Difahamkan PAS Sabah telah menghantar sekurang-kurangnya 20 orang petugas selama 2 minggu di Sadong Jaya, 2 jam 1/2 dari Kuching. Rombongan 5 buah kereta telah berkonvoi dari Kota Belud, Tawau, Kota Kinabalu, Sandakan malah Keningau melalui jalan darat menuju ke Kuching yang memakan masa perjalanan 3 hari 3 malam.
Sabah asalnya ditugaskan di DUN Senadin Miri, namun menjelang hari penamaan Senadin telah ditukar dengan PKR dan sebagai ganti PAS bertanding di Sadong Jaya. Berbeza dengan Senadin PAS Miri telah membuat persiapan sejak 2 tahun lalu, di Sadong Jaya hanya 2 minggu.
Hakikatnya tiada satu pun 25 kerusi melayu/melanau dimenangi oleh Pakatan Rakyat mahunpun SNAP dan Bebas. Daripada 25 kerusi tersebut hanya Beting Maro sahaja memperolehi majoriti undi di bawah 1,000 iaitu 391 - moderator
TAJUK ASAL : Sapa beri kamek duit, itulah yang menang
Penulis rasa tindakan Dr Aziz Bari mengkritik pedas PAS ekoran kekalahan parti itu di semua 5 kerusi yang ditandingi mungkin didorong oleh rasa kecewa kerana teringin sangat nak tengok kelahiran anak sulong PAS di bumi kenyalang itu. Penulis yakin beliau amat sayangkan PAS. Cuma penulis agak terkilan sikit bila kritikan itu hingga terbawa-bawa kepada desakan agar Presiden PAS ditukar.
Rasanya Dr Aziz Bari pun tahu kawasan yang ditandingi oleh PAS di Sarawak terdiri dari majoriti pengundi Melayu. Sekurang-kurangnya 50% ke atas.
Dalam konteks pengundi Melayu Islam di Sarawak ini, sewajarnya difahami mereka terpecah kepada beberapa golongan. Antaranya;
- Ahli tegar PBB – golongan pengundi setia BN
- Ahli PBB yang kecewa – kumpulan yang tidak dapat dipastikan sikapnya.
- Ahli PAS – pengundi tetap Pakatan
- Atas pagar – kumpulan yang mencari kesempatan sepanjang pilihanraya.
Penulis ingin menceritakan serba-sedikit tentang sikap pengundi Melayu di DUN Sadong Jaya, di mana kontijen PAS Sabah bertugas di sana. Kami diamanahkan menjaga UPU Jemukan.
Penulis dimaklumkan oleh petugas Muslimat yang melakukan culaan di UPU Semera yang mempunyai pengundi Melayu paling ramai. Kira-kira 1,900 orang. Dalam pertemuan mereka dengan penduduk di UPU tersebut, rata-rata penduduk di situ hanya memberi respon “Siapa yang beri kami duit, itulah yang menang.”
Kata-kata sedemikian penulis kira memadai untuk memberi gambaran sebenar bagaimana sikap dan mentaliti pengundi Melayu. Di sudut makan, minum dan pakaian, mereka dah ada semua. Yang kurang hanyalah duit. Bila tiba musim pilihanraya, maka digunakan kesempatan untuk mendapat duit free walau 5 tahun sekali.
Ada sumber menyebut, setiap rumah ditabur antara RM500 – RM1,000 pada malam terakhir kempen. Khabarnya anggota SB telah ditempatkan lebih awal di setiap kampung Melayu bagi tujuan tersebut. Justeru agak sukar dikesan oleh para petugas PAS.
Selain pengaruh wang, faktor buta agama menyebabkan pengundi Melayu begitu mudah berubah pendirian hanya kerana RM500.
Menurut Bob Lokman yang turut membantu jentera kempen PAS di DUN Muara Tuang, golongan tua yang berkopiah boleh lari meninggalkan tempat ceramah ketika beliau menyebut nama Allah dan Islam. Tambahnya, orang muda yang kaki mabuk pulak yang terus setia mendengar ceramahnya.
Dr Aziz Bari mungkin terlupa dek rasa kecewa, bahawa perjuangan Islam merupakan satu perjalanan yang jauh dan panjang. Menagihkan pengorbanan besar, kesabaran dan istiqamah dari setiap para amilin dan penyokong. Pelbagai ujian samada dalam bentuk kepayahan, kesenangan, fitnah, mehnah dan tribulasi perlu dihadapi secara hikmah dan bijaksana bagi memastikan perjuangan yang mulia ini sentiasa berada di atas landasan yang benar dan diredhai Allah.
Dalam konteks menghadapi kerenah dan sikap pengundi Melayu ini, PAS sewajarnya memikirkan satu mekanisma terbaik dalam menangani masalah ‘kehausan’ sokongan pengundi Melayu Islam, lebih-lebih lagi yang masih jahil dan jauh daripada cahaya Islam.
Penulis yakin masa depan PAS di bumi kenyalang amat cerah sekali. Hanya memerlukan sedikit sentuhan tepat. Isyarat awal sudah muncul bila mana seramai 341 orang ahli PBB telah menyertai PAS di DUN Sadong Jaya serta penubuhan 8 Cawangan Penaja.
Insya’Allah, cahaya Islam akan terus mengalir subur di bumi kenyalang.
Takbir!
Sumber asal : monazmuslim.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan