Jumaat, 1 April 2011

.

.


Bukan April Fool

Posted: 01 Apr 2011 03:04 AM PDT

Najib Jadilah PM Yang Berwiba

SUDAH dua minggu isu video lucah bergentayangan di seluruh negara. Semua orang sudah tahu termasuk budak-budak Tadika. Mereka terpinga-pinga dan jadi keliru tentang isu ini. Pemimpin politik negara ini ada dalam video lucah? Bingung. Saya yakin sudah ramai yang menontonya secara haram. Mereka dipanggil seorang demi seorang termasuk (mungkin) ulama?


Ini adalah satu strategi. Tayangan dibuat secara selektif dan eksklusif. Mereka yang menonton akan bercakap mengikut persepsi dan agakan mereka. Ia juga mengikut mood dan selera mereka.

Kalau mereka kebetulan membenci tokoh yang ada dalam video itu akan ditokok tambahkan. Akan diperpanjangkan mengikut selera amarahnya. Manakala kalau kebetulan yang menontonya itu bersimpati kepadanya, dia akan mendaimkan diri saja kalau benar wajah dalam video itu tokoh berkenaan. Tentu mereka akan mengurut dada dan menangis mengenangkan apa yang berlaku.

Saya juga merasakan bukan saja isu video berkenaan sudah melata ke seluruh dunia, tetapi mungkin kliknya juga sudah pun 'sedia' untuk ditayangkan secara umum. Tunggulah, tidak esok, lusa tidak lusa tahun depan ia akan ditayangkan. Saya yakin pihak penerbit, pengedar dan pembikinan hanya menunggu masa saja. Tidak timbul lagu mereka takut kerana 'permit tayangan' sudah pun diperolehi.

Saya selalu katakan ada dua kesukaan manusia, memberi tahu kepada orang ramai apa yang dia tahu dan ingin mengetahui sesuatu dan memburunya. Kalau ia ada cerita ia akan bisik atau bikinkan you tube dan sebarkan. Kalau tidak tahu, dia akan bertanya dan mengorek situ dan sini.

Hari ini sudah berbagai tafsiran ke atas video berkenaan. Masih samar siapa yang menjadi pelakunya. Tetapi yang menyebar dan mengambil tanggungjawab sudah jelas. Siapa Datuk T sudah pun jelas dan tidak usah diceritakan lagi.

Setelah dua minggu cerita video ini memenuhi minda rakyat negara ini saya tertanya sendiri kenapa Perdana Menteri Najib Razak masih mendiamkan diri. Belum terdengar ke telinga saya ulasan dari perdana menteri mengenai isu berkenaan.

Tidak seperti isu DNA baru-baru ini Najib mendesak Anwar menyerah sample DNA kepada mahkamah. Tetapi berlainan dengan isu video lucah ini. Najib sok menjadi alim mengenai hal ini. Kenapa? Apakah mendiamkan diri juga salah satu btektik dan strategi?

Sebagai PM Najib tidak boleh duduk diam. Dia perlu bercakap dan mengulasnya. Sebab ia bukan isu personal antara seseorang dengan seseorang. Tetapi sudah menjadi isu umum. Polis pun sudah menyiasat dan mengesahkan akan ketulenan video berkenaan. Najib perlu ingat bahawa dirinya adalah hak dan kepunyaan dua entiti ataupun pihak. Satu hak Umno dan satu lagi hak rakyat.

Atas kapasiti presiden Umno Najib boleh melakukan apa saja untuk ahli dan penyokong parti itu. Tetapi untuk rakyat beliau kena perlakukan dengan adil dan saksama. Tindakan sebagai ahli politik kena dibezakan dengan tindakan sebagai pemimpin negara.

Apakah dengan mendiamkan diri Najib tidak mahu orang menuduh dia terlibat? Kalau itulah pendiriannya ia adalah salah. Apapun mengenai isu video ini kerana ia bermotifkan politik Najib tidak boleh mengelak dari memperkatakannya. Semakin dia menyepikan diri semakin orang mempersoalkan keikhlasannya.

Kalau mengikut perkembangan terbaru, kes video lucah ini semacam akan dibawa ke mahkamah. Kata Ketua Polis Negara, Ismail Omar kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara. Peguam Negara akan menentukan sam ada hendak dakwa atau tidak. Tidaklah pula saya arif siapa yang akan didakwa. Apakah orang bertanggunjawab menyebar, membikin, menonton atau watak-watak yang ada dalam video berkenaan.

Saya ingin memberi pandangan sedikit kepada Najib kalau-kalau hendak dengar. Rasanya baik beliau campur tangan mengenai isu video berkenaan. Dalam hal ini Najib yang ada kuasa penuh boleh menggunakan kuasanya. Tidak payah Najib kata dia berkecuali kerana dunia tahu sejauh mana dan sebanyak mana kuasa seorang perdana menteri. Kata Abdullah Badawi selepas menjadi PM banyak benda yang sebelum itu dia tidak tahu, kemudian tahu.

Setelah isu ini sudah panas dan hangat, elok kalau Najib mengambil sikap menghentikan isu video berkenaan. Sama ada ia melibatkan Anwar atau tidak, wajar ia dihentikan. Alasannya perkara itu menjijikkan. Dalam perhatian saya adalah silap kalau isu ini diperpanjangkan kerana ia tidak memberi banyak manfaat kepada Najib dan politik BN sendiri. Makin dimainkan makin menimbulkan kemaharan.

Isu video itu bukan seperti filem Ali Bapa Bujang Lapok, Do Re Me atau pun Ibu Mertuaku. Filem-filem itu tidak jemu ditonton kerana nilai seni dan klasiknya. Tetapi cerita video lucah ini amat menijik dan menyemakkan minda. Apakah seorang PM seperti Najib mengizinkan perkara seperti ini?

Rasanya kalau Najib ingin tampil sebagai seorang pemimpin berwibawa, dilihat berakhlak dan mempunya integriti serta sukakan kepada kedamaian, inilah masanya. Beliau bangkit dan berkata sepatah, hentikan isu video lucah ini kerana ia tidak menguntungkan sesiapa baik di dunia maupun di akhirat.

Kalau Najib bingkas berbuat demikian saya yakin penghormatan kepada beliau makin tinggi, dan darjatnya juga sebagai pemimpin tenang dan matang makin menyerlah. Saya rasa bukan saja rakyat terbanyak menyanjungi langkah Najib itu tetapi dari kalangan pembangkang juga.

isu video lucah ini peluang untuk Najib membina imejnya. Sikap begitulah saya rasakan ia termasuk dalam ciri tranformasi hendak dilakukan Najib. Biarlah kalau orang mengatakan usaha menghentikan itu dikatakan Najib penakut tetapi hakikatnya tindakan itu adalah afdal dan alua dari sisi rakyat yang cintakan perdamaian.

Ingat dan insaflah seorang perdana menteri bukan saja menjaga kepentingannya dan kumpulannya tetapi juga memeliharaan kepentingan dan kumpulan rakyat seluruhnya. Najib akan dikenang kalau ia berani melakukan sesuatu yang diluar pemikiran mereka yang desperate. Beranikah Najib? [wm.kl.6:20 pm 01/04/11]

Sebelum Jumaat

Posted: 31 Mar 2011 09:52 PM PDT

Kebenaran Video Lucah Terus Ditunggu

Perkembangan terbaru mengenai video lucah yang membabitkan tokoh politik masuk frasa kedua.

Ketua Polis Negara, Ismail Omar berkata menurut penelitian pakar tempatan video berkenaan tulen dan bukan palsu.

Satu perkara sudah terjawab kini. Tetapi mungkin boleh dipersoal lagi sejauh mana ketulenannya.

Saya percaya kalau ia tertakdir di bawa ke mahkamah penyiasatan untuk mengesahkan benar atau palsu akan melibatkan pakar 'forensik' video dari luar negara.

Apa yang ditunggu kini ialah siapakah watak dalam video berkenaan dan untuk apakah ianya dirakam dan didedahkan. Apakah ia tulen atau pun tidak?

Yang perlu dicari (wajib diketahui) siapakah yang merakamnya. Menjadi tugas polis membawa mereka yang bertanggungjawab.

Sekali lagi kalau ia dibawa ke mahkamah menyebabkan pakar 'forensik' dari luar akan di bawa untuk mengesahkannya keaslian watak-watak dalam video berkenaan.

Persoalan lain apakah kalau benar yang terlibat itu tokoh politik negara ini pihak berkuasa ada kuasa untuk mendakwanya?

Ini yang sedang ditunggu dan dinantikan penuh debaran dan kesalan. Boleh jadi pendakwaan akan dilakukan sekiranya dengan berbuat begitu pihak yang menguasai perundangan merasakan mereka mendapat untung darinya.

Game video lucah ini masih belum selesai. Masih banyak game overnya. Yang benar tetap akan dibenarkan walaupun macam mana sekalipun. [ttdi.kl 12:57 t/hari 01/04/11]

Susupan Tengahari (Lewat Post)

Posted: 30 Mar 2011 11:06 PM PDT

Nasib Kita Dan Negara Kita

MALAM tadi seorang kawan mengajak saya makan durian di satu lokasi tidak jauh dari rumah. Katanya dia hendak ke situ kerana bertemu seorang kawannya kerana ada urusan berkenaan sekolah anaknya. Kawan kepada kawan saya itu seorang jurutera yang terlibat dalam pembinaan landasan keretapi berkembar ke Utara.

Dia mengakui tidak minat dengan politik. Dalam pilihan raya dia tidak akan pilih parti tetapi akan memilih siapa calonnya. Kalau ada yang baik, tidak rasuah, tidak ada skandal, tidak lompat parti calon itulah yang akan dipilih. Dalam kata lain jurutera ini tidak mengira ideologi politik.

Sikap atau pendirian seperti jurutera muda ini adalah sikap kebanyakan pengundi muda hari ini, atau pengundi yang berpendidikan tinggi. Mereka tidak mudah larut dengan retorik parti politik. Baginya parti politik adalah sama saja, tetapi yang membezakan, perwatakan pemimpinnya. Makanya tidak ada keperluan untuk dia memilih parti politik.

Dia berjumpa kawan saya itu kerana nak minta tolong dapatkan biasiswa untuk anaknya. Anaknya mendapat A dalam sembilan mata pelajaran dalam SPM lalu dan layak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian di luar negara. Itu yang difaham dan itulah janji kerajaan menyebabkan ia bersungguh membantu anaknya ke luar negara.

Kerana merasakan anaknya layak dia berusaha mencari ikhtiar. Ini sikap seorang bapa yang bagus yang mahu melihat kejayaan anaknya. Dia percaya kalau mengikut prosuder biasa, tanpa menerusi mana-mana cable (saluran politik dan diplomatik) tidak mungkin akan memperolehi tempat. Tempat atau peruntukan untuk tawaran bisiswa kepada pelajar cemerlang amatlah terhadap.

Kerajaan sendiri sudah pun menarik banyak peruntukan untuk menaja pelajar ke luar negara. Salah satu agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam hal ini ialah Mara. Mara pun kini sedang dalam kelempuhan kewangan untuk membiayai bumiputera dalam apa juga sektor. Dah la begitu Mara pula diasak dan senantiasa dicuriagi oleh kaum lain. Orang Melayu pula terikut dengan rentak dan tarik mereka yang dengki kepada tanggungjawab Mara.

Menurut bapa tadi dia tidak suka menjual muka meminta dan merayu kepada mana-mana pihak. Iya itu bukan kerja orang ada maruah. Tetapi kali ini dia terpaksa menjual air mukanya - meminta bantuan kawannya untuk anaknya.

"Kawe terpaksa minta tolong demo sikit kali ini kerana kalau wat (ikut cara) biasa takkan dapat pun," katanya dengan nada simpati dan merayu. Saya memahami hasrat dan harapan besar bapa berkenaan, dan lebih-lebih lagi harapan anak yang ingin ke luar negera itu.

Balik rumah saya terkenang kepada bapa berkenaan. Juga terkenang kepada diri sendiri. Betapa untuk mencari ruang dan tempat untuk anak-anak belajar. Itu dia seorang jurutera yang berkemampuan masih lagi mengharapkan kepada bantuan kerajaan. Macam mana kalau orang kampung! Ibarat kata tidak pernah termimpilah untuk anak-anak orang kampung melanjutkan pelajar ke luar negara, kecuali ada sesutau yang paling istimewa.

Banyak mana pun anak-anak kampung berleyakan tetapi mereka tidak akan ke mana. Paling-aling masuk ke universiti tempatan saja. Itu pun ada yang tercicir tidak dapat ke universiti kerana tidak ada wang. Masih ada.

Untuk mengharap dan meminta bantuan menerusi saluran tertentu, usah mimpi. Mereka tidak kena sesiapa pun di Kuala Lumpur. Selalunya berlaku orang KL jugalah yang memberi bantuan dan dorongan serta membuka jalan. Kalau tidak ada siapa membantu, maka akan terkapai-kapai sendirianlah.

Institusi atau pun syarikat GLC yang menawarkan biasiwa hanya akan berlegar di kalangan mereka saja. Mula-mula yang dipilih anak pengerui dan anak beranaknya. Selepas ada para ahli lembaga pengarahnya. Kemudian anak-anak CEOnya. Itu pun belum tentu lagi. Pengambilan ini tak pula berpandukan kepada kelulusan dan kelayakan. Yang penting dia adalah anak-anak kita.

Saya tidak tahu apakah perbuatan ini termasuk dalam rasuah atau tidak. Apakah ia penyalahgunaan kuasa atau tidak. Apakah ia telah pecah amanah atau tidak? Catatan ini pun sekadar catatan saja bagi menunjukkan inilah yang berlaku. Untuk mengubah suasana dan keadaanya ia tidak mungkin sekali. Sebab manusia sudah lama mentup pintu syurga dalam bak-bak kepentingan diri ini. [wm.kl.]

Tiada ulasan: