Jumaat, 4 Mac 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Wakil Rakyat Umno RasuahP

Posted: 04 Mar 2011 06:40 AM PST

YANG ramai dilaporkan rasuah dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ialah wakil rakyat Pakatan Rakyat. Di Kelantan lebih lima laporan dibuat terhadap wakil rakyat Pas sepanjang 19 tahun lalu kononnya terlibat melakukan pelbagai rasuah. Ada yang dilaporkan menerima rasuah untuk pergi menunaikan haji.

Ada yang dilaporkan rasuah dan disiasat kerana terlibat dalam meluluskan kawasan balak. Ada yang terlibat dengan pengaihan rumah kedai majlis daerah. Ada juga disiasat dan dilaporkan kerana rasuah menggunakan peruntukan kerajaan membina paip air ke rumah ibu sendiri. Dan entah macam-macam lagi.

Anihnya dalam banyak laporan dan siasatan itu tidak ada satu kes pun yang lekat. Maksudnya tidak ada seorang pun wakil rakyat Pas diseret ke mahkamah kerana kerana rasuah. Atau yang lagi dibicarakan beberapa hari.

Berlainan dengan keadaan wakil rakyat UBN di Negeri Sembilan. Di negeri ini tidak ada riuh randah mengenai penglibatan wakil rakyat mereka dalam rasuah. Kalau pun ada bekas Menteri Besarnya yang menang jawatan Naib Presiden digugurkan kerana terlibat dengan rasuah. Wakil rakyat lain tidak pula kedengaran.

Alih-alih hari ini Mahkamah Seksyen Seremban telah mendapati Adun Lenggeng dari BARISAN NASIONAL UMNO Mustafa Salim didapati bersalah atas tuduhan rasuah RM2,000. RM2,000 saja bukan juta-juta. Mungkin kalau nilai rasuahnya ratusan juta ia tidak akan disiasat?

Mahkamah akan menentapkan 1 April ini untuk menentukan hukuman. Menurut laporan Mustafa dihukum dibawah Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Mengikut akta itu pesalah boleh dihukum 14 hari hingag 20 tahun penjara atau denda lima kali jumlah suapan atau minimum RM10,000.

Perkembangan di Negeri Sembilan itu membuka persoalan umum apakah satu lagi pilihan raya kecil akan berlaku di negera ini? Sebab kalau mengikut perlembagaan negara,
Perkara 48(1)(e) menggariskan bahawa kelayakan seseorang wakil rakyat akan gugur sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah serta dipenjara melebihi setahun atau denda melebihi RM2,000.

Biarlah kita tunggu 1 April nanti. Namun naluri saya mengatakan bahawa tiada pilihan raya kecil untuk kerusi Lenggeng. Mahakmah boleh mengenakan hukuman yang menyebabkan pilihan raya tidak boleh diadakan. Eloklah rakyat sudah pun naik bosan dan muak dengan pilihan raya.

Nasib yang diterima Mustafa itu secara tidak langsung mencemarkan Umno dan Barisan Nasional. Takdir itu juga menunjukkan bahawa wakil rakyat Pas khasnya di Kelantan bersih dengan rasuah.

Dan bila mendapat tahu yang Adun Umno Lenggeng itu didapat bersalah maka teringatlah saya kepada kata-kata Hussein Ahmad, bekas Ketua Penerangan Umno Malaysia dalam pertemuan dengan saya dua tiga minggu lepas Hussein bertanya, pemimpin Umno mana yang tidak rasuah? Ertinya seluruh pemimpin Umno rasuah termasuk juga beliau (Hussein) sebab beliau pernah memimpin Umno. He he...

Menteri Agama Umno Suruh PAS Berhenti Cakap Syurga Neraka?

Posted: 03 Mar 2011 08:00 PM PST

Jamil Khir minta PAS henti main isu syurga dan neraka


TEMERLOH, 4 Mac — Kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) sentiasa mendoakan agar PAS insaf dan kembali ke perjuangan Islam sebenar dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata perbuatan PAS mengeluarkan kenyataan berupa fatwa yang melibatkan syurga dan neraka dilihat semakin melampau lebih-lebih lagi jika ada pilihan raya.

"Ketika suasana pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau ini misalnya, tindakan pemimpin PAS yang mengatakan sokongan kepada mereka akan dijanjikan syurga sebaliknya jika menyokong BN, pengundi akan berhadapan balasan perlu dihentikan.

"Kita sentiasa berdoa dan berharap mereka (PAS) akan insaf dan kembali semula ke pangkal jalan memperjuangkan Islam yang sebenar bukannya dengan cara begini.

"Mana mungkin pilihan raya politik disamakan dengan konsep syurga dan neraka yang sama sekali berbeza dengan politik dan perbuatan ini boleh mengelirukan rakyat," katanya kepada pemberita di Felda Jengka 23 dekat sini malam tadi.

Jamil turut bertahlil dan membaca surah Yasin bersama peneroka Jengka 23 sebelum melawat Jengka 25 dan berceramah di sana.

Peneroka di Felda Jengka 23 termasuk di dalam DUN Kerdau bersama-sama dengan peneroka Jengka 22 dan Jengka 25 yang bakal mengundi pada pilihan raya kecil Kerdau Ahad ini.

BN diwakili oleh Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, dan PAS diwakili oleh Ketua Penerangan PAS Pahang Hasanuddin Salim, 43.

Semasa di Jengka 23, beliau menekankan kepada pemberita bahawa Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abduk Razak telah meninggalkan dua warisan yang amat bernilai untuk rakyat Malaysia iaitu Felda dan juga anak Allahyarham iaitu Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata Felda yang diilhamkan Tun Razak telah memberi nikmat kepada sebilangan besar peneroka Felda seluruh negara.

"Bukan itu sahaja, beliau turut mewariskan anaknya Najib yang kini menjadi pemimpin negara yang bijak merancang serta komited mempertahankan Felda seperti mana ayahnya lakukan ketika mentadbir negara sekitar tahun 60-an," katanya. — Bernama

sebut la seks bebas, dadah, pelacur, rogol, curi, kelab malam, dangdut ke.. baru geng umno suka.

Kerdau: MB Pahang Di Ambang Bahaya

Posted: 03 Mar 2011 07:30 PM PST

Oleh Dr. Dzulkefli Ahmad

Memasukki hari ke-6 berkempen, MB Pahang tentunya menyesal tak sudah-sudah mencabar PAS kononnya ketandusan modal untuk berkempen. Beliau kini semacam terpaksa dikenakan 'rawatannya sendiri' atau bak pepatah Inggeris "a taste of his own medicine". Dalam bahasa pasarnya, padan muka dia.


Setelah 53 tahun merdeka, bandar 'cowboy' Kerdau dalam kawasan Kuala Krau, baru disedari wujud dalam Persekutuan Malaysia ini. Pimpinan Umno/BN sewajarnya malu dan kesal betapa sebuah DUN yang bernama Kerdau bahkan seluruh Kawasan Parlimen Kuala Krau tersudut dan terpinggir dalam arus pembangunan negara. jauh dari kerancakan perkilangan yang menjana pekerjaan dan pendapatan buat pihak berkuasa tempatan. Kini Kerdau diancam nasib yang sama untuk beberapa dekad lagi.

Pelik tetapi benar, bagaimana segala pendedahan pengurusan bobrok Adnan Yaakob, masih boleh dia nafikan mentah-mentah, meskipun yang mengkritik dan mendedahkan kepincangan pengurusan beliau bukanlah akhbar Harakah, Rocket atau Suara Keadilan.

Yang mendedahkan kebobrokan dan kebejatan pengurusan tempang beliau adalah Laporan Ketua Audit Negara di bawah kepimpinan Tan Sri Amrin Buang. Setiap tahun telah beliau nyatakan bahawa bagaimana pun yang didedahkan, tetap akan berulang segala ketirisan dan kebocoran akibat pelbagai pengkhianatan wang rakyat dalam 'sistem 'penghantaran' pemerintahan negara ini.

Meskipun ia adalah kesalahan golongan birokrat, ramai yang berdaleh begitu, tetapi kesemua kementerian adalah dipimpin oleh pimpinan orang politik. Tidakkah bagai dek kata pepatah Cina, "Ikan busuk dari kepalanya?".

Adnan tidak segan-segan menyatakan negeri Pahang tidak akan bankrap kerana Pahang boleh pinjam dari kerajaan Pusat. Dengan sikap dan mentaliti itulah MB Pahang ini terus-terusan telah meningkatkan hutang dari tahun 2005- RM1.59 bilion, tahun 2006- RM1.72 bilion, tahun 2007- RM1.91 bilion, tahun 2008- RM2.07 bilion dan tahun 2009- RM2.17 bilion.

Meneliti Laporan Ketua Audit Negara akan menyelak pelbagai kebejatan pengurusan pentadbiran beliau sepertimana telah didedahkan oleh Siri 01 dan Siri 02 penulisan ini termasuk syarikat-syarikat yang menyaman kerajaan negeri atas isu Pembalakan, hasil mahsul yang sepatutnya mengkayakan kerajaan negeri tetapi telah benar-benar menjadi "Bala" , iaitu Spag'n Plantation Sdn. Bhd [ RM 209 juta ] dan Upayapada (M) Sdn Bhd [ RM 24 juta ] . Rakyat bakal menganggung serta membayar saman ini, bukan duit Adnan Yaakob!

Begitu juga disamping pembalakan, kebejatan akibat pencerobohan perlombongan, pencerobohan hutan dan sungai (pasir) mengakibatkan kerugian pendapatan dan kemusnahan alam sekitarnya. Bayangkan kalau ia berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat tentunya telah dimuat dimuka depan akhbar perdana BN.

Mungkin rakyat Pahang wajar tahu bahawa Adnan mudah-mudah menepis kritikan bahawa MB Pahang pada tahun 2007 membeli beli plat kereta CCC 9 dengan harga RM48,000. Mungkin ada yangmenyanggah apa sangat kalau dibanding dengan harga sebuah bilik hotel 7 bintang semalam isteri PM yang mencecah lebih RM100,000.

Semua itu telah menjadi mangli kepada segelintir pemimpin tertinggi negara ini, justeru kerana rakyat tidak peduli kerana terus menyokong beliau. Begitu juga apabila Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa sebuah 'Armchair Nyatoh Timber Leg' yang hanya berharga RM990 di pasaran, dibeli dengan harga kontrak RM3,530. Begitu juga perolehan sebuah 'spiral pendant light' yang berharga maksima di pasaran RM9,200 di beli dengan harga RM38,700.

Kesemua kebejatan yang ditakrifkan sebagai 'tidak memuaskan' oleh Laporan Audit ini telah menjadi 'mangli dan 'biasa-biasa' sahaja bagi seorang MB yang tahu bahawa beliau akan di'bail-out' oleh Kerajaan Pusat akhirnya. Ke begitu?

Malang segala-segala ini akan berulang sehinggalah rakyat akan bangkit untuk menyatakan "Cukupdah Kebejatan Ini", sementara golongan muda yang lebih cerdik akan melaungkan "Enuf is Enuf" seperti mana rakyat di negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat lakukan dalam PRU ke-12 lalu.

Sehingga itu berlaku, Presiden Umno dan Menteri Besar Pahang tahu dan 'yakin' bahawa rakyat dan pengundi Melayu khususnya di Felda akan tetap setia dengan Umno. Justeru itu, mereka mesti digula-gulakan dan didodoikan sampai bila-bila. Mereka mesti kepong dari mendapat maklumat alternatif dari media baru kerana akan berlaku 'tsunami besar' pada PRU ke-13 andainya "pencerahan minda dan kemerdekaan jiwa" berlaku.

Andainya golongan peneroka memahami bahawa tidak boleh selama-lamanya menjadi 'Peneroka', maka akan berlaku 'kebangkitan besar'. Mereka wajar digerakkan dan dikejutkan bahawa kini mereka mesti bergelar "Pemilik dan Tuan". Kerajaan perlu kikis dan ubah mindset ini. Sebab itu mereka sentiasa dimangsakan. Dah 50 tahun masih lagi meneroka! Tuan dan pemilik ini perlu disedarkan bagaimana Felda Plantation menjadi sebuah korporat besar sementara mereka masih terperangkap dengan kepompong regim pendapatan RM1,500.

Maklumat akan menerangkan kepada mereka baahwa ada kawan-kawan seangkatan dengan mereka sudah merdeka dan memenangi kes-kes di Mahkamah. Mereka baru sahaja diberitahu ANAK bahawa kewujudan Felda Plantation sebagai entiti korporat menyanggahi dan berlawanan dengan peruntukan Akta Penempatan Berkelomppok , 1960 (GSA).

Adnan hanya akan berada di ambang bahaya, apabila rakyat dan pengundi di Kerdau dan Pahang celek! Beliau tahu beliau akan menang sekali lagi. Tetapi sampai bila mahu begini?

Selagi itu Adnan masih boleh hidup dalam penafian dan terus berbohong!
----------------------------------
Dr Dzulkefly Ahmad adalah AJK PAS Pusat yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor

Hakikatnya, membeli undi adalah merasuah pengundi, haram.

Posted: 03 Mar 2011 06:33 PM PST

Mengundi dalam pilihanraya adalah suatu proses penting dalam perjalanan negara dan perlaksanaan Syarak itu sendiri. Ia adalah salah satu penentu dalam membina sesebuah negara dan umat. Oleh itu wajib kita meletakkan kedudukan Pilihanraya itu dikedudukannya yang sahih, mengatasi segala bentuk tawar menawar atau jual beli yang salah.

Membuat pemilihan dalam sesuatu pilihanraya adalah satu bentuk persaksian. Oleh itu tidak boleh seseorang muslim itu mengambil upah dalam mengemukakan persaksiannya.

Firman Allah swt bermaksud, "Dan tegakkanlah persaksian itu kerana Allah"

(surah At-Talaq:2).

Membayar atau membeli undi juga adalah satu bentuk rasuah, sedang rasuah adalah pendapatan yang kotor (As-Suht) dan diharam oleh Islam sehingga Hari Kiamat. Jual beli undi dalam pilihanraya merosakkan akhlak, memusnahkan pandangan pengundi dan mempermainkan manusia. Apabila Rasulullah saw mengutuskan Abdullah bin Rawahah ra kepada satu kaum Yahudi untuk menailai kadar Kharaj (cukai) yang wajib mereka keluarkan kepada negara, mereka cuba mengemukakan ganjaran kepadanya lalu Abdullah bin Rawahah ra berkata,

"Adapun apa yang kamu hendak kemukakan dari bentuk rasuah ini, sesungguhnya ia adalah pendapatan yang kotor dan kami tidak memakannya (kotoran seperti itu)".

(hadis riwayat At-Tarmizi).

Allah swt berfirman bermaksud, "Dan janganlah kamu memakan harta benda kamu sesama kamu dengan cara yang batil, yang kamu kemukakannya kepada pemerintah agar sebahagian orang memakan dari harta manusia dengan cara dosa sedang kamu mengetahui" (Al-Baqarah:188).

Ulamak telah ijmak (sepakat) mengharamkan perbuatan-perbuatan seperti itu dan melaknat siapa yang melakukannya. Islam juga mengharamkan orang-orang Islam lelaki dan perempuan dari mengikut jalan seperti itu seperti menerima rasuah berkenaan jika ditawarkan kepadanya. Rasulullah saw bersabda,

"Laknat Allah ke atas Rasyi (pemberi rasuah) dan Murtasyi (orang yang menerima rasuah)" (hadis riwayat Ahmad dan At-Tarmizi). Dalam satu hadis riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim dari Thauban bermaksud, " Rasulullah melaknat Rasyi (pemberi rasuah), Murtasyi (penerima rasuah) dan Ra'isy (broker/orang tengah urusan rasuah)".

Hendaklah kita faham bahawa tersebarnya penyakit ini di dalam masyarakat di dunia adalah sebenarnya merosakkan masyarakat tersebut bahkan boleh memusnahkannya. Ini adalah kerana rasuah boleh mengkedepankan sesuatu yang sepatutnya dikemudiankan dan mengkemudiankan sesuatu yang sepatutnya dikedepankan, lalu berubahlah masyarakat tersebut menjadi masyarakat yang naf'iyyah (opportunistic), masyarakat yang hidup atas kepentingan diri tanpa prinsip, tanpa memiliki akhlak, hati budi, tidak menunaikan kewajipan yang sepatutnya, bahkan hidup memakan harta benda haram dan pendapatan yang kotor dan memakan harta orang secara batil. Semua yang demikian adalah haram.

Apabila kejadian rasuah yang diharamkan Allah swt hingga ke Hari Kiamat seperti ini semakin menjadi-jadi, khususnya ketika musim-musim Pilihanraya, jadilah operasi membeli undi sebagai perkara utama dan menjadi perkiraan, menggantikan prinsip yang sepatutnya diamalkan iaitu memberi khidmat kepada rakyat dan tanahair, berusaha untuk memberikan kehidupan sejahtera kepada mereka, menyediakan peluang pekerjaan yang mulia untuk mereka dan sebagainya.

Oleh itu rasuah boleh meminggirkan orang yang mempunyai kebolehan, lebih mahir dan bermenfaat untuk masyarakatnya dan orang yang boleh mempertahankan hak-hak umat. Ini adalah kerana undi pengundi telah dimiliki oleh calon-calon yang memiliki wang ringgit semata-mata dan tiada lagi pertimbangan dan perkiraan yang lain.

Sesetengah tokoh parti politik memfatwakan "Jika orang beri duit, kita ambil. Jika orang beri kain pelikat, kita ambil. Tapi kita tetap tidak akan undi mereka". Melihat kepada kemenangan jangka pendek, mungkin fatwa ini nampak kebenarannya. Juga apabila dikuatkan dengan alasan wang tersebut adalah wang rakyat, diberikan kepada rakyat juga dan atas alasan-alasan yang lain.

Saya berpandangan yang berbeza. Menabur wang untuk membeli undi adalah rasuah. Allah swt melaknat pemberi dan penerima rasuah. Rasuah merosakkan jiwa umat dan boleh membunuh umat itu sendiri. Apabila Dakwah Islam itu adalah Dakwah Tarbiyah, iaitu mendidik umat dan merubah jiwa mereka, kita tidak boleh bersetuju dengan apa sahaja bentuk yang boleh merosakkan jiwa umat. Pertarungan sebenar kita adalah pertarungan merubah jiwa umat.

"Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib sesebuah umat sehingga mereka merubah apa di dalam jiwa mereka" (Al-Quran).

Menang pilihanraya tetapi rosak jiwa adalah satu kekalahan, apatah lagi jika kalah dalam kedua-dua pilihanraya dan akhlak. Sebaliknya jiwa sesebuah umat itu menang jiwa, sudah pasti mereka akan menang bukan sahaja dalam pilihanraya tetapi juga mereka akan menang mendokong dan mempertahankan keputusan pilihanraya tersebut, seperti yang berlaku di Gaza, Palestin.

Di sana, mereka bukan sekadar pengundi, tetapi mereka semua adalah pejuang, pembangun tamaddun baru, tidak kira lelaki atau perempuan, dewasa maupun kanak-kanak. Adakah cita-cita kita mahu supaya umat Malaysia menjadi pemimpin dan pembimbing umat-umat di dunia, atau sekadar cukup mereka menjadi pengundi parti kita?

Undi seseorang pengundi adalah amanah, persaksian dan tazkiah (recommendation). Kesemua itu disebut di dalam Al-Quran.

Firman Allah swt bermaksud, "Wahai orang-orang beriman jangan kamu mengkhianati Allah, Rasul dan amanah-amanah yang diberi kepada kamu sedang kamu mengetahui …" (surah Al-Anfaal).

"Dan jangan kamu menyembunyikan persaksian. Siapa yang menyembunyikannya sungguh berdosa hatinya" (Al-Quran).

"Wahai ayahku (Nabi Syu'ib) ambillah dia bekerja. Sungguh pekerja yang terbaik ialah yang kuat (tekun dan cekap) dan amanah" (Al-Quran).

Perlembagaan Mesir di segi ruh dan objektif umumnya –

(i) Syura,

(ii) Hak umat memilih pimpinan, dan

(iii) Kebebasan – adalah tidak bertentangan dengan kaedah dan ajaran Al-Quran Al-Karim, khususnya telah dinaskan bahawa agama resmi negara adalah Islam.

Jika pun Perlembagaan itu perlu dipinda, maka ia sendiri telah menyebut bahawa pindaan dan usaha mematangkannya menjadi hak wakil rakyat, melalui cara yang berlandaskan undang-undang, maka perwakilan rakyat di Parlimen ketika itu adalah cara yang ideal ke arah mencapai slogan Ikhwan Muslimin".

[Imam Hasan Al-Banna]

Terlibat dalam pilihanraya pula adalah wajib di segi Syarak dan di segi kenegaraan. Tujuan mengundi ialah untuk memilih yang terbaik yang akan bekerja untuk kebaikan dan kebahgiaan umat, menyatukan dan membangunkan mereka di kedua-dua aspek moral dan material, menyelesaikan permasalahan dan menjauhkan umat dari kepincangan dan bahaya.

Adalah wajib memberi undi kita kepada mereka yang mengajak ke arah mengembalikan keagungan dan kepimpinan umat ini, mengembalikan struktur dan kedudukan umat Islam di tengah-tengah umat di dunia. Jika tidak ada calon seperti itu, maka dipilih calon yang terbaik yang ada, yang mahu menyebarkan kebaikan, membenteras mudharat dan kerosakan masyarakat, menjaga amanah dan menjalankan tanggungjawab.

Adapun memberi undi di atas asas kabilah dan asabiah calon tanpa mengenali hal keadaannya, maka ini adalah amalan yang tidak sihat. Seorang Muslim adalah orang yang memiliki kesedaran yang sihat, memahami agamanya, tidak taasub melainkan untuk Kebenaran, tidak berdiri melainkan bersama-sama dalam barisan orang-orang yang menggunakan akal yang terbimbing (Al-Uqamak Ar-Rasyidin).

Jauhilah orang yang merosakkan umatnya dan memusnahkan kepentingan tanahair. Dengan ini, seorang muslim itu diberi ganjaran kerana akhlaknya yang mulia.

Firman Allah swt bermaksud, "Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah. Bercakaplah dengan perkataan yang benar. (Nanti) Allah akan membaiki amalan-amalan kamu, mengampunkan dosa-dosakamu. Sesiapa yang mentaati Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah berjaya dengan kejayaan yang besar" (Al-Ahzab:71).

Ustaz Halim http://www.inijalanku.wordpress.com/

Rujukan : Tulisan Ustaz Abdullah Al-Khatib dari kalangan ulamak Ikhwan Muslimin

Bintang Manchester United diusir kerana parti liar

Posted: 03 Mar 2011 06:00 PM PST

http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0304/Kosmo/Dunia/du_03.1.jpg

HOTEL May fair yang menjadi tempat Chris Smalling berparti liar di London kelmarin.

LONDON, Britain - Bintang kelab bola sepak Manchester United (MU), Chris Smalling dilarang menginap di sebuah hotel mewah di sini selepas dia didapati mengganggu ketenteraman penghuni lain dengan menjadikan bilik penginapannya sebagai tempat parti liar, lapor akhbar The Sun semalam.

Smalling, 21, yang ditemani beberapa wanita, dilaporkan berseronok sepanjang malam di Hotel May Fair di sini selepas MU tewas kepada Chelsea 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pada Selasa lepas.

Dia menyewa suite berharga £2,000 (RM9,800) dan mempelawa 11 peminat wanitanya untuk berparti bersamanya hingga pukul 4 pagi kelmarin.

Mereka memesan pelbagai jenis makanan dan minuman keras serta membuat bising di bilik tersebut sehingga memaksa pihak pengurusan meminta parti liar itu dihentikan kerana mengganggu penghuni lain.

"Bilik itu turut mengalami kerosakan tetapi itu bukan punca dia diusir. Dia tidak dibenarkan menginap di hotel itu lagi kerana didapati membawa tetamu yang tidak sepatutnya," kata seorang saksi.

Sebelum ini, pengurus MU, Alex Ferguson memuji Smalling kerana mempamerkan sifat matang walaupun usianya masih terlalu muda.

- Agensi

Jet Gaddafi bom bandar Libya

Posted: 03 Mar 2011 05:30 PM PST

BREGA - Jet-jet pemerintah Libya mengebom bandar ini semalam yang dikuasai oleh para penunjuk perasaan antipemimpin Muammar Libya.

Serangan itu dibuat selepas Gaddafi memberi amaran bahawa beliau akan memerangi gerakan para penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya.

Tunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya itu dibuat sejak 15 Februari lalu.

Kebangkitan rakyat Libya itu dibuat selepas kejayaan para penunjuk perasaan di Kaherah yang mengakibatkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden pada 11 Februari lalu.

Jet-jet itu menggugurkan dua butir bom di bandar ini dekat dengan sebuah loji penapisan minyak.

Para penentang Gaddafi di bandar ini menggunakan mesingan untuk mengusir askar-askar upahan pemimpin tersebut.

Di bandar Benghazi, seorang jurucakap di pusat para penunjuk perasaan menyatakan bahawa kira-kira 100 orang sudah ditahan.

Menurutnya, Gaddafi didapati cuba untuk mengukuhkan kedudukannya semalam.

Para saksi menyatakan mereka melihat sejumlah tentera dan askar upahan pemimpin itu bergerak ke arah Raslanuf.

"Kami sedang melihat sama ada mereka (askar-askar Gaddafi) akan melakukan serangan atau mengukuhkan kedudukan sebelum kawasan Sirte," kata jurucakap di pusat para penunjuk perasaan di Benghazi.

Kumpulan-kumpulan penentang menguasai kawasan timur dan barat Libya termasuk di Benghazi dan beberapa kemudahan minyak negara itu.

Gaddafi masih dapat bertahan di ibu kota Libya, Tripoli.

Pihak pendakwa raya di Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyatakan di The Hague, Belanda bahawa Gaddafi dan pembantu-pembantunya akan disiasat berhubung dakwaan melakukan jenayah menentang kemanusiaan semasa mengekang kebangkitan rakyatnya.

Menurut pendakwa raya di mahkamah jenayah itu, Luis Moreno-Ocampo kepada pemberita di The Hague, beberapa individu telah dikenal pasti seperti Gaddafi dan orang-orang di sekelilingnya termasuk anak-anak lelakinya.

Gaddafi memberi amaran dalam ucapannya kelmarin bahawa pertempuran dengan rakyat itu akan melibatkan tempoh masa yang panjang jika terdapat campur tangan asing.

"Jika Amerika atau Barat mahu memasuki Libya, kedua-dua pihak itu perlu mengetahui ia akan menjadi neraka dan bermandikan darah, lebih teruk dari Iraq," kata Gaddafi.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton memberi amaran bahawa sebarang campur tangan Barat akan menjadi kontroversi di dunia Arab.

Menurutnya, para penentang Libya mahu mengusir Gaddafi yang sudah memerintah hampir 42 tahun menerusi pendekatan mereka sendiri.

Gaddafi memperoleh kuasa menerusi rampasan kuasa aman semasa pemerintah Libya, Raja Idris berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan pada 1 September 1969.

Sementara itu, pemerintah China menyatakan bahawa integriti Libya perlu dihormati manakala Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu memikirkan langkah yang perlu diambil untuk masa depan Libya.

Libya menyumbang 2.3 peratus minyak mentah dunia. Namun, pergolakan di negara itu menyebabkan harga minyak naik melebihi AS$100 (RM303) satu tong sejak beberapa hari lalu.

Beberapa buah kapal tentera AS sudah dihantar untuk mendekati perairan Libya yang mencetuskan kebimbangan sama ada negara itu akan diserang. - Agensi

Program misteri 1 Malaysia, Ali Rustam kata ‘saya tak tahu’

Posted: 03 Mar 2011 04:48 PM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Pemandangan luar lokasi program NGO 1 Malaysia dengan hadirin diwajibkan memakai kemeja-T 1 Malaysia.

JASIN, 4 Mac — Kewujudan pertubuhan misteri yang menggunakan nama 1 Malaysia ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau menimbulkan pelbagai persoalan besar mengenai motif sebenar badan itu.

Malah pertubuhan itu, yang turut menganjurkan pelbagai jenis program termasuk majlis makan malam dikatakan mempunyai kaitan dengan Barisan Nasional (BN).

Selain itu, kewujudan pertubuhan misteri itu dilihat membantu kempen BN dengan menawarkan pelbagai hadiah dalam setiap program yang dianjurkan.

Difahamkan pertubuhan itu beroperasi atas nama 1Malaysia dan hanya muncul dalam kempen pilihan raya kecil untuk mengagihkan barangan keperluan termasuk mengedarkan kemeja-T tertera logo 1 Malaysia kepada pengunjung khususnya pengundi kawasan Merlimau yang hadir.

Pertubuhan ini dikatakan mengadakan makan tengah hari dan makan malam secara percuma kepada pengundi. Difahamkan program itu dihadiri pengundi bukan Melayu yang jumlahnya begitu ramai.

Terbaru, pertubuhan itu telah mengadakan program makan malam bersama masyarakat India di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Merlimau di sini malam tadi.

Setiap pengundi diberikan tiket untuk menghadiri program tersebut. Mereka yang tiada tiket tidak dibenarkan masuk termasuk wartawan.

Selain itu, program anjuran pertubuhan misteri itu dikawal ketat petugas yang memakai kemeja-T 1 Malaysia.

Ketika ditanya mengapa wartawan tidak dibenarkan masuk, petugas terbabit berkata hanya mereka yang mempunyai tiket dibenarkan untuk menyertai program yang dianjurkan.

"Maaf, hanya mereka yang ada tiket sahaja yang boleh masuk. Ini adalah arahan pihak atasan, saya tidak boleh benarkan," kata petugas yang mengawal di pintu utama sekolah itu.

Selain makan malam, masyarakat India yang hadir turut dipersembahkan dengan dendangan lagu dan cabutan bertuah.

Wartawan yang menunggu di hadapan pintu masuk sekolah itu hanya dibenarkan masuk ketika Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam hadir memberikan ucapan.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai pertubuhan itu, Mohd Ali berkata beliau tidak tahu tentang kewujudannya.

"Saya tak tahu, saya datang sini sebab ada ramai orang, jadi saya singgah.

"Tapi kalau ia sokong 1 Malaysia saya juga sokong," katanya.

Pertubuhan 1 Malaysia ini pertama kali muncul pada kempen pilihan raya kecil di Galas November lalu dengan sejumlah sukarelawannya mengagihkan beg barangan itu kepada pengundi, khususnya di kawasan yang ramai pengundi berbangsa Cina.

Keadaan yang sama juga disaksikan pada pilihan raya kecil Tenang.

Tiada ulasan: