Khamis, 21 April 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Hadi: PAS Perlukan Barisan Pelapis

Posted: 21 Apr 2011 12:30 AM PDT

Hadi: Saya sedia ditentang jika ada calon layak

KUALA LUMPUR, 21 April — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini disifatkan sebagai liabiliti kepada parti itu berkata, beliau sedia ditentang pada pemilihan pusat Jun ini.

PAS Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencalonkan Datuk Husam Musa iaitu ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan untuk bertanding jawatan presiden.

"Jika ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (saya), saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin selamanya.

"Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis," kata beliau dipetik media.

Kata Hadi, PAS juga mengalu-alukan pertandingan sebarang jawatan untuk membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin selain memantapkan kepimpinan parti.

"Pertandingan digalakkan bukan sahaja bagi jawatan parti peringkat cawangan dan kawasan, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi melibatkan jawatan presiden, timbalan dan naib," kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata pemimpin, ahli dan penyokong perlu sambut baik jika ada pencalonan daripada pemimpin PAS untuk jawatan tertentu daripada latar belakang dan pendidikan yang berbeza.

Susulan komen penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mempertahankan Hadi dengan berkata, PAS tidak perlu mengubah pemimpin hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi di Sarawak minggu lalu.

Sambil menegaskan tindakan menukar pemimpin hanya kerana pilihan raya sebagai "langkah kurang tepat", Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, "pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT."

Beliau menambah PAS mempunyai kaedah-kaedah yang tersendiri untuk memilih pemimpin.

"Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihan raya adalah satu langkah kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihan raya," kata beliau.

Laporan media kelmarin memetik Aziz, yang lazimnya memberi pandangan terbuka mengenai PAS sebagai berkata, kepimpinan parti Islam itu perlu berubah terutama Hadi yang kini dilihat sebagai liabiliti.

Pendirian lantang beliau ini dikeluarkan ketika parti Islam berusia lebih enam dekad ini sedang bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan pusat Jun ini.

Lebih-lebih lagi pandangan ini dilontarkan selepas PAS sekali lagi gagal memperoleh sebarang kerusi di Sarawak apabila tewas di kesemua lima kerusi yang ditandinginya.

Sehubungan itu kata Aziz, Hadi, 64, dilihat telah gagal mempertahankan parti dalam beberapa isu berbangkit.

Nik Aziz menambah kata, sememangnya memenangi pilihan raya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihan raya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi.

"Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar?

"Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT," kata beliau lagi.

Ulasan GB

Nampaknya kali ini Tuan Presiden menjawab dengan lebih yakin dan betul.

Bukan namanya seorang pemimpin jika cuba menghalang pertandingan berlaku atau melarikan diri dari gelanggang pertandingan, tetapi seorang pemimpin Islam sejati ialah apabila ditentang ia bangun lalu berkata: silakan, kerana yang nak direbutkan ialah memikul amanah, bukan untuk memburu habuan duniawi. Jemaah ini Allah yang punya, kita hanya penunai amanah yang sementara.

Pemimpin mungkin silih berganti, sedangkan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan itulah yang sebenarnya perlu dihormati dan dijunjung oleh semua pihak tak kira siapa pun yang memegang jawatan di dalam parti.

Seperti yang GB utarakan sebelum ini, hakikatnya, Allah s.w.t. lebih berhak untuk menentukan siapa yang bakal mengemudi hizbullah ini, sekalipun syariatnya kita mengadakan pertandingan di dalam rangka demokrasi untuk mencari pemimpin parti ini.

Pelajar Ponteng Menyorok Di rumah Teman Lelaki

Posted: 21 Apr 2011 12:00 AM PDT

Georgetown - Rahsia seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga ponteng sekolah sejak lapan hari lalu terbongkar apabila dia dikesan bersekedudukan bersama teman lelakinya. dan dipercayai beberapa kali melakukan hubungan seks. Illustrasi hiasan.

Tembelang pelajar itu pecah apabila ibu bapanya menerima laporan daripada guru sekolahnya di Pulau Tikus, di sini pada 18 April lalu sebelum mereka melakukan soal siasat terhadap anak gadis mereka yang baru berusia 15 tahun.

Menurut sumber polis, selepas menerima maklumat daripada guru kelas, ibu bapa pelajar berkenaan terus menyoal tentang perbuatan anaknya itu.

"Selepas dimarahi dan disoal ibu bapa, akhirnya gadis itu mengakui bersembunyi di rumah kekasihnya di Jalan Haji Abbas setiap kali dia ponteng sekolah.

"Selain itu, apa yang lebih memeranjatkan kedua ibu bapa remaja terbabit yang berasal dari Teluk Bahang, anak mereka juga mengakui telah melakukan hubungan seksual sebanyak lapan kali sejak dari awal perkenalan pada 11 April lalu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebaik mendengar pengakuan anak mereka, kedua ibu bapa pelajar itu membawanya ke Balai Polis Teluk Bahang untuk membuat laporan.

Katanya, sebaik menerima laporan, polis bertindak menahan teman lelakinya yang berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah hotel di Batu Feringghi untuk membantu siasatan.

Suspek kini direman selama seminggu sehingga siasatan selesai manakala remaja terbabit menerima rawatan di HPP.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Md Zin mengesahkan tangkapan suspek dan memberitahu siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.-SH

Wan Ahmad SPR Cuma Celik Kempen Pembangkang

Posted: 20 Apr 2011 09:42 PM PDT

Wan Ahmad hanya celik kempen pembangkang

KUALA LUMPUR, 20 April: PAS kesal terhadap kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mendakwa kempen pembangkang agresif ketika pilihan raya negeri Sarawak, baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, kenyataan Wan Ahmad menunjukkan, mata beliau celik hanya melihat kempen pembangkang, tetapi matanya buta ketika melihat kempen BN.

Katanya, Wan Ahmad istiqamah menjadi pegawai yang tidak menunjukkan sikap profesional dalam mengendalikan pilihan raya.

"Apakah beliau tidak melihat bagaimana pihak BN menggunakan segala kemudahan kerajaan terutama media untuk menyerang bertubi-tubi terhadap PR daripada penamaan calon sampai pada hari pembuangan undi," soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau turut mempersoalkan adakah Wan Ahmad buta maklumat bagaimana media yang dikuasai oleh BN melemparkan fitnah terhadap Pakatan Rakyat dan memutar belitkan dan melaga-lagakan kenyataan dalam media perdana.

"Kenapa beliau membisu seribu bahasa terhadap perkara ini?" tanya beliau lagi.

Menurutnya, PAS tidak pernah mendengar kenyataan yang keluar daripada beliau menegur pihak BN yang banyak melanggar tatasusila pilihan raya.

Tambahnya, Wan Ahmad hanya bersuara ketika parti anutannya dibelasah oleh PR.

"Orang seperti Wan Ahmad inilah yang paling takut menghadapi pilihan raya kerana bimbang talian hayat beliau akan tamat jika BN kecundang," ujarnya. -HD

Mati Ditikam Kerana Rakam Dan Edar Aksi Seks Jiran

Posted: 20 Apr 2011 08:30 PM PDT

Tikam mati jiran sebar aksi seks

SANDAKAN: Tindakan seorang lelaki merakam aksi hubungan seks jirannya dengan telefon bimbit dan menunjukkannya kepada anak pasangan terbabit serta jiran membawa padah apabila dia ditikam lapan kali hingga menemui ajal oleh tetangganya itu. Gambar hiasan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam kelmarin di Kampung Bukit, Jalan Batu 2 1/2, di sini, dan mangsa yang dikenali sebagai La Kampo, 47, mati dalam keadaan ngeri akibat enam tikaman di perut serta dua di lengan.

Difahamkan, pada kira-kira jam 12 tengah hari sebelum kejadian, La lalu di tepi rumah suspek dan ternampak dia melakukan hubungan seks dengan isterinya.

La mencuri rakam aksi itu menggunakan telefon bimbit.

Pada kira-kira jam 7 malam, La yang tinggal tidak jauh dari situ, pergi ke rumah suspek dan menunjukkan rakaman video seks berkenaan kepada anak lelaki suspek yang berusia 17 tahun.

Suspek berusia 44 tahun yang ketika itu berada dalam bilik menyedari perbuatan La, lalu segera keluar untuk menemuinya, namun La beredar.

Anak Khir Johari Tempelak Mahathir: BN Yang Mainkan Isu Perkauman, Bukan DAP

Posted: 20 Apr 2011 06:50 PM PDT

Zairil kepada Mahathir: Usah berkata jika tiada yang bernas

Saya berasa amat kesal dan kecewa dengan kenyataan terbaru Mahathir Mohamad yang mendakwa bahawa parti DAP telah berjaya membawa politik perkauman kepada Sarawak. Tuduhan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, adalah sindiran-sindiran yang sebegitu rupa yang menjadi punca ketegangan antara kaum di Malaysia. Sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan negarawan yang dihormati ramai, beliau sepatutnya lebih matang dan tidak mengapi-apikan tohmahan yang boleh memecah-belahkan rakyat.

Sebagai seorang yang telah terlibat secara terperinci dalam proses perancangan, perangkaan strategi dan pelaksanaan kempen DAP untuk Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, saya boleh mengesahkan dengan tegasnya bahawa tiada sedikit pun unsur perkauman yang cuba dibangkitkan oleh parti kami.

Sepanjang kempen, isu-isu yang telah kami tekankan adalah seperti masalah pentadbiran, penyalahgunaan kuasa, rasuah yang berleluasa, polisi ekonomi yang tidak memanfaatkan rakyat, inflasi yang kian melambung dan kegagalan kerajaan untuk mengatasi masalah-masalah di atas.

Mungkin dalam pendapat Mahathir, hanya masyarakat Cina sahaja yang mengambil berat tentang isu-isu sedemikian?
Bukankah itu satu penghinaan kepada rakyat Sarawak dan rakyat Malaysia secara umumnya?

Sebaliknya, pihak yang telah cuba menakut-nakutkan pengundi dengan isu-isu perkauman adalah parti-parti daripada BN seperti SUPP, PBB dan MCA.

Namun, rakyat Sarawak telah membuktikan kematangan mereka kerana tidak termakan umpan bersifat parokial seperti dakwaan bahawa "masyarakat Cina" akan kehilangan perwakilan dalam kerajaan jika wakil-wakil Cina daripada BN tidak berjaya dalam pilihanraya.

Seperti yang sudah sedia maklum, keputusan pilihanraya jelas menunjukkan bahawa rakyat Sarawak menolak sama sekali unsur-unsur politik perkauman dan sebaliknya inginkan wakil-wakil yang memperjuangkan keadilan dan kebenaran!

Tambahan pula, kenaikan undi yang diperolehi parti DAP bukan hanya daripada satu kaum tertentu. Dalam kawasan-kawasan seperti Meradong, Dudong dan Kirudong, kejayaan kami adalah hasil tambahan undi kaum Dayak yang cukup memberangsangkan. Di Batu Kawah pula, kemenangan DAP di situ tidak mungkin akan berlaku tanpa undi-undi orang Melayu/Melanau yang telah meningkat dalam sokongannya terhadap DAP.

Hakikatnya, saya yakin bahawa Mahathir sedar dan memahami dinamik politik di negeri Sarawak dan juga di seluruh negara. Namun disebabkan motivasi politik, beliau memilih untuk memainkan sentimen sempit perkauman untuk menjaga kepentingan BN. Sekali lagi, rakyat boleh melihat dengan sendiri bagaimana pemimpin-pemimpin BN akan menggunakan taktik pecah dan perintah untuk mengekalkan kuasa mereka.

Sebagai pengakhir kata, saya ingin mencadangkan satu pepatah bahasa Inggeris: if you have nothing good to say, say nothing at all. Jika anda tidak mempunyai apa-apa yang bernas untuk dikatakan, usahlah meluahkan walau sekata.

*Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari selaku Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP).

Nyata Datuk T Pendusta: Rakaman Video Seks Di Kondominium Bukan Di Hotel

Posted: 20 Apr 2011 06:15 PM PDT

Polis sudah mengenal pasti identiti wanita yang berada dalam rakaman video seks dikaitkan dengan seorang pemimpin politik pembangkang dan juga lokasi video itu dirakam.

Menurut sumber, wanita itu adalah seorang pelajar sebuah kolej swasta di ibu kota berusia 26 tahun yang juga seorang warga China.

"Polis sudah merakam percakapan wanita terbabit bagi membantu siasatan berhubung video seks yang mengaitkan ahli politik pembangkang itu," katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat dilakukan, wanita itu turut mendedahkan lokasi rakaman video seks berkenaan dilakukan.

"Rakaman itu dilakukan di sebuah kondominium di pinggir ibu kota. Sebaik mengenalpasti lokasi rakaman itu dilakukan, sepasukan pegawai dan anggota polis ke lokasi berkenaan bagi meneruskan siasatan," katanya.

Bagi melengkapkan kertas siasatan berkenaan, pasukan penyiasat yang diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, dikatakan membawa rakaman berkenaan kepada pusat penyiaran terkemuka di luar negara untuk dianalisis, pada 4 April lalu.

Sumber itu berkata, pihak berkuasa percaya berdasarkan kepakaran dan keupayaan teknologi serta pengalaman dimiliki pusat penyiaran berkenaan mampu mengenalpasti pelaku yang berada dalam video seks berkenaan sekali gus menyelesaikan persoalan individu sebenar yang berada dalam video berkenaan.

Polis sudah melengkapkan kertas siasatan itu dan diserahkan kepada pejabat peguam negara pada 9 April lalu. -hm

Email 1Malaysia: Projek Najib Bantu Kroni

Posted: 20 Apr 2011 04:00 PM PDT

E-Mel 1Malaysia: Projek kerajaan atau projek swasta?

"Sebelum saya tidur, biar saya jelaskan bahawa Email 1Malaysia adalah projek sektor swasta. Ia tidak melibatkan dana awam terlibat, dan keseluruhannya adalah sukarela," demikianlah mesej tweeter Perdana Menteri Najib Razak semalam. Illustrasi: Azlan malaysiakini

Malah sebelum Najib, PEMANDU juga menyatakan bahawa Email 1Malaysia tidak diwajibkan kepada semua warga Malaysia. Ia adalah satu projek yang diterajui Tricubes Berhad dari sektor swasta, dan Tricubes Bhd yang bertanggungjawab terhadap pelaburannya, bukan kerajaan.

Penjelasan ini diumumkan setelah projek bernilai RM50 juta ini mencungkil pertikaian dari pelbagai pihak. Malah, seperti bantahan terhadap pembinaan Menara 100 tingkat sebelum ini, satu laman telah direka di facebook bernama "1M Malaysians who don't want Najib's 1 Malaysia email" , menarik penyertaan puluhan ribu dalam masa 24 jam.

Sungguhpun demikian, maklumat yang diperolehi menunjukkan kata-kata Najib adalah saling bertentangan. Menurut media internet The Malaysian Insider, unit kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memantau projek ini, MAMPU - telah mengeluarkan satu panduan pembidaan. KPI untuk projek ini adalah, menjadikan 100% warga Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas sebagai pengguna Email 1Malaysia menjelang tahun 2015.

Dokumen yang berkenaan juga menunjukkan bahawa syarikat yang berjaya untuk membida projek ini perlu mengemukakan kepada kerajaan, bagaimana untuk menjadikan 50% pengguna Email 1Malaysia menggunakan perkhidmatan tambahan, seperti e-bayar dan sebagainya, menjelang tahun 2020.

Petanda-petanda ia sebagai projek kerajaan

Selain itu, penjelasan Najib dan PEMANDU bahawa projek ini adalah pelaburan sektor swasta dan tidak melibatkan dana awam juga memperlihatkan kontradiksi. Pertama, sila rujuk laporan Bernama pada 19 April.

"Najib berkata kerajaan telah mula meninjau inisiatif tanpa kertas dan e-kerajaan dalam usaha untuk menjadi lebih mesra alam dan moden, inisiatif berikutnya, yang termasuk dalam CCI (Communications Content and Infrastructure) NKEA, merupakan kajian asas terhadap perkhidmatan kaunter dan kerajaan tanpa kertas.

Projek tersebut bertujuan mewujudkan pengukuran asas terhadap inisiatif kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan, khususnya dalam transformasi ke arah kerajaan elektronik (EG) dan ke arah tanpa kertas.

Diuruskan oleh Unit Permodenan, Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (GITN), projek itu melibatkan kutipan data dan analisis perkhidmatan e-kaunter, transaksi elektronik dan inisiatif kerajaan tanpa kertas dalam sektor awam, penilaian pusat data agensi kerajaan serta perkhidmatan dan infrastruktur rangkaian.

Apabila siap kelak, ia akan memastikan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan lebih telus, sesuai bagi tujuan, berkesan kepada rakyat. Kerajaan akan melabur RM3.261 juta dalam projek itu yang akan menyaksikan pewujudan 155 pekerjaan.

Beliau berkata CCI NKEA juga memulakan inisiatif kerajaan untuk menyediakan akaun e-mel rasmi dan unik serta pengenalan bagi warganegara Malaysia.

Perdana Menteri berkata dengan kesan PNK sebanyak RM39 juta sehingga 2015, inisiatif e-mel 1MY ini akan membolehkan komunikasi langsung dan terjamin antara warga Malaysia dan kerajaan serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pelanggan dan perniagaan."

Dengan kata lain, projek e-mel 1MY ini adalah sebahagian daripada pelaburan kerajaan di bawah CCI NKEA. Pada masa yang sama, Najib mengumumkan bahawa "Tricubes Bhd akan menerajui pelaburan berjumlah RM50 juta ini yang turut termasuk pembangunan portal web, akaun e-mel semua warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas, pusat setempat bagi perkhidmatan kerajaan, peruntukan untuk perkhidmatan nilai tambah seperti perangkaian sosial, semakan bil dalam talian serta pembayaran, tambahan kepada perkakasan pembangunan web untuk warga dan entiti perniagaan untuk aplikasi membangunkan kreatif."

Bagaimana syarikat bermasalah melabur?

Di samping itu, Tricubes Bhd telah mengeluarkan kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 4 April 2011 bahawa syarikatnya memperolehi satu projek e-mel daripada MAMPU. MAMPU mengeluarkan surat rasmi kepada Tricubes berhubung kontrak projek e-mel 1MY pada 29 Mac 2011, dan Tricubes akan berbincang dengan kerajaan dalam projek ini. Tiada maklumat terperinci dilampirkan, tidak dinyatakan sama ada ia Public Private Partnerships (PPP) atau Private Finance Initiative (PFI). Dalam keadaan biasa, ia menunjukkan pada dasarnya, ia adalah procurement.

Pada masa yang sama, menurut laporan The Malaysian Insider, sejumlah lima buah syarikat terlibat dalam pembidaan projek ini. Seandainya projek ini adalah pelaburan swasta, mengapa MAMPU tidak memilih syarikat yang lebih kukuh keadaan kewangannya, sebaliknya memilih sebuah syarikat yang bermasalah kewangan?

Menurut maklumat Bursa Malaysia, Tricubes telah disenaraikan sebagai status BN3 dan perlu mengetengahkan program penstrukturan kewangan, atau berdepan dengan nasib "delist". Selain itu, menurut laporan kewangan 2010 Tricubes, syarikat ini telah mengalami kerugian bersih sebanyak RM3.35 juta (RM3,346,752).

Melihat kepada Tricubes yang sudah dibeban dengan masalah kewangan sendiri, persoalan yang timbul adalah, bagaimana syarikat ini mampu untuk mendapatkan modal yang secukupnya untuk memastikan kestabilan dan kelangsungan projek ini? Tiada jawapan untuk soalan ini daripada Najib, PEMANDU malah Tricubes Bhd sendiri sehingga sekarang. -MR

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview.


Pengguna Facebook bantah projek emel 1Malaysia


Belum pun sampai 24 jam Perdana Menteri melancarkan projek e-mel 1Malaysia, sudah muncul satu laman di Facebook menyeru rakyat menolak projek 'pembaziran' tersebut.

Didaftar atas nama '1M Malaysians who don't want Najib's 1 Malaysia email', sehingga berita ini ditulis ianya telah mempunyai 21,913 pengguna Facebook yang meminatinya.

Menurut maklumat tertera, laman tersebut dibuat bagi membantah projek emel 1Malaysia yang didakwa hanya akan membazirkan RM50 juta wang rakyat selaku pembayat cukai.

Dalam posting awalnya, pengendali laman ini meletakkan beberapa pilihan jawapan berhubung tujuan projek ini diwujudkan untuk diundi oleh rakan-rakan mereka.

Majoriti peminat laman ini bersetuju bahawa projek emel 1Malaysia adalah projek untuk membantu kroni.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak merasmikan projek untuk menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Dengan nilai kontrak bernilai RM50 juta, projek itu dianugerahkan kepada Syarikat Tricubes Bhd.

Bagaimanapun, syarikat tersebut dikatan sebuah syarikat bermasalah.

Bukan sahaja namanya tidak berapa dikenali, ianya juga merupakan antara 12 buah syarikat yang disenaraikan Bursa Malaysia sebagai syarikat GN3 kerana keadaan kewangannya dalam keadaan "lemah" atau "buruk."


Menurut garis panduan yang ditetapkan Bursa Malaysia, pengkelasan status GN3 itu akan membolehkan syarikat berkenaan mendapatkan bantuan daripada satu jawatankuasa untuk menstruktur semula hutangnya.

Penyenaraian Tricubes di Bursa Saham mungkin ditarik balik sekiranya syarikat itu gagal meyakinkan bursa berhubung pelan untuk melunaskan kesemua hutangnya.

Kontrak bernilai RM50 juta itu dijangka sudah pasti akan memberi nafas baru kepada Tricubes. -HD


Ali Rustam Salahkan Pihak Lain Apabila LTAM Tiada Sambutan

Posted: 20 Apr 2011 08:31 AM PDT

KM akui lapangan terbang Melaka kurang sambutan

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengakui operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) tidak mendapat sambutan.

Beliau yang mempersalahkan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) berkata kesan kini LTAM yang terletak di Batu Berendam kelihatan sunyi sepi berikutan kekurangan aktiviti penerbangan dijalankan di situ.

"Saya rasa kesal dan kecewa terhadap agensi pelancongan terbabit kerana tidak menjalankan promosi terhadap LTAM sehingga lapangan terbang ini tidak mendapat sambutan.

"Kita tidak boleh tunggu kerajaan negeri sahaja berusaha menjalankan promosi dan kegiatan lain bagi menarik pengguna untuk gunakankemudahan di LTAM," katanya.

Menurut Mohd Ali, biarpun ketika ini terdapat syarikat penerbangan Indonesia iaitu Riau Airlines dan Wings Air beroperasi di LTAM namun kelemahan dari segi promosi perkhidmatan tersebut telah menyebabkan ia gagal beroperasi menurut apa yang diharapkan.

Beliau meluahkan perkara itu dalam sidang media majlis perasmian Seminar Kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) peringkat negeri Melaka.

LTAM mula beroperasi semula pada akhir tahun 2009 setelah kerja-kerja kerja-kerja penambahan panjang landasan daripada 1,300 meter kepada 2,135 meter dengan kos keseluruhan berjumlah RM131.5 juta dijalankan.

Tiada wakil Riau

Mohd Ali berkata, setakat ini Wings Air yang dimiliki Lion Air Indonesia di LTAM adalah syarikat penerbangan yang terbaru menyediakan penerbangan bagi laluan Pekan Baru-Melaka selepas Riau Air yang memulakan operasinya sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, program Seminar IMT-GT yang berlangsung juga tidak disertai wakil daripada Riau atau Pekan Baru termasuk dari syarikat penerbangan Riau Airlines serta Wings Air bagi membincangkan kegiatan promosi yang sesuai digerakkan pada masa depan.

"Kehadiran mereka penting bagi membincangkan strategik kegiatan dan kerjasama pada masa depan bersesuaian dengan penubuhan IMT-GT yang menekankan penglibatan ketiga-tiga negara dalam aspek ekonomi seperti perdagangan, pengangkutan dan pembangunan pelancongan.

"Kerajaan negeri sedia membantu menyelaraskan program kerjasama yang sesuai diadakan bersama Riau agar kemudahan LTAM dapat digunakan sepenuhnya.

"Melaka telah mendapat undangan daripada Riau untuk menyertai acara larian antarabangsa diadakan di wilayah itu dan kita akan menghantar peserta pelari Melaka ke sana untuk bertanding melalui kemudahan penerbangan di LTAM.

"Pada masa yang sama, kita juga mengharapkan agar agensi kerajaan yang berkaitan dapat bergerak lebih aktif bagi memastikan operasi di lapangan terbang lebih aktif pada masa depan," -mk


PAS: LTAM tiada nilai komersial

PAS mengingatkan ketua menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya tidak menyalahkan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) susulan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam kurang mendapat sambutan kerana kurangnya aktiviti promosi.

Timbalan ketua penerangan PAS Melaka, Yusof Wahab berkata agensi tersebut juga tidak berfungsi untuk menarik syarikat penerbangan beroperasi di lapangan tersebut sebaliknya perkhidmatan asasnya ialah menarik pelancong datang ke Melaka.

"Janganlah salahkan orang lain kalau kegagalan itu adalah kegagalan Ali dan kerajaan negeri yang tersilap percaturan membangunkan LTAM yang sememangnya dari awal tidak mempunyai nilai komersil untuk dinaiktaraf kerana lokasinya yang berdekatan dengan Kuala Lumpur dan Singapura.

"Pelancong lebih suka menggunakan jalan darat untuk ke Melaka berbanding dengan menaiki kapalterbang yang kosnya mungkin lebih mahal," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Yusof kesal dengan kenyataan Mohd Ali didakwanya tidak mahu bertanggungjawab di atas kelemahan dan kegagalan kerajaan negeri menarik syarikat penerbangan beroperasi di LTAM sebaliknya menyalahkan agensi tersebut.

Yusof mengulas kenyataan Mohd Ali yang dilapor mengakui operasi di lapangan terbang ini tidak mendapat sambutan.

Katanya, beliau kesal dan kecewa terhadap agensi pelancongan tersebut kerana tidak menjalankan promosi terhadap LTAM sehingga terbang ini tidak mendapat sambutan.

Mohd Ali berkata BPP tidak boleh menunggu kerajaan negeri sahaja berusaha menjalankan promosi dan kegiatan lain bagi menarik pengguna untuk menggunakan kemudahan di lapangan terbang tersebut.

Mengulas lanjut, Yusof berkata Pakatan Rakyat sebelum ini pernah membangkitkan isu kegagalan LTAM menarik syarikat penerbangan beroperasi di situ.

"Malah ia dibangkitkan sebelum LTAM dinaiktaraf lagi. Pakatan sememangnya tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk menaiktarafkan Lapangan Terbang Batu Berendam menjadi LTAM yang kononnya mencapai spesifikasi sebagai sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa," katanya.

Yusof juga mendakwa kerajaan negeri Melaka tidak melaksanakan kajian terperinci dan tepat sebelum melaksanakan projek pembesaran lapangan terbang ini dengan sejumlah wang yang mencecah jutaan ringgit.

Sebaliknya dengan jumlah wang tersebut banyak lagi projek yang memberi manfaat kepada rakyat antaranya projek mengatasi masalah banjir, menaiktaraf Hospital Melaka yang tidak cukup kelengkapan dan katil. -mk


Ulasan GB

Sekarang baru Ali Rustam mengaku Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) tidak mendapat sambutan sedangkan sewaktu PRK Merlimau yang baru lalu, PAS telah menyuarakan hal ini berkali-kali tetapi dinafikan oleh Ketua Menteri berkenaan.

Terlalu banyak pembaziran yang berlaku di Melaka dengan projek-projek bernilai jutaan ringgit tetapi tidak bermenafaat seperti LRT Sungai Melaka, Eye Of Malaysia dan seumpamanya.

Pengauditan yang terperinci perlukan terhadap projek-projek ini kerana ia melibatkan wang cukai rakyat dan kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Ali Rustam begitu mudah menghabiskan wang rakyat tanpa pulangan yang menasabah.


Speaker Perak Yang Selalu Bikin Ribut Di Dewan, Kini Rumahnya Dihentam Ribut

Posted: 20 Apr 2011 07:15 AM PDT

Ribut tengah hari

HUTAN MELINTANG - Rumah milik Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R Ganesan antara 33 rumah yang terjejas dalam satu kejadian ribut di kawasan Hutan Melintang, petang kelmarin.

Kejadian ribut yang diikuti hujan lebat petang kelmarin merosakkan bahagian bumbung rumah berkenaan di Lorong Arun, di sini, yang dibina sejak 1984.

Ganesan ketika ditemui berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu setelah abangnya memaklumkan bumbung rumahnya rosak sebelum bergegas pulang untuk melihat sendiri.

"Kerosakan yang berlaku tidak teruk hanya melibatkan beberapa keping zink sahaja, saya akan membaikinya sendiri dengan segera," katanya.

Beliau berkata, insiden ribut di kawasan itu telah dimaklumkan kepada Pegawai Daerah untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, dia juga sempat meninjau beberapa rumah lain yang turut terjejas dalam kejadian ribut menyebabkan kerosakan­ sama terutama di bumbung.

Bunyi bising

Seorang penduduk Rancangan Perumahan Awam 3, Mat Tulus Sarbon, 58, berkata, ketika kejadian dia bersama keluarga sedang berehat di rumah berkenaan.

Menurutnya, kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mereka sekeluarga terkejut apabila mendengar bunyi bising di bahagian dapur.

"Bimbang dengan keadaan itu, kami terus melarikan diri, apabila hujan dan angin reda, saya memeriksa sendiri dapur dan mendapati hampir semua zink bahagian itu diterbangkan angin," katanya.

Mat Tulus berkata, ia adalah kejadian pertama berlaku membabitkan kerosakan rumahnya sejak hampir 20 tahun lalu.


Mangsa trauma

Seorang warga emas nyaris cedera ditimpa serpihan zink rumahnya sendiri yang tercabut akibat angin kencang.

M Subama, 64, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu menonton televisyen tanpa menyedari keadaan bumbung rumahnya di Lorong Iswara, di sini diterbangkan angin.

"Serpihan yang jatuh hampir terkena kepala tetapi saya sempat mengelak, saya terus melarikan diri masuk ke dalam bilik untuk menyelamatkan diri," katanya.

Menurutnya, kejadian yang berlaku kira-kira 1.30 petang itu menyebabkan hampir 30 peratus zink rumahnya hilang diterbangkan angin.

Dia yang ketika itu tinggal seorang diri mengakui masih trauma dengan kejadian itu.

Perasaan sama dikongsi seorang suri rumah, R Paravathy, 48, yang bimbang dengan keselamatan ahli keluarganya apabila bumbung rumahnya turut rosak.

"Apa yang penting adalah keselamatan saya dan anak-anak, takut juga sekiranya perkara tidak diingini berlaku, mujurlah semuanya selamat," katanya.

Kerugian RM50,000

Sementara itu, Pembantu Khas Ahli Parlimen Bagan Datoh, Khairuddin Tarmizi berkata, setakat semalam, sebanyak 33 rumah dilaporkan terjejas dalam kejadian ribut yang berlaku antara 12.30 hingga 130 petang kelmarin.

Menurutnya, antara kawasan yang terlibat adalah Rancangan Perumahan Awam 1 dan 3 membabitkan enam rumah, Taman Seri Melintang (2), Lorong Iswara (12), Lorong Murgan (2), Lorong Naidu (8), Lorong Maniam (2) dan Lorong Arun (1).

"Kita anggarkan kerugian keseluruhan rumah yang terbabit kali ini hampir RM50,000, termasuklah kerosakan rumah Speaker DUN di Lorong Arun.

"Bantuan sewajarnya akan diatur termasuk bantuan daripada Tabung Bencana," katanya.
Dalam perkembangan sama, ADUN Hutan Melintang, S Kesavan turut melawat beberapa rumah yang dilanda ribut. -SH

Terima Kontroversi Menjelang Muktamar PAS Sesuatu Yang Positif

Posted: 20 Apr 2011 05:30 AM PDT

Kontroversi menjelang muktamar tanda positif

SHAH ALAM – Mesyuarat Pas kawasan diyakini lebih hangat dengan idea dan cadangan baru ahli akar umbi demi survival parti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar berkata, berdasarkan suasana dan berita yang disiarkan menjelang muktamar parti itu Jun ini memperlihatkan kehangatan pelbagai isu bakl diketengahkan.

Katanya, cadangan Yang Dipertua Pas Bintang, Mohd Radzi Hashim mencalonkan Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa merebut jawatan presiden sebagai provokasi untuk menghangatkan suasana.

Malah, beliau juga menyifatkan kenyataan penganalisis politik, Prof Dr Abdul Azizi Bari bahawa kepimpinan Pas perlu berubah terutamanya Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agak mendahului dan mengejutkan.

"Tetapi bagus juga kita mengocakkan suasana yang tenang menjadi sesuatu yang tidak dinamik kepada dinamik. Tidaklah mendatar sahaja, kalau ia lesu, sejuk, tiada tarikan orang tidak akan pergi, kalau ada isu yang dieksploitasi hangat bukan sahaja ahli Pas, mungkin orang lian pun berminat untuk mengetahuinya.

"Sekurang-kuranya orang berkenaan prihatin. Barang kali ambil tindakan ataupun menyedari kehendak semasa orang di bawah, bagi saya ini perkara biasa bila hendak pemilihan kepimpinan mesyuarat Muktamar,"
katanya.

Sementara itu, ADUN Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berkata, mesyuarat Pas sentiasa membuka ruang yang luas untuk dijadikan medan perbincangan dengan saluran yang betul.

"Kita tidak hairan di muktamar terbesar pun perwakilan yang hadir akan menyentuh pimpinan yang tidak betul sebab kita terbuka.

"Kita akan membuka ruang seluas-luasnya pada perwakilan yang terdiri daripada ketua cawangan, maknanya di peringkat akar umbi juga akan memberikan pandangan. Beginilah cara Pas yang terbuka kepada semua pihak memberikan pandangan," katanya. -SH


Abdul Hadi Ganti Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Keputusan Pas Bukit Bintang mencalonkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Timbalan Mursyidul Am kerana beranggapan akan dapat menggantikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila tiba masanya kelak.

Yang Dipertuanya, Mohd Radzi Hashim berkata, perubahan yang dikemukakan akan memperkukuhkan jentera dan Majlis Syura secara keseluruhannya.

"Jika Nik Abdul Aziz mengundurkan diri kelak sekali gus Abdul Hadi dapat dinaikkan sebagai pengganti kepada jawatan tersebut," katanya.

Radzi berkata, perubahan kepimpinan perlu dilaksanakan dari peringkat Presiden sehingga ke Ahli Jawatankuasa Kerja supaya rakyat dapat menerima parti dengan lebih terbuka.

"Ini bagi memastikan supaya Pas dilihat sebagai parti yang bergerak dalam kehendak semasa yang mana tidak timbul isu penyingkiran kepada pimpinan sedia ada.

"Pas mengamalkan keterbukaan yang bersedia menerima pandangan tanpa melanggar perlembagaan parti," katanya.

Ditanya mengenai penjelasan pengasingan kuasa antara kuasa eksekutif dan Majlis Syura, Radzi berkata, pengasingan itu bagi memastikan tiada kuasa eksekutif yang terlibat dalam menganggotai Majlis Syura.

"Majlis Syura perlu bebas tanpa campur tangan kuasa eksekutif dengan bertindak mengawasi perjalanan kuasa parti.

"Ini bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat Majlis Syura konkrit tanpa pengaruh mana-mana pihak," katanya.

Kepada satu soalan lain, adakah pihaknya menerima tekanan daripada mana-mana pihak ekoran kejutan pencalonan Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa bertanding sebagai Presiden yang dikemukakan, Radzi berkata setakat ini tiada mana-mana pihak memberi maklum balas mengenai isu tersebut.

"Parti menerima cadangan kami kerana setiap kawasan ada pilihan masing-masing

"Pencalonan kami bukan mahu cipta sejarah kerana ia adalah perkara biasa apabila tibanya pemilihan parti," katanya.

Pada 8 April lalu, Pas Bukit Bintang mencetuskan kejutan dengan mencalonkan Exco Kerajaan Kelantan untuk bertanding sebagai Presiden dengan alasan perubahan kepimpinan. -SH


Payudara Wanita Cedera Digigit Anjing Sheperd

Posted: 20 Apr 2011 03:55 AM PDT

Anjing gigit payudara

BUKIT MERTAJAM: Seorang suri rumah yang cedera payudara kirinya digigit seekor anjing jenis German Shepherd pada Jumaat lalu, kini dalam pertimbangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik anjing berkenaan.

Mangsa, Lee Boon Chen, 44, berkata, walaupun pemilik anjing itu sudah memohon maaf selepas insiden itu, dia tidak akan berdiam diri dan mahu melakukan sesuatu untuk memberi pengajaran kepada pemilik anjing lain yang tidak mengutamakan keselamatan orang awam.

Katanya, dia mahu pemilik anjing lebih bertanggungjawab termasuk menjaga dan mengawal haiwan peliharaan masing-masing bagi mengelak orang lain menjadi mangsa.

"Selepas kejadian ini, saya trauma, malah kerap bermimpi diserang anjing dan jika saya melihat atau terserempak dengan anjing jenis itu, saya takut dan badan menggigil," katanya ketika ditemui menerima rawatan susulan di sebuah hospital swasta di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi Jumaat lalu, Lee nyaris kehilangan payudara kirinya selepas cedera diserang anjing berkenaan ketika dia membawa anjing peliharaannya jenis Shih Tzu bersiar-siar di kawasan perumahan di Taman Tambun Indah, Simpang Ampat dekat sini. -hm

Bongkar: Tricubes Dimiliki Secara Tidak lansung Oleh Adik Najib

Posted: 20 Apr 2011 02:00 AM PDT

1Malaysia email: Tricubes Berhad dimiliki secara tidak langsung adik Najib

Syarikat Tricubes Berhad yang diberikan kontrak 1Malaysia email bernilai RM50 juta kini berdepan dengan masalah kewangan, dan disenaraikan Bursa Malaysia sebagai status GN3. Seandainya syarikat ini gagal mengetengahkan program menstruktur semula kewangannya pada hujung Oktober 2011, maka ia mungkin berdepan dengan nasib untuk ditarik dari penyenaraian (delist).

Apa yang menarik, pemegang saham kedua terbesar Tricubes Berhad adalah Commerce Technology Ventures Sdn Bhd, iaitu Private Equity Fund yang ditubuhkan Bank Negara bersama Commerce Group (atau Bumiputra-Commerce Holdings Berhad Group).

Commerce Group atau Bumiputra-Commerce Holdings Berhad Group kini telah dinamakan sebagai CIMB Group, diterajui oleh adik Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Nazir Razak (gambar kanan). Nazir Razak adalah Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan telah memberikan satu projek baru bernilai RM50 juta kepada Tricubes Bhd untuk mendirikan satu laman internet, dan setiap warga negara berumur 18 tahun ke atas akan dibuka satu akaun email - "1Malaysia email" untuk kegunaan rasmi; sementara mendirikan pusat perkhidmatan e-kerajaan, termasuk laman sosial, pembayaran hutang melalui internet dan sebagainya.

Namun demikian, menurut maklumat Bursa Malaysia, Tricubes telah disenaraikan sebagai status BN3 dan perlu mengetengahkan program penstrukturan kewangan, atau berdepan dengan nasib "delist".


Dalam satu kenyataan Tricubes pada 29 Oktober 2010, lantaran daripada kebimbangan oleh juruaudit terhadap laporan kewangan Tricubes sehingga 31 Mac 2010, ditambah pula shareholders' equity yang lebih rendah daripada 50% modal sehingga Jun 2010, maka ia telah melanggar peraturan penyenaraian, lantas dimasukkan ke adalam status GN3.

Selain itu, menurut laporan kewangan 2010 Tricubes, syarikat ini telah mengalami kerugian bersih sebanyak RM3.35 juta (RM3,346,752). Meskipun Tricubes memohon agar Bursa Malaysia mengecualikan dirinya daripada peraturan GN3, namun Bursa Malaysia enggan meluluskan permintaannya.

Menurut peraturan GN3 di Bursa Malaysia, Tricubes perlu mengemukakan satu rancangan penstrukturan semula kewangannya dalam tempoh 12 bulan, bermula 29 Oktober 2010 (tarikh dimasukkan ke status GN3). Malah, rancangan tersebut perlu diluluskan Bursa, malah dilantik penajanya dalam masa tiga bulan, dan menghabiskan program penstrukturan semula dalam masa enam bulan selepas diluluskan Bursa.

Jikalau Tricubes gagal mematuhi mana-mana peraturan, maka Bursa Malaysia boleh menghentikan sementara jual-beli saham syarikatnya, dan kemudian menarik penyenaraiannya (delist).

Menurut kenyataan terbaru Tricubes pada 1 April 2011, tiada perkembangan yang besar dalam rancangan penstrukturan semula kewangan syarikat tersebut. Menurut had tempoh, Tricubes harus menghantar laporan penstrukturan kewangannya sebelum 29 Oktober 2011, dan mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia - untuk mengelakkan dirinya daripada ditarik penyenaraiannya (delist).

Sebagaimana yang diketahui, Tricubes cuba membida 32.2% saham Pos Malaysia daripada Khazanah Nasional Berhad, tetapi gagal.


Pada saat-saat yang genting ini, Najib membawa cahaya harapan kepada penstrukturan semula kewangan Tricubes apabila mengumumkan pemberian projek 1Malaysia email bernilai RM50 juta kepadanya. Berikutan kontrak ini, Tricubes mungkin sempat untuk mengemukakan rancangan penstrukturan kewangannya sebelum hujung Oktober.

Apa yang dipertikaikan, PEMANDU yang mendakwa diri mengutamakan meritokrasi dan ketelusan itu, melantik sebuah syarikat yang berdepan dengan masalah kewangan untuk melaksanakan projek kerajaan ini.

Menurut maklumat rasmi, pemegang saham kedua terbesar Tricubes adalah Commerce Technology Ventures, ditubuhkan pada Julai 2000, dengan fungsi utamanya membekalkan modal untuk pembangunan teknologi. Sehingga hari ini, syarikat ini telah melabur di 22 buah syarikat, termasuk 10 buah syarikat telekomunikasi, enam syarikat advanced manufacturing, lima syarikat life science dan satu lain-lain.

Modal Commerce Technology Ventures dikendalikan CAV Private Equity Management Sdn Bhd, syarikat ini adalah salah satu syarikat di bawah CIMB Group. Menurut laporan kewangan Tricubes 2010, Commerce Technology Ventures merupakan pemegang saham kedua terbesar yang memegang 15.63% saham. Pemegang saham terbesar Tricubes adalah Khairun bin Zainal Mokhtar - selain memiliki 15.72% saham secara langsung, juga memiliki 14.17% saham melalui Ambank.


*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal.

Tiada ulasan: