Selasa, 12 April 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Ingat: Sarawak Itu Rakyat Sarawak Yang Punya, Bukan Najib Atau Taib

Posted: 12 Apr 2011 12:55 AM PDT

Isu Taib - Tiada beban batu digalas - Aspan Alias

Seperti apa yang telah dikatakan oleh blog ini dan banyak blog yang lain serta pandangan dari banyak pihak, Taib Mahmud ini lebih banyak membawa masalah kepada BN dari membawa kebaikan dalam pilihanraya di bumi kenyalang ini.

PM Najib terpaksa berkerja keras untuk meyakinkan rakyat Sarawak yang Taib akan bersara tetapi sampai kehari dan saat ini Najib selaku Pengerusi BN kebangsaan tidak dapat memberikan tarikh yang muktamad bila Taib akan bersara dan meninggalkan politik Sarawak.

Lebih malang lagi Najib tidak lagi memberi tahu rakyat siapa yang akan menggantikan Taib. PR telah siang-siang lagi memberi tahu siapa yang akan menjadi Ketua Menteri jika PR memenangi hati rakyat dan mendapat mandat dari mereka. Setidak tidaknya rakyat sudah tahu siapa yang akan menjadi KM jika barisan pembangkang memenangi pilihanraya ini.

Situasi yang tersepit seperti ini tidak sepatutnya berlaku jika kepimpinan BN dapat merasakan apa yang berdenyut di dalam nadi rakyat kerana terlalu lemah untuk membuat keputusan yang drastik untuk meredakan perasaan marah rakyat terhadap Taib.

Kelalaian pimpinan BN menyelesaikan isu ini menyebabkan keadaan begitu genting bagi BN dan jika berlaku penolakan rakyat jangan dipersalahkan rakyat.

Sentimen yang kuat dengan BN memang nyata, tetapi oleh kerana Taib masih berkeliaran dalam BN maka rakyat sudah hilang sabar kerana rakyat telah memberikan signal sebegitu lama kepada BN supaya Taib mesti bersara. Tetapi malangnya BN masih lagi meletakkan Taib sebagai calun dan ini merupakan 'spoiler' yang amat ketara kepada BN yang pada pandangan setengah pihak sedang berada seperti telor di hujung tanduk.

Kalau benar seperti yang dikatakan oleh PM Najib yang BN ada pelan peralihan kuasa beliau mesti menghebahkan kepada rakyat siapa yang akan menggantikan Taib dan bila peralihan itu akan berlaku. Kedua-dua isu ini adalah isu yang sangat penting kerana jika rakyat percaya dengan janji Najib itu, tetapi apabila sampai masanya orang yang akan menggantikan Taib itu serupa dengan sikap dan perangai Taib maka rakyat akan mengalami kekecewaan lagi.

Rakyat Sarawak ingin tahu siapa dia yang akan menggantikan Taib kerana ini isu penting. Jika beliau digantikan dengan orang yang tidak diyakini oleh rakyat maka rakyat akan terpaksa menunggu lima tahun lagi untuk menggantikannya. Sampai bila rakyat hendak diperdaya dengan janji yang tidak jelas ini.

Isu masa pun penting. Rakyat nak tahu bila kerana ini adalah isu penting. Rakyat tidak mahu pemimpin berjanji seperti menanti hari kiamat. Kita tidak tahu bila hari kiamat. Tiada siapa yang boleh memberi tahu sesiapa bila hari akan kiamat. Jelas kedua-dua isu ini merupakan isu yang di sebut-sebut oleh mereka dari Sarawak yang saya kenali.

Kalau Najib benar-benar telah ada calun penggantinya, nama pemimpin itu mesti diumumkan sekarang (sebelum hari mengundi) bagi rakyat membuat penilaian.

Jika kita serius untuk memanangi pilihanraya ini dengan senang kedua-dua isu ini wajar diselesaikan sekarang. Sepatutnya Taib tidak di turunkan lagi sebagai calun. Jika Taib tidak diturunkan sebagai calun keadaan yang kita hadapi ini tidak akan seberat sekarang.

Seperti juga rakyat di mana-mana negara, kesabaran mereka ada hadnya. Jika sudah melampaui batas sempadan kesabaran itu maka kita tidak boleh menyalahkan sesiapa lagi terutamanya pihak parti pembangkang. Kita selalu menyalahkan parti pembangkang kerana kesalahan kita sendiri. Kita tidak pernah bersalah tetapi rakyat membenci kita.

Sambutan yang diberikan terhadap perjumpaan dan rally politik di antara BN dan PR malam tadi di Bandaraya Kuching menampakkan dengan jelas betapa jauhnya perbezaan di antara sambutan kedua-dua belah pihak. Rakyat berduyun-duyun memenuhi ceramah besar-besaran PR sedangkan ceramah umum yang dihadziri oleh PM Najib tidak mendapat sambutan. Semuanya adalah kerana penolakkan rakyat terhadap Taib.

Rakyat tidak mahu lagi mereka di jadikan seperti dahan bengkok, untuk kera-kera meniti membaham buah-buah yang lebat itu. Rakyat tidak mahu lagi di perlakukan seperti kerbau di sawah; di paksa membajak tetapi hasil padinya di makan oleh tikus-tikus gemuk yang lapar di kepuk padi. Secara beransur-ansur rakyat sudah tahu yang negara ini mereka yang punya, bukan kepunyaan pemimpin-pemimpin.

Rakyat sudah mual dengan sikap kepimpinan yang menggunakan media untuk memperkecilkan pihak lain sedangkan isu yang besar tentang mereka begitu jelas dilihat oleh rakyat segenap lapisan.

PM Najib nampaknya tidak ada masa yang mencukupi untuk memberitahu rakyat perancangan beliau untuk Sarawak kerana masa beliau ditumpukan untuk mempertahankan Taib yang sudah tidak lagi disukai oleh rakyat negeri itu.Itulah sebabnya banyak negara menjadi kacau bilau kerana pimpinan yang sudah tidak diterima masih lagi bergayut kepada kuasa.

Pengakhir kata, Najib hanya mempunyai beberapa hari sahaja lagi untuk menyelesaikan masalah ini. Najib perlu melakukan tidakkan yang berkesan. Kita berharap Najib akan mengambil keputusan muktamad kerana selalunya Najib amat popular dengan sikapnya yang selalu berubah-ubah dan tidak muktamad.

Keadaan BN begitu kritikal, kalau tidak masakan PM berkubang selama enam hari untuk mendekati terus rakyat yang sudah hilang keyakinan terhadap Taib.

Memanglah, betapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, berat lagi bahu yang memikul. Dalam hal Sarawak ini kesalahan datang dari kita sendiri. Jangan sekali-kali menyalahkan orang lain. Ingat, negeri Sarawak itu rakyat Sarawak yang punya, bukannya Najib atau Taib Mahmud.

Jangan di nafikan hak rakyat Sarawak untuk memilih siapa yang mereka mahu. Kita tidak boleh terus-terusan memenangi pilihanraya kerana 'intrigue' politik, tetapi mesti memenangi jiwa rakyat dengan 'merit' yang ada kepada pemimpin-pemimpin kita.

Kita perlu akui Taib tidak lulus dalam ujian NKRA politik yang dilaungkan oleh Najib. Kalau Najib luluskan juga Taib dalam NKRA itu maka elok diketepikan sahaja 'acronym-acronym' yang begitu banyak yang dianjurkan oleh PM Najib kita.

Seperkara yang wajar diakui; BN Sarawak sudah hilang hidayahnya. Jika hidayahnya masih ada masakan Taib masih lagi mengetuai BN negeri itu?

Tsunami Kecil Di Sungai Dungun

Posted: 12 Apr 2011 12:00 AM PDT

Dungun – Dua bot nelayan tenggelam manakala sebuah pelantar bagi mengorek pasir sungai tersangkut di sebuah jambatan akibat dihanyut oleh arus deras luar biasa yang melanda Kuala Sungai Dungun di sini awal pagi semalam.

SEBUAH pelantar bagi mengorek pasir tersangkut di jambatan Kampung Nibong Stesen dekat Kuala Sungai Dungun, Terengganu semalam akibat dilanda arus deras sungai tersebut.

Insiden tersebut mengejutkan semua mangsa memandangkan kesemua bot tersebut sudah pun ditambat tali dengan guni berisi pasir seberat kira-kira 1,500 kilogram.

Selain itu, pelantar mengorek pasir yang hanyut dan tersangkut di jambatan di Kampung Nibong Stesen, kira-kira dua kilometer dari Kuala Sungai Dungun juga sudah dilabuhkan dengan lima sauh.

Turut hanyut ialah tiga bot nelayan lain dan dua bot fiber namun kesemuanya berjaya diselamatkan.

Jumlah kerugian dianggarkan RM100,000.

Salah seorang pemilik bot, Yusuf Saleh, 67, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan seorang rakan bahawa bot miliknya hanyut sejauh kira-kira 100 meter dari tempat ia berlabuh kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.

"Pada mulanya saya tidak percaya dan terus datang untuk melihat sendiri apa yang terjadi itu.

"Saya benar-benar terkejut apabila mendapati bot saya dan bot seorang rakan, Muhamad Jaafar, sudah hampir tenggelam," katanya ketika ditemui di Kuala Sungai Dungun semalam.

Jelasnya, sudah berpuluh tahun dia menjadi nelayan namun kejadian itu adalah kali pertama berlaku.

Rakyat Sarawak Perlu Disedarkan: Undi BN Bererti Undi Taib

Posted: 11 Apr 2011 10:27 PM PDT

Pergilah ke mana - mana di bumi Sarawak ini pasti anda akan terjumpa harta, tanah milik Taib atau keluarga terdekatanya. Sarawak bumi kaya tetapi rakyat terus miskin derita. Kekayaan Taib dan keluarganya boleh diterjemah dengan jumlah hartanah dan harta milikan dia dan keluarganya bukan sahaja di dalam negara tetapi di luar negara juga.

Setelah sekian lama, di bawah Taib yang begitu rakus merompak dan memperbodohkan rakyat maka kali ini nampaknya rakyat sarawak sudah mula bangkit menyatakan ketidak puasan hati secara terbuka. Pilihanraya negeri Sarawak juga dilihat satu medan yang penting untuk menterjemah 'mood nyah Taib dan selamatkan Sarawak'

Menyedari hakikat tersebut, Datuk Seri Najib selaku Presiden BN sebelum pilihanraya sudah memulakan rundingan untuk proses pengunduran Taib, namun oleh kerana takut dengan ugutan Taib, jentera BN akan berada di luar kawalan jika Taib tidak menerajui BN dalam pilihanraya negeri kali ini, maka Najib bersetuju Taib terajui jentera pilihanraya negeri tetapi akan berundur sebaik sahaja selepas itu.

Namun setelah memulakan mood kempen disedari sememangnya rakyat menolak Taib sepenuhnya dan tanpa selindung Najib mengumumkan Taib akan berundur dalam masa terdekat. Najib sendiri panik akan kehilangan banyak kerusi di Sarawak maka dia sendiri terpaksa berkampung di Sarawak.

Najib panik jumlah kehadiran dalam kempen BN jauh sedikit jika dibanding dengan jumlah kehadiran dalam program - program kempen Pakatan Rakyat. BN terpaksa menggunakan seribu satu macam teknik menarik orang ramai datang dari terpaksa menyeret artis menyanyi selepas ucapan pemimpin BN hinggalah mengagihkan 'tupperware' percuma selepas ucapan Najib.

Memang ramai orang datang selepas itu namun adakah mereka datang untuk menyokong atau sekadar berhibur sambil menanti hadiah selepas program.

(Gambar: Laporan yang menunjukkan Najib panik di Sarawak ekoran sambutan hambar terhadap kempen BN)

Khayal dengan kehadiran sedikit ramai semalam di Padang Merdeka Kuching, Taib di hadapan Najib telah mengumumkan hanya akan berundur selepas beberapa tahun lagi.

Ini digambarkan dalam ucapanya dengan kelompok muda yang menanti kemunculan Dayang Nur Faizah dan Anuar Zain di samping artis - artis porpular berbangsa Cina. Ingat jangan tertipu Taib pernah umum akan berhenti sejak tahun 1995 lagi, tetapi dia masih di situ.

Ternyata Najib sendiri gagal mengundurkan Taib, dia sudah terlalu berkuasa.

Rakyat perlu disedarkan

* mengundi PBB beerti mengundi Taib
* mengundi SUPP beerti mengundi Taib
* mengundi SPDP beerti mengundi Taib
* mengundi SNAP beerti memecahkan kekuatan melawan Taib

Kepada seluruh rakyat Sarawak termasuk orang BN.... Najib juga gagal undurkan Taib... hanya satu cara undurkan Taib dari takhtanya iaitu JANGAN UNDI BN -chegubard

Tandatangan Teoh Di Atas Nota "Selamat Tinggal" Berbeza

Posted: 11 Apr 2011 08:41 PM PDT

Nota 'selamat tinggal' Teoh mungkin tulen

Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock diberitahu bahawa nota 'selamat tinggal' yang dijumpai dalam beg sandang Teoh berkemungkinan merupakan hasil tulisan tangan setiausaha politik exco Selangor itu.

Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia, Wong Kong Yong berkata pengesahan itu dibuat dengan membandingkan nota itu dengan tulisan tangan dan tandatangan Teoh yang diambil oleh penyiasat bebas Michael Leslie Squires dari pejabat Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah

Wong berkata, dokumen itu kemudian diserahkan oleh Leslie kepada Wong pada Mac lalu di Jabatan Kimia Petaling Jaya dan mendapati tulisan tangan Teoh adalah sama dengan nota itu.

Teoh, 30, setiausaha politik Ean, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Wong yang sebelum ini pernah memberi keterangan dalam inkues Teoh di Mahkamah Shah Alam, mengesahkan sebahagian tulisan bahasa Malaysia pada nota yang ditemui dalam beg sandang Teoh dan tulisan di buku notanya dimiliki orang yang sama.

Pada 20 Sept 2010 pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal telah mengemukakan nota yang telah diterjemahkan oleh jurubahasa Mandarin dalam prosiding inkues.

Dalam prosiding hari ini, beliau menjelaskan sesuatu keadaan akan menjadi sukar sekiranya tulisan tangan seseorang terdapat pada sesuatu dokumen yang mana dibuat salinan lain.

"Kesukaran itu berlaku terutamanya dari segi garisan, tekanan dan dakwat yang digunakan pada sesuatu dokumen," katanya ketika disoal peguam Christoper Leong dari Majlis Peguam.

Ketika ditanya Leong berapakah karakter tulisan Cina yang dijumpai oleh Wong ketika pemeriksaan dibuat ke atas dokumen yang bertulisan Cina, Wong berkata: "Saya hanya menjumpai lima sampel karakter tulisan Cina yang sama dengan tulisan pada buku nota Teoh yang ditemui, iaitu 'yang','de','you','au' dan 'zi'."

Wong yang merupakan saksi ke-32 itu memberitahu pada kebiasaannya memerlukan sekurang-kurangnya lima huruf dalam bahasa Cina untuk dijadikan contoh, tetapi ia juga bergantung kepada situasi dalam kes-kes lain.

Wong turut memaklumkan kesemua buku nota dan nota tulisan tangan Teoh yang telah diterjemahkan itu ke bahasa Melayu adalah tulen.

Bagaimanapun, kenyataan Teoh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diterima dalam bentuk salinan kecuali buku nota, nota tulisan tangan dan kad kredit Teoh adalah tulen.

Sementara itu, ketika disoal Leong kenapa terdapat perbezaan tanda tangan pada kenyataan SPRM yang ditanda tangani oleh Teoh, Wong berkata: "Tidak semua individu dapat menghasilkan tanda tangan yang sama setiap masa kerana dipengaruhi dan bergantung kepada situasi seperti tekanan, getaran tulisan dan sebagainya."

Suruhanjaya itu dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.

Prosiding bersambung hari ini. - Bernama

Ulasan GB

Tandatangan berbeza. Sekalipun dikatakan ia mungkin disebabkan oleh tekanan dan sebagainya, apabila terdapat perbezaan di dalam tandatangan, sama seperti akaun dibank atau dimana-mana yang menggunakan penegnalan melalui tandatangan, JELAS ia perlu ditolak.

Telur Itu Tulen Tetapi Rosak Dan Bergred Rendah

Posted: 11 Apr 2011 07:19 PM PDT

Tiada telur tiruan, jamin Jabatan Veterinar

Jabatan Veterinar menafikan adanya telur tiruan dijual di pasaran negara berdasarkan ujian dijalankan dari sampel telur yang diambil dari pasar seluruh negara termasuk di Pulau Tikus, Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin berkata, ujian itu dilakukan ekoran dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menyatakan terdapat telur tiruan di pasaran.

Menurutnya, hasil kajian dan pemeriksaan mendapati ia adalah telur yang rosak atau bergred rendah dan tidak sepatutnya dijual kepada orang ramai.

Kata beliau, bentuk yang berlainan tidak bermakna ia telur tiruan kerana ia berpunca daripada makanan dan antibiotik yang digunakan oleh penternak.

"Makmal Kesihatan Awam di Salak Tinggi, sedang menjalankan kajian terhadap telur tersebut bagi memastikan ia selamat digunakan oleh pengguna," kata beliau di Putrajaya hari ini.

Rabu lalu, CAP mendedahkan pihaknya telah menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur tiruan pada harga RM11 di pasar Pulau Tikus.

Abdul Aziz berkata, bagi menghasilkan telur tiruan memerlukan kos yang tinggi ini termasuk penyelidikan, malah telur tulen di negara ini dijual begitu rendah dengan hanya 32 sen sebiji bagi gred terbaik (AA).

Beliau berkata, Malaysia tidak membenarkan pengimportan telur kecuali bagi tujuan pembiakan dan berkemungkinan telur tiruan dihasilkan di negara lain dan diimport ke negara ini.

Di negara ini terdapat 390 ladang ayam telur dengan 37.82 juta ekor ayam dan pengeluaran telur sebanyak 23.46 juta biji sehari. Sementara itu Dr Abdul Aziz berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk mewajibkan semua pengeluar telur berdaftar dengan Jabatan Veterinar dan diberikan pensijilan untuk memastikan telur yang dihasilkan memenuhi piawaian yang ditetapkan. -TMI


Dakwaan telur tiruan tidak benar

PERBEZAAN dua jenis kuning telur dari telur ayam yang berlainan gred.


PUTRAJAYA – Kebimbangan orang ramai terhadap kewujudan telur ayam tiruan sejak seminggu lalu berakhir apabila ujian terhadap sampel telur ayam didakwa tiruan yang dirampas di sebuah pasar di Pulau Tikus, Pulau Pinang mendapati ia adalah telur tulen.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, ujian itu dilakukan melibatkan kandungan telur berkenaan serta kulitnya.

Beliau bagaimanapun berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati terdapat keganjilan pada telur-telur terbabit termasuk aspek fizikalnya yang bersaiz besar dan ia tidak sesuai dijual kepada pengguna.

"Mengikut kajian, apa yang ditakrifkan sebagai telur tiruan seperti yang didakwa oleh CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang) ialah telur itu luar biasa dari segi saiz sama ada besar dan tidak mempunyai bentuk bulat telur.

"Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang terhadap ketulenan telur di pasaran dan ia di dalam pengawasan serta tindakan pihak kerajaan," katanya pada sidang akhbar mengenai isu telur tiruan di ibu pejabat jabatan itu di sini semalam. -kosmo


Ulasan GB

Ada asas dan hikmahnya juga keresahan dan pendedahan yang dilakukan oleh CAP. Sekurang-kurangnya setelah diperiksa telur itu sekalipun tulen tetapi rosak atau bergred rendah dan tidak sepatutnya dijual kepada orang ramai.


Rakyat Sarawak Bersemangat Undurkan Taib Sabtu Ini

Posted: 11 Apr 2011 05:32 PM PDT

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud membayangkan beliau hanya akan bersara dalam "beberapa tahun lagi" - pendirian yang ditegaskan selepas 24 jam Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peralihan kepimpinan di Sarawak boleh disaksikan dalam waktu terdekat selepas pilihan raya negeri.

Pengundian pilihan raya negeri akan diadakan Sabtu ini.

Apabila masa itu tiba nanti, kata Taib (gambar), beliau mahu generasi muda Sarawak meneruskan sokongan kepada pemimpin yang akan mengambil alih kepimpinan negeri daripadanya.

Taib yang menerajui kerajaan negeri sejak 30 tahun lalu merupakan Ketua Menteri paling lama memegang tampuk kepimpinan Sarawak.

Kata Taib, sokongan mereka penting bagi memastikan segala usaha pembangunan dan kemakmuran yang ditempa untuk Sarawak dapat dilaksanakan.

"Apabila saya berhenti nanti dalam beberapa tahun (lagi), saya ingin hendak melihat generasi awaklah yang akan menyokong orang yang akan menyambut kuasa daripada saya memelihara Sarawak terus benar-benar maju dan benar-benar mewah sekali," kata beliau ketika berucap pada konsert 1 Malaysia yang diadakan di Padang Merdeka di sini malam ini.

Najib juga hadir sama pada majlis malam ini.

Kenyataan Taib itu adalah bayangan pertama peralihan kuasa sejak isu itu timbul dalam pilihan raya negeri 2011.

Selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 21 Mac lalu, Taib berkata, beliau akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya negeri ke-10 ini.

Malam tadi, dilihat seolah-olah sudah merasai rasa tidak puas hati di kalangan penduduk Sarawak terhadap Taib, Najib dalam mesej pertama sempena kempen enam hari menjelang hari penentuan Sabtu ini menegaskan perubahan kepimpinan akan dilaksanakan secepat mungkin selepas pilihan raya.

Bagaimanapun kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak percaya jaminan Najib itu akan menjadi kenyataan memandangkan Taib pernah membuat janji untuk berundur tetapi tidak ditunaikan.

Berucap pada perhimpunan 1 Malaysia di stadium tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan di sini semalam, Najib yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi BN menggesa orang ramai tidak risau mengenai kedudukan Taib yang telah pun bersetuju untuk meletakkan jawatan apabila tiba masa yang sesuai.

"Percayalah saya, percayalah saya, apabila tiba masa yang sesuai, kami akan laksanakan yang ini (peralihan kepimpinan). Jangan cepat dan percaya dengan pembohongan pembangkang," kata Najib.

Najib berjanji bahawa perubahan dalam kepimpinan tertinggi sudah pun disusun dan "perubahan secara tiba-tiba" akan menyebabkan ketidaktentuan di negeri bumi Kenyalang itu.

"Tuan-tuan dan puan-puan, jangan risau. Kami telah mengadakan perancangan agar perubahan akan berlaku dalam kepimpinan tinggi Sarawak, sebagaimana telah dirancang dan perubahan yang telah disusun," katanya lagi.

Najib memberi jaminan itu ketika kempen pilihan raya terus dibayangi dakwaan mengenai rasuah dan salah guna kuasa Taib, yang merupakan ketua menteri paling lama berkuasa itu.


Kepimpinan Taib genap 30 tahun pada 26 Mac lalu.

Taib turut menyeru generasi muda agar mempertahankan semangat 1 Malaysia yang subur di Sarawak.

Beliau juga mahu hubungan antara Sarawak dengan Semenanjung terus diperkukuhkan dengan sikap politik yang matang. -TMI

Ulasan GB

Najib dan Taib tak dengarkah jeritan rakyat Sarawak?

"30 tahun sudah TERLALU LAMA. Undur sekarang, bukan tunggu beberapa tahun lagi."

Rakyat Sarawak akan PASTIKAN Taib berundur Sabtu ini!

Al-Fatihah : Juruterbang Helikopter Terhempas Meninggal Dunia

Posted: 11 Apr 2011 04:35 PM PDT

Juruterbang Helikopter Terhempas Meninggal Dunia

SIBU: Juruterbang Kapten Sahimi Razali, yang cedera parah setelah helikopter yang dipandunya terhempas tengah hari tadi, meninggal dunia pada 8.30 malam Isnin di Hospital Sibu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail berkata, jenazah Sahimi, 38, akan diuruskan keluarganya yang akan datang ke Sibu dari Kuala Lumpur malam ini.

Sahimi cedera parah apabila helikopter jenis Bell 206 milik Sabah Air yang dipandunya terhempas sejurus berlepas dari Dataran Sibu di sini pada pukul 1.50 tengah hari setelah menurunkan tiga penumpang termasuk pembantu khas kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pelajaran Hafiz Abdul Halim.

Beliau yang mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk terus digegaskan ke Hospital Sibu oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Shafie berkata, helikopter yang baru tiba dari Bintangor, Sarikei merupakan sebuah daripada tiga buah helikopter, yang membawa rombongan Muhyiddin melakukan tinjauan di sana.

Beliau berkata, sebaik sahaja menurunkan semua penumpang, helikopter berkenaan mahu meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Sibu.

"Tiba-tiba helikopter yang berada pada ketinggian kira-kira tiga meter itu dipercayai hilang kawalan dan terhuyung-hayang sebelum jatuh," katanya kepada pemberita di sini.

Shafie berkata, juruterbang yang bersendirian dalam helikopter itu, tersepit sebelum orang ramai membantu untuk mengeluarkannya.

"Empat orang awam menarik juruterbang keluar dari pesawat. Mangsa telah digegaskan ke Hospital Sibu oleh pasukan JPAM," katanya.

"Punca kejadian masih disiasat. Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan menghantar sebuah pasukan untuk membuat siasatan esok," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman melawat Sahimi yang menjalani pembedahan di Hospital Sibu kira-kira pukul 4 petang.

Muhyiddin yang menghabiskan kira-kira 15 minit di luar dewan pembedahan telah menyaksikan proses pembedahan yang dijalankan.

"Saya rasa dukacita dengan kemalangan yang berlaku ke atas Kapten Sahimi. Saya telah menyaksikan pembedahan yang sedang dilakukan. -mstar

Ulasan GB

Baru sebentar tadi GB menegur ketidak-perihatinan Muhyiddin kerana meneruskan programnya meminta 'jasa baik' para guru di Sarawak supaya menyokong BN dalam pilihan raya negeri itu pada 16 April depan. Sedangkan Muhyiddin tahu ketika itu helikopter yang membawanya terhempas dan tahu juruterbangnya cedera parah dan dimasukkan ke hospital. GB telah katakan:

Kalau TPM itu seorang yang perihatin, majlis perjumpaan untuk melobi guru-guru itu dibatalkan. Sudahlah ianya menyalahi etika, memperalatkan guru untuk kepentingan politik BN, kemudian lansung tak tunjukkan keprihatinan terhadap juruterbang helikopter yang cedera parah tersebut dengan menziarahinya.


Muhyiddin berucap tatkala juruterbang itu sedang bertarung nyawa di hospital. Beliau dilaporkan hanya pergi menziarahinya setelah program tersebut tamat.

Memperalatkan guru-guru sekolah untuk kepentingan politik adalah kesalahan yang nyata, dan kerana Muhyiddin yang berdosa, juruterbang helikopter yang jadi mangsa!

Ini bukan kali pertama helikopter yang membawa rombongan Muhyiddin bermasalah.

Kali pertama ialah pada bulan Ogos tahun lalu di mana helikopter Nuri Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) yang membawanya terpaksa membuat pendaratan cemas di Tuaran Sabah akibat cuaca buruk.

Selain Muyiddin, ketika itu turut berada dalam pesawat yang membawa 14 penumpang serta anak kapal itu ialah setiausaha akhbar beliau Datuk Ainon Mohd serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin, demikian lapor Bernama.

GB sewaktu itu telah mengulas di SINI. Petikan:

Muhyiddin telah menggunakan kemudahan harta kerajaan (helikopter nuri) untuk melakukan kerja-kerja partinya, UMNO bukan untuk melakukan kerja-kerja sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dan biar saja Allah menegur pebuatannya kerana teguran manusia tiada satu pun yang didengar oleh Muhyiddin ini. -GB



[Video] Sentimen UNDUR TAIB Memuncak - Pakatan Menang Pusingan Pertama

Posted: 11 Apr 2011 08:05 AM PDT

Undur-kekal Taib: BN kini diheret PR

Walaupun belum sampai ke tahap untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional di Sarawak, namun Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya berjaya untuk mengheret Barisan Nasional ke dalam gelanggangnya pada pusingan awal PRN Sarawak 2011.

Sentimen "Undur Taib" semakin memuncak di kawasan bandar majoriti Cina, sehingga BN mulai tertekan dalam suasana sedemikian.

Ramai yang akan bersetuju bahawa suasana di bandar-bandar utama Sarawak kini tidak berbeza dengan suasana PRU ke-12 pada tahun 2008, yang akhirnya mencetuskan "tsunami politik" untuk menafikan majoriti dua pertiga BN, selain empat kerajaan negeri beralih tangan kepada pembangkang (tidak termasuk Kelantan yang pada asalnya di bawah PAS). Antara persamaannya yang mungkin paling menakutkan BN adalah wang dermaan yang dikutip dari khalayak ramai yang menghadiri ceramah politik - sehingga mencatat puluhan ribu ringgit Malaysia - dibaca sebagai tanda rakyat komited kepada agenda perubahan.

Najib akhirnya memberi jaminan bahawa Taib Mahmud akan berundur selepas PRN Sarawak, tanpa menyebut tarikh mahupun menamakan penggantinya. Pengumuman sedemikian tidak memberi jaminan yang lebih daripada pengumuman sebelum terbubarnya DUN Sarawak, selain mengulanginya buat kali kedua.

Jaminan yang mengundang malapetaka

Pakatan Rakyat, terutamanya DAP semestinya mengambil kesempatan untuk mengasak agar BN membuat pengumuman terperinci, termasuk jadual waktu Taib Mahmud mengundur, penggantinya dan sebagainya. Malah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menunjukkan satu keratan akhbar pada 7 November 1995 yang memetik Taib Mahmud bahawa beliau akan berundur dalam masa lima tahun. Kesemua ini cukup untuk menyanggah jaminan daripada Najib dan Taib Mahmud.

Walau bagaimanapun, langkah Najib untuk mengulangi jaminan yang sama semalam - walaupun berniat untuk meredakan ketidakpuasan rakyat, tetapi mungkin mengundang malapetaka di sebaliknya. Pertama, beliau menafikan bahawa Taib Mahmud adalah liabiliti, atau beban kepada BN. Selagi Najib enggan mengakui masalah yang ada pada Taib, maka pembangkang mempunyai alasan yang cukup untuk mempertikaikan keikhlasan Najib.

Keduanya, pengumuman Najib boleh ditafsir sebagai "campur tangan dari Semenanjung", sentimen yang cuba diwujudkan sepanjang kempen BN Sarawak untuk menangkis serangan PR. Sentimen inilah yang dipermainkan supaya rakyat menolak parti politik dari Semenanjung. Namun, senjata ini sekarang mungkin makan tuannya kerana Najib dari Semenanjung dilihat bersuara untuk menentukan kekal-undur Ketua Menteri Sarawak.

Pergolakan kuasa dalaman

Lebih ketara, pengumuman ini semestinya menempangkan Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri, dan membuka lembaran baru pergolakan kuasa dalam PBB sendiri. Keadaannya mungkin sikit berbeza, namun ada persamaannya jikalau dibandingkan dengan Gerakan di Pulau Pinang pada tahun 2008. Setelah Presiden Gerakan Koh Tsu Koon berundur dari jawatan KM Pulau Pinang untuk bertanding di kawasan parlimen, tanpa menamakan penggantinya, maka berlakulah pergelutan dalaman antara beberapa orang calon yang melihat dirinya layak untuk menyandang jawatan KM.

Kesudahannya seperti yang disaksikan, Gerakan kehilangan kuasa kerajaan negeri di Pulau Pinang. Senario ini mungkin sukar diulangi di bumi kenyalang, namun ia sudah memadai seandainya BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Sarawak. Dan seandainya SUPP (yang berperanan seperti MCA di Semenanjung) mengalami kekalahan yang besar, maka ia merupakan tamparan sengit kepada slogan 1Malaysia oleh Najib Razak.

Lanskap politik kemudiannya...

Jikalau keputusan PRN Sarawak 2011 menyaksikan pengundi Cina tetap memihak pembangkang, maka senario ini bakal meletakkan Najib dalam keadaan dilema.

Mencurahkan lebih usaha untuk memikat hati pengundi Cina, atau mengambil langkah drastik untuk "menghukum" pengundi Cina yang tidak menyokong BN - semestinya akan menjadi perbalahan pendapat dalam UMNO dan BN sendiri. Silap selangkah Najib dalam membuat keputusan bakal meletakkan tanda noktah pada tempoh jawatan PM-nya.

Justeru itu, apa yang boleh dilakukan oleh Najib dan regimnya sekarang adalah menabur "gula". Peruntukan demi peruntukan ditabur untuk memastikan kemenangan BN dalam PRN Sarawak, pertarungan yang bakal mempengaruhi semangat BN untuk menghadapi PRU ke-13.

Namun demikian, Najib semestinya sedar bahawa pendekatan sedemikian tidak boleh dikekalkan selama-lamanya. Sebelum PRU ke-12, BN menang dalam PRK Machap dan Ijok, setelah menabur "gula pilihan raya" yang bernilai puluhan juta ringgit. Akhirnya kemenangan itu terbukti hanyalah pembohongan yang dibeli dengan wang ringgit.

Demikianlah dilema yang dihadapi Najib Razak, atau lebih tepat sebenarnya, kebuntuan yang dihadapi Barisan Nasional sekarang. -MR

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.








Heli Dah Terhempas, TPM Lagi Cakap Mahu Menang Besar

Posted: 11 Apr 2011 07:14 AM PDT

TPM minta 'jasa baik' guru di S'wak sokong BN

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta 'jasa baik' para guru di Sarawak supaya menyokong BN dalam pilihan raya negeri itu pada 16 April depan.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri menggesa mereka membantu BN menang besar, dengan memangkah calon-calonnya dalam pilihan raya negeri Sabtu depan.

Muhyiddn yang juga timbalan pengerusi BN berucap kepada kira-kira 400 guru yang mengikuti satu program untuk pendidik di Sibu petang ini.

Selepas ini, kata Muhyiddin, pembangkang akan mendakwa BN berkempen melalui guru-guru, tetapi tegasnya, ianya bukan hanya satu peringatan lembut, tetapi juga peringatan yang penting.

Sambil mengkritik kempen Pakatan Rakyat untuk membawa perubahan, Muhyiddin berkata, rancangan pembangunan mungkin terjejas jika berlaku perubahan tersebut.

Menurutnya, rancangan pembangunan akan terjejas jika berlaku gangguan atau perubahan mengikut cara pembangkang.

Beliau mengumpamakan kempen pembangkang untuk perubahan itu umpama 'tikus membaiki labu' - satu pepatah Melayu yang bermaksud tindakan yang akan memburukkan lagi keadaan. -mk


Helikopter terhempas selepas hantar rombongan TPM

Helikopter Bell Jet milik Sabah Air yang terhempas di Dataran Sibu. — Foto ihsan dari Facebook


SIBU, 11 April — Salah sebuah helikopter yang menghantar rombongan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhempas di Dataran Sibu berhampiran Wisma Sanyan di sini kira-kira 2 petang tadi.

Tiada penumpang dalam helikopter ketika kejadian.

Helikopter milik Sabah Air itu dipercayai terhempas akibat angin kencang.

Menurut Ketua Polis Sibu Shafie Ismail, juruterbang cedera parah dan dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan.

Helikopter itu, salah satu daripada tiga helikopter yang digunakan untuk membawa rombongan timbalan perdana menteri, ketika kejadian sedang berlepas untuk menuju lapangan terbang Sibu.

Laporan media juga menyebut helikopter itu terhempas beberapa minit selepas Muhyiddin tiba di lokasi yang sama untuk menghadiri satu majlis di hotel berhampiran.

Dalam pada itu, Bernama Online memetik Setiausaha Akhbar Muhiyddin, Hafiz Abdul Halim berkata beliau ketika itu sedang

berjalan menuju ke RH Hotel, kira-kira 100 meter dari dataran itu terkejut dengan kejadian itu.

"Helikopter itu tidak mengalami apa-apa masalah semasa kami berlepas dari Bintangor atau semasa dalam penerbangan. Saya sedang berjalan menuju hotel apabila saya dengar ia terhempas," kata Hafiz yang sebelum itu menaiki helikopter itu bersama-sama dua pegawai keselamatan.

Muhyiddin dan pegawai khas beliau yang menaiki helikopter berasingan turut mendarat di dataran yang sama sebelum kejadian itu. Mereka juga baru pulang dari Bintangor.

"Timbalan Perdana Menteri dan rombongannya selamat," kata Hafiz.-TMI


Ulasan GB

Itulah sikap TPM yang bernama Muhyiddin Mohd Yassin yang tak pernah ambil iktibar terhadap apa juga yang berlaku. Sekalipun, helikopter yang dinaki selamat tetapi helikopter yang membawa rombongannya terhempas. Bukankah itu satu PENGINGATAN untuk beliau?

Kalau TPM itu seorang yang perihatin, majlis perjumpaan untuk melobi guru-guru itu dibatalkan. Sudahlah ianya menyalahi etika, memperalatkan guru untuk kepentingan politik BN, kemudian lansung tak tunjukkan keprihatinan terhadap juruterbang helikopter yang cedera parah tersebut dengan menziarahinya.

GB sudah ulas isu ini di SINI.

Menjelang Muktamar: Angin Perubahan Sedang Bertiup Dalam PAS?

Posted: 11 Apr 2011 05:20 AM PDT

Husam dicalon tanding presiden PAS

Dalam satu keputusan yang mengejutkan, PAS Kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa untuk bertanding jawatan presiden PAS dalam muktamar Jun ini.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat agungnya Jumaat lalu bertempat di Markas PAS kawasan Batu.

Mesyuarat itu juga mencalonkan bekas naib presiden, Mohamad Sabu untuk bergandingan dengan Husam bagi jawatan timbalan presiden.

Bagi tiga jawatan naib presiden pula, kawasan tersebut sebulat suara mencalonkan untuk mengekalkan penyandangnya, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Seorang lagi calon naib presiden ialah bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, kata yang dipertua PAS Bukit Bintang, Mohd Radzi Hashim.

Manakala calon bagi jawatankuasa PAS pusat pula, diserahkan untuk diputuskan oleh jawatankuasa kawasan itu.

Pada 2009, PAS Bukit Bintang pernah mencalonkan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk bertanding presiden. Bagaimanapun mursyidul am PAS itu menolak pencalonan tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Radzi berkata pencalonan itu dibuat kerana Bukit Bintang percaya pemimpin berkenaan "boleh memimpin dalam suasana politik sekarang".

"Akar umbi mahukan pemimpin yang boleh membawa perubahan dengan kehendak semasa tanpa memperlekehkan peranan (presiden sekarang) Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Beliau (boleh) lebih (berperanan dengan) diletakkan di Majlis Syura. (Oleh itu) Majlis Syura dapat diperkasakan dengan mengawasi dan memandu jawatan eksekutif," katanya.

Menurutnya lagi, jika Abdul Hadi menganggotai Majlis Syura, maka beliau boleh membantu Nik Aziz antaranya menasihati ahli supaya tidak melanggar disiplin parti.

Mohd Radzi berkata, pencalonan bagi kepimpinan baru itu dilihat mampu untuk menarik golongan muda yang mahu perubahan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Gabungan antara ulama dan profesional dapat memperkasakan bagi menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata beliau dan barisan kepimpinan kawasan itu dikekalkan dalam pemilihan kali ini. -mk

Ulasan GB

PAS Kawasan Bukit Bintang telah memulakan satu pencalonan "yang lain daripada yang lain" untuk jawatan Presiden. Ia agak memeranjatkan tetapi tidak menyalahi perlembagaan atau adab jemaah.

Yang pasti, melalui pencalonan yang dikemukakan, Bukit Bintang mahu satu perubahan untuk jemaah. Ia juga gambaran suara hati akar umbi di dalam parti.

GB tidak mahu ulas panjang, kecuali satu, selain Husam yang dicalonkan sebagai Presiden, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin turut dicalonkan sebagai Naib presiden oleh Bukit Bintang. Datuk Seri Nizar memang diperlukan sekarang ini di dalam pimpinan jemaah sekurang-kurangnya di jawatan Naib Presiden. GB berharap Datuk Seri Nizar akan sedia mempertimbangkannya kali kali setelah beliau menolak pada muktamar yang lepas.

PAS perlu menonjolkan pemimpin yang boleh diterima oleh masyarakat Malaysia, kerana kita pada bila-bila akan diserahkan Allah kuasa untuk mentadbir negara, bukan sekadar mentadbir PASTI atau negeri lagi.

Justeru itu persediaan ke arahnya perlu ada dan muktamar kali ini adalah muktamar pemilihan pemimpin yang akan diketengahkan oleh parti untuk ke Putrajaya.

Allah BERHAK untuk memilih sesiapa yang dikehendakinya hatta "yang hitam dari Habsyi" untuk memimpin hizbullah ini.

Rakyat Tertekan, Harga Ayam Dijangka Naik Lagi

Posted: 11 Apr 2011 04:32 AM PDT

Peniaga ayam di Pasar Chow Kit, di sini, menjangkakan harga ayam naik 50 sen lagi menjadikan harganya RM8 sekilogram sepanjang minggu ini.

Tinjauan Harian Metro ke pasar itu semalam, mendapati kebanyakan peniaga menjangka harga ayam akan terus naik berdasarkan trend kenaikan dan penurunan harga yang berlaku kebelakangan ini. Pada awal bulan ini, harga ayam dicatatkan RM7 sekilogram, meningkat kepada 50 sen pada minggu lalu, iaitu RM7.50 dan dijangka meningkat lagi pada minggu ini.

Peniaga ayam, Rosli Misanti, 42, berkata harga ayam tidak stabil, turun dan naik dalam tempoh sebulan tanpa kawalan harga yang ketat.

"Kebanyakan peniaga meramalkan harga ayam akan terus naik sehingga RM8.50 sekilogram. Kini, seekor ayam dijual dengan harga kira-kira RM12 dan jika kenaikan harga ayam terus berlaku, tidak mustahil ia akan mencapai harga RM16 seekor," katanya.

Rosli melahirkan rasa kesal kerana peniaga sering dipersalahkan dengan kenaikan harga ayam di pasaran, sedangkan mereka tidak terbabit langsung dalam menentukan harga ayam. Mereka hanya mengikut harga pasaran ditentukan dan belian daripada pembekal, iaitu ayam belum diproses dibeli dengan harga RM5.50 sekilogram. Dia yang sudah 15 tahun menjual ayam berkata, inilah kali pertama berhadapan dengan kenaikan harga yang mendadak.

Katanya, dulu 300 ekor ayam habis dijual setiap hari, kini 200 ekor pun belum tentu habis kerana harga yang mahal membuatkan orang ramai kurang membeli dan permintaan terhadapnya turut berkurangan.

Peniaga ayam, Zulkifli Hatta, 50, berkata jualan ayam yang naik dan turun dalam tempoh sebulan menyebabkan perniagaannya rugi kerana permintaan terhadap ayam berkurangan.

"Dulu saya akan menjual 100 ekor ayam sehari dan kini hanya mampu jual 80 ekor saja dan jika ada pelanggan minta kurangkan harga saya akan kurangkan sebanyak 20 sen kerana kasihan kepada mereka.

"Walaupun peniaga lain menjual dengan harga tetap, saya terpaksa mengurangkan lagi bagi memastikan stok ayam habis dijual," katanya. -hm

Parti BN Dah Jadi Parti Tupperware?

Posted: 11 Apr 2011 02:00 AM PDT

Kekecohan rebut Tupperware di ceramah PM

Kekecohan berlaku di stadium tertutup MBKS malam tadi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razal meninggalkan tapak perhimpunan ceramahnya kerana hadirin berebut cuba mendapatkan 'ole-ole' yang dibawanya - iaitu bekas makanan dan minuman berjenama Tupperware.

Ketika 2,000 orang beredar dari stadium itu, ratusan lagi mengerumuni pintu masuk untuk merebut bag 'ole-ole' yang diberikan secara percuma itu.

Bag itu mengandungi poster Najib dan sama ada sebuah bekas makanan atau minuman daripada jenama terkenal Tupperware.

Apabila keadaan menjadi tidak terkawal, beberapa pekerja terpakasa memindahkan kotak-kotak barangan itu daripada pintu masuk.

Jatuh tergolek

Sebaik sahaja kotak yang dibawa mencecah lantai, puluhan orang lagi akan menyerbu ke arah tersebut. Kebanyakan mereka adalah golongan berusia dan kanak-kanak yang terus mengoyakkan kotak itu dan merampas 'ole-ole' yang ada.

Dalam kekecohan itu, ramai yang jatuh. Seorang wanita tua dilihat tergolek di lantai tetapi terus berpegang erat kepada bag yang berjaya diambilnya itu.

Wartawan dan anggota polis yang berada di lokasi tercenggang melihat kejadian yang tidak disangkakan dan ada yang menasihatkan orang ramai supaya bersabar menunggu giliran mendapat hadiah daripada BN itu.

Seorang hadirin memberitahu Malaysiakini bahawa beliau datang apabila terbaca di akhbar mengenai program anjuran BN yang menjemput semua penduduk sekitar Kuching.

"Ada makanan dan hadiah percuma. Sesiapa pun akan datang," kata lelaki pertengahan umur yang tidak mahu namanya disiarkan.

Ditanya sama ada beliau datang untuk menyokong perdana menteri dan BN, lelaki itu berkata dia hadir untuk melihat wajah Najib secara dekat.

Seorang wanita tua pula berkata, beliau dan penghuni sebuah rumah pangsa dibawa dengan bas dari Jalan Ban Hock. Katanya, akibat kekecohan itu, dia gagal mendapat bag 'ole-ole' BN itu.

Sebelum majlis bermula, semua hadirin diberikan sehelai kemeja T 1Malaysia dan diminta menyarungkannya ketika itu juga. Hadirin juga diberikan burger dan air minuman botol.

Ulasan GB

Nak ketawa pun ada bila baca berita di atas. Parti BN dah jadi parti tupperware. Berpusu-pusu dilaporkan hendak mendapatkan ole-ole yang dibawa oleh Najib.

Memang rakyat Sarawak memerlukan tupperware untuk menadah air hujan. BN di bawah Abdul Taib Mahmud telah gagal menyediakan air bersih kepada penduduk Sarawak sekalipun telah 30 tahun memerintah Sarawak.

Kasian sungguh nasib rakyat Sarawak. Lain yang diminta, lain yang Najib bawa.

Nak tahu ceritanya klik SINI

Inilah peluang keemasan untuk tukar kerajaan Sarawak.

Tiada ulasan: