Kerabu Bersuara ® |
- Kerjasama PAS dan DAP : Satu Penjelasan. Vol 2
- Tahniah! Gambar Perkahwinan YB Datuk Kamaruddin, MP Tumpat
- Dr M berani tulis memoir tapi takut ke mahkamah – Saifuddin
- Bersih 2.0 mahu dakwat kekal diguna pada PRU 13
- Memoir Dr Mahathir tidak lengkap
- Judi: Teras sokong Kedah tidak lulus premis baru
- Ada 59 aduan salah laku SPRM tapi tiada satu pun didakwa
- Anak muda bepotensi runtuh kerajaan
- PAS hanya harapkan "Tuhan bekerja untuknya"?
- Polis: Anwar ditahan satu malam kerana siasatan tak lengkap
- 308 pelatih Pulapol dikuarantin
- 11 samun kereta mewah RM1 juta tumpas
- MP Pakatan ibarat anak ayam hilang ibu, kata Nazri
- Isu fatwa: Nik Aziz kurang senang tuduhan Harussani
- Putrajaya benar pekerja asing kerja 5+5 tahun di semua sektor
- Isu kitab injil: Bible Society mahu saman KDN
- Skim Rumah Pertamaku bukan langkah bijak, kata MCLM
- DPPNK Sifatkan Nik Sepia Merapu
- M Faqih: Kejayaan program al-It'aam di Kelantan
- BN perkuda media untuk menang
- Buku Mahathir cabar imej Anwar, Pakatan hadapi ‘perang persepsi’
- Penduduk Kristian, Islam bertempur di Kaherah
- Buku Jingga undang muflis? Bodoh Punya Pemikiran MP BN
- Akhir Zaman, Fitnah Bermaharajalela! Tahniah Mahathir
- Berasmara di pondok awam
Kerjasama PAS dan DAP : Satu Penjelasan. Vol 2 Posted: 10 Mar 2011 02:00 PM PST 1. Maklum balas saya terima dari beberapa orang rakan dan sebahagiannya dari UMNO yang cuba mencilok penjelasan saya sebelum ini mengenai kerjasama PAS dan DAP. Menggunakan hujjah dan alasan yang sama lalu mereka mengatakan bahawa UMNO lebih cerdas dari PAS kerana terlebih dahulu membuat kerjasama dengan MCA dan MIC. Sempat juga mereka menempelak PAS dengan nada sinis, kononnya pada waktu itu, PAS mengharamkan kerjasama dengan non muslim. 2. Pertama : Suka saya nyatakan di sini bahawa sesuatu kerjasama itu tidak selamanya dibolehkan. Adakalanya ia dibenarkan dan adakalanya ia tidak dibenarkan sama sekali. PAS sebagai sebuah Gerakan Islam pastinya melandasi tindakan mereka berasaskan nas [ Al Quran dan As Sunnah ] ataupun ijtihad [ penelitian dan kesungguhan mengeluarkan pendapat atau hukum tanpa bercanggah dengan prinsip nas yang sedia ada ] para ulamaknya apabila berhadapan dengan sesuatu kes yang tidak mempunyai nas yang jelas. Firman Allah swt : وتعاونوا على البر و التقوى و لا تعاونوا على الإثم و العدوان و اتقوا الله إن الله شديد العقاب dan berkerjasamalah kamu atas perkara yang membawa kebaikan dan taqwa kepada Allah dan jangan sekali - kali kamu berkerjasama atas perkara yang mengundang dosa dan permusuhan. Surah al Maaidah : Ayat 2 [ Al Imam Nawawi Rhm berpendapat bahawa apa yang dilarang ialah mengadakan kerjasama [ Tahaaluf ] untuk memberikan hak perwarisan dan melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam . Adapun kerjasama [ tahaaluf ] yang berasaskan ketaatan kepada Allah , menolong orang yang dizalimi dan jalinan persaudaraan kerana Allah merupakan perkara yang dibenar dan dianjurkan oleh Agama .] Fathul Baari : Karya Syeikh Ibn al Hajar : Maktabah Salafiah : Jil: 10 hal : 502 3. Ayat dari surah al Maaidah di atas jelas menunjukkan 2 keadaan iaitu kerjasama yang dibenarkan dan kerjasama yang tidak dibenarkan. Ayat ini mudah semudah memahami perkara yang di halalkan dan perkara yang diharamkan. Kecualilah sang juhala' [ jahil ] yang tidak tahu membezakan antara yang haq [ kebenaran ] dan bathil [ kepalsuan ], selamanya mereka merasakan apa yang mereka lakukan itu benar dan betul. 4. Persoalan kita di sini , apakah kerjasama UMNO dan MCA atau MIC bertolak dari tuntutan agama dan seerah perjuangan Rasulullah saw atau kerjasama yang hanya didorong oleh keinginan untuk berkuasa ? Lebih mudah dan tepat jika saya ajukan pertanyaan " Apakah kerjasama UMNO dan MCA \ MIC berasaskan kebaikan dan taqwa ?" atau sebaliknya "kerjasama yang menghasilkan dosa dan permusuhan" ? 5. Kerjasama UMNO dengan MCA \ MIC dan lainnya membentuk Barisan Nasional. Barisan Nasional pula telah berpeluang memerintah lebih 50 tahun negara ini. Kononnya UMNO menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional, tetapi : * apakah Islam menjadi lebih baik sepanjang mereka memerintah ? * apakah sistem pentadbiran negara bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa ? * apakah sistem demokrasi yang diamal benar - benar telus, saksama dan adil ? * apakah negara menjadi lebih aman dan sejahtera dari jenayah ? * apakah pertumbuhan ekonomi dinikmati oleh seluruh rakyat ? 6. Persoalan yang saya kemukakan ini mesti dijawab dengan jujur. Jangan hanya kerana mahu menegakkan benang yang basah atau membasahkan benang yang tegak lalu mengemukakan 1001 dalih. Cuba kita lirik sebentar anak mata kita untuk melihat keadaan atau kedudukan Islam di kiri dan kanan kita. Usahkan hendak melihat usaha Barisan Nasional mempertahankan agama, pemimpin mereka mempersenda agama , dibiarkan begitu sahaja. 7. Terbaru sebagai contoh yang mudah, apabila Presiden MCA Chua Soi Lek memperlekeh tindakan Cikgu Normala Shamsudin yang tidak bersalam dengan lelaki ajnabi [asing - sah nikah] dalam pilihanraya kecil Tenang, saya lihat pemimpinan UMNO hanya mampu senyum seperti saling redha meredhai apa yang dilakukan oleh Chua Soi Lek. Mungkin mereka berkata , aah ! ini perkara kecil ! Lalu bagaimana pula tindakan Timbalan Presiden UMNO Datuk Muhyidin Yassin yang menempelak Kerajaan Kelantan kerana mengharamkan industri judi di negeri itu ? Chua Soi Lek pula sokong . 8. Memanglah mereka bekerjasama antara UMNO dan MCA malah kerjasama mereka lebih awal dari kerjasama PAS dan DAP. Namun apa ertinya kerjasama sedemikian ? Ini kerjasama yang berasaskan dosa dan kerjasama seperti ini ditolak oleh Islam. Sudah sekian lama mereka bekerjasama tetapi nampaknya MCA dan MIC sehingga hari ini tidak memahami Islam. Macam mana MCA dan MIC boleh faham Islam jika pemimpin UMNO sendiri pun rabun agama. 9. Ini berbeza dengan kerjasama PAS dan DAP serta PKR. PAS tetap dengan dasar perjuangan Islamnya dan tegas dengan prinsip - prinsip Islam. Malah kita membawa Islam yang tulen sebagaimana Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw. Iaitu Islam yang sangat toleransi, menghormati kebebasan beragama, tidak memaksa orang lain menganut Islam, menyambung tali persaudaraan, menegakkan keadilan, menentang kebhatilan dan memelihara nyawa, aqal, harta, maruah dan keturunan. PAS konsisten memperjuangkan Islam. Tohmahan yang mengatakan PAS menggadai prinsip perjuangan mestilah disertakan bukti, bukan membebel tidak menentu arah. 10. Jauhlah bezanya dengan UMNO dalam Barisan Nasional. Bukan sahaja MCA dan MIC tidak memahami Islam, malah UMNO sendiri saya lihat sejak dulu lagi keliru tentang Islam. Tun Dr Mahathir bawa Islamisasi sebagai Islamnya. Mari Tun Abdullah Badawi pula membawa Islam Hadhari sebagai mazhabnya. Kini Datuk Seri Najib pula mengendong Islam Sederhana sebagai anutan barunya. Selepas ini, jika UMNO lagi yang memerintah negara, saya tidak tahu, Islam apa pula yang akan diperkenalkan oleh UMNO .... kawan - kawan rockers saya kata, berapa banyak Islam daaaa ! ermmm, agak - agak nak kena sambung lagi ke ni ! cuba anda perhatikan , kena sambung ke tidak :) Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan Nasrudin bin Hassan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia |
Tahniah! Gambar Perkahwinan YB Datuk Kamaruddin, MP Tumpat Posted: 10 Mar 2011 07:45 AM PST Tahniah YB Datuk Dengan Isteri |
Dr M berani tulis memoir tapi takut ke mahkamah – Saifuddin Posted: 10 Mar 2011 07:30 AM PST KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersikap anak jantan apabila menulis buku berbentuk memoir dengan yang mempertikai kewibawaan Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa bersandarkan bukti kukuh sedangkan bekas Perdana Menteri itu, berpeluang berbuat demikian pada 1998 lagi.. Sebaliknya, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail, berkata Mahathir tidak berani berhadapan dengan peguam Anwar ketika disapina mahkamah dalam kes Fitnah I pada 1998. "Mengapa dia (Mahathir) tidak pergi? Sedangkan ketika itu adalah peluang untuk menceritakan seperti apa yang tertulis dalam memoirnya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini. Menyatakan peguam Anwar menggunakan saluran undang-undang untuk memperoleh keterangannya di mahkamah, beliau berkata, seseorang yang disapina tetapi tidak hadir memberi keterangan, harus didakwa kerana boleh dianggap menghina mahkamah. "Sehebat-hebat Dr Mahathir, dia tidak bersikap seperti anak jantan dan takut untuk menjawab soalan-soalan dari peguam," kata Saifuddin dengan nada sinis. Beliau mengulas penerbitan buku memoir tulisan Mahathir setebal 800 muka surat, yang dikarangnya sejak lapan tahun yang lalu selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri keempat yang mengandungi kecaman terhadap Anwar tetapi tidak disertai bukti kukuh. Dalam pada itu, Saifuddin turut mempersoal kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar yang 'membela'Mahathir, kononnya beliau pernah melapor sikap Anwar pada awal 90-an. Kata Saifuddin, kredibiliti Haniff yang sebelum ini pernah berkata dalam kes di mahkamah yang beliau tidak pernah terjumpa sebarang ayat Al-Quran mengharamkan amalan berjudi. "Apakah orang ini boleh dipercayai? Ironinya, sekarang ada dua kes yang melibatkan bekas Menteri Kabinet yang didakwa menipu Perdana Menteri dan jemaah Menteri," katanya merujuk kepada kes mahkamah baru-baru ini melibatkan Tun Ling Leong Sik dan Datuk Chan Kong Choy. "Siapakah pula Perdana Menteri yang mengetuai kabinet ketika itu? Apakah orang lain (termasuk Haniff) tidak boleh menipu Perdana Menteri?" soalnya. Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, individu yang membantah pemecatan Anwar antaranya Datuk Dr Ibrahim Saad dan Datuk Afifuddin Omar, tidak mendapat tempat penting dalam Kabinet. Beliau berkata, mereka ketika itu hanya bertugas sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Menteri Kewangan. "Seingat saya, Dr Mahathir memulakan mesyuarat Umno pada 4 September 1998 dengan mengarahkan pemecatan Anwar dan mereka membantah. Akibatnya, mereka tiada tempat dalam politik arus perdana negara," katanya. |
Bersih 2.0 mahu dakwat kekal diguna pada PRU 13 Posted: 10 Mar 2011 07:15 AM PST KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menuntut tujuh reformasi sistem sebelum Pilihan Raya Umum (PRU)ke-13 berlangsung termasuk penggunaan dakwat kekal. Mengikut kenyataan media yang dikeluarkan sekretariat Bersih hari ini, penggunaan dakwat kekal mampu menghalang pengundian berulang. "Ia sudah dipersetujui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2007 tetapi mereka membuat pusingan U beberapa hari sebelum PRU ke-12 pada 2008 hingga membazirkan RM2.4 bilion duit pembayar cukai," kata Bersih. Selain itu, kenyataan sama menyebut, reformasi pengundi pos perlu kerana berpendapat kaedah sedia rigid, mudah disalah guna dan tidak perlu sama sekali. "Pengundian pos tidak perlu diwajibkan tetapi boleh dipilih di kalangan mereka yang mahu berbuat demikian dengan alasan kukuh seperti berada jauh dari tempat mengundi. "Ini akan membantu bukan sahaja rakyat Malaysia yang berada di luar negera tetapi juga pengundi Sabah dan Sarawak yang bekerja di Malaysia," kata kenyataan itu. Bersih dalam kenyataan sama juga percaya tujuh tuntutan itu dapat memastikan kestabilan dan keabsahan kerajaan baru kelak jika SPR dan kerajaan Persekutuan melaksanakannya. Kata kenyataan berkenaan, reformasi tujuh perkara itu dituntut kerana 16 pilihan raya kecil (PRK) lalu menyaksikan salah guna kuasa, jentera kerajaan negeri dan taktik berat sebelah yang menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya. "SPR gagal bertindak adil dan saksama dalam mempromosi pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. Paling membimbangkan ialah budaya kerajaan yang mengugut pengundi dengan ancaman mereka akan dipinggir dari pembangunan. "Turut membimbangkan ialah budaya penyalahgunaan kuasa tanpa rasa malu oleh kerajaan untuk menukar undi dengan janji pembangunan yang sememangnya hak asas semua warganegara," kata kenyataan itu. Perkara lain yang turut membimbangkan, kata kenyataan itu, ialah pembelian undi menerusi pertubuhan 1Malaysia yang mula muncul menganjurkan majlis makan malam dan cabutan bertuah pada PRK Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau. "SPR sepatutnya membuat laporan polis agar pertubuhan ini disiasat mengikut Seksyen 8 (Perbelanjaan), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. "Ini memandangkan majlis makan malam dan cabutan bertuah mereka hanya berlangsung pada pilihan raya kecil dan dihadiri oleh ahli politik BN," kata kenyataan itu. Mengikut kenyataan sama, sikap memihak SPR juga jelas dalam pemilihan PRK yang menyaksikan enam daripada lapan PRK di negeri Pakatan berlangsung pada hari biasa dan menyukarkan pengundi yang menetap di luar, pulang mengundi. "Sebagai perbandingan, enam daripada lapan pilihan raya di negeri diperintah BN pula berlangsung hujung minggu dan baki dua kerusi lagi (Batang Ai dan Batu Sapi) berlangsung serentak dengan kerusi yang sebelumnya dimiliki Pakatan," kata kenyataan itu. |
Memoir Dr Mahathir tidak lengkap Posted: 10 Mar 2011 06:30 AM PST 'Memoir Dr Mahathir' dengan 'memoir orang ramai' yang lain banyak bezanya jika dipandang dari sudut perjuangan sebenar seorang pemimpin. Dr Mahathir telah menerajui kepimpinan Negara dan kepimpinan BN begitu lama dan saya beranggapan memoir yang ditulis beliau itu sedikit sangat, kerana terlalu banyak perkara yang beliau tidak tuliskan. Lagi pun kalau dilihat dari isi kandungan buku yang ditulis beliau itu ianya melambangkan beliau lebih fokus kepada perkara peribadi sahaja dan amat sedikit yang ditulis tentang perjuangan rakyat dan perjuangan Melayu melalui parti UMNO yang asal dan parti UMNO baru yang beliau tubuhkan sendiri itu. Banyak perkara yang beliau terlupa untuk menulisnya atau sengaja beliau lupakan kerana beliau tidak mahu fakta itu diketahui umum terutamanya kepada generasi yang baru. Beliau tidak mengakui yang beliau sengaja tidak mahu UMNO lama itu terus hidup kerana jika UMNO lama itu masih kekal hidup UMNO terpaksa mengadakan pemilihan lagi sekali. Itu perintah Hakim Harun Hashim. Mahathir takut untuk melalui pemilihan lagi sekali kerana takut menghadapi kekalahan. Beliau tidak sebut yang mengikut Akta pertubuhan 1965 beliau selaku Menteri Dalam Negeri semasa itu, beliau boleh menghidupkan mana-mana pertubuhan yang telah diharamkan oleh mahkamah termasuk UMNO dengan menggunakan seksyen 70, iaitu seksyen yang akhir sekali di dalam akta tersebut. Tetapi jika beliau hidupkan UMNO itu beliau merasakan yang beliau terpaksa mengadakan pemilihan sekali lagi dan itulah yang amat ditakutnya. Bagi beliau, biar UMNO itu lebur, jangan kuasa beliau hilang. Ramai di antara ahli UMNO semasa itu menyeru beliau untuk menggunakan seksyen itu untuk menghidupkan UMNO itu tetapi beliau enggan kerana sebab yang telah di sebutkan tadi. Semuanya kerana kepentingan peribadi beliau. Beliau tidak mahu dan mengakui yang tindakan 38 Bahagian UMNO telah mencalunkan Tengku Razaleigh untuk menawarkan diri jawatan Presiden UMNO itu ialah kerana semasa itu sudah ada tanda-tanda apa yang sedang berlaku sekarang sudah mula berputik. Ahli-ahli UMNO telah meminta Tengku Razaleigh untuk menjadi pilihan kepada Dr Mahathir di dalam pemilihan parti 1987 dahulu. Semasa itu sudah mula nampak dengan jelas yang ada pihak yang sedang berkuasa sedang memperkayakan diri dan keluarga mereka. Urusetia UMNO telah membiarkan beberapa cawangan yang tidak berdaftar dan ada beberapa orang yang tidak layak dan tidak dibenarkan menjadi perwakilan telah mewakili Bahagian-Bahagian dan tindakan itu menjadikan perwakilan UMNO itu tidak sah jika dipandang dari sudut undang-undang. Hasilnya beberapa ahli-ahli UMNO telah berbincang untuk membawa keMahkamah untuk meminta mahkamah membetulkan keadaan itu dan mereka telah berunding dengan Abdullah Badawi di kediaman Pak Lah di Jalan Medang Kapas, Bukit Bandaraya semasa itu. Menuduh Tengku Razaleigh yang membawa isu itu keMahkamah adalah tidak benar. Kepada sesiapa yang ingin tahu silalah bertanya kepada Pak Lah jika beliau mahu mengaku yang tindakan ke mahkamah itu adalah di atas galakan beliau. Tengku Razaleigh hanya terlibat dengan kumpulan 11 orang ahli UMNO itu untuk menghidupkan UMNO melalui Mahkamah Agong dan usaha ini telah dihalang oleh Mahathir dengan menggunakan kuasa yang tidak betul dan tidak bermoral. Beliau telah membuang Ketua Hakim Negara itu dan empat Hakim Mahkamah Agong yang lain memlalui penubuhan Tribunal yang juga menjadi isu yang memalukan dan dari saat inilah institusi kehakiman negara punah ranah dan tidak kebah sehingga hari ini. Dr Mahathir juga patut memasukan juga di dalam memoir beliau bagaimana Tribunal pemecatan Tun Salleh dan hakim-hakim yang lain ditubuhkan. Tribunal itu ditubuhkan pada 1hb Mei 1988 dan ianya sangat memalukan kerana Tribunal ini ditubuhkan dengan seribu satu macam spekulasi yang buruk yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh sesiapa yang masih mengingati peristiwa itu. Peristiwa itu amat menyayat hati bagi sesiapa yang sayangkan negara yang semasa itu mempunyai tahap demokrasi yang amat membanggakan. Nasihat PM kepada Yang diPertuan Agong untuk menubuhkan Tribunal itu dibuat pada 1 hb Mei 1988. Persetujuan Yang di Pertuan Agong juga didapati pada 1hb Mei. Melantik hakim Mahkamah Tinggi dari luar negara untuk menganggotai Tribunal itu juga pada 1 hb Mei. Penerimaan oleh Hakim-Hakim tersebut pun pada 1 hb Mei. Malahan ada satu surat yang sepatutnya ditanda tangani oleh PM kepada Yang diPertuan Agong ditandatangi oleh Tuanku Agong sendiri. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Yang lebih membingongkan ialah 1hb Mei itu adalah hari cuti umum kerana hari itu adalah hari buruh. Lagi pula 1hb Mei itu adalah hari Ahad. Dr Mahathir sepatutnya memasukan isu ini di dalam memoir beliau kerana ini adalah satu kejadian yang sangat ganjil dan tidak pernah berlaku di mana-mana negara maju dan membangun. Mungkin sejak saat inilah timbulnya slogan 'Malaysia boleh' diwujudkan kerana dibawah Dr Mahathir semuanya boleh dilakukan. Yang mustahil boleh berlaku di negara lain, di sini di bawah Dr Mahathir boleh berlaku. Patutlah beliau selalu berkata yang Malaysia mempunyai demokrasi acuan sendiri. Semuanya 'Malaysia boleh' kecuali menyaingi kedudukan beliau walaupun usaha untuk menyaigi beliau itu adalah untuk mengelakan apa yang sedang alami pada hari ini berlaku. Tetapi apakan daya ramai juga yang percaya dan menganggap beliau sebagai hero bagi rakyat kita yang sentiasa dikelirukan oleh juak-juak ini. Oleh kerana itu janganlah hendaknya sesiapa menyalahkan pihak lain kerana keadaan yang kita alami hari ini tidak kunyung padam. Banyak lagi kejadian yang sepatutnya disebut di dalam memoir itu yang masih belum disentuh. Kalau begitu mungkin kita yang akan menyentuhnya satu persatu nanti. Buat setakat ini elok diteliti apa yang telah sikit-sikit disebut dalam tulisan saya ini. Di dalam kabinet hari ini Rais Yatim dan Shabery Cheek tahu segala-galanya tetapi mereka ini tidak akan berkata apa-apa kerana mereka sedang berusaha untuk menyambung keseronokan menjadi Menteri dan berglemor setakat yang mereka mampu lakukan. Mereka tidak akan menyebut perkara ini lagi kerana tidak mahu hilang kenikmatan yang sedang mereka alami sekarang. Mereka sudah menjadi orang lain. http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/03/memoir-dr-mahathir-tidak-lengkap.html |
Judi: Teras sokong Kedah tidak lulus premis baru Posted: 10 Mar 2011 05:30 AM PST Harakahdaily KUALA LUMPUR, 10 Mac: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) ingin menyatakan sokongan dan mengalu-alukan dasar kerajaan Kedah yang tidak mengeluarkan lesen untuk premis judi di bawah kerajaan Pakatan Rakyat. "Dasar ini wajar disokong kerana rakyat Kedah tidak harus didedahkan dengan industri yang boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat," ujar presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid kepada Harakahdaily. Teras, katanya ingin menyatakan pendirian tegasnya bahawa judi bukanlah suatu yang didokong oleh semua masyarakat bukan Islam. Menurutnya, dalam penemuan Teras memang ramai warga masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam yang menolak industri itu kerana ia jelas memberi kesan yang buruk kepada masyarakat dalam berbagai aspek. Judi, ujarnya tidak kira berskala kecil atau besar tetap memberi kesan kepada kestabilan keluarga, motivasi kerja ,kadar jenayah sosial, keutuhan ekonomi masyarakat serta juga kepada nilai hidup indvidu. Sebab itu, tambahnya judi perlu dibanteras dalam masyarakat secara lebih menyeluruh kerana kestabilan sosio-ekonomi dan budaya masyarakat perlu dipertimbangkan agar tidak menjadi mangsa kepada ketagihan judi. Pada analisis akhir, katanya membiarkan masyarakat terdedah dan rela untuk berjudi adalah suatu pengabaian terhadap tanggungjawab sosial di pihak pemerintah sendiri. Justeru, tegasnya Teras membantah dengan keras kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang beria-ia untuk mempertahankan hak orang bukan Islam untuk berjudi. "Soalnya untuk apa Chua mahu membenarkan orang bukan Islam merosakkan kehidupan mereka hanya kerana beliau berpegang bahawa berjudi adalah hak yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan warga negara ini untuk berjudi," katanya. Menurutnya lagi, Chua berniat jahat untuk cuba memburukkan imej kerajaan negeri Kelantan pada kaca mata orang bukan Islam seolah-seolah kerajaan Kelantan mahu memaksakan perlaksanaan Islam ke atas orang bukan Islam di negeri tersebut. Katanya, Teras mempersoalkan atas asas apa Chua mengatakan orang bukan Islam mahu berjudi dan hak berjudi mereka mesti dipertahankan. "Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab , Teras berpendapat , kerajaan mesti memberi kepentingan kepada rakyat supaya hidup dengan budaya yang sihat dan tidak terlibat dengan budaya berjudi yang merosakkan," katanya. Dalam kajian Teras, ujarnya rakyat Malaysia berbelanja tidak kurang daripada RM10 bilion setahun untuk berjudi dalam judi yang berlesen, tidak termasuk judi tidak berlesen. Katanya, kesan yang jelas ialah pemilik dan pengusaha industri judi mengaut keuntungan berlipatkali ganda sedangkan mereka yang terperangkap dengan ketagihan judi menanggung penderitaan yang pelbagai kerana menghadapi masalah untuk melunaskan bayaran kerana kalah judi. Sehubungan itu, tambahnya Teras menggesa pihak kerajaan negeri Kedah memantau premis yang menjalankan judi tidak berlesen yang semakin berleluasa tumbuh kebelakangan ini. Teras juga, katanya dalam masa yang sama menggesa supaya Kementerian Kewangan bertegas untuk menghadkan pengeluaran lesen judi dan mengujudkan rancangan untuk akhirnya menghapuskan pengeluaran lesen judi. |
Ada 59 aduan salah laku SPRM tapi tiada satu pun didakwa Posted: 10 Mar 2011 05:00 AM PST KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri mengakui terdapat 59 laporan polis dibuat antara 2005 hingga 2009 terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan salah laku dan penganiayaan. Daripada 59 laporan polis itu, masih disiasat (23), menunggu arahan Pejabat Peguam Negara (29) dan tujuh lagi ditandakan sebagai tiada tindakan lanjut. Perkara ini dinyatakan Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulisnya kepada Gobind Singh Deo (DAP-Puchong). Mengikut MalaysiaKini, Gobind Singh melahirkan kebimbangannya kerana tiada satupun pendakwaan dibuat daripada 59 laporan polis itu. "Bukankah ganjil jika tiada satu pun daripada 59 laporan berkenaan menyaksikan sebarang pendakwaan di mahkamah?" soal Gobind. Menurut beliau, kes sedemikian menonjol sebelum kematian Teoh Beng Hock lagi dan ia menimbulkan desakan supaya prosedur SPRM diperketat. |
Anak muda bepotensi runtuh kerajaan Posted: 10 Mar 2011 04:45 AM PST Hazayani Zakaria KUALA LUMPUR, 10 Mac: Kerajaan BN diingatkan agar tidak memperlekehkan suara dan pemikiran generasi muda kerana mereka mempunyai potensi untuk mempertahankan atau meruntuhkan sesebuah kerajaan. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, potensi generasi muda khususnya mahasiswa harus dibimbing sebaik mungkin, bukan mencipta undang-undang yang menjatuhkan martabat mereka sebagai mahasiswa. "Bila berhadapan dengan orang muda jangan diperlekeh keupayaan mereka. Jangan membuat satu undang-undang yang pada zahirnya tidak menampakkan kezaliman terhadap mereka tapi dalam waktu yang sama kita menyaksikan bagaimana undang-undang itu memperbodohkan mereka dan mengheret pemikiran mereka ke zaman batu," kata beliau sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini. Merujuk kepada pilihan raya kampus yang berlangsung bulan lalu, Salahuddin kesal dengan pihak pentadibiran universiti yang berat sebelah dan mengenakan undang-undang yang menyusahkan mahasiswa. "Cara pihak universiti melayani mahasiswa dalam pilihanraya kampus baru-baru ini amat menjijikkan dan kembali ke zaman kuno. "Pihak universiti ugut mereka, susahkan mereka untuk mengisi borang pencalonan kemudian ada kejadian calon mahasiswa diugut dengan sms berunsur jenayah. "Kenapa berlaku demikian sedangkan potensi mereka untuk menjadi pemimpin harus dididik dengan betul," katanya yang juga Naib Presiden PAS. Tambahnya, sekiranya kerajaan mengakui Malaysia sebuah negara demokrasi, maka ianya harus disuburkan sejak zaman kampus lagi. "Ada orang cakap Malaysia tidak mungkin jadi macam Mesir, tetapi jangan bunuh demokrasi orang muda hari ini. "Jika kita mengakui negara kita mempunyai demokrasi maka suburkan demokrasi itu. Jangan buat demokrasi di kampus sebagai suatu tempat kita menahan ledakan dan potensi anak muda. "Orang muda boleh mengubah sejarah, boleh meruntuhkan empayar dan boleh menggunakan ruang siber yang ada untuk mereka mencapai tujuan mereka," katanya. Beliau turut mempersoal tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak pentadbiran universiti melarang mahasiswa membuat tinjauan di pilihan raya sedangkan universiti mempunyai fakulti sains politik. "Kalau ada fakulti sains politik di universiti kenapa tidak izinkan mereka turun ke pilihan raya. Kita sekat mereka, gantung mereka daripada pengajian, gantung biasiswa, ini cara apa?" soalnya. Tegasnya, mahasiswa harus diberi peluang mengkaji sesuatu fakta tanpa kongkongan mana-mana pihak. "Sebagai contoh hari ini kalau kita nyatakan dengan fakta bahawa Felda Plantation itu adalah satu yang kita anggap bertentangan dengan matlamat asal DEB iaitu untuk membasmi kemisikinan dan menyusun kembali masyarakat, kenapa tidak harus universiti dengan fakulti sains politik menghantar pelajar mereka untuk menyiasat, melihat dan mengkaji kebenaran fakta ini. "Ini cara kita menyuburkan pandangan dalam iklim politik yang sihat kalau kita ingin jauhi politik fitnah," katanya. |
PAS hanya harapkan "Tuhan bekerja untuknya"? Posted: 10 Mar 2011 04:16 AM PST Oleh Ahmad Lutfi Othman Kekalahan "teruk" PAS di Kerdau dan Merlimau -- dengan majoriti BN yang lebih besar -- mengundang banyak kritikan. Saya kira, adalah baik sekiranya pemimpin PAS dapat meneliti setiap teguran yang dikemukakan bagi melakukan proses penambahbaikan. Tentunya dalam PAS sindrom penafian belum menjadi wabak sehingga segala pandangan berbeda diketepikan begitu sahaja. Bukankah siri pilihan raya kecil selepas tsunami politik Mac 2008, sama ada mencatatkan kemenangan atau kekalahan, dapat menghimpunkan iktibar sekali gus mendorong pembaharuan dilakukan sebelum Parlimen dibubarkan nanti? PRU13 dijangka merupakan "medan pertempuran" paling sengit bakal disaksikan sepanjang sejarah pilihan raya di negara kita. Buat pertama kali rakyat Malaysia benar-benar ada pilihan dan berpeluang untuk menukar kerajaan persekutuan. Justeru, semua parti politik begitu serius mengatur persiapan rapi daripada semua segi, selain bersedia mengambil manfaat daripada apa jua insiden, khususnya kelemahan yang tertonjol dalam pilihan raya kecil, bagi memastikan target tidak tersasar. Umumnya, Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional kini masih dalam keadaan bertahan. Daripada 16 kali pilihan raya kecil, kedudukannya seri 8-8. Namun, yang lebih menarik perhatian umum adalah kawasan-kawasan yang menyaksikan peralihan kerusi. PAS dapat merebut satu kerusi Umno, Parlimen Kuala Terengganu tetapi hilang Dun Galas, manakala DAP mencipta sejarah di Sibu dan MIC berjaya merebut Hulu Selangor. Di Semenanjung, selepas BN meningkatkan undi di Bagan Pinang, parti yang menerima tamparan hebat pada Mac 2008 itu terus melonjak. Selain berjaya merampas kerusi KeADILan di Hulu Selangor, Umno menguasai semula Galas dan meningkatkan majoriti kemenangan di Tenang, Merlimau dan Kerdau. Bagi PAS, kekalahan dengan kemerosotan undi di Melaka dan Pahang (sebelum itu Johor) perlu dibedah-siasat secara menyeluruh. Segala kealpaan atau kepincangan harus diakui bagi dirumuskan jalan keluar yang tepat dan berkesan. Reformasi masih sempat dilakukan jika didapati ia memerlukan berbuat demikian. (Sehebat mana pun sesebuah parti, ia masih terbuka kepada pembaharuan). Tiada hinanya mengaku kesilapan dan bersedia membuat pembaharuan daripada hanya berkeras menyalahkan pihak musuh. Mungkin ia bukan lagi melibatkan perubahan dalam soal-soal taktikal dan penyelarasan jentera pilihan raya, tetapi juga membabitkan hal-hal lebih besar seperti penekanan, keutamaan dan pendekatan parti. Sebarang persepsi negatif tidak boleh dibiarkan biarpun ia mungkin nampak tidak berasas. Dan yang perlu dirombak atau diperbetulkan bukan sekadar berkaitan sesebuah parti yang bertanding, misalnya PAS dalam kes Kerdau dan Merlimau, tetapi juga parti-parti sekutu, seperti KeADILan dan DAP. Bagi Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Sufian, kejayaan Umno-BN di Merlimau dan Kerdau, dengan majoriti lebih besar memberikan signal jelas kepada Pakatan bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan sokongan rakyat. Isu-isu yang memberi kelebihan kepada Pakatan dalam PRU12 mungkin tidak lagi memberi kesan kepada pengundi. Tambahnya, trend nasional menunjukkan pengundi Melayu masih memihak BN. Beliau turut menegur pendekatan PAS menangani beberapa isu lokal, termasuk berkaitan Felda. "Misalnya, bagaimana hendak mengatasi perasaan terima kasih kepada kerajaan yang masih sangat tebal?" ujarnya. Dahulu, ketiga-tiga negeri di selatan yang menjadi gelanggang siri pilihan raya kecil terkini itu bukan dikira wilayah tradisi PAS (walaupun prestasi PAS di Pahang pada 1999 boleh dianggap membanggakan juga). Bagaimanapun selepas 2008, apabila Putrajaya dilihat turut terbuka untuk dikuasai Pakatan, maka setiap kerusi tidak boleh diremehkan. Di pihak Pakatan, sasaran bukan lagi menjadi pembangkang yang kuat di peringkat Dun, tetapi adalah mengambil alih teraju pemerintahan negeri-negeri berkenaan. Tidak pelik apabila pemimpin BN sering mengingatkan agar setiap penggerak kempennya agar tidak memandang rendah kemampuan calon Pakatan meskipun melibatkan kerusi yang dahulunya tidak tergambar dapat dimenangi pihak lawan. Segala kekuatan dan sumber (tentunya daripada kerajaan) dikerah semaksimum mungkin. Sepanjang kempen, media, khususnya akhbar harian dan siaran berita TV, diperalatkan dengan begitu dahsyat. Lihatlah cara agresif Ali Rustam dan Adnan Yaakob berkempen. Mungkin komitmen mereka menemui pengundi jauh lebih besar berbanding sikap sebahagian pemimpin Pakatan sendiri. Sementara itu, penganalisis politik, Dr Abu Hassan Hasbullah mendedahkan, kekalahan berturut-turut PAS itu juga menunjukkan wujudnya kelemahan dari aspek strategi, taktikal dan operasi politik apabila kepentingan-kepentingan demografi, geografi dan antropologi politik tidak diterjemahkan dengan sempurna sebaliknya kebergantungan terhadap kepercayaan dan amalan politik lama. "PAS belum mampu memperbaiki imej dan strategi dengan mengukuhkan bentuk dan kandungan pembawaan politik yang lebih moden, lebih dinamik, lebih pragmatik tanpa bergantung secara total pada nilai-nilai ulama, sebaliknya mesti menjadi sebuah sistem dan organisasi yang memiliki kekuatan kedua-duanya iaitu ulamak dan profesional," tegasnya. Seterusnya beliau menggesa PAS agar mempunyai strategi komunikasi dan rencana ekonomi, politik dan sosial yang benar-benar bersepadu dan terancang dalam membina kepercayaan, terutama di kalangan orang Melayu. "Kepercayaan ini tidak hanya boleh dibina dengan nilai-nilai perlawanan setiap masa, ada kala nilai-nilai progresif iaitu konstruktif perlu dibentuk juga. PAS perlu melihat sikap baru yakni menerima intelektualisme, profesionalisme, progresvisme sebagai bentuk dan kandungan politik maka barulah masyarakat akan lebih menerima dan yakin," tambah Dr Abu Hassan. Kerdau dan Merlimau membabitkan dua Dun di kawasan majoriti Melayu ketika slogan "PAS Ganti Umno" mula dipopularkan. PAS pula pada akhir Februari lalu menggariskan 12 jaminan yang ditawarkan kepada orang Melayu. Di Tenang, PAS turut dilihat gagal menarik sokongan pengundi Melayu. Malah sebelumnya juga di kerusi majoriti Melayu, di Manek Urai, Kelantan, walaupun PAS bertahan tetapi majoritinya jauh merosot, daripada 1,352 undi kepada hanya 65. Ramai pemerhati menjangkakan pengundi Cina masih meyakini Pakatan dalam PRU13 nanti. Mereka bimbang masyarakat India akan kembali kepada BN. Lebih kritikal adalah sikap pengundi Melayu. Jika mereka bertahan seperti tahun 2008, BN tetap mengekalkan kuasa, tetapi andai kata benar pengundi Melayu (apatah lagi jika membabitkan orang muda dan kelas menengah) mulai mempercayai Umno, Pakatan berada pada kedudukan berbahaya. Apakah sebilangan besar pengundi Melayu masih sangsi dengan keupayaan, kemampuan dan keikhlasan PAS untuk membela dan mempertahankan hak Melayu, seperti sering ditohmahkan? Berkesankah propaganda media yang membayangkan PAS hanya alat kepada DAP dan mudah bertolak-ansur sehingga meleburkan prinsip perjuangan? Ataupun, pimpinan PAS dianggap tidak berketrampilan untuk sama-sama menerajui Pakatan bagi membentuk kerajaan persekutuan nanti? Bagi sesetengah pemerhati politik, PAS yang mendapat manfaat besar daripada peralihan undi orang Melayu pada 1999 kini seolah-olah berada di persimpangan. Apakah ia terpaksa menukar strategi untuk menawan hati pengundi Melayu? "PAS tidak boleh dilihat panik mengubahsuai pendekatan politiknya, dibimbangi pengundi bukan Melayu curiga dengannya, tetapi orang Melayu pula, terutama di luar bandar, masih ragu-ragu memberi sokongan," kata seorang pensyarah IPTA. "Mesej pilihan raya kecil memang penting tetapi ia harus ditafsirkan seadanya sahaja," tambahnya. Dalam pada itu, ada pemimpin PAS sendiri yang membuat teguran sinis: "Tak ramai wakil rakyat kita yang turun berkempen, apatah lagi untuk berkampung di sana, seperti dilakukan pemimpin tertinggi BN dan para menterinya. Ramai pemimpin PAS yang berkempen 'Touch-N-Go' saja, sekadar berceramah, tidak menyapa dan menyantuni rakyat secara dekat dan rapat, malah ada yang tak turun langsung. Hinggakan saya sendiri malu untuk bermunajat dengan Tuhan meminta pertolongan. Apakah kita sudah bekerja bersungguh-sungguh atau hanya mengharapkan Tuhan bekerja untuk kita?" Blogger Nobisha, dalam analisisnya terhadap keputusan di Merlimau dan Kerdau menekankan: "Sejak mara bergaya dalam pilihan raya umum pada Mac 2008, parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah melakukan banyak kesilapan. Malangnya, apabila ada pihak yang menegur, maka mereka dilabel sebagai pecacai Uumno atau BN. Akhirnya, ramai juga yang mengatakan, biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya. Nak kritik tak boleh, nak tegur pun tak boleh. Semua orang yang menegur Pakatan Rakyat dianggap "jahat" dan mempunyai motif tersembunyi. Mungkin atas sebab itu jugalah, sesetengah bloggers pro-Pakatan Rakyat mendiamkan diri sewaktu PRK Merlimau dan Kerdau." Beliau turut memuji sikap Pengerusi BN, Najib Razak, yang dilihat lebih reseptif kepada kritikan. Nobisha yang sering diundang dalam Analisis Awani, terutama pada malam keputusan pilihan raya kecil diumumkan, menulis: "Saya fikir "transformasi politik" yang disebutkan Najib adalah merupakan respon beliau kepada kritikan rakyat yang ingin melihat BN berubah. Kesediaan Najib untuk berubah adalah merupakan satu sikap yang cukup merendah diri. Bukan mudah untuk melihat pemimpin politik berkata, "saya sanggup berubah"." Mungkin pandangan-pandangan yang dilemparkan itu tidak menggambarkan realiti sebenar, namun banyak manfaatnya jika kritikan berkenaan boleh diolah untuk kebaikan parti. http://mindalutfi.blogspot.com/ |
Polis: Anwar ditahan satu malam kerana siasatan tak lengkap Posted: 10 Mar 2011 03:00 AM PST Oleh Shazwan Mustafa Kamal KUALA LUMPUR, 10 Mac — Polis terpaksa menahan Datuk Seri Anwar Ibrahim satu malam pada pertengahan Julai 2008 kerana proses ambil keterangan daripada beliau tidak lengkap, kata DSP Jude Pereira hari ini. Pereira, pegawai penyiasat dalam kes liwat Anwar menjustifikasikan penahanan Ketua Umum Pakatan Rakyat itu sepanjang malam 16 Julaise hingga keesokan hari di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur. Katanya, batasan masa seseorang tidak boleh soal siasat selepas 6 petang merupakan sebab utama. "Sudah lambat dan kami terikat dengan peraturan lokap tidak boleh ambil keterangan selepas 6 petang. "Itu sebabnya beliau ditahan dalam lokap (satu malam)," kata Pereira di mahkamah hari ini. Peguam-peguam Anwar mempertahankan bahawa penahanan Anwar pada hari tersebut tidak sah. Selasa lalu, mahkamah memutuskan tindakan mengambil tiga barang dari lokap Anwar ditahan dan sampel DNA sebagai tidak sah dan dengan itu bukti tersebut ditolak. Pereira menekankan bahawa penahanan Anwar adalah perlu untuk polis menyoal siasat Anwar mengenai lawatan ke Hospital Kuala Lumpur. "Saya mengambil kenyataan kira-kira 8.35 pagi (17 Julai 2008) berkaitan dengan HKL. Saya habis ambil keterangan pukul pukul 9.20 pagi. "Beliau ditahan satu malam kerana siasatan masih belum selesai," kata Pereira lagi. |
308 pelatih Pulapol dikuarantin Posted: 10 Mar 2011 02:30 AM PST BENTONG, 10 Mac — Seramai 308 pelatih Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, kini dikuarantin berikutan kematian seorang rakan mereka dua hari lepas akibat virus Adenovirus, sejenis jangkitan pada pernafasan. Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tiga pelatih masih dirawat di unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala 23 lagi kini ditempatkan di wad biasa. "Kementerian belum menemui punca sebenar bagaimana virus tersebut wujud dan boleh merebak di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jalinan Kasih 1Malaysia bagi penghuni di Penjara Bentong dekat sini, hari ini. Liow adalah juga Anggota Parlimen Bentong. Beliau meminta pengurusan pusat latihan polis, penjara, tentera dan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) supaya meningkatkan penjagaan kebersihan di kawasan mereka. Liow juga berkata Kementerian Kesihatan akan membawa masuk 200 doktor pakar dari Mesir, India dan Bangladesh bagi mengisi kekosongan jawatan doktor pakar di negara tahun ini. Katanya, setakat ini hanya terdapat 2,500 doktor pakar yang ditempatkan di hospital-hospital utama di seluruh negara. "Sekarang ini hospital utama seperti Kuantan, Temerloh, HKL dan beberapa hospital di ibu negeri mengalami kesesakan kerana ramai pesakit ingin mendapatkan rawatan daripada doktor pakar," katanya. Beliau berkata dengan adanya doktor pakar di hospital daerah, masalah kesesakan yang berlaku di hospital-hospital utama akan dapat diatasi. — Bernama |
11 samun kereta mewah RM1 juta tumpas Posted: 10 Mar 2011 02:00 AM PST KUALA LUMPUR, 10 Mac — Taktik licik 11 lelaki yang menyamun kereta mewah dengan cara melanggar belakang kereta tersebut di kawasan sunyi, tumpas selepas polis menahan mereka serta merampas lapan kereta mewah bernilai RM1 juta. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kesemua lelaki berumur 20 hingga 35 tahun itu ditahan sejak dua minggu lalu yang dipercayai terbabit lebih 10 kes samun kereta mewah di lebuh raya di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini. "Antara kereta mewah yang berjaya dirampas ialah Toyota Alphard, BMW, Mitsubishi Airtrek, Honda Civic dan Toyota Altis. "Modus operandi kumpulan ini adalah dengan sengaja melanggar kereta mangsa di kawasan sunyi sebelum melarikan kereta serta barangan berharga mereka. Mangsa pula akan ditinggalkan di tepi jalan," katanya pada sidang media di sini hari ini. Katanya daripada tangkapan itu, polis turut menjumpai parang, kayu dan pistol yang mungkin digunakan suspek sebagai senjata untuk mengugut mangsa. Bakri berkata polis, melalui Ops Lejang Elite, yang dilancarkan untuk mengesan kegiatan samun kereta mewah pada ketika ini sedang giat mengesan saki baki anggota kumpulan itu yang menggunakan modus operandi sama. Sementara itu, katanya Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket samun kenderaan yang menggunakan modus operandi sama, apabila lima lelaki ditahan dan dua kereta dirampas. "Taktik yang sama juga digunakan, tetapi kali ini suspek menyamun mangsa yang hendak memasuki kereta sebelum melarikan kereta dan meninggalkan mangsa di situ," katanya. Beliau berkata, dalam senario yang berlainan, polis Perlis juga berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan kereta mewah yang dicuri ke negara jiran melalui Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam dengan tertangkapnya enam anggota kumpulan tersebut. "Sebanyak empat kes curi kenderaan berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya keempat-empat lelaki terbabit," katanya sambil menambah kejayaan polis juga dibantu dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di pintu-pintu sempadan. Sejak 2009 hingga tahun ini, polis mengesan 100 kes samun kereta mewah menggunakan modus operandi sama dengan nilai anggaran RM10 juta, katanya. Katanya kereta-kereta mewah yang disamun suspek akan diseludup ke luar negara manakala yang kurang berjenama pula akan digunakan untuk melakukan kegiatan samun, atau kereta tersebut akan dileraikan untuk dijual sebagai alat ganti. "Kita sedang menyiasat sama ada suspek-suspek samun kereta ini ada gunakan 'orang dalam' daripada syarikat-syarikat perkapalan untuk diseludup ke luar negara," katanya. Beliau berkata hasil siasatan polis juga mendapati kereta-kereta yang disamun tersebut berjaya diseludup hingga ke Dubai dan Afrika Selatan. Sementara itu, seorang mangsa yang ditemui, mendedahkan kereta mewahnya disamun tiga lelaki bulan lalu selepas melanggar belakang keretanya di satu lebuh raya PLUS. Kejadian berlaku pada 12 tengah malam ketika beliau dalam perjalanan pulang ke rumah di Shah Alam dari tempat kerjanya di USJ. "Sebaik dilanggar saya keluar daripada kereta, sebelum seorang daripada mereka keluar dalam keadaan mabuk sambil meminta maaf. "Tidak lama selepas itu, rakannya seorang lagi keluar dan hunuskan parang ke leher saya dan larikan kereta saya bersama beg duit dan telefon bimbit dan saya ditinggalkan di tepi jalan," kata ahli perniagaan yang berumur 30 tahun itu. — Bernama |
MP Pakatan ibarat anak ayam hilang ibu, kata Nazri Posted: 10 Mar 2011 01:45 AM PST PUTRAJAYA, 10 Mac — Tanpa ketua sementara untuk mengetuai pembangkang di persidangan Dewan Rakyat, pembangkang boleh diibaratkan seperti 'anak ayam kehilangan ibu', kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz. Beliau berkata mereka tidak perlu mengisi kekosongan itu tetapi tidak ada ketua pembangkang pada sesi ini. "Jadi, tidak ada sesiapa yang akan bertindak sebagai ketua. Jadi mereka ibarat seperti anak ayam kehilangan ibu, saya umpamakan sedemikian kerana pembangkang tiada ketua sementara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada pelajar-pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang akan melanjutkan pengajian ke Jepun, di sini hari ini. Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat Disember lepas, empat Ahli Parlimen pembangkang digantung selama enam bulan iaitu ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Azmin Ali (PKR-Gombak), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor). Pembangkang kini berjumlah 76 di Dewan Rakyat selepas Ahli Parlimen Padang Serai N.Gobalakrisnan keluar daripada PKR dan menjadi anggota Bebas. "Jelas menunjukkan tiada persetujuan pada sesi ini siapa yang patut bertindak sebagai ketua pembangkang, kerana mereka tidak boleh bersetuju untuk satu jawapan," katanya. Ditanya sama ada pembangkang akan melantik seseorang menggantikan Anwar, Nazri berkata beliau tidak tahu tetapi yang jelas katanya terdapat kesukaran untuk berbuat demikian. "Jika tidak, mudah jika mereka ada Hadi (Datuk seri Abdul Hadi Awang) atau Kit Siang (Lim Kit Siang), tetapi kenyataannya mereka tidak boleh membuat sebarang keputusan, membuktikan mereka tidak boleh bekerjasama," katanya. — Bernama |
Isu fatwa: Nik Aziz kurang senang tuduhan Harussani Posted: 10 Mar 2011 01:30 AM PST Oleh Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 10 Mac — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kurang senang dengan tulisan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria ekoran penyataan "undi PAS masuk syurga", kata Setiausaha Akbarnya Ahmad Fadhli Shaari. Selain Nik Aziz, jelas Ahmad Fadhli, barisan kepimpinan negeri Kelantan turut melahirkan rasa kurang senang apabila Harussani mengaitkan Menteri Besar Kelantan itu dengan kenyataan "undi PAS masuk syurga." Ekoran tulisan Harussani dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu, pejabat Menteri Besar Kelantan telah menghantar surat rasmi memohon penjelasan daripada Mufti Perak itu. Bagaimanapun, menurut Ahmad Fadhli sehingga kini Harussani masih belum membalas surat rasmi tersebut yang telah dihantar. "Kita minta surat untuk mohon penjelasan mengenai tulisan beliau (Harussani) yang kata Nik Aziz cakap 'undi PAS masuk syurga', kita bukan nak jumpa beliau. "Kita telah hantar surat rasmi untuk mohon penjelasan, kalau beliau tidak mahu jelaskan kami juga mahu surat rasmi daripada beliau... kita hantar melalui surat, jadi kita mahu beliau balas juga melalui surat... bila kita sudah terima surat daripada beliau baru kita akan keluarkan kenyataan," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider. Kata beliau, sebarang kenyataan terbaru akan dikeluarkan sebaik sahaja menerima surat balas daripada Harussani. "Apa-apa kenyataan yang akan dikeluarkan nanti berdasarkan surat dari beliau tapi setakat hari ini kita masih belum menerima surat balas dan kita masih menunggu surat balas dari Mufti Perak. "Kita di sini kurang senang dengan tulisan Mufti Perak yang mengaitkan Menteri Besar dengan 'undi PAS masuk syurga', jadi kita harap beliau respons surat yang kita hantar," katanya. The Malaysian Insider semalam memetik Harussani yang menegaskan beliau tidak perlu membuat penjelasan kepada Nik Aziz berhubung tulisan responsnya menyentuh isu "undi PAS masuk syurga". Ini kerana, jelas Harussani, sekiranya penjelasan diberikan kepada Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan itu akan tetap mengeluarkan kenyaataan yang bercanggah dengan kehendak agama Islam. Selain itu, Harussani percaya Nik Aziz akan tetap menggunakan hukum agama dalam politik yang boleh mengelirukan umat Islam. |
Putrajaya benar pekerja asing kerja 5+5 tahun di semua sektor Posted: 10 Mar 2011 01:00 AM PST PUTRAJAYA,10 Mac — Kerajaan akan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh berkhidmat bagi pekerja-pekerja asing selama lima tahun lagi selepas tamat tempoh lima tahun pertama (5+5) untuk semua sektor yang dibenarkan dalam urusan pengambilan pekerja asing. Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mahmood Adam berkata perkhidmatan pekerja-pekerja asing yang sah dan berpengalaman tinggi dalam semua sektor perlu dikekalkan kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan peningkatan produktiviti dan daya saing negara. Kerajaan telah mengarahkan supaya kajian mendalam dijalankan mengenai keperluan memanjangkan tempoh permit bekerja bagi pekerja-pekerja asing dalam sektor-sektor lain, katanya dalam satu kenyataan hari ini. "Berdasarkan kepada kajian serta kepentingan sektor industri dan ekonomi negara, kerajaan telah memutuskan supaya kemudahan yang sama (5+5) tahun ditimbangkan kepada sektor-sektor lain yang dibenarkan dalam urusan pengambilan pekerja asing," kata Mahmood. Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pada Mei lepas bahawa tempoh 5+5 itu hanya diberikan kepada pekerja-pekerja di sektor perladangan kelapa sawit untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor itu serta mengelakkan mereka yang berpengalaman pulang ke negara asal. Dalam perkembangan lain, Mahmood berkata laporan mengenai Makmal Khas Warga Asing Sabah telah pun siap dan dibentangkan kepada kabinet kerajaan negeri Sabah. Katanya makmal yang berlangsung di Sabah pada 4 Mei hingga 27 Mei lalu telah mengemukakan sejumlah syor dan inisiatif sebagai tambahan kepada Makmal Pengurusan Warga Asing peringkat nasional. Katanya kerajaan negeri Sabah telah bersetuju dengan syor dan inisiatif yang dikemukakan. "Laporan itu akan dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Mac depan untuk dipertimbangkan," katanya. — Bernama |
Isu kitab injil: Bible Society mahu saman KDN Posted: 10 Mar 2011 12:30 AM PST Oleh Debra Chong KUALA LUMPUR, 10 Mac — Pertubuhan The Bible Society of Malaysia (BSM) sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Kementerian Dalam Negeri kerana merampas kargo kitab Injil berbahasa Melayu, yang diimport dari Indonesia, di Pelabuhan Klang sejak 2009 sehingga menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan kumpulan Kristian. Kitab-kitab injil itu menjadi punca kontroversi kerana mempunyai perkataan "Allah" di mana masyarakat majoriti Melayu Islam percayai kalimah itu tidak boleh digunakan oleh bukan Islam untuk merujuk kepada Allah. "Saya ada melihat laporan berita dan pada masa yang sama BSM juga mengadakan perbincangan sebelum mengeluarkan respons rasmi," kata Setiausaha Agungnya Dr Simon Wong kepada The Malaysian Insider hari ini. Wong merujuk kepada kenyataan Kementerian Dalam Negeri semalam yang menafikan dakwaan sebuah persatuan penganut Kristian bahawa kementerian itu telah merampas dan menahan 5,000 kitab Injil berbahasa Melayu yang diimport dari Indonesia. Menurut kementerian itu, kitab Injil berkenaan sebenarnya dilarang dibawa masuk ke Malaysia kerana gagal memenuhi syarat-syarat. Satu surat penolakan bertarikh 26 Jun 2010 telah dihantar kepada pengimport tetapi sehingga kini pengimport masih belum menuntut kargo berkenaan. Oleh itu, dakwaan oleh National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bahawa kementerian telah merampas dan menahan kitab Injil adalah tidak tepat dan mengelirukan. Kelmarin, Setiausaha Agung NECF Sam Ang mendakwa bahawa Kementerian Dalam Negeri telah merampas dan menahan kitab Injil berkenaan di Pelabuhan Klang sejak tahun lepas dan enggan mengeluarkan meskipun Kabinet telah meluluskan pengeluarannya. Wong berkata beliau ada dokumen-dokumen yang menunjukkan kementerian itu telah bertindak silap. BSM telah secara formal memohon untuk dibenarkan membawa keluar kital injil itu yang dirampas pada Mac 2009. Dalam pada itu Persekutuan Kristian Malaysia juga menggesa agar kerajaan dengan segera melepaskan kesemua kitab injil yang ditahan oleh pihak berkuasa. Pengerusinya Biskop Ng Moon Hing meminta kerajaan bertindak sekarang dan membuktikan keikhlasan dalam berurusan dengan komuniti Kristian di negara ini dalam isu tersebut dan kesemua isu lain yang dibangkitkan sejak persekutuan tersebut ditubuhkan pada 1985. Kata beliau, persekutuan itu kecewa dan rasa marah dengan tindakan menghalang membawa masuk, yang terus wujud dan kali ini di Pelabuhan Kuching, Sarawak. "Sebanyak 30,000 naskhah Perjanjian Baru, Mazmur dan Amsal kini ditahan," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan. Ng berkata kerajaan telah memberikan jaminan bahawa kitab injil dalam Bahasa Malaysia akan digunakan dengan bebas sekurang-kurangnya di Sabah and Sarawak. Katanya, sejak Mac 2009 kesemua usaha untuk mengimport kitab injil dalam Bahasa Malaysia iaitu "Alkitab" sama ada menerusi Pelabuhan Klang atau Pelabuhan Kuching telah dihalang. Jelas Ng, kargo sebelum ini sebanyak 5,000 naskhah Alkitab yang dimport pada Mac 2009 masih ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang meskipun pelbagai rayuan sudah dibuat. Ng menambah, rayuan itu telah membuahkan hasil apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memutuskan untuk membenarkan naskhah-naskhah yang ditahan di Pelabuhan Klang pada Disember 2009, yang dimaklumkan kepada pemimpin-pemimpin persekutuan oleh beberapa anggota Kabinet dan pembantu mereka. "Bagaimanapun 5,000 naskhah Alkitab masih ditahan. Perdana Menteri rasa terkejut apabila dimaklumkan 5,000 naskhah masih ditahan ketika jamuan teh sambutan Krismas, keputusan dibuat beliau itu tidak dilaksanakan. "Bagaimanapun tiada apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memastikan naskhah-naskhah itu dikeluarkan," katanya. Ng berkata pihaknya mahu bertanya kepada kerajaan bagaimana program transformasi akan dijalankan dengan jayanya jika kakitangan awam enggan mematuhi keputusan Perdana Menteri. "Adakah kerajaan tidak berkuasa untuk bertindak ke atas Napoleon Kecil yang mahu mengutamakan kepentingan dan agenda sendiri," katanya lagi. |
Skim Rumah Pertamaku bukan langkah bijak, kata MCLM Posted: 10 Mar 2011 12:00 AM PST Oleh Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 10 Mac — Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) menyifatkan keputusan kerajaan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku kepada golongan muda berpendapatan bawah RM3,000 sebagai keputusan baik tetapi "tidak bijak." Ini kerana, jelas salah seorang ahli MCLM Haslinah Yacob, Malaysia kini berhadapan dengan krisis perumahan dan sektor hartanah juga melambung naik dengan mendadak. "Malangnya harga hartanah terlalu tinggi, rumah-rumah yang sesuai tidak dapat dibeli oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Ya, mereka yang terkena kesan yang besar adalah golongan muda yang mencari pelabur untuk membayar dahulu rumah pertama mereka. "Bagaimanapun, menawarkan golongan muda untuk 'membeli' rumah tanpa bayaran pendahuluan bukan satu jalan penyelesaian," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Ketika pengumuman Skim Rumah Pertamaku kelmarin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata di bawah skim itu kerajaan melalui Cagamas Bhd akan menjamin bayaran pendahuluan atau wang deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli rumah tersebut Melalui skim ini, individu, terutama golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000, boleh mendapat pinjaman seratus peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk membeli rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000, dengan tempoh pembayaran sehingga 30 tahun. Jelas Najib, skim itu dilaksanakan bagi mengurangkan beban golongan muda yang menghadapi masalah kos sara hidup serta harga hartanah yang tinggi di lokasi-lokasi tertentu di Malaysia. Tegas Haslinah, langkah kerajaan itu juga akan menyebabkan pembeli terpaksa berhadapan dengan bayaran semula yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemerosotan ekonomi atau peningkatan harga hartanah. "Adakah jumlah ini akan menjadi satu bentuk pinjaman atau pemberian kepada pembeli? Jika ia wang pendahuluan, adakah pembeli masih perlu membayar kembali wang itu pada satu tarikh yang ditetapkan ataupun termasuk dalam ansuran bulanan. Jika ya, dari mana wang pendahuluan untuk skim ini datang jika tidak dari Perbendaharaan Nasional? Adakah caruman pembayar cukai boleh digunakan untuk graduan pembeli rumah? "Membeli rumah tanpa mana-mana bayaran pendahuluan bererti pembeli mempunyai sifar ekuiti. Sekiranya berlaku kemerosotan ekonomi atau lonjakan harga hartanah ia akan menyebabkan pembeli membayar melebihi nilai rumah itu. "Mendapat pembiayaan 100 peratus tidak bermakna pembeli tidak perlu menanggung kos, mereka juga perlu membayar kos lain yang mungkin agak membebankan bagi individu yang berpendapatan rendah... mereka juga sudah tentu dikehendaki membeli insurans gadai janji untuk mendapat pelindungan bank yang sepatutnya dicari untuk mendapatkan pinjaman, kos ini akan ditambah dalam pinjaman tersebut," katanya. Kata bakal calon MCLM bagi pilihan raya umum ke-13 itu, banyak persoalan yang timbul ekoran pelaksanaan Skim Rumah Pertamaku yang mungkin akan menyebabkan pembeli terpaksa menanggung hutang seumur hidup. "Akhirnya, kita perlu bertanya pada diri sendiri, berapa ramai yang berpendapatan bawah RM3,000 mampu membayar semula setiap bulan? Adalah Skim Rumah Pertamaku ini akan mewujudkan generasi yang akan dibebani hutang seumur hidup yang mana mereka tidak mampu membayarnya? "Mungkin Najib, Cagamas dan bank-bank lain yang terlibat boleh bekerjasama untuk membentuk skim simpanan pemilikan rumah dan membantu rakyat jadi mereka mempunyai cukup wang untuk membayar wang pendahuluan ketika kedudukan kewangan mereka cukup untuk membuat pinjaman," kata Haslinah. |
DPPNK Sifatkan Nik Sepia Merapu Posted: 09 Mar 2011 11:22 PM PST oleh Ahmad Fadhli Bin Shaari 1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyifatkan kenyataan Naib Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk Nik Sepia Nik Yusof yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian 10 Mac 2011 sebagai merapu apabila meminta ahli PAS agar tidak takut mengundi parti lain. Menurut dakwaan Nik Sepia, ini berikutan kenyataan al-Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa undi PAS masuk syurga. Menurut Nik Sepia, penafian itu juga dengan sendirinya menafikan tuduhan haram memakan daging sembelihan orang UMNO dan berkahwin dengan anak orang UMNO. 2. Ini merupakan satu fitnah yang dahsyat dari Nik Sepia terhadap al-Mursyidul Am PAS dan juga parti PAS keseluruhannya. Hakikatnya, tidak pernah al-Mursyidul Am PAS mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa oleh Nik Sepia. Selain itu, Nik Sepia juga memfitnah pimpinan-pimpinan PAS dengan kenyatannya : "Selama ini, pemimpin PAS ghairah mengeluarkan pelbagai fatwa sehingga ahli dan penyokongnya serta segelintir umat Islam di negara ini yang taksub dengan oemimin berkenan hanyut tanpa pegangan agama yang kukuh." 3. DPPNK sifatkan Nik Sepia sudah merapu dan barangkali sudah nyanyuk ketika mengeluarkan kenyataan tersebut. Bilakah masanya Datuk Nik Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa undi PAS masuk syurga? Bilakah masanya beliau mengeluarkan kenyataan makan daging sembelihan orang UMNO dan berkahwin dengan anak perempuan mereka haram hukumnya? DPPNK mencabar Datuk Nik Sepia membuktikan dengan terperinci tuduhan tersebut. Jangan hanya pandai berkokok di dalam akhbar dengan tuduhan rambang. 4. Hakikatnya apa yang disebut oleh Datuk Nik Abdul Aziz dan juga pimpinan PAS yang lain ialah batasan di antara iman dan kufur, Islam dan jahiliyyah dan hukum menolak undang-undang Allah SWT. 5. DPPNK sedar Datuk Nik Sepia sebenarnya sedang mencari tapak untuk kembali ke medan politik. Hakikatnya beliau sudah terbuang dari politik Kelantan dan kes beliau yang didakwa menyerang bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu satu ketika dulu masih segar di ingatan. Sekian. Yang menjalankan tugas, AHMAD FADHLI BIN SHAARI Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK). Bertarikh : 10 Mac 2011 |
M Faqih: Kejayaan program al-It'aam di Kelantan Posted: 09 Mar 2011 10:46 PM PST M Faqih BUKAN mahu angkat bangkul sendiri apabila banyak pihak memuji langkah kerajaan Kelantan melaksana skim al-It'aam. Malah ramai masih kekok untuk menyebutnya. Diambil daripada perkataan Arab yang bermaksud makanan ruji (asas). Biar pun pelaksanaannya sudah lama di negara-negara maju, namun di tempat kita masih lagi baru. Kerajaan pusat pernah menguar-uarkan program Subsidi Beras Untuk Rakyat Miskin (Subur) pada akhir 2009. Ketika itu kerajaan bercadang mengagih 6,000 metrik tan beras sebulan kepada penduduk berpendapatan kurang RM1,740. Ada menteri memberi komitmen pembahagian beras super special tempatan akan dilaksanakan melalui pembahagian kupon bermula 1 Disember 2009. Namun pertelingkahan dikatakan berlaku di kalangan pemimpin di pusat mengenai senarai penduduk yang layak mendapat bantuan tersebut. Ada yang berhujah senarai E-Kasih tidak telus dan kurang lengkap. Namun, malangnya program Subur tidak lagi kedengaran sekarang. Entah hidup atau berkubur begitu sahaja. Sebaliknya lain pula di Kelantan, biar pun Subur tidak menjadi, namun program serupa dimulakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Bharu pada pertengahan tahun lalu. Ia dikendalikan Tabung Kebajikan dan Sosial Rakyat Dun Wakaf Bharu (Taksir). Seramai 225 penduduk miskin di Dun Wakaf Bharu mendapat sebanyak 10 kg beras percuma setiap seorang pada tiap-tiap bulan. Maka mengambil kira kejayaan tersebut kerajaan negeri pada persidangan belanjawan tahun lepas meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi mengendali skim bantuan beras percuma. Ketika ucapan Belanjawan 2011 pada 2 November 2010, Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebut makanan adalah keperluan asasi manusia. "Bagi keluarga miskin dan fakir dengan bilangan anggota keluarga yang besar, memenuhi keperluan pemakanan menjadi satu beban dan masalah bagi mereka. "Islam menetapkan keperluan manusia yang paling asasi wajib dipandang berat oleh semua pihak, bermula dari anggota keluarga terdekat dan jiran tetangga. "Nabi Muhammad saw bersabda, bahawa tidak dianggap beriman seseorang yang tidur malam sedangkan jiran mereka yang miskin berada dalam kelaparan. "Bagi memenuhi kewajiban asasi ini kerajaan negeri memulakan contoh baik yang diharap dapat dikongsi bersama anggota masyarakat," katanya. Sebanyak RM1.5 juta diluluskan bagi melaksanakan program berkenaan. Pada 6 Febuari lalu program al-It'aam dilancar Menteri Besar bertempat di Dataran Pasir Pekan, Tumpat. Pada majlis itu penduduk miskin tanpa mengira keturunan dan agama serta ideologi politik menerima beras disampaikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Ada penduduk keturunan Cina, Siam, India dan Melayu menerima bantuan beras tersebut sebanyak 10 kg bagi setiap keluarga. Dan selepas pelancaran terbabit, majlis penyampaian bantuan beras kemudiannya diadakan di seluruh Kelantan. Biar pun sekampit beras seberat 10kg tidak dapat menampung bilangan anggota keluarga ramai, namun sekurang-kurangnya dapat menjimatkan kewangan mereka. Hari ini seramai 4,500 penduduk miskin mampu menarik nafas lega. Bebanan mereka sebelum ini sedikit sebanyak sudah terurai. Seorang penduduk dari Kampung Simpangan, Tumpat sebelum ini memberitahu beliau tanpa rasa segan datang ke rumah wakil rakyat bagi meminta ihsan sekampit beras. "Saya terpaksa ketepi rasa malu dan segan, kalau tidak anak-anak di rumah tidak dapat mengisi perut," katanya. Setelah sebulan berlalu, program al-It'aam tersebar ke seluruh Kelantan. Ramai mengalu-alukan program berkenaan kerana memberi manfaat kepada rakyat miskin. Malah pada persidangan Dewan Undangan Negeri 2 Mac lalu, wakil pembangkang dari Galas, Abdul Aziz Yusof turut memuji langkah dibuat kerajaan negeri. "Syabas kepada kerajaan negeri kerana berjaya melaksanakan program berkenaan," katanya ketika berucap menyokong ucapan menjunjung kasih. Biar pun program itu baru diperkenalkan, Adun Kadok Azami Mohd Nor mencadangkan kuantiti beras yang diberi ditambah kepada dua kampit. Kata beliau bagi keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai, sekampit hanya mampu bertahan dua minggu sahaja. Ujar beliau untuk dua minggu lagi keluarga berkenaan terpaksa membeli sekampit lagi. "Apa salahnya kalau kerajaan negeri menambahkan bantuan kepada dua kampit pada masa akan datang. Tambahlah peruntukan kepada RM3 juta," ujarnya pada persidangan Dun. Merungkai persoalan itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Asas Tani, Che Abdullah Mat Nawi menjelaskan kerajaan negeri menerima baik segala cadangan dibuat bagi memperkasakan lagi program berkenaan. Persidangan Dewan juga turut menyentuh isu tuntutan royalti minyak yang diperjuangkan rakyat Kelantan. Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, sekiranya Kelantan mendapat royalti tersebut, pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar. "Kelantan boleh buat sendiri pembangunan di negeri ini, namun malangnya ada pihak yang melanggar perjanjian dibuat pada 1975," katanya. Malah pada persidangan Dun pada Mac tahun lepas Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad turut menyokong usul membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah. Pada akhir Ogos 2010 kerajaan negeri memfailkan saman terhadap Petronas di atas dakwaan tidak membuat pembayaran tunai terhadap hasil minyak diperolehi di luar pesisir pantai Kelantan. Tindakan Petronas itu dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Kes terbabit difailkan di Bahagian Pendaftaran Dagang, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta. Ia dilakukan sendiri Menteri Besar. Malah bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah mahu kerajaan pusat menghormati hak Kelantan ke atas 5 peratus royalti minyak. "Wang ihsan tiada dalam perjanjian yang saya buat dahulu, saya yang buat Akta Petroleum Negara 1974, tidak terlintas langsung hendak sebut wang ihsan," katanya seperti dilapor sebuah akhbar pada 1 Disember 2009. Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 menyebut pembayaran tunai perlu dibuat oleh Petronas bagi hasil yang diperolehi kepada kerajaan persekutuan dan negeri. Dan pada perjanjian yang ditandatangani pada 1975 di antara kerajaan-kerajaan negeri dan Petronas menyebut perkataan off-shore (persisiran pantai) dan on-shore (daratan). Merujuk afidavit Tun Abdul Rahman Yakub dalam kes kerajaan Terengganu melawan Petronas dan kerajaan Malaysia pada 2001 beliau menyebut, "Sepanjang perundingan saya dengan Tun Abdul Razak tidak pernah timbul soal kefahaman bahawa sekiranya minyak yang ditemui terletak lebih daripada 100 batu, ia bukan milik Sarawak. Yang pasti minyak yang ditemui di luar persisiran Sarawak adalah hak Sarawak. Tun Abdul Razak tidak pernah mempertikai sama sekali." Kata bekas ketua menteri Sarawak itu lagi, wang ihsan adalah rekaan baharu. |
Posted: 09 Mar 2011 10:14 PM PST Harakahdaily PARIT BUNTAR, 10 Mac: Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim (gambar) menyifatkan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai memalukan diri sendiri kerana menganggap kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak realistik. Beliau mengulas kenyataan Rais yang mengatakan Nik Aziz tidak realistik dengan menyatakan media yang berat sebelah adalah punca kekalahan calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil di Merlimau dan Kerdau pada Ahad lepas. "Rais perlu bersikap lebih realistik dalam membuat sebarang penilaian, jika benar Malaysia adil dalam pengamalan kebebasan media, beri laluan kepada wakil parti Pakatan Rakyat membuat liputan media sepertimana BN diberi liputan meluas oleh media RTM dan lain-lain stesen tv," katanya. Tambahnya, BN takut hilang kuasa serta jawatan, maka dengan alasan gila kuasa itu, rakyat yang menjadi mangsa. Menurutnya yang juga Adun Titi Serong, Rais sebetulnya yang memperkudakan RTM dan lain-lain serta media cetak untuk memastikan BN terus menang. "Dakwaan Menteri Besar Kelantan benar dan berasas, kita ada bukti, jika tidak mengapa indeks kebebasan media negara kita sama dengan Zambia?" soalnya. Katanya, jika rakyat membuat keputusan di kertas undi berdasar maklumat yang menyeluruh, BN pasti sudah lama tersungkur. "Saya ulangi sekali lagi, indeks kebebasan media telah meletakkan Malaysia berada dalam tahap not free, lalu isu ini telah terjawab dengan sendirinya. "Beri kebebasan media yang mutlak adalah punca kehancuran BN, dan sekat kekebasan adalah survival BN di Malaysia, maka dengan fakta ini rakyat diharap boleh berfikir secara bijak," ujarnya. Beliau yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menyatakan, Pakatan boleh membuktikan, di Lembah Klang, rakyat telah menolak BN kerana maklumat melalui media baru facebook, twitter dan blog membangun dengan pesat dan sampai kepada rakyat. "Selangor BN tewas, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pun BN tewas teruk," jelasnya lagi. Di Selangor Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Negeri, begitu juga di Wilayah Persekutuan yang mana Pakatan Rakyat menguasai kerusi-kerusi parlimen, DAP 5 kerusi, PKR (4) dan PAS (1), BN hanya Zulhasnan Rafique yang mewakili Setiawangsa. "Oleh sebab itu, BN akan cuba apa cara sekali pun untuk bertahan termasuklah menyebarkan fitnah, bohong rakyat, perudi rakyat serta perkuda jentera kerajaan untuk kepertingan survival parti BN. "Jika dibiarkan BN berkuasa , lama-lama rakyat semakin susah, yang senang lenang siapa? "Sudah pasti pemimpin BN dan kroninya," katanya. |
Buku Mahathir cabar imej Anwar, Pakatan hadapi ‘perang persepsi’ Posted: 09 Mar 2011 09:24 PM PST Oleh Shannon Teoh dan Clara Chooi KUALA LUMPUR, 10 Mac — Dakwaan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai salah laku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi memoirnya menolak Pakatan Rakyat ke dalam "perang persepsi" mengenai kewibawaannya selaku perdana menteri sedang menanti. Malah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga berkata mereka kini perlu bekerja keras untuk menangkis dakwaan bekas perdana menteri yang digariskan dalam autobiografinya, yang dipasarkan sejak kelmarin. Dr Mahathir menulis bahawa Anwar dibekalkan dengan empat wanita untuk tujuan seks dan pada masa yang sama bekas timbalan perdana menteri itu tidak pernah menafikan aktiviti liwatnya sebelum dipecat pada September 1998. Kelmarin, Anwar membidas pelbagai dakwaan dibuat oleh Dr Mahathir dalam bukunya sambil berkata: "Dr Mahathir pembohong besar, (dengan) amnesia yang selektif." Kata Anwar, dakwaan-dakwaan yang digariskan Dr Mahathir dalam bukunya bukan sesuatu yang baru dan secara konsisten telah menjawab perkara tersebut sejak sebelum dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri. "Saya telah menafikan dakwaan ini secara terbuka sejak 1997. "Rujukan beliau kepada empat wanita, saya nafikan," katanya. Masih diselubungi dengan kekalahan dalam dua pilihan raya kecil serentak di Kerdau dan Merlimau Ahad lalu dengan peningkatan majoriti kepada BN, Pakatan Rakyat kini mempunyai tugas baru iaitu perlu berhadapan dengan tamparan terbaru daripada Dr Mahathir ke atas perikatan berusia tiga tahun ini. "Itu sebabnya beliau lakukan ini. Hanya mahu menambah dakwaan terhadap Anwar, cuba memasukkan satu lagi paku ke atas keranda," kata anggota biro politik PAS Khalid Samad. "Dr Mahathir tahu bahawa Anwar adalah pengikat dalam Pakatan Rakyat. Dengan menyerang Anwar dan memusnahkan beliau, ia serupa dengan tindakan memusnahkan Pakatan Rakyat," kata Ketua Pemuda DAP Anthony Loke. Anwar kini berhadapan dengan kes liwat kedua manakala BN pula menyifatkan Ketua Umum PKR itu sebagai sudah tidak relevan lagi selepas kekalahan berganda di Kerdau dan Merlimau. "Dr Mahathir sangat berpengaruh dan apa yang dikatakan oleh beliau sangat berpengaruh. Kita telah menyaksikan bagaimana beliau telah menyerang penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kesannya ke atas BN. "Cerita-cerita beliau hari ini akan mencetuskan kekeliruan di kalangan rakyat dan membawa imej negatif mengenai Anwar tidak lama lagi, kami dalam perang persepsi sekarang," kata Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah. "Beliau cuba untuk memusnahkan kredibiliti Anwar sebagai seorang pemimpin Islam dengan dakwaan mengenai salah laku seks. Memang jelas ini adalah isu-isu sensitif bagi orang Melayu," kata Khalid. Kedua-dua Loke dan Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, walaupun kekurangan bukti, ramai akan menelan kata-kata Dr Mahathir. "Oleh kerana ia datang daripada beliau, ia sudah pasti akan mencetuskan satu persepsi, sama ada benar atau tidak. Persepsi sangat penting dalam politik," kata Loke. "Sesetengah akan berfikir oleh kerana Dr Mahathir yang mengatakan begitu, ia pastinya benar," kata Khalid merujuk kepada dakwaan bekas presiden Umno itu dalam bukunya bertajuk "A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad". Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan-dakwaan Dr Mahathir akan membawa kesan ke atas pengundi dan penyokong atas pagar yang masih belum membuat keputusan sama ada Anwar ada melakukan perbuatan sedemikian. Ahli Parlimen Machang itu berkata sasaran utama adalah mereka yang berusia antara 21 dan 25 tahun, yang masih muda apabila Anwar berhadapan dengan tuduhan liwat pertama pada 1998. Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa dari PAS juga bersetuju pengaruh politik Dr Mahathir dan "perkataan-perkataan tajamnya" kemungkinan akan memberi impak ke atas pembaca meskipun kekurangan bukti. "Biasanya, orang ramai akan terima isu-isu sensasi," katanya lagi. "Ramai tidak kisah sama ada cerita-cerita itu benar atau tidak dan penulis-penulis seperti Dr Mahathir mempunyai impak ke atas pembaca," kata beliau kepada The Malaysian Insider. Katanya, Pakatan Rakyat perlu menerimanya sebagai "perang persepsi" menghadapi BN meskipun ia pertarungan yang tidak adil ketika kerajaan terus mengawal akses kepada media. |
Penduduk Kristian, Islam bertempur di Kaherah Posted: 09 Mar 2011 09:00 PM PST KAHERAH: Beribu-ribu penduduk Kristian dan Islam bertempur di ibu negara Mesir selepas seorang lelaki Kristian dilaporkan mati manakala berpuluh-puluh yang lain cedera berikutan kemarahan membabitkan kejadian pembakaran sebuah gereja di kejiranan berhampiran. Keganasan sejak kelmarin adalah yang kedua membabitkan pertempuran kaum dalam tempoh beberapa hari dan yang terkini dalam siri bantahan ganas selepas hampir sebulan tunjuk perasaan besar-besaran bagi menggulingkan Presiden Hosni Mubarak. Keganasan tercetus selepas penganut Kristian Koptik mengadakan bantahan di beberapa lokasi di Kaherah menentang dakwaan oleh majoriti penduduk beragama Islam di negara itu. Penduduk Kristian marah dengan kejadian pembakaran gereja oleh perusuh Islam di Kaherah. Pemerintah tentera Mesir berikrar untuk membina semula gereja terbabit manakala perdana menteri Essam Sharaf bertemu dengan penunjuk perasaan di luar bangunan sebuah stesen televisyen tempatan. Penunjuk perasaan bagaimanapun berkata mereka mahukan lebih banyak langkah untuk meningkatkan status penduduk Kristian. Kira-kira 2,000 daripada mereka menghalang jalan raya utama di kawasan timur bandaraya itu dan melempar batu ke arah pemandu kenderaan. Satu lagi kumoulan seramai 1,000 orang lagi berkumpul di luar bangunan televisyen di pinggir Kaherah. Kumpulan termasuk pemungut sampah beragama Kristian yang menuntut hak yang sama dan kehidupan lebih baik. Pertempuran tercetus apabila mereka berhadapan dengan penduduk Islam, kata saksi. Sekurang-kurangnya seorang penduduk Kristian maut dan 100 yang lain cedera dalam pertempuran, kata seorang pegawai hospital Mesir yang enggan mendedahkan namanya. – AP |
Buku Jingga undang muflis? Bodoh Punya Pemikiran MP BN Posted: 09 Mar 2011 08:30 PM PST Buku Jingga undang muflis BUKU Jingga yang dikeluarkan parti pembangkang tidak menggambarkan kehendak akar umbi secara keseluruhan, kata Datuk Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belud). Malah, beliau berkata, penghasilan buku yang dilihat lebih bersifat manifesto politik itu boleh mengakibatkan Malaysia muflis dalam tempoh dua tahun jika dilaksanakan. "Saya amat kecewa apabila membaca Buku Jingga ini kerana berdasarkan fakta ekonomi di dalamnya, Malaysia boleh bankrap dalam tempoh dua tahun sekiranya pembangkang diberi peluang menguasai Putrajaya," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, semalam. |
Akhir Zaman, Fitnah Bermaharajalela! Tahniah Mahathir Posted: 09 Mar 2011 08:00 PM PST Buku Dr M paling laris di pasaran KUALA LUMPUR: Buku A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad mencatat sejarah tersendiri apabila terjual lebih 5,000 naskhah pada hari pertama di pasarkan ke seluruh negara, kelmarin. Malah, penerbit buku, MPH Group Publishing Sdn Bhd akan mengulang cetak 10,000 lagi naskhah buku pengkisahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu, awal bulan depan sebagai tambahan kepada 50,000 naskhah bagi cetakan pertama. Pengurus kanannya, Ivy Tan, berkata buku berkenaan yang dijual di ratusan kedai buku di Malaysia dan Singapura termasuk Borders, Kinokuniya, Popular dan kedai buku kecil mempunyai keistimewaan tersendiri kerana bukan saja dibeli pelbagai kaum, malah golongan yang tidak menyukai buku berkenaan turut berminat mendapatkannya. |
Posted: 09 Mar 2011 07:30 PM PST Oleh Ifwan Tun Tuah ifwan@bharian.com.my PASANGAN tanpa segan silu memadu asmara di Taman City Park, Seremban 2. Segelintir pasangan, termasuk sesama jenis berkelakuan tak senonoh di tempat awam SEREMBAN 2: Suasana lengang di Taman Awam Seremban City Park di sini pada waktu tengah hari, dipergunakan segelintir pasangan kemaruk bercinta untuk memadu kasih sambil melakukan perbuatan tidak bermoral. Tinjauan Sentral mendapati, lokasi berkenaan strategik kerana mempunyai banyak pondok wakaf dan bangku di bawah pokok redup, sekali gus membolehkan pasangan kekasih bermesra dengan selesa. Beberapa pengawal keselamatan kawasan itu mendakwa, kebanyakan pasangan berusia dalam lingkungan 20-an termasuk pelajar kolej swasta berhampiran, selalu datang ke situ antara jam 2 petang hingga jam 4 petang. Pengawal keselamatan, Noorfadzli Mustapha, 32, mendakwa pada waktu berkenaan, kawasan itu kurang dikunjungi orang ramai. "Mereka selalunya duduk berdua-duaan sambil berpelukan dan ada yang bercium tanpa rasa malu serta tidak mempedulikan kehadiran pengawal keselamatan yang membuat rondaan dari semasa ke semasa. "Apabila pengawal menegur, mereka akan beredar tetapi ada pasangan yang bersikap kurang sopan dengan memarahi dan mempertikaikan tindakan kami meminta mereka menghentikan kelakuan tidak senonoh itu. "Mereka beredar apabila pengunjung lain, terutama yang membawa keluarga mula datang ke taman pada jam 5 petang," katanya. Noorfadzli mendakwa, selain pasangan kekasih, beliau juga pernah terserempak dengan pasangan sesama jenis yang berkelakuan tidak senonoh. Katanya, pengawal keselamatan kawasan itu tidak dapat mengambil tindakan kerana tidak mempunyai kuasa mengikut undang-undang, sebaliknya hanya meminta mereka terbabit beredar. Katanya, perbuatan pasangan terbabit memberi gambaran buruk terhadap pengawal keselamatan di kawasan berkenaan kerana pengunjung menyangka mereka sengaja membiarkan perlakuan memalukan itu berlaku. Pengunjung, Fauzi Salim, 28, berkata pihak berkuasa terutama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) perlu kerap melakukan rondaan dan operasi di kawasan itu. "Jika dibiarkan, kawasan itu akan menjadi lokasi pasangan kekasih melepak dan akan menarik lebih ramai pasangan melakukan maksiat," katanya. Fauzi yang sering mengisi minyak keretanya di stesen minyak berhampiran, mendakwa sering melihat kereta yang mencurigakan berhenti di kawasan berkenaan pada waktu malam. "Saya pernah berhenti di tepi sebuah kereta yang tidak dimatikan enjin dan terkejut apabila mendapati pasangan sedang melakukan perbuatan tidak senonoh dan pemandu lelaki itu segera memecut kereta sebaik menyedari perlakuannya diperhatikan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan