Khamis, 3 Mac 2011

Politiksukusakat

Politiksukusakat


Kisah hidup Anak-anak Presiden Lahanat dan Jahanam di negara-negara Arab

Posted: 03 Mar 2011 12:13 AM PST

Oleh : Dr Azman Ibrahim

Ada pepatah Arab yang menyebut 'Anak lelaki adalah mereka yang berkata, inilah saya, bukan ayah saya atau datuk saya.' Maksudnya, anak lelaki yang sebenar adalah mereka yang tampil dengan kebolehan sendiri, samada dia seorang yang berani, bijak, kaya, berpengaruh, disegani, berpangkat semuanya kerana dirinya. Bukanlah seorang anak lelaki kalau setakat dia berbangga dengan sejarah silam keluarganya samada ayahnya atau datuknya atau sesiapa sahaja. Kalau diri sendiri tak memiliki apa-apa tapi sekadar bersandar dan bergantung dengan pengaruh keluarga.

Banyak kali saya mendengar pepatah ini diucapkan oleh sahabat-sahabat sekuliah dulu dan saya amat tertarik dengan maksudnya agar kita tampil sebagai seorang individu yang hebat dan berdikari.

Krisis politik yang berlaku di beberapa Negara Arab membuka mata kita bagaimana hebatnya pengaruh seorang anak lelaki di belakang seorang bapa yang telah berpuluh tahun bertakhta di puncak kuasa sekalipun dibenci oleh rakyat sendiri.

Gamal Mubarak

Gamal Mubarak atau nama sebenarnya Gamal Al Din Mohammed Hosni Sayed Mubarak seketika pernah menjadi sebutan kerana kekayaan dan pengaruhnya di belakang bapanya bekas Presiden, Hosni Mubarak sehingga beliaulah dikatakan individu yang dipersiapkan oleh ayahnya untuk mengambil alih kepimpinan Negara.

Usaha untuk mempersiapkan Gamal sebagai Presiden dalam pembikinan dimulakan secara serius sekitar tahun 2000. Dengan ketiadaan jawatan Naib Presiden dalam struktur pemerintahan Mesir memudahkan tumpuan media beralih kepada Gamal disamping bapanya Hosni.

Walaupun berkali-kali pernah menafikan bahawa beliau bercita-cita ke puncak kuasa, tetapi dengan posisinya sebagai Timbalan Setiausaha Agong parti pemerintah NDP di samping mengetuai Komiti yang menentukan polisi parti, satu komiti terpenting dalam NDP, penafian ini sukar dipercayai oleh kebanyakkan rakyat Mesir.

Penganalisis politik meletakkan tanggungjawab bahawa kekacauan politik dan ekonomi Mesir ketika hari-hari terakhir kekuasaan Hosni adalah direncanakan dan diatur oleh Gamal dan kawan-kawan rapatnya yang berkepentingan dengan mengambil alih kedudukan penasihat politik kepada ayahnya, mengasingkan ayahnya daripada orang ramai dan beliaulah yang menulis ucapan perletakkan jawatan ayahnya mengenepikan ucapan yang telah didrafkan oleh Timbalan Presiden.

Pada 28 Februari 2011, Akhbar Egyptian Daily, Al Ahram melaporkan satu senarai panjang akaun bank yang didakwa dimiliki oleh Gamal. Al Ahram melaporkan Ketua Pendakwaraya Mesir menerima laporan mengenai sejumlah wang luar biasa yang telah didepositkan ke dalam akaun-akaun tersebut yang diyakini milik anak lelaki bekas Presiden ini.

Semua akaun milik keluarga Mubarak ini telah menerima arahan pembekuan dari Pejabat Pendakwaraya Mesir termasuklah milik Gamal dan Mahkamah Rayuan Mesir memutuskan tarikh pada 5 Mac 2011 untuk semakan semula perintah pembekuan ini tetapi dijangkakan arahan pembekuan ini akan dikekalkan.

Uday Husein

Sebelum ini ketika menuntut di Iraq saya selalu diceritakan berkenaan anak lelaki sulong Presiden Saddam Hussein dan isteri pertamanya Sajida Tulfah, Uday Saddam Hussein al-Tikriti.

Dilahirkan 18 Jun 1964 ketika bapanya sedang dipenjarakan. Asalnya beliau dilihat sebagai bakal penganti bapanya, tetapi perlakuan buruk, salah laku seks, perlakuan jenayah serta hubungan renggangnya dengan adik beradik yang lain meminggirkannya dari peranan penting Negara.

Uday menamatkan pengajian peringkat menengah dengan markah tertinggi luar biasa yang tak pernah dicapai oleh sesiapa, 100 % dari kesemua 6 subjek! Realitinya, guru yang mengajar diarahkan mengurniakan markah istimewa kerana beliau anak Presiden dengan markah penuh bagi semua subjek sekalipun Uday menghantar kertas jawapan kosong dalam peperiksaan!

Memasuki Kuliah Perubatan, Universiti Baghdad tetapi Uday hanya belajar di kuliah tersebut selama 3 hari sebelum bertukar ke Kuliah Kejuruteraan, Universiti Baghdad. Saya sangat pasti ramai di kalangan pensyarah yang menarik nafas lega dengan pemergian Uday.

Semasa di kuliah Pergigian, Universiti Baghdad dahulu, antara teman sekelas saya adalah anak lelaki Tariq Aziz, bekas Perdana Menteri Iraq dan bekas Menteri Luar Iraq. Saya dapat rasakan bagaimana ketatnya kawalan keselamatan untuk seorang anak Perdana Menteri, apatah lagi untuk Uday, anak seorang Presiden.

Di Kuliah Kejuruteraan, sebagaimana dijangka, sekali lagi beliau berjaya menamatkan pengajian dan muncul sebagai pelajar terbaik dari seramai 76 pelajar di kelasnya! Tentu sekali kedudukannya sebagai anak lelaki Presiden mewajibkan pensyarah mengurniakan markah penuh kepadanya sekalipun beliau lebih banyak ponteng dari hadir ke kuliah!

Tahun 1988, ketika penganjuran satu parti yang dihoskan oleh Suzanne Mubarak, isteri bekas Presiden Hosni Mubarak, Uday terlibat dalam jenayah besar pertamanya, membunuh pembantu peribadi bapanya merangkap tukang rasa makanan (food tester) Kamel Hana Gogeo.

Ada dakwaan yang mengatakan, ia adalah arahan ibunya Sajida Tulfah kerana Gogeo bertanggungjawab memperkenalkan seorang wanita bernama Samira Shahbanbar kepada bapanya yang akhirnya menjadi isteri kedua Saddam. Bagi Uday, hadirnya Samira dalam keluarganya telah merampas hak ibunya.

Ekoran pembunuhan ini, Uday telah dijatuhkan hukuman penjara selama 8 tahun. Tetapi atas permintaan peribadi Raja Hussein Jordan, Uday telah diampunkan oleh Saddam hanya setelah 3 bulan sahaja menjalani hukuman penjara. Kemudian Uday dihantar ke Switzerland sebagai pembantu duta Iraq di Swiss.

Ekoran satu perlakuan jenayah yang dilakukan apabila Uday menikam seorang rakyat Swiss di sebuah restoren, beliau telah dihalau keluar oleh kerajaan Swiss.

Berkahwin dengan anak perempuan Izzat Ibrahim Ad Douri, Naib Presiden Iraq yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Revolusi Iraq. Isteri beliau kemudiannya diceraikan.

Memiliki dan menguasai akhbar harian Iraq, Babel dan saluran stesyen TV tempatan, As Shabab TV serta memegang tugas sebagai Presiden Majlis Olimpik Iraq dan Presiden Persatuan Bolasepak Iraq, Uday kelihatan begitu berkuasa tanpa dapat dibantah oleh sesiapa.

Selaku Presiden Majlis Olimpik Iraq dan Presiden Persatuan Bolasepak Iraq, sebuah Negara dengan rakyat yang sangat fanatik terhadap sukan bolasepak, Uday meletakkan sasaran wajib menang apabila pasukan bolanya atau atlit Iraq beraksi.

Kekalahan bermakna mereka akan dihukum dan didera, kepala akan dibotakkan. Atlit-atlit yang gagal untuk menang akan dirotan di tapak kaki, lokasi yang mendatangkan kesakitan yang ekstrem tetapi tidak meninggalkan bekas.

Uday akan memberikan arahan bertulis tentang berapa kali bilangan rotan yang sepatutnya diterima oleh seorang atlit berdasarkan tahap kegagalan mereka. Atlit-atlit yang gagal akan dipanggil dengan panggilan monyet dan anjing, suatu penghinaan yang amat memalukan bagi orang-orang Arab.

Kegagalan memasuki pusingan akhir Piala Dunia 1994 menyebabkan sebahagian pemain dipenjarakan dan dipaksa menyepak bola yang dibuat daripada konkrit! Kekalahan 4-1 di tangan Jepun ketika pusingan akhir Piala Asia 2000 di Labenon ternyata menjadi petaka buat penjaga gol, Hashim Hassan, pemain pertahanan, Abdel Jabbar dan penyerang, Qahtan Chatir apabila mereka dipersalahkan dan diseksa selama 3 hari oleh pengawal-pengawal Uday.

Selalu juga diceritakan bagaimana gadis-gadis Iraq ramai yang dilarikan untuk menjadi mangsa kebuasan nafsu Uday, tanpa pernah diadili. Ada yang akhirnya membunuh diri atau dibunuh keluarga sendiri untuk menutup aib.

Dalam satu tragedi sadis, seorang wanita muda yang sedang berjalan bersama suaminya diganggu Uday dan diajak untuk melakukan hubungan seks di mana Uday menghina suami wanita tersebut sebagai anjing yang tidak memiliki apa-apa, sedangkan dirinya seorang lelaki hebat, beruniform tentera, memiliki harta dan kekuasaan.

Apabila wanita tersebut enggan, Uday mengarahkan pengawalnya menangkap wanita tersebut, suaminya yang cuba mempertahankan isterinya dibelasah teruk oleh pengawal-pengawal peribadi Uday.

Wanita tersebut dirogol dan dibunuh, suaminya juga dijatuhkan hukuman bunuh atas tuduhan cuba mencederakan anak lelaki Presiden dan menentang kepimpinan Saddam.

Antara kegemaran pelik Uday adalah memelihara binatang buas seperti singa, cheetah dan harimau di rumahnya. Singa selalunya menjadi lambang kegagahan dan keberanian sehingga ada yang menamakan anak lelaki mereka dengan nama 'Haidar' bermakna anak singa.

Uday Saddam pernah membelasah sehingga tidak sedarkan diri seorang pegawai tenteranya yang enggan membenarkan beliau menari bersama isterinya. Pegawai tentera tersebut akhirnya meninggal dunia di hospital. Ada anggota tentera yang tidak memberikan tabik hormat kepadanya juga ada yang ditembak mati.

Satu tragedi hitam telah berlaku sekitar Disember tahun 1996 di Wilayah Mansour, Baghdad ketika beliau sedang memandu Porsche di mana satu serangan hendap bertujuan membunuh Uday berlaku.

8 butir peluru yang singgah di tubuhnya menyebabkan kecederaan parah kepada anak lelaki sulong Saddam ini sehingga memaksa satu pasukan pakar bedah diterbangkan dari Francis ke Hospital Ibnu Sina, Baghdad untuk berusaha menyelamatkan nyawa beliau. Jangkaan awal beliau akan lumpuh.

Beberapa pembedahan berulang kali dilakukan untuk mengeluarkan peluru tetapi satu peluru masih melekat di tulang belakangnya yang terlalu hampir dengan saraf tunjang dan tidak dapat dikeluarkan. Beliau pulih walaupun terpaksa bertongkat.

Terselamat dalam serangan pertama dan setelah melalui pelbagai episod hitam dalam hidupnya, tanggal 22 Julai 2003 adalah hari terakhir Uday melihat matahari apabila beliau terbunuh dalam serangan hendap anggota marin US di sebuah rumah yang terletak di daerah Mousul, bahagian utara Iraq.

Saif al-Islam Muammar al-Gaddafi

Anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif al-Islam Muammar al-Gaddafi yang tegar memberikan amaran bahawa bumi Libya akan digenangi dengan darah para penentang ayahnya sekiranya mereka terus berdegil untuk meneruskan demonstrasi menentang kepimpinan ayahnya yang telah 42 tahun
berkuasa.

Seorang jurutera berkelulusan Al Fateh University, Tripoli. Ijazah PhD beliau dari London School of Economic (LSE) pada 2008 menjadi pertikaian ekoran ada dakwaan 'plagiarism' pada thesis PhD beliau.

Plagiarism didefinisikan sebagai 'The practice of taking someone else's work or ideas and passing them off as one's own' (mengambil hasil kerja atau idea orang lain kemudian mendakwanya sebagai milik sendiri). Ekoran dakwaan ini, LSE berhadapan dengan tekanan untuk menarik balik penganugerahan ijazah tersebut.

Beliau merupakan anak lelaki kedua Gaddafi. Ibunya isteri kedua Gaddafi, Safia Farkash. Saif pernah menjalinkan hubungan romantik pada 2006 dengan artis Israel, Orly Weinermen.

Gaya hidup mewahnya ketara apabila pernah menganjurkan parti sambutan hari lahir ke 37 pada 2009 di Montenegro dengan tetamu kenamaan seperti Prince Albert of Monaco, Peter Munk dan Oleg Deripaska. Parti yang sama pernah dianjurkan di St Tropez dan Monaco.

Saif adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Libya bagi Pengawalan Dadah dan Narkotik serta mengasaskan Yayasan Kebajikan Antarabangsa Gaddafi yang pernah terlibat dalam misi pembebasan tebusan dan perbicaraan kes jururawat asing yang dituduh terlibat dalam penyebaran HIV di Libya.

Kerap kali mewakili bapanya dalam beberapa misi diplomatic dan hubungan awam sehingga kelihatan beliaulah yang dipersiapkan sebagai peneraju Negara seterusnya walaupun beberapa kali menafikannya.

Dalam interview dengan agensi berita ABC News, dengan kerasnya beliau menafikan bahawa bapanya membunuh orang awam sambil memberikan amaran bahawa protes yang membawa kepada perang saudara ini akan mengakibatkan tiada lagi perdagangan, tiada minyak dan negara
akan diambil alih oleh orang asing.

Beliau juga mendakwa bahawa Libya sebenarnya masih 'aman' dan seluruh rakyat sayang dan cintakan bapanya Gaddafi sambil menyalahkan Al Jazeera, BBC News dan Al Arabiya atas laporan putar belit dan tidak mengambarkan situasi sebenar di Libya.
-------------------------------------------

Dr Azman adalah Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu. Dalam pilihan raya umum lalu, beliau bertanding di Dun Jabi, Terengganu. Dr Azman adalah doktor pergigian yang mendapat ijazahnya dari sebuah universiti di Baghdad.

Tiada ulasan: