Kerabu Bersuara ® |
- Bukti Anwar Buat Seks Sambil Ber Twitter,Blog Pro Umno Menyalak Macam Anjing
- MRT-Kerajaan Masih Tak Belajar Dari Kesilapan Lama?
- Gambar Tok Guru Haji Hadi Ziarah Makam Bonda DYMM Yang Di Petuan Agong
- Ku Li: BN boleh menang di Sarawak tapi majoriti besar sukar
- Rakaman Penuh Pidato DSAI Di Taman Melawati 25 Mac 2011
- Siapa individu penting di belakang Datuk T?
- Media dan Tuduhan Salah Laku Seks Pembesar
- Video Kekecohan Di Majlis DNA Anwar
- Gerakan, MIC, MCA liabiliti buat Umno dan BN!
- Dr Asri: Video lucah dan dosa politik
- Tindakan tak profesional polis bukti Umno BN gentar
Bukti Anwar Buat Seks Sambil Ber Twitter,Blog Pro Umno Menyalak Macam Anjing Posted: 26 Mar 2011 08:07 AM PDT Manipulasi waktu twitter, Utusan didesak mohon maaf atau disaman Antara bukti catatan dari twitter ke facebook hanya mengambil masa dua minit, bukan sejam seperti fitnah Utusan Malaysia KUALA LUMPUR: Utusan Malaysia yang memetik laporan blog tajaan Umno, kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membuat sebarang twit ke akaun twitternya pada masa rakaman video palsu itu berlangsung, didesak memohon maaf atau berdepan saman dari KEADILAN. Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Anwar menghantar sembilan pesanan ke akaun twitternya antara jam 10.38 malam hingga 11.06 malam berbanding waktu rakaman video berkenaan antara jam 10.20 malam hingga 10.41 malam. "Semua laporan mereka yang menonton rakaman itu tidak menyebut sipelaku melakukan seks sambil memegang telefon untuk menghantar pesanan twitter," katanya pada satu kenyataan media, hari ini. "Pesanan yang dihantar jelas dibuat Anwar kerana lenggok bahasa dan interaksinya dengan pengikut yang diketahui umum. Mustahil sipelaku dalam video adalah Anwar," katanya yang mengemuka bukti sekali gus mematahkan fitnah yang disiarkan blog yang dibiayai Umno sebelum dipetik Utusan Malaysia. Paparan skrin facebook Anwar membuktikan dakwaan Utusan Malaysia adalah pembohongan semata-mata Rafizi juga kesal kerana Utusan Malaysia mendakwa wujud perbezaan masa antara laman facebook dan twitter, kononnya pesanan yang dirakam di facebook sejam lebih lambat dari twitter. "Ini pembohongan besar yang sengaja direka. Dua petikan skrin dari twitter dan facebook Anwar yang menunjukkan pesanan yang dibuat melalui twitter dihantar ke facebook, dua minit kemudian," katanya. Rafizi berkata, pesanan pada jam 12.22 tengah hari pada 26 Mac 2011 di twitter dicatat waktunya sebagai 12.24 tengah hari di facebook. "Ini membuktikan kepada rakyat Malaysia betapa hinanya Utusan Malaysia yang tanpa segan silu menyiarkan fitnah tanpa usul periksa. Asal dapat menyebarkan dakyah tuan punya iaitu Umno. "KEADILAN mendesak Utusan Malaysia memohon maaf. Jika enggan berbuat demikian, KEADILAN akan mempertimbang tindakan lanjut terhadap Utusan Malaysia dan penulis blog Umno itu," katanya. http://www.keadilandaily.com/manipulasi-waktu-twitter-utusan-didesak-mohon-maaf-atau-disaman/ |
MRT-Kerajaan Masih Tak Belajar Dari Kesilapan Lama? Posted: 26 Mar 2011 04:00 AM PDT Saya menulis makalah ini setelah sedikit kecewa dan gagal menjadi penyemak-imbang yang berkesan di Dewan Rakyat, khususnya tentang MRT setelah mendengar jawapan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DS Nazri Aziz. Berdepan dengan realiti kedegilan bercampur keangkuhan pihak kerajaan, saya serah kepada rakyat; tuan dan boss yang sebenar, untuk menilai serta membuat keputusan yang muktamad. Dalam majalah The Edge, sedikit waktu dahulu (Ogos 16, 2010), wartawan M Shanmugan dalam kolumnya Big Money berkebetulan membuat "Cover Story" tentang projek Bakun, menonjolkan perihal kepincangan dan kebejatan pengendalian projek mega tersebut. Penulisan beliau seperti biasa menarik, cukup bermaklumat serta analisisnya mendalam. Berdepan dengan satu lagi projek mega yakni Mass Rapid Transit (MRT), amat wajar bagi semua, khususnya pihak pimpinan tertinggi BN supaya meneliti segala teguran tajam dan peringatan berguna beliau. Itu pun kalau kerajaan PM Najib benar-benar menghayati slogannya bahawa "Era kerajaan tahu semua telah berlalu". Kalau tidak, maka sah seperti dikatakan sifu pengurusan "kemuncak kebebalan adalah mengulangi kerja yang sama dan pada setiap kali ulangan mengharapkan natijah yang berbeza". Kerajaan Najib, kalau tidak mengambil tindakan tegas ke arah penambahbaikan, semakin jelas sedang mengulangi ketempangan pengurusan lama, kalau tidak lebih buruk lagi. Fasa Pertama MRT Sungai Buloh-Kajang (MRT SG-K) yang mempunyai landasan sepanjang 51 km dengan membabitkan 9.5 km landasan bawah tanah, jelasnya adalah projek infrastruktur paling mega yang pernah dijalankan kerajaan BN. Sejak sebulan perancangan projek ini dipamerkan untuk mendapat maklum balas rakyat dan pengguna, maka banyak juga yang akhirnya terdedah setelah hampir setahun cadangan MRT ini pertama kalinya dibentangkan kepada kabinet oleh Gamuda-MMC. Dengan Putrajaya berharga RM20 billion sementara KLIA pada RM10bilion, maka MRT SB-K yang pada asal adalah RM26.5 bilion dan kini dianggarkan oleh banyak pihak akan menelan RM50 bilion, adalah projek infrastruktur paling mahal dan mega. Penulis ketika mengasak Menteri JPM yang menggulung perbahasan Titah, ingin memberitahu umum bahawa semua hal tentang harga adalah tentatif dan 'guesstimate', tidak muktamad seperti yang diberitahu Menteri. Itu hakikat yang semua perlu tahu. Untuk ingatan semua, pertama-tama diumumkan projek MRT ini semasa PM Najib sebutkan dalam pelancaran RMK-10, kemudian dalam NKRA seterusnya dalam NKEA dan akhirnya menjadi antara mercu-tanda projek EPP atau Entry-Point-Project dalam Economic Transformational Program atau ETP (Program Peralehan Ekonomi). Tegasnya, projek sama yang telah diulang sebut dalam kesemua perancangan Najib. Mengikut laporan awalnya, ia adalah pelaburan pihak swasta, mungkin sebagai "Domestic Direct Investment atau DDI". Itulah kali terkahir ia disebutkan sebagai projek pelaburan swasta sesuai dengan hasrat kerajaan Najib untuk membuktikan bahawa target penambahan pelaburan swasta sebanyak RM115 bilion atau peningkatan 12.5% dalam 5 tahun RMK-10 yang bakal beliau capai KPInya. Kini umum tahu dan mana-mana kerajaan di bumi ini juga tahu, bahawa projek infrastruktur khususnya pengangkutan awam darat keretapi, sukar untuk dimajukan pihak swasta. Sebabnya mudah. Projek seumpama MRT ini mempunyai pulangan komersial yang rendah tetapi pulangan ekonomi yang tinggi justeru kesan berganda dan limpahan ekonominya. Secara lebih khusus kadar pulangan dalaman ekonominya atau economic Internal Rate of Return (IRR) adalah 25%, sementara kadar pulangan dalaman komersialnya atau commercial IRR hanya 4%. Ini menyebabkan kaedah memajukan projek ini secara penswastaan adalah tidak menarik kecuali, seperti biasa kerajaan terpaksa membuat pelbagai insentif. Kalau mahu juga dilakukan secara penswastaan, kerajaan akan terpaksa mengulangi kesilapan lama dengan menjanjikan tariff yang tinggi, subsidi dan juga 'pampasan' andainya tidak memenuhi sasaran target pungutan pendapatan seperti penswastaan lebuhraya, sektor tenaga (IPP) dan penswastaan sektor air. Sebab itu antara perkara awal yang mesti dijelaskan oleh kerajaan ialah bahawa projek ini adalah pembiayaan kerajaan dan bukan swasta. Adalah amat menasabah mengapa tidak satu pihak swasta pun yang mahu untuk memilikki dan menjadi operator MRT ini. Prasarana Berhad, sebagai syarikat milik Kementerian Kewangan juga akan dipertanggungjawab untuk menjalankan operasinya dan memilkki sekaligus. Ini membawa kita kepada persoalan seterusnya, bagaimanakah kerajaan mahu membiayai projek mega MRT ini? Kerajaan tidak perlu berselindung lagi meskipun tidak mahu menjawab secara telus dan terus dalam parlimen. Jawapannya mudah. Hutang. Berhutang samada dari pinjaman pasaran bon dan kewangan tempatan mahupu antarabangsa. Bank Negara Malaysia (BNM) baru sahaja mengumumkan tentang menerbitkan "sovereign bond" untuk menampong defisit belanjawan 2011 dan untuk membayar hutang bon kerajaan Pusat yang sudah matang (maturing debt papers). Antara RM 86 sehingga RM88 bilion akan diterbitkan oleh kerajaan Malaysia dalam bentuk Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan Sekuriti Kerajaan malaysia (MGS). Mek menasabah untuk menjangkakan bahawa sebahagian dari pinjaman ini adalah untukmenampong keperluan membangunkan infrastruktur pengangkutan. Dengan perbelanjaan sebesar ini, sekaligus meningkatkan lagi pinjaman kerajaan Pusat yang kini berada pada paars RM362 bilion atau 52.3% KDNK, maka adalah layak rakyat mahukan supaya projek MRT ini menjadi satu yang benar-benar membawa menafaat besar seperti yang diunjurkan dalam pulangan 25% IRR di atas. Pihak swasta hanya berminat untuk bina kerana labanya besar dalam fasa pembinaan seperti biasa. Hampir semua projek mega-mewah kerajaan mengalami nasib yang sama. Amat wajar kerajaan Najib dingatkan sekeras-kerasnya bahwa pada kali terakhir perbelanjaan mega dan besar dibuat bagi membina sistem pengangkutan awam dalam gelombang penswastaan pertama dahulu, yang didapati rakyat setelah RM10 bilion dibelanjakan, ialah apa yang ada hari ini. Dengan sistem "Light Rail Transit" dulunya milik swasta – Putra dan STAR, KL Monorail dan sistem bas Rapid-KLnya, kesemua gagal menghasilkan satu sistem pengangkutan yang bertaraf dunia! Cuba bandingkan dengan negara jiran seperti Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan. Malu kita. Apa yang telah berlaku? Mudah sahaja hukuman dibuat setelah semua gagal dan perlu diselamatkan oleh kerajaan kembali dengan satu 'bailout' yang menelan perbelanjaan hampir RM9 bilion. STAR LRT sebanyak RM3.3 bilion, Putra LRT sebanyak RM4.5 bilion, KL Monorial sebanyak RM882 juta bas Rapid-KL sebanyak RM200 juta. Jumlahkan untuk mengetahui berapa banyak yang kini ditanggung oleh Prasarana Nasional Berhad. Bayaran faedah yang terpaksa ditanggung oleh Prasarana akan hutang-hutang syarikat-syarikat ini sahaja mungkin mencecah RM300 juta setahun! Kesimpulan dari kritik M Shanmugam dalam makalah The Edge itu boleh diringkaskan sedemikian yakni kepincangan dalam perancangan yang teliti termasuk aspek impak alam sekitar (EIA), jauh sekali untuk menyiapkan satu 'blueprint' bagi memahami kesan berganda ekonomi setelah pelaburan besar dibuat dalam projek mega seumpama Bakun bakal akan berulang. Pelbagai pihak, bukan sahaja pembangkang, bahkan dari BN sendiri dan NGO, merakamkan hal yang sama. Ternyata pengurusan MRT SG-K telah menampakkan riak dan isyarat akan ditimpa nasib dan kesudahan yang sama. Kegagalan dan ketiadaan ketelitian merancang semakin terserlah apatah lagi setelah dibuat pameran tentang cadangan MRT-EIA di kesemua pejabat DOE, librari awam dan 7 pejabat bandaraya di DBKL, PJ, Selayang, Shah Alam, Kajang, Bangsar dan termasuk pejabat SPAD di Menara Dayabumi. Kaedah terbaru "Rakan Penyampai Projek" yakni "Projek Delivery Partner"atau PDP diperkenalkan dalam menangani projek mega MRT ini. Namun PDP juga bertindak sebagai PMC atau 'Project Management Consultant' dan juga selaku 'Turnkey Contractor'nya. Apabila penulis bertanya Menteri JPM semasa penggulungan, beliau segera menjawab bahawa Gamuda-MMC hanya akan diberikan projek pembinaan terowong kerana kepakaran mereka. Persoalan paling besar yang perlu dijawab kerajaan ialah mengapa cadangan Gamuda-MMC ini dipersetujui terlalu pantas dan tergesa-gesa. Benar, Gamuda-MMC mungkin punya pengalaman dalam hal-hal tertentu seperti kerja-kerja terowong. Mungkin juga mereka punya kekuatan kewangan yang mantap dan kukuh yang tidak dipertikaikan. Tetapi untuk menganugerahkan projek mega ini perlu penelitian bahkan pembida-pembida lain juga bersedia membida dan harga yang lebih kompetitif. Mungkinkah perlu digunakan kaedah "Swiss Challenge" – satu mekanisme dalam membida projek infrastruktur mega, contohnya dalam projek 'Landasan Berkembar, sedikit waktu dahulu? Lagi pun terlalu banyak isu yang masih belum selesai termasuk pertikaian tentang kos, kapasiti serta alignment dan design jalan dan tren MRT itu sendiri termasuk kesan impak alam sekitar dsbnya. Inilah ulangan kesilapan yang diingatkan M Shanmugam, tetapi kesemua bakal berulang tampaknya. Ketika penulis selaku Ahli Parlimen Kuala Selangor membangkitkan tentang 'cost overrun' atau 'kos lebihan' satu penyakit lama yang mencirikan semua projek mega kerajaan BN terutamanya Bakun, Menteri segara menjawab bahawa ia akan ditanggung oleh Gamuda-MMC selaku PDP. Mudah dan yakin sangat bunyinya. Sayugia dingatkan bahawa mengikut kajian Professor Flyvberg dari Oxford University, bahawa 'cost overrun' dalam pengalaman membina MRT di seluruh dunia ialah 30-40% dari kos asal. Mampukah ditanggung oleh PDP? Ini satu jumlah yang besar dan adakah Gamuda-MMC sanggup ataukah terpaksa sanggup kerana hendakkan projek tersebut, tetapi lepas 'kos berlebihan' membelon maka ia akan kembali diselamatkan atau 'bailout' oleh wang rakyat mengulangi tabi'at lama hampir semua projek mega kerajaan BN. Seperkara lagi yang penulis bangkitkan ialah tentang projek penambahan LRT Kelana Jaya dan Ampang yang telah pun diwawarkan sedikit waktu dahulu, yang kini telah dipintas oleh MRT. Pendeknya projek ini yang bakal menelan belanja RM7 bilion tiba-tiba menjadi sepi dan tak menentu selepas pusingan pertama – 'prequalification round' dibuat bagi mengenalpasti syrarikat-syarikat yang membida secara terbuka. Projek penyambungan LRT Kelana Jaya akan menelan belanja RM3.6 bilion untuk kedua-dua fasa 1 dan 2 sepanjang 9.2 km dan LRT Ampang menelan belanja RM3.4 bilion dan menyambung sepanjang 7.4 km. Persoalan yang penulis bangkit ialah mengapa tiba-tiba senyap dan tiba-tiba dipintas oleh MRT Sungai Buloh-Kajang? Ini yang peliknya semacam ada pihak yang menjadi 'boss' yang menentukan arah kerja atau keutamaan SPAD. Bukankah SPAD diberi tanggungjawab menyusun dan merangka satu sistem pengangkutan awam darat yang integrated dan punya 'connectivity' dalam semua sistem darat itu? Amat malang sekali belum pun SPAD merumuskan satu 'blueprint' untuk pengangkutan awam seluruhnya, Gamuda-MMC telah siap dengan cadangan MRT SB-K. Lebih mengejutkan apabila dikatakan bahawa projek akan bermula pembinaan pada 16 Julai tahun ini. Sebuah badan bukan kerajaan, NGO yang memfokas bidang kerjanya terhadap pengangkutan awam serta memuatkan seluruh penyelidikan, forum dan perbincangan tentang pengangkutan awam dalam sesawang mereka di www.transitmy.org. Cukup baik, bermaklumat dan profesional. Pelbagai cadangan mereka senantiasa meletakkan rakyat pada perhitungan utama yakni dengan izin, 'rakyat-centric'sementara tidak mengabaikan matlamat untuk membina sebuah sistem pengangkutan awam yang 'integrated' dan punya 'interconnectivity' seluruh jenis pengangkutan awam termasuk bas secara berkesan dan efisien. Bolehkah kerajaan BN belajar dari kesilapan? Katanya "Era kerajaan tahu semua telah berlalu". Bukan begitu ke? Dr Dzulkefly Ahmad. |
Gambar Tok Guru Haji Hadi Ziarah Makam Bonda DYMM Yang Di Petuan Agong Posted: 26 Mar 2011 03:21 AM PDT Pada 24.3.2011 di Makam Diraja Masjid al-Muktafibillah Shah, Ladang. Diringi Adun Ladang YB Tengku Hassan Omar, Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Setiu, Tengku Ahmad Tengku Hussain dan arkitek terkenal, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah. Sumber Gambar : Facebook Presiden PAS |
Ku Li: BN boleh menang di Sarawak tapi majoriti besar sukar Posted: 26 Mar 2011 02:57 AM PDT GUA MUSANG, 26 Mac — Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yakin Barisan Nasional (BN) kekal memerintah Kerajaan Negeri Sarawak pada pilihan raya negeri itu 16 April ini. Bagaimanapun, kata beliau, hanya untuk mendapat majoriti besar mungkin sukar berikutan penduduk kawasan bandar itu kurang memberi sokongan kepada BN disebabkan terpengaruh dengan isu pembangkang. Ini pilihan raya negeri pertama selepas tsunami politik ketika pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu. "BN mendapat sokongan kuat daripada penduduk luar bandar negeri itu kerana masih memerlukan banyak pembelaan daripada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Umno cawangan Lebir di sini, hari ini. Dipetik Bernama, Tengku Razaleigh berkata, pandangan awal mengenai kedudukan pilihan raya negeri Sarawak itu diperolehi daripada rakan-rakan yang sudah pergi ke sana menjelang hari penamaan calon 6 April ini. Dewan Undangan Negeri Sarawak menawarkan 71 kerusi. "Saya juga mungkin akan pergi ke sana bagi membantu jentera pilihan raya negeri berkenaan dan ingin melihat sendiri kedudukan sebenar kekuatan BN," kata Ketua Umno Gua Musang itu. Sebelum itu, ketika berucap, beliau berkata, kerajaan BN mampu melakukan apa sahaja untuk kemajuan rakyat di seluruh negara termasuk di Kelantan untuk membawa kesenangan. Katanya, kedudukan kampung luar bandar juga seperti Gua Musang turut diberi tumpuan untuk melaksanakan pelbagai kemudahan seperti jalan perhubungan dan kemudahan asas yang lain. |
Rakaman Penuh Pidato DSAI Di Taman Melawati 25 Mac 2011 Posted: 26 Mar 2011 01:06 AM PDT |
Siapa individu penting di belakang Datuk T? Posted: 26 Mar 2011 12:40 AM PDT KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor yakin ada individu penting di belakang Datuk T yang dianggap banyak pihak sebagai dalang penayangan video seks memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim. "AMK Johor yakin bahawa ada individu 'penting' dibelakang Datuk T," kata Ketua AMK Johor, Mohamad Nazri Ismail pada satu kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, ia berikutan tayangan video seks itu adalah satu perancangan tersusun dan seolah-olah mendapat restu dari pihak tertentu kerana ia diadakan dengan jayanya tanpa sebarang gangguan dari mana-mana pihak berkuasa. "Mustahil apabila pihak berkuasa seoalah-olah tidak mendapat sebarang maklumat mengenai tayangan video lucah itu," katanya. Sebelum ini, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dipancing untuk meninggalkan KEADILAN menggunakan video berkenaan dan trio Datuk T berjanji untuk membawa beliau bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Raztak. Pendedahan bekas pengawal peribadi Tan Seri Megat Junid, Mohamad Mahti Abd Rahim semalam pula menunjukkan Datuk Shazril Eskay Abdullah mengaku tindakan penayangan video seks itu dilakukannya untuk 'the number one'. Mohamad Nazri juga percaya lebih banyak fitnah akan disebar pihak tertentu bagi meracuni pemikiran rakyat supaya membenci Pakatan Rakyat dan menganggapnya sebagai kerja terkutuk dan jijik yang diatur konspirator untuk menamatkan kerjaya politik dan mengaibkan Anwar. "Ia untuk mengalihkan fokus pimpinan Pakatan Rakyat terhadap Pilihan raya Sarawak dan pemilihan hari penayangan serentak dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak jelas menunjukkan ia bermotif politik," katanya. Yakin pilihan raya umum (PRU) ke-13 berlangsung bila-bila masa dan menyeru AMK menyiapkan jentera, Mohamad Nazri berharap rakyat bijak untuk menolak politik kotor dan fitnah jijik seumpama itu. "AMK Johor menyeru seluruh kepimpinan AMK di setiap cabang di Johor supaya bersedia untuk berdepan secara "anak jantan" dan bangkit melawan politik kotor dan jijik," katanya. Mohamad Nazri juga mendesak polis supaya membuat siasatan terhadap kenyataan Ummi Hafilda Ali dalam sebuah akhbar arus perdana, kononnya mengetahui dalang sebenar pembikinan video seks yang didakwanya ada 18 rakaman lagi. "AMK Johor mengarahkan setiap AMK Cabang membuat laporan polis berhubung video lucah bagi mendesak polis segera membuat siasatan dengan telus dan berani tanpa menyebelahi mana-mana pihak," katanya. Beliau juga menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyatakan tindakan Datuk T menayangkan video lucah tidak menyalahi mana-mana perundangan negara. "Kenyataan itu tidak seharusnya keluar dari mulut seorang menteri dan ia amat berbahaya jika disalah erti. Kenyataan demikian merupakan catatan sejarah kerana Malaysia adalah negara Islam pertama mengizinkan pemilikan dan penayangan bahan lucah," katanya. Mohamad Nazri turut memetik Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang menyatakan: "Tiada seorang pun boleh : (a) ada atau menyebabkan dirinya ada dalam milikan, jagaan, kawalan atau pemunyaannya; atau. (b) menyebarkan, menayangkan, mengedarkan, mempamerkan, membuat, mengeluarkan, menjual atau menyewakan, apa-apa filem atau bahan publisiti filem yang lucah atau yang selainnya bertentangan dengan kesopanan awam". |
Media dan Tuduhan Salah Laku Seks Pembesar Posted: 25 Mar 2011 07:00 PM PDT A Kadir Jasin KITA ada pembahas baru yang menggunakan nama pena "OOD". Dalam dua komennya bagi rencana bertajuk "Cabaran Pilihan Raya Negeri Sarawak", beliau antara lain menulis: "Mohon kalau Datuk boleh buat apa-apa, saya rimas membaca tentang perihal seks ahli politik kita. Siapa mereka tiduri, cara mana mereka lakukannya, saya rasa masyarakat dah muak membaca. Sesiapa pun, nak tidur dengan lelaki ke, perempuan ke, atau apa makhluk sekali pun, kita dah letih mendengarnya. Dan media pula, dalam menggambarkan perlakuan tersebut, begitu grafik begitu detail! lebih baik disiarkan saja di tv! "Sebagai rakyat, Datuk, saya mahu lihat 'action' dan mahu mendengar laporan status kemajuan negara. Saya hadir ke mesyuarat JPPN yang dipengerusikan KSN semalam. begitu banyak isu besar dalam negara yang perlu ditangani, namun kita galak menonton video itu dan ini." Beliau menambah: " Suratkhabar sekarang, ceritanya tak ada lain, kisah kematian dan kemalangan atau kisah asmara ahli politik! Masa saya kecil, kerana cemburukan Hadafi, saya juga membaca suratkabar seawal usia 4 tahun. Bagus baca nsuratkhabar, dengar berita tv pon bagus, kata aruah abah. "Saya kini terpaksa haramkan suratkhabar dari anak-anak sebab kandungannya 18SG dan 18SX!" Reaksi dan jawapan saya adalah seperti berikut: 1. Tugas asas media massa ada tiga iaitu memaklumkan, mendidik dan menghibur (to inform, to educate and to entertain); 2. Majoriti produk media massa hari ini adalah perniagaan. Mereka berlumba-lumba mendapatkan pembaca, penonton dan pendengar untuk mencari keuntungan. Mereka terpaksa hidangkan apa yang paling digemari khalayak. Audiens di Malaysia, khasnya orang Melayu, gemar kepada politik karut-marut, berita seks dan jenayah, hiburan murahan dan sukan; 3. Mengenai pembesar (pemimpin?) yang jelas tidak bermoral atau yang disyaki peribadinya, kita ada dua pilihan. Kita tidak memilihnya dalam pilihan raya atau kita boleh terus memilihnya. Itu hak kita dan itulah demokrasi pada dasarnya. Ia bukan sesuatu yang unggul dan terjamin. Pilihan raya tidak semestinya melahirkan kepemimpinan unggul; 4. Dalam ketidaksempurnaan sistem dan manusia itu, pendekatan terbaik adalah memilih pembesar (pemimpin) yang mungkin tidak terlalu keji budi dan akhlaknya, tetapi boleh memerintah dengan baik. Dalam erti kata yang lain, kita mengutamakan pencapaian daripada perwatakan; 5. Mengenai cara memilih media dan menggunakannya, saya hanya boleh beri panduan berdasarkan pengalaman saya. Allahyarham ayah saya menggalakkan saya membaca bahan-bahan yang memberi maklumat dan ilmu. Sebagai bapa, saya tidak menggalakkan (malah mengharamkan) anak-anak saya ketika mereka dalam jagaan saya menonton drama dan program "reality TV" yang karut-marut. Saya galakkan mereka menonton saluran maklumat dan pendidikan. Saya berkecuali mengenai sukan. Hukum yang sama saya gunakan dalam pembacaan akhbar, majalah dan buku; 6. Kita kena akui juga bahawa laporan media massa adalah cerminan masyarakat. Kalau pembesar dan artis suka berkhalwat, orang kaya atau janda mereka suka berebut harta di mahkamah dan artis cantik molek menuntut cerai di mahkamah syariah, bolehkah kita menyalahkan media massa melaporkannya?; 7. Mengenai perbicaraan atau tuduhan ahli politik terbabit dengan seks haram, saya rasa masyarakat wajib dimaklumkan. Pembesar, khasnya ahli politik yang dipilih rakyat, wajib didedahkan kepada pemeriksaan dan penelitian umum; 8. Laporan media mengenai kes seks mungkin berbunyi lucah kerana penggunaan istilah dan ungkapan yang seksual dan sensual. Tetapi dalam perbicaraan, pembuktian perlu jelas dan terperinci. Maka terbitlah istilah dan ungkapan yang seksual dan sensual itu. Media massa pula berhak mengulanginya kerana perbicaraan mahkamah tergulung sebagai "qualified privilege" iaitu keistimewaan bersyarat di mana media terlindung daripada tindakan undang-undang kalau melaporkan dengan telus dan tepat. Kesimpulannya, dalam era ledakan maklumat dan teknologi telekomunikasi ini, bimbingan ibu bapa (parental guidance/PG) sangat penting dan mendesak. Ibu bapa yang tidak celek ICT, kurang berilmu atau yang sambil lewa mungkin tidak dapat melaksanakan tugas PG dengan sempurna. Wallahualam. |
Video Kekecohan Di Majlis DNA Anwar Posted: 25 Mar 2011 06:00 PM PDT |
Gerakan, MIC, MCA liabiliti buat Umno dan BN! Posted: 25 Mar 2011 05:00 PM PDT Oleh Roslan SMS Isu video hangat yang didedahkan oleh trio Datuk bermasalah terus hangat diperkatakan. Entah kemana kesudahannya belum pasti. Yang pasti Sarawak akan menghadapi pilihanraya umum negerinya bulan hadapan dan masing-masing parti khasnya BN dan Pakatan Rakyat sedang mengembeling kekuatan jentera masing-masing untuk bertarung di Bumi Kenyalang itu. Seperti biasa media arus perdana tanpa jemu terus memain peranan memomokkan apa sahaja berkenaan PR dan menjulang serta memuji-muja BN. PR berpecah, DAP tak sekata dengan PKR, SNAP dan PKR bertelingkah, begitulah bahan utama mereka dengan harapan PR tidak bertapak di Sarawak kali ini. Dalam diam-diam barangkali angkara kehangatan video di atas, kekacauan dalam rumah tangga BN sendiri disapu ke bawah tikar. Nazri Aziz, Menteri dan pemimpin Umno yang ringan mulut itu rupanya sedang mencetuskan kontroversi sehingga menggugat rumah tangga BN yang sedia renggang sejak malapetaka PRU ke 12 lalu. Kata Nazri, dalam satu temuramah khas buat Nanyang Siang Pau: MIC – tidak patut diberikan peluang bertanding lagi di Perak. Akibat kekalahan parti India itu di 6 kerusi DUN Perak, BN hilang kuasa di negeri berkenaan. Oleh itu katanya jika PM Najib mahukan Cuma calon yang berupaya menang, maka semua kerusi MIC Perak itu perlu diserah kembali pada Umno MCA – menurut terjemahan akhbar berbahasa Inggeris: ".........aggrieved women and a wife who complains all day long that she was being abused but yet does not want to divorce her husband" (Seorang wanita yang bermasalah dans eorang isteri yang saban hari mengadu yang ia didera suaminya namun tidak mahu menuntut cerai). Dalam erti kata lain MCA terlalu celupar mulutnya mengkritik Umno dan BN, sepatutnya ia keluar sahaja dari BN! Gerakan – hanya ada kekuatan di peringkat Pusat tetapi tiada kekuatan akar umbi. Maksudnya setelah tewas dalam PRU ke 12 khasnya di Pulau Pinang, Selangor dan Perak, Gerakan sudah pupus meninggalkan cuma pemimpinnya diperingkat Pusat. Sebagai seorang menteri kanan dan ahli Majlis Tertinggi Umno sudah pastilah apa yang dibayangkan oleh Nazri itu mencerminkan isi perut dan sentimen jika tidak semua barangkali sebahagian pemimpin dan ahli-ahli Umno sendiri. Ternyata Umno memandang rakan-rakannya terutama MCA, MIC dan Gerakan sebagai liabiliti besar buat BN pasac PRU ke 12. Sebelum ini pun sudah kedengaran yang kalangan Umno mahu mencadangkan satu strategi meletakkan Umno lebih dominan dalam menghadapi PRU ke 13 nanti lantaran tegarnya sokongan masyarakat bukan Melayu khasnya orang-orang Cina terhadap PR. Maka berantakkanlah sesame BN, dengan MCA kononnya mahu mengadu keceluparan Nazri itu dalam mesyuarat tertinggi BN dalam waktu terdekat. Sesungguhnya MCA perlu sedar bahawa luahan hati Nazri itu bukan pandangan peribadinya tetapi juga pandangan sebahagian besar orang-orang Umno. Umno melihat dirinya besar setelah memenangi beberapa pilihanraya kecil yang lalu. Keupayaannya bertahan dalam PRU ke 12 walaupun kalah sebahagian besar kerusi di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang (kalah pun kerana kelemahan MCA, MIC dan Gerakan, bukan Umno) menunjukkan konon-kononnya ialah "big brother" yang boleh menyelamatkan BN. MCA, MIC dan Gerakan cukup sekadar dilantik menjadi ahli dewan Negara apabila BN menang melalui kekuatan yang didominasi Umno nanti. Hina sungguh kedudukan ketiga-tiga komponan BN itu pada mata Umno. Mungkin sudah tiba masanya MCA, MIC dan Gerakan, jika bukan pemimpin terkanan mereka, saki baki ahli-ahlinya menimbang semula kedudukan mereka dalam BN. Tinggalkan sahaja rakan kongsi yang tidak menghargai peranan anda itu dan menyeberang masuk bersama PKR, DAP dan PAS beramai-ramai dalam PR yang lebih harmonis dari sudut hubungan dan peranan masing-masing. Sementara itu Umno jangan berbesar kepala sangat seolah mereka mewakili senitmen masyarakat Melayu/Islam. PAS insyallah sedang bekerja memenangi hati pengundi Melayu secara senyap-senyap. Kurang bercakap tetapi lebih berjuang dan member khidmat yang bermakna dan dihargai orang-orang Melayu dari berpesta janji kosong yang hanya memudaratkan agama dan bangsa pada jangka panjang. Terima kasih Nazri kerana berterus terang, kekal lah Umno sebagai parti ultra rasis sehingga ditelan masa. |
Dr Asri: Video lucah dan dosa politik Posted: 25 Mar 2011 04:00 PM PDT Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin Dalam budaya manusia yang tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing. Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Ia haram Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini. Sama ada PAS, Umno dan PKR; ramai individu dalamparti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada pada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik. Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini. Sedangkan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat." (Riwayat Muslim). Aib peribadi Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin. Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian. Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf. Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi - sekalipun mungkin benar - adalah berat di sisi agama. Firman Allah (maksudnya): "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: Ayat 4). Nabi SAW sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata: "Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu 'Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi SAW menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi SAW: Bahkan untuk manusia keseluruhannya." Bukan bukti Asas Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran: "Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis 'barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya...." Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih (bermaksud): "Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, hal 124, Kaherah: Dar al-Syuruq). Berbeza Dengan Kes Kezaliman Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa. Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat. Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Itu pun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain. Firman Allah (maksudnya): "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa". (Surah al-Nisa: Ayat 148-149). Tidak Perlu Suruhajaya Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya 'Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-ma'ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy 'an al-munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan. Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah: "Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta'ala telah melarang hal ini. Kisah 'Umar dan 'Abd al-Rahman bin 'Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa 'Umar RA telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah 'Umar dan berkata: Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. 'Umar bertanya: Apa dia? Dia berkata: Allah Ta'ala telah berfirman (maksudnya): Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya): Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka 'Umar pun meninggalkannya... Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut." (Al-Ghazali, Ihya 'Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990). Ingatan Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu. Mereka ini ada dalam Umno, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah al-Hujurat: 12). Bangkit generasi baru Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka mengelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini! Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti kerajaan Perlis. Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis. |
Tindakan tak profesional polis bukti Umno BN gentar Posted: 25 Mar 2011 03:06 PM PDT KUALA LUMPUR: Tindakan polis menyerbu kawasan persendirian dan mengheret Datuk Seri Anwar Ibrahim dari pentas di saat-saat untuk mengakhiri ceramahnya, menunjukkan Umno Barisan Nasional (BN) gentar dengan kebangkitan rakyat yang dipimpin Ketua Umum KEADILAN itu. Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli, berkata Umno BN yang diketuai Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor takut kebenaran akan terserlah walaupun mereka cuba mengaburi rakyat dengan kes Fitnah II dan muslihat video seks. "Polis menunjukkan sikap tidak profesional apabila menyerbu masuk kawasan persendirian. Tindakan itu mengakibatkan kecederaan kepada rakyat termasuk wartawan dan pimpinan AMK," katanya pada satu kenyataan media, awal pagi ini. Malam tadi, program pelancaran Kempen Tolak Fitnah II dan DNA: Datuk Najib-Altantuya berlangsung di Taman Melawati di sini dan dihadiri ribuan rakyat pelbagai kaum dan agama. Anwar hanya dibenar menyampaikan ucapan selama 15 minit, sebelum sepasukan polis mengheret Ketua Pembangkang itu turun dari pentas utama hingga menimbulkan kekecohan sedangkan perhimpunan itu sebelumnya berlangsung aman. Dalam kejadian itu, dua lelaki, Mazlan Mohamad Raos disumbat ke lokap balai polis Hulu Klang manakala seorang lagi, Helmy Eizal – seorang ahli AMK Gombak dibawa ke lokap balai polis Ampang. Saifullah kecewa dan kesal kerana polis sendiri bertindak menyalahi undang-undang dengan mengganggu majlis yang diadakan secara aman di kawasan persendirian, malah membuat dua tangkapan terhadap ahli AMK dan orang awam. "AMK Selangor menyeru polis supaya tidak perlu rasa takut dengan arahan dan tekanan pemerintah Umno BN. Polis harus bertindak secara profesional dan berkhidmat kepada rakyat, bukan BN," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan