Kerabu Bersuara ® |
- Malikul Sembab Menjadi Bingung Dan Marah
- Rasa Nak Termuntah Bila SPR Bercakap Soal Keadilan Dalam Pilihanraya
- Syabas! Mufti Perlis Berani Tegur Najib Dan Rosmah
- Tun Daim Zainuddin Buat Ramalan Lagi. Kecut Perut Taib Mahmud
- Radioaktif Iodin Meningkat 4,385 Kali Ganda Di Perairan Jepun
- Mufti Perak Bangkit Dari Menjadi Syaitan Bisu
- Eskay buat kenyataan bodoh, kebudak-budakan – Sivarasa
- Negeri Selangor mendapat pelaburan perindustrian yang tertinggi di Malaysia bagi tempoh 2008 - 2010 sejak Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Negeri Sel
- Ucapan Nik Nazmi Menjunjung Kasih DYMM Sultan Selangor untuk Sidang DUN 2011
- Abdul Salim Ahmad daripada Arked MPKB dan Wan Lukman Wan Salleh (Arked Uda). Apabila Janji Tidak Ditepati!
- Tarian Poco-Poco Secara Asasnya Harus
Malikul Sembab Menjadi Bingung Dan Marah Posted: 31 Mar 2011 08:55 AM PDT Interlok: Putrajaya tidak akan tunduk desakan baru, kata Muhyiddin TERKINI @ 10:27:20 PM 31-03-2011 March 31, 2011 KUALA LUMPUR, 31 Mac – Tindakan pihak tertentu, termasuk pertubuhan komuniti Cina semalam, yang terus membangkitkan isu novel kontroversial Interlok sangat tidak bertanggungjawab dan berniat jahat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. Sehubungan itu Muhyiddin menegaskan, isu tersebut tidak harus dibangkitkan kerana sudah selesai. Malah kata beliau, kerajaan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak berhubung isu itu kerana keputusan muktamad telah pun dicapai. Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan sudah pun mengumumkan formula penyelesaian di Parlimen minggu lalu. "Jadi kita akan pegang pada itu," kata beliau di Pagoh, Johor hari ini. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan tidak akan berkompromi kerana ia melibatkan keselamatan negara. "Saya tahu muslihat mereka dan saya nak tegaskan kita tidak akan tunduk, proses pembelajaran akan berjalan seperti biasa serta proses penambahbaikan akan dibuat," katanya. Dalam komen kepada The Malaysian Insider hari ini, Persatuan Penulis Nasional (Pena) menyifatkan desakan dibuat pertubuhan Cina semalam sebagai mahu "mencuba nasib" untuk "menguji" Putrajaya setelah masyarakat India berjaya dalam tuntutan mereka berhubung novel kontroversial Interlok. Semalam, beberapa pertubuhan Cina secara terbuka mengkritik karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu sambil menyifatkannya bersifat rasis. Beberapa wakil masyarakat Cina menggambarkan watak orang Cina dalam novel itu sebagai tamak, "tahi candu" dan kaki perempuan semata-mata untuk memberikan kelebihan kepada orang Melayu. Pertubuhan-pertubuhan itu bagaimanapun tidak mahu novel itu disunting seperti mana yang dituntut masyarakat India, yang tidak gembira dengan perkataan "paria" – tetapi mahu digugurkan daripada digunakan sama sekali. Sebelum ini, novel kontroversi yang kini dijadikan buku teks tingkatan lima berdepan dengan bantahan daripada masyarakat India kerana menggunakan perkataan "paria" dan kini Kementerian Pelajaran berdepan dengan desakan dari masyarakat Cina pula. Novel Intelok yang ditulis pada 1971 menggambarkan perjuangan orang Melayu, Cina dan India dalam era prakemerdekaan. Minggu lalu, Muhyiddin berkata, Interlok akan tetap digunakan di sekolah dan telah mengarahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menyunting semula novel itu. Muhyiddin juga berkata kementeriannya juga akan menyediakan glosari bagi menjelaskan frasa-frasa dan konsep-konsep kepada pelajar. Novel Interlok menjadi kontroversi setelah diperkenalkan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan, kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India. Kerajaan bagaimanapun bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif itu. |
Rasa Nak Termuntah Bila SPR Bercakap Soal Keadilan Dalam Pilihanraya Posted: 31 Mar 2011 04:00 AM PDT SPR: Tidak adil TI-M dakwa kami tak boleh diharap Oleh G Manimaran KUALA LUMPUR, 31 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan "tidak adil" bagi Transparency International Malaysia (TI-M) mendakwa pihaknya sebagai tidak boleh "diharap" sepenuhnya dalam memastikan proses pilihan raya negara ini dikendalikan dengan bebas dan adil. Sambil melahirkan rasa hairan dengan kenyataan TI-M itu, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, beliau hairan kerana badan pemantau itu mengeluarkan kenyataan sedemikian. Beliau yang juga bekas setiausaha SPR berkata pihaknya menjalankan kedua-dua tugas menguruskan pilihan raya dan juga menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan. "Saya hairan kerana TI-M sedar dan faham bahawa tanggungjawab memantau dan membanteras apa-apa perbuatan rasuah termasuk rasuah politik dan rasuah semasa pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa SPRM," kata beliau dalam kenyataan SMS kepada The Malaysian Insider hari ini. Dalam kenyataannya semalam, TI-M mendakwa SPR tidak boleh "diharap" sepenuhnya dalam memastikan proses pilihan raya negara ini adalah bebas dan adil. Presidennya Datuk Paul Low berkata, SPR telah gagal untuk memperlihatkan agensi itu adalah "bebas" dalam menjalankan fungsinya meskipun mereka dijamin autonomi di bawah Perlembagaan Persekutuan. "Kita tidak boleh harap sepenuhnya pada SPR dalam menguatkuasakan undang-undang (pilihan raya), mereka kelihatan tidak bebas dalam tindakan mereka," kata beliau. Ini kerana menurut beliau, undang-undang pilihan raya sedia ada tidak dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin dan banyak kesalahan pilihan raya tidak dikenakan hukuman yang sewajarnya. "SPR hanya menguruskan proses pilihan raya, bukannya menguatkuasakan (undang-undang)," kata Low semalam ketika negara bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak bulan depan. Hari penamaan calon adalah 6 April manakala pengundian akan diadakan 16 April. Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan tahun ini. Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) secara konsisten menuduh SPR tidak menjalankan fungsinya dengan bebas dalam kebanyakan pilihan raya kecil, menyebabkan banyak aduan dikemukakan terhadap suruhanjaya tersebut. Bagaimanapun SPR mempertahankan ia tidak memihak Barisan Nasional dan menolak dakwaan ia tidak bebas. Dalam penjelasannya, Wan Ahmad juga berkata, SPR memang memandang serius dan berusaha untuk membanteras apa jua bentuk rasuah dalam pilihan raya, sebab itu suruhanjaya itu bekerjasama dengan SPRM dalam hal-hal berkenaan dan meminta mereka memantau apa jua aktiviti rasuah semasa pilihan raya. "Benar bahawa Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 ada seksyen-seksyen tentang rasuah, tapi apa-apa perbuatan rasuah atau aduan-aduan tentangnya SPR minta bantuan atau serah kepada tanggungjawab SPRM. "Sama juga kalau perbuatan-perbuatan jenayah dan hal-hal keselamatan berhubung kait pilihan raya adalah di bawah bidang urusan polis," katanya. Di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, katanya, SPR merupakan badan yang menguruskan dan menjalankan pilihan raya. "Semua undang-undang penjalanan dan urusan pilihan raya SPR laksanakan dan kuat kuasakan. " Tentang penguatkuasaan hal-hal rasuah... SPRM merupakan agensi yang bertanggungjawab mengenainya. Jadi tidak tepat dan tak adil pihak TI membuat kenyataan seperti," katanya lagi. |
Syabas! Mufti Perlis Berani Tegur Najib Dan Rosmah Posted: 31 Mar 2011 03:00 AM PDT Poco-poco: Pusat juga perlu transform agensi agama, kata Mufti Perlis Oleh G Manimaran KUALA LUMPUR, 31 Mac — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata kerajaan tidak sepatutnya hanya mengadakan transformasi ekonomi dan politik, sebaliknya perlu juga mengadakan pembaharuan ke atas agensi-agensi agama agar tidak timbul kecelaruan dalam soal menggubal faktwa dan hukum. Beliau memberikan pendirian tegas ini ketika muncul polemik berhubung keputusan mengharamkan tarian poco-poco di negeri Perak. Negeri-negeri lain belum membuat pendirian masing-masing. "Kerajaan tidak sepatutnya hanya transform ekonomi politik. Golongan agama seperti Islam dan lain-lain juga patut transform ke arah Malaysia yang lebih berjaya dan berdaya saing," kata beliau dalam satu kenyataan ringkas kepada The Malaysian Insider hari ini. Sehubungan itu Juanda berkata, beliau juga khuatir dengan kecelaruan akibat tidak jelas metodologi dalam menggubal hukum dan fatwa. "Akibat fatwa poco-poco, habislah semua yang macam ada kaitan dengan agama lain akan haram selepas ini. "Pulut kuning macam Hindu, kungfu macam Tao, huruf 'T' macam Kristian, bintang macam Yahudi, pasang api macam majusi, pesta air macam Buddha Thailand dan lain-lain lagi," katanya sambil menambah, suasana makin bercelaru akibat tidak jelas metodologi "buat hukum dan fatwa." "Kerajaan Malaysia perlu transformasi agensi agama agar tidak timbul kecelaruan yang jejaskan imej Islam dan kerajaan yang ada yang menjulang tinggi Islam di Malaysia," katanya. Dalam kenyataan pagi tadi, bekas mufti Perlis Prof. Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tarian poco-poco tidak sewajarnya diharamkan melainkan seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah Islam. Oleh itu kata beliau, jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah atau dicampuri perbuatan salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan. "Jika ada unsur yang salah, hendaklah dibuat seperti Nabi s.a.w iaitu membuang unsur yang buruk dan meninggalkan unsur yang baik," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini. Isu itu menjadi polemik sejak dua tahun lalu ekoran poco-poco yang awalnya dilihat sebagai senaman semata-mata bertukar menjadi tarian atau pergerakan badan dan kepercayaan umat Islam yang bertentangan dengan akidah. Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada Januari lalu telah memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian. |
Tun Daim Zainuddin Buat Ramalan Lagi. Kecut Perut Taib Mahmud Posted: 31 Mar 2011 01:33 AM PDT Daim: BN boleh kekal di Sarawak tapi diramal hilang banyak kerusi Oleh Yow Hong Chieh KUALA LUMPUR, 31 Mac — Tun Daim Zainuddin berkata Barisan Nasional (BN) dijangka akan kehilangan lebih banyak kerusi di Sarawak kali ini tetapi boleh kekalkan majoriti "selesa." "Saya fikir Barisan Nasional akan menang tetapi lebih banyak kerusi akan pergi kepada pembangkang," kata beliau pada syarahan awam di Universiti Tun Abdul Razak hari ini hari ini. Pada akhir 2007, bekas menteri kewangan dan bekas bendahari agung Umno itu telah meramalkan Pulau Pinang, Selangor dan Kedah akan menerima nasib seperti Kelantan yang dikuasai PAS pada 1990. Ramalan itu menjadi kenyataan dengan lima negeri dikuasai pembangkang termasuk Perak dan BN kehilangan majoriti tradisi dalam pilihan raya umum 2008 yang disifatkan sebagai tsunami politik. Pilihan raya negeri Sarawak yang ke-10 akan diadakan bulan depan dengan hari pengundian jatuh pada 16 April manakala penamaan calon 6 April. Awal minggu ini, Daim meramalkan bahawa BN akan mencatatkan prestasi lebih baik dalam pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan tahun ini, tetapi pastinya tidak lebih buruk berbanding kedudukan tiga tahun lalu. Hari ini, Daim juga berkata hasrat Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk melepaskan jawatannya selepas pilihan raya negeri adalah langkah baik kerana tiada pemimpin yang harus berada dalam kuasa begitu lama. "Anda lihat apa yang berlaku ke atas Mubarak, apa yang berlaku di Tunisia. Dia mesti tahu bila (untuk pergi)," kata Daim lagi. "Jangan kata anda tidak boleh temui seorang pengganti. Itu bukan kesnya," kata beliau lagi. Malah kata beliau, bukan kerja Taib untuk memilih pengganti yang sesuai memandangkan perkara itu seharusnya diserahkan kepada parti untuk diputuskan. Taib yang genap 30 tahun menjadi ketua menteri 26 Mac lalu, baru-baru ini mengumumkan akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya negeri Sarawak. Pakatan Rakyat dijangka memfokus kepada soal rasuah dan dakwaan salah guna kuasa yang dipercayai boleh menjejaskan sokongan kepada BN di kawasan-kawasan bandar khususnyua pengundi Cina. Bagaimanapun pembangkang sangsi orang kuat BN akan mengotakan kata-katanya dan kata mereka, jika beliau jujur seharusnya melepaskan jawatan sebelum pilihan raya negeri. |
Radioaktif Iodin Meningkat 4,385 Kali Ganda Di Perairan Jepun Posted: 31 Mar 2011 12:56 AM PDT TOKYO 31 Mac – Pihak berkuasa Jepun berkata kadar radioaktif Iodin di perairan Jepun berhampiran loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi meningkat mendadak kepada 4,385 kali ganda meningkatkan kebimbangan terhadap krisis nuklear yang masih belum tiba ke penghujungnya. Amaun radioaktif Iodin-131 yang diambil sampelnya pada Rabu pada jarak 330 meter dari loji nuklear tersebut mencatatkan peningkatan yang sebelum ini mencatat kadar 3,355 kali ganda daripada paras normal. Manakala menurut PBB, zon evakuasi yang pada sekitar 20 kilometer radius kini mencadangkan perlu ditingkatkan kepada jarak 40 kilometer. Semalam pihak syarikat melaporkan Presiden Tokyo Elektrik Masataka Shimizu dimasukkan ke hospital apabila dikatakan mengalami 'keletihan dan stress'. Sementara itu penangkapan ikan pada sekitar 20 kilometer dari loji nuklear tersebut dilarang. Jepun berhadapan bencana berganda gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lepas yang mencatatkan angka korban rasmi meningkat hampir 12,000 orang manakala hampir 20,000 dilaporkan hilang. |
Mufti Perak Bangkit Dari Menjadi Syaitan Bisu Posted: 30 Mar 2011 10:48 PM PDT Harussani: Saya tak membisu, pernah kecam video seks aib Anwar Oleh Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 31 Mac — Tan Sri Harussani Zakaria menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau hanya berdiam diri dan tidak bersuara berhubung pendedahan rakaman video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebaliknya, Mufti Perak itu menegaskan, sejak rakaman video seks itu didedahkan awal minggu lalu beliau telah mengeluarkan kenyataan dengan menegaskan pendedahan itu telah mengaibkan Anwar yang juga Ketua Umum PKR kerana ia belum dibuktikan kebenarannya. "Siapa kata saya tidak bersuara? Siapa kata saya tidak ada cakap apa? Sejak hari pertama lagi saya sudah bercakap mengenai perkara ini dan bagi saya rakaman video seks itu telah mengaibkan Anwar kerana tidak saksi yang boleh buktikan. "Saya ada bercakap dengan Utusan Malaysia tapi apa yang keluar sikit sahaja, mereka tidak keluarkan secara keseluruhan apa yang saya katakan... yang tertulis ia (video seks) hanya fitnah, itu sahaja... yang lain-lain tidak keluar," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider. Kata Harussani, rakaman video seks itu boleh dianggap sebagai fitnah dan dosa besar kerana hukuman telah dijatuhkan terlebih dahulu terhadap Anwar tanpa bukti yang sahih. "Kita buka rahsia orang ini adalah haram, benda yang tidak betul tapi didedahkan adalah satu fitnah, dosa besar dan tidak bermoral. "Rakaman video seks itu betulkah Anwar? Laporan juga belum dapat dipastikan lagi... ini adalah fitnah dan dosa besar," katanya. Awal minggu ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemimpin agama sebagai "syaitan bisu" kerana mengambil sikap berdiam diri dan tidak bersuara dalam isu fitnah moral terbaru yang ditujukan ke atas Anwar itu. Menurut Hadi, sikap pemimpin agama yang enggan memberikan sebarang respons terhadap pendedahan rakaman video seks oleh "Datuk T" awal minggu lalu amat dikesali. Tiga Datuk T iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim — mengakui bertanggungjawab membuat pendedahan tersebut. Ketiga-tiga individu tersebut terlebih dahulu menayangkan rakaman video seks itu kepad media di Carcosa Seri Negara dan Shazryl secara peribadi yakin lelaki pelacur dari China itu adalah Anwar. Menurut Harussani, rakaman video seks itu tidak boleh dijadikan sebagai bukti. Ini kerana, jelas beliau, menurut perundangan Islam mana-mana jenayah yang membabitkan seks perlu mempunyai empat adil yang menyaksikan peristiwa itu berlaku termasuk perbuatan zina. "Yang dilihat dalam rakaman video seks itu tidak boleh pakai, ia tidak boleh dijadikan bukti kerana ia boleh diubah atau dimanipulasikan. "Kalau nak jatuhkan hukuman kita kena ada empat saksi yang benar-benar lihat dengan mata sendiri peristiwa itu berlaku bukan melalui gambar atau video. "Kalau bawa ke mahkamah, video seks itu tetap tidak boleh dijadikan bukti kerana ia hanya rakaman dan menurut hukum syarak tetap kena ada empat saksi dan kalau tidak kita tidak boleh nak jatuhkan hukuman," katanya. Sementara itu, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya tetap berpendirian Anwar tidak boleh dituduh terlibat pelakuan seks tersebut kerana tiada saksi yang menyaksikan ia berlaku. "Dalam soal jenayah seksual Islam menetapkan saksi empat mata dan rakaman tidak boleh dijadikan bukti, di sudut Islam kena ada empat saksi yang lihat peristiwa itu berlaku. "Tetap kena ada empat saksi hidup yang tengok ia berlaku, kalau tiada atau tidak cukup sebagai contoh hanya tiga mereka kena hukum qazaf (tuduhan zina) kerana menuduh orang lain," katanya. Menurut beliau, rakaman video seks yang didakwa milik "Datuk T" tidak boleh dijadikan bahan bukti. "Rakaman sama sekali tidak boleh dalam jenayah seksual dalam Islam, tetap perlu ada empat saksi dan orang yang jadi saksi juga perlu individu yang berkredibiliti dan tidak akan menukar pandangan mereka. "Kita tidak boleh ikut rakaman sebab itu dalam Islam hukuman jenayah seksual ini berat dan syarat untuk jatuhkan hukuman juga berat," katanya. Tambah Juanda, individu yang membuat pendedahan rakaman video seks itu sepatutnya disiasat terlebih dahulu. "Yang pertama sebarkan benda lucah orang itu yang harus disiasat dulu, tiada undang-undang atau agama yang membenarkan ia dipertontonkan kepada khalayak. "Sepatutnya bila dapat rakaman itu mereka kena serahkan kepada polis bukan dedahkan kepada umum," katanya. Beliau juga menggesa agar semua pihak termasuk parti politik agar menghentikan tuduhan yang bersifat peribadi. "Tuduhan seperti ini baik di pihak parti politik mana pun kena elakkan tuduh dalam jenayah seksual, tuduhan seperti ini patut dihentikan," katanya. Polis telah menahan Abdul Rahim dan Shazryl berhubung pendedahan video seks itu pada Khamis lalu — bahan bukti termasuk rakaman video turut diserahkan. Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, Umno tidak terlibat dalam rakaman video seks itu. Anwar juga telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan telah membuat laporan polis. |
Eskay buat kenyataan bodoh, kebudak-budakan – Sivarasa Posted: 30 Mar 2011 10:24 PM PDT KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada Datuk Shazryl Eskay Abdullah supaya berhenti membuat kenyataan bodoh dan kebudak-budakan berhubung perjalanan Ketua Umum KEADILAN itu ke Thailand ataupun ke mana-mana bahagian di dunia ini. R Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang merangkap Ahli Biro Politik KEADILANberkata, tiada pihak yang waras sanggup menjawab persoalan sedemikian yang seolah-olah menunjukkan keberanian ahli perniagaan itu. "Oleh itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihati supaya tidak respon terhadap kebodohan Eskay. "Jika Eskay ada dakwaan khusus untuk dibuat, maka dia harus membuat dan menghadapi kesannya, perundangan ataupun sebaliknya," kata Sivarasa dalam kenyataan media. Shazryl Eskay adalah salah seorang daripada trio 'Datuk T' yang mengakui terlibat dalam pendedahan rakaman video seks palsu pada 21 Mac lalu. Dua lagi 'Datuk T' adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Bendahari Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim. Sivarasa berkata, Shazryl Eskay nmenikmati manfaat imuniti yang diberi Barisan Nasional (BN) dan mendapat perlindungan dari pendakwaan meskipun secara terbuka mengaku melakukan jenayah memiliki video lucah dan mempertontonkannya kepada umum. "Bagaimanapun, apa-apa tuduhan spesifik yang beliau pilih untuk dilakukan akan dihadapi dengan tindakan perundangan yang tegas dan sewajarnya," katanya. Sehingga kini, ketiga-tiga individu trio 'Datuk T' masih bebas walaupun kes mereka disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan Jenayah kerana menjual, menyewa, mengedar atau menayangkan bahan-bahan berunsur tidak sopan. Jika sabit kesalahan, mereka yang bersalah boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. |
Posted: 30 Mar 2011 09:00 PM PDT Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Shah Alam pada hari Rabu, 30hb Mac 2011: Negeri Selangor mendapat pelaburan perindustrian yang tertinggi di Malaysia bagi tempoh 2008 - 2010 sejak Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Negeri Selangor Data dari sumber MIDA (Malaysia Industrial Development Authority) menunjukkan bahawa negeri Selangor telah mencapai jumlah nilai pelaburan perindustrian yang tertinggi iaitu sebanyak RM 29.3 billion bagi tempoh 2008 - 2010. Ini merupakan nilai pelaburan yang tertinggi di Malaysia berbanding dengan negeri-negeri yang lain. Selangor diikuti oleh Sarawak dengan jumlah nilai pelaburan perindustrian yang berjumlah RM 27.6 billion dan Pulau Pinang dengan RM24.6 billion. Negeri Selangor juga telah berjaya mencapai bilangan projek perindustrian tertinggi (905 projek) dan bilangan peluang perkerjaan yang tertinggi (80 ribu) berbanding dengan negeri-negeri lain bagi tempoh yang sama. Empat buah negara pelabur asing yang utama di Selangor dalam tempoh tersebut ialah Amerika Syarikat dengan jumlah modal pelaburan RM 4.7 billion, diikuti oleh Jerman dengan RM 3.5 billion, Japan dengan RM3.4 billion dan Singapura dengan nilai RM 1.8 billion. Data MIDA ini jelas menunjukkan bahawa tomahan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak bahawa pelaburan di Selangor telah jatuh semenjak kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri Selangor adalah tidak berasas. Kesimpulannya, ekonomi Selangor masih lagi mantap di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Selangor masih lagi merupakan destinasi pelaburan nombor satu bagi pelabur asing dan tempatan. * Teresa Kok Suh Sim, Pengerusi Negeri DAP Selangor, EXCO Kanan Kerajaan Negeri Selangor bagi Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan & Ahli Parlimen Seputeh |
Ucapan Nik Nazmi Menjunjung Kasih DYMM Sultan Selangor untuk Sidang DUN 2011 Posted: 30 Mar 2011 08:00 PM PDT Seri Setia ingin menjunjung kasih atas Titah Ucapan DYMM Tuanku sempena Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Selangor Ke-12. Federalisme Abad Ke-21 Seri Setia merasakan sudah sampai masanya Kerajaan Negeri Selangor memainkan peranan untuk membincangkan semula Federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sesuai dengan abad ke-21. Banyak perbaharuan yang hendak diperkenalkan Pakatan Rakyat pimpinan YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim di Selangor dihalang prinsip Federalisme yang sudah terhakis di negara kita. Kita harus ingat negara kita mendapat kemerdekaan sebagai Persekutuan Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat. Cadangan membentuk kerajaan kesatuan menerusi Malayan Union yang diusulkan penjajah British dibantah dalam usaha memelihara kedudukan Raja-Raja Melayu dan identiti unik negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Semangat sama diteruskan apabila Persekutuan Malaysia dibentuk dengan Sabah, Sarawak Dan Singapura pada 1963. Namun meskipun kita satu-satunya negara persekutuan di rantau ini, hari ini kita mempunyai sistem pemerintahan yang paling dipusatkan. Segala isu daripada jenayah, pendidikan hatta kutipan sampah sekalipun diputuskan daripada Putrajaya sedangkan saya fikir Negeri ataupun PBT lebih arif mengenainya. Malah, dalam isu seperti JKKK yang berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri, kerajaan pusat dengan mudah membentuk JKKKP. Ini jelas khianat pada DYMM Sultan dan Kerajaan Negeri Selangor. Rakyat sendiri ramai yang tidak faham perbezaan dan ramai yang kecewa pasca 8 Mac apabila melihatkan kerajaan negeri tidak ada kuasa membatalkan tol lebuhraya mahupun memperkenalkan gaji minima. Negara Indonesia, misalnya, yang merupakan negara kesatuan sudahpun melalui proses disentralisasi selepas era Reformasi 1998. Provinsi dan kabupaten Indonesia hari ini mempunyai lebih banyak kuasa berbanding negeri-negeri di Malaysia! Walaupun untuk mengatasi masalah ini bukanlah sesuatu yang mudah, saya berharap kerajaan negeri dapat memulakan wacana dengan meluas bagi membincangkan bagaimana memartabatkan prinsip Federalisme sesuai dengan abad ke-21. Tahun lepas kerajaan negeri bersama-sama Majlis Peguam Malaysia melancarkan kempen Perlembagaanku yang membincangkan hubungan kerajaan pusat-negeri. Baru-baru ini diadakan satu wacana ilmiah tentang federalisme secara kerjasama antara pejabat penasihat ekonomi dan mbsa yang mengundang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Profesor Dr Aziz Bari daripada UIA. Saya masih ingat ketika dalam satu forum bersama YB Tuan Speaker dahulu di mana beliau menyatakan kita seharusnya menilai kuasa-kuasa kerajaan negeri yang lebih meluas sesuai dengan keperluan hari ini. Mungkin kerajaan negeri boleh adakan lebih banyak forum dengan mengundang pakar-pakar akademik, badan-badan NGO dan rakyat agar masyarakat umum menyokong usaha menilai Federalisme yang ada daripada kacamata abad ke-21. IPT Selangor Zon Bebas AUKU Yang Berhormat Tuan Speaker, Saya terkejut mendengar pendedahan YB Bukit Antarabangsa bahawa Majlis Perbandaran Selayang menjadi tuan rumah satu program yang hanya menjemput wakil rakyat dan penyelaras Parlimen / DUN BN dan tidak menghiraukan wakil rakyat Pakatan Rakyat. Sekalipun jika program ini dianjurkan Kementerian Kerajaan Persekutuan, ini satu lagi bukti kejahilan tentang Federalisme. Pada 2009 saya dijemput merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Namun pihak HEP cuba menyamar sebagai mahasiswa dengan menelefon saya memaklumkan program tersebut dibatalkan dan kemudian mengarahkan semua pengawal menunggu kehadiran saya bagi menyekat saya masuk ke dalam UM. Tetapi sebagai wakil rakyat muda yang ingin meraikan jemputan mahasiswa, saya setuju bertemu mahasiswa di luar kampus, memakai jaket mahasiswa dan membonceng di atas motosikal mahasiswa untuk seludup masuk ke dalam kampus. Bayangkan, saya seorang yang berhormat yang mendapat mandat rakyat terpaksa berbuat demikian untuk memenuhi jemputan mahasiswa. Tetapi saya harus mengucapkan tahniah kepada pihak pentadbiran dan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa yang lebih matang. Mereka telah mengadakan siri forum ilmiah melibatkan pimpinan politik BN dan Pakatan Rakyat, NGO serta ahli akademik. Saya sendiri pernah bercakap di atas satu platform dengan YB Khairy Jamaluddin dan YB Dato' Mukhriz Mahathir di UIA. Justeru saya berharap kita dapat membawa budaya sama di IPT-IPT milik Kerajaan Negeri Selangor khususnya Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). kita jadikan IPT-IPT ini dari segi falsafahnya zon bebas Akta Universiti dan Kolej Universiti. Pertukaran nama UNISEL yang kini bukan lagi universiti industri dan penggantian canselor UNISEL daripada Datin Paduka Rosmah Mansor kepada Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Tun Uda adalah petanda positif untuk kita memulakan perubahan ini. Sememangnya pintu kedua-dua IPT sudah terbuka kepada pimpinan pakatan rakyat sejak 2008 tetapi biarlah kita pergi lebih jauh lagi dengan mengadakan siri forum ilmiah melibatkan Pakatan Rakyat dan BN. Kita boleh jemput YB Sri Serdang, Sungai Panjang, Taman Templer, biarlah mereka boleh masuk kampus kita dengan terbuka bukan membonceng motosikal macam saya di UM dahulu. Keadaan IPT Malaysia yang lesu akibat kekangan AUKU juga telah melihatkan ramai ahli akademik tempatan yang berkhidmat di luar negara, misalnya Profesor Azly Rahman pensyarah UUM yang dipecat kerana enggan menandatangani akujanji dan kini berkhidmat di Universiti Columbia, Amerika Syarikat; Sheikh Muhammad Afifi Al-Akiti yang berasal daripada Gombak dan kini merupakan pensyarah pengajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom; Profesor Jomo KS yang pernah berkhidmat di Universiti Malaya dan kini bersama Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu di Amerika Syarikat dan ramai lagi. Buat jangkamasa pendek dalam usaha menjadi IPT-IPT Selangor zon bebas AUKU, Seri Setia ingin menyarankan UNISEL dan KUIS mengadakan program-program akademik yang melibatkan tokoh-tokoh ini. Pada jangkamasa panjang, baik sekiranya UNISEL dan KUIS dapat melantik tokoh-tokoh seperti ini menjadi pensyarah yang sekaligus akan mengangkat martabat IPT-IPT Selangor. Roadmap Baru Untuk Flat Kos Rendah Yang Berhormat-Yang Berhormat Sekalian, DYMM Tuanku menyeru dalam titah baginda agar wakil rakyat membangkitkan kepentingan rakyat dalam projek-projek termasuk Aliran Transit Massa (MRT). Seri Setia menganggap projek MRT ini suatu projek mee segera yang dibuat tanpa tender dan dengan memintas proses-proses perundingan sama kerana pilihan raya umum semakin hampir. Sama ada tujuannya untuk membuktikan pada rakyat Kerajaan Persekutuan bukan hanya bercakap kosong atau sebagai dana pilihan raya, saya tidak tahu. Misalnya YB Nurul Izzah Anwar mendedahkan Scomi ada cadangan projek transit dengan kos RM 25 bilion, RM 10 bilion lebih rendah berbanding MRT Gamuda yang dipilih kerajaan. Scomi sahamnya pernah naik ketika zaman Perdana Menteri ke-5 tetapi hari ini agak menyepi. Adakah perbezaan terlalu besar ini untuk masuk kocek UMNO dan BN? Projek mee segera ini bukan benda asing bagi BN. Sewaktu BN memegang Kerajaan Negeri Selangor, mereka mengusahakan projek Setinggan Sifar sehingga menggunakan Ordinan Darurat semata-mata untuk memberi tanah yang luas kepada pemaju-pemaju yang menjadi kroni mereka. Kita masih ingat bagaimana penduduk Kampung Berembang yang merupakan kubu kuat UMNO dihalau seolah-olah pendatang di negara sendiri pada zaman kerajaan yang lalu. Hasilnya, flat-flat kos rendah yang dibina berada di dalam keadaan yang menyedihkan. Seri Setia menanggung masalah ini memandangkan perobohan Kampung Gandhi, Kampung Penaga di Jalan Kelang Lama yang digantikan desa mentari sampai hari ini menimbulkan masalah. Wujud hampir 4000 unit dengan 20000 penduduk di Desa Mentari sahaja yang hampir separuh Melayu dan separuh India. Memandangkan kemudahan ibadat, dewan orang ramai dan taman rekreasi terlalu terhad, pelbagai masalah timbul. Bila masjid naik, penduduk India panik akibat hasutan MIC. Bila Sekolah Tamil naik, penduduk Melayu panik akibat hasutan umno. inilah politik pecah dan perintah Barisan Nasional. Seri Setia menghargai pendekatan proaktif kerajaan negeri khususnya Menteri Besar dan EXCO dari Cempaka yang memilih Desa Mentari antara kawasan yang menerima peruntukan RM 1.7 juta daripada kerajaan negeri untuk membaiki lif. DUN Seri Setia turut menerima faedah sumbangan cat oleh MBPJ dan PKNS bagi flat-flat kos rendah di Kg Lindungan dan pjs 8. Seri Setia berharap diwujudkan satu badan bertanggungjawab membuat kajian jangka masa panjang bagaimana memperbaiki kemudahan dan keadaan di flat-flat kos rendah seperti Desa Mentari. PKNS misalnya telah mempunyai pengalaman yang luas dalam aspek ini. dengan ini pendekatan kita berubah daripada ad-hoc kepada lebih spesifik bagi meningkatkan keadaan di flat-flat ini secara berterusan. Memerangi Jenayah Yang Berhormat Tuan Speaker, Masalah jenayah adalah masalah asas yang dihadapi semua rakyat. Rakyat berhak hidup bebas daripada ketakutan terhadap jenayah. Seri Setia sekali lagi mengucapkan tahniah atas inisiatif kerajaan negeri dan MBPJ mewujudkan polis bantuan sekalipun disekat Kerajaan Persekutuan dan Bukit Aman. Beberapa bulan lepas wakil-wakil rakyat di Petaling Jaya dikejutkan dengan cadangan pihak-pihak tertentu di MBPJ untuk merobohkan pondok-pondok pengawal bagi komuniti berpagar (gated community) kerana dikatakan tidak selaras dengan undang-undang. Alhamdulillah, cadangan tersebut ditarik balik selepas bantahan wakil-wakil rakyat. Di sini kita berharap sebarang undang-undang haruslah melihat realiti masyarakat dan logik – common sense – bukan hitam putih semata-mata. Inisiatif penduduk tertentu mengurangkan jenayah dengan mewujudkan komuniti berpagar mestilah dipuji, dalam keadaan polis kekurangan anggota dan cadangan Polis Bantuan MBPJ tidak dapat dilaksanakan. Seri Setia yakin sekiranya pihak polis tidak membuang masa menyoalsiasat Bukit Antarabangsa, Batu Caves dan Hulu Kelang, mereka dapat menumpukan lebih banyak masa membanteras jenayah. Melebarkan Kemudahan Internet Di Selangor Yang Berhormat-Yang Berhormat Sekalian, Seri Setia berkongsi keprihatinan yang disuarakan Yang Berhormat Bukit Antarabangsa untuk mengetahui status projek hybrid wireless infrastructure network (hywin) di selangor yang diwarwarkan sebelum ini. Internet kini memainkan peranan amat penting khususnya bagi generasi muda yang biasa dengan blog, Facebook, Twitter dan peralatan internet mudahalih seperti Blackberry, iPhone dan sebagainya. Seri Setia ingin menyahut seruan Bukit Antarabangsa dan mungkin boleh diusulkan EXCO-EXCO yang masih tidak menggunakan kemudahan-kemudahan ini dipotong gaji mereka. Kita melihat pertentangan antara media baru dengan politik lama di Malaysia memandangkan rakyat muak dengan propaganda parti dan perkauman yang didendangkan media-media seperti Utusan Malaysia dan TV3 seperti yang disuarakan Yang Berhormat Sekinchan. Justeru tidak mengejutkan, jika kita melihat peta akses internet di Selangor dengan keputusan pilihan raya umum 2008, umumnya lagi tinggi penetrasi internet lagi lemah pengaruh BN di situ. Seri Setia ingin mengesyorkan sementara kita menanti hywin yang dikatakan akan meliputi seluruh Selangor hanya dalam tempoh 5 tahun lagi, kerajaan negeri mengusahakan kiosk-kiosk internet bergerak mahupun kiosk-kiosk internet setempat di balai-balai raya di kawasan-kawasan luar bandar. Ini mungkin menggugat masa depan BN di kawasan-kawasan ini, tetapi lebih penting lagi kita mengatasi jurang digital (digital divide) dan memberikan peluang yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar. Keputusan Pembangunan / Kemajuan Disegerakan Yang Berhormat Tuan Speaker, Seri Setia ingin mengucapkan tahniah kepada keputusan kerajaan negeri membatalkan pembangunan komersial di Taman Subang Ria yang sudah lama diperjuangkan rakan saya Yang Berhormat Subang Jaya. Namun kita lihat dalam banyak projek-projek pembangunan di Negeri Selangor, wujud rungutan bahawa keputusan akhir lambat dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri dan tempatan. tidak kira jawapannya ya, tidak mahupun kelulusan bersyarat, tetapi semua pihak sama ada penduduk, badan bukan kerajaan mahupun pemaju mahukan jawapan yang segera. Kita tidak boleh kerap menangguhkan keputusan memandangkan keputusannya melibatkan banyak pihak dan kos yang tinggi. Sebagaimana dititahkan DYMM Tuanku, masalah birokrasi kerajaan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pembangunan yang lestari di Negeri Selangor. Sebelum ini kerajaan negeri di bawah YAB Dato' Menteri Besar telah mengarahkan pkns menyerahkan Tasik Kelana yang terletak di DUN Seri Setia kepada MBPJ untuk dikekalkan sebagai kemudahan rekreasi. Namun sehingga hari ini penduduk masih menunggu penyempurnaan penyerahan serta penggazetan tasik tersebut. Seri Setia berharap penantian 3 tahun penduduk Kelana jaya dapat berakhir. Selangor Terus Memimpin Perubahan Yang Berhormat-Yang Berhormat Sekalian, Seri Setia ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana beberapa dasar pembaharuan yang diperkenalkan. dasar-dasar seperti cuti bersalin 90 hari dan Hari Tanpa Beg Plastik kini turut diciplak oleh Barisan Nasional. Ternyata selangor terus memimpin perubahan. Justeru Seri Setia berharap cadangan-cadangan yang dibuat oleh Seri Setia dalam ucapan ini dapat diambil serius oleh kerajaan negeri agar Selangor terus unggul memimpin perubahan. Seri Setia menyokong Titah DYMM Tuanku. |
Posted: 30 Mar 2011 07:00 PM PDT Tak berbangkit MPKB BRI abai kebajikan peniaga M Faqih KOTA BHARU, 31 Mac: 'Tunggal pun dikatakan hantu..' Mungkin inilah yang dapat digambarkan apabila Persatuan Peniaga Arked MPKB mendakwa kerajaan negeri tidak berpegang kepada janji. Kelmarin anggota jawatankuasa persatuan itu mendakwa menerima surat kuning supaya mengosongkan bangunan mulai hari ini, sedangkan sebelum itu dijanjikan sebelum 31 Mei depan. Seorang anggota jawatankuasa persatuan itu mendakwa notis penamatan sewa dikeluarkan Blue Lang Marketing. Sedangkan pengurus syarikat terbabit, Wan Muhamad Azha Wan Omar memberitahu notis kuning yang dikeluarkan bagi menyatakan pihaknya tidak lagi bertanggungjawab ke atas kutipan sewa, bil elektrik dan kebersihan premis selepas 30 Mac dan peniaga dikehendaki menjelaskan tunggakan sewa dan bil elektrik sehingga 31 Mac. "Peniaga mungkin salah faham terutamanya kepada peniaga di tingkat satu," katanya seperti dilaporkan sebuah akhbar semalam. Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) menjelaskan pihak perunding mengesahkan Arked MPKB tidak lagi selamat diduduki kerana terdedah kepada litar pintas kabel elektrik. Yang Dipertuanya, Nazran Muhamad berkata, air sentiasa bocor dan mengalir sehingga menyebabkan kekuatan konkrit semakin merosot dan menurun. "Ini tidak ekonomik untuk dibaiki kerana kos sangat besar di samping rumit dari segi pelaksanaan. "Selaras dengan peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan semua bangunan di kawasannya," katanya dalam satu kenyataan di sini. Menurutnya MPKB BRI telah membuka tawaran dan bersetuju pembangunan semula tapak Arked MPKB kepada sebuah syarikat dengan keseluruhan pulangan sebanyak RM6.8 juta. "Pembangunan semula tapak Arked MPKB merupakan satu usaha ke arah mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi setempat, di samping membuka peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk Kota Bharu," ujarnya. Oleh itu kata beliau sepatutnya tidak berbangkit soal jual beli bangunan arked kepada pemaju kerana perkara tersebut sudah selesai. Nazran berkata, sebelum Arked MPKB diroboh, MPKB BRI telah membeli ruang niaga di tingkat satu Bazar Tengku Anis bagi menyelesaikan masalah dihadapi peniaga. Bagaimanapun katanya, peniaga tingkat atas Arked MPKB tidak bersetuju berpindah ke Bazar Tengku Anis sebaliknya memilih Bazar Tok Guru. "Keluasan lot di Bazar Tok Guru sepatutnya tidak berbangkit kerana saiz tersebut telah pun dipersetujui bersama dalam mesyuarat pada 20 Januari 2010 yang turut dihadiri wakil peniaga Arked MPKB dan ArkedUda. "Persetujuan saiz lot tersebut bagi membolehkan semua peniaga dikedua-dua bazar ditempatkan di ruang niaga tingkat bawah Bazar Tok Guru," katanya. Difahamkan pada mesyuarat yang diadakan itu peniaga diwakili Abdul Salim Ahmad daripada Arked MPKB dan Wan Lukman Wan Salleh (Arked Uda). Ketika itu wakil peniaga terbabit memohon penempatan semula semua peniaga berdaftar di Arked MPKB dan Arked Uda seramai 415 orang. Manakala sebahagian besar peniaga makanan di tingkat bawah Arked MPKB bersetuju menerima tawaran lot di sekitar Bazar Tengku Anis dan terminal bas di Lembah Sireh. Nazran berkata, kerajaan negeri dan MPKB-BRI telah menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya bagi menjaga kebajikan peniaga selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam. "Tidak berbangkit langsung kerajaan negeri mengabaikan kebajikan dan kepentingan peniaga malah lebih bersifat prihatin bagi menjaga masa depan mereka," ujarnya. |
Tarian Poco-Poco Secara Asasnya Harus Posted: 30 Mar 2011 05:00 PM PDT TARIAN POCO-POCO SECARA ASASNYA HARUS Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (sertai facebook DrMAZA.com) S.S Mufti Perak, Ybg Tan Sri Harussani telah mengharamkan tarian poco-poco atas asas ia berasal dari agama lain yang berunsur pemujaan ruh dan bercirikan agama Kristian. Pihak beliau mungkin ada alasan yang tersendiri. Namun, dengan menghormati hak Negeri Perak, S.S Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, izinkan saya ingin memberikan pandangan mengenai hal ini. Ini kerana bimbang prinsip asas Islam disalahfahami oleh sesetengah pihak yang lain. Berikut perkara yang perlu difahami oleh kita; i. Pada asasnya, semua urusan harian (daily life) dalam kehidupan manusia yang membabitkan persoalan keperluan atau kepentingan hidup insan adalah harus dilakukan KECUALI jika terdapat dalil yang jelas mengharamkan hal tersebut. Maka, segala bentuk senaman, tarian, makanan, perhiasan dan seumpamanya adalah harus atau dibolehkan melainkan ada bukti yang jelas dari nas syarak ia diharamkan, atau dimakruhkan. Justeru itu, Nabi s.a.w tidak mengharamkan banyak budaya Arab yang memberikan faedah kepada insan secara langsung atau tidak langsung, antaranya; nyanyian dan gendang semasa perkahwinan. Dalam hadis al-Bukhari: Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka Nabi bersabda: "Wahai 'Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan". Hadis menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan hiburan yang menjadi amalan dalam sesuatu masyarakat. - Gambar Hiasan ii. Cumanya, jika ada unsur yang tidak baik, baginda Nabi s.a.w menegur atau menapisnya. Sebab itu apabila baginda Nabi s.a.w mendengar wanita menyanyi dengan lirik "Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok". Baginda bersabda: "Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu" (Riwayat al-Bukhari). Ungkapan dalam lirik tersebut yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w mengetahui apa yang akan berlaku esok adalah salah. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Maka, Nabi s.a.w membetulkan lirik itu, tetapi tidaklah pula mengharamkan nyanyian atau lirik lain yang tidak bercanggah dengan akidah atau hakikat yang sebenar. iii. Muslim hendaklah tahu tentang keluasan Islam dalam hal ini. Nabi s.a.w apabila mengizinkan hiburan pertunjukan permainan pedang dan lembing dalam masjid pada hariraya, baginda menegaskan: Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah" (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani). Maka, fatwa dalam hal tarian, senaman, permainan dan seumpamanya, hendaklah luas, tidak sempit dan berusaha melihat ruang keizinan yang diberikan oleh Islam. Apatah lagi kita yang hidup dalam masyarakat yang serba rencam dan pelbagai cabaran ini. iv. Atas asas ini, -pada pandangan saya- tarian poco-poco adalah harus, melainkan jika seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah. Jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah, atau dicampuri perbuatan yang salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan. Jika ada unsur yang salah, hendaklah dibuat seperti Nabi s.a.w iaitu membuang unsur yang buruk dan meninggalkan unsur yang baik. v. Jika tarian poco-poco diharamkan atas asas asal-usulnya yang tidak islamik, sekalipun yang mengamalkan tidak meniru atau beriktikad perkara yang salah, maka nanti akan membawa kesan diharamkan aktiviti lain yang mempunyai latar yang tidak Islamik juga seperti tai-chi, chi-kung, kata tae-kwondo dan pelbagai lagi. vi. Untuk itu, dengan menghormati S.S Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Perak, saya ingin menyatakan pandangan yang berbeza iaitu poco-poco yang tidak diamalkan dengan kepercayaan yang salah adalah diharuskan. Adapun, jika dilakukan dengan kepercayaan yang salah, atau diiringi perbuatan yang haram seperti arak dan seks bebas, maka kepercayaan dan amalan yang salah itu wajib dibuang, tarian yang memberikan kebaikan kepada kesihatan itu diizinkan. |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan