Jumaat, 1 April 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


UMNO Shah Alam dalang komik lucah?

Posted: 01 Apr 2011 04:32 AM PDT

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mendakwa pengedaran komik 'Kisah Juara Raja Lawak' yang memaparkan karikatur lucah mengaibkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim didalangi Umno Bahagian Shah Alam.

Komik setebal 16 muka surat itu mengandungi karikatur dan gambar teknik 'super impose' lucah berwarna selain jalan cerita menggambarkan Anwar yang diselubungi skandal seks termasuk mengaitkan dengan bekas pembantu peribadi Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Khalid berkata, beliau menerima aduan daripada pihak pengurusan sebuah kilang percetakan di Seksyen 23 di sini apabila timbunan komik tersebut dijumpai minggu lalu dikilang tersebut yang diletakkan oleh individu tidak dikenali.


Khalid mendakwa, beliau didatangi pihak pengurusan tersebut membuat aduan menyatakan kebimbangan kerana komik itu sudah mula diedarkan kepada pekerja kilangnya oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

"Penyebaran komik lucah ini merupakan satu corak politik yang kotor dan lebih menjijikkan lagi, saya dapat maklumat ia didalangi Pemuda Umno Bahagian Shah Alam," katanya kepada pemberita dipejabatnya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Khalid menggesa Ketua Bahagian Umno Shah Alam Datuk Ahmad Nawawi Md Zin tampil mengutuk sekaligus menafikan dakwaan yang dilemparkannya.

"Kalau Umno punya maruah dan prinsip, mereka kena buat kutukan dan tolak dakwaan ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan membuat laporan polis tentang perkara ini di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Seksyen 11 esok.

"Saya akan buat laporan polis dan serahkan komik itu yang dianggap sebagai bahan lucah," katanya.

Pada 29 Mac lalu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar membuat laporan polis terhadap komik yang sama di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Dalam laporannya, Nurul Izzah mendakwa pengedaran komik itu berniat jahat bagi menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Anwar serta beliau sendiri sebagai anak sulungnya.

Khalid gesa Eskay ditahan

Sementara itu, Khalid turut menggesa agar individu 'Datuk Trio', Datuk Shazryl Eskay Abdullah ditahan dan didakwa kerana mengaku memiliki dan mengedar bahan lucah.

Walaupun Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata rakaman video itu telah disahkan ketulenannya oleh pakar tempatan, namun Khalid berkata aspek itu tidak boleh mensabitkan Anwar sebagai individu didalam video itu.

Katanya, polis banyak memberikan kelonggaran dan keistimewaan berbanding kes pengedaran video lucah yang membabitkan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek tiga tahun lalu.

"Polis memberi amaran sesiapa yang melihat dan mengedarkan video lucah Soi Lek akan dikenakan undang-undang, dan ini berbeza dengan kes yang dihadapi Anwar sekarang.

"Walaupun video in tulen, Eskay kena buktikan bersama saksi yang beliau hadir membawa Anwar ke hotel tersebut," katanya.


Free Malaysia Today

Petrol RON97 naik 20 sen lagi.. RON 95 tunggu lepas PRN Sarawak..

Posted: 01 Apr 2011 04:22 AM PDT

Memang diapungkan sungguh harga petrol RON 97 ni.. tapi hari tu bila harga minyak dunia turun tak pulak dia turun...

KUALA LUMPUR, 1 April - Harga petrol RON97 akan mengalami kenaikan 20 sen seliter mulai tengah malam ini, demikian menurut sumber-sumber industri hari ini.

Dengan kenaikan itu, bahan api RON97 akan dijual RM2.70 seliter - kadar peningkatan paling tinggi tahun ini.

"Baru petang ini kami menerima notis pengesahan (daripada kerajaan) mengenai kenaikan, 20 sen seliter kali ini," kata sumber itu.

Ini kenaikan kali ketiga tahun ini. Ia mengalami kenaikan 10 sen seliter berkuat kuasa 31 Januari lalu.


Harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Disember lalu, menjadikan RM2.30 seliter dan kemudian RM2.40 seliter mulai awal Januari lalu.

"Kenaikan kali ini hanya membabitkan petrol RON97, yang lain-lain kekal tidak berubah," kata sumber itu.

Februari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sedang mengkaji semua opsyen bagi membolehkan kerajaan tidak menaikkan harga petrol RON95 dalam waktu terdekat walaupun berlaku kenaikan harga minyak global.

Disebabkan harga RON97 diapungkan kerajaan memutuskan untuk tidak mengumumkan perubahan harganya dari semasa ke semasa.


The Malaysian Insider

Lagi Pemimpin UMNO mentekedarah Rasuah..

Posted: 01 Apr 2011 01:57 AM PDT

ADUN Lenggeng, Mustafa Salim hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban.

Mahkamah juga membenarkan penangguhan hukuman ke atas ADUN BN itu kerana pembelaan mahu membuat rayuan.

Mahkamah sebelum ini mendapati Mustafa bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM2,000 sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat sokongan berkaitan dengan projek pasir, lebih dua tahun lalu.

Tiada p'raya kecil

Hukuman yang dijatuhkan ke atas Mustafa itu bagaimanapun tidak akan menyebabkan pilihan raya kecil diadakan.

Ini berdasarkan kenyataan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini berhubung kelayakan Mustafa sebagai wakil rakyat.


Abdul Aziz berkata, kelayakan Mustafa sebagai wakil rakyat tidak akan dilucutkan selagi ADUN berkenaan masih berpeluang untuk mengemukakan rayuan. "Hukuman akan dijatuhkan pada 1 April.

Ia tidak akan berkuatkuasa sehingga akhir 14 hari, di mana beliau boleh memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi.

"Proses mahkamah ini panjang, ADUN itu boleh merayu lepas 1 April ini, selepas habis proses mahkamah semuanya dan tetap disabitkan baru lucutlah jawatan ADUN," kata Abdul Aziz.

Menurutnya, jawatan Mustafa akan hanya dilucutkan jika beliau tidak merayu atau dihukum kepada setahun penjara atau atau lebih dan didenda sekurang-kurang RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sekalipun Mustafa dilucutkan kelayakannya, pilihan raya kecil tidak akan diadakan jika keputusan muktamad mahkamah hanya dibuat selepas 28 April, tahun ini.


Malaysiakini

Video Lucah : Apakah ketulenannya dipersoalkan?

Posted: 01 Apr 2011 01:19 AM PDT

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pakar-pakar tempatan telah mengesahkan bahawa rakaman video seks, yang didedahkan oleh "Datuk T" awal minggu lalu, bukan sesuatu yang direka atau dipalsukan.

Tulen.. satu ayat yang mampu membuatkan pakcik makcik yang berada di kampung-kampung dan felda mula terlupa bahawa Anwar telah menafikan bahawa bukan beliau didalam Video itu..

Apa yang kita persoalkan sebenarnya berkenaan Video lucah ini? Adakah ketulenannya atau kelibat lelaki yang didakwa sebagai pemimpin utama pembangkang itu adalah benar Anwar ?


Samada ianya tulen atau tidak, kenapa hingga kini tiada tindakan undang-undang diambil selain dari dipanggil untuk disoal siasat, terhadap 'Three Stooges' yang bertindak menyiarkan Video Lucah itu kepada beberapa wakil media?

Jika di Georgetown, Pulau Pinang seorang lelaki semalam telah mengaku bersalah kerana memiliki DVD dan VCD lucah dan telah didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.- sepenuhnya di SINI. Lelaki tersebut juga telah digari ketika dibawa ke mahkamah.

Mengapa ketiga-tiga 'Three Stooges' itu tidak mendapat layanan seperti lelaki itu???


IGP: Video seks didedah 'Datuk T' tulen
KUALA LUMPUR, 1 April — Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pakar-pakar tempatan telah mengesahkan bahawa rakaman video seks, yang didedahkan oleh "Datuk T" awal minggu lalu, bukan sesuatu yang direka atau dipalsukan.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti ahli politik yang didakwa terlibat dalam adegan seks dalam rakaman video seks itu.

Ismail berkata ia adalah hasil laporan pakar yang telah menyiasat kes tersebut dan kertas siasatan akan diserah kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Pada 23 Mac lalu, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengaku bahawa beliaulah yang mempertontonkan video itu kepada media terpilih di Carcosa Seri Negara.

Shazryl juga mendedahkan bahawa gelaran ''Datuk T'' merujuk kepada tiga sahabat yang membuat pendedahan rakaman video seks itu, yang sebenarnya bermakna ''trio'' iaitu beliau sendiri, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Polis telah menubuhkan satu pasukan khas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat rakaman video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin pembangkang.

Polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Siasatan itu dibuat ekoran laporan polis oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa yang menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video berkenaan.


The Malaysian Insider

Bung Moktar tidak senonoh - Guan Eng

Posted: 01 Apr 2011 12:55 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 April — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Barisan Nasional (BN) memecat Datuk Bung Moktar Radin berhubung komen 'tidak senonoh' dengan menuduh Ahli Parlimen Kinabatangan itu melihat wanita hanya sebagai objek seks.

Lim juga berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memecat pegawainya Mohd Ashraf Mohd Yunus yang menonton bahan lucah selepas menyiasat Teoh Beng Hock pada malam sebelum pembantu setiausaha DAP itu ditemui mati dua tahun lalu.

"Bagaimana Malaysia boleh maju ke hadapan dalam soal kesamaan jantina jika individu seperti Bung Moktar secara berterusan mengatakan menyukai wanita dengan berulang kali? Ini adalah kelakuan seorang lelaki yang melihat wanita sebagai objek seks," kata Lim.


Ahli Parlimen Bagan itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu buktikan beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Bung Moktar di Parlimen Isnin lalu apabila mengatakan pemanduan golongan wanita kebanyakannya amat berbahaya dan sekali gus boleh mengundang kemalangan.

Beliau juga menggesa Najib memecat Bung Moktar yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno. "Masa sudah tiba untuk ahli Parlimen seperti Bung Moktar dipecat dari BN untuk membuktikan konsep 1 Malaysia Najib termasuk menghormati wanita," kata Lim.

Ketua Menteri Pulang Pinang itu berkata Bung Moktar telah membuat satu kenyataan berbaur lucah sebelum 2007 apabila mengatakan Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan "bocor" setiap bulan.

Bung Moktar bagaimanapun memohon maaf kepada wakil rakyat DAP itu.

Lim juga berkata bahawa "penagih seks" seperti Mohd Ashraf harus dipecat kerana gagal dalam tugas asasnya untuk memerhatikan Teoh.

"SPRM perlu pecat Ashraf bukan kerana Ashraf menonton pornografi menerusi komputernya di pejabat SPRM pada 16 Julai 2009 tetapi kerana gagal menjalankan tugas asasnya iaitu memerhatikan Teoh Beng Hock," katanya.

Beliau berkata, menonton pornografi bukan satu alasan untuk memecat Ashraf tetapi penolong pegawai SPRM Selangor itu harus dipecat kerana tidak memerhatikan Teoh, yang ditemui mati beberapa jam kemudian.

Semalam Suruhanjaya Diraja Siasatan (RCI) kematian Teoh berkata, pegawai SPRM itu menonton pornografi selepas mengambil kenyataan bekas setiausaha politik Exco Selangor Ean Yong Hian Wah.

Mayat Teoh beberapa jam selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.


The Malaysian Insider

Saya tidak hidup mewah - Taib Mahmud

Posted: 31 Mar 2011 11:51 PM PDT

Adakah boleh seseorang itu mengaku dirinya hidup secara sederhana jika beliau hadir hanya untuk memenuhi jemputan kenduri kahwin dengan menggunakan Jet peribadi dari jenis Jet Lear dari Kucing ke Pulau Pinang?


Ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud memperhebatkan lagi penafian berhubung dakwaan-dakwaan rasuah yang dilemparkan ke atasnya di alam siber. Kali ini penafian berkenaan dimuat-naikkan di laman web rasminya.

Tiga video berkenaan yang sepanjang lima minit setiap satu melalui YouTube dengan nama Chiefministertaib disiarkan di www.chiefministertaib.sarawak.gov.my pada Rabu lalu.


Wajah penemuramah yang bertutur dalam slanga British itu ditunjukkan dalam video berkenaan.



Dalam video bertajuk 'Ketelusan kewangan' itu, Taib menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai gaya hidup yang mewah seperti didakwa.


Malah, ada rakyat Sarawak yang tinggal di rumah yang lebih baik daripada dirinya, kata Taib lagi.

"Apa awak maksud mewah? Sesiapa yang pergi Sarawak akan melihat bahawa tidak ada atap atau bumbung bocor dan rumah-rumah dibina di merata tempat.

"Rumah yang berkualiti dibina merata tempat. Saya (tinggal) di satu daripadanya (tetapi) ada lagi rumah yang lebih baik daripada rumah saya. Ada perangkaan, sila semaknya," kata Taib.

Menurut ketua menteri itu, jika benar beliau mengamalkan rasuah seperti yang didakwa, rakyat sekelilingnya akan mempunyai sikap berlainan terhadapnya.

"Ini bukan sikap atau sambutan yang diberikan kepada seseorang yang sepatutnya mengamalkan rasuah, amat tamak, tidak!"

"Jika kita lakukan perkara tidak baik, saya tidak akan bertahan untuk tempoh masa yang lama.

Awak tak boleh sembunyikan jenayah... sembunyi salah guna kuasa untuk hampir 50 tahun. Ia melukakan," katanya.


Malaysiakini

Barang Naik?? Undilah Barisan Nasional lagi..

Posted: 31 Mar 2011 08:29 PM PDT

Artikel ini dipetik dari Media yang menjadi Lidah Rasmi UMNO iaitu Utusan Malaysia, mengisahkan akan rungutan seorang pengarangnya tentang harga barang yang kini melambung menekan rakyat marhaen..

Kalau dilihat pada akhir artikelnya beliau menulis "Kalau dicongak-congak hampir satu bulan gaji dipotong untuk cukai pendapatan sahaja".. hakikatnya jika dikira keseluruhan cukai yang kita bayar dari cukai pintu, cukai jalan, cukai perkhidmatan, cukai tanah dan income tax sendiri kita membayar sekurang-kurangnya dua bulan atau lebih pendapatan kita kepada kerajaan Barisan Nasional..

Tak apa.. lain kali Undilah Barisan Nasional lagi..




Kurangkanlah cukai pendapatan!

Oleh Azman Anuar

HARI ini kalau suri rumah pergi ke kedai runcit atau pasar, RM20 habis untuk belanja barang basah. Ayam atau ikan serta sayur cukup-cukup untuk hidangan makan tengah hari dan malam untuk perut lima orang satu keluarga.


Cuba bertanya kepada kaum wanita yang sering ke pasar atau kedai runcit. Jarang-jarang yang tidak merungut mengenai harga barangan sekarang.

Kalau ada kedai yang boleh jual barangan barang basah pada 'harga runtuh' setiap hari, mereka akan serbu. Untung orang yang tinggal berdekatan pasar borong sebab hari-hari dapat harga murah.

Tapi yang berjauhan, 'hari-hari marah.' Belanja dapur sahaja sudah melambung berkali-kali ganda. Apalah nasib golongan pertengahan, belanjawan harian meningkat.

Tinggal sebulan lagi, golongan ini juga perlu mengisi borang cukai pendapatan. Banyak dapat, banyaklah kena cukai.

Ada yang mengeluh. Kalau boleh kita mahu rakyat Malaysia dapat menikmati kembali barangan keperluan harian pada harga murah.

Tiga atau empat tahun lalu, harga seikat pucuk ubi baru 50 sen, sekarang RM1. Dahulu ayam daging baru RM3.80 sekilogram, sekarang melambung lebih RM7 sekilogram.

Cukuplah dua contoh yang menjadi makanan kegemaran orang Melayu. Nampaknya tak ada usaha mana-mana pihak untuk memperlahankan kenaikan harga barang.

Tak ada pihak peniaga yang hendak mengurangkan harga jualan mereka. Kalau boleh mereka mahu menaikkan harga jualan lagi.

Ini baru bab soal makan. Kalau masuk bab harga rumah, lagi menakutkan. Dengan pergerakan dan kenaikan gaji bagi golongan pertengahan tidak naik mendadak seperti harga rumah dan barang keperluan, mereka kena pandai-pandai berjimat.

Wang gaji bulanan kadang kala tak cukup. Ansuran rumah sewa atau pinjaman rumah dan kereta sudah menelan tiga suku gaji bulanan. Tinggal suku lagi untuk belanja lain-lain.

Mengharapkan simpati peniaga turunkan harga barangan mungkin sukar, sebab mereka ada banyak alasan. Kerajaan pun sudah penat merayu.

Tinggal pada siapa lagi tempat mengadu! Memandangkan setiap tahun Lembaga Hasil Dalam Negeri mengumumkan kejayaan mengutip berbilion cukai pendapatan, mungkin dalam pembentangan Belanjawan 2012 kerajaan boleh beri sedikit harapan baru.

Bagaimana kalau kerajaan menurunkan 50 peratus kadar cukai pendapatan individu.

Cukai pendapatan individu walaupun banyak dipotong tapi tidak sampai menjejaskan pendapatan negara.

Nampaknya cara ini dapat membantu golongan rakyat yang kena bayar cukai pendapatan.

Kalau dicongak-congak hampir satu bulan gaji dipotong untuk cukai pendapatan sahaja. Jika cadangan ini dilaksanakan bermakna separuh sahaja dikenakan. Mana-mana ruang jika boleh dikurangkan, lakukanlah.

Kerajaan tidak akan rugi, malah 'beruntung'. Orang berbudi, ada balasannya. Percayalah...


Lidah Rasmi UMNO

Salah rupanya memiliki Video Lucah...

Posted: 31 Mar 2011 07:56 PM PDT

Salah rupanya memiliki Video lucah ni.. cuba korang baca berita pasal seorang lelaki yang didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret kerana memiliki cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) lucah...

Tapi Three Stooges tu tak kena tangkap atau didakwapun...mungkin niat Three Stooges itu baik.. tapi niat lelaki ini tidak baik...atau mungkin juga lelaki ini tidak menayangkannya kepada umum..

Padah miliki DVD, VCD lucah

GEORGETOWN - Padah memiliki cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) lucah, seorang lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Thor Chee Tatt, 25, yang mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Lebuh Chulia, kira-kira jam 10.30 malam, 10 April 2006, sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Majistret, Noor Aini Yusof, kemudian mengenakan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.


Tertuduh dari Batu Lancang disabit kesalahan di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tiga tahun atau denda atau keduanya sekali.

Terdahulu, Chee Tatt tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai tanggungan ibu bapa.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim pula berkata, tertuduh tiada rekod lampau dan memohon hukuman yang setimpal dengan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, dalam satu operasi cegah jenayah di kawasan Lebuh Chulia, polis menahan sebuah motosikal yang ditunggangi tertuduh , di tempat, tarikh dan masa seperti pertuduhan.

Hasil pemeriksaan mendapati ada dua keping DVD dan enam keping VCD lucah dalam begnya.


Sinar Harian

BN Sarawak!! Cukup-cukuplah menjarah harta Rakyat..

Posted: 31 Mar 2011 10:23 AM PDT


KUCHING: Penyertaan Sarawak ke dalam Malaysia untuk mencapai kemerdekaan tidak ada maknanya jika pemerintah negeri berperangai seperti penjajah, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apakah maknanya kemerdekaan jika kita membiarkan mereka yang tamak dan rakus berterusan menjarah harta di negeri ini?

"Seolah-olah tidak cukup segala balak, tanah dan minyak yang diambil. Sudahlah, cukuplah," katanya pada program ramah mesra bersama penduduk di Kampung Selampit dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Opa hari ini.


"Inilah yang peliknya. Sedangkan, negeri ini ditadbir orang Sarawak sendiri," kata Anwar pada program ramah mesra bersama penduduk di Kampung Selampit dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Opa hari ini.

Mana jambatan kami? Dah janji berbelas-belas tahun!!

Program itu dihadiri ratusan penduduk kebanyakannya terdiri daripada nelayan dan petani dari suku kaum Bidayuh yang mengakui kerap tertipu dengan janji manis pimpinan Barisan Nasional (BN).

Sekalipun ditadbir anak negeri sendiri, Anwar berkata, perubahan perlu dilakukan selagi maruah dan harga diri rakyat negeri ini diinjak-injak kelompok atasan yang tamak haloba.

"Negeri ini sudah rosak. Apakah kita akan terus diam dan sokong? Sekarang adalah waktunya kepada anak-anak muda untuk berani menyatakan pendirian demi mempertahan hak," katanya.

Ketua Pembangkang itu berkata, program Sayang Sarawak yang heboh ditayang TV3, sebuah media kawalan BN hanya bersifat sementara dan tidak mengutamakan kebajikan rakyat tempatan.

"Mereka sebenarnya bukannya sayang sangat kepada rakyat Sarawak tapi kepada Taib Mahmud, George Chan dan Alfred Jabu.

"Habis pilihan raya ini, habislah program Sayang Sarawak. Habislah orang Sarawak, tak kiralah suku Iban, orang Ulu, Dayak, Melanau atau Melayu.

"Semua tinggal janji," kata Anwar yang turut kesal kerana kerajaan Sarawak mengabai janji untuk membina jambatan di kampung berkenaan sejak berbelas-belas tahun lalu.


http://www.keadilandaily.com/?p=10337

Tiada ulasan: