Kerabu Bersuara ® |
- Media diarah tidak lagi siarkan perhimpunan Pakatan
- Pakatan mampu menang 19 kerusi
- RM1.5b wang rakyat dalam 1MDB diguna selamatkan kroni Taib – Anwar
- Terdesak untuk menang pilihan raya, Najib sensasikan video fitnah
- Saingan makin sengit, Pakatan mula rasai peluang cerah berbanding 2006
- Siapa Taib untuk lantik diri sendiri jadi penasihat? – Fuziah
- Murugiah tak disambung senator, gugur timbalan menteri
Media diarah tidak lagi siarkan perhimpunan Pakatan Posted: 13 Apr 2011 04:00 AM PDT BN yang kini dilihat semakin goyah menjelang pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini, terus memperkuatkan cengkamannya ke atas media arus perdana . Dengan portal berita, termasuk Malaysiakini dan Sarawak Report, yang telah menerbitkan laporan kritikal mengenai ketua menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, tidak dapat diakses akibat serangan siber, rangkaian televisyen telah diarahkan jangan menyiarkan rali dan ceramah-ceramah Pakatan Rakyat. Sumber yang rapat dengan gergasi media yang dikaitkan dengan Umno itu - Media Prima - memberitahu Malaysiakini bahawa semua rangkaian televisyen miliknya telah diarahkan supaya tidak menyiarkan ceramah harian Pakatan yang berjaya menarik kehadiran ribuan orang. "Visual rali mega tidak sama sekali boleh disiarkan meskipun ia berkaitan dengan pilihan raya," kata sumber dalaman itu. Media Prima memiliki semua rangkaian televisyen swasta percuma di negara ini -TV3, ntv7, 8TV and TV9. Selain televisyen, akhbar Cina juga diberi tekanan selepas BN dikatakan mungkin tumbang di beberapa kawasan yang mempunyai pengundi majoriti masyarakat Cina. "Walaupun belum diberi arahan, kita mesti berhati-hati dengan laporan berita. Saya tidak fikir, kita mampu lagi memberi liputan pada ratio 60:40 bagi BN dan Pakatan, kita sekarang terpaksa menukarnya kepada 70:30," kata seorang editor akhbar harian Cina. "Sejak dua atau tiga lalu, liputan ke atas kami telah berkurangan dengan begitu ketara sekali," kata seorang pekerja kempen DAP. |
Pakatan mampu menang 19 kerusi Posted: 13 Apr 2011 03:30 AM PDT Jimadie Shah Othman & Kuek Ser Kuang Keng Memasuki pusingan kedua dalam kempen pilihan raya Sarawak - yang dianggap paling sengit dalam sejarahnya - sokongan pada BN dijangka meningkat di saat-saat akhir walaupun menerima tamparan hebat di kawasan bandar pada permulaanya. Menurut pengamatan pelbagai sumber, walaupun bakal hilang banyak kerusi, BN masih mempunyai peluang cerah mengekalkan penguasaan dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di kena sentuhan terakhirnya. "Dalam kempen di beberapa hari terakhir ini, semua kemungkinan boleh berlaku. BN masih ada strategi 'carpet bombing' melalui pengumuman projek segera dan pemberian imbuhan pilihan raya terutamanya di kawasan bandar," kata pemerhari politik Dr Jeniri Amir. Pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak itu juga berkata, walaupun penduduk bandar menunjukkan perubahan yang luar biasa dengan menyokong Pakatan, berdasarkan tred dalam pilihan raya sebelum itu, bola akan kembali bertukar ke kaki BN semula. "Masyarakat luar bandar masih dilihat mempunyai pemikiran simple minded," katanya kepada Malaysia. Menurut sumber-sumber yang dekat dengan kerajaan, bacaan semasa menunjukkan, sebanyak 28 kerusi masih memihak kepada BN, 19 mampu dirampas pembangkang dan 24 lagi peluangnya masih '50-50' antara kedua-dua pihak yang bertanding. Jika dilihat dari aspek kaum pula, undi Cina kini memihak kepada Pakatan, Melayu dan Melanau masih menyokong BN manakala masyarakat Iban pula mula sedikit demi sedikit berpindah daripada BN kepada pembangkang. Bacaan ini selari dengan pemantauan NGO pengkaji "kepercayaan politik" Zentrum Future Studies yang mendapati sokongan masyarakat luar bandar kepada BN merosot dari 80 kepada 61 peratus. Menurut presiden Zentrum, Dr Abu Hassan Hasbullah, di kawasan luar bandar, sokongan terhadap parti pemerintah turut menyusut dari 65 kepada 38 peratus sahaja. Justeru, jika Pakatan mampu mempertahankan menangkis serangan terakhir BN, termasuk kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri, sejarah akan berlaku di Bumi Kenyalang. Menurut sumber-sumber Umno pula, setelah parti Melayu itu mula menyuntik jenteranya di pelbagai kawasan, terutamanya di luar bandar dalam beberapa hari kebelakangan ini, mereka yakin, paling tinggi, Pakatan hanya dapat merampas 15 kerusi sahaja. "Bagaimanapun, tujuh atau lapan kerusi di kawasan bandar memang sudah tidak boleh dipertahankan lagi," jelas sumber-sumber itu. |
RM1.5b wang rakyat dalam 1MDB diguna selamatkan kroni Taib – Anwar Posted: 13 Apr 2011 03:00 AM PDT KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat pendedahan menggemparkan bahawa sebanyak RM1.5 billion wang rakyat diguna Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyelamatkan syarikat kroni Taib Mahmud. Ia dilakukan menerusi syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang melakukan urusniaga meragukan untuk mengelabui mata rakyat, kata Anwar. 1MDB melakukan urusniaga dengan syarikat PetroSaudi dari Arab Saudi, untuk membolehkan syarikat UBG Berhad, yang menghadapi masalah kewangan dan dimiliki keluarga Taib, diselamatkan. "Untuk memperdayakan rakyat, Najib isytihar keuntungan 1MDB sebanyak RM425 juta pada tahun pertama operasinya. Namun, beliau tidak pernah memberitahu kita bagaimana (keuntungan itu diperoleh). "Hari ini kita ada penyata kewangan 1MDB yang mendedahkan salahguna wang kerajaan tanpa rasa malu yang dilakukan Barisan Nasional dan bagaimana mereka berterusan menyalahgunakan kekayaan negara," kata Anwar. Menurut Anwar, keuntungan sebanyak RM425 juta yang diisytihar pada tahun kewangan 1MDB yang berakhir pada 31 Mac 2010 mendedahkan perkara yang berbeza apabila diteliti dengan lebih dekat. "Lima bulan selepas membayar RM3.5 billion untuk pelaburan projek usaha sama dengan PetroSaudi, 1MDB menjual semula pelaburan itu kepada pemilik PetroSaudi dengan harga RM4.1 billion. "Pada mata kasar,ia kelihatan seperti keuntungan yang menakjubkan. Namun, PetroSaudi yang menerima wang tunai sewaktu 1MDB membeli pelaburan tersebut kini membayar pembelian semula itu melalui skim pinjaman selama 11 tahun yang akan hanya selesai pada 31 Mac 2021. "Sekarang, hampir 70 peratus modal asal 1MDB adalah dalam bentuk pinjaman, yang tiada jaminan lagi akan dibayar semula sepenuhnya," kata Anwar. Malahan, urusniaga itu juga dilakukan pada hari terakhir tahun kewangan 1MDB, 31 Mac 2010 bagi menipu rakyat. "Silap mata perakaunan ini dilakukan untuk menunjukkan keuntungan meragukan yang diisytiharkan Najib," kata Anwar. Perkara paling mengejutkan, kata Anwar, adalah hubung kait Taib Mahmud dengan 1MDB melalui urusniaga yang meragukan. "Pada tahun lalu juga, PetroSaudi membayar RM1.5 billion untuk mengambil alih UBG Berhad, instrumen pelaburan milik empayar keluarga Taib Mahmud yang menghadapi masalah kewangan," kata Anwar. Justeru, Anwar menuntut agar satu audit khas dilakukan untuk menyiasat samada urusniaga yang melibatkan 1MDB, PetroSaudi dan UBG menggunakan wang rakyat dan digunakan untuk tujuan politik yang tertentu. Anwar juga menuntut sebarang usaha 1MDB meraih dana daripada bank dihalang sehingga audit itu selesai. Sebarang usaha untuk memindahkan harta kerajaan seperti cadangan menganugerahkan sebidang tanah di Jalan Cochrane juga perlu dihentikan, kata Anwar. Anwar juga menuntut satu pendedahan siapa sebenarnya di belakang 1MDB dilakukan agar rakyat yakin bahawa 1MDB betul-betul kukuh untuk memenuhi komitmennya. |
Terdesak untuk menang pilihan raya, Najib sensasikan video fitnah Posted: 13 Apr 2011 02:30 AM PDT SIBU: Tindakan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mensensasikan video fitnah hanya bertujuan menjejaskan tumpuan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pilihan raya Sarawak yang sedang berlangsung ketika ini. Anwar dalam sidang media di Sibu semalam berkata, Najib kian tertekan untuk mempertahankan kerajaan BN di Sarawak dan sengaja memainkan isu video fitnah itu tanpa memikirkan kesannya. "Datuk Najib hanya hanya fikir pasal seks. Najib tak buat apa-apa yang dia tahu hanya seks, seks dan seks. Tindakannya itu amat memalukan dan mengguris hati dan perasaan anak-anak dan isteri saya," kata Anwar yang merujuk kes fitnah liwat yang dilemparkan terhadapnya kali kedua dan video seks fitnah yang juga bertujuan membunuh kerjaya politiknya. Dalam sidang media itu, beliau turut menerima penyertaan kira-kira 100 anggota baru KEADILAN. Seorang anggota yang baru sertai KEADILAN ketika ditemui berkata, antara faktor penyertaan kerana kegagalan Rejim BN Sarawak pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyelesaikan masalah tanahnya yang berlarutan bertahun-tahun, seperti dilapor Malaysiakini. Pilihan raya umum negeri Sarawak yang akan berlangsung pada 16 April ini hanya tinggal 3 hari sahaja lagi. Pakatan Rakyat kini sedang merancakkan lagi kempen bagi menawan Sarawak dalam usaha membuktikan tsunami pilihan raya 2008 di Semenanjung, akan melanda Sarawak 16 April ini. |
Saingan makin sengit, Pakatan mula rasai peluang cerah berbanding 2006 Posted: 13 Apr 2011 01:43 AM PDT Oleh Clara Chooi KUCHING, 13 April – Parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yakin bahawa mereka boleh menawan undi kawasan bandar pada hari penentuan pilihan raya negeri Sabtu ini, tetapi Barisan Nasional (BN) kelihatan memiliki sokongan yang cukup untuk memastikan ia boleh memperoleh majoriti dua pertiga kerusi. Bagaimanapun laporan-laporan positif kelihatan terus memihak kepada PR di kesemua 71 kerusi yang dipertandingkan - memberikan harapan kepada perikatan berusia tiga tahun itu memberi cabaran sengit kepada BN yang tidak pernah disaksikan. Meskipun pemimpin-pemimpin PR cukup berhati-hati, kehadiran penyokong dengan konsisten pada ceramah-ceramah yang diadakan sejak seminggu lalu dan respons cukup menggalakkan daripada penduduk setempat membolehkan mereka mengakui akan peningkatan sokongan di luar jangkaan mereka. Ketiga-tiga parti komponen PR – PKR, DAP dan PAS – telah mengisytiharkan bahawa mereka akan menambah kerusi berbanding kedudukan lima tahun lalu jika pun Sarawak tidak jatuh ke tangan mereka. Gerak-geri risikan menunjukkan mereka memperoleh respons yang semakin meningkat sejak hari penamaan calon Rabu lalu. Wong Ho Leng dari DAP memberitahu The Malaysian Insider, situasi hari ini lebih menggalakkan dan meyakinkan berbanding ketika pilihan raya kecil kerusi Parliemn Sibu, Mei lalu. Beliau membuat kejutan dengan memenangi kerusi itu daripada penguasaan Barisan Nasional (BN). "Kali ini lebih baik. Di Sibu, keadaan menjadi lebih positif ketika menuju penghujung. Tetapi di sini, sokongan sudah kelihatan sejak hari pertama (selepas penamaan calon). Saya berharap dapat mengekalkan persekitaran," katanya lagi. Wong menyenaraikan lima kerusi disandang BN yang cukup meyakinkan DAP iaitu Repok, Pujut, Piasau, Bawang Assan dan Batu Kawah. Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga yakin yang partinya akan meningkatkan undi popular pada jumlah yang signifikan. "Selalunya, kami membandingkan dengan pilihan raya negeri sebelum ini dan dari sini, adalah jelas dan terlalu sukar untuk menafikan respons baik khususnya di kawasan-kawasan pedalaman," kata Ahli Parlimen Machang ini. Beliau menambah PKR yakin ia akan memperlihatkan keputusan baik di tiga kawasan yang sebelum ini dimenangi BN dengan majoriti kecil iaitu Saribas, Ba'Kelalan dan Senadin. Rakan sejawatannya dari PAS Datuk Mustafa Ali pula berkata, respons pengundi sangat menggalakkan sehingga pemimpin-pemimpin setempat parti itu kini "terlalu yakin" akan peluang mereka. "BN memandang mudah perubahan semasa. Saya boleh melihat sesetengah pemimpin setempat dan jentera mereka terlalu yakin dengan peluang kami (pada kali ini). Saya minta mereka tidak (terlalu yakin)," katanya. Umumnya bagi PR, ini adalah pilihan raya negeri pertama sejak ia dibentuk tiga tahun lalu khususnya selepas menyaksikan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008. Perikatan itu menggunakan pilihan raya negeri ini sebagai raptai menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan tahun ini. Sementara pilihan raya negeri ini dilihat sebagai pungutan suara ke atas populariti BN yang semakin terhakis di Malaysia Timur, ia juga dilihat sebagai ujian kepada PR untuk membuktikan popularitinya yang semakin meningkat sejak tsunami politik 2008. Bagaimanapun sumber-sumber pembangkang risau dengan khabar angin mengatakan BN akan membuat usaha akhir dalam kempennya dengan memberi 'buah tangan' lumayan kepada Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), yang hubungannya dengan PR terjejas beberapa hari sebelum penamaan calon, dan bertanding di 26 kerusi yang disaingi PKR. Ini, menurut beberapa sumber, dilakukan untuk memecahkan undi bakal diperoleh pembangkang dan memastikan kemenangan BN. Wong juga mengakui mendengar khabar angin sedemikian tetapi enggan membuat spekulasi mengenainya. Ketika ditemui di ibu pejabat PKR di Satok di sini, Saifuddin juga melahirkan kebimbangan yang sama. "Kami tidak menafikan bahawa kami menerima sokongan permulaan yang baik, tetapi isunya sekarang ialah sama ada kami boleh mengekalkan (sokongan) sehingga Sabtu ini," katanya. "(Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) berada di sini dan beliau macam Santa Claus, memberikan buah tangan. "Ini satu kekurangan besar bagi kami," katanya lagi. Najib secara perubadi mengetuai kempen sejak Ahad lalum situasi yang tidak pernah disaksikan masa-masa lalu. Meskipun begitu pemimpin-pemimpin PR kelihatan yakin bahawa mereka telah menerokai kedudukan lebih baik sejak enam hari lalu meskipun di kawasan-kawasan yang sebelum ini sebagai dilihat kubu kuat BN. Bagi PR satu lagi faktor besar yang mendorong kempennya ialah peningkatan rasa tidak puas hati pengundi terhadap kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud. |
Siapa Taib untuk lantik diri sendiri jadi penasihat? – Fuziah Posted: 12 Apr 2011 11:15 PM PDT KUCHING: Penyandang Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud perlu menerima hakikat sebenar bahawa rakyat sudah menolak pemerintahannya dan beliau tidak perlu terhegeh-hegeh melantik diri sendiri sebagai penasihat kepada Kerajaan Negeri Sarawak sekiranya gagal mempertahankan jawatan itu. "Siapa dia untuk lantik diri sendiri menjadi penasihat di waktu rakyat Sarawak sudah terang-terangan tidak mahukannya lagi?" kata Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh. Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Taib semalam dalam wawancara selama 10 minit yang disiarkan saluran televisyen arus perdana. Dalam wawancara itu, Taib memberikan bayangan beliau akan memainkan peranan sebagai penasihat kepada Ketua Menteri Sarawak yang baru sekiranya tidak dipilih rakyat sebagai Ketua Menteri lagi. Mengulas lanjut, Fuziah berkata, Taib sebenarnya tidak akan bersara walaupun terdapat desakan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berbuat demikian. Ini kerana, menurut Fuziah, Taib mempunyai terlalu banyak kepentingan yang perlu dijaga dan satu-satunya cara beliau boleh berbuat demikian adalah dengan terus berkuasa sebagai Ketua Menteri Sarawak. "Taib sekarang tidak akan melepaskan kuasanya kerana dia mempunyai terlalu banyak kepentingan untuk dijaga. Malahan, dia rasa perlu terus menjadi Ketua Menteri untuk memastikan ia terjaga," kata Fuziah. Jelas Fuziah, satu lagi sebab yang menghalang Taib untuk melepaskan jawatannya nanti adalah kemungkinan beliau dihadapkan ke mahkamah di atas segala dakwaan rasuah dan rampasan tanah adat yang dilakukan beliau sepanjang dia menjadi Ketua Menteri. "Ia amat jelas. Dia sendiri tidak mahu menamakan penggantinya seandainya dia melepaskan jawatannya nanti," katanya. Fuziah yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN berkata, pengalaman beliau berkempen di Sarawak memberikan gambaran jelas kepadanya akan layanan Taib terhadap rakyat Sarawak. "Di (Dewan Undangan Negeri) Balingian sendiri, terdapat satu kilang aluminium yang membahayakan kesihatan penduduk namun ia dibina berhampiran kawasan orang ramai. "Ia sebenarnya satu cerminan kepada pimpinan Barisan Nasional yang sentiasa 'mendahulukan' rakyat dalam berhadapan bahaya sebegini yang mendedahkan rakyat kepada risiko kesihatan," kata Fuziah. Fuziah yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuantan sedang memperjuangkan penutupan satu loji pemprosesan sisa radioaktif di negeri Pahang yang terletak di Gebeng. Ironinya, loji memproses sisa radioaktif itu terletak di negeri Pahang yang merupakan negeri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. |
Murugiah tak disambung senator, gugur timbalan menteri Posted: 12 Apr 2011 10:55 PM PDT Oleh G Manimaran KUALA LUMPUR, 13 April — Kedudukan Datuk T. Murugiah sebagai anggota Dewan Negara yang akan berakhir Isnin ini tidak disambung, sekali gus akan digugurkan sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, demikian menurut sumber-sumber MIC dan pembantunya. Seorang menteri atau timbalan menteri lazimnya merupakan anggota Parlimen sama ada ahli Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara. Di bawah Perlembagaan Persekutuan seorang boleh memegang jawatan senator maksimum dua penggal atau selama enam tahun. Perkembangan itu juga dijangka membawa kepada rombakan kecil Kabinet minggu depan, sejurus selepas pilihan raya negeri Sarawak Sabtu ini. The Malaysian Insider difahamkan Murugiah, bekas pemimpin Parti Progresif Penduduk (PPP) yang menyertai MIC Ogos lalu, telah dimaklumkan secara rasmi mengenai kedudukannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Satu lagi sumber berkata, Murugiah telah dimaklumkan mengenai keputusan itu minggu lalu tetapi surat rasmi hanya keluar semalam. "Surat berkaitan juga sudah dikeluarkan hari ini (semalam)," kata satu sumber itu kepada The Malaysian Insider. Tempat beliau akan digantikan oleh Pengerusi MIC Pulau Pinang Datuk P. K. Suppiah, tetapi sama ada akan dilantik sebagai timbalan menteri tidak pasti. "Berdasarkan maklumat saya terima, Datuk Suppiah hanya akan dilantik sebagai senator, bukan timbalan menteri," kata sumber itu. Satu sumber yang melihat kandungan surat kepada Murugiah berkata, Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) telah memaklumkan bahawa penggal perkhidmatan sebagai senator tidak disambung dan beliau mengucapakan terima kasih kepada timbalan menteri itu. Murugiah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen beliau dan difahamkan berada di Sarawak berkempen untuk BN. Empat bulan sebelum Datu Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatan presiden MIC, Murugiah diterima secara rasmi menyertai parti itu dan menjadi ahli biasa cawangan Batu Matang di Bukit Gantang, Perak. Murugiah, ketua Pemuda PPP yang dipecat telah dilantik sebagai senator dan diberikan jawatan timbalan menteri ketika masih menganggotai parti itu. Kelmarin, Presiden MIC Datuk G Palanivel berkata, MIC ingin mengehadkan tempoh bagi anggotanya memegang jawatan senator kepada satu penggal atau tiga tahun sahaja bagi membolehkan parti itu 'memberi kuasa' kepada pemimpinnya di negeri yang BN tewas pada pilihan raya umum 2008. Palanivel, yang juga bertaraf senator berkata, selepas BN kehilangan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kedah pada pilihan raya umum 2008, kebanyakan senator MIC adalah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Palanivel yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi enggan memberi butiran lanjut sama ada nama Murugiah turut disenaraikan untuk dilantik semula. 'Terpulang kepada perdana menteri untuk memutuskan... ia hak mutlaknya. Saya hanya mempunyai hak untuk membuat cadangan tetapi keputusan muktamad terletak di tangan perdana menteri," katanya. Ia kali pertama tindakan sedemikian - tidak disambung senator, sekali gus digugurkan jawatan timbalan menteri diputuskan oleh Palanivel sejak mengetuai MIC Disember lalu. |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan