Kelab Greenboc |
- Tokyo Bergelap: Ibu kota Jepun Bagai Bandar Berhantu Gara-gara Ancaman Radioaktif
- Gembala Lembu Parah Terkena Peluru Sesat
- Kerajaan Perlu Hentikan Segera Cadangan Bina Loji Nuklear
- Nong Chik Dicabar Buktikan 90% Setuju Rang Undang-undang Pembangunan Kg Baru 2010
- Wanita Islam Amerika Tidak Diizin Naiki Pesawat Kerana Pakai Tudung
- Peniaga Nafi Pukul Pegawai Bomba
- Macam-macam: Pasangan Tanpa Nikah Setahun Duduk Atas Pokok
- Tsunami: Teladan Al-Quran Dari Kisah Nabi Nuh a.s.
- Jangan Gadaikan Nyawa Untuk Loji Nuklear
- Isu Judi Kelantan: Kerajaan UMNO BN Yang Luluskan Judi
- Seorang Lagi Pelatih Pulapol Meninggal Dunia Akibat Adenovirus
- 25 Termasuk Pelajar Perempuan Dicekup Di Pusat Karaoke
- Rakan Baikku, Kekasih Isteriku
- IAEA Sudah Peringatkan Jepun Soal Nuklear Sejak 2009
- [Video] Betapa Dasyatnya Tsunami Jepun 2011 - Lihatlah!
Tokyo Bergelap: Ibu kota Jepun Bagai Bandar Berhantu Gara-gara Ancaman Radioaktif Posted: 18 Mar 2011 12:30 AM PDT Tokyo, merupakan bandar paling happening serta mempunyai penduduk seramai 13 juta kini tidak lagi seperti dulu gara-gara amaran radiasi radioaktif yang membuat penduduknya mengambil langkah berjaga-jaga dengan tinggal di rumah. Stesen janakuasa nuklear Fukushima yang terletak hanya kira-kira 200km daripada Tokyo mengalami ketidakstabilan angkara gempa bumi 9.0 richter, Jumaat lalu. Dalam perkembangan terbaru, Jepun hanya mempunyai masa kira-kira 48 jam untuk mengawal krisis nuklearnya sebelum tragedi yang lebih buruk daripada insiden Chernobyl berlaku. Semalam, cubaan pihak keselamatan Jepun menghantar beberapa helikopter untuk menyejukkan reaktor dengan menjiruskan air, namun operasi tersebut dibatalkan ekoran radiasi tinggi yang mencecah 4,000 mikrosievert/jam. Ada laporan yang menyebut bahawa lapangan terbang Chicago & Dallas menerima pelawat beradiasi, namun dakwaan tersebut belum disahkan oleh pihak berkuasa lapangan terbang.
|
Gembala Lembu Parah Terkena Peluru Sesat Posted: 17 Mar 2011 11:43 PM PDT Alor Gajah: Seorang gembala lembu nyaris maut selepas dipercayai terkena tembakan ketika dalam perjalanan balik ke rumah adiknya di Taman Bukit Tampin, Kuala Ina, Pulau Sebang, Sabtu lalu. Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu mangsa, D Latakrishnan, 44, bernasib baik kerana tidak terbunuh walaupun parah di belakang tubuhnya dan kini dirawat di Hospital Melaka. Menurut adiknya, D Sivanesan, 42, abangnya keluar mencari lembu peliharaan di satu kawasan kebun getah. Katanya, kira-kira jam 7.30 malam dia menerima panggilan daripada abangnya memberitahu dia terjatuh dari motosikal selepas ia meletup ketika menuruni bukit menuju ke rumahnya. "Saya terkejut menerima panggilan itu kerana suaranya tersekat-sekat seperti sedang menahan kesakitan sedangkan dia hanya jatuh daripada motosikal. "Saya bergegas mencarinya ditemani bapa dan kami menemuinya terlentang bersebelahan motosikal terbalik kira-kira 20 meter dari rumah. "Apabila mahu mengangkatnya, saya dapati banyak darah di bahagian belakang bajunya. Saya tanya sekali lagi dan dia kata motosikalnya tiba-tiba meletup ketika menuruni bukit," katanya di sini, semalam. Menurut Sivanesan, dia tidak percaya dengan penjelasan abangnya kerana selain banyak darah, belakang baju mangsa juga terdapat beberapa lubang kecil. "Selepas memastikan keadaannya selamat saya bawa dia ke hospital dengan kereta. "Ketika dia dirawat saya sempat melihat bahagian belakang badannya ada beberapa lubang kecil dan doktor mengesahkan ia adalah serpihan peluru penabur senapang patah," katanya. Menurutnya, dia difahamkan polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian turut menemui beberapa butir peluru dipercayai peluru senapang patah pada bahagian belakang tempat duduk motosikal abangnya. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan kejadian berkenaan. |
Kerajaan Perlu Hentikan Segera Cadangan Bina Loji Nuklear Posted: 17 Mar 2011 09:45 PM PDT Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta kerajaan supaya menghentikan segera cadangan untuk membina loji nuklear dan empangan besar bagi menangani isu krisis tenaga kerana bimbang berlaku kebocoran reaktor seperti yang berlaku di Jepun baru-baru ini. Presidennya S.M Mohamed Idris (gambar) berkata trajedi yang berlaku di Jepun menunjukkan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan tidak mustahil Malaysia juga akan mengalami perkara yang sama. "Kita perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lepas yang telah menunjukkan kesengsaraan dan penderitaan yang dialami akibat tenaga nuklear. "Mana-mana negara termasuk Malaysia dengan aspirasi nuklear perlu pertimbangkan risiko bencana kemalangan sumbangan negatif utama teknologi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Dipetik Bernama, beliau berkata pada masa ini, jumlah penggunaan elektrik negara dianggarkan hanya 14,000 megawatt (MW) sedangkan kapasiti bekalan yang ada pula sebanyak 23,000 MW yang memberikan negara margin yang amat selesa. Mohamed Idris berkata dengan rangka kerja yang berkesan, sempurna serta fiskal yang betul untuk tenaga diperbaharui, ia mampu menyumbang secara berkesan kepada rizab tenaga negara. Katanya masyarakat dunia juga telah menyedari bahawa terdapat sumber tenaga. altenatif yang lebih selamat, murah dan boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin. "Satu lagi cara untuk mengurangkan penggunaan tenaga ialah dengan memperbaiki kecekapan tenaga dalam semua sektor. Usaha ini perlu ditingkatkan kerana ia bergerak terlalu perlahan. "Dengan menggabungkan langkah kecekapan tenaga dan tenaga diperbaharui, permintaan tenaga di negara ini akan berjaya dipenuhi. Kita tidak perlukan tenaga nuklear dan empangan besar," katanya. Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Dr Tan Seng Giaw juga menggesa kerajaan persekutuan mempertimbangkan semula cadangan membina loji tenaga nuklear ekoran krisis di Jepun. Beliau berkata kerajaan persekutuan perlu menjadikan kejadian di Jepun sebagai pengajaran dan tidak cuba untuk mengulangi perkara sama di Malaysia. Tambah Dr Tan, laporan lengkap mengenai perkara itu harus dibentangkan agar rakyat mendapat penjelasan. "Laporan lengkap mengenai cadangan projek dua loji kuasa nuklear di Malaysia mestilah dibentangkan, agar orang awam dapat memahaminya kerana projek ini dikehendaki melalui penelitian yang rapi sebelum keputusan diambil ekoran malapetaka nuklear Jepun yang sangat membimbangkan. "Laporan yang lengkap wajib diadakan mengenai projek ini termasuk implikasi ekoran bencana loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi. "Kementerian Tenaga dan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia, ERMS, Lembaga Tenaga Atom (AELB) dan Agensi Nuklear Malaysia haruslah telus dan akauntabel mengenai data radiasi dan cadangan dua loji kuasa nuklear tersebut," katanya. -TMI
|
Nong Chik Dicabar Buktikan 90% Setuju Rang Undang-undang Pembangunan Kg Baru 2010 Posted: 17 Mar 2011 09:15 PM PDT Hormati hak pemilik tanah Kg Baru SHAH ALAM: Kerajaan perlu menghormati pemilik tanah Kampung Baru kerana mereka berhak membuat keputusan berhubung pemilikan tanah di kawasan terbabit, kata pakar undang-undang Prof Dr Aziz Bari. Beliau berpendapat isu Kampung Baru ini tidak boleh dilihat melalui sudut perundangan semata-mata. Sejarah serta latarbelakang berhubung isu ini perlu diambil kira, katanya. "Bila bercakap mengenai masa depan Kampung Baru, saya berpendapat perbincangan berterusan perlu ada. Banyak sisi politik yang melibatkan harta rezab Melayu dan perlu ada kajian secara terperinci sebelum keputusan diambil oleh kerajaan," "Mungkin kerajaan boleh kata ia adalah hak mereka untuk ambil atau tidak kawasan itu tapi isunya nanti akan jadi isu politik dan juga isu perlembagaan. "Memang dari segi undang-undang kerajaan ada kuasa untuk ambil tanah penduduk cuma pampasan itu mesti selaras dengan harga pasaran, maksudnya harga yang munasabah," katanya ketika ditemui FMT di wacana ekonomi di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam. Menurut beliau, pemilik tanah boleh mencabar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di mahkamah bagi membuktikan majoriti pemilik tanah di kawasan itu bersetuju dengan cadangan mewujudkan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010. Dr Aziz berkata sehingga hari ini Raja Nong Chik masih belum membuktikan secara bertulis majoriti bahawa pemilik tanah bersetuju dengan cadangan tersebut. Nong Chik, katanya , berkata hampir 90 peratus pemilik telah bersetuju. "Isunya sekarang hak penduduk untuk kekal di situ, dengan cara hidup mereka. Ini adalah isu besar dan kerajaan tidak boleh melalui Parlimen meluluskan rang undang-undang ini. "Rang undang-undang ini tak perlu, ia adalah kehendak rakyat bukan keputusan kerajaan, maknanya kerajaan kena akur dengan kehendak rakyat. "Lainlah kalau kerajaan boleh buktikan majoriti bersetuju, itu lain cerita tapi ia susah nak buat… adakah ada kajian yang dibuat? Kalau kata 90 peratus setuju tapi adakah ia sahih, adakah ia betul? "Maka penduduk boleh membawa masalah ini ke mahkamah untuk mencabar buktikan kesahihan perkara itu," jelas beliau. Cadangan untuk mewujudkan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 mendapat tentangan hebat pemilik dan pewaris tanah di kawasan itu. Malah ada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru berkata mereka tidak pernah sama sekali memberi persetujuan agar rang undang-undang itu digubal seperti dikatakan Raja Nong Chik. Terdapat lebih 4,000 pemilik tanah Kampung Baru melibatkan tujuh kampung dengan kawasan seluas 90.2 hektar. Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 akan dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat pada Jun ini. -FMT |
Wanita Islam Amerika Tidak Diizin Naiki Pesawat Kerana Pakai Tudung Posted: 17 Mar 2011 08:13 PM PDT San Diego (Amerika Syarikat): Seorang wanita Islam kelmarin berkata beliau mahu kakitangan penerbangan Southwest Airlines dikenakan tindakan disiplin kerana mengeluarkannya dari pesawat hanya kerana beliau memakai tudung. Cik Irum Abbasi, 31 tahun, memberitahu wartawan dalam satu sidang akhbar di luar lapangan terbang San Diego bahawa beliau dipaksa keluar dari pesawat menuju San Jose itu Ahad lalu kerana seorang pembantu penerbangan mencurigainya. Menurut Cik Abbasi, beliau diberitahu bahawa seorang anak kapal terdengar beliau berkata 'It's a go' (boleh diteruskan) ketika beliau berbual menggunakan telefon bimbitnya. Ibu tiga anak asal Pakistan itu berkata beliau berkata 'I've got to go' (Saya perlu pergi) sebelum meletakkan telefon kerana pesawat itu akan berlepas. Beliau percaya kakitangan itu membuat andaian tersebut kerana beliau memakai tudung. Selepas menepuk tudung Cik Abbasi untuk memeriksanya dan bercakap kepada beliau, ejen-ejen Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan menyedari kesilapan itu. Namun, mereka tidak membenarkannya menaiki pesawat itu dan memberitahu Cik Abbasi kakitangan pesawat tidak selesa dengannya. Beliau diizin menaiki penerbangan lain. 'Saya menangis,' kata Cik Abbasi. 'Saya sudah 10 tahun tinggal di Amerika. Saya warga Amerika.' Jurucakap Southwest, Encik Chris Mainz, berkata syarikat itu telah dua kali meminta maaf kepada Cik Abbasi dan memberinya baucar penerbangan lain. Cik Abbasi berkata perkara itu berkait dengan sentimen anti-Muslim di Amerika dan berkata ia angkara satu perbicaraan kongres berkenaan Muslim Amerika yang radikal. -- AP. |
Peniaga Nafi Pukul Pegawai Bomba Posted: 17 Mar 2011 07:00 PM PDT George Town: Seorang peniaga hari ini menafikan dakwaan bahawa dia telah mencederakan seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang selepas operasi memadamkan kebakaran di Jalan Bukit Dumbar di sini, semalam. Malik Faizal Abdul Rahim, 35, mendakwa sebaliknya beliau yang dikasari dan dipukul di dahi sehingga terpaksa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini selepas kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi itu. Malik yang datang ke Biro Bernama di sini Khamis mendakwa kejadian itu berlaku berhampiran tempat tinggalnya dan beliau hanya melihat kebakaran itu dan mahu membantu sekadar yang mampu. "Selepas (memadamkan) kebakaran itu, seorang pegawai bomba yang memang saya kenal dan tinggal di kawasan berhampiran rumah saya datang ke arah saya dalam keadaan marah sambil berkata "siapa yang marah kat (kepada) bomba, aku nanti pukul tidak kira bangsa. "Saya hampirinya dan menasihatinya jangan buat bising nanti keadaan akan tegang lagi, (tetapi) tiba-tiba dia tolak saya dan saya yang hampir jatuh memegang tangannya," katanya. Malik berkata dalam masa yang sama beberapa anggota bomba yang berada berhampiran kawasan itu datang ke arah mereka dan meminta beliau bertenang sedangkan sebenarnya beliau hampir terjatuh. "Saya bagi tahu mereka (anggota bomba) yang saya bukan nak bergaduh dan dalam keadaan kelam kabut itu, pegawai bomba berusia lingkungan 50-an berkenaan terus tumbuk saya sebanyak tiga kali di bahagian dahi sehingga bengkak dan luka," katanya. "Saya percaya pegawai bomba berkenaan bertindak sedemikian atas dasar peribadi ekoran mempunyai perselisihan faham dengan saya," katanya. Katanya, ekoran kejadian itu, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Jelutong di sini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya menerima dua laporan berasingan daripada Malik dan seorang pegawai bomba dan kes itu disiasat menurut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh. Akhbar hari ini melaporkan Pegarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Azmi Tamat berkata, seorang pegawai bomba dipukul seorang penduduk selepas operasi memadamkan kebakaran sebuah kilang papan di Jalan Bukit Dumbar di sini. - BERNAMA Berita sebelum ini: GEORGE TOWN - Seorang pegawai bomba tidak menduga, penat lelahnya bersama-sama 28 anggotanya memadamkan kebakaran sebuah kilang papan di Jalan Bukit Dumbar di sini semalam bertukar kecoh apabila dia pula dipukul seorang penduduk. Kejadian memalukan itu berlaku pukul 7.45 pagi apabila seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an berkenaan dikatakan gagal mengawal emosi selepas permintaannya supaya anggota bomba menyiram air di kawasan yang tidak disambar api tidak dipenuhi oleh pegawai berusia 50 tahun terbabit. Ekoran itu, dia terus memaki hamun mangsa sebelum bertindak bergelut dengan ketua operasi berkenaan sebelum dileraikan oleh anggota lain. Mereka kemudian menghubungi polis. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tamat berkata, pihaknya dukacita dan kesal dengan kejadian tersebut dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. -kosmo |
Macam-macam: Pasangan Tanpa Nikah Setahun Duduk Atas Pokok Posted: 17 Mar 2011 05:29 PM PDT Melaka: Seorang lelaki sanggup berbelanja besar untuk mengubah suai pangkin bagi mencapai hasratnya mendirikan sebuah 'mahligai' di atas pokok bagi membolehkan dia tinggal sebumbung bersama kekasihnya. Bagaimanapun, kediaman ibarat chalet di Pantai Kundor, dekat sini, yang lengkap elektrik, tempat tidur, televisyen dan tandas milik lelaki itu diserbu sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin. Dalam serbuan itu, Jaim menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan kekasihnya, wanita warga Indonesia berusia 23 tahun yang mendiami pondok terbabit. Turut ditahan ialah anak saudara lelaki terbabit berusia 22 tahun yang berada dalam rumah di atas pokok itu dipercayai mengunjungi mereka. Pondok terbabit dibina tiang penyokong, tangga dan mempunyai titi untuk ke beberapa bahagian di atas pokok berkenaan selain dilengkapi beranda. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani, berkata sepasukan pegawai dan anggotanya ke pondok terbabit selepas menerima aduan ada perbuatan maksiat dilakukan di sebuah rumah di atas pokok. Katanya, apabila tiba di lokasi berkenaan pihaknya mendapati ada tangga untuk naik ke pondok dan selepas dua anggotanya naik serta mengetuk pintu, ia dibuka seorang lelaki. "Selepas memperkenalkan diri, anggota kami masuk ke dalam pondok terbabit dan menemui seorang lagi lelaki serta seorang wanita. "Apabila disoal siasat, wanita itu tiada hubungan mahram dengan kedua-dua lelaki terbabit. Wanita itu juga mengaku tinggal di dalam pondok terbabit bersama lelaki berusia 31 tahun itu yang juga kekasihnya," katanya. Rahimin berkata, siasatan awal mendapati pasangan terbabit tinggal di pondok yang diubah suai di atas pokok berkenaan sejak hampir setahun lalu. Katanya, berdasarkan maklumat, pondok terbabit asalnya dijadikan tempat seorang ahli keluarga lelaki itu mengajar al-Quran yang meninggal dunia beberapa tahun lalu dan sejak itu pondok terbabit tidak digunakan. Menurutnya, lelaki terbabit yang bekerja sendiri mengubah suai pangkin berkenaan untuk dijadikan kediamannya. "Bagaimanapun, dia bertindak luar batasan apabila tinggal bersama wanita Indonesia yang juga seorang pekerja industri seolah-olah suami isteri," katanya. Rahimin berkata, dua lelaki dan wanita warga Indonesia terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, kerana bersekediaman dengan bukan muhrim. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya. -hm
|
Tsunami: Teladan Al-Quran Dari Kisah Nabi Nuh a.s. Posted: 17 Mar 2011 04:15 PM PDT Tsunami melanda negara Jepun. Sepastinya bencana Tsunami tersebut mengingatkan kita kepada peristiwa taufan dan banjir besar di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam. Pada tsunami 2004, kematian mencecah lebih 120,000 dan tsunami di Jepun, setakat ini disahkan hampir 15,000 mangsa terkorban. Banjir di zaman Nabi Nuh a.s. diketahui adalah banjir yang meliputi keseluruhan muka bumi dan pengetahuan tentang pernahnya berlaku banjir besar itu, diiktiraf oleh semua tamadun manusia. Sewajarnyalah kisah di zaman Nabi Nuh Alaihi as-Salaam itu dijadikan iktibar. Ini adalah kerana, Allah SWT mengekalkan ingatan umat manusia kepada peristiwa di zaman Nabi Nuh itu supaya ia terus menjadi peringatan, amaran dan pengajaran bagi sekalian umat manusia, mukmin dan kafir. Firman Allah SWT di dalam surah al-Haaqqah ayat 11-12: "Sesungguhnya ketika air banjir itu melampau-lampau limpahannya, Kami telah damparkan kamu dengan selamat di dalam bahtera (Nabi Nuh) itu. Agar dengan itu Kami jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan bagi kamu. Dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga orang-orang yang mahu menerima pengajaran" Apabila kita meneliti beberapa potongan ayat al-Quran tentang bencana di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam, saya mendapat kefahaman bahawa ia tidak jauh berbeza dengan bencana Tsunami 2004 dan 2011. Cuma mungkin berbeza dari segi skala kerana Tsunami yang Allah SWT datangkan kepada kita hanya menelan manusia yang menghuni daratan perairan tertentu, tidak segenap pelusuk bumi. Renungilah ayat-ayat di dalam surah Hud ayat 40 – 41 berikut: "Dan apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (faara at-tannur), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina) dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja. Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. " Kemunculan banjir besar di zaman Nuh itu bermula dengan limpahan air dari apa yang diistilahkan oleh al-Quran sebagai at-Tannur. At-Tannur ini pada makna asalnya adalah ketuhar atau oven yang digunakan untuk membakar roti. Ia dinamakan sedemikian rupa kerana di dalam ketuhar tersebut api marak membakar menyala-nyala di dalamnya. Alangkah ganjilnya apabila kita cuba berfikir, bagaimana air keluar melimpah dari ketuhar yang di dalamnya api menyala-nyala! Liqa' Mutahaab FiLlaah Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi di dalam kitabnya Al-Qasas Al-Qurani: 'Ard Waqaa'ie' wa Tahlil Ahdaath [Darul Qalam 1419H / 1998M] menyatakan bahawa hikmah Allah SWT di dalam hal ini amatlah besar. Sesuatu yang diketahui umum, air berfungsi memadamkan api. Akan tetapi jika api itu menyala-nyala di tengah air, bagaimanakah ia boleh dipadamkan? Bagaimanakah api dan air boleh 'mesra' di dalam ketuhar yang membakar itu? Sesungguhnya fenomena seperti ini menggambarkan betapa miskinnya qudrat manusia untuk memadamkan api yang menyala-nyala itu sebagaimana mereka juga tidak mampu mengekang air yang melimpah-limpah dari punca api tersebut. [mukasurat 191] Kita melihat fenomena banjir dan ombak besar di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam dan hubungkaitnya dengan 'ketuhar' itu dari satu sudut lain yang mungkin boleh difikirkan bersama. Pada tsunami 2004 dulu, kita sama-sama difahamkan bahawa ombak Tsunami iti dicetuskan oleh gempa bumi yang berlaku di dasar Lautan Hindi berhampiran Sumatera. Gempa bumi ini berkait rapat dengan Lingkaran Api Pasifik. Batu batan dan api yang membara di perut bumi ini menjadikan kawasan terbabit tidak stabil sehingga mencetuskan gelinciran benua dan jenis-jenis gempa bumi yang lain. Dalam erti kata yang lain, seolah-oleh ombak besar Tsunami ini datang dari ketuhar Lingkaran Api Pasifik yang disebutkan sebentar tadi. Bahkan ombak besar yang melanda bencana di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam itu juga lebih hebat dari Tsunami itu. Ia digambarkan seperti gunung oleh Surah Hud ayat 42 – 43: "Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir. Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. " Namun bagi kita hari ini, bagaimanakah sepatutnya kita mengambil pengiktibaran daripada bencana Tsunami tersebut? Apakah hanya dengan berfikir tentang usaha mengadakan sistem amaran awal semata-mata? Kita bernasib baik kerana Tsunami itu tidak menelan semua sekali bahkan Malaysia mengalami keajaiban apabila angka kematiannya begitu kecil berbanding dengan negara jiran Acheh. Allah masih mengizinkan kita untuk bermuhasabah dan tidak membinasakan kita semua dengan suatu bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata. Firman Allah SWT: "Dan takutlah kamu kepada bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata dari kalangan kamu secara khusus" (Al-Anfaal: 25) Tsunami tidak menelan Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong. Tsunami tidak mengundang rebah Flat Pekeliling di Kuala Lumpur walaupun gegarannya cukup kuat untuk mendesak penghuninya lari bertempiaran. Tsunami ini belum seperti 'Tsunami di zaman Nuh Alayhi as-Salaam'. Pertamanya, terimalah hakikat bahawa bencana ini bukan 'kejadian alam tanpa sebab'. Ia adalah amaran Allah. Ia adalah peringatan yang maha menakutkan. Tsunami di Acheh misalnya, yang menyaksikan penindasan pemerintah yang membunuh jutaan penduduk yang mahukan Acheh berdiri bebas merdeka. Bukit bukau di Acheh menjadi gunung kubur manusia yang dibunuh kejam. Tsunami menelan Selatan Thailand yang baru sahaja bermandi darah Muslim Tak Bai, Masjid Kerisik dan sebagainya. Thailand itu juga menyajikan industri seks sebagai tarikan pelancong ke Phuket dan lain-lain. Tsunami juga menelan Sri Langka dan India yang menjadi pentas tradisi menyembelih umat Islam. Tsunami juga menelan Maldives yang menjadi destinasi pelancongan pengunjung warga Barat sehinggakan nilai Islamnya langsung tenggelam tidak kelihatan. Sesungguhnya Tsunami menelan tanah air dan anak watan yang begitu peri lakunya. Amat pedih untuk menyebut hakikat ini, namun kita perlu akur. Janganlah terlalu saintifik sehingga tidak sudi memikirkan hakikat ini. Tiada kerosakan yang berlaku di muka bumi ini kecuali dengan asbab. Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" Seterusnya, ingatlah kembali kepada apa yang telah disebutkan di awal tadi, bahawa Allah SWT mengekalkan kisah ini di dalam ingatan sekalian manusia, agar kita semua mengambil peringatan. Qatadah telah menyebut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari [Sahih al-Bukhari nombor 4869], "Allah SWT telah mengekalkan kapal Nuh supaya ia sampai kepada pengetahuan generasi awal umat ini". Sebagai penutup, renungilah wasiat Nabi Nuh Alaihi as-Salaam kepada anak-anaknya yang beriman sebelum baginda wafat pulang kepada Allah. Imam Ahmad dan al-Bayhaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'Aas Radhiyallahu 'anhuma, beliau berkata: Suatu ketika kami sedang bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Kemudian datang seorang lelaki dari pedalaman yang memakai jubah besar berwarna hijau (Seehan) dan dihiasi dengan sutera. Lalu Rasulullah SAW berkata: "Sesungguhnya sahabat kamu ini telah meninggalkan setiap pahlawan berkuda anak pahlawan berkuda serta mengangkat setiap pengembala anak pengembala! (Pakaian yang melambangkan keangkuhan pemakainya)" Lalu Baginda SAW memegang jubah lelaki tersebut dan berkata kepadanya "Aku melihat engkau memakai pakaian orang yang tidak berakal!" Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi "Sesungguhnya Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau berkata kepada anaknya: "Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua perkara. Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya jua makhluk dikurniakan rezeki. Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)" Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik? Rasulullah SAW menjawab, "Tidak" Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)? Rasulullah SAW menjawab, "Tidak" Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)? Rasulullah SAW menjawab, "Tidak" Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)? Rasulullah SAW menjawab, "Tidak" Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu? Nabi SAW menjawab, "Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!" [Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79] Inilah pesanan Nabi Allah Nuh Alaihi as-Salaam kepada anaknya sebelum wafat. Dan kita ini semua adalah cucu cicitnya baginda. Terimalah nasihat ini sebagai peringatan. Sesungguhnya Tauhid dan Kalimah Tauhid adalah sebesar-besar perkara di dalam hidup ini. Menjadikan ia sebagai fokus diri, dan seterusnya disempurnakan pula dengan Takbir membesarkan Allah dan Tasbih mensucikanNya pada lisan dan perbuatan. Syirik yang muncul dengan pelbagai versi di dalam kehidupan kita hari ini bersama perbuatan angkuh, bongkak, takabbur atau Kibr itu pula hendaklah dijauhi. Sesungguhnya Syirik dan takabbur itu telah menjadi syiar dan cara hidup ramai manusia pada hari ini. Manusia angkuh dengan Allah, orang ramai bongkak dengan hukum hakamNya, malah masih berani berpesta di Sungai Nibong walaupun bencana Tsunami hanya beberapa kilometer jaraknya. Selepas teguran dibuat oleh Mufti satu ketika dahulu dan orang ramai, TV3 masih tidak segan silu meneruskan silsilah Konsert Sure Heboh yang hanya mengukuhkan lagi hedonisma sebagai rukun kehidupan masyarakat sekarang. Di dalam beberapa pilihanraya kecil, parti kerajaan merancakkan program hiburan dengan lori 1Malaysia bersama penari separa bogel. Tidakkah sikap begini bermaksud memperlekehkan kebenaran? Bukankah sikap ini yang terpilih menjadi amaran Nabi Allah Nuh yang menyaksikan umatnya ditenggelamkan 'Tsunami'? Ada juga suara-suara yang membela kononnya, tsunami takkan berlaku di Malaysia. Kita selamat. Malah kita boleh bina logi nuklear kerana tsunami takkan berlaku di Malaysia, katanya. Kononnya kita mempunyai sistem kalis-gagal selaras dengan kemajuan yang telah dicapai oleh sains dan teknologi, dan orang ramai tidak perlu takut mengenai keselamatannya. (UKM Portal) Keangkuhan suara itu samalah seperti keangkuhan suara anak Nabi Nuh seperti yang dikisahkan di dalam Surah Hud tadi. Ia benar-benar mencabar Allah s.w.t. Kita ulangkan petikan Surah Hud ayat 42 – 43 tadi: "Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir. Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. " Apabila masyarakat kita diperingatkan dengan kebenaran, ramai yang gembira mempersendakan kebenaran tersebut. Ramai yang memperlekehkan ayat-ayat Allah tanpa segan silu. Bahkan dengan sifat jelek seperti itu, tidak hairan jika ramai pula yang zalim, menindas sesama manusia sama ada dengan kuasa, akta, mahu pun sikap dan tanduk di peringkat individu. Apakah kita mahu menunggu sehingga bumi Malaysia tersenak hidung dengan gelimpangan mayat seperti di Jepun, di Acheh, baru mahu tersentak dari kelekaan semua dan selama ini? Setiap kali menonton siaran berita di televisyen, kita tidak dapat menahan sebak di dada. Tetapi apabila mengenangkan kebiadapan manusia hari ini, mungkin Tsunami sahaja yang mampu memecahkan tempurung kepala kita hari untuk untuk faham dan menginsafi kuasa Allah SWT. Ceramah tak makan, motivasi tak jalan, nasihat tak dilayan, teguran dipinggirkan, yang menang akhirnya tetap hiburan dan keseronokan. Tidakkah kita sebenarnya sudah terlalu jauh pergi meninggalkan sifat diri sebagai hamba Tuhan? Tepuk dada tanyalah iman… Salam takziah untuk tamadun manusia. "Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi." (Al-A'raaf 98-99) muhdhazrie/GB |
Jangan Gadaikan Nyawa Untuk Loji Nuklear Posted: 17 Mar 2011 08:02 AM PDT Gempa bumi dengan ukuran 8.9 pada skala Richter yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac 2011 bukan sahaja mencetuskan tsunami, malah letupan reaktor loji nuklear di Fukushima Daiichi - krisis nuklear yang menyelubungi masyarakat global dengan kebimbangan. Ribuan mangsa disahkan mati, puluhan ribu orang pula kehilangan berikutan bencana alam tersebut. Seandainya keadaan letupan loji nuklear Fukushima Daiichi semakin kritikal, maka kemudaratannya mungkin lebih ketara daripada malapetaka bencana alam. Impaknya bukan sahaja dirasai populasi Jepun, tetapi rantau ini. Krisis nuklear di Jepun ini merupakan satu amaran kepada Malaysia, yang berkobar-kobar semangatnya untuk membina loji nuklear. Tragedi letupan loji nuklear Chernobyl pada 26 April 1986 masih dalam ingatan. Letupan ini telah menyebabkan pencemaran radioaktif, yang mana parasnya bersamaan dengan 200 kali ganda ketika bom atom digugurkan di Hiroshima and Nagasaki. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, International Atomic Energy Agency, WHO, UNDP, Ukraine, kerajaan Belarus dan pertubuhan lain PBB telah melengkapkan satu laporan pada September 2006, bahawa tragedi Chernobyl mengakibatkan kematian 4,000 orang, termasuk 47 orang penyelamat daripada WHO, dan sembilan orang kanak-kanak yang dijangkiti kanser tiroid (Thyroid cancer). Laporan penyiasatan WHO yang diumumkan pada April 2006 pula menunjukkan, mungkin 5,000 orang lagi yang mati di kawasan pencemaran radioaktif (termasuk Ukraine, Belarus, Russia dsb). Dengan kata lain, jumlah kematian manusia mungkin melebihi 9,000 orang. Pada tahun lalu, media asing melaporkan bahawa Tenaga Nasional Bhd berniat untuk membina sebuah loji nuklear pada tahun 2021. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Peter Chin Fah Kui mengesahkan bahawa kabinet telah meluluskan rancangan untuk membina sebuah loji yang boleh menghasilkan 1,000 megawatt kuasa nuklear, dengan anggaran kos antara RM 6.6 bilion hingga RM13.34 bilion. Rancangan pembinaan loji nuklear bukan sahaja mengundang kritikan NGO yang berprihatin terhadap isu alam sekitar, malah pakar turut menganggap loji nuklear bukan pilihan Malaysia untuk menyelesaikan masalah bekalan tenaga. Ketua Pegawai Eksekutif The Red Solar Sdn Bhd, Rais Hussin pernah menulis dalam The Edge, memberi amaran bahawa dalam keadaan di mana persediaan yang tidak mencukupi, terutamanya dari segi sumber manusia, keterlibatan Malaysia untuk membina logi nuklear bakal mengundang kesan yang dahsyat. Selepas krisis nuklear lantaran gempa bumi di Jepun, Presiden City University of Hong Kong, Guo Wei yang juga seorang pakar tenaga nuklear berkata, loji nuklear melibatkan pengurusan kejuruteraan, dan bukan soal fizik. Jadi, unsur "manusia" adalah paling penting. Sistem penyejukan, latihan manusia untuk berdepan dengan pelbagai keadaan, adalah penting dalam soal loji nuklear. Pandangan kedua-dua pakar ini memperingatkan kita bahawa, seandainya loji nuklear dibina, maka kemampuan untuk menjaga keselamatan loji nuklear adalah perkara yang terpenting. Sesungguhnya, jikalau lampu hijau diberikan kerajaan, malah Tenaga Nasional sanggup membelanjakan wang, maka secara semulajadinya akan ada kumpulan syarikat yang sudi melabur dalam pembinaan loji nuklear. Lebih-lebih lagi, laporan Kajian Impak Terperinci Alam Sekitar (DEIA) hanyalah rubber stamp untuk meluluskan projek mega. Justeru itu, pembinaan loji nuklear hanyalah soal masa. Namun demikian, apa yang menjadi kebimbangan rakyat adalah, sejauh manakah kemampuan negara kita untuk mengekalkan keselamatan selepas loji nuklear dibina dan mula beroperasi? Ia bukan hanya melibatkan kepakaran yang boleh dikerah Tenaga Nasional, tetapi juga sama ada kerajaan mampu menyediakan persediaan, sumber dan kecekalan yang mencukupi, untuk memantau penjagaan keselamatan loji nuklear? Mereka yang tinggal di Malaysia sememangnya mengeluh dengan keberkesanan perkhidmatan kerajaan. Misalnya, hampir setiap tahun kita akan berdepan dengan tragedi kemalangan bas yang meragut puluhan nyawa, dan tragedi ini berkait rapat dengan penguatkuasaan unit pengangkutan awam yang tidak ketat, pemantauan yang tidak berkesan dan sebagainya. Malah, walaupun diswastakan seperti Tenaga Nasional, POS dan Telekom, keberkesanan perkhidmatannya juga tidak begitu memuaskan. Dalam keadaan sedemikian, kekhuatiran terhadap keselamatan diri kita selepas loji dibina adalah berasas. Adalah menjadi tanda soal sama ada negara kita mampu dari segi kemahirannya untuk menguruskan krisis, seandainya kemalangan berlaku dalam loji nuklear? Selepas "dasar penswastaan" dilaksanakan Perdana Menteri keempat Mahathir Mohamad sejak tahun 1980-an, tujuan asal penswastaan telah berubah menjadi "perniagaan", iaitu keuntungan dan longgakan kapital didahulukan, sebaliknya perkhidmatan awam dikemudiankan. Dengan kata lain, keuntungan diutamakan dengan menggadaikan kepentingan awam. Misalnya, Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Sungai Selangor - semuanya mencapai matlamat dengan mengorbankan hak kaum asal. Seandainya kerajaan Barisan Nasional berpandangan jauh, atau masih berhati-perut (walaupun sukar ditemui) - mereka seharusnya mengkaji sedalam-dalamnya projek pembinaan loji nuklear, jangan sehingga rakyat Malaysia dan negara jiran terkorban di bawah kapitalisme. Biar betapa bodohnya politikus sekalipun, mereka akan dapat memikirkan kesan pencemaran nuklear yang bakal memberi impak kepada generasi anak mereka, walaupun mereka mungkin telah terbaring di bawah natu nisan pada ketika itu. -MR *Lidah Pengarang ini disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal, yang disiarkan pada 16 Mac 2011. |
Isu Judi Kelantan: Kerajaan UMNO BN Yang Luluskan Judi Posted: 17 Mar 2011 07:05 AM PDT Kota Bharu, 17 Mac: DAP hari ini menjelaskan aktiviti perjudian yang memerlukan premis seperti Magnun atau Nombor Ekor tidak lagi berbangkit sekarang kerana semua rakyat Kelantan sudah faham. Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua bangsa di negeri ini telah menerima larangan kegiatan tersebut sudah melewati 20 tahun. "Masyarakat Cina telah menerima pentadbiran PAS dalam tempoh 20 tahun. Dasar PAS sudah diketahui termasuk bukan Islam. "Itu tidak lagi menjadi isu, yang ditimbul sekarang hanya penjualan tiket loteri sahaja. Ini kerana ada pihak berhujah loteri tidak memerlukan premis dan diberi kelulusan kerajaan pusat. "Dan apabila kerajaan negeri menguatkuasa larangan itu seolah-olah melampaui batasan kuasa kerajaan pusat. Dan kerajaan Kelantan menjelaskan isu ini akan dikaji Penasihat Undang-Undang," katanya pada persidangan media selepas perjumpaan dengan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim hari ini. Hadir sama perjumpaan itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nor Manuty dan anggota parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong. Sebelum ini ada pihak mempertikaikan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam menyerbu premis yang disyaki menjual tiket loteri. Loke berkata, beliau dan Liew menyatakan pandangan DAP terhadap isu loteri kepada Menteri Besar. "Hanya penjualan loteri yang jadi isu baru-baru ini. Dan kita berpuas hati dengan perbincangan hari ini. Kita menghormati judi adalah haram kepada orang Islam. "Hanya menjadi persoalan kepada bukan Islam membeli loteri kerana ia dibenarkan di peringkat pusat, dan kerajaan negeri bersedia mengkaji spesifik isu loteri. "Dan kalau dibenarkan selepas dilihat dari aspek undang-undang kita perlu melihat semula bagaimana melaksanakan perkara ini," ujarnya. Beliau juga berkata, loteri sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat Tionghua sejak sekian lama. Beliau yang juga anggota parlimen Rasah berkata, dalam isu judi bola sepak DAP awal-awal lagi menentang ketika perbahasan di parlimen. Mustafa pula kerajaan Kelantan menyerah kepada Penasihat Undang-Undang (LA) untuk mengkaji isu penjualan tiket loteri yang tidak membabitkan premis. Ini kerana kegiatan perjudian yang memerlukan premis memang tidak boleh di Kelantan, tetapi dalam konteks tanpa premis lesen judi itu diluluskan kerajaan pusat. "Kuasa kerajaan negeri premis di bawah peraturan PBT, tetapi kalau kegiatan judi yang tidak memerlukan premis inilah yang LA hendak kaji. "Kalau mereka jual di tepi sungai kita pun tidak tahu, macam mana hendak buat. Itu maksudnya. Tengok dahulu apa hasil yang dikaji LA," ujarnya. Beliau juga berkata, pertemuan dengan Menteri Besar hari ini bagi menerangkan keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat yang lepas berkaitan isu berkenaan. Cuma kata beliau apa yang dilaporkan beberapa akhbar tidak tepat berkaitan kenyataan dikeluarkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata, dakwaan mengatakan Anwar menegur Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak berbangkit sama sekali kerana apa yang dilaporkan media berlainan. "Keputusan diambil kita serah kepada kebijaksanaan negeri Pakatan masing-masing. Pulau Pinang macam mana pendekatan yang mereka hendak diambil. "Kelantan sudah lama diketahui sikapnya. Tidak semesti apa yang dilakukan Kelantan negeri Pakatan Rakyat lain pula hendak ikut, jadi terpulang di atas kebijaksanaan dan autoriti negeri terbabit," tambahnya. Dalam kenyataan sebelum itu Menteri Besar berkata, isu larangan penjualan tiket-tiket loteri Big Sweep yang dikatakan tidak memerlukan premis tetap, kerajaan negeri sedia menelitinya. "Kita serahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk melihat dari sudut perundangan yang ada," katanya. Kenyataan media itu dibaca Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari. -HD
|
Seorang Lagi Pelatih Pulapol Meninggal Dunia Akibat Adenovirus Posted: 17 Mar 2011 06:00 AM PDT Kuala Lumpur: Seorang pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada Khamis akibat jangkitan Adenovirus, mangsa kedua yang meninggal dunia akibat serangan virus itu bulan ini. Gambar: BAPA mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan virus Adenovirus, Ishak Daharin (tengah) kelihatan sedih ketika melawat jenazah anaknya, Mohd Redzuan Ishak (gambar kecil) pelatih inspektor dari PULAPOL di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur, hari ini. Inspektor pelatih Mohd Redzuan Ishak, 26, yang menerima rawatan di situ sejak seminggu yang lalu, meninggal dunia pada 4.20 pagi ini, demikian menurut polis dalam satu kenyataan menerusi Facebook. Jenazah Allahyarham dibawa ke Bandar Sungai Buaya di Rawang pagi ini untuk dikebumikan.Adenovirus mula dikesan menyerang Pulapol pada 4 Mac lepas. Mangsa pertama, seorang konstabel pelatih lelaki berusia 21 tahun berasal dari Kuala Kangsar, meninggal dunia pada 9 Mac. Sehingga 8 pagi semalam, 34 orang pelatih dirawat di HKL dan enam di Hospital Sungai Buloh. -BERNAMA |
25 Termasuk Pelajar Perempuan Dicekup Di Pusat Karaoke Posted: 17 Mar 2011 05:23 AM PDT Kuala Kangsar – Niat 25 pelajar untuk berhibur di pusat karaoke sempena musim cuti sekolah ini terbantut apabila diserbu dalam satu operasi bersepadu di sini, Selasa lalu. Operasi membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perak dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan Jabatan Agama Islam Perak itu dilakukan di dua pusat karaoke berasingan di sekitar Pekan Kuala Kangsar kira-kira jam 8 malam. Ketua Cawangan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (BKF), KDN, Ngeh Kiet Fock berkata, dua buah karaoke diserbu ialah di Jalan Datuk Maharajalela dan Jalan Juragan Abdul Syukur membabitkan 80 pegawai dan anggota. "Seramai 51 pengunjung termasuk 25 pelajar sekolah dari dua pusat karaoke berkenaan telah di tahan dan dibawa ke Pejabat AADK Cawangan Kuala Kangsar, di sini. "Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 16 hingga 55 tahun menjalani ujian air kencing," katanya kepada Sinar Harian. Kiet Fock berkata, daripada jumlah yang ditahan. 42 daripadanya lelaki sementara sembilan pengunjung perempuan. Menurutnya, kebanyakan mereka terdiri daripada remaja dan sebahagiannya masih di bawah umur. "Selain ujian air kencing, kita juga menjalankan pemeriksaan ke atas kandungan telefon bimbit bagi mengesan kewujudan klip atau video lucah," katanya. Dalam ujian berkenaan, seorang remaja lelaki telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut kerana didapati positif dadah. Kiet Fock berkata, hasil maklumat orang ramai, pihaknya telah menjalankan intipan hampir seminggu ke atas dua pusat karaoke berkenaan sebelum serbuan di buat. Katanya, MPKK turut mengeluarkan dua kompaun ke atas pengusaha pusat karaoke atas kesalahan mempamerkan iklan tanpa permit dan membiarkan tandas premis kotor. "Operasi tamat kira-kira jam 10 malam, selepas ujian saringan air kencing dan pemeriksaan telefon bimbit dilakukan, kesemua pengunjung dibebaskan," katanya. -SH |
Rakan Baikku, Kekasih Isteriku Posted: 17 Mar 2011 04:25 AM PDT Alor Gajah - Seorang suami yang berpengaruh dan berjawatan tinggi di sebuah agensi kerajaan, dekat sini, kecewa selepas mendapat tahu isterinya menjalinkan hubungan intim dengan rakan baiknya sendiri. Itulah pengakuan Abd Samad Mohd, 46, (bukan nama sebenar) yang pada mulanya hanya mendengar khabar angin daripada rakan sekerja, menyatakan isterinya itu menjalin hubungan intim dengan rakan sepejabatnya namun dinafikannya. Menurutnya, dia mendirikan rumah tangga bersama isterinya berumur 33 tahun itu 17 tahun lalu dan dikurniakan tiga anak perempuan, berumur antara 20 dan 12 tahun. "Kami bekerja dalam agensi yang sama tetapi berlainan jabatan. "Memang tidak terduga, isteri yang kerap menghadiri seminar dan rombongan keluar daerah, rupa-rupanya hanya helah untuknya memadu kasih bersama kekasih hati sebelum perlakuan sumbangnya terbongkar," katanya. Abu Bakar berkata, sepanjang hidup bersama, isterinya tidak pernah marah, lemah-lembut dan penyayang. "Apabila rakan sampaikan berita ini, saya tak percaya sebab tiada bukti cuma saya syak berlaku sesuatu apabila sikap isteri mula berubah sejak kebelakangan ini tetapi saya biarkan syak wasangka ini berlalu begitu sahaja. "Sepanjang perkahwinan, kami tak pernah berkelahi atau bertengkar. Jika adapun perselisihan faham, kami hanya tidak bertegur sapa untuk sementara sahaja dan selepas hilang perasaan marah, kami berbaik semula," katanya. Menurutnya, sehinggalah satu ketika, isterinya meminta izin mengikuti rombongan ke Langkawi bersama rakan sepejabat. "Saya izinkan dia pergi dan menghantarnya ke tempat berkumpul. "Biasanya, apabila kami berjauhan, dia akan hantar mesej bertanyakan pelbagai perkara tetapi kali ini dia tidak berbuat demikian, malah menyepikan diri sehingga membuatkan hati saya berdetik dan mula memikirkan sebaliknya," katanya. Abd Samad berkata, selang dua bulan kemudian, jabatan isterinya mengadakan hari keluarga di sebuah pulau di selatan tanah air. "Saya cuba halang tetapi tak sampai hati. Selama dua hari satu malam di sana, satu mesej pun dia tak kirim kepada saya. "Hati saya mula tak sedap. Tambahan pula, rakan sepejabat banyak membantu saya memantau dan menjejak di mana isteri serta teman lelakinya itu sehingga ke selatan tanah air," katanya. Menurutnya, selepas diyakinkan oleh rakannya, dia nekad menjejaki isterinya dan terkejut apabila mendapati hanya isteri dan teman lelakinya sahaja berada di sana. "Luluh hati saya bila melihat isteri berpeluk mesra dengan lelaki yang saya kenali di satu kawasan pantai di pulau terbabit. "Bagaimanapun, saya pasrah dengan apa yang berlaku sebelum membuat keputusan nekad menceraikan dia di hadapan teman lelakinya," katanya. -SH |
IAEA Sudah Peringatkan Jepun Soal Nuklear Sejak 2009 Posted: 17 Mar 2011 03:00 AM PDT London – Badan Tenaga Atom Antarbangsa(IAEA) telah memperingatkan Jepun dua tahun lalu bahawa gempa besar dapat menimbulkan masalah serius di loji nuklearnya. Dikutip dari Britain's Daily Telegraph, menurut kawat diplomatik Amerika Syarikat (AS) pada Disember 2008 yang diterima dari tapak WikiLeaks, ahli dari IAEA mengungkapkan kekhuwatiran bahawa reaktor nuklear di Jepun dirancang hanya tahan getaran gempa sampai kekuatan 7.0 skala richter saja. Pejabat IAEA dalam pertemuan G8 untuk membahaskan Keamanan dan Keselamatan Nuklear di Tokyo pada 2008 mengatakan bahawa langkah keselamatan yang dimiliki Jepun sudah ketinggalan zaman. "Pejabat IAEA menjelaskan langkah keselamatan gempa hanya disemak tiga kali dalam 35 tahun terakhir dan IAEA saat ini sedang mengkaji kembali langkah keselamatan tersebut. "Selain itu, IAEA mencatat gempa baru-baru ini, dalam beberapa kes, melebihi rancangan dasar untuk loji nuklear. Ini merupakan masalah serius yang mendorong harus digunakannya langkah keselamatan gempa bumi," demikian kenyataan dalam kabel diplomatik seperti dikutip AFP, semalam. Kerajaan Jepun menerima peringatan tersebut dengan membangunkan pusat darurat di Fukushima, namun reaktor hanya dirancang untuk tahan gempa berkekuatan 7.0 skala richter. Pakar-pakar di logi Fukushima hari ini berupaya untuk memulihkan sistem pendingin di Unit No 1 PLTN Fukushima yang rosak akibat gempa dan tsunami. Kawat diplomatik lainnya yang dikirim pada Mac 2006 menyatakan Jepun telah menentang perintah pengadilan untuk menutup loji nuklear di barat Jepun kerana diragukan loji tersebut mampu bertahan terhadap gempa bumi. Menurut kawat diplomatik tersebut, Badan Keselamatan Industri dan Nuklear Jepun yakin reaktor dalam keadaan aman dan semua analisis keselamatan telah dilakukan dengan teliti. |
[Video] Betapa Dasyatnya Tsunami Jepun 2011 - Lihatlah! Posted: 17 Mar 2011 02:20 AM PDT Menyaksikan video-video yang dilampirkan di bawah ini menjadikan hati-hati orang yang beriman semakin gementar dan semakin menebalkan iman dan taqwanya kepada Allah disamping membenarkan apa yang telah Allah s.w.t. sampaikan melalui ayat-ayatNya di dalam Al-Quran: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" Ar-Rum ayat 41 |
You are subscribed to email updates from Kelab Greenboc To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan