan persekutuan yang tidak memberikan peruntukan kepada ADUN pembangkang.

"Walaupun kita menang sebagi pembangkang, tidak bererti pembangunan itu datang dari kita. Pembangunan itu harus datang dari pemerintah. Kita hanya penasihat dan kita akan bangkitkan keprluan- keperluan rakyat," katanya lagi.

Baru Bian turut mengulas penolakan perletakan jawatan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Beliau berkata, keputusan pilihan raya Sarawak kali ke- 10, 2 hari lalu jelas menggambarkan penolakan rakyat terhadap kepimpinan parti itu.

Sehubungan itu, tindakan parti itu masih mahu mengekalkan George Chan dalam barisan kepimpinannya tidak akan memberi apa- apa impak kepada Pakatan Rakyat.

"SUPP sebagai parti politik ditolak oleh rakyat. Apatah lagi pemimpin yang telah ditolak oleh pengundi. Tidak ada sebab parti itu kekalkan jawatan itu. Ia sangat pelik,

" Bagi saya pemimpin yang sudah ditolak oleh pengundi harus ditolak juga," kata Baru.

George Chan mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya ekoran prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya negeri Sarawak 2 hari lalu.

PKR Cabar Keputusan Tebedu

Posted: 18 Apr 2011 03:10 AM PDT

TVS NEWS



KUCHING : Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali lagi bercadang memfail saman petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan Dewan Undengan Negeri (DUN) N18 Tebedu yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Michael Manyin Anak Jawong berikutan wujud unsur penipuan termasuk pemalsuan tandatangan yang disyaki dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ia berikutan calon PKR bagi kerusi itu, Cristopher Anak Kiyui percaya penipuan berlaku pada proses kiraan undi dan tandatangan wakil ejen undi (PACA) pada Borang 14 yang dikeluarkan SPR.

Justeru, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Maung yang terletak dalam daerah Batu Lintang di sini.

"Dari 45 agen kira undi (PACA), hanya lima orang diberi Borang 14 yang asli. Seramai 35 agen PKR lain tidak dapat, (kecuali) semuanya borang adalah salinan (fotostat).

"Apabila diperiksa, satu borang itu wujud pemalsuan dua tandatangan (pada Borang 14) disyaki (oleh) SPR.

"Bilangan undi pada Borang 14 turut diubah pihak tertentu," katanya.

N18 Tebedu dimenangi calon BN, Michael Manyin Anak Jawong dengan memperoleh 6,196 undi berbanding Christopher 2,130 undi. Undi majoriti ialah 4,066 undi.

Turut bertanding ialah Anthony Anak Nais dari SNAP yang hanya mendapat 468 undi sahaja. Calon Bebas, Kikpli bin Ale pula mendapat 260 undi.

Sebelum ini, PKR memutuskan untuk mencabar keputusan di N.65 Senadin berikuyan keengganan SPR membuat kiraan semula walaupun undi majoriti yang diterima calon BN cuma 58 sahaja.

Umno Kedah arah mesyuarat bahagian fokus hadapi PRU13

Posted: 18 Apr 2011 03:02 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

ALOR SETAR – Semua Umno bahagian di Kedah diarah memberi tumpuan memantapkan parti ke arah menghadapi pilihan raya umum ke-13 dalam mesyuaratnya bermula 14 Mei ini dan berakhir 15 Jun.

Sehubungan itu, Badan Perhubungan Umno Kedah akan memantau semua mesyuarat terutama bahagian yang berkemungkinan berlaku kekecohan, kata Pengerusinya Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata perkembangan terkini dalam Umno Kedah amat positif dan yakin mesyuarat bahagian termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri berjalan lancar.

"Masa semakin suntuk. Perkara yang boleh menggagalkan segala usaha kita memulihkan parti dan memenangi hati rakyat harus dibiarkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan itu hari ini.

Dipetik Bernama Online, Ahmad Bashah berkata peraturan baru mesyuarat yang diluluskan akan melihat bilangan perwakilan ke mesyuarat kali ini bertambah sekali ganda.

Mengenai pengundi baru, beliau berkata seramai 4,500 orang golongan muda mewakili semua 15 bahagian di Kedah mula diberi kursus secara berperingkat.

"Mereka merupakan barisan hadapan untuk menarik pengundi baru dan golongan muda. Kita sediakan mereka dengan kekuatan mental dan rohani untuk menghadapi serangan lawan," katanya.

Mengikut jadual Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno bakal merasmikan mesyuarat Umno bahagian Baling pada sebelah pagi dan Padang Terap sebelah petang pada 20 Mei ini manakala Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan mesyuarat bahagian yang pertama, bahagian Pokok Sena pada 14 Mei.

Posted: 18 Apr 2011 02:59 AM PDT

SUPP tolak hasrat George Chan letak jawatan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hari ini menolak untuk menerima surat peletakan jawatan presidennya Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, keputusan diambil ekoran prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya negeri kelmarin.

Setiausaha agungnya Datuk Sim Kheng Hui juga menawarkan untuk meletakkan jawatan tetapi jawatankuasa kerja pusat (CWC) berkata kedua-dua pemimpin akan kekal dalam parti sehingga perhimpunan tahunan yang dijadual akan berlangsung akhir tahun ini.

Video seks: PKR percaya AG akan tetap dakwa Anwar

Posted: 18 Apr 2011 02:57 AM PDT


KUALA LUMPUR– Parti Keadilan Rakyat (PKR) percaya Peguam Negara akan tetap mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun siasatan polis tidak mengaitkan Ketua Umum Pakatan Rakyat itu dengan rakaman video aksi seks yang dipertontonkan oleh "Datuk T" bulan lalu.

Siasatan rakaman video aksi seks yang didedahkan "Datuk T" pada 21 Mac lalu disiasat mengikut Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya dan disiasat atas kesalahan mengedar bahan lucah.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu pihaknya percaya yang Peguam Negara akan tetap mencari jalan untuk mendakwa Anwar walaupun beliau tidak terlibat dalam rakaman itu.

"Siasatan polis mendapati tidak ada sebarang asas undang-undang untuk mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam video itu kerana jelas beliau tidak ada kena mengena, ia juga selari dengan penafian yang telah dibuat beliau.

"Walau bagaimanapun kami yakin Peguam Negara di bawah arahan Barisan Nasional (BN) akan tetap mencari jalan untuk mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, tindakan itu akan diambil bertujuan untuk menghancurkan karier politik Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

"Ini kerana seluruh episod konspirasi ini direka bertujuan menghancurkan kerjaya politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini tidak mustahil kerana sebelum ini situasi sama berlaku di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah dan difitnah atas dua tuduhan liwat, walaupun beliau tidak melakukankanya," kata Saifuddin merujuk dua tuduhan kes liwat terhadap Anwar pada 1998 dan terbaru pada 2008 yang melibatkan Mohd Saiful Azlan Bukhari.

Tambah Ahli Parlimen Machang itu, pihaknya kesal dengan tindakan BN yang terus menggunakan politik kotor demi mengekalkan kuasa politik.

Tiga ‘Datuk T’ mungkin dicaj tayang video seks

Posted: 18 Apr 2011 02:50 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Ketiga-tiga "Datuk T" dijangka didakwa dalam waktu terdekat kerana kesalahan mengedar dan menayang video seks melibatkan pelakunya, dikatakan mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan hubungan dengan seorang wanita dipercayai asing.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kemungkinan itu wujud berikutan siasatan mengikut Sekyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah itu menjurus kepada mereka, pihak yang menayangkan video.

Beliau berkata kertas siasatan kes itu dijangka dihantar ke Pejabat Peguam Negara, Khamis ini.

"Ada kemungkinan mereka akan didakwa mengikut Sekyen 292 itu kerana ia menjurus kepada mereka, pihak penayang."

"Namun bukan polis yang menentukan keputusan itu sebaliknya pejabat Peguam Negara. Kami akan adakan sidang akhbar nanti bila segalanya selesai," katanya dipetik laporan Bernama Online hari ini.

Ketika ditanya mengenai perkembangan kertas siasatan, beliau berkata masih terdapat dua lagi perkara yang perlu dikemas kini dan dilengkapkan dalam siasatan itu, sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

"Kalau boleh bagi pihak kita seawalnya hantar (kertas) itu pada Khamis ini... sementara itu kami tunggu respon daripada pihak yang menyediakan dua perkara itu.

"Dua perkara ini tidak boleh didedahkan dahulu ketika ini kerana ia lebih kepada pendakwaan dan menganggu tugas pejabat Peguam Negara," katanya.

Ditanya mengenai sama ada polis mempunyai kuasa untuk menahan pelaku dalam video seks itu, Acryl berkata: "Kami (polis) tiada peruntukan undang-undang untuk menahan mereka dan mengambil keterangan.

"Kita kena rujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk sebarang penelitian dan semakan. Mungkin mereka ada peruntukan undang-undang terhadap si pelaku," katanya.

Pada 21 Mac lalu, video itu dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh satu kumpulan dikenali sebagai "Datuk T" di hotel Carcosa Seri Negara.

Pakatan: 45 peratus rakyat S'wak tolak BN

Posted: 17 Apr 2011 10:00 PM PDT

Andrew Ong


Walaupun gagal untuk menafikan BN Sarawak majoriti dua pertiganya dalam pilihan raya negeri semalam, tetapi Pakatan Rakyat berpuashati kerana undi popular BN telah merosot lapan peratus.

sarawak election pakatan pc kuching 170411 01Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng (paling kiri dalam foto) berkata
undi popular BN telah merosot daripada 63 peratus pada 2006 kepada 55 peratus kali ini.

"Saya percaya pilihan raya ini menunjukkan bahawa Sarawak bukan 'simpanan tetap' seperti yang didakwa mereka.

"Ini peralihan lapan peratus, yang merupakan satu peralihan yang besar. Jika ini berterusan dalam pilihan raya parlimen nanti, maka BN akan kalah lebih banyak kerusi," kata Guan Eng.

NONEBeliau memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di Kuching
bersama dengan pemimpin tertingi Pakatan.

Dalam pilihan raya negeri semalam, BN kalah hampir semua kerusinya di kawasan bandar dan tiga kerusi luar bandar. Pakatan pula berjaya memenangi 15 kerusi, dan satu lagi kerusi dimenangi calon Bebas. Dewan Undangan Negeri Sarawak mempunyai 71 kerusi.

Dr Lo' Lo' santuni mangsa banjir lumpur, tanah jerlus

Posted: 17 Apr 2011 09:58 PM PDT

M Shari Samsudin


KUALA LUMPUR: Lebih 58 keluarga di Kampung Baru, dekat sini, dipindahkan ke Dewan Serbaguna, Jalan Hamzah apabila sebuah palong besar pecah mengakibatkan tanah di kawasan berkenaan jerlus dan berlaku banjir lumpur.

Kejadian yang mengejutkan penduduk itu berlaku pada 14 April lalu, jam 12.15 malam di Jalan Syed Mahadi.

Palong besar yang menuju ke arah sungai berdekatan pecah kerana tidak mampu menampung air yang mengalir akibat tersumbat dengan sampah-sarap yang terlalu banyak.

Apabila palong itu pecah menyebabkan air menyerap ke dalam tanah hingga berlaku mendapan tanah dan banjir lumpur di sekitarnya.

Bagaimana pun, setelah diperiksa oleh jurutera bertauliah hanya lima buah rumah yang didapati tidak selamat didiami kerana tanah mendap.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali telah mengadakan lawatan ke tempat kejadian dan ke dewan yang menempatkan mangsa untuk memberi bantuan dan bertanya kabar.

Dalam terjahan dan santunannya terhadap mangsa, beliau meminta mereka bersabar dengan ujian Allah swt yang tidak terduga itu.

Beliau berjanji akan cuba membantu seberapa daya yang boleh bagi meringankan bebanan mereka selain mendapatkan bantuan pihak berwajib menyelesaikan masalah mereka.

Katanya kepada Harakah, jika perkara ini mengambil masa yang terlalu panjang, beliau akan mengusahakan agar semua mangsa yang terlibat di tempatkan di kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) khas untuk mangsa bencana alam.

Lo' Lo' juga akan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membaik pulih dan menambahbaikan saliran yang ada agar kejadian yang sama tidak berulang pada masa depan.

Menurutnya, kejadian banjir kilat sering berlaku di kawasan Kampung Baru akibat hujan yang terlalu lebat.

Satu lubang besar dan sebahagian jalan raya merekah di tempat kejadian, boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.

Menurut Inspektor Zainudin Abdullah dari Unit Skuad Penyelamat DBKL, seramai 209 mangsa terlibat dalam kejadian itu dan mereka semua telah diarahkan berpindah buat sementara waktu sehingga keadaan benar-benar selamat.

Namun, katanya ada penghuni yang telibat kembali semula ke rumah mereka bagi menyelamatkan barang-barang mereka.

Antara agensi yang terlibat dalam operasi menyelamat ini ialah Polis, Unit Skuad Penyelamat DBKL, Syabas, Jabatan Saliran Bandaraya, Jabatan Kerja Awam Bandaraya, Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasa.

Menurut Zainuddin, tindakan yang akan diambil oleh DBKL ialah membaik pulih tanah dan palong yang pecah serta menimbus lubang besar yang ada.

Sementara itu, seorang mangsa, Marinah Omar, 33, ketika menceritakan kejadian yang berlaku berkata, anaknya memberitahu rumah telah di masuki air ketika hujan lebat pada malam itu.

Katanya, banjir yang berlaku agak luar biasa kerana air bermula dari tengah rumah dan bukan seperti kebiasaan dari tepi masuk ke tengah.

Banjir itu turut membawa lumpur dan pasir dan kelihatan jalan merekah di luar rumahnya, kata beliau kepada Harakah.

Marinah yang merasakan keadaan tidak selamat akhirnya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah bersama keluarganya, bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Kemudian, katanya lagi, pihak yang berwajib datang bagi memberi bantuan dan mereka telah memeriksa tanah di kawasan rumahnya dan didapati tidak selamat kerana tanah jerlus di bawah bangunan rumah.

Beliau, suami dan tiga anak serta adiknya kini terpaksa menumpang di dewan sementara yang menempatkan mangsa kejadian.

Perkembangan yang baik kepada PAS

Posted: 17 Apr 2011 09:58 PM PDT

Nazri Abdullah


BETING MARO: Bekas calon PAS di Dun Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus tetap akan berkhidmat kepada masyarakat di Dun itu biarpun tewas tipis pada pilihan raya Sarawak 16 April lalu.

Beliau yang akur dengan keputusan rakyat itu, tetap mahu mencurah bakti kepada masyarakat di sini malah yakin keputusan kali ini hanya permulaan buat dirinya.

"Kita akur dengan pilihan rakyat. Mungkin di sana ada beberapa strategi lagi yang kita perkemaskan untuk akan datang.

"Apapun terima kasih kepada rakyat yang telah menyokong saya sebagai calon PAS di sini," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Abang Ahmad tewas dengan majoriti 391 undi kepada BN yang diwakili Razaili Gapor.

Beliau mendapat 2,678 undi berbanding Razaili 3,069.

Pada pilihan raya 2006 lalu, PAS tewas kepada BN dengan majoriti 895 undi.

Mengulas peningkatan undi yang diterima PAS, Abang Ahmad berkata, ianya satu perkembangan baik kepada PAS untuk terus menjalankan tugas dakwah kepada rakyat di sini.

PAS menang di beberapa unit peti undi termasuk Pusa dan Muton, manakala tewas di Beladin, Kalok, Semariang dan Batang Maro.

"Saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada jentera PAS dari Kelantan, Negeri Sembilan yang banyak membantu saya.

"Kita akan perbaiki kelemahan kita untuk pilihan raya akan datang," katanya.

Keseluruhannya, pilihan raya Sarawak ke 10 menyaksikan BN mendapat 55 kerusi, Pakatan Rakyat 15 manakala 1 wakil Bebas.

Hasrat Najib Bubar Parlimen Terencat, Kata Dr Xavier

Posted: 17 Apr 2011 09:44 PM PDT

TVS NEWS


SHAH ALAM 1 : ADUN Seri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak berani untuk mengadakan Pilihan Raya Umum(PRU) ke 13 nanti dalam jangka masa terdekat ini berikutan kehilangan 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak semalam.

Dr Xavier berkata, walaupun pembangkang gagal menafikan kebolehan BN Sarawak mendapat majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri semalam, tetapi Pakatan Rakyat tetap berpuashati kerana undi popular BN telah merosot lapan peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menyatakan BN hanya berjaya merekodkan 372,379 undi atau 54.5 peratus daripada jumlah yang keluar mengundi semalam.

"Kejayaan Pakatan Rakyat memenangi 15 kerusi pada Pilihan Raya Sarawak ke 10 semalam sedikit sebanyak telah merencatkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 13 sekaligus membubarkan parlimen pada tahun ini," katanya.

"Berkemungkinan besar Najib juga akan meneliti semula beberapa faktor sebelum mahu mengadakan PRU Ke 13 dalam waktu terdekat," ujarnya.

Dr Xavier berkata demikian ketika mengulas tindakan Najib yang menjadikan keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebagai kayu pengukur untuk beliau memutuskan sekarang adalah masa terbaik untuk mengadakan PRU di Majlis Perasmian Meletak Batu Asas di SJKT Ladang Midlands, Seksyen 7, Shah Alam.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan SPR semalam, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pada pilihan raya negeri 2006 yang mana ketika itu BN memperoleh 63 kerusi.

Menurut SPR lagi, pihaknya juga turut mencatatkan jumlah perolehan undi parti itu untuk lima tahun lalu dimana perikatan itu menerima 62.91 peratus atau 341,587 undi dan 71.16 peratus dengan 382,137 undi pada 2001.

Manakala pada pilihan raya negeri Sarawak yang kesembilan dan kelapan pada tahun 2006 dan 2001 lalu, hanya 69 dan 43 kerusi disaingi selepas bakinya dimenangi BN tanpa saingan.

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 10 semalam menyaksikan kejayaan Pakatan Rakyat menambah lapan kerusi DUN walaupun BN berjaya mengekalkan dua pertiga majoriti dalam pilihan raya negeri itu selepas mememangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Awal bulan ini, Najib, yang juga Pengerusi BN, dilaporkan berkata bahawa beliau akan melihat dahulu keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebelum membuat keputusan tentang waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum.

Terdapat juga spekulasi bahawa Najib mungkin membubarkan Parlimen tahun ini walaupun tempohnya hanya akan berakhir 2013.

Pilihan raya umum ke-12 telah diadakan pada Mac 2008.

Sarawak: Pakatan ‘berjaya’ walaupun gagal capai sasaran kerusi, kata Anwar

Posted: 17 Apr 2011 09:42 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Meskipun gagal mencapai keputusan yang disasarkan tetapi Pakatan Rakyat (PR) berjaya "menanam benih politik murni" supaya penduduk Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada pilihan raya negeri ke-10 kelmarin, Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa kerajaan negeri dengan memperoleh 55 kerusi manakala PR 15 dan Bebas satu.

PR menggandakan kerusi dan undi popular yang diperoleh mereka kali ini berbanding lima tahun lalu.

"Pilihan raya negeri Sarawak 2011 membuktikan perjuangan menuntut keadilan untuk semua tanpa mengira batas kaum mahupun kepercayaan bukanlah tugas mudah, namun ia juga bukan mustahil.

"Walaupun tidak mengecapi keputusan yang diingini, kita berjaya menanam benih politik murni agar rakyat Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, berani melawan kezaliman yang sekian lama membelenggu dan berusaha memperkukuh amalan demokratik," kata beliau dalam entri terbaru blognya.

Ketua Umum PR itu menambah, hakikat yang tidak dapat dinafikan sepanjang tempoh berkempen, berbekalkan sumber yang terhad serta berilitizam dengan kempen yang bersih, PR tetap berjaya menembusi kawasan pendalaman, yang sentiasa dianggap kubu kuat BN.

Dalam kenyataan ringkasnya ini, Anwar yang juga Ketua Umum PKR menenangkan pengikut dan penyokongnya bahawa keputusan kali ini bukanlah satu pengakhiran, bahkan yakinlah ia satu permulaan kepada satu tuntutan perubahan yang jitu dan menyeluruh.

"Pastinya ini tidak dapat dicapai sekiranya rakyat Sarawak tidak bersama sama memastikan ia terlaksana.

"Saya menyeru kepada rakyat Sarawak yang mahukan perubahan dan cintakan keadilan, tingkatkan usaha, jangan sesekali berputus asa, terus mara dan pastikan rejim yang korup ini tumbang pada pilihan raya yg akan datang," katanya Ketua Pembangkang ini.

PR bertanding dengan 47 calon PKR, DAP 15 dan PAS lima dalam pilihan raya paling sengit dalam sejarah Sarawak ini. Seramai 213 bertanding kali ini.

Anwar juga berkata sekali lagi kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tercalar kerana wujudnya laporan bahawa agensi itu bertindak berat sebelah ataupun sengaja menutup mata terhadap sebarang penipuan ketika hari pengundian.

"Saya difahamkan petugas PKR dinafikan Borang 14 di beberapa kawasan sedangkan borang ini penting untuk memastikan keputusan pilihan raya bersih dari penipuan," katanya.

Selain itu kata beliau, terdapat juga laporan wujudnya usaha membeli undi di beberapa kawasan seperti Dudong, Bawang Assan dan Meradong.

Kata Anwar, keengganan SPR untuk mengira semula undi bagi kerusi Senadin ternyata mengukuhkan lagi dakwaan ramai bahawa SPR bertindak demi kepentingan BN.

"Calon PKR Dr Michael tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 58 undi sahaja. Mengapa enggan mengira semula tanpa memberi alasan yang munasabah?' katanya lagi.

Laporan media menyebut PKR bercadang memfailkan petisyen untuk mencabar keputusan bagi kerusi Senadin.

Teo kalah tipis kepada Datuk Lee Kim Shin daripada BN.

Naib Presiden PKR Tian Chua menyuarakan rasa tidak puas hati beliau berikutan keengganan Pegawai Pengurus Pilihan raya Chai Ko Het supaya undi dikira semula di pusat penjumlahan undi.

Lee memperoleh sejumlah 7,334 undi manakala Teo pula meraih 7,276 undi.

Guan Eng: Gesaan akhbar Umno hukum pengundi sokong Pakatan rasis

Posted: 17 Apr 2011 09:40 PM PDT

TERKINI



KUALA LUMPUR— Lim Guan Eng mendakwa gesaan akhbar Kumpulan Utusan agar Barisan Nasional (BN) menghukum pengundi-pengundi Cina yang tidak menyokong perikatan itu pada pilihan raya negeri Sarawak kelmarin sebagai rasis dan tidak demokratik.

Setiausaha Agung DAP juga mengecam Umno, pemilik akhbar itu kerana membolehkan pendirian sedemikian dikeluarkan dan mempersoalkan sama ada ia konsisten dengan slogan 1 Malaysia dibawa Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri dan pengeri BN.

"Gesaan terbuka Utusan Malaysia, bukan sahaja rasis tetapi juga bertentangan dengan amalan demokrasi," kata Ketua Menteri Pulau Pinang ini.

Lim (gambar) yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata jika BN mengambil tindakan tegas yang disarankan oleh Mingguan Malaysia terhadap pengundi bandar dan sesiapa yang menggunakan hak demokrasi, maka apa gunanya diadakan pilihan raya.

Satu lagi akhbar milik Umno, Berita Harian dalam ruangan editorial hari ini berkata "sudah tiba masa BN meneliti senario kenapa pengundi Cina menolak BN, bukan saja di Sarawak, malah di kebanyakan pilihan raya kecil lalu.

"Persoalannya, adakah kerana BN tidak cukup membantu kaum Cina atau ia sekadar keyakinan mereka bahawa pembangkang mampu membentuk kerajaan negeri seperti dilakukan DAP di Pulau Pinang dan Selangor dengan kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS," kata beliau.

Semalam, Mingguan Malaysia, akhbar Kumpulan Utusan milik Umno, menggesa perikatan itu supaya tidak terlalu "pemurah" dalam melayan kedudukan masyarakat Cina dalam Kabinet negeri yang bakal dibentuk ekoran keputusan pilihan raya Sarawak kali ini.

Mingguan Malaysia berkata majoriti pengundi Cina memihak kepada kempen Pakatan Rakyat yang membawa seruan "mengubah kerajaan negeri" sedangkan masyarakat Bumiputera tetap teguh bersama BN.

BN Sarawak pimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula 15 dan Bebas satu.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN Sarawak memperoleh 62 kerusi dan ia meningkat kepada 63 kemudian.

Walaupun BN memperoleh majoriti lebih dua pertiga tetapi mengalami penurunan kerusi kali ini. Begitu juga undin popular diperoleh BN semalam berbanding lima tahun lalu.

"Keputusan tersebut mempunyai makna yang perlu diterjemahkan oleh kerajaan negeri pimpinan Abdul Taib Mahmud.

"Awang berharap Taib akan menubuhkan Kabinet dengan mengambil kira realiti daripada peti undi. Ternyata, rata-rata pengundi Cina menolak BN dan menyokong DAP," kata Awang Selamat dalam ruangannya di Mingguan Malaysia.

Dalam kenyataannya Lim berkata, Utusan Malaysia yang pernah mengesyorkan supaya tragedi 13 Mei dijadikan hari peringatan terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat "rasis dan ekstremis."

"Apa yang mengejutkan ialah Umno terus membenarkan pendekatan rasis terhadap bukan Melayu dan bukan Islam di kedua-dua Semenanjung dan Malaysia Timur.

"Adakah (sikap) rasis dan ekstrem oleh akhbar Umno konsisten dengan (slogan) 1 Malaysia," kata Lim dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan hari ini.

Pada pilihan raya negeri kali ini BN Sarawak memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat 15 dan Bebas satu.

Lima tahun lalu BN memperoleh 62 kerusi dan kali ini Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP-PAS-PKR menambah kerusi dua kali ganda.

Lim menekankan bahawa menghukum pengundi-pengundi Cina yang bebas memilih wakil mereka menerusi peti undi bersamaan dengan tindakan "diktator dan feudal."

Sebaliknya Lim menggesa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang kalah teruk termasuk presidennya Tan Sri George Tan agar menarik balik sokongan kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memegang jawatan itu selama 30 tahun.

"Pengundi-pengundi Sarawak telah menghantar mesej kuat dan jelas kepada SUPP bahawa mereka mahukan Taib pergi sekarang.

"SUPP ditolak oleh pengundi kerana SUPP telah gagal mewakili rakyat dan dilihat sebagai wakil Taib," katanya lagi.

Oleh itu katanya, isu yang paling penting SUPP mesti tangani ialah jika SUPP jujur dalam menerima keputusan pengundi, ia mesti menarik balik sokongan diberikan kepada Taib sebagai ketua menteri.

AELB nafi beri Lynas permit simpan sisa buangan di loji

Posted: 17 Apr 2011 09:24 PM PDT


KUALA LUMPUR— Pengawal selia tenaga nuklear negara menafikan telah meluluskan rancangan Lynas Corporation untuk menyimpan sisa buangan radioaktif lojinya di Gebeng dekat Kuantan sambil menegaskan, syarikat Australia itu tidak akan dibenar menyimpan ratusan tan meskipun ia masih menganggapnya selamat.

Lynas telah melabur RM700 juta bagi mendirikan loji pemprosesan nadir bumi, yang akan beroperasi akhir tahun ini.

"Simpanan di kawasan loji tidak akan menjadi penyelesaian terakhir," kata Ketua Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan kepada The Malaysian Insider.

Dalam temu bual khas itu, kawasan simpanan dalam loji yang telah diluluskan, yang bertujuan memudahkan kerja-kerja pemprosesan, adalah sebagai "kawasan sementara untuk menyimpan sisa buangan."

Baru-baru ini Lynas memberitahu The Malaysian Insider bahawa ia tetap dengan pendiriannya mahu meneruskan operasi pemprosesan nadir bumi di Gebeng dengan kemudahan simpanan jika pelan untuk mengitar semula sisa radioaktifnya tidak dimuktamadkan.

Lynas memberi jaminan kepada pengkritik bahawa lombong Mount Weld di Australia adalah salah satu daripada tiga kawasan yang unik dengan simpanan nadir bumi yang rendah tahap radiasi dan tidak sewajarnya dibandingkan dengan loji Bukit Merah yang sedang melalui kerja-kerja pembersihan menelan kos RM303 juta sejak dua dekad lalu selepas ia ditutup.

"Kami mempunyai kebenaran (daripada kerajaan) untuk simpan di kawasan loji sendiri, buat selama-lamanya," kata Pengerusi Eksekutifnya Nicholas Curtis.

Curtis memberitahu empangan simpanan yang khas boleh menerima sisa buangan selama enam tahun dan pendedahannya kepada rakyat adalah "sifar."

"Dua pertiga atau lebih adalah gipsum. Tiada isu bahawa ia digunakan sebagai papan plaster dan pasaran-pasaran lain. Malaysia adalah pengimport gipsum, jadi sudah pasti kami akan menggunakannya untuk kuantiti komersial. Jadi ini akan meningkatkan (kapasiti) simpanan (sisa radioaktif) kami sehingga 24 tahun," kata beliau.

"Kami tidak akan membenarkan (ia) menambah sehingga ke tahap itu. Kami akan menghentikan. Mereka tidak boleh terus menambah (simpanan). Perlu ada proses yang seiringan," kata Raja Aziz lagi.

Raja Aziz berkata, Lynas perlu membuktikan bahawa ia boleh mengalihkan torium keluar dari kawasan lojinya dengan cara yang selamat ketika tempoh praoperasi yang selama tiga tahun akan datang.

Jika syarikat itu gagal berbuat demikian, kata beliau, ia tidak akan diberikan lesen operasi sepenuhnya.

"Daripada pengalaman ARE, publik tidak akan membenarkan kerja-kerja menambah torium secara berterusan.

"Itu sebabnya apabila Lynas mengemukakan permohonan, kami memberitahu bahawa ia tidak lengkap. Jika anda tidak dapat mengalihkan sisa buangan, apa anda hendak lakukan? Ini sangat penting," katanya.

"Kami akan bertanya pada mereka, apa akan jadi jika anda tidak dapat menjualnya? Jika sisa pembuangan terus bertambah, kami akan menghentikan pengimportan dan penambahan," tambah beliau.

Awal bulan ini, beliau dipetik berkata, Lynas akan kekal di kawasan perindustrian Gebeng melainkan loji pemprosesan juta itu gagal memenuhi keperluan keselamatan.

Ketika itu Abdul Aziz juga mengakui tiada satu keperluan keselamatan tetap berhubung aspek radiasi.

Sebaliknya kata beliau, paras torium dalam bahan mentah yang akan digunakan untuk tujuan pemprosesan akan dijadikan sebagai petunjuk.

"Perkara utama menjadi perhatian ialah sisa buangan," kata beliau merujuk kepada elemen radioaktif yang ditemui dalam semua lapisan nadir bumi.

Malah ketika itu juga, Raja Aziz juga memberitahu pemberita bahawa Lynas harus berpegang kepada 500 ppm torium dalam bahan buangan dan jika tidak akan diminta menutup operasinya.

Pertubuhan bukan kerajaan dan wakil rakyat-wakil rakyat membantah operasi loji atas alasan bimbang dengan risiko bahaya radiasi.

Kebimbangan itu meningkat selepas krisis loji tenaga nuklear ekoran bencana berganda tsunami dan gempa bumi di Jepun bulan lalu.

Lynas secara berulang kali mengatakan bahawa nadir bumi yang pihaknya gunakan hanya mempunyai 1,600 ppm torium iaitu 50 kali lebih rendah berbanding bahan mentah yang digunakan di Bukit Merah.

Video Lucah : Siasatan Selesai, Tuan Punya Omega Tidak Penting, Kata Polis

Posted: 17 Apr 2011 04:44 PM PDT

PASPB

KUALA LUMPUR : Polis Bukit Aman sudah menyiapkan siasatan berhubung video lucah Datuk T mengikut Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan bersabit kesalahan mengedar bahan lucah, kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan, Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, identiti pemilik jam Omega bersabit kes itu tidak menjadi faktor penting dalam siasatan polis kerana perkara utama adalah "siapa penayang video itu,".

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Chik, yang juga Pengerusi Risda, ahli perniagaan Datuk Sharzyl Eskay dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim mengaku mereka sebagai gandingan Datuk T yang menayangkan video itu kepada media tertentu di Hotel Carcosa 21 Mac lalu.

Mereka mendakwa rakaman itu menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari lalu. Eskay juga menyerahkan sebuah jam Omega milik Anwar yang didakwa beliau dicuri oleh pelacur berkenaan.

Anwar menafikan dakwaan itu sebagai fitnah dan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau berada di rumah pada malam rakaman itu dibuat dan beriinteraksi menerusi Twitter dengan jaringannya. Anwar juga mengesahkan bahawa beliau masih mempunyai sebuah jam Omega dalam simpanannya.

Acryl berkata, laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.

"Bagi pihak kami (polis), siasatan telah lengkap dari setiap sudut menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mengedar bahan lucah).

"Terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan susulan terhadap kes ini dan sekiranya ada mana-mana perkara yang perlu disiasat semula (atas arahan Peguam Negara), kita akan siasatlah," katanya.

Ditanya mengenai maklum balas syarikat pengedar jam Omega mengenai identiti pemilik jam tangan itu, Acryl berkata polis tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pengedar jam berkenaan memberi maklumat berhubung identiti pemilik jam terbabit.

"Kita tunggu sahajalah...kami tidak boleh paksa mereka untuk beri maklumat siapa pemilik jam tangan itu," katanya.

"Identiti pemilik jam itu bukan merupakan satu isu (dalam melengkapkan siasatan), apa yang penting dalam siasatan kita (Seksyen 292) adalah siapa penayang video itu," kata Acryl.

Selepas menang besar, BN perlu tangani isu Taib Mahmud

Posted: 17 Apr 2011 04:32 PM PDT

Oleh SiasahDaily


Kedudukan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjadi isu yang perlu ditangani Barisan Nasional selepas mencapai kemenangan besar mengekalkan dua pertiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Pengunduran Taib dan peralihan kuasa bakal menjadi tuntutan banyak pihak selepas berakhir Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 semalam.Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin semalam dilapor berkata BN perlu melaksanakan janji mengadakan peralihan kuasa di Sarawak.

Kedudukan Taib - yang segera mengangkat sumpah selepas BN berjaya menubuh kerajaan - masih kukuh ekoran kejayaan memastikan kemenangan selesa walaupun berdepan tekanan kuat pembangkang.

Walaupun terjejas sebagai "simpanan tetap" bagi BN untuk Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, Sarawak tetap masih dilihat selamat bagi BN, dan menguatkan sebab kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengadakan pilihan raya umum tahun ini.

Taib telah berjaya memastikan BN kekal dengan dua pertiga kerusi di Sarawak. Prestasi BN dalam pilihan raya umum akan datang, sama ada berjaya atau tidak mendapat semula dua pertiga, bakal mengalih tumpuan kepada Najib pula.

Najib telahpun mengatakan BN akan berdepan saingan sengit pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Tetapi beliau dijangka tetap akan berdepan cabaran dan tekanan sekiranya BN tidak berjaya mengekalkan dua pertiga di Parlimen selepas pilihan raya itu nanti.

Bila Pilihan Raya Umum Ke 13?

Posted: 17 Apr 2011 04:31 PM PDT

Oleh Mohd Sayuti Omar


Pilihan raya Sarawak sudah selesai. Taib Mahmud dah selamat untuk terus berkuasa, tidak siapa boleh ganggu dan persoal lagi. Kemenangan beliau adalah mutlak, walaupun hilang lapan kerusi tetapi wibawa kerajaannya tidak terganggu. Ketua Menteri 30 tahun itu tidak perlu gundah dan gerun kepada sesiapa lagi. Beliau boleh mengunjurkan kekayaan dan melakukan kemewahan seberapaa banyak yang diingininya, tiada siapa lagi boleh menghalang.

Mandat yang diberikan rakyat akan diguna sepenuhanya. Mungkin Cina dan sedikit Iban akan menanagis dan sedih atas kemenangan Taib tetapi Melayau dan Melanau masih bergembira kekayaan Taib adalah kebangaan mereka juga. Bagi Melayu kerakusan Taib tidak memberi kesan kepadanya asalkan Sarawak diperintah oleh orang Melayu.

Dengan kemenangan semalam juga Najib Razak tidak boleh berkata apa kepada Taib. Ternyata Taib kini lebih hebat daripada Najib. Najib tidak boleh cakap banyak kerana Taib sudah mendapat mandat baru yang besar. Persoalan kini bagai mana dengan Najib? Najib belum boleh duduk selesa kerana mandat yang ada ada adalah pesaka dari Abdullah Badawi.

Apakah Najib akan segera memanggil pilihan raya umum ke-13 Najib mengambil peluang atas kemenangan di Sarawak untuk mendapat mandat baru? Ada kemungkinan. Najib dan BN kini sudah benar-benar selesa. Najib boleh mengira kalaulah orang Sarawak masih sayang kepada PBB maka begitu juga dengan orang Melayu Semenanjung masih sayang dan merasakan Umno kena terus disokong untuk meneruskan pemerintahan.

Bilakah Najib akan mengadakan pilihan raya? Ada mengatakan tempoh sesuai ialah antara Jun sampai September. Setengah logistik dan persiapan sudah pun dilengkapkan. Dengan kemenangan BN Sarawak semalam saya yakin Najib kini sedang mencari tarikh dan cerlak sesuai untuk diadakan pilihan raya.

Kepada pembangkang jangan berlengah dan mendakap diri lagi jentera pilihan raya disemua peringkat hendaklaha digerakkan mula sekarang. Jangan tunggu saat saat akhir. Kalaulah pembangkang masih tunggu dan lihat tak mustahil pilihan raya ke 13 ini boleh menyebabkan pembangkang akan menyesal dan menangis tidak berlaku. Jangan perkecilkan kekuatan dan senantiasa sedar akan kehebatan strategi BN.

`PENYAKIT' SPR WAJIB DIPULIHKAN

Posted: 17 Apr 2011 04:17 PM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

KEPUTUSAN Pilihanraya Negeri Sarawak sudah cukup memadai untuk menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat perlu lebih berani dan tegas di dalam merealisasikan cita-cita mewujudkan ketelusan demokrasi di negara ini. Banyak kali disuarakan tentang betapa pincangnya demokrasi di negara ini yang diterajui oleh SPR, namun kita terus mengharapkan keajaiban berlaku terhadap negara ini.

Mahu tidak mahu kita mesti menerima keputusan di Sarawak yang menunjukkan bahawa walaupun majoriti rakyat Sarawak mahu kepada perubahan, tetapi kerana ketidaktegasan kita terhadap kepincangan demokrasi terutamanya oleh SPR maka sekali lagi harapan rakyat Sarawak tidak tercapai. Adakah kita menyalahkan 100% kepada SPR terhadap kegagalan kita untuk menjadi kerajaan di Sarawak? Atau, kita akur bahawa SPR sememangnya berlaku adil dan telus memandangkan kita berjaya menjadi kerajaan di Kelantan, P.Pinang, Selangor, Kedah, dan Perak (sebelum dirampas secara jijik) seterusnya kita berjaya merampas 8 kerusi Dun di Sarawak?

SPR tetap akan mengaku pihaknya berlaku adil dan amat telus dengan memberi alasan atau dalil mereka di atas pencapaian kita itu. Pada SPR, tiada berlaku `pengundi hantu', tiada berlaku rasuah politik dan projek segera, tiada berlaku kesalahan salahguna jentera kerajaan seperti PDRM, Jabatan Penerangan termasuk media cetak dan elektronik, tiada berlaku penyelewengan undi pos, tiada berlaku perlanggaran peraturan pilihanraya dan sebagainya. Bagi PR, kita sebenarnya tahu apa yang didakwa oleh SPR itu bohong dan menipu tetapi kita dengan sengaja memasuki perangkap mereka.

Sampai bilakah PR akan terus menyertai pilihanraya dalam situasi begini? Apabila kita tewas, tidak kurang sesama kita akan menyalahkan di antara satu sama lain. Sikap tuding menuding jari ini akan membutakan mata kita terhadap masalah pokok iaitu SPR. Mungkin ramai di antara kita tidak sanggup untuk melihat parti yang kita sayangi ini dibuli sesuka hati setiap kali menyertai pilihanraya. SPR semakin berani menunjukkan bahawa suruhanjaya ini adalah merupakan salah satu komponen Bn.

Mustahil SPR tidak nampak bagaimana pemimpin Bn berkempen melalui media sebelum hari penamaan calon sehinggalah selesai hari mengundi mereka ini terus membuli kita. Tidak lojik SPR tidak tahu wujudnya rasuah politik dengan limpahan projek segera yang kununnya memang telah dirancang oleh kerajaan? SPR tidak dengarkah ada pemimpin politik yang berkata, 'I help U, U help Me'? Adakah SPR tidak tahu wujudnya peraturan bahawa setiap ejen calon di peti undi mesti diberikan `borang pengesahan' perjumlahan undi (Borang 14) sebelum dibawa ke Pusat Perjumlahan Undi? Banyak lagi tindakan oleh SPR yang didakwa oleh PR melanggar peraturan pilihanraya, tetapi segala dakwaan ini terhenti begitu sahaja selepas pilihanraya.

PR mesti melakukan sesuatu sebelum rakyat di negara ini menganggap bahawa segala yang didakwa terhadap SPR itu adalah satu dakwaan kosong tanpa bukti akibat pemimpin kita memandang remeh perkara ini. Samada kita menang atau kalah, kita harus terus menentang kemungkaran SPR ini secara serius.

Walau bagaimanapun, secara peribadi saya mengucapkan syabas kepada PR yang berjaya merampas 8 kerusi Bn di sarawak di dalam keadaan kita dibuli semahunya. Kita patut mengucapkan tahniah dan syabas juga kepada seluruh jentera PR yang bekerja begitu kuat sehingga kita berjaya meningkatkan undi kita di Bumi Kenyalang itu. Paling mengembirakan adalah PKR telah berjaya bertapak di Sarawak dari 1 kerusi kepada 3 kerusi. Begitu juga dengan PAS yang telah berjaya meningkatkan jumlah undi terhadap parti ini terutamanya undi dari Kaum Iban.

Kita berjaya menjejakkan kaki ke Sarawak lebih awal dari Umno dan ini satu pertanda bahawa PR bakal menjadi kerajaan di Sarawak suatu masa nanti. Sebelum kita berangan ke situ atau lebih jauh lagi berangan ke Putrajaya, SPR wajib dipulihkan dari penyakit yang semakin kritikal itu./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: