Rabu, 20 April 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Video Seks: Kenapa Tiba-tiba Shuib Melenting Setinggi Siling?

Posted: 20 Apr 2011 01:00 AM PDT

Shuib cabar Anwar, dua pemimpin kanan PAS sumpah laknat

KUALA LUMPUR, 20 April — Bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bersumpah laknat bagi membuktikan kebenaran dakwaan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Ketua Umum PKR itu.

Selain itu, Shuib, salah seorang "Datuk T" turut mencabar Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya melakukan perkara sama kerana bertindak menafikan kebenaran rakaman video itu tanpa pernah menontonnya.

Selain Shuib, dua lagi Datuk T adalah bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang menggemparkan negara apabila mempertontokan rakaman video seks itu kepada wakil media terpilih 21 Mac lalu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Shuib menegaskan rakaman video seks itu perlu dijadikan bukti di mahkamah bagi menuntut keadilan.

"Mana nak cari empat saksi yang boleh dipercayai zaman sekarang ni, macam mana nak cari? Kalau Abdul Hadi dan Nik Aziz jadi saksi sudah tentu mereka tidak akan menyebelahi kami.

"Abdul Hadi dan Nik Aziz nak jadi saksi macam mana, belum tengok sudah kata fitnah... fitnah... fitnah... ustaz macam mana ni? Belum tengok sudah buat keputusan dan kata fitnah.

"Mereka tak tengok filem sudah kata fitnah... fitnah... fitnah... saya cabar Abdul Hadi, Nik Aziz termasuk Anwar Ibrahim sumpah laknat sebab kata video itu fitnah," katanya.

Tambah Shuib, pihaknya juga mempersoalkan tindakan individu tertentu termasuk pemimpin Pakatan Rakyat yang bertindak menafikan kebenaran rakaman video seks itu tanpa menontonnya.

"Belum tengok sudah kata fitnah, saya juga cabar konco-konco mereka sumpah laknat juga... tengok dulu baru kata ini belum tengok sudah kata fitnah dan demi keadilan kena tengok dulu baru boleh cakap," katanya.

Sehari selepas pendedahan video seks itu, Anwar membuat laporan polis dan menafikan beliau adalah pelaku aksi seks yang didakwa "Datuk T".

Dalam perbualan ringkas itu, Shuib berkata pihaknya tidak berniat untuk menyebarkan rakaman video seks yang didakwa melibatkan pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Oleh itu, Shuib menyifatkan sebarang tindakan yang mungkin dikenakan ke atas mereka sebagai "tidak adil" kerana mereka tidak sepatutnya didakwa atas tuduhan berkenaan.

"Kita bukan tunjuk kepada awam tapi hanya kepada pemberita sebagai saksi jadi kenapa mesti kami dipersalahkan.

"Kita tahu salah tunjuk... jadi tak adil kalau nak dakwa kita sahaja sebab itu saya marah, kalau boleh kita dah sebarkan kepada ramai orang," katanya.

Justeru kata beliau, selain memberikan keterangan di mahkamah, ketiga-tiga mereka sanggup menerima apa sahaja hukuman yang akan dikenakan nanti.

"Kalau salah tangkap sahaja kami tapi apa yang kita buat demi masa depan negara, agama dan bangsa... Anwar nak jadi perdana menteri tapi bolehkah orang yang berperangai macam syaitan dan tidak bermoral itu jadi perdana menteri?

"Bolehkah orang yang macam ini jadi perdana menteri, sebab itu kami buat pendedahan dan kami sanggup ke mahkamah, kami bukan cari salah tapi nak cari kebenaran," katanya sambil menegaskan tidak bimbang sekiranya dikenakan kemungkinan di penjarakan.

Laporan media sebelum ini memetik Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata siasatan rakaman video aksi seks itu mengikut Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah telah siap.

Acryl berkata laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.

"Bagi pihak kami (polis), siasatan telah lengkap dari setiap sudut menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mengedar bahan lucah)," kata beliau. -TMI


Johari: 'Datuk Shuib pun tak percaya'

Ahli parlimen PKR Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mendakwa bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim yang juga bapa saudaranya, juga tidak percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan orang dalam video seks yang ditunjukkan kepadanya.

"Masa kami turun dalam lif. Dia (Shuib) kata, Pak Njang juga tidak percaya," dakwa Johari.

Menurut Johari, Shuib hanya membawa beliau menonton video itu bagi membuat pengesahan sama ada lelaki dalam video itu benar-benar Anwar.

Malah, Johari mendakwa, Datuk Trio itu bukanlah tiga, sebaliknya hanya melibatkan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini, Johari menjangkakan beliau menjadi pilihan Datuk T kerana hubungannya yang rapat dengan beberapa pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tum Razak sendiri.

Selain itu, tambahnya, latar belakangnya sebagai "orang sembahyang" mungkin menyebabkan isu moral berkesan digunakan padanya.

"Saya memanglah stylish, tapi kami sembahyang. Memanglah macho, tetapi saya sembahyang," katanya berseloroh.

Sambil mendakwa apa berlaku sebagai konspirasi, Johari menafikan beliau meminta wang "pelincir" sebanyak RM100,000 untuk membawa lebih ramai wakil rakyat Pakatan menonton video seks.

"Takkanlah RM100,000. Kita ahli parlimen ni bukanlah lekeh sangat. Baik saya minta RM3 juta atau RM4 juta," katanya.

Ditanya sama ada beliau mahu menyaman Eskay dan Rahim, Johari enggan melukannya.

"Tak perlulah. Mereka pun old man," katanya lagi. -mk


Ulasan GB

Seorang lagi pendusta setelah Eskay berdusta sebelum ini.



Mengapa tiba-tiba Datuk Shuib Lazim komain melenting?

Bukankah sebelum ini, anak buahnya, Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani sendiri mendedahkan bahawa Shuib yang juga bapa saudaranya, juga tidak percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan orang dalam video seks yang ditunjukkan kepadanya?

Jika apa yang dikatakan oleh anak saudaranya itu tidak benar, sudah pasti beliau telah membuat penafian sejak awal lagi.

Apa yang rakyat lihat kini, Eskay dan Shuib seperti "ditekan" oleh seorang lagi Datuk T supaya membuat kenyataan akhbar mengenai isu ini.

Orang itu cuba hendak mempastikan dia terselamat dan tidak ditahan serta didakwa di mahkamah. Kerana ia melibatkan kedudukannya yang masih memegang Pengerusi sebuah agensi kerajaan.



Solat Berjamaah Di Perancis Akan Dilarang

Posted: 19 Apr 2011 11:45 PM PDT

Pemerintah Perancis mulakan semula fahaman anti-Islam setelah sebelumnya, undang-undang kontroversial melarang pemakaian jilbab, mendapat protes hebat dari umat Islam.

Dengan alasan kerana warga Muslim menunaikan solat di pinggir jalan, pemerintah Perancis berniat menghalang kebebasan warga Muslim menunaikan kewajiban agama mereka.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Claude Guéant, yang dikenali sebagai salah seorang think-tank politik anti-Islam di negara ini, menetapkan peraturan baru melarang pelaksanaan solat jamaah di pinggir jalan.

IRNA melaporkan, akhbar Le Parisien dalam hal ini menulis, Guéant mengatakan, "Kami sedang mencari jalan untuk melarang penunaian solat berjamaah di pinggir jalan."

Menteri Dalam Negeri Perancis mengemukakan pernyataan itu ketika penunaian solat berjamaah di pinggir jalan, yang sangat jarang terjadi, dan biasanya hanya dilakukan di wilayah-wilayah yang memiliki kemudahan sangat terhad atau sekatan yang dilakukan pemerintah. Selain itu, warga Muslim Perancis juga menunaikan solat berjamaah itu tanpa mengganggu orang lain.

Menjawab pertanyaan mengenai sedikitnya jumlah masjid di Perancis, Guéant mengatakan, di Perancis boleh dibangunkan masjid yang lebih banyak. Namun Guéant tidak memberikan keterangan lebih lanjut bagaimana masjid-masjid tersebut dapat dibangunkan.

Di kota Nice misalnya, hanya terdapat dua masjid, dan warga Muslim di kota itu harus menempuh jalan jauh untuk pergi ke masjid. Namun masalah yang paling penting adalah bahwa kedua masjid itu tidak mampu menampung seluruh warga Muslim yang hendak menunaikan solat berjamaah.

Berkait dengan perlaksanaan larangan solat berjamaah di tepi jalan itu, Guéant menjelaskan, "Harus ada cara untuk menghentikan solat berjamaah di tepi jalan, dan saya secara peribadi menggalakan penggunaan "kekuasaan" dalam menjalankan ketentuan tersebut.

Guéant hingga kini telah berulangkali meletakkan umat Islam sebagai sasaran, termasuk penilaiannya terhadap peningkatan jumlah warga Perancis yang memeluk agama Islam. Keadaan ini menurut Guéant sangat diberi perhatian dan akan menjadi halangan serius bagi Perancis.

Sejumlah politik anti-Islam dalam pemerintahan Perancis yang beberapa waktu lalu melarang penggunaan burka, telah memasuki tahap baru yang lebih serius. Langkah itu mendapat riaksi negatif oleh pendapat umum Barat.

Laurent Booth, saudara perempuan isteri mantan perdana menteri Inggris, Tony Blair, dalam wawancaranya dengan IRNA, menepis dakwaan para pejabat Perancis bahwa kaum perempuan yang mengenakan burka merupakan ancaman pengganas dan keselamatan.

Dikatakannya, "Kaum perempuan berjilbab sebetulnya memang merupakan ancaman bagi negara-negara Barat. Namun ancamannya tidak dalam bentuk kekerasan seperti yang didakwa oleh para ahli politik Barat, melainkan kerana busana Muslimah pada hakikatnya telah menyoal kebebasan kaum perempuan di Eropah dan Amerika." -republika

Email 1Malaysia Untuk Selamatkan Syarikat Bermasalah?

Posted: 19 Apr 2011 10:30 PM PDT

SSyarikat Tricubes Bhd yang diberikan kontrak RM50 juta untuk melancarkan perkhidmatan emel 1Malaysia merupakan sebuah syarikat bermasalah.

Syarikat yang tidak berapa dikenali itu merupakan antara 12 buah syarikat yang disenaraikan Bursa Malaysia sebagai syarikat GN3 kerana keadaan kewangannya dalam keadaan "lemah" atau "buruk."

Menurut garis panduan yang ditetapkan Bursa Malaysia, pengkelasan status GN3 itu akan membolehkan syarikat berkenaan mendapatkan bantuan daripada satu jawatankuasa untuk menstruktur semula hutangnya.

Penyenaraian Tricubes di Bursa Saham mungkin ditarik balik sekiranya syarikat itu gagal meyakinkan bursa berhubung pelan untuk melunaskan kesemua hutangnya.

Kontrak bernilai RM50 juta itu pasti akan memberi nafas baru kepada Tricubes.


Najib beri kontrak 50juta kepada syarikat bermasaalah kendali e-mail 1malaysia

Tricubes Berhad, syarikat yang meraih kontrak perkhidmatan emel 1 Malaysia bernilai RM50 juta dilaporkan menghadapi masalah kewangan dan berkemungkinan dilucutkan dari Bursa Malaysia.

Meskipun menghadapi permasalahan sebegitu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan firma berkenaan diberi kontrak lumayan untuk menyediakan khidmat emel rasmi antara rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan kerajaan, lapor Malaysian Insider.

Ramai pihak menyifatkan langkah itu sebagai membazir kerana sebilangan besar masyarakat yang celik komputer sudah pun memiliki e-mail peribadi.

Mereka juga mempersoalkan keselamatan maklumat peribadi dalam sebarang transaksi menerusi e-mail 1Malaysia itu.

Justeru mereka menolak projek e-mail 1Malaysia dan mempertikaikan kenapa ia diberi kepada sebuah syarikat yang dipantau oleh Bursa Kuala Lumpur.

Tricubes sebelum ini diberi amaran dan diletakkan di bawah status Nota Bimbingan Keselamatan 3 oleh Bursa Malaysia (GN3) tahun lalu.

Sebagai Syarikat GN3, Tricubes perlu memberikan laporan kewangan kepada Bursa setiap bulan serta melantik penaja sehingga ia bukan lagi berstatus GN3.

Menurut laporan itu jika syarikat (Tricubes) gagal berbuat demikian, mereka boleh digantung dan disingkirkan dari papan oleh Bursa Malaysia.

Sumber Bursa juga menyatakan, sehingga 1 April lalu, Tricubes masih dalam proses meguruskan aliran kewangannya dan 'tiada sebarang perkembangan besar' yang memungkinkan status GN3 syarikat itu ditarik balik. -tvsnews


Pelajar Dicabul Dalam Kelas

Posted: 19 Apr 2011 09:00 PM PDT

Arau: Empat pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di sini, ditahan polis kerana berkelakuan liar termasuk mencabul seorang pelajar perempuan dalam kelas sama tanpa menghiraukan pelajar lain melihat perbuatan terkutuk mereka. Gambar fail

Tiga pelajar lelaki terbabit yang berusia 15 tahun yang juga rakan sekelas mangsa bersama seorang pelajar berusia 16 tahun melakukan perbuatan itu ketika waktu persekolahan, kelmarin. Pelajar perempuan berkenaan yang tidak tahan dijadikan objek seks sejak tiga minggu lalu oleh keempat-empat pelajar terbabit membuat laporan di Balai Polis Arau, malam kelmarin, sebelum polis memberkas semua suspek, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Deputi Superintendan Lee Swee Meng ketika mengesahkan kejadian berkenaan berkata, empat pelajar terbabit didakwa memegang buah dada dan paha mangsa di dalam kelas ketika ketiadaan guru.

Menurutnya, semua pelajar lelaki tingkatan tiga dan empat itu ditahan di bandar ini tengah hari semalam.

"Semua suspek didakwa tidak menghiraukan rakan sekelas lain yang melihat perbuatan mereka mencabul mangsa. Mangsa sebelum ini mendakwa sering diganggu empat suspek dan paling ketara apabila mereka memegang buah dada dan pahanya," katanya di sini, semalam.

Lee berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu mencabul kehormatan dan pihaknya dalam proses mendapatkan perintah reman terhadap semua suspek bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 25 tahun yang kemaruk seks ditahan kerana disyaki mencabul kehormatan seorang gadis berusia 17 tahun yang juga rakan sekerjanya, kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Lee berkata, lelaki terbabit yang bekerja di sebuah pasar raya di Pauh, dekat sini, gagal mengawal nafsunya lalu memegang paha mangsa ketika mereka bekerja.

"Siasatan polis mendapati suspek turut melakukan perbuatan sama terhadap seorang pekerja wanita lain di pasar raya sama sebelum ini. "Polis sudah mendapatkan perintah reman lima hari sehingga 24 April ini untuk siasatan lanjut. Dia memegang paha mangsa yang bekerja di pasar raya berkenaan," katanya. -hm

UUM & Mukhriz Memfitnah Kerajaan Kedah

Posted: 19 Apr 2011 07:00 PM PDT

MB Kedah nafi cukai tanah UUM dinaikkan

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini menafikan kerajaan pimpinannya menaikkan kadar cukai tanah 10 kali ganda terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sebaliknya kata beliau, kenyataan yang dibuat Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak itu tidak berlandaskan fakta sebenar.

"Apa yang berlaku ialah bagi tempoh Januari 2006 hingga Disember 2008, UUM telah diberi rebat oleh kerajaan negeri ketika itu menyebabkan cukai tanahnya dikurangkan dari RM1.7 juta setahun kepada RM100,000.

"Tetapi selepas tempoh rebat dua tahun itu berakhir, mereka diminta membayar pada kadar penuh semula iaitu RM1.7 juta,"
katanya pada sidang media, di Alor Star.

Azizan juga berkata akibat pemberian rebat kepada UUM itu kerajaan negeri pimpinanya kerugian RM1.6 juta.

UUM juga katanya, pernah memohon kepada beliau agar pemberian rebat itu disambung namun permohonan mereka ditolak.

"Mereka (UUM) boleh terus membuat rayuan dan kita akan pertimbangkan, tetapi tidak semestinya kita akan luluskan permohonan mereka itu," katanya.

Mengulas lanjut, Azizan berkata UUM juga telah diberi beberapa pilihan dalam membuat pembayaran cukai tesebut.

"Kita juga setuju mereka (UUM) berunding dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengenai bayaran ansuran. Pada tahun 2009 dan 2010 mereka bayar dengan kadar penuh," kata Azizan.

Beliau juga menegaskan kerajaan negeri yang diteraju pakatan pembangkang itu tidak pernah mengeluarkan arahan menaikkan cukai sejak mentadbir Kedah selepas pilihan raya umum 2008.

"...tetapi apa yang kita buat ialah pada 2008, kita menurunkan cukai tanah antara 35 peratus sehingga 75 peratus termasuk tanah-tanah milik kerajaan persekutuan.

"Disebabkan penurunan cukai itu kerajaan negeri telah kehilangan hasil tanah sebanyak RM50 juta setahun," katanya.

Mengenai isu air di UUM, beliau menasihatkan universiti itu dan Kementerian Pengajian Tinggi meningkatkan kemudahan sistem perairan seperti tangki dan paip air kerana kerajaan negeri telah menyiapkan paip besar di luar kampus tersebut yang boleh menampung sehingga ke Bukit Kayu Hitam.

"Setiap hari pihak Syarikat Air Darul Aman (Sada) menyalurkan bekalan air ke UUM sebanyak 15 juta liter sedangkan kawasan lain kita hanya bagi lima dan 10 juta liter sahaja. Jadi mereka perlu meningkatkan kemudahan loji dalam kampus supaya air itu dapat disalurkan kepada warga kampus," katanya. - Bernama


Serah UUM pada Kedah

ALOR SETAR, 19 April: "Serahkan Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada kerajaan negeri kalau dah tak mampu nak tadbir kewangannya," kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai respons kepada isu yang ditimbulkan timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Semalam, Menteri Pedidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin juga dilaporkan mengecam kerajaan negeri Kedah yang kononnya menaikkan cukai tanah UUM sehingga 10 kali ganda sejak mengambil alih pemerintahan negeri sehingga pihak universiti terpaksa membayar RM1.8 juta setahun berbanding RM150,000 sebelum ini.

Azizan bagaimanapun menafikan dakwaan kenaikan cukai tanah tersebut, sebaliknya menjelaskan bahawa apa yang berlaku adalah tempoh pemberian rebat kerajaan negeri kepada universiti itu yang telah berakhir.

"Mengikut perjanjian asal, jumlah perlu dibayar oleh universiti adalah sebanyak RM1.2 juta tetapi pihak universiti hanya perlu bayar RM100 ribu setahun bagi tempoh 2006 hingga 2008 setelah permohonan mereka mendapatkan rebat diluluskan oleh kerajaan.

"Saya harap penjelasan ini membuktikan kerajaan negeri bukan naikkan cukai tanah, cukai asal lebih RM1 juta dan setelah diberi rebat UUM cuma bayar RM100,000 sahaja dan kini perjanjian telah berakhir, UUM kenalah bayar penuh.

"Sepatutnya mereka kena bayar RM1.2 juta tapi kalau UUM menghadapi masalah kewangan, mereka boleh memohon untuk mendapatkan rebat semula," jelasnya kepada media selepas berucap di himpunan bulanan kakitangan kerajaan di Wisma Darul Aman.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri tidak pernah bercadang hendak menaikkan cukai tanah yang diturunkan selepas mengambil alih pemerintahan negeri pada Mac 2008 yang lalu.

Mengenai masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi warga universiti itu, Azizan berkata, isu ini perlu diselesaikan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.

"Saya pernah bangkitkan isu ini supaya pengurusan UUM kemukakan cadangan kepada kementerian untuk naik taraf infrastruktur bekalan air, tetapi saya tak nampak pun hasilnya," katanya. -HD




Cukai tanah tahunan UUM RM1.8 juta

PUTRAJAYA – Sukar dipercayai apabila kerajaan negeri Kedah sanggup mengenakan kadar cukai tanah tahunan 10 kali ganda lebih tinggi atau sebanyak RM1.8 juta setahun ke atas Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah sejak tiga tahun lalu.

Nasib malang universiti itu didedahkan sendiri oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang terpaksa merayu kerajaan negeri supaya mengurangkan kadar cukai tersebut.

Menurutnya, kadar cukai tanah yang terlalu tinggi itu sepatutnya digunakan untuk tujuan penyelidikan dan penerbitan universiti.

Sebelum ini UUM membayar RM150,000 cukai tanah setahun.

Lebih menyedihkan lagi, ujar beliau, UUM juga terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk menyewa lori mengangkut air bagi kegunaan pelajar universiti tersebut yang menghadapi masalah untuk mendapatkan air bersih sejak tahun lalu.

Menurutnya, sejak setahun lalu sebahagian pelajar UUM terpaksa mengambil air menggunakan baldi daripada lori yang disewa khas tersebut dan ia menyukarkan usaha universiti berkenaan menarik pelajar dari luar negara.

"Masalah ini amat membebankan kewangan dan kami telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak supaya cukai tanah itu dikurangkan tetapi tiada jawapan hingga kini.

"Bagaimanapun kami tetap tidak ketinggalan menjelaskan bayaran yang dikenakan itu sejak tiga tahun lalu" katanya pada majlis pelancaran Program Khas Pasca Siswazah Untuk Ahli Parlimen di UUM oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini semalam. -kosmo



Gadis Turki Islam Pertama Berbogel Untuk Playboy

Posted: 19 Apr 2011 05:20 PM PDT

Berlin - Selama ini, seorang gadis berusia 25 tahun berketurunan Turki yang menetap di sini, Sila Sahin menjadi contoh teladan tentang kelakuan baik wanita Islam moden dalam masyarakat berbilang budaya di Jerman, lapor sebuah akhbar semalam.

KULIT depan majalah Palyboy yang menunjukkan Sila Sahin berbogel.

Dia yang merupakan seorang aktres yang membintangi drama telenovela Jerman, Bad Times disenangi ramai peminatnya dan membuatkan keluarganya berasa bangga.

Namun, langkah terbarunya mengejutkan para peminatnya dan turut menyebabkan mereka yang rapat dengannya naik berang.

Beraksi berahi untuk kulit majalah Playboy Jerman dengan satu payu daranya terdedah, Sila sengaja mahu menyampaikan mesej yang jelas kepada keluarganya yang mengamalkan cara hidup Islam.

"Saya berbogel untuk Playboy kerana saya mahu bebas," kata Sila.

"Gambar-gambar ini merupakan bukti kebebasan saya daripada semua halangan yang terpaksa diikuti semasa zaman kanak-kanak saya," tambahnya.

Keluarganya, bagaimanapun, tidak dapat menerima perbuatan Sila dengan ibunya bertindak memutuskan perhubungan dengan aktres berkenaan.

"Ibu saya masih marah. Ia lebih sukar dengan datuk dan nenek saya, serta ibu dan bapa saudara saya," kata wanita jelita itu di laman web siri televisyen berkenaan.

Dia bagaimanapun, berjaya bercakap dengan ayahnya yang juga seorang pelakon.

Ayah Sila bimbang anak gadisnya akan dibenci bukan sahaja oleh masyarakat Turki di Jerman, tetapi oleh seluruh umat Islam akibat tindakannya.

Sila berkata, dia berbogel untuk majalah Playboy bagi menyeru wanita-wanita Islam yang selama ini hidup terkongkong dan tidak dibenarkan membuat pilihan, termasuk dalam menentukan calon suami serta keperawanan mereka, supaya bangkit untuk bersuara dan bertindak.

Tindakan Sila menjadikannya sebagai wanita Turki pertama yang berbogel untuk Playboy. Dia bagaimanapun kesal dengan tindakan keluarganya yang menyisihkan dirinya kerana isu tersebut.

Dalam satu wawancara, Sila merayu keluarganya supaya memahami punca dia membuat keputusan untuk bergambar tanpa seurat benang itu.

Aktres berkenaan turut merayu keluarganya supaya memaafkan dirinya.

"Saya berharap mereka (keluarganya) dapat memaafkan saya," kata Sila.

"Tolonglah terima saya semula," tambahnya. - Agensi

Jenayah Rogol Menteri Akan Didedahkan Di Mahkamah, Blogger Ke Indonesia Kumpul Bukti

Posted: 19 Apr 2011 04:15 PM PDT

Buku Sakndal Seks Rais Yatim? Oleh: VIVIEN SAKUNTALA (Koresponden Sabahkini.net di Jakarta)

DIKHABARKAN bahawa penulis kontroversi, Mutalib M.D akan menerbitkan sebuah buku terbaru berhubung Skandal Seks seorang Menteri Kabinet Malaysia dan kini masih berada di luar negara mengumpul bukti dan alibi sensasi.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada buku tersebut mencerita Skandal Seks Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Mohd Rais Yatim yang melibatkan Pembantu Rumah Tangga (PRT), Robengah, atau tokoh lain. Kisah Rais disebarkan secara meluas di Sabahkini.net sehingga Rais bertindak memfailkan saman pada 10 Februari lalu.

Kelmarin, Peguam Rais, Norhani Nordin mewakili plaintif memberitahu pemberita, pengurusan kes itu akan didengar pada 6 Mei ini, namun ketika dihubungi melalui email, Mutalib menyatakan beliau tidak mempedulikan saman yang difailkan Rais kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis dan menyalahgunakan prosiding mahkamah.

"Beban bukti terletak pada Rais kerana beliau harus membuktikan kepada mahkamah bahawa beliau tidak merogol Robengah sebagaimana yang didakwa Robengah kepada Koresponden Jakarta Post, Migrant Care dan Tenaganita. Saya hanya melaporkan apa yang dinyatakan oleh mangsa dan keluarganya dan rakyat Malaysia yang mahukan kebenaran. Apakah Rais mahu menembak pembawa berita?," tanya Mutalib dalam emailnya.

Mutalib turut menolak dakwaan Rais sebelum ini bahawa pihak pembangkang sengaja mahu menjatuhkannya melalui artikel fitnah kerana beliau adalah Ahli UMNO di Parlimen Silam dan Rocky Bru adalah pemimpin akhbar Pro-Kerajaan.

Tambah Mutalib lagi, oleh kerana Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah membuat laporan polis pada 5 Januari 2011 di Balai Polis Seremban, melalui laporan bernombor 000357/11, namun sehingga kini polis masih belum menyelesaikan siasatan.

"Sehubungan itu, saya tidak mahu mengganggu atau mempengaruhi siasatan polis dengan melayan karenah 'menteri yang cacat akal' tersebut kerana telah menyalahguna kuasa dan kedudukannya untuk mengheret para blogger yang menjadi 'Whistleblower' ke mahkamah sebelum polis menyelesaikan siasatan," kata Mutalib yang menggesa Hakim Mahkamah Tinggi, Amelia Tee Hong Geok Abdullah tidak melayan saman Rais yang telah ditetapkan pada 6 Mei 2011 selagi siasatan polis belum diumumkan kepada umum.

Tambahan pula, kata Mutalib, sebagai pegawai awam iaitu menteri yang dibayar gaji menggunakan wang rakyat, Rais tidak boleh diwakili oleh peguam sendiri melainkan Peguam Negara Malaysia atau dengan izin Peguam Negara.

Mutalib menjelaskan beliau hanya akan melayan saman Rais sekiranya Polis Seremban telah melengkapkan siasatan dan menyerahkan hasil siasatan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut; sama ada untuk mendakwa Rais atau para blogger yang mendedahkan Skandal berkenaan.

"Yang boleh menentusahkan sama ada kes jenayah rogol berlaku ialah mahkamah. Jika kes ini dibawa ke mahkamah, maka amat baik untuk rakyat dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia; kerana saya berpeluang untuk mensapena Migrant Care, Tenaganita, SAMM, Robengah, Adik Robengah, Rakan Robengah, Kedutaan Indonesia, malah Rais dan isterinya sebagai saksi untuk berkata benar di mahkamah," ujar Mutalib yang tidak akan tunduk kepada desakan demi desakan Rais agar artikel mengenai beliau dikeluarkan daripada arkib Sabahkini.net yang boleh diakses pada bila-bila masa.

Mutalib menegaskan, 'CCTV' Tuhan tidak pernah padam, sekalipun Rais telah berusaha memadamkan semua bukti yang boleh mengaitkan beliau dengan Robengah dan menggunakan kedudukannya untuk mengheret para blogger ke mahkamah, kononnya untuk membersihkan nama beliau yang dikotorkan melalui skandal berkenaan.

"Jika Rais 'Anak Jantan', bukan 'belut yang licik' atau 'Menteri yang hilang akal', maka beliau sewajarnya mengheret punca pendedahan awal Skandal tersebut iaitu Migrant Care, Tenaganita, Rocky Bru dan sebagainya. Sabahkini.net hanya menyiarkan berita tersebut berdasarkan siasatan rapi dan tidak akan berganjak daripada fakta," ujar Mutalib M.D yang sedang menyiapkan sebuah Video Klip berhubung isu berkenaan sebagai persediaan untuk menghadapi Rais di Mahkamah kelak.

Ketika ditanya sama ada buku Skandal Seks yang disiapkannya mengenai Rais atau menteri lain, Mutalib mengatakan bahawa, "Tunggu siap percetakan dan pendedahan penuh eksklusif. Saya tidak mahu komen buku yang belum diterbitkan."

Sebelum ini Mutalib telah menerbitkan dua buah buku Skandal Seks Orang Ternama berjudul VIP dan YB serta 23 judul lagi yang belum diterbitkan. Mutalib juga adalah penulis buku IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Di Sewa; IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir; 007-Lelaki Malaysia Terakhir dan lebih 20 buku lain.

Kes Skandal Seks Orang Ternama: 'YB' kini sedang disiarkan secara bersiri di Sabahkini.net kerana buku yang dicetak telah habis dijual dan Sabahkini.net memperoleh hak untuk menerbit buku berkenaan dalam versi e-book dan ada pihak yang telah berjumpa Mutalib untuk mengadaptasi Skandal Seks berkenaan ke layar perak.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah menfailkan satu lagi saman fitnah terhadap penulis blogger Sabahkini.net, Abdul Mutalib Mohamed Daud untuk menuntut ganti rugi dan injunksi setelah mendakwa difitnah dalam beberapa siri artikel antara 1 dan 7 Januari lalu.

Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan Shahabudin dan Rozima di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu.

Dalam pernyataan tuntutan, Rais berkata, defendan pada 1 Januari lalu telah menerbitkan artikel berunsur fitnah bertajuk 'Pak Lah halalkan rogol, UMNO halalkan zina?' dan 'PKR cabar Rais sumpah laknat' dipaparkan pada 3 Januari lalu.

Sementara pada 5 dan 7 Januari berjudul 'Rais Yatim seperti belut' dan 'Video pengakuan rakan Robe Ngah' di http://sabahkini.net/v1 bersama gambar plaintif. Peguam Norhani Nordin mewakili plaintif memberitahu pemberita, pengurusan kes itu akan didengar pada 6 Mei ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) telah membuat laporan polis terhadap Rais dan ekoran daripada itu, Penyelaras SAMM, Norazizi A Aziz telah menulis surat kepada Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Seremban pada 7 Mac 2011 berhubung kedudukan laporan polis yang dibuat pada 5 Januari 2011. Berikut adalah sedutan surat beliau.


Tarikh : 7 Mac 2011

Kepada;

Insp. Zuraidah Bte Abd. Hamid
Ibu Pejabat Polis Daerah,
70300 Seremban,
Negeri Sembilan

Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman
50560 Kuala Lumpur

Saudara ;

MERUJUK KEPADA LAPORAN SAYA BERTARIKH ,
(NO REPORT: SEREMBAN/000357/11)


Pada tarikh 05 Januari 2011 yang lepas, saya telah membuat laporan bernombor Seremban/000357/11.

Laporan ini bagi tujuan mendesak satu siasatan kepada pendedahan dokumen-dokumen yang mengaitkan YB Dr. Rais Yatim, Menteri Kebudayaan & Kesenian dalam kejadian merogol pembantu rumah warga Indonesia. Dalam laporan tersebut kami sediakan dokumen lampiran dan saya sendiri telah memberikan kerjasama dalam memberikan rakaman percakapan selama sejam lebih (anggaran: dari jam 1130 pagi hingga 1245 tengahari). Seperti yang pihak tuan janjikan akan segera bertindak atas laporan ini dan akan memberikan maklum balas mengenainya namun sehingga kini tiada maklum balas.

Tuduhan ini merupakan tuduhan serius. Jika benar tindakan wajar yang serius harus diambil kerana nama yang dikaitkan bertaraf menteri iaitu kedudukan atau kedudukan yang strategik negara. Jika tidak benar polis juga harus tampil membersihkan nama yang dikaitkan dengan penjelasan yang munasabah dan mencari sumber dokumen 'palsu' tersebut.

Dengan polis mendiamkan perkara ini maka ia seolah sesuatu yang tidak kena. Imej negara dan institusi pelaksana hukum boleh tercalar dengan persepsi cuba melindungi tuan-tuan besar. Kes ini amat sensitif khasnya dalam keadaan hubungan negara yang sering tegang.

Kami tampil membuat laporan atas kesedaran anak muda yang ingin melihat keadilan tergegak. Kami tidak mahu kes ini hanya dijadikan modal politik sahaja tanpa tindakan konkrit ke arah melaksana keadilan. SAMM boleh sahaja menimbulkan kes ini dan laporan polis tersebut dalam siri pilihanraya kecil yang diadakan tetapi kami memilih untuk mensenyapkan kerana mahu kes ini dilihat bukan dari segi kepentingan politik semata - mata.

Saya mohon respon terbuka PDRM mengenai laporan kami.

Sekian dan terima kasih.

Norazizi A. Aziz
Penyelaras SAMM


-sabahkini.net

Menyelak Kejahilan & Kezaliman UMNO Selepas PRN Sarawak

Posted: 19 Apr 2011 07:50 AM PDT

Memahami kejahilan politik BN Oleh Hafiz Zainuddin

Kita tidak boleh menuduh rakyat Sarawak telah silap membuat pilihan. Atas kefahaman dan penilaian tertentu, mereka telahpun menggunakan ruang demokrasi yang disediakan sebaik mungkin. Yang pasti, Pakatan Rakyat nyata kecundang apabila gagal menggantikan BN malah menafikan majoriti 2/3 pun masih jauh.

Sama sekali PRN Sarawak kali ini sedikit sebanyak memberi tamparan kepada PR yang begitu yakin untuk menafikan majoriti 2/3 BN sekaligus membuktikan bahawa congakan awal oleh Zentrum meleset. Walau bagaimanapun, keputusan pilihanraya menunjukkan peningkatan undi kepada PR adapun BN masih selesa dengan kemenangan 55 kerusi dari 71 kerusi bertanding.

Secara umum, rakyat Sarawak masih selesa dengan BN dengan mandat baru yang telah diberikan.

Pada masa yang sama menjelaskan bahawa strategi kempen BN nampaknya gagal mempertahankan majoriti sedia ada walaupun jentera BN bertungkus lumus berkempen. Isu video seks nyata tidak memberi kesan kepada minda rakyat Sarawak malah populariti Najib dan Muhyiddin juga tidak mampu membendung kecenderungan pengundi untuk mengundi Pakatan Rakyat. Kemenangan beberapa kerusi tambahan untuk Pakatan Rakyat juga melucutkan gelaran Sarawak sebagai fix deposit buat BN.

Kemenangan DAP menggusarkan?

Hampir 80% dari 15 kerusi yang di menangi Pakatan Rakyat didominasi oleh DAP. Ternyata, DAP berjaya mengubah sentimen rakyat yang selama ini menyokong SUPP yang mewakili sebahagian besar masyarakat Cina Sarawak. Kesimpulan pertama yang boleh dibuat dari kemenangan besar DAP ini ialah, masyarakat Cina komited dalam meneruskan agenda perubahan dengan memberikan sokongan padu mereka kepada calon-calon Pakatan Rakyat manakala PAS dan PKR pula telah mula diterima di Sarawak dengan peningkatan undi di kawasan-kawasan tertentu. Atas kejayaan besar ini DAP telah dimangsakan oleh media.

Apa lagi yang oleh diperkatakan dengan kemenangan besar DAP ini baik di Semenanjung mahupun di Sarawak? Sudah tentu kemenangan DAP ini menimbulkan rasa kurang senang dari BN yang telah hilang sokongan dan kepercayaan dari masyarakat Cina seolah-olah masyarakat Cina memberi signal kepada kerajaan bahawa "kami tidak perlu lagi diwakili di peringkat federal", "kami boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa".

Perubahan berani yang dilakukan oleh masyarakat Cina Sarawak telah disalah erti sebagai sebuah "kebangkitan Cina". Malah kemenangan DAP ini digambarkan sebagai menularnya "politik perkauman". Persoalannya, apakah jika masyarakat Cina memberi kemenangan kepada SUPP dianggap kemenangan untuk Melayu? Walhal calon-calon yang bertanding mewakili SUPP juga di kalangan masyarakat Cina. Apakah yang sebenarnya cuba digarapkan oleh media perdana negara ini dengan dakwaan yang begitu dangkal dan menjatuhkan imej profesional mereka.
Sekiranya kita benarkan dakwaan ini, apa pula yang boleh dijelaskan dengan kemenangan PAS di Kedah dan bertahannya kerajaan PAS di kelantan selama lebih 20 tahun?

Kemenangan PAS dicemburui

Situasi politik dan budaya di Malaysia masih lagi berlegar disekitar faham perkauman sempit malah BN sangat selesa dengan "tradisi" ini. Isu kaum sering kedengaran di negara ini untuk mengalih perhatian rakyat kepada isu sebenar. Sepertimana yang telah diungkapkan oleh Syed Husin Ali dalam bukunya Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan menyatakan bahawa "persaingan kelompok atasan diberi wajah kaum".

Masyarakat Bumiputera dan Melayu harus disedarkan dari salah faham ini. Ayuh kita lihat sebagai contoh; Jika PAS yang memenangi sesebuah kawasan atau negeri, orang Melayu akan dituduh sebagai golongan yang tidak mahu bersyukur dengan jasa kerajaan, jika PKR yang menang, rakyat akan dituduh pula sebagai menyokong pengkhianat bangsa dan jika kemenangan itu di pihak DAP (sudah tentu kawasan Cina), kemenangan itu ditafsir sebagai "kebangkitan Cina" Dan menunjukkan seolah-olah masyarakat Cina tidak tahu berterima kasih kepada kerajaan atas dominasi ekonomi yang diperoleh. Apakah kita rakyat Malaysia juga perlu termakan dengan isu-isu sebegini?

Bukan kaum, tapi diskriminasi politik

Saya ingin bertanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi; apakah rakyat tidak punya hak untuk memilih sehingga jika ia tidak berpihak kepada pemerintah mereka akan dituduh sedemikian rupa? Haruskah rakyat di negara ini terus diperbodohkan dengan pandangan-pandangan berbaur perkauman yang tidak sihat dan ia dibiarkan berleluasa?

Kita masih lagi dalam bahang suasana PRN Sarawak. Kemenangan besar DAP sebenarnya menjelaskan bahawa masyarakat Cina mahu untuk berubah dan berani melakukan perubahan. Apa yang berlaku kepada masyarakat Bumiputera pula, mereka punya azam untuk berubah tetapi masih terperangkap dengan hegemoni Melayu-Melanau dan dibatasi dengan sikap sinikal dan takut apatah lagi masih dimainkan dengan politik projek "jalan raya" yang nampaknya masih belum selesai.

Soalnya sekarang bukanlah "kebangkitan Cina". Orang Cina telahpun bangkit dari kemiskinan mereka sejak selepas merdeka lagi. Keputusan PRN Sarawak sebenarnya menunjukkan bahawa masyarakat Cina cuba bersikap lebih realistik dan berani melakukan perubahan. Selain itu, ia juga membuktikan kepada kita bahawa masyarakat Cina lebih sensitif dan peka terhadap perkembangan politik tanah air. Saya bukanlah memuji tetapi inilah yang harus kita semua fikirkan bersama. Ya, agar kita seluruh rakyat Malaysia lebih realistik dan berani menyatakan pendirian terhadap isu-isu penyelewengan dan salah urus tadbir pemimpin-pemimpin negara.

Memang, Bumiputera-apalagi orang Melayu diutamakan dalam arus pembangunan nasional agar dapat bersaing dengan masyarakat yang lain. Akan tetapi, dilema yang dihadapi bukan diskriminasi dari sisi kaum tetapi apa yang berlaku adalah diskriminasi politik. Lihat sahaja apa yang pernah berlaku di Terengganu berkaitan royalti minyak yang ditukar kepada Wang Ihsan apabila PAS berjaya membentuk kerajaan di sana. Begitu juga diskriminasi berbelas-belas tahun kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri Kelantan dalam hal peruntukan kewangan dalam projek bekalan air bersih yang sehingga kini menjadi tanda soal.

Nampaknya isu perkauman ini sengaja terus dibangkit dalam mempertahan monopoli politik BN agar dilihat perjuangan mereka relevan sehingga sekarang. Apakah kemiskinan sebahagian masyarakat bumiputera di bandar dan di kawasan pedalaman di hadapan mata kita membuktikan BN benar-benar memperjuangkan nasib golongan ini? Dan apakah kita masih tidak malu kerana masih dicengkam dengan hegemoni kaum ini? Sejarah telahpun membuktikan kebenaran dan telah sampai masanya untuk kita merevolusikan minda! -MR

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

Banyak Yang Palsu Sekarang Ini

Posted: 19 Apr 2011 06:17 AM PDT

Untuk sesiapa yang ada telur oleh ABDUL JALIL ALI

Sengaja atau tidak, hidup kita memang penuh dengan seribu kepalsuan. Ada duit palsu, ada kad pengenalan palsu. Ada cinta palsu, ada janji palsu. Ada ijazah palsu, cukai jalan palsu, sijil nikah palsu.

Ada bomoh palsu, Ph.D palsu. Selalu juga kita dengar pengakuan palsu. Malah, video seks sepanjang 21 minit itu pun setakat ini masih belum disahkan ketulenannya, mungkin juga palsu
.

Di tubuh kita sendiri banyak yang palsu. Ada gigi palsu bagi mereka yang rongak. Sekiranya malu sebab kepala botak berkilat atau penuh uban, ada rambut palsu. Kalau hendak bergaya tetapi tidak ada duit, boleh pakai jam tangan berjenama palsu.

Bagi wanita, jika tidak yakin dengan wajah asal, boleh sahaja palsukan wajah anda dengan suntikan botox.
Ada orang tidak mengaku telah dibotoxkan, tetapi yang melihat boleh cam, sebab wajah botox seakan-akan sama.

Hairan juga, wajah sudah cantik apa perlunya suntikan botox? Tetapi bagi orang berduit mereka tidak rasa membazir berbelanja RM ribu-ribu untuk menukar rupa yang tulen menjadi kecantikan palsu.

Apakah benar suntikan tersebut menjadikan wajah bertambah cantik? Tidak semestinya begitu. Sesetengah wanita yang sudah memang asal cantik, menjadi tidak cantik setelah menjalani suntikan. Tetapi mereka tidak yakin yang asli, sebaliknya lebih bangga kepada yang palsu.

Tidak sahaja pada wajah, sudut-sudut lain tubuh juga boleh dipalsukan. Kalau bahagian dada kurang berisi, boleh dipalsukan dengan pembedahan plastik. Ada duit semua boleh jadi. Tetapi bukan semua berjaya.

Masih ingat kes seorang wanita yang tidak puas hati sebab payudaranya kecil? Dia ke 'klinik pakar' untuk mendapat rawatan, belanja berpuluh ribu RM. Benar setelah menjalani pembedahan, dia mendapat sepasang payu yang segar.

Tetapi, tidak sampai sebulan dia mengalami kesakitan dan terpaksa dibedah semula. Salah satu dari payunya makin mengecil setiap hari, akhirnya hilang. Dia berbelanja besar untuk memalsukan payunya, akhirnya payu yang dua tinggal satu; yang satu lagi kesep dan rata.

Pinggang yang bentuknya menyakitkan mata dan hati, boleh dipalsukan supaya ramping seperti biola, menerusi pembedahan. Punggung, paha, betis, kaki, lengan, semua boleh diubah dari bentuk asal kepada bentuk palsu yang lebih cantik.

Pendek kata mana-mana sahaja bahagian tubuh kita yang tidak sesuai – dari hujung rambut hingga hujung kaki – boleh diubah kepada bentuk palsu menggunakan pembedahan dan lain-lain kaedah saintifik.

Tidak kira lelaki atau wanita, muda atau tua, tubuh kita boleh dibonzaikan mengikut bentuk yang kita mahu. Bagi mereka yang berduit semua boleh dipalsukan untuk mengabui mata setiap orang.

Kemudian ada Datuk palsu. Apabila Datuk palsu dengan sendirinya Datin pun palsu. Ada orang mencari duit secara mudah dengan memalsukan Datuk. Contohnya seperti yang telah dilaporkan media beberapa hari lalu.

Seorang wanita, 31, dan lelaki, 51, telah menerima bayaran RM50,000 dan RM75,000 daripada beberapa individu sebagai dorongan untuk mendapat anugerah kebesaran bergelar Datuk dari istana.


Pembayaran yang diterima pada 8 Disember 2010 itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Perkara ini telah dibawa ke mahkamah. Bayangkan bagi orang berduit, mereka sanggup membayar harga yang tinggi untuk mendapat gelaran tersebut, tidak kiralah sama ada gelaran yang diterima itu tulen atau palsu. Siapa tahu mungkin sudah ramai Datuk palsu dalam negara kita!

Sekiranya orang sanggup membayar beribu-ribu RM untuk Datuk palsu, Ph.D palsu, kad kredit palsu, pasport palsu, wajah palsu, payudara palsu, jadi apa luar biasanya kita ada telur palsu?

Sekiranya gigi, rambut, bulu mata, paha boleh dipalsukan, tentu sekali telur yang besar sedikit dari bola pingpong itu boleh dipalsukan. Jadi, mereka yang mempunyai telur janganlah gundah gulana atau marah-marah jika mendapati telur mereka adalah palsu.

Jangan fikir yang bukan-bukan, saya bercakap mengenai telur betul, telur ayam. Ada dakwaan bahawa telur tiruan @ palsu berada di pasaran tempatan dan ditemui di beberapa kedai di Pulau Pinang.

S M Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menjalankan kajian mendapati telur palsu mengandungi bahan-bahan yang membahayakan kesihatan. Tetapi Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kajian awal yang dilakukan mendapati hampir 400 butir telur yang dirampas dari kedai-kedai berkenaan adalah telur tulen, bukan palsu.

Oleh sebab isu telur palsu dihebohkan dalam media dan internet sehari dua ini, makin ramai orang ragu-ragu setiap kali melihat telur.

Jangan terkejut sekiranya sehari dua ini ada pihak tertentu mendesak ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat telur kita!

Tumpahan Minyak Di Pantai Pulau Tenggol, Dungun

Posted: 19 Apr 2011 04:57 AM PDT

Dungun: Kesan tompokan dan bebola minyak yang ditemui sepanjang pantai Pulau Tenggol di sini, dipercayai berpunca daripada tumpahan minyak daripada kapal yang melalui perairan pulau berkenaan.

Gambar: Kakitangan Jabatan Taman Laut mengambil contoh tumpahan minyak di Pulau Tenggol.

Tompokan minyak itu ditemui Penolong Pengurus Tenggol Resort, Mohd Razif Abd Aziz, 28, sepanjang pantai di depan resortnya, kira-kira jam 6 pagi kelmarin.

"Saya sungguh terkejut melihat kesan ketulan minyak sepanjang 200 meter di depan resort dan Jumaat lalu saya mendapat tahu kejadian tumpahan minyak turut berlaku di Pulau Redang. Selain di darat, kesan bebola minyak juga jelas boleh dilihat di permukaan air ketika menaiki bot pelancong dan ia mengeluarkan bau yang kuat.

"Keadaan ini mendatangkan masalah kepada pengunjung dan pengusaha pulau peranginan itu kerana kira-kira 30 pelancong yang menginap di sini melahirkan rasa tidak senang dengan bau yang menusuk hidung," katanya.

Mohd Razif berkata, dia percaya minyak itu adalah jenis minyak diesel yang dipercayai dibuang oleh kapal dagang yang melalui perairan pulau berkenaan, sehingga minyak terbabit memenuhi gigi air di depan resortnya.

"Saya percaya, minyak terbabit dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum dicampakkan ke laut dan ketulan minyaknya melimpah ke darat apabila beg plastik terbabit pecah dipukul ombak.
"Ini jelas terbukti apabila kira-kira 20 beg plastik besar di temui terapung di permukaan laut termasuk yang terdampar di sepanjang pantai.

"Tompokan minyak ini menyebabkan persekitaran resort berbau busuk dan mendatangkan rungutan pelancong dalam dan luar negara yang menginap di sini," katanya.

Seorang pengunjung, Syazwani Hamzah, 21, berkata dia amat kesal melihat tompokan minyak memenuhi pesisir pantai di pulau terbabit dan boleh menyebabkan kemusnahan hidupan laut.

"Saya terkejut melihat tompokan minyak sebaik menjejak kaki di pulau peranginan ini dan ia mendatangkan masalah kerana kami terpaksa memijaknya sehingga selipar dan tapak kaki kami dipenuhi minyak.

"Kesan tumpahan minyak ini boleh memberi impak kepada pelancong terutamanya yang datang dari negara luar. Sebagai pengunjung, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Tenggol Resort, Abd Aziz Mohamad, berkata beberapa kakitangan Jabatan Taman Laut mengambil contoh tumpahan minyak berkenaan untuk dihantar ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu.

"Saya mengarahkan kakitangan resort melakukan kerja menggali dan menanam tumpahan minyak terbabit bagi mengelak rungutan pelancong yang menginap di sini," katanya.

10 Kereta Pancit

Posted: 19 Apr 2011 03:20 AM PDT

Aarau – Lebih 10 kereta pancit dalam perjalanan pulang dari Padang Besar, kelmarin.

Kejadian berlaku gara-gara struktur jalan yang teruk dan kewujudan lubang besar di susur keluar menghala ke Changloon, berhadapan pintu masuk utama kampus tetap Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Tambah menyedihkan apabila tiga kenderaan termasuk Proton Wira dan Gen 2 bengkok besi rim dan bumper depan.

Mangsa, Hasrul Adha Hussain, 31, berkata, dia bersama tiga rakan yang dalam perjalanan pulang ke Jitra dari Padang Besar cuba mengelak lubang berkenaan, namun tidak berjaya kerana jalan sempit.

Menurutnya, disebabkan itukereta yang dipandunya mengalami kerosakan pada tayar depan dan belakang termasuk dua rim bengkok.

"Laluan sempit kerana ia jalan sehala khusus untuk pengguna yang ingin membuat lencongan keluar menghala ke Changloon sahaja," katanya ketika ditemui petang semalam.

Hasrul berkata, dia terpaksa menghubungi rakan di Napoh untuk datang menghantar tayar baru dan peralatan untuk menukar.

"Kami juga menanggung kerugian besar lebih RM3,000 bagi nilai tayar dan dua rim," katanya.

Sementara itu, pelajar, Mohammad Ummar Yakob, 18, berkata, dia bersama rakan terpaksa mengeluarkan duit membeli tayar baru dengan harga RM185 disebabkan kejadian itu.

"Pihak berkenaan sepatutnya lebih peka dan perlu mengambil serius perkara ini, kerana ia membabitkan imej negeri dan Padang Besar sebagai lokasi utama pelancongan Perlis," katanya kesal dan berharap pihak berkenaan mengambil tindakan penyelesaian segera.

Tinjauan Sinar Harian selepas menerima aduan bergegas ke tempat kejadian dan mendapati, beberapa kenderaan dilihat terpaksa berhenti di bahu jalan bagi tujuan menukar tayar.

Lubang di lorong sempit yang menjadi punca kerosakan berkenaan juga amat besar dan merbahaya terutama kepada pengguna motosikal.

Usaha menghubungi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) gagal kerana pegawai berkenaan bercuti bagaimanapun, Sinar Harian akan terus menghubungi untuk mendapatkan maklum balas. -SH

Tiada ulasan: