AKU INGIN BEBAS |
ALKITAB: NAK IKUT MUFTI ATAU UMNO Posted: 06 Apr 2011 05:43 PM PDT KUALA LUMPUR, 7 April — Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid menyifatkan langkah Putrajaya membenarkan penggunaan kalimah "Allah" dalam kitab Injil versi Bahasa Malaysia sebagai tindakan "menodai" undang-undang Islam negara ini. Tegas Tamyes, undang-undang Islam yang diamalkan selama ini telah "diceroboh" dan "dinodai" oleh pihak berkuasa termasuk pemimpin kerajaan yang beragama Islam. "Undang-undang Islam telah diceroboh dan usaha-usaha menceroboh ini berlaku dari dalam... ini yang susah kerana Islam rosak apabila ada pihak yang menceroboh dari dalam. "Undang-undang Islam ini telah dinodai, ada pihak yang buat undang-undang tapi mereka sendiri yang melanggar undang-undang yang telah dibuat dan ini adalah satu pencerobohan secara terhormat," katanya kepada The Malaysian Insider. Kecewa dengan tindakan Putrajaya itu, Tamyes juga menyokong cadangan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria agar undang-undang Islam dibatalkan sekiranya Putrajaya masih bertegas dalam isu tersebut. "Mereka buat undang-undang tapi diceroboh, sepatutnya undang-undang yang dibuat ini dipatuhi bukan dilanggar dan dinodai seperti ini. "Undang-undang dinodai oleh orang yang berkuasa... orang yang mempunyai kuasa dalam kerajaan telah melanggar undang-undang sendiri, kalau macam ini hapuskan sahaja undang-udang Islam yang ada ini," katanya. Beliau juga menyifatkan langkah Putrajaya itu merupakan satu permainan politik yang jelas semata-mata mahu mendapatkan sokongan rakyat terutamanya penganut Kristian. "Bila tiba pilihan raya mesti jadi macam ini, ini adalah satu permainan politik yang jelas. "Pendirian saya sangat jelas dalam perkara ini, undang-undang Islam tidak boleh dilanggar tapi apa yang berlaku sekarang ia dinodai oleh orang Islam sendiri... undang-undang Islam telah dinodai," katanya. Tambah Tamyes, beliau berharap agar Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Fatwa Kebangsaan akan memandang serius akan perkara itu. Kelmarin Harussani mencabar Putrajaya membatalkan undang-undang Islam sekiranya masih bertegas mahu membenarkan penggunaan kalimah "Allah" dalam kitab Injil versi Bahasa Malaysia. Mufti Perak itu menegaskan sekiranya Putrajaya membuat keputusan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil itu, maka secara automatik enakmen agama Islam yang tidak membenarkan agama lain menggunakan istilah eksklusif bagi agama Islam terbatal sama sekali. Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata, kerajaan pusat mengumumkan 10 formula penyelesaian, antaranya kitab Injil dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia atau Indonesia boleh diimpot ke Malaysia bagi menyelesaikan isu Alkitab. Selain itu, Putrajaya juga memutuskan Alkitab juga boleh dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. "Ini adalah perkembangan baru yang seharusnya diterima dengan senang oleh kumpulan Kristian," kata Idris. Bagaimanapun, bagi menghormati komuniti Islam yang besar di Semenanjung, kitab Injil dalam Bahasa Malaysia/Indonesia mesti tertera dengan "Penerbitan Kristian" ("Christian Publication") dan tanda salib pada kulit hadapan. Demi semangat 1 Malaysia dan akuan bahawa ramai yang berhijrah antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, tidak terdapat larangan bagi mereka yang membawa kitab Injil dan bahan bacaan Kristian semasa melawati negeri-negeri tersebut. Harussani juga menegaskan mana-mana kitab suci agama lain termasuk Kristian tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dan beberapa istilah lain yang eksklusif bagi agama Islam di negara ini. |
PEGAWAI KASTAM PULA MATI DI BANGUNAN SPRM SELEPAS TEOH BENG HOCK Posted: 06 Apr 2011 04:08 PM PDT Pegawai kastam yang ditemui mati di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan semalam, datang ke pejabat itu di Jalan Cochrane secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang dibongkar baru-baru ini. Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang memegang jawatan Penolong Pengarah cawangan import eksport dan kawalan sempadan KDRM Selangor, datang ke pejabat SPRM bersendirian menunggang motosikal. SPRM juga mengesahkan Ahmad Sarbani adalah antara pegawai kastam yang ditahan 1 April lalu pada jam 1 tengah hari di pejabat kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dan dibawa ke SPRM Wilayah Persekutuan untuk membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan 2 April pada jam 12.30 tengah hari. Oleh kerana pegawai penyiasat terbabit sedang bermesyuarat, beliau menunggu di lobi bangunan sehingga jam 9.30 pagi sebelum datang seorang pegawai lain untuk mengiringi Allahyarham ke sebuah bilik 'pantry' di tingkat tiga. Katanya, kira-kira 45 minit selepas itu, pegawai yang mengiringinya meninggalkan Ahmad Sarbani sebentar untuk mendapatkan pegawai penyiasat yang ingin ditemui Allahyarham. "Apabila pegawai pengiring terbabit masuk semula ke bilik rehat, beliau dapati pegawai kastam itu sudah tiada dalam bilik. Selepas mencari di sekitar kawasan pejabat, seorang pegawai kami terlihat satu tubuh manusia atas lantai di tingkat satu," katanya. Beliau berkata, SPRM kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis sebelum menghubungi keluarga dan majikan mangsa. Siasatan terhadap Allahyarham dijalankan selepas 62 pegawai kastam ditahan dan disoal siasat menerusi Operasi 3B kerana dipercayai terbabit dalam rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain, baru-baru ini. Penahanan membabitkan 53 pegawai lelaki serta sembilan perempuan berusia antara 24 dan 56 tahun dan daripada jumlah itu, seramai 17 pegawai termasuk seorang berjawatan pengarah ditahan reman. Selepas operasi itu, sejumlah RM602 juta wang yang terbabit dalam pengubahan haram dibekukan, RM382 juta harta disita, manakala RM31.2 juta lagi dilucutkan hak. Siasatan menemui simpanan dalam akaun bank sehingga hampir setengah juta, RM850,000 dalam akaun amanah saham dan kereta mewah. Sementara itu, menurut sumber, ada beberapa saksi melihat Ahmad Sarbani berlari ke arah tingkap di tingkat tiga sebelum jatuh ke tingkat satu yang dikatakan digunakan sebagai gelanggang badminton. Mangsa cedera parah pada muka dan kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian. Sumber turut berkata, Allahyarham datang ke pejabat SPRM untuk menukar kenyataannya kepada SPRM sebelum ini serta mendapatkan tandatangan pengesahan pada borang yang menyatakan beliau dibebaskan dengan jaminan. |
You are subscribed to email updates from AKU INGIN BEBAS To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan