Paradigma Berani |
NURUL IZZAH: Malaysia adalah sebuah negara Polis Posted: 15 Mar 2011 11:05 PM PDT UCAPAN PERBAHASAN TITAH UCAPAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG OLEH : YB NURUL IZZAH ANWAR AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI Saya menjunjung kasih Titah Ucapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sewaktu pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat pada Isnin yang lepas dan saya mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang untuk turut serta di dalam perbahasan titah ucapan ini. Saya Menyahut dengan penuh taat sebagai rakyat akan saranan titah DYMM agar patuh kepada kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan dan tidak mempersoalkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi bila kita bercakap soal perlembagaan saya ingin tekankan bahawa Kerajaan BN tidak memperkasakan perlembagaan negara malah terus menjadikan perlembagaan yang sering dipinda sebagai alat penjajahan politik masa kini. "Di sini saya hendak membuat deklarasi bahawa Barisan Nasional adalah kerajaan anti-demokratik dan juga deklarasi bahawa Malaysia adalah sebuah negara Polis." Sekiranya BN bukan kerajaan anti-demokratik dan Malaysia bukan sebuah negara Polis, kerajaan BN mesti melaksanakan Reformasi Politik secara menyeluruh sekarang. Pada bulan Oktober 2010, saya telah menulis secara rasmi kepada YAB PM mencadangkan agar elemen reformasi politik ditambah, kerana tidak tertera di dalam Agenda Transformasi Negara yang berpaksi kepada 4 tiang atau prinsip iaitu 1Malaysia, GTP, ETP dan Rancangan Malaysia ke-10 dan ke 11, dengan penuh insaf untuk bersama-sama kerajaan membina negara Malaysia yang lebih baik, lebih makmur, lebih sejahtera dan lebih demokratik. Sesi parlimen kali ini wujud satu peluang untuk Perdana Menteri dengan jelas dan terang menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih demokratik dan membuktikan bahawa Malaysia bukan negara polis dengan hanya melakukan tiga perkara asas yang saya kira mudah dan dapat dilakukan tanpa kesulitan dan kerumitan. Ketiga-tiga ini hanya memerlukan daya politik atau kehendak politik dan kejujuran didalam 'mendahulukan rakyat' dan 'memajukan negara'. Tiga perkara asas yang saya maksudkan adalah ; 1) Meluluskan Rang Undang-Undang Akta Pemansuhan Darurat 2011 2) Membenarkan dakwat kekal ditanda pada jari selepas pengundian di dalam pilihanraya sebagai usaha paling minima sebelum mereformasikan keseluruhan sistem pilihanraya negara. 3) Mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM yang dipengerusikan oleh Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, dibantu oleh bekas ketua mereka sendiri, Tun Mohammed Haniff Omar sebagai Timbalan Pengerusi dan 14 anggota. 1) Deklarasi Darurat 1964, iaitu hasil konfrontasi dengan Indonesia. Walaupun konfrontasi tersebut hanya selama hampir dua tahun, deklarasi tersebut tidak ditarik balik. 2) Pengisytiharan Darurat Sarawak 1966, hasil krisis perlembagaan di negeri tersebut. Walaupun tiada insiden kekerasan yang berlangsung menerusi krisis tersebut, kerajaan masih lagi mengisytiharkan darurat, yang terhad di negeri Sarawak. Krisis tersebut sudah selesai, namun darurat masih berkuatkuasa. 3) Deklarasi Darurat yang berkuatkuasa seluruh negara 1969, selepas demonstrasi besar- besaran serta keganasan yang berlangsung akibat sentimen perkauman yang berlaku pada 13 Mei 1969 di Kota Kuala Lumpur. Walaupun selepas kerajaan berperlembagaan kembali berkuasa pada Februari 1971, keadaan darurat masih terus berkuatkuasa hingga sekarang melalui Akta Darurat (Kuasa-kuasa khas) 1979 (Akta 216). 4) Pengisytiharan Darurat Kelantan 1977 yang terhad kepada Negeri Kelantan sahaja selepas krisis politik di negeri tersebut. Saya merasakan sudah tiba waktu dan ketikanya dalam menghormati semangat Perlembagaan, Kerajaan perlu menghapuskan dan melenyapkan terus undang-undang dan peraturan yang jelas menyimpang dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan. Di negara kita akta darurat ini digunapakai untuk memerangi komunis dan musuh luar ketika konfrontasi tetapi sekarang ini siapakah musuh-musuh luar yang masih mengancam kita? Tetapi sekiranya akta darurat ini dikekalkan untuk mengekang rakyat, ini bukan sahaja anti-demokratik, malah satu bentuk penjajahan baru yang menzalimi rakyat dan mencemarkan semangat perlembagaan. Oleh itu ini menjadikan BN sebuah rejim yang anti-demokratik. Malaysia di bawah BN, jelas menutup pintu demokrasi. Jika benar pemimpin BN di sebelah sana ingin menyuburkan Demokrasi, saya cabar dalam pilihanraya umum akan datang, BN menggunakan dakwat di jari. Jika perkara kecil sebegini pun tidak mampu dilaksanakan, usah bercakap soal Reformasi Politik! Saya ingatkan perbahasan mengenai keperluan penggunaan dakwat kekal yang ditanda di jari di dalam forum anjuran Bersih 2.0 pada 21hb Februari 2011 kepada Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar, di mana saya bangkitkan jawapan Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, yang menyatakan ketika menjelang PRU 2008, walau kabinet memutuskan untuk membazirkan sekitar 2.4 juta ringgit dengan membatalkan penggunaan dakwat atas kononnya alasan keselamatan, SPR sebenarnya punyai kebebasan untuk meneruskan juga penggunaannya. Tetapi ini tidak berlaku dan kita masih tidak mahu menggunakan belanja RM 2.4 juta yang jauh lebih kecil daripada RM3.4 billion untuk kapal selam dan RM6 billion untuk kapal OPV yang dibelanjakan untuk pertahanan negara, kenapa Kerajaan BN tidak mahu menggunakan dakwat yang akan mempertahankan integriti paling asas sebuah demokrasi iaitu pilihanraya?. Perkara ketiga adalah untuk Mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM yang dipengerusikan oleh Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, dibantu oleh bekas ketua mereka sendiri, Tun Mohammed Haniff Omar sebagai Timbalan Pengerusi dan 14 anggota. Tiga perkara yang asas dan tidak besar belanjanya iaitu: 1) Meluluskan Rang Undang-Undang Akta Pemansuhan Darurat 2011 2) Membenarkan dakwat kekal ditanda pada jari selepas pengundian di dalam pilihanraya sebagai usaha paling minima sebelum mereformasikan keseluruhan sistem pilihanraya negara. 3) Mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM yang dipengerusikan oleh Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, Dan saya yakin dengan adanya kebebasan media, perkara ini iaitu reformasi politik melalui pemulihan demokrasi akan terus menjadii fokus dan perhatian rakyat melalui permohonan, saya untuk satu permit penerbitan sebuah akhbar mingguan Bahasa Malaysia iaitu Utusan Rakyat dan akhbar ini adalah cetusan dwipartisan yang akan diwakili oleh Pakatan Rakyat, Barisan Nasional dan NGO-NGO yang terlibat. Tadi saya ada menyatakan bahawa; "Kerajaan BN adalah anti-demokratik dan Malaysia adalah sebuah negara Polis" sememangnya menggambarkan sikap BN sebagai LANUN POLITIK dengan izin 'POLITICAL PIRATES' jika tidak ada Reformasi Politik untuk memulihkan demokrasi negara; sekarang saya pula hendak mendedahkan sikap kerajaan BN sebagai LANUN EKONOMI dengan izin 'ECONOMIC PIRATES'. Sikap LANUN EKONOMI dengan izin adalah menjadikan 'ECONOMIC PLUNDERING' iaitu "PEROMPAKAN EKONOMI' melalui Projek Maha Membazir disulam pula dengan Amalan Rasuah menggugat ekonomi negara yang sudah pun didahalui sebuah negara jiran yang jauh lebih kecil sebagai ekonomi ketiga besar di Asean amat membimbangkan. Projek-projek Maha Membazir sebagai contoh seperti Menara Wawasan, pembelian Kapal Selam yang akhirnya boleh menyelam dan banyak lagi membuktikan bagaimana LANUN EKONOMI beroperasi. Negara perlu berhutang untuk membayar kos projek yang sengaja dimahalkan untuk keuntungan pihak yang sedikitdan merugikan rakyat terbanyak. Oleh itu, Pakatan Rakyat ada menyarankan agar projek MRT yang berjumlah RM36 billion sekarang dan akan bertambah mahal sehingga RM46 bilion mengikut beberapa pengiraan apabila diambil kira kos-kos pembelian laluan tanah dan sistem jentera keratapi dan sebagainya; mesti diberhentikan dan sebuah jawatankuasa pilihan parlimen diwujudkan untuk mengkaji apakah mungkin alternatif pengangkutan awam yang jauh lebih murah tetapi berkesan dapat di pilih secara telus dan professional. Selain daripada itu, Pakatan Rakyat didalam 'Buku Jingga' yang menjadi sumber rujukan dan tiruan kerajaan BN menyarankan agar perjanjian konsensi lebuhraya bertol dan penjanaan kuasa elektrik disemak semula untuk kepentingan rakyat mesti dilaksanakan. Dan baru-baru ini satu lagi Skim Cepat Kaya Kroni yang melibatkan Petronas yang sepatutnya secara beretika dan moral mesti diletakkan dibawah kawal selia Parlimen dan bukan Jabatan Perdana Menteri akan membelanjakan RM250 billion didalam usaha eksplorasi dalam negara dan penggunaan konsep RSC dengan izin Risk Sharing Contract yang melibatkan dengan izinMarginal Oil Fields akan pada anggaran konservatif sejumlah RM400 billion wang hak rakyat disalurkan kepada syarikat-syarikat kroni yang akan bertentangan dengan semangat Akta Pembangunan Petroleum 1974 mesti ditelit, diperhalusi oleh jawatankuasa pilihan parlimen juga. Pakatan tidak menentang Pembangunan Ekonomi TETAPI Pakatan menentang LANUN EKONOMI yang mengambil dan melemahkan kebolehan ekonomi negara untuk manfaat semua rakyat. Sudah cukuplah negara ini dijajah oleh LANUN POLITIK dan dijajah pula oleh LANUN EKONOMI. Oleh demikian, marilah kita berkerjasama untuk membangunkan negara dengan reformasi politik sekarang dan juga transformasi ekonomi secara saksama untuk membina Malaysia yang lebih baik untuk semua rakyat. Nurul Izzah Binti Anwar Ahli Parlimen Lembah Pantai |
You are subscribed to email updates from Paradigma Berani To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan