Khamis, 14 April 2011

.

.


Uluasan Tengah Hari

Posted: 13 Apr 2011 09:49 PM PDT

King Bloger Dan Jadi King Burger

MALAM tadi Raja Putra Kamarudin yang kini melarikan diri di luar negara kerana kecut perut dengan tindakan beberapa individu yang menyaman beliau telah membuat pusingan baring di saat-saat rakyat Sarawak ingin memilih kerajaan baru tulat, 16 April.

Dalam satu wawancara eksklusif dengan TV3 di Perth Australia yang disiarkan malam tadi, Raja Petra menjelaskan beliau tidak sama sekali menuduh Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan Altantuya. Katanya apa yang berlaku dia hanya menulis berdasarkan kenyataan atau sumber pihak atau individu tertentu saja.

Beliau menyebut beberapa nama orang yang memberi maklumat itu dan mereka ada kaitan dengan Anwar Ibrahim.

Wah mudah Raja Petra sapu tangan dengan 'kotoran' yang beliau buat itu. Apakah sebenarnya beliau tahu tanggungjawab seorang penulis. Mungkin beliau seorang penulis yang berani tetapi kalau berani tanpa memahami etika beliau bukan penulis yang berkualiti.

Apa yang kita tulis dari mana sumber dan siapa memberinya kita harus bertanggungjawab. Bukan bila timbul masalah kita lontarkan kepada sumber kita. Sebab itu sebelum menulis kita harus fikir, kaji dan menganalisa sejauh mana kebenaran sumber kita itu.

Nampaknya ini tidak berlaku kepada Raja Petra. Meskipun sumber itu membuat akuan bersumpah tetapi ia perlu disemak dan diteliti. Allah memberikan kita akal. Apakah Raja Petra semasa menulis dan melamporkan apa yan dikatakan sumber itu beliau terlupa berfikir? Atau kerana ada pihak yang mengupahknya maka beliau menulis dan selepas itu ada yang mengupah lebih besar maka dinafikan semula.

Kerana tulisan itulah menyebabkan polis menyerbu rumah Raja Petra di Sungai Buluh kemudian dia dimasukkan ke dalam lokap.

Beberapa penjenguk blog saya minta saya mengulas pendirian terbaru Raja Petra itu. Sebenarnya saya sudah memberi bayangan sebelum ini yang Raja Petra akan menemui Najib di Australia semasa PM itu melawat negara berkenaan. Apa yang saya dedahkan itu ternyata benar, cuma pendedahan itu tidak dilaporkan oleh media pro kerajaan termasuk TV3. Masa yang terbaik dicari untuk mendedahkan keinsafan Raja Petra itu.

Apabila Raja Petra sudah berjumpa Najib maka faham-fahamlah sendiri. Raja Petra adalah seorang manusia yang masih lagi memerlukan kepada makan dan minum. Kata orang betapa enak duduk di negeri orang tak sama dengan negeri sendiri. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baik di negeri sendiri.

Jadi bila Raja Petra membuat pusingan U atau pusingan bulat itu ia tidak menghairankan. Mungkin Najib ada memberi jaminan tertentu sesama berjumpa tempoh hari. Janji itu diterima oleh Raja Petra. Selepas ini kalau kita nampak Raja Petra terhegah-hegah pulang sambil menolak beg besar jangan hairan. Satu saya nak bagi tahu anda sekalian kalau sudah nampak kalibat Raja Petra di Malaysia itu bermakna pilihan raya umum sudah hampir tiba.

Bagi mereka yang mengikut perkembangan bloger keturunan Raja ini, akan tahu bagaimana dia mengeliuk dalam kerjanya. Pada era reformasi dia menyokong Anwar Ibrahim. Apabila Anwar Ibrahim menang dia lari ke Yayayasan Perdana dan pada masa sama juga bergeliwat di Langgak Golf Jalan Ampang. Menurut maklumat ada sesuatu yang diingini tetapi tidak tertunai oleh Anwar maka beliau memngambil sikap menjauhi Anwar.

Apa yang berlaku dan bakal dilakukan Raja Petra tidak menghirankan kerana dia saya anggap sebagai king bloger yang kini sudah menjadi king burger! [ttdi.kl.1:09 t/hari 14/04/11]

Lintas Pagi

Posted: 13 Apr 2011 05:36 PM PDT

Calon Pas Di Sadong Jaya Cucu Ahmad Urai

MUNGKIN ramai yang tidak sedar calon Pas di kerusi Sadong Jaya, Abang Eddy Abang Fauzi adalah cucu kepada bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abang Ahmad Urai Abang Mohideen. Tidak ada mana-mana laporan dan maklumat mengenai latar belakang Eddy yang merupakan cucu tokoh politik Sarawak tahun 70-an itu.

Saya sendiri baru terperasan apabila beliau menjelaskan serba ringkas mengenai kedudukan dan peluangnya di Sadong Jaya semasa berjumpa Tok Guru Nik Aziz. Menurutnya peluang untuk Pas menang 50 : 50. Harapan itu disandarkan kepada beberapa faktor. Antara lain katanya dia mempunyai kenalan dan saudara ramai di sana.

Menurut Eddy datuknya, (Ahmad Urai) pernah mewakili kawasan berkenaan di tahun-tahuan 70-an dulu.

"Datuk saya pernah menjadi wakil rakyat dua penggal di Sadong Jaya. Saya harap kenalan datuk dan kawan-kawannya akan memihak kepada saya," kata Abang Eddy.

Semasa saya mengunjungi kampung Ja'ai terletak dalam Sadong Jaya beberapa orang penduduk mengesahkan bahawa calon Pas itu adalah cucu kepada Abang Urai dan mereka gembira kerana cucu pemimpin mereka itu bertanding.

"Kami rasa bertuah kerana anak kepada bekas wakil rakyat dan tokoh politik Sarawak bertanding di sini, saya merasakan seolah-olah Abang Ahmad Urai sendiri yang bertanding semula," kata seorang penduduk.

Kata-kata penduduk berkenaan mengesahkan bahawa Abang Eddy adalah cucu kepada Abang Ahmad Urai. Jadi kehadirannya merebut kerusi Sadong Jaya 16 April ini sebagai menyambung perjuangan datuknya.

Sadong Jaya adalah di antara kerusi yang dikatakan akan dimenangi Pas selain Sebuyau dan Beting Maro. Dua lagi kerusi ditanding Pas, Muara Tuang dan satu lagi lupa nama. (Baru ingat Tanjung Datu..) [wm.kl.8:50 am 14/04/11]

Susupan Petang

Posted: 13 Apr 2011 03:56 AM PDT

Persepakatan Cina (DAP) & Potensinya

SEORANG teman yang mempunyai kenalan rapat dengan seorang ahli perniagaan Cina di Sarawak memberi tahu saya yang kawannya itu telah membantu DAP dalam pilihan raya Sarawak kali ini. Bantuan itu agak besar jumlahnya.

Ahli perniagaan berkenaan turut sama membantu BN, namun jumlah yang diberikan kepada DAP lebih besar dari apa yang diperuntukan kepada BN. Dunia perniagaan biasalah kalau berlaku sebegitu.

Katanya teman itu, untuk BN ahli perniagaan yang berpejabat di Kuching itu selain memberi wang bernilai mencecah tujuh angka diberikan sama kemudahan transport, berupa helikopter. Berapa helikopter yang diberikan tidak pula disebut. Yang pastinya lebih dari sebuah.

Sebaliknya kepada DAP ahli perniagaan itu tidak menyediakan helikopter tetapi sekadar wang juga. Jumlahnya mengatasi dengan apa yang diberikan kepada BN.

Bila mendengar cerita teman ini baru saya faham kenapa logistik kempen DAP hebat dan bermutu tinggi. Di Kuching billboard yang mempamirkan gambar calonnya di dirikan di banyak tempat. Saisnya besar. Tidak ada billboard PKR atau Pas yang sebesar saiz billboard DAP. Kalau pun dicampur dua papan tanda PKR dan Pas yang tidak dapat mengatasi papan tanda DAP.

Saya tidak tahu bagaimana pemandangan di bandar lain seperti Miri, Sibu atau Bintulu. Mungkin keadaannya juga sama atau lebih hebat lagi.

Apa yang berlaku itu boleh dirasakan bahawa DAP mendapat bantuan kewangan yang banyak dalam menghadapi pilihan raya kali ini. Apabila taukeh atau ahli perniagaan Cina membantu DAP ini bermakna orang Cina meletakkan kepercayaan kepada DAP.

Mereka mahukan DAP menjadi parti utama yang akan membela kaum mereka di Sarawak. Dari sini juga kesedaran berterusan dari masyarakat Cina. Mereka sudah hilang kepercayaan kepada SUPP parti yang mewakili Cina di Sarawak.

Jadi tidak hairanlah kalau pengaruh DAP lebat berkembang di Sarawak ketika ini. BN nampaknya terkial-kial untuk mengatasi pengaruh DAP ini. BN juga turut meletakkan papan tanda gergasi di merata tempat di Kuching, bagi melindungi pengaruh DAP. Tetapi semua usaha itu nampaknya tidak memberi kesan lagi. Orang Cina sudah berubah restoran!

Sebenarnya orang Cina Sarawak membuat keputusan parti mana mereka nak pilih sejak sebelum hari penamaan calon lagi. Mereka sudah pun membuat keputusan untuk melakukan perubahan. Mereka tidak seperti kaum lain khasnya Melayu yang mudah kecut perut dengan ugutan dan mudah malu alah dengan janji-janji politik. Sifat semula jadi orang Melayu suka memamah janji.

Sifat politik terbuka hari ini telah diambil kesempatan oleh orang Cina. Mereka tidak akan merasa rugi apa-apa kalau tidak menyokong BN. Sebaliknya kalau mereka menunjukkan sokongan kepada pembangkang khasnya DAP mereka akan mendapat laba yang berganda.

Apa lagi mereka melihat track rekod DAP sebagai parti yang sedarhana dan memperjuangkan rakyat. Calon-calon yang dipilih adalah mereka yang hampir dengan rakyat. Dari awal lagi DAP melatihkan calonnya supaya berkhidmat kepada rakyat bila-bila masa. Bagi DAP wakil rakyat adalah perkerjaan kebajikan untuk rakyat.

Selain itu DAP juga menurunkan calon muda yang mempunyai iktisad dan kepakaran dalam berbagai bidang. DAP tidak mengambil sembarangan calon tetapi memilih benar-benar yang bernilai dan bermutu tinggi. Penampilan calon yang berwibawa inilah juga menyebabkan bukan saja orang Cina, tetapi Iban, Dayak hatta Melayu tertarik dengan DAP.

Dalam kempennya DAP lebih menunjukkan sikap profesional dan tidak sesekali memainkan isu peribadi. Mereka tidak mengkritik peribadi Najib. Mereka tidak menyebarkan risalah memburukan isteri Najib keterlaluan. Apa yang mereka attack Najib ialah menerusi polisi dan dasar yang diperkenalkan tidak mesra rakyat.

Dalam banyak hal orang Melayu wajar belajar main politik cara DAP, khasnya BN. Serangan peribadi ke atas Anwar dilakukan penceramah upahan BN tidak banyak menguntungkan dan menyentuh emosi orang Cina.

Kerana sikap itu, kerana dokongan para taukeh maka tidak hairan kalau DAP akan menang disemua kerusi yang dipertandingkan pada 16 April ini. Tidak syak lagi kemenangan DAP di Sarawak itu bakal meletakkan DAP sebagai pembimbing politik negara ini. Selepas ini orang Cina bukan menguasai ekonomi, pendidikan, pengekalan budaya tetapi juga akan menguasai politik Malaysia. [wm.kl.7:00 pm 13/04/11]

Tiada ulasan: