Kelab Greenboc |
- Tomboy Dicekup Celah Pukat
- Integriti Polis Dipertikai Lagi, RPK Belum Bagi Kenyataan
- Pelajar Dicekup Khalwat Bersama Boyfriend Dalam Hotel
- Apabila Mustafa Ali Mengadu Diftnah....
- Paderi Bakar Quran Hanya Sempat Dipenjara 1 Jam
- Polis Tak Lagi Bersembunyi Laksana Operasi Trafik, Saman Ekor Patut Dihapuskan
- Jangan Perjudikan Keselamatan Rakyat Dengan Loji Lynas
- Saifuddin Abdullah, Baka Baik Terakhir Yang UMNO Ada
- Najib Bakal Diturunkan Dengan Lebih Dasyat?
- ISA Terhadap OKU: Bukti Polis Tidak Ada Integriti & Tidak Profesyenal
- Kes Sarbani: Laporan Polis Tidak Lengkap, Keluarga Tunggu Respons Peguam Negara
Posted: 24 Apr 2011 12:30 AM PDT Dungun – Rahsia sulit seorang 'tomboy' yang sering menjadikan timbunan pukat di jeti perikanan sebagai lokasi untuk melepak bersama sekumpulan lelaki terbongkar apabila port sosial itu diserbu polis narkotik, di Kuala Dungun pagi kelmarin. Aktiviti yang menimbulkan rasa curiga bagi nelayan yang menggunakan jeti terbabit untuk aktiviti memunggah hasil tangkapan itu telah mendapat perhatian pihak berkuasa, lalu satu operasi khas untuk membongkar rahsia mereka dilakukan. Hasilnya, tujuh ditahan termasuk seorang wanita berimej tomboy dari Bijangga yang didapati positif dadah menjawab persoalan bahawa lokasi itu dijadikan sarang penagih dadah di kawasan sekitar. Serbuan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Assistan Superintendan Saravanan Shanmuggan, turut menahan seorang penagih berulang yang pernah ditahan dalam serbuan sebelumnya. Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit dan kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 kerana positif morfin. -SH |
Integriti Polis Dipertikai Lagi, RPK Belum Bagi Kenyataan Posted: 23 Apr 2011 11:45 PM PDT Raja Petra belum beri kenyataan, peguam tikai motif polis Raja Petra Kamarudin belum memberikan sebarang kenyataan kepada polis Malaysia di Bangkok ekoran pertikaian mengenai tujuan siasatan polis ke atas blogger kontroversial itu, kata peguamnya hari ini. Malam tadi, polis mahu mendapatkan keterangannya di Kedutaan Malaysia di Bangkok. "Tiada kenyataan diberikan kepada polis setakat malam tadi," kata peguam Haris Ibrahim kepada The Malaysian Insider menerusi kenyataan SMS sebentar tadi. Dalam pada itu, maklumat diperoleh dari portal Malaysia Today pagi ini menyebut polis mahu menyiasat Raja Petra berhubung aduan bahawa dia telah berbohong dalam temu bual disiarkan TV3 dua minggu lalu. Oleh itu, entri ringkas Malaysia Today hari ini berkata wujud 'kebuntuan' dan peguam-peguamnya meminta polis yang mahu bertemu dengan Raja Petra menunjukkan salinan aduan dibuat ke atasnya. "Nampaknya polis mahu mengambil keterangan Raja Petra di bawah Seksyen 203, satu jenayah membuat kenyataan palsu berhubung temu bual dengan TV3 di Perth, Australia. "Satu laporan polis dibuat terhadap Raja Petra mendakwa dia berbohong dalam temu bual TV3," kata tulisan itu. -TMI
Ulasan GB Mabuk kepala rakyat baca dua berita berbeza untuk hal yang sama. GB nak tanya polis, kenapa kalau UMNO & PERKASA buat laporan polis pantas betul polis buat kerja dan jika laporan polis dibuat oleh Pakatan Rakyat, polis bertindak seperti pondan tua malah ada laporan polis terus tak siasat lansung? |
Pelajar Dicekup Khalwat Bersama Boyfriend Dalam Hotel Posted: 23 Apr 2011 09:50 PM PDT Georgetown: Biarpun baru sehari mengenali seorang lelaki, kesanggupan si gadis mengikut temannya menjadi detik malang apabila ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Jalan Tanjung Tokong, di sini, awal pagi semalam. Gambar fail Lebih mengejutkan, gadis berusia 23 tahun yang dipercayai penuntut sebuah institusi pengajian tinggi dekat sini, ditemui berdiri keadaan berbogel di penjuru bilik ketika pemeriksaan. Pasangannya pula yang juga jurugambar bebas berusia 23 tahun didapati berseluar panjang denim tanpa baju. Ketika pemeriksaan dilakukan jam 1.30 pagi, pasangan berkenaan dipercayai menyewa sebuah bilik dan tidak membuat pendaftaran masuk dipercayai bagi mengelak kehadiran mereka dikesan pihak berkuasa. Bagaimanapun, sebuah motosikal yang diletakkan di luar perkarangan hotel berjaya membongkar segala aktiviti maksiat mereka sebelum pemeriksaan menyeluruh dilakukan di hotel. Ketika pemeriksaan di bilik berkenaan, turut ditemui sehelai baju dan seluar dalam milik gadis itu di atas sofa dan ia dirampas untuk dijadikan barang kes. Pasangan itu antara 10 pasangan berusia 20 hingga 30-an yang ditahan sepasukan 16 pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam operasi itu. Operasi diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, bermula jam 10 malam hingga 7 pagi itu dibantu sepasukan 13 pegawai penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) Pulau Pinang. Operasi itu juga merangkumi beberapa lokasi 'panas', termasuk Persisiran Pantai Sungai Pinang, Pantai Seagate dan Pantai Queensbay serta beberapa hotel sekitar Gelugor, Jalan Tengku Kudin dan Jalan Tanjung Tokong. Menurut Khairul Azman, tujuh pasangan ditahan kerana kesalahan berkhalwat manakala tiga lagi pasangan ditahan kerana berkelakuan kurang sopan atau tidak senonoh di tempat awam. "Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat JHEAIPP untuk tindakan selanjutnya, termasuk membuat laporan tangkapan di Balai Polis Lebuh Pantai," katanya. |
Apabila Mustafa Ali Mengadu Diftnah.... Posted: 23 Apr 2011 08:49 PM PDT Mustafa nafi laporan media, gesa mohon maaf Datuk Mustafa Ali menafikan laporan beberapa media termasuk Utusan Malaysia hari ini, yang mendakwa beliau berkata PAS akan menilai semula kedudukan dalam Pakatan Rakyat selepas siasatan video seks selesai. Sambil kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab akhbar pro Umno itu, Setiausaha Agung PAS itu berkata, laporan tersebut berniat jahat dan sengaja memanipulasikan kenyataannya. Katanya, dia sama sekali tidak pernah mengaitkan isu video seks dengan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, semalam. "Saya ditanya berhubung saranan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mencadangkan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) melakukan sumpah mubahalah. "Jadi saya jawab, perkara itu tidak timbul kerana kerajaan sekarang ini menggunakan undang-undang sivil, Polis siasat sahajalah. "Kalau ubah kes ini ke Mahkamah Syariah, baru kita (PAS) tengok kembali apa pendirian kita dalam isu tersebut," katanya. Akhbar Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan sidang media Mustafa semalam itu dengan tajuk 'PAS tunggu siasatan selesai'. Laporan itu menyebut bahawa PAS akan membuat ketetapan baru mengenai masa depan parti itu dalam pakatan pembangkang, apabila siasatan mengenai rakaman video seks yang pelakonnya dikatakan mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim siap sepenuhnya. Selain Utusan, beberapa media lain termasuk Berita Harian dan The Star turut melaporkannya. Sehubungan itu, beliau mahu media-media yang terlibat agar memohon maaf serta memperbetulkan laporan mereka sebelum tindakan perundangan diambil. -HD Ulasan GB Selalu GB menyatakan bahawa di dalam kehidupan kita hukum karma atau "sunnatullah" akan sentiasa berlaku. Ia tidak berubah, firman Tuhan. Datuk Mustafa kali ini "difitnah" namun beliau (dan kita juga) perlu akur bahawa tidakkah media arus perdana akan sentiasa memutar-belitkan berita daripada pimpinan PR? Bukankah itu sudah menjadi tugas mereka? Semalam GB mengadiri Muktamar PAS Kawasan sebagai perwakilan dan perasmi muktamar (mungkin tanpa sengaja) mengimbau kembali kejadian kegagalan 16 Sept. Umum mengetahui peristiwa itu, dimana, akhirnya Datuk Mustafa ditegur oleh Mursyidul Am PAS. Kisah itu kisah lama, tetapi jika ia belum "dibersihkan" dengan sepenuhnya maka, "hantunya" akan terus berkeliaran meracau mangsa. Itu pun sunnatullah juga. Jangan pula terperanjat GB menggunakan istilah "hantu" di atas, ia hanyalah satu gantinama terhadap "dirty energy" yang ada pada aura manusia dan alam sekelilingnya. Para ilmuan sentiasa mengkaji "sunnatullah" ini untuk menemukan jawapan-jawapan dan memecahkan persoalan terhadap beberapa kemusykilan yang dihadapi oleh manusia di mayapada ini dan diantaranya ialah Fibonacci. GB tidak mahu mengulas panjang mengenai isu fitnah ke atas Datuk Mustafa tersebut, tetapi kita semua sepatutnya ambil iktibar dari kejadian tersebut.... dan semuga pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PAS & PR akan sentiasa terpelihara dan dilindungi Allah s.w.t. daripada difitnah terus-terusan oleh si pemfitnah keparat tersebut. u, Untuk menadapat "perlindungan" itu maka jalan mudahnya, kita jangan wujudkan fitnah kepada jemaah. Allah tidak pernah tidur dan tidak pernah pula lalai. |
Paderi Bakar Quran Hanya Sempat Dipenjara 1 Jam Posted: 23 Apr 2011 07:00 PM PDT Detroit: Paderi Amerika Syarikat yang membakar naskhah al-Quran hingga mencetuskan kejadian keganasan di Afghanistan dipenjarakan selama satu jam, kelmarin selepas mahkamah mengharamkan bantahannya di luar sebuah masjid di sini. Hakim tempatan memenjarakan Terry Jones dari Gainesville, Florida dan pembantunya, Wayne Sapp selepas mahkamah mendapat tahu mengenai rancangan mereka untuk mengadakan bantahan di luar Pusat Islam AS di Dearbon boleh mendorong kepada insiden kaganasan. Ketika hadir di mahkamah, Jones mempertikaikan kitab suci umat Islam itu dengan mengatakan 'al-Quran mendorong aktiviti pengganas di seluruh dunia'. Dia juga memberitahu dia berhak untuk membantah Islam dan dilindungi di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS. "Pindaan Pertama tidak memberi faedah jika ia menyekat kebebasan kita untuk menyuarakan sesuatu isu," katanya. Namun, Ketua Polis Dearbon, Ronald Haddad mendakwa, jabatannya menerima maklumat daripada penduduk tempatan mengenai ancaman serius oleh Jones dan menekankan bantahannya itu boleh menimbulkan insiden keganasan. Pendakwaraya Robert Moran berkata, bantahan Jones tidak mempunyai kaitan dengan Pindaan Pertama Perlembagaan dan perkara perlu diutamakan adalah keselamatan serta keamanan masyarakat. Hakim Mark Somers kemudian mengarahkan Jones dan Sapp dipenjarakan kerana enggan membayar denda AS$1 (RM3). Namun selepas satu jam berada di dalam penjara, kedua-duanya mengubah fikiran lalu membayar denda itu sebelum dibebaskan. - AFP |
Polis Tak Lagi Bersembunyi Laksana Operasi Trafik, Saman Ekor Patut Dihapuskan Posted: 23 Apr 2011 05:20 PM PDT Shah Alam: Polis tidak lagi menjalankan tugas secara bersembunyi dalam operasi melibatkan lalu lintas, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar. "Kita tidak lagi menyorok balik tiang, kita saman terus dan kalau sudah kena saman jangan lupa bayar," katanya ketika mengadakan sesi dialog dengan 1,000 belia India pada Majlis Sehari Bersama Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini Sabtu. Khalid membuat kenyataan itu apabila seorang peserta dialog mengutarakan mengenai kekerapan kehadiran polis di jalan raya sejak kebelakangan ini menyebabkan pemandu lebih berdisiplin berbanding sebelum ini di mana ada anggota polis yang menyorok di hujung jalan dan kemudian keluar dari persembunyian dan menahan pesalah trafik. Khalid kemudian memberitahu sidang media bahawa kehadiran anggota polis secara ketara dalam operasi lalu lintas telah dimulakan tidak berapa lama dahulu. "Jangan terkejut bila kena saman...kita tidak seharusnya menyorok, kita akan keluar dan menguatkuasakan undang-undang," katanya. Selain daripada peningkatan kehadiran polis bagi meningkatkan disiplin pemandu, pemandu juga diingatkan bahawa polis juga menggunakan kamera dan beberapa alat lain untuk mengesan kesalahan mereka, katanya. Mengenai usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras gejala samseng di kalangan masyarakat India di Selangor, Khalid berkata selain didakwa di mahkamah, polis juga melakukan tindakan pencegahan. "Tahun lepas 300 orang telah kita tahan di bawah undang-undang pencegahan, tindakan terhadap gangsterism dibuat secara berterusan itu sebab tidak ada kumpulan kartel jenayah atau mafia yang berkuasa di negara ini," katanya. Khalid juga berkata PDRM tidak lagi melihat belia dan persatuan belia sebagai pelanggan sebaliknya melihat belia sebagai rakan dan persatuan belia sebagai rakan kongsi. Liputan media terhadap isu negatif yang melibatkan golongan belia seperti rempit, buang bayi, pergaulan bebas, penagihan dadah dan pil-pil khayal semakin menguatkan perasaan kurang senang masyarakat terhadap belia kita pada hari ini tetapi persepsi negatif ini perlu diperbetulkan, katanya. - BERNAMA Ulasan GB Sepatutnya sudah lama polis trafik melakukan kerja secara profesyenal. Apa yang berlaku sebelum ini polis bersembunyi di celah tiang, dalam longkang, di celah pokok untuk melakukan apa yang dikenali sebagai "saman ekor" yang mana sekalipun kaedah itu dikatakan untuk mengurangkan kenderaan dipandu laju melebihi had, namun ia tidak pun berkesan. Malah ia lebih dilihat oleh rakyat, polis sengaja melakukan demikian untuk mencari duit... melalui saman-saman ekor yang mereka keluarkan sehingga berjuta-juta ringgit banyaknya sedangkan kadar kemalangan jalanraya terus meningkat. Dengan itu juga rakyat menuntut agar semua saman ekor yang dikenakan ke atas rakyat sebelum ini dihapuskan kerana ia menyalahi undang-undang. GB telah mengulas sebelum ini. Petikan: bawa berjuta-juta rakyat yang tak bayar saman ekor ke mahkamah kerana mahkamah yang berhak menentukan samada tindakan polis berkenaan betul atau salah. Kita perlu hentikan salahlaku pihak polis dan JPJ yang menyenaraihitam pemandu kerana mahkamah telah membuat keputusan di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang telah memutuskan bahawa tindakan JPJ menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) tanpa siasatan dan alasan yang wajar adalah salah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Malaysia. |
Jangan Perjudikan Keselamatan Rakyat Dengan Loji Lynas Posted: 23 Apr 2011 04:00 PM PDT SAM gesa Putrajaya batal terus loji Lynas Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini menggesa Putrajaya agar membatalkan terus projek loji nadir bumi di Gebeng dekat Kuantan bagi mengelak nasib Bukit Merah, Ipoh dua dekad lalu berulang. "Putrajaya sudah terbukti salah di Bukit Merah dan ia telah memberikan kesan besar kepada masyarakat di kawasan itu selain turut menghidapi penyakit ekoran terdedah kepada radiasi. "Kami tidak mahu satu lagi insiden sama berlaku. Kami menggesa Putrajaya membatalkan projek Lynas Corporation di Gebeng," kata Presiden SAM, S. M. Mohamed Idris dalam satu kenyataan. Jelas beliau, masyarakat yang tinggal di Gebeng akan menerima kesan yang sama seperti di Bukit Merah ekoran terdedah kepada kadar radiasi yang boleh menjejaskan tahap keselamatan mereka. "Mengikut pengalaman kami yang telah mengendalikan kes nadir bumi di Bukit Merah menunjukkan pakar-pakar yang diambil Putrajaya dan syarikat itu telah memastikan semua aspek keselamatan diambil kira. "Bagaimanapun pakar-pakar yang dilantik masyarakat mendapati ia tidak selamat dan merekodkan bacaan sinaran radioaktif yang tinggi di kawasan itu. "Justeru masyarakat di Gebeng yang sudah terdedah kepada radiasi akan berhadapan dengan risiko lebih besar sekiranya projek ini diteruskan," katanya. Lynas Corporation, sebuah syarikat dari Australia dijangka memulakan operasi loji pembersihan nadir bumi di Gebeng ini - yang mana proses pembinaan loji memprosesan sedang dibina. Tindakan Putrajaya mahu membina kilang nadir bumi di Gebeng mendapat tentangan banyak pihak. Mengulas cadangan Putrajaya mahu mewujudkan satu panel bebas mengkaji tahap keselamatan projek nadir bumi (gambar) itu, Mohamed berkata ia hanya untuk mententeramkan kebimbangan masyarakat yang tinggal di kawasan itu. Tambah Mohamed, hasil kajian itu perlu diumumkan secara terbuka kepada masyarakat setempat agar mereka boleh membuat penilaian berhubung status projek nadir bumi itu. "Kami rasa kajian ini adalah satu lakonan untuk mengurangkan desakan rakyat. Kenapa tidak hentikan sahaja projek ini? "Kenapa perlu adakan projek yang tidak selamat ini? Adakah pelaburan asing tidak mengambil kira aspek kesihatan rakyat dan penerimaan mereka?" kata beliau sambil menambah, "sudah tentu, aspek kesihatan dan keselamatan dan persekiran harus diambil kira termasuk dalam projek komersial." Kata beliau, masyarakat sekitar Kuantan dan Gebeng mempunyai hak untuk mengetahui individu yang akan membuat kajian tersebut. "Kami mahu menentukan objektif kajian itu dan apa impaknya dan hasil kajian juga harus diumumkan secara terus kepada masyarakat agar mereka boleh buat penilaian," katanya. Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata satu panel bebas akan ditubuhkan secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif. "Kajian itu dijangka siap dalam tempoh sebulan dan lima hingga tujuh pakar antarabangsa yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel itu, yang ditubuhkan susulan maklum balas daripada orang ramai," katanya. Mustapa berkata sehingga kajian itu selesai dan sementara menunggu keputusan kerajaan, tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom. -TMI |
Saifuddin Abdullah, Baka Baik Terakhir Yang UMNO Ada Posted: 23 Apr 2011 07:50 AM PDT Jangan salahkan mereka yang undi Pakatan' Ahli majlis teringgi Umno Datuk Saifuddin Abdullah menyeru rakan-rakannya dalam BN supaya henti melabelkan penyokong pembangkang sebagai golongan yang tidak tahu bersyukur atau berterima kasih. Saifuddin yang juga timbalan menteri pengajian tinggi berkata BN sebaliknya mesti menghormati hak pengundi. "Dengan segala hormatnya, saya minta rakan-rakan di BN jangan menyalahkan atau menuduh mereka yang tidak undi kita sebagai tidak tahu bersyukur. "Dalam demokrasi, kita mesti hormat hak pengundi untuk memilih mana-mana parti yang disukai mereka. Nanti kita nak jumpa merka lagi dalam pilihan raya akan datang. "Kalau mereka tempelak kita, apa macam?" soalnya dalam satu kenyataan. -mk Ulasan GB Jikalah ramai pemimpin UMNO macam Datuk Saifuddin Abdullah ini, habis Pakatan. Mujurlah dalam pemimpin UMNO yang ada kini hanya ada seorang sahaja pemimpin matang dan terbuka serta mungkin pula beliau merupakan baka zuriat baik yang terakhir yang UMNO ada kini - itulah Saifuddin Abdullah. Tetapi biasanya pemimpin sebegini hayatnya di dalam UMNO tidak lama. Dia nanti akan dicemburui oleh pemimpin-pemimpin haprak UMNO yang ramai itu. Qabil cukup-cukup cemburu dengan sifat baik Habil. Lalu dibunuhnya Habil. Itu kisah dari Al-Quran. GB sering juga didatangi oleh pimpinan mahasiswa yang menyatakan mereka lebih senang dan gembira untuk berurusan dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini berbanding dengan Menterinya sendiri, Khaled Nordin yang ilmunya tak setinggi mana, tapi ego dan sombongnya tak terperi dasyatnya. |
Najib Bakal Diturunkan Dengan Lebih Dasyat? Posted: 23 Apr 2011 06:20 AM PDT Fiasco 1Melayu buktikan Najib 'satu lagi Pak Lah' Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata reaksi yang diambil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung cadangan Utusan Malaysia agar konsep "1Melayu, 1Bumi" diutamakan membuktikan beliau tidak lagi mempunyai kuasa dalam partinya sendiri. Malah kata Lim, Najib boleh diibaratkan sebagai 'pak turut' yang menjejaki langkah presiden Umno sebelum ini, Tun Abdullah Badawi. "Soalan yang diingin diketahui ramai sekarang ialah sama ada Perdana Menteri Najib Razak telah menjadi seorang lagi Pak Lah (Abdullah), perdana menteri kelima yang tidak mengendalikan Umno meskipun beliau adalah Presiden Umno sehingga menyaksikan beliau dipaksa bersara sebagai ketua Umno dan perdana menteri," kata Lim dalam satu kenyataan media hari ini. "Jawapan semakin diperlukan selepas pendirian Najib yang langsung tidak boleh diterima berhubung cadangan 1Melayu, 1Bumi oleh Utusan," kata Lim. Beliau juga membidas perdana menteri yang memberikan alasan dayus bahawa kenyataan rasis yang disiarkan akhbar milik Umno itu adalah pendapat peribadi penulisnya. Semalam, Najib berkata gerakan '1Melayu, 1Bumi' yang disaran Utusan Malaysia bukan pandangan kerajaan. "Itu pendapat peribadi penulis yang berkenaan tetapi daripada segi kerajaan kita sudah ada gagasan yang cukup jelas dan kita akan teruskan usaha kita," katanya. Menurut pemimpin veteran DAP itu, cadangan Utusan tersebut ibarat satu tamparan terus ke muka perdana menteri yang sebelum ini sibuk mencanang-canangkan konsep 1Malaysia yang kononnya bagi menyatukan rakyat pelbagai bangsa di negara ini. Katanya, alasan Najib tidak dapat diterima, khususnya akhbar bahasa Melayu itu adalah 'lidah rasm' Umno dan laporannya menggambarkan pandangan pemimpin Umno dalam kerajaan. Ulasan GB Umum mengetahui bahawa Tun Dr. Mahathir dahulu meletakkan jawatannya sebagai PM kerana dilihat Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak sabar-sabar untuk menggantikannya. Peristiwa TDM menangis mengumumkan pengundurannya sebagai Presiden UMNO sewaktu menggulung perbahasannya pada Perhimpunan Agung UMNO ke-56 pada 2002 adalah satu lelucon hebat dimana kemudiannya TDM dipujuk untuk menarik balik keputusannya. Sekalipun demikian, ia tidak lama, kerana memang TDM telah dapat merasa dan melihat Pak Lah sudah mengasak untuk memegang jawatan Presiden UMNO dan PM. Setelah Pak Lah mengambil alih jawatan PM, pada awalnya sokongan ahli UMNO terhadapnya memuncak sehingga pilihanraya 2004, UMNO BN mencatatkan keputusan terbaiknya di dalam sejarah pilihanraya negara. Tetapi ahli-ahli UMNO sendiri melihat rupa-rupanya Pak Lah ini terlalu lemah. Sehingga orang-orang Najib pula mengasaknya supaya turun segera (jangan lupa ada manderam ditemui di pejabat Pak Lah - orang kata agen Rosmah yang letak... wallahu alam). Dan kini Najib berkuasa. Putaran akan berlaku dimana jika dahulu Pak Lah diasak untuk turun, maka tidak mustahil perkara yang lebih buruk boleh menimpa Najib. Itu hukum karma, atau di dalam istilah kita, sunnatullah. Pesan Tuhan, sunnatullah itu tidak berubah. |
ISA Terhadap OKU: Bukti Polis Tidak Ada Integriti & Tidak Profesyenal Posted: 23 Apr 2011 04:24 AM PDT Apa kaitan video seks dengan buat bom? Tidak jauh daripada daripada beberapa bangunan kodominium mewah yang dinamakan Bangsar South, ada sebuah rumah usang yang dibina menggunakan papan lapis dan beratapkan zink,. Beberapa tulisan dalam bahasa Arab menyambut kehadiran tetamu di ruang masuk. Di dalam rumah itu, menurut pihak berkuasa dihuni seorang lelaki yang mengancam keselamatan negara. Pada 1 April lalu, beberapa anggota polis menyerbu rumah kecil itu dan mengheret seseorang yang dipercayai mereka seorang pembuat bom - iaitu seorang lelaki kurang upaya - Kadir Hashim yang berusia 43 tahun. Dan menurut lelaki yang kudung pergelangan tangan kirinya dan tidak membunyai ibu jari kanan sejak hari tersebut beliau ditahan dan disoal siasat selama 21 hari di mengikut Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). "Saya memang bersedia untuk pergi (dipenjarakan) selama dua tahun atau lebih. Saya tahu saya tidak buat apa-apa kesalahan dan akhirnya saya mesti dibebaskan. Dan selepas dua tahun itu saya bersedia untuk menjawap untuk dua tahun lagi. "Tetapi sudah tentu saya terfikirkan keluarga saya. Perkara paling saya benci jika dipenjarakan selama dua tahun jika tidak dapat menyertai kebangkitan rakyat di Malaysia seperti di Timur tengah... jika ia berlaku," katanya. Kadir yang ditemui ketika dikunjungi oleh pemuda PKR semalam berkata soalan-soalan yang dilemparkan kepadanya oleh polis seolah-olah satu bentuk jenaka, "Mereka tuduh saya hendak bom Suruhanjaya Pilihan raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, polis, sistem maklumat mereka... Saya rasa ini agak lucu dan mereka yang mengenali saya juga akan berpendapat yang sama. "Saya cacat. Macam mana nak buat bom?" soalnya di rumah yang dikongsinya bersama ibunya yang uzur. Main mercun Malah, beberapa rakannya bergurau paling hampir Kadir yang bersaiz kecil itu mendekati bahan letupan ialah ketika berumur lapan tahun, apabila beliau hilang tangan dan separuh ibu jarinya akibat bermain mercun. Meskipun menafikan beliau tahu sebab polis menangkapnya, Kadir membayangkan kemungkinan ia ada kaitan dengan tulisannya di Facebook yang sesetengahnya menyokong perang gerila. Antaranya, Kadir yang bekerja secara penuh masa mengendalikan sebuah warung tomyam secara berjenaka menulis bahawa kerja beliau adalah 'gerila sambilan'. Namun dakwanya beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung senjata api. "(Semasa disoal) polis membawa tiga kotak senjata api dan minta saya kenalpasti jenisnya dan jenis peluru yang diperlukan oleh setiap satu senjata itu. Saya hanya pernah tengok senjata api di televisyen," katanya. Menurut Kadir, matanya ditutup apabila dibawa dari satu balai polis ke satu balai polis yang lain. Pakaiannya juga ditanggalkan bagi pemeriksaan sebelum beliau dibawa ke pusat tahanan yang tidak diketahui lokasinya. "Tak ada tilam atau bantal, kena tidur di lantai saja. Apabila dibawa untuk mandi, mata saya juga ditutup. Saya juga naik empat tingkat tangga ke bilik pegawai penyiasat (IO) untuk disoal setiap hari. "Kemudian, mereka pindahkan saya ke sel di bangunan yang sama dengan pejabat IO. Di situ ada tilam dan bantal. "Mata saya juga tidak lagi ditutup apabila meninggalkan bangunan itu, saya diberi makan di pejabat IO... makan baik, biryani dan macam-macam. Tetapi saya tidak ada selera," katanya sambil menambah beliau tidak dicederakan secara fizikal. mk |
Kes Sarbani: Laporan Polis Tidak Lengkap, Keluarga Tunggu Respons Peguam Negara Posted: 23 Apr 2011 03:15 AM PDT Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed mahu melihat respons Peguam Negara berhubung laporan siasatan polis mengenai kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu bagi menentukan tindakan susulan pihaknya. Peguam keluarga itu Ghazali Mohd Ramli berkata, sebarang tindakan lanjut bergantung pada keputusan Peguam Negara setelah menilai kertas siasatan yang akan diserahkan polis berhubung kematian Ahmad Sarbaini. Ahmad Sarbaini ditemui meninggal dunia di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan pada 6 April lalu dan punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada bahagian kepala. "Tindakan sewajarnya akan diambil apabila diputuskan oleh pihak Peguam Negara berdasarkan laporan hasil siasatan polis. "Setakat ini saya masih tidak boleh nak cakap apa-apa lagi, saya pun tidak tahu apa laporan itu... jadi kita tunggu keputusan Peguam Negara dulu," kata Ghazali kepada The Malaysian Insider. Jelas Ghazali, beliau tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan bagi mengelakkan berlaku sebarang campur tangan dalam siasatan polis. "Kita tidak tahu apa yang berlaku, apa yang kita tahu Allahyarham jatuh dari tempat tinggi tapi sebab apa dia jatuh kita tidak tahu. "Apa yang kita tahu banyak spekulasi sahaja, kita tidak ada maklumat dan saya percaya polis tahu apa yang berlaku... apa-apa kita tunggu sahaja keputusan Peguam Negara," kata beliau. Kelmarin, polis berkata kematian Ahmad Sarbaini disebabkan kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM. Justeru kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, kini terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan. "(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan. "Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan," katanya. Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang. Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia. Awal pagi semalam, The Malaysian Insider melaporkan keluarga Ahmad Sarbaini tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis sambil mendakwa ia tidak dibuat secara menyeluruh untuk mengetahui sebab-sebab kematian bapa lima anak itu. Sumber yang rapat dengan keluarga Ahmad Sarbaini berkata, pihaknya mempersoalkan hasil siasatan polis kerana nampaknya ia tidak dibuat secara menyeluruh selain nampaknya mahu "menyembunyikan" sesuatu daripada diketahui umum. Ahmad Sarbaini merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain. -TMI Ulasan GB Aneh, bagaimana polis boleh meminta rakyat berhenti dari membuat spekulasi sedangkan laporan polis itu tidak lengkap. Tidak dinyatakan bagaimana apa yang dikatakan "kemalangan" itu berlaku. Semalam GB katakan: Ia memang sudah dijangka dan polis sejak dari hari pertama kejadian "sudah pun" membuat rumusan sedemikian. Laporan yang dikatakan telah lengkap itu sebenarnya tidak lengkap. Tidak komprehensif. Ia mengulangi siasatan polis di dalam kes Teoh Beng Hock. Ahmad Sarbani dikatakan "mati kemalangan". Tergantung. Kemalangan disebabkan apa? Tanpa sebab? Apakah kerana tergelincir? Terjun sendiri? Ditolak? Dicampak? Itu semua kena ada di dalam kertas siasatan. Sekarang NIL. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan