kalam Perantau |
Analisis Keputusan Pasca PRN Sarawak Posted: 22 Apr 2011 07:11 AM PDT Oleh: Shuhaimi Al-Maniri Saya mengikuti Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak ini sejak tahun 1980'an lagi. Selepas PRN Sarawak pada tahun 1987 dimana Kumpulan Maju pimpinan Tun Abdul Rahman Yaakob (PERMAS) dan Dato' Leo Mogie (PBDS) hampir-hampir menumbangkan kerajaan BN3 pimpinan Taib Mahmud ekoran peristiwa Ming Court, pilihanraya kali ini begitu mencabar bagi BN Sarawak. Menurut sesetengah pemerhati, pilihan raya Sabtu lalu adalah ujian getir kepada BN sejak pilihan raya umum 2008 apabila pembangkang berjaya merampas satu pertiga daripada kerusi parlimen. Rakyat Sarawak sudah sebati dengan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (gambar – kanan) dan masih memerlukan beliau untuk meneruskan kesinambungan pembangunan. Pilihanraya Sarawak kali ini dikatakan petunjuk bagi mengukur populariti Najib yang didakwa banyak menabur wang bagi pembangunan luar bandar ketika berkempen. Minggu lepas, saya telah membuat analisa awal berhubung dengan PRN Sarawak ke-10 pada 16hb April, lepas. Dengan hasrat tidak mahu menyusahkan Pakatan Rakyat dengan ulasan yang tidak memihak kepada mereka sebelum pengundian dijalankan, maka saya tinggal dahulu apa yang sepatutnya saya sebut dalam analisa awal tersebut. Keputusan PRN ke-10 Sungguhpun undi popular BN telah merosot kepada 55 peratus pada pilihanraya negeri ke-10 kali ini berbanding dengan 63 peratus pada pilihanraya negeri ke-9 tahun 2006 tetapi BN berjaya kembali memerintah dengan kelebihan majoriti 2/3 atau 55 dari 71 kerusi. Bagi saya, Pakatan Rakyat tersilap strategi. Diantara perkara pokok yang sepatutnya saya tulis adalah kegagalan Pakatan Rakyat secara khususnya PKR untuk 'berjiwa besar' seperti komponen BN (PBB, SUPP, SPDP, PRS) bagi memastikan satu lawan satu diantara BN. PR Sarawak bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru dengan part-parti lain yang ada di Sarawak. DAP dan PAS telah akur untuk bertanding 15 dan 5 kerusi sahaja walaupun berkemampuan bertanding lebih dari itu. PKR dan SNAP gagal membahagikan 51 kerusi, akibatnya tiada kerjasama untuk hadapi BN. PKR dan SNAP bertembung di 25 kerusi. Soal sama ada PKR atau SNAP yang lebih kuat, sudah tidak penting lagi sekarang. Hasilnya sudah dilihat, rakyat tolak kedua-duanya kerana gagal bersatu. PKR terpaksa berpuashati menang 3 kerusi (Batu Lintang, Ba'Klalan, Krian) sahaja daripada 49 yang ditandinginya. Hampir semua, 26 dari 27 calon SNAP bukan sahaja kalah malah hilang wang pertaruhan kecuali calon DUN Katibas, Toh Heng Sng. Penolakan rakyat terhadap BN jelas berlaku di kawasan bandar yang mana pengundi Cina menjadi majoriti di mana DAP berjaya melumpuhkan parti parti komponen kedua terbesar BN Sarawak, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). SUPP bukan sahaja tumpas teruk, malah presidennya sendiri, Tan Sri George Chan gagal mempertahankan kerusi Piasau, yang sudah sekian lama diwakilinya. Dan apa yang berlaku ini, sudah jelas DAP yang memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandinginya. Perkara ke-2, tidak ada kerusi Melayu dan Bumiputera yang ditandingi oleh PBB berjaya dirampas oleh PKR, PAS atau DAP. Kesilapan Pakatan Rakyat, khususnya PKR dan Anwar Ibrahim sendiri kerana terpengaruh dengan kajian-kajian persepsi yang ternyata mengundang padah bila mengisytiharkan Baru Bian sebagai Ketua Menteri yang baru jika Pakatan Rakyat memerintah yang menyebabkan PBB berjaya memenangi semua kerusi Melayu dan Bumiputera yang ditandinginya. PAS masih gagal mendapat kerusi sulung dari 5 kerusi yang ditandinginya di Sarawak. Bagi PAS, saya hanya optimis PAS memenangi DUN Beting Maro jika tidak ada perkara-perkara diluar dugaan berlaku pada hari mengundi. Apa yang saya jangka rupanya hampir menjadi kenyataan. PAS kalah dengan majoriti cuma 391 undi sahaja berbanding dengan 895 dalam pilihanraya negeri yang lepas. Walaupun PAS berjaya meningkatkan undi di saluran lain tapi undi PAS merosot teruk di pusat mengundi SMK Beladin. Macamana UPU Beladin kawasan yang dah jadi macam “kubu PAS” masa PRU12 boleh terlepas kepada BN. Daripada menang masa PRU12 bertukar jadi kalah pulak masa PRN10. Selain itu, pilihanraya kali ini menyaksikan seramai 71 calon telah hilang wang pertaruhan setelah mendapat kurang dari 12.5 peratus atau satu per lapan jumlah undi. Selain 26 calon SNAP itu, enam calon PKR, empat calon PCM serta 36 calon Bebas. Dominique, bekas ADUN PKR Padungan yang bertanding sebagai calun bebas kali ini juga hilang wang pertaruhan. Hanya calon DAP dan PAS tidak ada yang hilang wang pertaruhan. Dari 41 calon bebas, hanya 5 sahaja tidak hilang wang pertaruhan. Malah seorang darinya George ak Lagong berjaya memenangi kerusi DUN Pelagus dengan majoriti 2,837 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional Stanley Nyitar @ Unja ak Malang daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan calon PKR, Edward Sumbang ak Asun. Kerusi DUN Palagus ini dimenangi oleh calon bebas yang disokong oleh ADUN dahulu, Larry Sng (gambar – kiri), Timbalan Menteri yang dipecat oleh PRS dan tidak dicalonkan semula ekoran perbalahan Larry Sng dengan Dr James Masing (gambar – kiri) berebut kerusi Presiden PRS. Bukan setakat Larry, bapanya dulu pun ADUN di situ. Keadaan ini sama seperti Gabriel Aidit yang memenangi DUN Ngemah dalam pilihanraya ke-9 2006 sebelum ini atas tiket bebas yang disokong oleh Dato' Leo Mogie selepas PBDS dimasuhkan. Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah |
You are subscribed to email updates from kalam Perantau To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan