Khamis, 31 Mac 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Huh Rahim Beri Amaran Kepada Blogger?

Posted: 31 Mar 2011 12:40 AM PDT

Rahim beri amaran Anwar usah serang peribadi

Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik memberi amaran kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penulis blog supaya tidak melampaui batas dengan mengaitkan hal peribadinya dalam perbincangan mengenai isu pendedahan rakaman video seks didakwa membabitkan pemimpin pembangkang itu.

Bekas Ketua Menteri Melaka yang juga seorang daripada trio 'Datuk T' itu berkata, ia kerana dakwaan membabitkan isu moral berkaitan dirinya yang dibuat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan termasuk penulis laman blog adalah tidak benar dan dipercayai bermotifkan serangan peribadi.

Katanya, beliau akan melihat dan memantau perkembangan laman blog berkenaan sekiranya ia mempunyai unsur serangan peribadi terhadap dirinya.

"Lagipun, saya tidak pernah didakwa oleh mahkamah dan tidak pernah juga melakukan kesalahan baik dari segi moral mahupun bukan moral.

"Sehubungan itu, saya beri amaran kepada beliau (Anwar) supaya jangan sesekali menyerang peribadi saya kerana perbuatan itu tidak sesuai dengan budaya Islam. Jadi, berhati-hati dan jangan melampaui batas dan jika ia berlaku juga, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perjumpaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal bersama warga Kolej Risda di Ayer Pa'abas dekat sini, semalam.

Pada 24 Mac lalu, Abdul Rahim, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim mengakui mereka adalah trio Datuk T yang bertanggungjawab menyimpan dan menayangkan video berkenaan kepada sebahagian wakil media di Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu.
Ketika ditanya sama ada beliau ada menerima ugutan daripada pihak tertentu berhubung isu rakaman video seks itu, Abdul Rahim yang juga Pengerusi Risda berkata, tiada ugutan diterimanya setakat ini.

Ulasan GB

Bekas Ketua Menteri Melaka ini masih tidak sedar diri.

Dia masih menganggap dirinya "bersih" sekalipun satu dunia sudah tahu kes beliau merogol remaja bawah umur.

Benar, beliau tidak pernah didakwa oleh mahkamah, kerana peguam negara dan mahkamah yang ada menjaga kepentingan UMNO. Sehingga yang kena penjara ialah Lim Guan Eng pada tahun Ogos 1998 semata-mata kerana membela nasib gadis itu.

Tetapi mahkamah "kebenaran" akhirnya mencampak turun Rahim Tambi Chik dari jawatan Ketua Menteri Melaka dan menaikkan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Mutiara!


Mufti-mufti Tolak Video Seks Sebagai Bahan Bukti

Posted: 30 Mar 2011 11:52 PM PDT

Harussani: Saya tak membisu, pernah kecam video seks aib Anwar

KUALA LUMPUR, 31 Mac — Tan Sri Harussani Zakaria menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau hanya berdiam diri dan tidak bersuara berhubung pendedahan rakaman video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Mufti Perak itu menegaskan, sejak rakaman video seks itu didedahkan awal minggu lalu beliau telah mengeluarkan kenyataan dengan menegaskan pendedahan itu telah mengaibkan Anwar yang juga Ketua Umum PKR kerana ia belum dibuktikan kebenarannya.

"Siapa kata saya tidak bersuara? Siapa kata saya tidak ada cakap apa? Sejak hari pertama lagi saya sudah bercakap mengenai perkara ini dan bagi saya rakaman video seks itu telah mengaibkan Anwar kerana tidak saksi yang boleh buktikan.

"Saya ada bercakap dengan Utusan Malaysia tapi apa yang keluar sikit sahaja, mereka tidak keluarkan secara keseluruhan apa yang saya katakan... yang tertulis ia (video seks) hanya fitnah, itu sahaja... yang lain-lain tidak keluar," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kata Harussani, rakaman video seks itu boleh dianggap sebagai fitnah dan dosa besar kerana hukuman telah dijatuhkan terlebih dahulu terhadap Anwar tanpa bukti yang sahih.

"Kita buka rahsia orang ini adalah haram, benda yang tidak betul tapi didedahkan adalah satu fitnah, dosa besar dan tidak bermoral.

"Rakaman video seks itu betulkah Anwar? Laporan juga belum dapat dipastikan lagi... ini adalah fitnah dan dosa besar," katanya.

Awal minggu ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemimpin agama sebagai "syaitan bisu" kerana mengambil sikap berdiam diri dan tidak bersuara dalam isu fitnah moral terbaru yang ditujukan ke atas Anwar itu.

Menurut Hadi, sikap pemimpin agama yang enggan memberikan sebarang respons terhadap pendedahan rakaman video seks oleh "Datuk T" awal minggu lalu amat dikesali.

Tiga Datuk T iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim — mengakui bertanggungjawab membuat pendedahan tersebut.

Ketiga-tiga individu tersebut terlebih dahulu menayangkan rakaman video seks itu kepad media di Carcosa Seri Negara dan Shazryl secara peribadi yakin lelaki pelacur dari China itu adalah Anwar.

Menurut Harussani, rakaman video seks itu tidak boleh dijadikan sebagai bukti.

Ini kerana, jelas beliau, menurut perundangan Islam mana-mana jenayah yang membabitkan seks perlu mempunyai empat adil yang menyaksikan peristiwa itu berlaku termasuk perbuatan zina.


"Yang dilihat dalam rakaman video seks itu tidak boleh pakai, ia tidak boleh dijadikan bukti kerana ia boleh diubah atau dimanipulasikan.

"Kalau nak jatuhkan hukuman kita kena ada empat saksi yang benar-benar lihat dengan mata sendiri peristiwa itu berlaku bukan melalui gambar atau video.

"Kalau bawa ke mahkamah, video seks itu tetap tidak boleh dijadikan bukti kerana ia hanya rakaman dan menurut hukum syarak tetap kena ada empat saksi dan kalau tidak kita tidak boleh nak jatuhkan hukuman," katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya tetap berpendirian Anwar tidak boleh dituduh terlibat pelakuan seks tersebut kerana tiada saksi yang menyaksikan ia berlaku.

"Dalam soal jenayah seksual Islam menetapkan saksi empat mata dan rakaman tidak boleh dijadikan bukti, di sudut Islam kena ada empat saksi yang lihat peristiwa itu berlaku.


"Tetap kena ada empat saksi hidup yang tengok ia berlaku, kalau tiada atau tidak cukup sebagai contoh hanya tiga mereka kena hukum qazaf (tuduhan zina) kerana menuduh orang lain," katanya.

Menurut beliau, rakaman video seks yang didakwa milik "Datuk T" tidak boleh dijadikan bahan bukti.

"Rakaman sama sekali tidak boleh dalam jenayah seksual dalam Islam, tetap perlu ada empat saksi dan orang yang jadi saksi juga perlu individu yang berkredibiliti dan tidak akan menukar pandangan mereka.

"Kita tidak boleh ikut rakaman sebab itu dalam Islam hukuman jenayah seksual ini berat dan syarat untuk jatuhkan hukuman juga berat," katanya.

Tambah Juanda, individu yang membuat pendedahan rakaman video seks itu sepatutnya disiasat terlebih dahulu.

"Yang pertama sebarkan benda lucah orang itu yang harus disiasat dulu, tiada undang-undang atau agama yang membenarkan ia dipertontonkan kepada khalayak.

"Sepatutnya bila dapat rakaman itu mereka kena serahkan kepada polis bukan dedahkan kepada umum," katanya.


Beliau juga menggesa agar semua pihak termasuk parti politik agar menghentikan tuduhan yang bersifat peribadi.

"Tuduhan seperti ini baik di pihak parti politik mana pun kena elakkan tuduh dalam jenayah seksual, tuduhan seperti ini patut dihentikan," katanya.

Polis telah menahan Abdul Rahim dan Shazryl berhubung pendedahan video seks itu pada Khamis lalu — bahan bukti termasuk rakaman video turut diserahkan.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, Umno tidak terlibat dalam rakaman video seks itu.

Anwar juga telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan telah membuat laporan polis. -TMI

Ulasan GB

Setakat ini dan selama ini, hanya dua orang mufti ini sahajakah yang ada di dalam negara kita?

Mufti-mufti negeri lain? Takut untuk menyatakan kebenaran kerana takut dibuang dari jawatan daripada takut kepada Tuhan?

Adun DAP Gesa Sedia Peruntukan Besar Untuk SAR

Posted: 30 Mar 2011 10:15 PM PDT

Adun Sekinchan, Ng Swee Lim menggesa Kerajaan Negeri Selangor memberikan peruntukan besar kepada semua Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Wakil rakyat DAP itu membuat gesaan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali.

Menurut Swee Lim, memandangkan keadaan SAR ini agak ketinggalan, dengan kewangan yang disalurkan dalam jumlah besar itu membolehkan mereka menambahbaikkan bangunan dan persekitaran sekolah agar lebih selesa.

Hari ini masuk hari kedua persidangan Dun Selangor untuk penggal pertama sidang kedua belas yang dirasmikan Sultan Selangor pada 28 Mac lalu dan sesi sidang pula bermula semalam sehingga 5 April depan.

Dr Halimah di dalam jawapannya, menyatakan ucapan terima kasih di atas perhatian tinggi Adun Sekinchan itu meskipun bukan beragama Islam tetapi tetap prihatin dengan perihal SAR berbanding dengan pembangkang yang bersikap sebaliknya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal, Dr Halimah berkata, sebanyak 769 Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapat bantuan pendidikan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Semua bantuan itu, jelasnya, berjumlah RM32 juta bagi tahun 2009 dan 2010 dalam usaha mencapai matlamat kerajaan memperkasakan pendidikan di negeri ini sebagai Hub Pendidikan dan Hub Ilmuan.

"Sebanyak 820 permohonan dibuat 2009 dan 2010 dengan 769 permohonan diluluskan sebanyak 320 sekolah bagi 2009 manakala 449 sekolah untuk 2010 dengan pecahan mengikut sekolah adalah 160 buah bagi SAR, 77 (SJKC), 97 (SJKT) bagi 2009 manakala bagi 2010 adalah sebanyak 252 (SAR), 100 (SJKC) dan 97 (SJKT).

"Jumlah permohonan 2010 meningkat berbanding 2009 iaitu sebanyak 134 permohonan dan jumlah permohonan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 129 permohonan.

"Bagi SJKC dan SJKT permohonan yang dibuat dapat diproses dengan baik tanpa ragu-ragu kerana sekolah yang membuat permohonan adalah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran, namun berbeza dengan SAR yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak sama ada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Kementerian Pelajaran," tegasnya.

Tambahnya, program bantuan agihan pendidikan sekolah-sekolah ini adalah merupakan di antara langkah-langkah diambil kerajaan negeri bagi memantapkan visi pendidikan untuk menjadikan Selangor sebagai Hub Ilmuwan dan Hub Pendidikan.

"Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri memberikan perhatian kepada beberapa perkara seperti keadaan infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang ada di sekolah, kemahiran peningkatan pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru-guru sekolah, kualiti para pelajar terutama dari aspek akademik dan sahsiah serta kelicinan dan pengurusan sekolah yang sistematik dan efektif.

"Selain bantuan pendidikan itu, katanya, kerajaan negeri turut memberi latihan kursus perguruan kepada guru-guru SAR di mana guru-guru itu tidak pernah diberi kursus dan pihak sekolah juga tidak ada dana yang mencukupi untuk tujuan itu," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan negeri melalui Yayasan Selangor (YS) turut mewujudkan dermasiswa dan meluluskan pembinaaan Tadika Rakyat di negeri Selangor pada 2009.

Dr Halimah berharap Kerajaan Negeri Selangor akan mendapat sumber rezeki kewangan yang lebih di masa akan datang untuk memberikan lebih manfaat besar kepada rakyat negeri terutamanya dalam bidang pendidikan.

Katanya, beliau sendiri secara peribadi ingin melihat SAR yang berjumlah 500 buah itu akan dapat dibantu dalam usaha kerajaan mencapai matlamat yang diidamkan oleh kerajaan negeri, selama ini yang inginkan Selangor menjadi Hub Ilmu Hub Pendidikan. -HD


UMNO MEMOTONG BANTUAN SAR SEJAK 2003 &
MENUTUP SEKOLAH AGAMA RAKYAT


Inilah satu lagi petanda betapa buruknya akhlak pemimpin UMNO sehingga sanggup memotong bantuan sekolah agama Rakyat di seluruh negara. UMNO tak mahu melihat sekolah yang diurus oleh lebih maju daripada sekolah di arus perdana. UMNO dalam konteks perjuangan Islamnya bahawa Islam pada UMNO hanyalah solat, puasa, zakat dan haji. Memperjuangkan menegakkan SAR ini bukan dalam lingkungan perjuangan Islam.


Pelbagai tohmahan Presiden UMNO Dr Mahathir Mohamed (NST 13/1/03) menyatakan
"Those educated in SAR will grow up hating everything including the government. They cannot work and are not qualifieid to do anything else"

Begitu juga dengan PM sekarang (Presiden UMNO ketika ini) yang pernah pada ketika menjadi Menteri Pertahanan membuat kenyataan di akhbar Berita Harian bertarikh 16/1/2003. Kenyataan itu berbunyi " Sekiranya ia dibiar ia boleh menjadi bom jangka yang akan meletup tidak lama lagi.menjejaskan cara hidup yang kita hargai..... Kemungkinan sekolah agama ini dijadikan pusat merekrut pengganas"

Ini adalah antara tohmahan para Presiden UMNO terhadap SAR. Mereka menyatakan bahawa SAR adalah pusat merekrut pengganas. Ini adalah tohmahan yang berat terhadap agama dan bangsa. Tetapi UMNO tanpa mengira selagi apa sahaja yang menggugat ketuanan Melayu maka UMNO akan berbuat apa sahaja untuk menghapusnya. UMNO tidak pernah membetulkan perjuangannya. Bantuan untuk SAR terus dipotong hingga hari ini.

Sedangkan peruntukan jelas dalam akta Parlimen bahawa Menteri Pendidikan mempunyai hak untuk meneruskan bantuan kepada SAR. Tetapi pemimpin UMNO tidak mengendahkannya.


Mayat Pesara Polis Tepi Sampah

Posted: 30 Mar 2011 08:56 PM PDT

Port Dickson: "Saya terkejut apabila nampak tubuh seorang lelaki di tempat pembuangan sampah," kata seorang warga emas yang menemui mayat pesara polis di tempat pembuangan sampah di Kampung Teduk, Pasir Panjang, dekat sini, kelmarin. Gambar Fail

Zainuddin Abd Hamid, 63, berkata, sebaik menghampiri mayat berkenaan, dia mendapati mayat lelaki berkenaan Murad Yusof, 83, yang tinggal sekampung dengannya.

"Saya membuat laporan di Balai Polis Pasir Panjang bagi memaklumkan kejadian itu dan polis tiba di lokasi tidak lama selepas itu.

"Apa yang mengejutkan, saya baru saja menemuinya di pekan pagi tadi (kelmarin) dan tak sangka pada sebelah petang menemui mayatnya pula," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam kira-kira jam 6.45 petang itu, mayat Murad yang dipercayai mati dalam tempoh 12 jam ditemui berada dalam gaung di tempat pembuangan sampah di kawasan itu.

Menurutnya, dia terkejut dengan penemuan mayat berkenaan kerana itulah pengalaman pertama sepanjang hidupnya. "Nasib baik saya tergerak hati untuk membuang sampah di situ kalau tidak mungkin sampai sekarang mayat mangsa tidak ditemui.

"Saya mendapat tahu arwah ada menghidap penyakit angin pasang selain demam panas sejak beberapa hari lalu dan kemungkinan mangsa tergelincir ketika hendak membuang sampah," katanya.

Sementara itu, adik mangsa yang berlainan bapa, Napsiah Saat, 72, berkata, Murad ada datang ke rumahnya tidak jauh dari situ dan memberitahu tidak berselera makan kerana tekaknya sakit.

Menurutnya, ketika kejadian isteri arwah, Fatimah Mahmud, 79, tiada di rumah kerana menemani anak bongsunya yang menjalani pembedahan kanser tulang di Kuala Lumpur.

"Arwah abang yang bersara daripada pasukan polis beberapa tahun lalu mempunyai lima anak dan menetap di kampung ini sejak 50 tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, berdasarkan siasatan polis, lelaki itu dipercayai mati 12 jam lalu sebelum mayatnya ditemui orang awam yang kebetulan membuang sampah di situ.

"Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan menolak kemungkinan kematian lelaki itu membabitkan unsur jenayah.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya," katanya. -hm

Banjir Di Perlis Semakin Buruk, 2,536 Dipindahkan

Posted: 30 Mar 2011 08:06 PM PDT

Kangar: Banjir di Perlis semakin buruk semalam apabila 2,356 mangsa daripada 593 keluarga dari seluruh negeri itu dipindahkan ke 25 pusat pemindahan.

Jumlah itu meningkat dalam tempoh 24 jam dan dikhuatiri bertambah jika hujan di kawasan utara Semenanjung berterusan. Sebahagian besar mangsa dipindahkan adalah dari daerah ini.

Seramai 1,852 mangsa daripada 452 keluarga ditempatkan di 14 pusat pemindahan di sekitar Kangar, manakala 490 mangsa daripada 130 keluarga lagi di Padang Besar dan bakinya di Arau membabitkan 44 mangsa daripada 11 keluarga.

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) turut mengesahkan 26 sekolah di seluruh negeri, 14 sekolah rendah dan 12 sekolah menengah, ditangguhkan operasi termasuk enam daripadanya dilapor dilanda banjir teruk apabila paras air naik sedalam lebih satu meter.

Enam sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit, Sekolah Menengah (SM) Syed Hassan, SK Bukit Keteri, SK Bintong, SK Abi dan SMK Datuk Sheikh Ahmad.

Sementara itu, tinjauan di Empangan Timah Tasoh, semalam mendapati semua enam pintu air masih dibuka untuk mengalirkan air keluar ke sungai utama selepas paras takungan kini dilapor mencecah 29.9 meter, menghampiri paras bahaya 30 meter.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid, berkata pihaknya percaya banjir yang melanda Perlis kali ini hanya banjir kilat dan bukan seperti yang berlaku pada November lalu.

Ada Apa Pada Poco-poco?

Posted: 30 Mar 2011 06:35 PM PDT

Perak patuhi fatwa haramkan poco-poco

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco, yang telah diputuskan Januari lalu.

Tarian poco-poco, yang diadunkan dalam senaman, turut menjadi daya tarikan komuniti pusat pengajian tinggi tempatan.

Zambry berkata, kerajaan negeri akan menghormati keputusan itu memandangkan satu fatwa berkaitan dengannya telah dikeluarkan.

Isu itu menjadi polemik sejak dua tahun lalu ekoran poco-poco yang awalnya dilihat sebagai senaman semata-mata bertukar menjadi tarian.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada Januari lalu telah memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian.

Maklumat diperoleh dari beberapa blog menunjukkan tarian poco-poco yang menjadi tarikan banyak pihak turut dikenali sebagai pocor-pocor atau pocoh-pocoh disebabkan muzik dan sebagai aktiviti ringan.

Bagaimanapun beberapa tulisan lain pula mendakwa tarian yang datangnya dari Indonesia membawa unsur-unsur mengasyikkan dan ada unsur salib ekoran langkah pergerakan ke kanan-kiri-depan-belakang.

Pertengahan tahun lalu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengadakan Pertandingan Senam Seni 1Malaysia termasuk aktiviti senaman yang dipopularkan dari negara luar seperti poco-poco.


Rahsia Asal Usul Tarian Poco-poco.


Alhamdulillah kerana kita semua masih bernafas lagi dgn keizinanNya. Saya ingin berkongsi dgn rakan-rakan semua tantang tarian poco-poco yang sedang hangat ditarikan oleh semua lapisan masyarakat, umumnya masyarakat kita yg beragama islam terutama suri-suri rumah dan badan-badan kerajaan ketika manghadiri kursus.

Sebenarnya tarian poco-poco ini berasal dari Filipina bukannya dari Indonesia. Ia ditarikan oleh masyarakat yg berugama kristian ketika mereka menghadiri upacara sembahyang mingguan mereka. Lihatlah sahaja bagaimana pergerakannya, yang membentuk salib.

Mungkin kita tak perasan kerana kita suka mengikut-ikut sesuatu yg baru tanpa usul periksa. Inilah cara musuh-musuh islam mengenakan kita sedangkan kita tahu apabila kita melakukan sesuatu yg menyerupai sesuatu agama maka kita dikira merestui agama itu seperti amalan yoga yg telah difatwakan haram kerana menyerupai agama Hindu. cuma tarian pocoh2 ini belum difatwakan haram lagi. Marilah kita sama2 fikirkan.

Bukankah Nabi SAW dah pesan melalui sabdaan nya ;

"Man tasyabbaha bi qaumin fahua minhum".

Bermaksud : Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka seseorang itu terdiri dari kalangan mereka) (iaitu kaum berkenaan)."

Hadis ini juga secara tidak langsung menggambarkan kepada kita bahawa umat Islam perlu kekal dengan identiti dan jatidiri mereka sebagai muslim. Mereka dilarang dari menyerupai golongan musyrikin disebabkan akidah seseorang muslim itu terangkum tiga dimensi iaitu perkataan, perbuatan dan pegangan.

Saya dulu pernah terfikir, kenapa tarian itu dimulakan dari kiri? Dan apa jenis senaman ini? Relevankah tarian ini, yang kelihatan seperti tidak siuman?

Saya menyeru kepada diri anda semua supaya mengambil inisiatif untuk tidak lagi 'menarikan' lagi tarian ini yang ternyata mensyirikkan Allah tanpa kita sedar. Dan paling utama memohon keampunan daripada Allah S.W.T atas kejahilan kita tentang perkara ini sebelum ini.

Semoga mendapat perhatian pihak berkenaan agar mengkaji secara terperinci tentang kesahihan perkara ini,asal usul dan kesannya kepada akidah umat Islam dan mengeluarkan fatwa tentang tarian ini, agar Umat Islam tidak berterusan di dalam kelalaian dan 'keasyikkan' menarikan tarian ini. -pakarhowto


Ulasan GB

GB tak pasti samada ia ada unsur keagamaan atau tidak, tapi apabila membuat carian di youtube, maka dapat dilihat tarian poco-poco ini. Rupanya sudah lama ada di negara kita, tak tau pun, dan GB akui memang GB ketinggalan bas dalam bab-bab sebegini.

Melihat tarian ini di youtube, ia lebih teruk rupanya daripada tarian-tarian Melayu asli. Ia lebih bertujuan berseronokan daripada senaman. Tang gedik jer mereka yang melakukan tarian tersebut. Tak percaya tengok sendiri kat bawah. Adakah anda akan benarkan isteri dan anak anda menari sedemikian dengan mempamerkan tubuh badan dengan budah dada dan pinggul bergoyang di khalayak ramai? Entahlah, mungkin GB boleh terima jika menari suami isteri di rumah untuk mengeratkan kasih sayang diantara mereka. Tetapi apabila ia dilakukan di khalayak ramai, rendahlah martabat ilmu dan akal.

Meskipun ada hadith yang mengizinkan "hiburan" namun yang pasti ia tidak boleh melanggar pagar-pagar syariat.

Ia mengingatkan GB mengenai masyarakat zaman jahiliah. Dan adat budaya Melayu yang banyak bertentangan akidah masih banyak diamalkan. Mencium keris, membuang ancak, lancang kuning, menepung tawar dan sebagainya.

Sampai bilakah umat Islam ini akan bebas dari penjajahan kejahilan dan kebebalan?






Nenek 7 Cucu Dihukum Gantung Sampai Mati

Posted: 30 Mar 2011 05:05 PM PDT

Kuala Terengganu: Seorang wanita yang mempunyai tujuh cucu hanya mampu menangis apabila dia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas didapati bersalah mengedar heroin seberat 92.68 gram di pekarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot, Batu Rakit, dekat sini, kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mariah Hamad, 49, dari Rantau Panjang, Kelantan selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang@Mamat berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mariah diwakili peguam bela Tara Singh Delip dilihat memandang ke arah ahli keluarga yang berada di galeri awam ketika hukuman dibacakan.

Mohd Yazid pada penghakimannya berkata, pihaknya mendapati keterangan tertuduh ketika membuat pembelaan diri bahawa dia hanya membawa barangan terbabit yang kemudian dikenal pasti sebagai dadah atas permintaan seorang rakan bernama Ida untuk diberikan kepada seorang individu lain yang menunggu di kawasan masjid itu tanpa mengetahui isi kandungannya adalah tidak benar.

Beliau berkata, tertuduh didapati tidak bercakap benar kerana kelihatan takut dan pucat ketika ditahan polis di lokasi kejadian menunjukkan dia tahu mengenai isi kandungan barangan di dalam plastik dibawanya itu.

Katanya, tertuduh dalam pembelaannya turut memaklumkan dia bersama suami mahu ke Kuala Berang bagi menziarah saudara suami yang tidak dikenali dan berhenti di masjid itu untuk memberikan barang dikirim Ida.

"Malah, adalah tidak munasabah tertuduh sanggup menggunakan jalan pantai dari Rantau Panjang untuk ke Kuala Berang dan singgah di masjid itu semata-mata mahu menyampaikan barang yang dikirim Ida," katanya.

Mengikut pertuduhan, Mariah yang juga peniaga kedai makan didakwa mengedar heroin kira-kira jam 3.45 petang pada 3 Ogos 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. -hm

Video Seks: Siasat Juga Siapa Yang Seiras Tapi Tak Serupa Itu!

Posted: 30 Mar 2011 02:28 PM PDT

Siapa? Itu persoalan paling hangat ketika ini sesudah ketua pembangkang itu mengemukakan catatan Twitter dan Facebook untuk menolak tuduhan beliau orang dalam rakaman video seks berkenaan sekaligus menganggapnya satu lagi fitnah.

Kalau diikut ungkapan Inggeris, soalan cepumas itu bernilai tujuh juta dolar, bermakna ia sukar dijawab. Namun apa yang pasti adalah dunia ini sentiasa penuh dengan mereka yang mempunyai wajah seiras.

Keajaiban solekan inilah yang membolehkan Ben Kingsley mengaut 11 anugerah Oscar kerana lakonannya sebagai Mathma Ghandi - bapa kemerdekaan India.

Dan jangan lupa Ilham Anans, seorang miskin bertukar menjadi bintang terkemuka di Indonesia, semata- mata kerana wajahnya mirip Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Berbalik kepada politik Malaysia… bekas Presiden Majlis Belia Malaysia Datuk Suhaimi Ibrahim, tidak pernah leka dari tatapan ramai kerana wajahnya seiras dengan Anwar.

Malah tidak keterlaluan mengatakan ketika bintang Anwar "bersinar" dalam Umno, Suhaimi turut mendapat tempat di bawah naungan parti itu.

Kenapa hitam putih?

Apabila jatuh Anwar (dalam Umno), maka pudarlah dunia politik Suhaimi.

Semua ini menjurus kepada peringatan bahawa siasatan polis terhadap video lucah yang ditayangkan oleh 'Datuk T' harus memperinci kemungkinan pelakunya adalah seorang yang mirip wajah Anwar.

Tidak kira sama ada polis akan bergantung kepada keterangan Yusry KRU atau mendapatkan maklum balas pakar lain – yang penting ialah mengesahkan siapa pelaku dalam video itu.

Kali ini tidak cukup untuk polis mengesahkan video lucah 'Datuk T' adalah "ori" tanpa pengesahan siapa pelaku seks didalamnya.

Dunia akan dan sentiasa, penuh dengan mereka yang mempunyai wajah seiras, tidak kira sama ada orang itu adalah Musa Hassan atau Ben Kingsley dan Mathma Gandhi.

Naluri polis tentunya terangsang untuk mengetahui kenapa rakaman video itu dalam hitam putih dan bukan warna, seperti lazimnya untuk rakaman CCTV hari ini.

Polis juga rasanya mahu mengetahui kenapa Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazyl Eskay dan Datuk Shuib Lazim menyembunyikan identiti mereka apabila mengatur majlis pra-tonton video ini pada minggu lalu di Hotel Carcosa Seri Negara.

Mereka hanya mengakui mendalangi video itu selepas PKR membongkar identiti mereka, itu pun selepas mereka dilaporkan berjumpa dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Hanya ambil jam?

Jika Eskay dihantar kembali ke hotel itu pada 21 Februari, kononnya hanya untuk mengambil semula jam tangan Anwar yang tertinggal, bagaimana beliau boleh muncul dalam rakaman berkenaan?

Adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan Eskay sendiri mempunyai iras wajah Anwar dari sudut tertentu.

Apa yang pasti ialah rakyat tidak percaya Eskay "terserempak" dengan rakaman video lucah dan tiba-tiba bertindak mahu mendedahkan siapa Anwar demi "agama, bangsa dan negara." Ini kerana beliau sendiri pernah mendakwa kerap membawa Anwar ke tempat- tempat maksiat seumpama ini.

Percanggahan pegangan moral Eksay pasti menimbulkan pelbagai persoalan.

Bekas pengawal peribadi Allahyarham ,Tan Sri Megat Junid Megad Ayob, Mohamad Mahti mengesahkan Eskay berdendam dengan Awar kerana urusan perniagaan yang melibatkan sebuah kes saman.

Dendam Eskay tidak banyak berbeza dari dendam Rahim terhadap Anwar.

Apapun terlalu banyak persoalan yang masih belum ditangani, contohnya mana pergi pelaku wanita dalam video itu dan kenapa mereka yang menonton video itu - ahli parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan bekas MPP PKR BadrulHisham Shahrin tidak disoal polis. Begitu juga dengan Mahti.

Publisiti murahan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering menunjukkan ketangkasan luar biasa dalam menyiasat kes- kes membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat walaupun alasan mereka mencurigakan.

Namun siasatan terhadap Anwar kali ini berjalan pada kadar lambat, membolehkan Umno memerah sebanyak mungkin publisiti murahan menerusi media kawalannya.

Ini tentunya untuk menghakis maruah Anwar dan keluarganya menerusi fitnah.

Jika siasatan terus berjalan pada kadar sambil lewa ini, rakyat tidak boleh dipersalahkan jika beranggapan Umno dan polis bersekongkol sekali lagi dengan Anwar Ibrahim sebagai sasaran utama. -mk

Jepun Nak Musnahkan Reaktor Fukushima, Malaysia Nak Bangunkan Loji Gebeng.

Posted: 30 Mar 2011 08:11 AM PDT

Jepun Jepun akan menghentikan operasi empat reaktor yang rosak di penjana elektrik nuklear Fukushima.

Langkah ini diumumkan oleh operator reaktor itu, Tokyo Electric Power atau Tepco, tiga minggu setelah gagal mengendalikan reaktor 1-4.

Pengarah utama Tepco Tsuneshisa Katumata (gambar) mengatakan reaktor 1-4 memang sepatutnya ditutup.

Warga sekitar reaktor akan diminta pendapat mengenai nasib reaktor 5 dan 6 yang berhasil ditutup dengan selamat.

Tingkat radioaktif yang membahayakan dikesan di sekitar lokasi penjana elektrik ini.
Lebih dari 11,000 orang dipastikan terkorban akibat gempa bumi dan tsunami yang terjadi pada 11 Mac 2011.

Gempa bumi dan tsunami ini merosakkan penjana elektrik tenaga nuklear ini sehingga sistem pendinginnya rosak.

Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano, mengatakan para pakar Jepun kini sedang mempertimbangkan apakah akan menutup bangunan-bangunan reaktor di reaktor Fukushima Daiichi dengan bahan khusus agar penyebaran bahan radioaktif dapat dihentikan.

Hari Rabu (30/03) pemerintah memerintahkan operator loji nuklear untuk memulakan menerapkan langkah-langkah keselamatan yang baru.

Langkah-langkah yang perlu selesai diterapkan akhir bulan April - ini meliputi menyiapkan elektrik cadangan jika bekalan elektrik terputus, kenderaan pemadam kebakaran perlu siap siaga setiap saat dan memastikan sistem pendingin bagi kedua reaktor dan kolam untuk sisa bahan bakar selalu dijaga.

Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Banri Kaieda menyatakan penerapan langkah-langkah keselamatan baru ini tidak harus membuat operasi reaktor nuklear perlu dihentikan.

Elektrik bergilir

Presiden Tepco Masataka Shimizu kini dirawat di rumah sakit kerana tekanan darah tinggi dan stress.

Beberapa jam sebelumnya, pengarah Tepco Tsunehisa Katsumata untuk pertama kali bercakap di hadapan wartawan.

Dia mengakui bahwa perusahaannya belum dapat mendinginkan reaktor itu, dan berjanji akan melakukan usaha secara maksimum untuk menstabilkannya.

Katsumata menyatakan perusahaannya siap membayar ganti rugi pada warga yang menderita kerugian akibat kebocoran radiasi.

Dia juga meminta maaf kerana rakyat terpaksa menderita akibat pemadaman elektrik secara bertahap setelah terjadi kekurangan bekalan elektrik. -BBC

Ulasan GB

Demikian dasyatnya keadaan apabila logi nuklear gagal dan memaksa Jepun mengambil langkah drastik memikirkan untuk memusnahkan logi reaktor nuklear Fukushima.

Alih-alih di Malaysia, beberapa menteir nak tunjuk lagak mempertahankan logi nuklear dengan menggadaikan nyawa rakyat semata-mata untuk mendapat habuan di dalam projek.

Katakan TIDAK kepada Projek Lynas Di Gebeng!


[Video] Thailand Huru Hara Dilanda Banjir, 11 terkorban

Posted: 30 Mar 2011 06:30 AM PDT

Banjir di Thailand Selatan telah mengorbankan 11 orang mangsa dengan ribuan yang lain telantar. Mereka ynag terkorban samada dibawa air pasang atau terkubur dalam longsor ketika banjir menggenangi rumah-rumah dan kawasan perniagaan.

Penduduk terbiar tanpa elektrik di beberapa daerah, manakala jalanraya, keretapi, dan perjalanan udara ke wilayah selatan masih terputus.

Ribuan orang terdampar di pulau pelancongan Koh Samui dan Koh Tao di Teluk Thailand sementara perkhimatan feri dibatalkan akibat cuaca buruk.

Wakil Perdana Menteri Suthep Thaugsuban menyatakan, kerajaan telah mengirimkan kapal induk untuk menyelamatkan sekitar 1,000 orang yang tersangkut di pulau Koh Tao.

"Ada sekitar satu juta orang terkena kesan banjir di banyak wilayah. Pada awalnya kami sangkakan banjir akan berlangsung satu atau dua hari, tapi sekarang sudah seminggu," katanya.

Penerbangan nasional Bangkok Airways mengatakan, terdapat 2,000 orang, sebahagian besar pelancong, terdampar di pulau Samui baik di bandar atau di hotel setelah syarikat penerbangan membatalkan penerbangan selama dua hari berturut-turut.

Sekitar 800 penumpang juga menunggu di Bangkok untuk melakukan perjalanan ke pulau.

Cuaca buruk dan pemadaman elektrik di Bandar Samui menyebabkan penerbangan tergendala lebih dari 50 penerbangan pada Isnin dan Selasa.

Banjir, yang dimulai di Thailand selatan seminggu lalu, mengorbankan tujuh orang di Wilayah Nakhon Si Thammarat, tiga orang di sepanjang pantai di Surat Thani, dan seorang di wilayah tetangga Phatthalung.

Secara keseluruhan, 80 daerah di lapan wilayah telah dinyatakan sebagai daerah bencana oleh pencegahan bencana Thailand.

Banjir dasyat di Thailand akhir tahun lalu mengorbankan lebih dari 220 orang, merosak rumah-rumah atau mata pencarian sekitar 8.6 juta orang di 51 dari 76 wilayah kerajaan.



TI-Malaysia Sanggah Nazri: Bantuan Segera Pilihanraya Adalah Rasuah

Posted: 30 Mar 2011 05:25 AM PDT

Kumpulan pemantau gejala rasuah Transparency International menolak dakwaan bantuan segera kepada rakyat ketika kempen pilihan raya tidak boleh ditakrif sebagai rasuah.

"Ini khususnya semasa kempen. Malangnya tidak ada undang-undang yang memadai bagi menangani perkara ini, terutamanya apabila ia membabitkan wang tunai dan mesin jahit," kata presiden TI-Malaysia Paul Low.

"Banyak janji-janji ditaburkan seperti membina jambatan. Janji-janji ini tidak jelas.

"Awak hanya buat kesalahan bila berkata, 'nah ini RM1,000, undi saya'," kata Low pada sidang media di pejabatnya pagi ini.

Kenyataan TI itu jelas bercanggah dengan pendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Nazri dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat, semalam berkata 'bantuan' yang diberikan kepada rakyat semasa kempen pilihan raya tidak boleh dianggap sebagai rasuah.

Beliau berkata ini kerana pelbagai bantuan yang disampaikan itu adalah sebagai memenuhi manifesto atau janji yang dibuat kerajaan jika menang pilihan raya.

"Kita dah berjanji kalau menang kita akan tunaikan (manifesto)... sebagai contoh bantuan mesin jahit, kalau kita tak bagi masa nak pilihan raya boleh segera bagi selepas pilihan raya, sama sahaja, adakah ini satu kesalahan?

"Kita juga tak boleh nak hentikan pemberian ini sebab kita akan bagi juga selepas itu (pilihan raya)," katanya ketika menjawab pertanyaan Ab Azizi Ab Kadir (PKR-Ketereh).

Bagaimanapun menurut Low, janji yang dibuat semasa pilihan raya bukan satu bentuk rasuah.

"Janji bukan rasuah dan kita tidak ambil peduli kecuali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil dengan peraturan tidak membenarkannya.

"Ia mungkin tidak beretika tetapi bukan rasuah," katanya.

Low berkata kedua-dua pihak - pembangkang dan juga parti pemerintah - melakukan kesalahan dengan menaburkan janji pilihan raya.

"Jika seseorang menjanjikan sebuah jambatan, tanya (ahli politik itu) 'bukankah hak kawasan kita mendapat pembangunan.' Kenapa tidak laksanakan sebelum pilihan raya?" katanya. -mk


Nazri: Pemberian bantuan ketika pilihan raya bukan rasuah

KUALA LUMPUR, 29 Mac — Pemberian bantuan segera kepada rakyat ketika kempen pilihan raya tidak boleh ditakrif sebagai rasuah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau berkata ini kerana pelbagai bantuan yang disampaikan kepada rakyat menjelang pilihan raya adalah sebagai memenuhi manifesto atau janji yang dibuat kerajaan jika menang pilihan raya.

"Kita dah berjanji kalau menang kita akan tunaikan (manifesto)... sebagai contoh bantuan mesin jahit, kalau kita tak bagi masa nak pilihan raya boleh segera bagi selepas pilihan raya, sama sahaja, adakah ini satu kesalahan?

"Kita juga tak boleh nak hentikan pemberian ini sebab kita akan bagi juga selepas itu (pilihan raya)," katanya ketika menjawab pertanyaan Ab Azizi Ab Kadir (PKR-Ketereh) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ab Aziz dalam soalannya ingin tahu sama ada pemberian bantuan segera ketika pilihan raya atau pilihan raya kecil merupakan satu bentuk rasuah dan adakah kerajaan bercadang menghentikan bantuan seumpamanya ketika kempen pilihan raya.

Menjawab soalan Ab Aziz mengenai jumlah aduan rasuah yang diterima Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) ketika pilihan raya kecil bagi tempoh 2008 hingga 2010, Nazri berkata sebanyak enam kes diterima dan disiasat dalam tempoh itu. — Bernama


Eskay Ugut Untuk Dedahkan Lebih Banyak

Posted: 30 Mar 2011 03:41 AM PDT

Eskay mahu Anwar jawab lima soalan, dakwa video seks 'anugerah Allah'

"Datuk T", Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengemukakan lima persoalan untuk dijawab Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menyifatkan video seks didakwanya melibatkan ketua pembangkang itu sebagai "anugerah Allah."

Dalam tulisan terbaru blog Kickdefella hasil satu pertemuan semalam, ahli perniagaan itu berkata beliau yakin semua yang berlaku sekarang adalah petunjuk Allah s.w.t.

Shazryl Eskay merupakan salah seorang daripada tiga "Datuk T" mengakui terlibat dalam pendedahan rakaman video seks pada 21 Mac lalu.

Pertemuan semalam turut dihadiri seorang lagi "Datuk T" iaitu Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim dan ia disertai lima orang blogger dan seorang pengarang media alternatif.

Kata blog itu, Shazryl Eskay mengerjakan Haji pada tahun 2010 merasakan ini adalah "jawapan dari Allah s.w.t."

"Saya mahu semua orang tahu. Saya tidak minat politik dan saya rakan karib Anwar. (Dari satu sudut) Saya lihat kehadiran Anwar dalam politik Malaysia, bagus untuk 'check and balance'.

"Saya bukan ahli Umno dan mana-mana parti pun. Tetapi, saya suka bila pembangkang kuat supaya kepentingan rakyat terjaga," katanya.

Bagaimanapun blog itu memetik Shazryl Eskay berkata, "tetapi Anwar bukan manusia yang rakyat kenal. Cukuplah rakyat ditipu. Anwar kena berhenti dan letak jawatan."

Malah Eskay juga berkata, beliau tidak mahu penyokong-penyokong Anwar menyerangnya kerana jika mereka terus berbuat demikian, Eskay mendakwa dia akan bertindak balas.

"Jangan biar saya dedahkan lebih banyak,"
katanya.

Jumaat lalu, Mohamad Mahti Abdul Rahim, bekas pengawal peribadi Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub berkata, Shazryl Eskay ada memberitahunya bahawa beliau akan menjatuhkan Anwar dari arena politik sebelum mempertontonkan satu rakaman video seks kepada media, 21 Mac lalu.

Rakaman video seks itu mendakwa seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur China.

Menurut Mohamad Mahti, Shazryl Eskay marah kerana Ahli Parlimen Permatang Pauh itu enggan menjadi saksi dalam kes samannya berkaitan projek jambatan bengkok yang diluluskan ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kes itu sedang berlangsung di mahkamah dan Megat Junid pernah menjadi menteri dalam Kabinet Dr Mahathir.

"Selepas beliau bercakap dengan marah mengenai Anwar, beliau mula bercakap buruk mengenai beliau (Anwar), berkata 'saya akan menjatuhkan Datuk Seri Anwar, dengan apa jua cara pun," katanya.

"Sekarang awak semua tanya Anwar lima soalan," Shazryl Eskay dipetik berkata.

Menurut blog Kickdefella hari ini, soalan-soalan tersebut ialah "pertama, sejak dua tahun lalu berapa kali Anwar ke Thailand? Kedua, siapa yang menyambut Anwar di Thailand? Ketiga, di hotel mana Anwar menginap? Keempat, apa Anwar buat di bilik hotel tersebut? Dan kelima, siapa yang menyelesaikan semua bayaran tersebut?"

"Jangan paksa saya dedahkan semua itu… suruh Anwar jawab dulu soalan itu sebelum (semua) serang saya" kata Shazryl Eskay.

"Awak semua balik dan tanya soalan ini di dalam blog," kata Eskay kepada sekumpulan blogger dan penulis media alternatif.

"Saya tidak takut kepada Anwar…" akui Shazryl Eskay, yang mengakui kekuatan penyokong-penyokong Anwar tetapi akur bahawa di dalam dunia ini, ada yang lebih berkuasa. -TMI

Mangsa Tembakan UPP Serah Memorandum

Posted: 30 Mar 2011 01:59 AM PDT

Kuala Lumpur - Seorang remaja yang mendakwa menjadi mangsa tembakan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di Tumpat, menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di Parlimen, semalam.

Mangsa, Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19, yang hadir ke Parlimen bersama peguam dan keluarganya menyerahkan memorandum itu bagi mendesak tindakan segera diambil termasuk memastikan siasatan yang adil oleh pihak polis.

Memorandum itu juga menyatakan rasa tidak puas hati berikutan tindakan pihak polis yang didakwa hanya menyiasat berdasarkan laporan pihak UPP dan mengetepikan laporan yang dibuat keluarga mangsa.

Pada kejadian 16 Februari lalu, mangsa ditembak di perut dan dada manakala bapa saudaranya Said Mat Hassan, 56, meninggal dunia di Hospital Kelaboran, Tumpat selepas ditahan anggota UPP.

Memetik kandungan memorandum tersebut, keluarga mangsa mendakwa tindakan anggota UPP berkenaan menembak Ahmad Nizamuddin sebagai cubaan menghapuskan bukti bahawa kematian Said adalah akibat dipukul.

Ulasan GB

GB sudah ulas hal ini di dalam tulisan yang disiarkan sebelum ini di SINI. Petikan:


Rakyat sudah muak dengan kes-kes di mana pihak PDRM mempertahan "jenayah" yang dilakukan oleh pihak mereka dan beberapa pihak penguatkuasaan undang-undang seperti SPRM, PBT dan UPP. Kes-kes berprofil tinggi seperti kes Aminul-rasyid, kes kematian Teoh Beng Hock, kes Kugan, kes polis memukul dan merompak seorang peniaga, kes polis menampar dan merompak wanita hamil dan lain-lain menjelaskan keadaan tersebut.

Di dalam kes di atas, KP K'tan terlalu cepat membuat kenyataan SEBELUM melakukan SIASATAN RAPI mengenainya.

Sudah sampai masanya integriti PDRM dan lain-lain agensi penguatkuasaan ini dipertingkatkan dengan melakukan "pembersihan total" terhadap pegawai-pegawai mereka yang bertindak tidak profesyenal disamping cuba berdusta dan melakukan cover-up terhadap apa kes sekalipun.

Rakyat perlukan hanya mereka yang berwibawa, bukan yang hanya pandai menggunakan pistol dan kemudian bertindak liar meletakkan undang-undang di dalam tangan mereka dengan menjadi rakyat sebagai mangsa. Diperburukkan dengan adanya pihak lain menjadi "pembela" perlakuan jenayah mereka.

Mereka yang tidak profesyenal ini walaupun tidak ramai, namun cukup untuk mencacatkan kredibiliti polis.

Rakyat satu hari tetap akan bangun menuntut kebenaran dan keadilan itu ditegakkan tanpa mengira siapa juga yang cuba menyekatnya.

p/s Keselamatan remaja di atas perlu diberikan perhatian kerana seperti insiden-insiden sebelum ini, terdapat kes saksi-saksi penting ini diintimidasi.


Tiada ulasan: