Kelab Greenboc |
- Gempa Bumi Susulan 6.0 Skala Richter Landa Pantai Timur Honshu
- Pegawai SPRM Akui Teoh Tidak Dibenarkan Pulang
- Khenduri Kahwin Bertukar Menjadi Majlis Tahlil
- Persis Berulangnya Peristiwa Perang Dunia
- Kebakaran Terbaru Di Reaktor Nuklear Jepun
- Bagaimana Kebocoran Bahan Radioaktif Di Logi Nuklear Fukushima Berlaku?
- Nahas Nuklear Jepun Hampiri Kes Chernobyl, Kerajaan Malaysia Tak Pandang Serius
- Telefon Bimbit Punca Lelaki Mati Pucuk - CAP
- Lelaki Itu Mahu "Bogelkan" Ummi Hafilda Sekali Lagi
- Apabila Bini Najib Perasan Dirinya Lebih Pandai Dari Pakar-pakar Jepun
- Malaysia Enggan Belajar Dari Kesengsaraan Jepun, Mahu Teruskan Juga Projek Nuklear
- WASPADA: 5 Sekeluarga Keracunan Akibat Makan Cendawan Tahun
- Penularan Radioaktif Ke Malaysia, Rakyat Tuntut Kerajaan Beri Penjelasan
- Karnival Kedah Cuba Disabotaj
- Bekas OCPD Diarah Bayar RM200 Ribu Kepada Pemimpin PAS
Gempa Bumi Susulan 6.0 Skala Richter Landa Pantai Timur Honshu Posted: 16 Mar 2011 12:45 AM PDT Gempa bumi berkekuatan 6.0 pada skala Richter berlaku lagi hari ini melanda di pantai timur Honshu, Jepun pada 11.52 pagi ini menyebabkan bangunan-bangunan di ibu kota Tokyo berggegar akibat gempa kuat itu, demikian laporan televisyen NHK. Belum ada laporan-laporan mengenai kerosakan atau mangsa korban dari gempa terakhir itu, kata badan siaran radio dan televisyen Jepun tersebut. Sementara itu pejabat berita Perancis AFP juga memberitahu, gempa kuat 6.0 pada skala Ricter itu melanda Lautan Pasifik, menurut Badan Meteorologi Jepun. Pejabat berita tersebut juga melaporkan, gempa tersebut menggoncang bangunan-bangunan di Tokyo dengan cukup kuat. Tidak ada peringatan tsunami segera dikeluarkan oleh pihak yang berkuasa, namun badan meteorologi mengingatkan kemungkinan meningkatnya tingkat air laut. Ini adalah salah satu gempa susulan berkekuatan besar setelah gempa dahsyat dengan kekuatan 8.9 atau 9.0 skala Richter yang disertai dengan tsunami yang menghancurkan wilayah Miyagi, Sendai dan menyebabkan kebakaran loji elektrik tenaga nuklear milik negara di Fukhusima minggu lalu. Operasi pencarian dan penyelamatan dengan bantuan pasukan berbagai negara hingga kini masih dilakukan. Pejabat setempat menganggar bilangan yang terkorban dan hilang mencapai 10,000 orang.
|
Pegawai SPRM Akui Teoh Tidak Dibenarkan Pulang Posted: 15 Mar 2011 11:50 PM PDT Suruhanjaya: Tidak Munasabah Teoh Beng Hock Ditahan KUALA LUMPUR: Suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membenarkan pembantu politik tersebut pulang selepas rakaman percakapannya dirakamkan sebagai perbuatan yang 'tidak munasabah'. Apatah lagi menurut Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen kehadiran Teoh di pejabat badan berkecuali tersebut bukanlah sebagai seorang suspek, sebaliknya sebagai saksi yang bersetuju untuk memberikan kerjasama dalam penyiasatan yang dijalankan. Bagaimanapun, pendirian itu tidak dipersetujui oleh Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM Selangor, Hairul Ilham Hamzah kerana berpandangan SPRM tidak pernah berniat untuk menahan atau melengah-lengahkan pembebasan Teoh. Menurut Hairul Ilham, rakaman percakapan Teoh yang dimulakan pada selepas pukul 12 tengah malam, 16 Julai 2009 merupakan satu prosedur biasa yang diguna pakai oleh SPRM dan tidak menyalahi peruntukan undang-undang. "Saya rasa dalam siasatan SPRM adalah sesuatu yang normal untuk kita memanggil saksi pada tengah malam," tambah beliau yang dipanggil sebagai saksi ke-22 pada prosiding Selasa. Selain itu, Hairul Ilham yang mengeluarkan arahan supaya Teoh tidak dibenarkan balik selepas selesai urusan semakan dokumen juga memberitahu, keterangan seorang saksi perlu dirakamkan dengan secepat mungkin. "Saya tidak mahu Teoh untuk memberikan keterangan yang difikirkan semula (after thought) iaitu keterangan yang direka-reka," kata beliau. Pada keterangan lain, saksi yang disoal oleh pegendali suruhanjaya, Awang Armadajaya Awang Mahmud juga menafikan bahawa beliau tidak mengambil berat akan kebajikan Teoh semasa mendiang berada di pejabat SPRM. "Saya selalu fikirkan tentang kebajikan. Tetapi dalam kes Teoh saya tidak mendapat sebarang makluman. Sekiranya ada masalah, pegawai-pegawai akan memberitahu saya," katanya. Mendengarkan jawapan saksi, James berkata: "Tetapi kamu sebagai seorang ketua seharusnya boleh menyemak, bertanyakan..." di mana Hairul Ilham berkata, beliau jarang berurusan secara terus dengan seorang saksi. James seterusnya berkata amalan yang digunakan oleh SPRM amat berbeza daripada amalan agensi-agensi kerajaan yang lain yang pada kebiasaannya akan cuba untuk memudahkan urusan kerja. James: SPRM tak buat begini... Susahkan dia. Tambahan pula dia bukan seorang suspek, dia adalah saksi. Hairul Ilham: Itu adalah cara kita bekerja. James: Saya ingin bertanya, adakah cara kerja ini perlu ditukar atau tidak? Adakah ini imej SPRM? Kamu sebagai seorang kakitangan mahukah imej begini? Hairul Ilham: (saksi tidak memberikan jawapan dan hanya memandang ke hadapan). James: Saya bangga dengan badan kehakiman. Kamu juga mesti mahukan perkara yang sama. Kamu sebagai seorang yang bekerja di sana mesti memberi cadangan kepada kami. Sementara itu, seorang lagi anggota suruhanjaya, Datuk Abdul Kadir Sulaiman mempertikaikan bagaimana saksi boleh berpendapat majikan Teoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah ada melakukan penyelewenggan sekiranya dokumen dokumen boleh diperoleh dari Pejabat Daerah. Tambahan pula, Abdul Kadir menyifatkan bahawa jumlah yang disyaki oleh SPRM hanyalah satu jumlah 'ikan bilis' berbanding dengan kes kes lain yang melibatkan 'jerung'. "Saya ingin membuat penjelasan. Pada tahun 2008, SPRM ada membuat siasatan terhadap dua ADUN Barisan Nasional. Modus operandi yang digunakan adalah sama. Melihat dokumen tiada yang sangsi, tapi bila kita pergi lihat maklumat terperinci tidak dibuat pun," jawab Hairul Ilham. Pakar Perunding Psikiatri, Profesor Mohamed Hatta Shaharom yang turut menganggotai suruhanjaya seterusnya mempertikaikan jawapan saksi yang banyak memberi jawapan berbentuk andaian yang disifatkan sebagai 'berbahaya' dengan kedudukan saksi yang menjawat jawatan sebagai seorang pegawai. Mohamed Hatta: Sepanjang lapan tahun kamu di situ, ada berapa kematian? Hairul Ilham: Ini kali pertama. Mohamed Hatta juga mempersoalkan sistem keselamatan bangunan pejabat tersebut apabila mendapat tahu bahawa laluan kecemasannya dikunci. "Jika begini, tikus pun tak nak duduk di situ,"tambah Mohamed Hatta. Suruhanjaya tersebut ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh, 30,yang ditemui mati di luar koridor tingkat lima Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini pada 16 Julai 2009, iaitu beberapa jam selepas hadir di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 plaza sama. Prosiding inkues yang dijalankan sebelum ini memberikan keputusan terbuka kerana tidak boleh memutuskan sama ada Teoh mati akibat membunuh diri atau pun dibunuh. Prosiding suruhanjaya akan bersambung pada hari ini. -mstar |
Khenduri Kahwin Bertukar Menjadi Majlis Tahlil Posted: 15 Mar 2011 10:21 PM PDT Kota Bharu – Majlis kenduri kahwin yang sepatutnya diadakan semalam bagi meraikan bakal pengantin bertukar menjadi jamuan makan dan tahlil ekoran kematian pengantin lelaki, Muhammad Nor Farhan, 26, yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2 Jalan Pasir Puteh-Jelor di Bukit Gedombak, dekat sini Khamis lalu. Bapa Muhammad Nor Farhan, Razali Salleh, 50, berkata, tindakan itu dilakukan bagi memenuhi hajat arwah anaknya yang ingin menjamu penduduk dan rakan-rakannya. Muhammad Nor Farhan sepatutnya bernikah dengan pasangannya, Tuan Norhidayah Tuan Lah, 24, pada pukul 8 malam hari kejadian. Bagaimanapun, pekerja Felcra itu maut empat jam sebelum bernikah apabila kereta jenis Proton Satria yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa sekam padi. Sebelum kejadian, anak sulung daripada enam beradik itu dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Kuala Berang, Terengganu ke rumahnya di Cabang Tiga, Pengkalan Chepa di sini. Bercerita lanjut, Razali memberitahu, tujuan dia sekeluarga mengadakan kenduri itu ialah untuk meraikan jemputan yang datang dari jauh dan yang tidak mengetahui mengenai nasib yang menimpa anaknya. Tinjauan Kosmo! pada pukul 11 pagi semalam mendapati, sebuah khemah berwarna biru dipasang dengan kerusi dan meja selain seekor kambing menjadi sajian tetamu. "Kejadian tersebut turut membuatkan saya merasa risau mengenai nasib lima lagi anak lelaki saya yang bakal berkahwin kelak. Mungkin kejadian itu akan berulang terhadap mereka. "Mereka bekerja jauh dan apabila pulang ke kampung, semuanya memandu kereta. Saya terlalu bimbang mengenai nasib mereka," ceritanya ketika ditemui di sini semalam. -kosmo |
Persis Berulangnya Peristiwa Perang Dunia Posted: 15 Mar 2011 09:38 PM PDT Natori: Hirosato Wako hanya mampu merenung kemusnahan penempatan kecil nelayan yang dipenuhi runtuhan bangunan, besi dan mayat dengan tangan yang kelihatan terkeluar. Hanya sekali beliau pernah melihat keadaan seperti itu, iaitu ketika Perang Dunia Kedua. "Saya tinggal ketika Sendai pernah dilanda serangan udara, tetapi kali ini ia lebih teruk," kata Wako, 75, merujuk kepada pengeboman di bandar raya terbesar di timur laut berkenaan. Bagi orang tua yang tinggal di perkampungan di pinggir pantai timur laut Jepun itu, ia bagaikan kembali kepada masa silam yang mana anak-anaknya tidak pernah mengetahuinya. Generasi tua yang terus tinggal berhadapan dengan kemusnahan dan kemungkinan pencemaran radiasi – satu cabaran dihadapi semula generasi itu selepas negara Matahari Terbit itu terpaksa dibangunkan semula berikutan tewas pada Perang Dunia Kedua pada 1945. Di perkampungan Yuriage, operasi mencari mangsa bertukar menjadi pencarian mayat. Kebanyakan mayat terbabit membabitkan golongan tua yang tidak bermaya untuk lari dari tsunami. Yuta Saga, 21, mengutip beberapa cawan yang pecah akibat gempa bumi apabila beliau terdengar bunyi siren dan jeritan 'tsunami!'. Beliau sempat menyambar tangan ibunya dan berlari ke sekolah tinggi, bangunan tertinggi di kawasan terbabit. Apabila tiba di sekolah, Saga dan ibunya mendapati tangga untuk naik ke bumbung dipenuhi orang tua yang tidak lagi berdaya untuk memanjatnya. Ada yang sekadar duduk atau berbaring di atas tangga terbabit. Dalam keadaan panik, penduduk muda mula menolak sesama sendiri dan memanjat mereka yang tidak bergerak atau menepis mereka untuk menuju ke atas. "Saya seperti tidak percaya. Mereka sekadar menolak orang tua. Orang tua terbabit langsung tidak dapat menyelamatkan diri," kata Saga. Saga masih ingat, seorang wanita menyerahkan bayinya kepada beliau. "Tolong sekurang-kurangnya selamatkan bayi ini," rayu beliau ketika air sudah mencecah bahagian dadanya. – Agensi |
Kebakaran Terbaru Di Reaktor Nuklear Jepun Posted: 15 Mar 2011 08:48 PM PDT Kebakaran terjadi lagi di sebuah reaktor nuklear Jepun hari ini, sehari setelah loji elektrik yang sama memancarkan letupan radiasi yang membuat penduduk Jepun semakin tegang. Gambar: GAMBAR menerusi televisyen Jepun menunjukkan kepulan asap putih selepas Loji Nuklear Fukushima Daiichi terbakar hari ini, akibat gempa bumi yang melanda Jepun, Jumaat lalu. - Foto Reuters Kebakaran tersebut segera dapat diasati. Namun, kerajaan Jepun harus tetap berjuang untuk mengatasi serangkaian krisis yang timbul setelah gempa dan tsunami pada minggu lalu. Kebakaran itu terjadi di reaktor nombor empat dari loji nuklear Fukushima Daiichi, pagi ini, kata Hajimi Motujuku, jurucakap Tokyo Electric Power (TEPCO), pengelola loji berkenaan. Asap telah mengalir dari atap reaktor nombor empat, kata Motujuku. "Kami segera memberi maklumat kepada kerajaan dan bahagian pemadam kebakaran mengenai hal itu. Kami sedang berjuang untuk mengatasi kebakaran tersebut," lanjutnya. Namun, beberapa saat kemudian muncul laporan bahwa kebakaran itu berjaya dikendalikan. "Kami telah menerima maklumat dari TEPCO bahawa api dan asap sekarang tidak terlihat dan tampaknya telah keluar dengan sendirinya," kata Minoru Ogoda, jurucakap Badan Keselamatan Nuklear Negara. Kebakaran dan letupan telah menghentam reaktor yang sama, semalam, yang menimbulkan keretakan di atap. Kerajaan telah melaporkan kerosakan pada sebahagian dari kontainer yang melindungi reaktor nombor dua di Fukushima, 250 kilometer di timur laut Tokyo. |
Bagaimana Kebocoran Bahan Radioaktif Di Logi Nuklear Fukushima Berlaku? Posted: 15 Mar 2011 06:45 PM PDT Krisis nuklear Jepun semakin buruk, menyusul letupan pada reaktor ketiga dan kebakaran pada reaktor keempat logi nuklear Fukushima Dai-ichi. Krajaan Jepun menyatakan bahan radioaktif yang terlepas dari reaktor berada pada tahap yang boleh merosakkan kesihatan manusia. Selain itu, risiko terjadinya kebocoran lebih lanjut sangat tinggi. PM Naoto Kan mengatakan radiasi telah tersebar dari keempat reaktor di logi nuklear Fukushima Dai-ichi. Ia meminta penduduk yang berada dalam radius 30 km untuk menutup rapat rumah mereka. "Tingkat radiasi sangat tinggi, dan masih banyak radioaktif yang akan terlepas," katanya. Bagaimana sampai terjadi kebocoran bahan radioaktif dari reaktor logi Fukushima Dai-ichi? Berikut penjelasannya: Gambar 1: Ketika terjadi gempa bumi, batang kontrol secara automatik bekerja untuk menghentikan reaktor Gambar 2: Meski reaktor telah mati, bahan bakar nuklear tetap menghasilkan panas. Sementara sistem pendingin, yang mengepam air pendingin ke dalam reaktor, gagal bekerja akibat gempa. Gambar 3: Dengan berhentinya kitaran air pendingin, air di dalam reaktor mendidih dan menciptakan uap. Sementara menurunnya jumlah air di dalam reaktor menyebabkan bahan bakar nuklear perpapar dengan gas, yang membuatnya semakin panas sehingga melelehkan wadah reaktor yang terbuat dari zirkonium. Gambar 4: Zirkonium bereaksi dengan uap, menciptakan gas hidrogen yang sangat tidak stabil. Para jurutera berupaya mengepam keluar gas hidrogen ini, namun meletup dan menghancurkan atap bangunan reaktor. Bahan radioaktif kini terlepas ke udara. Gambar 5: Para jurutera kini menempuh langkah tak biasa dengan mengepam air laut ke dalam reaktor sebagai bahan pendingin darurat. Mereka juga menggunakan asam boronik yang boleh merosakkan reaktor. |
Nahas Nuklear Jepun Hampiri Kes Chernobyl, Kerajaan Malaysia Tak Pandang Serius Posted: 15 Mar 2011 05:58 PM PDT Perancis: Serius nahas nuklear Jepun di paras enam, hampiri kes Chernobyl PARIS, 15 Mac — Pihak berkuasa keselamatan nuklear Perancis hari ini berkata keseriusan nahas nuklear loji Fukushima Daiichi di Jepun, milik Tokyo Electric Power, hari ini mencecah paras enam. Skala antarabangsa yang digunakan ialah satu hingga tujuh. Semalam, ASN memutuskan malapetaka itu di tahap lima atau enam. Loji itu terletak 240 kilometer ke utara Tokyo. Paras tujuh hanya digunakan sekali iaitu iaitu membabitkan loji Chernobyl di Ukraine pada 1986. Nahas di loji tenaga nuklear Three Mile Island di Amerika Syarikat pada 1979 hanya diklasifikasikan sebagai lima. Awal hari ini Perdana Menteri Jepun mengesahkan kebocoran radioaktif di loji itu manakala hampir 200,000 orang dipindahkan. — Reuters Ulasan GB Tatkala dunia sedang resah kerana kebocoran radioaktif di Jepun berikutan gempa bumi kuat yang mengegarkan negara itu, Malaysia tetap dengan cita-citanya membina loji tenaga nuklear, kata timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Katanya agensi tempatan akan melakukan yang terbaik bagi menjamin keselamatan di dua loji tenaga yang dijadual dibina di negara ini. "Semua negara di dunia memantau dan meneliti perkembangan di Jepun. Yang penting ialah soal keselamatan negara dan rakyat. Jadi dalam soal ini kita ada agensi yang bertanggungjawab. Mereka tahu apa yang mereka lakukan dan kita yakin mereka melaksanakan yang terbaik," katanya. Muhyiddin bercakap kepada pemberita selepas majlis Perasmian Penutupan Program Keluarga 1Malaysia, anjuran Kementerian Pelajaran, di Putrajaya hari ini. Demikian tahap mentaliti dan darjah akauntabiliti seorang TPM Malaysia bernama Muhyiddin, yang lansung tidak bertanggungjawab, sebaliknya melepaskan tanggungjawab itu kepada "agensi" yang dikatanya mereka melaksanakan yang terbaik." Sikap "ambil mudah" dan "apathetic" Muhyiddin adalah satu sikap yang merbahaya dan bakal mendedahkan rakyat kepada ancaman bahan radioaktif. Semalam GB menulis: ditanya mengenai kelulusan loji pemprosesan tanah jarang di Gebeng dekat Kuantan yang dikatakan telah diberikan kepada sebuah syarikat di Australia, dan mencetuskan kebimbangan ramai, Muhyiddin berkata beliau tidak pasti. "Jadi agensi-agensi yang relevan mesti kaji sebelum satu keputusan dibuat. Sama ada ia sudah dibuat keputusan atau tidak, saya tidak pasti," katanya. Seorang TPM, tidak pasti terhadap perkembangan yang berlaku ke atas satu projek yang begitu merbahaya kepada negara, tetapi masih terus mahu membelanya! |
Telefon Bimbit Punca Lelaki Mati Pucuk - CAP Posted: 15 Mar 2011 04:45 PM PDT George Town - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa pengguna telefon bimbit berisiko untuk mempunyai bilangan sperma yang kurang dan berkualiti rendah, selain terdedah kepada kemungkinan mengalami mati pucuk. Dakwaan CAP itu berdasarkan kepada beberapa kajian yang dilakukan berhubung penggunaan telefon bimbit. Bagaimanapun, CAP tidak menyatakan pihak yang melakukan kajian berkenaan. Presiden CAP, SM Mohamed Idris, berkata kajian itu mendapati mereka yang menggunakan telefon bimbit lebih empat jam sehari mempunyai bilangan sperma yang paling kurang dan paling rendah kualitinya. "Satu lagi kajian menunjukkan lelaki yang menyimpan telefon bimbit dalam poket seluar juga menghadapi risiko kerosakan sperma," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam. SM Mohamed berkata, pengguna yang menyimpan telefon bimbit dalam poket seluar akan terdedah kepada Frekuensi Radio (RF) lebih tinggi kerana antena biasanya berada di belakang dan hampir dengan tubuh badan. Katanya, doktor percaya kerosakan sperma mungkin disebabkan oleh radiasi elektromagnetik dari telefon bimbit atau haba yang dihasilkannya. "Oleh itu, penggunaan telefon bimbit secara berlebihan menjadi satu lagi faktor yang menyumbang kepada penurunan bilangan sperma selain obesiti, merokok dan tekanan," katanya. Beliau menjelaskan pengeluar telefon bimbit juga sudah mengeluarkan amaran mengenai risiko penggunaan telefon bimbit terhadap kesihatan. Contohnya, syarikat Apple dalam buku panduannya memberi amaran kepada pengguna supaya menjauhkan iPhone Inc jarak sekurang-kurangnya 15mm dari tubuh. Berikutan risiko penggunaan telefon bimbit itu, SM Mohamed menggesa kerajaan supaya mewajibkan setiap telefon bimbit mempunyai tanda amaran bahawa alat telekomunikasi itu berpotensi menjejaskan kualiti sperma dan meningkatkan risiko tumor otak. Kerajaan juga perlu memberi amaran kepada ibu bapa supaya tidak membenarkan anak mereka yang berusia 12 tahun ke bawah menggunakan telefon bimbit melalui kempen. -BH |
Lelaki Itu Mahu "Bogelkan" Ummi Hafilda Sekali Lagi Posted: 15 Mar 2011 03:40 PM PDT Baginda pula jelajah 'bongkar' Ummi Hafilda Bekas rakan niaga Ummi Hafilda Ali hari ini mengancam menjelajah ke seluruh negara bagi berceramah untuk mendedahkan apa yang dikatakan "skandal" wanita itu di masa lalu. Baginda Minda, yang mendakwa rakan niaga untuk projek berkaitan pembinaan Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA), berkata beliau tidak dapat menahan lagi dakwaan Ummi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Baginda mendakwa, ketika Ummi membuat pelbagai dakwaan, termasuk tentang moral ketua pembangkang itu, wanita itu sendiri mempunyai skandal dengannya di London. Menurut Baginda, Ummi tidak jujur apabila terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau awal bulan ini. Beliau yang mendakwa cukup mengenali Ummi mendakwa, wanita itu tidak akan melakukan sesuatu perkara jika tidak dibayar. Menyingkap perbicaraan liwat pertama terhadap Anwar pada lebih 10 tahun lalu, Baginda menuduh Ummi membuat perjanjian dengan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin supaya membuat pengakuan yang menentang ketua pembangkang. Baginda mendakwa perjanjian itu memerlukan Ummi berbohong di kandang saksi bagi membolehkan diberikan bahagian kecil dalam projek KLIA yang bernilai berbilion ringgit. Justeru, Baginda mendakwa Ummi telah ditipu Daim yang menyebabkan dia tidak mendapat apa-apa dan terpaksa "menjaja" isu Mohd Saiful Bukhari Azlan bagi mendapatkan wang. -mk IMBASAN
|
Apabila Bini Najib Perasan Dirinya Lebih Pandai Dari Pakar-pakar Jepun Posted: 15 Mar 2011 08:15 AM PDT Tsunami Jepun: Komen Rosmah dikritik hebat Rosmah seolah-olah tiada perasaan belas kasihan dan naluri sensitiviti terhadap kesusahan rakyat Jepun - Zuraida PETALING JAYA: Komen Rosmah Mansor bahawa berlakunya tsunami kerana kerajaan Jepun tidak menitik-beratkan faktor alam sekitar dan perubahan iklim dalam pembangunannya dikritik hebat dan menjadi tajuk utama berita antarabangsa, di laman sosial Facebook dan Twitter. "Dakwaan isteri Perdana Menteri itu bahawa kejadian tsunami di Jepun sebagai pengajaran kepada kerajaan Jepun amat dikesali," kata Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan media hari ini. Beliau berkata, kenyataan yang dilaporkan kepada Awani, menjadi tajuk utama berita antarabangsa CNN dan kini menjadi pendebatan hangat di laman sosial Facebook dan twitter. "Ini menunjukkan bahawa Rosmah seolah-olah tiada perasaan belas kasihan dan naluri sensitiviti terhadap kesusahan rakyat dan kerajaan Jepun yang kini sedang dalam keadaan getir menghadapi bencana yang melanda," katanya. Katanya lagi, "ini amat memalukan dan bertentangan dengan pengakuan beliau dan kerajaan Malaysia kononnya sebagai "First Lady" beliau banyak membantu dalam hubungan diplomatik dengan negara-negara lain. "Akibat komennya yang dangkal, seluruh Malaysia diketawakan dan dicemuh dunia. Ini lebih teruk kerana ia berlaku selepas kontroversi kartun yang menghina sensitiviti rakyat Jepun dan seluruh dunia," ujar beliau. Kejadian tsunami kuasa Allah Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, "kami ingin mengingatkan seluruh rakyat Malaysia bahawa peristiwa yang berlaku di Jepun adalah kuasa Allah yang telah menjadi ketentuanNya. "Malah, rakyat Jepun patut dipuji kerana tenang dan menerima ujian ini dengan sabar. Semasa Malaysia dilanda tsunami dalam tahun 2004, Jepunlah antara negara pertama yang menghulurkan bantuan. "Oleh itu, Rosmah patut minta maaf kepada rakyat dan kerajaan Jepun kerana sikap tidak sensitivitinya ini dan juga kepada rakyat Malaysia kerana memalukan nama Malaysia," tambahnya. -FMT |
Malaysia Enggan Belajar Dari Kesengsaraan Jepun, Mahu Teruskan Juga Projek Nuklear Posted: 15 Mar 2011 07:15 AM PDT TPM: Malaysia akan teruskan cita-cita nuklear Di sebalik kebocoran radioaktif di Jepun berikutan gempa bumi kuat yang mengegarkan negara itu, Malaysia tetap dengan cita-citanya membina loji tenaga nuklear, kata timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Katanya agensi tempatan akan melakukan yang terbaik bagi menjamin keselamatan di dua loji tenaga yang dijadual dibina di negara ini. "Semua negara di dunia memantau dan meneliti perkembangan di Jepun. Yang penting ialah soal keselamatan negara dan rakyat. Jadi dalam soal ini kita ada agensi yang bertanggungjawab. Mereka tahu apa yang mereka lakukan dan kita yakin mereka melaksanakan yang terbaik," katanya. Muhyiddin bercakap kepada pemberita selepas majlis Perasmian Penutupan Program Keluarga 1Malaysia, anjuran Kementerian Pelajaran, di Putrajaya hari ini. Berikutan magnitud 8.9 pada skala Richter yang menggoncang Jepun, tiga daripada reaktor nuklearnya di Fukushima, yang hanya kira-kira 250 km dari Tokyo menghadapi kemungkinan musnah. Puluhan ribu masyarakat yang tinggal berhampiran pusat itu juga terpaksa dipindahkan kerana kebimbangan kebocoran radiasi. Sebelum ini, Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air, Datuk Seri Peter Chin pada Disember lalu mengumumkan Malyasia akan membina dua loji tenaga nuklear yang mampu menjana 1,000 megawatts setiap satu. Loji pertama dijadual beroperasi pada 2021 manakala yang kedua setahun kemudian. 'Tidak pasti' Chin juga dilaporkan berkata semalam bahawa Agensi Nuklear Malaysia akan memberi penjelasan dalam tempoh terdekat mengenai impak letupan dan kebocoran radiasi di loji di Jepun itu. Ditanya mengenai kelulusan loji pemprosesan tanah jarang di Gebeng dekat Kuantan yang dikatakan telah diberikan kepada sebuah syarikat di Australia, dan mencetuskan kebimbangan ramai, Muhyiddin berkata beliau tidak pasti. "Kami faham penduduk bimbang tetapi beberapa syarat mesti dipatuhi seperti soal keselamatan dan alam sekitar. "Jadi agensi-agensi yang relevan mesti kaji sebelum satu keputusan dibuat. Sama ada ia sudah dibuat keputusan atau tidak, saya tidak pasti," katanya. Minggu lalu, akhbar harian Amerika, the New York Times (NYT) melaporkan pekan industri Gebeng berhampiran Kuantan bakal menyaksikan pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth) yang paling besar di dunia. Pusat penapiasan bernilai RM700 juta itu sedang dibina oleh syarikat Australia, Lynas Corp. Mereka akan menghantar tanah jarang yang dilombong di barat negara itu di Mount Weld dengan kapal. Ini adalah percubaan kedua Malaysia dalam penapisan tanah jarang, kali pertama menimbulkan kontroversi dan bantahan apabila ia cuba didirikan di Bukit Merah, Perak pada sekitar 1980an. 'Jangan percaya SMS' Muhyiddin juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya Malaysia juga terdedah kepada bahaya kesan radiasi akibat kebocoran loji janakuasa nuklear Fakushima Daiichi di Jepun. Menyifatkan penyebaran sms itu sebagai tidak bertanggungjawab, Muhyiddin berkata Malaysia selamat daripada sebarang ancaman dengan agensi terbabit sentiasa memantau perkembangan di Jepun dan di negara ini. Justeru beliau meminta orang ramai supaya tidak terpedaya atau panik sebelum meneliti kesahihan maklumat tersebut. "SMS itu dikeluarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Jangan kita mudah menerima apa sahaja yang dilaporkan itu dengan tidak menyemak. "Jangan kita timbulkan kebimbangan yang agak luar biasa, walaupun berlaku di Jepun tetapi sehingga orang ramai rasa takut untuk mengurus atau buat kerja seperti biasa," katanya.
Ulasan GB Inilah akibat Malaysia mempunyai seorang TPM yang bermentaliti rendah. Mungkin beliau ingat melihat anak-anak Malaysia satu hari nanti semuanya cacat-cacat belaka akibat dari kesan radioaktif. Muhyiddin berkata: Jadi dalam soal ini kita ada agensi yang bertanggungjawab. Mereka tahu apa yang mereka lakukan dan kita yakin mereka melaksanakan yang terbaik Sedangkan di Jepun sendiri, yang tenaga kepakaran mereka bertaraf dunia tidak mampu untuk menyekat bahan radioaktif terlepas "secara terus" ke atmosfera daripada tapak reaktor nuklear dengan kadar dos sehingga 400 milisievert sejam seperti dilaporkan di loji tenaga nuklear Fukushima. Menurut Persatuan Nuklear Sedunia, pendedahan terhadap dos melebihi 100 milisievert setahun adalah tahap yang boleh menyebabkan barah, inikan pula 400 milisievert! Kedua, ditanya mengenai kelulusan loji pemprosesan tanah jarang di Gebeng dekat Kuantan yang dikatakan telah diberikan kepada sebuah syarikat di Australia, dan mencetuskan kebimbangan ramai, Muhyiddin berkata beliau tidak pasti. Seorang TPM, tidak pasti terhadap perkembangan yang berlaku ke atas satu projek yang begitu merbahaya kepada negara, tetapi masih terus mahu membelanya! Justeru itu wajar rakyat menentang projek ini habis-habisan kerana jelas ia bukan satu projek yang lebih banyak membawa mudharat daripada menafaat kepada Malaysia. Untuk makluman, KPI Muhyiddin, hanya seinci lebih sedikit dari Pak Lah. |
WASPADA: 5 Sekeluarga Keracunan Akibat Makan Cendawan Tahun Posted: 15 Mar 2011 05:30 AM PDT Alor Setar - Akibat memakan cendawan tahun yang tumbuh di tepi sebuah terusan, lima sekeluarga di Kota Sarang Semut dekat sini dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini petang semalam selepas mengalami sakit perut dan muntah yang teruk. Gambar: Mahdzir Baharom, 53, ditemuramah oleh para wartawan di wad Hospital Sultanah Bahiyah selepas dimasukkan di hospital itu petang semalam akibat keracuran selepas memakan cendawan tahun semalam. Mahdzir Baharom dan isterinya serta tiga anak mereka dipercayai mengalami keracunan makanan selepas memakan cendawan itu tengah hari semalam. Cendawan tahun ialah sejenis cendawan yang tumbuh beberapa hari selepas berlakunya petir dan hujan lebat di sesuatu kawasan dan dipercayai tumbuh setahun sekali sahaja dan selalunya tumbuh di kawasan ladang kelapa sawit, getah atau kawasan berbusut. Mahdzir, 53, yang merupakan pesara tentera ketika ditemui di HSB hari ini berkata dia menjumpai cendawan itu yang tumbuh di tepi Terusan Wan Mat Saman. "Semasa saya pulang dari pekan Kota Sarang Semut, saya terlihat cendawan itu tumbuh subur di tepi terusan itu dan mengambilnya...hanya lauk itu sahaja makanan kami sekeluarga untuk tengah hari semalam," katanya. Katanya dia berasa pening ketika menunggang motosikal untuk berniaga ais kacang dari rumah ke rumah dan kemudiannya muntah-muntah dan mengambil keputusan pulang ke rumahnya di Taman Impian dan ketika sampai di rumah dia lihat isteri dan tiga anaknya juga mengalami keadaan yang sama. "Memandangkan keadaan semakin teruk, saya menghubungi abang untuk meminta bantuan, dia (abang) menghubungi polis dan ambulans dan membawa kami ke hospital," katanya. Isterinya, Faridah Yusof, 50, telah dibenarkan keluar dari hospital malam tadi manakala tiga anaknya Siti Nur hidayah, 22, Siti Nor Bazuri, 17, dan Syafikah, 13, masih di rawat di hospital yang sama. Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata mereka disahkan mengalami keracunan makanan dan keadaan mereka kini stabil dan menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika makan cendawan yang tumbuh liar di sesuatu kawasan. — Bernama |
Penularan Radioaktif Ke Malaysia, Rakyat Tuntut Kerajaan Beri Penjelasan Posted: 15 Mar 2011 04:42 AM PDT Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat berhubung kesan letupan ketiga di loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi di Jepun. Menurut Nurul Izzah, penjelasan mengenainya perlu kerana rata-rata rakyat di negara itu turut merasa bimbang akan kesan radiasi yang dihebah-hebahkan. "Apakah peratusan kemungkinan radiasi dari loji tenaga nuklear ini akan tiba di Malaysia, berdasarkan senario 'full meltdown'? "Pada masa yang sama, Kerajaan Pusat wajib menghentikan dahulu sebarang perancangan untuk membina loji tenaga nuklear mahupun pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth refinery) di negara ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. Tahap radiasi loji nuklear di utara ibu negara Jepun, Tokyo dikatakan meningkat 400 kali ganda hari ini di selepas negara itu digegarkan gempa bumi dan dibadai tsunami, Jumaat lalu. Angin perlahan yang bertiup dari loji nuklear Fukushima Daiichi dikatakan akan memberi kesan ke atas Kyoto termasuk Tokyo. Perdana Menteri Jepun juga menasihatkan rakyat yang berada pada radius 30km daripada loji nuklear supaya berada di dalam rumah kerana radiasi dilaporkan pada tahap yang boleh mengancam kesihatan. Menurut Nurul Izzah, perkembangan di Jepun itu terus menggusarkan rakyat di negara ini dan mempersoalkan tindakan kerajaan sama ada mempunyai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan akibat dari pencemaran nuklear jika berlaku. "Apakah langkah berjaga-jaga yang harus diambil rakyat Malaysia? Adakah Kerajaan Pusat benar-benar bersedia menghadapi situasi pencemaran nuklear yang mungkin terjadi? "Oleh itu, saya berharap agar pihak Kerajaan Pusat bertindak lebih pantas tetapi tepat dalam menerangkan situasi sebenar di Jepun serta apakah akibat yang mungkin dialami rakyat Malaysia di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak," katanya. -mk
Ulasan GB GB lihat ada sesuatu yang cuba disembunyikan kerajaan daripada rakyat Malaysia. Ini berkait rapat mengenai rancangan kerajaan untuk menneruskan pembinaan loji tenaga nuklear sekalipun telah ditentang oleh wakil pembangkang. Kenyataan Menteri Tenaga, Hijau dan Teknologi Datuk Seri Peter Chin semalam bahawa rancangan Malaysia untuk membina dua loji nuklear akan diteruskan meksipun Jepun berhadapan dengan masalah ekoran gempa bumi dan tsunami amat dikesalkan. |
Posted: 15 Mar 2011 03:48 AM PDT Risalah perlekeh kerajaan PR ALOR SETAR - Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan tiga risalah mempersendakan kerajaan PR di sekitar bandar raya Alor Setar sempena sambutan tiga tahun Kedah Sejahtera, malam semalam. Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, penyebaran bahan bercetak berunsurkan provokasi itu dikesan diedarkan pada malam pidato kemasyarakatan yang menampilkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. "Kita tidak pasti siapa di sebalik penyebaran risalah ini namun saya percaya ia didalangi pihak yang berkepentingan politik dan berduit kerana ketiga-tiga risalah itu berkualiti dan dicetak dalam kuantiti yang banyak," katanya selepas merasmikan Seminar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sempena sambutan tiga tahun Kedah Sejahtera. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Md Zuki Yusof dan ADUN Kota Darul Aman, Lee Guan Aik. Menurutnya, antara isi kandungan risalah terbabit memaparkan wajah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama DAP, isu azan yang dicetuskan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan sebuah buku komik yang bersifat perkauman. "Pihak terbabit didapati menggunakan pelajar sekolah untuk mengedar risalah itu dan ini adalah perbuatan tidak bermoral. Malah ketika pidato berlangsung, pihak berkenaan meletakkan risalah pada setiap cermin kereta yang di parkir di kawasan stadium," katanya. Ir Phahrolrazi berkata, pihaknya yakin perbuatan itu adalah bertujuan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap pentadbiran PR yang semakin mendapat sokongan rakyat sejak tiga tahun memerintah. Menurutnya, pihaknya juga menerima laporan terdapat lebih 40 kereta dipancitkan tayar sepanjang berlangsungnya pidato itu. "Perbuatan ini amat tidak bertanggung jawab. Perkara ini diserahkan pada urusetia untuk tindakan lanjut walaupun kami percaya ia dilakukan pihak luar yang tidak senang dengan penganjuran karnival Kedah Sejahtera," katanya. ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa tidak menolak kemungkinan risalah berkenaan ada persamaan dengan risalah politik yang diedarkan pada pilihan raya kecil DUN Merlimau. "Ada sedikit persamaan risalah berkenaan dengan di Merlimau, konsepnya sama cuma wajah pemimpin PR yang bertukar. Cerita atau isu yang dibangkitkan pun tidak sama, tetapi tujuannya sama iaitu untuk mencalarkan imej pemimpin PR," katanya. Menurutnya, perbuatan pihak terbabit tidak profesional dan dianggap melampau kerana cuba mengaitkan isu politik dengan penganjuran karnival untuk rakyat. Naib Pengerusi Perhubungan PKR Kedah, Saiful Izham Ramli berkata, usaha pihak tertentu yang membuat provokasi perkauman pada risalah terbabit adalah tidak wajar dan perlu dihentikan segera. "Pemimpin PR tidak pernah kacau pemimpin parti lain dalam program anjuran mereka, namun kenapa ada pihak yang tidak senang dengan penganjuran pidato ini yang diadakan sempena sambutan tiga tahun Kedah ditadbir PR. Ini adalah program kemasyarakatan bukan program politik semata-mata," katanya. -SH |
Bekas OCPD Diarah Bayar RM200 Ribu Kepada Pemimpin PAS Posted: 15 Mar 2011 02:19 AM PDT Kuantan - Mahkamah hari ini memerintahkan bekas Ketua Polis Rompin, Hanafi Daud membayar kepada Dr Hatta Ramli dan dua pimpinan PAS Pahang, Mazlan Yassin dan Nazri Ahmad sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi dan kos akibat daripada penangkapan dan penahanan yang tidak sah ke atas mereka bertiga di Markas PAS Rompin di Muadzam, Pahang pada 10 Mei 2004 lalu. Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuantan, Puan Sazlina Safie membuat keputusan tersebut hari ini setelah Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili defendan menyatakan kepada mahkamah bahawa anak guam beliau bersetuju membayar plaintif-plaintif RM200 ribu. Kes hari ini ditetapkan untuk perbicaraan taksiran gantirugi. Pada 26 Ogos 2009, Hakim Datuk Mariana Yahya telah memutuskan bahawa defendan telah menyalahgunakan kuasanya apabila membuat serbuan ke atas markas PAS dan menangkap serta menahan Dr Hatta, Mazlan dan Nazri. Hakim juga memutuskan bahawa ceramah PAS yang diadakan di dalam kawasan markas tersebut adalah satu perhimpunan yang sah dan tidak memerlukan permit polis kerana ia bukan tempat awam. Mahkamah juga memutuskan bahawa defendan juga telah melanggar Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberitahu plantif-plaintif atas alasan apa mereka ditangkap. Setakat ini, inilah kali pertama pihak OCPD disaman oleh pimpinan PAS di atas gangguan yang dilakukan oleh pihak polis ke atas ceramah PAS, hatta hakim sendiri menemplak defendan kerana mengganggu ceramah PAStersebut sedangkan ia berjalan secara aman dan telah banyak kali dijalankan di markas tersebut. Dr Hatta, Mazlan dan Nazri diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin manakala Hanapi Daud diwakili oleh Kamal Azira Hassan. -HD |
You are subscribed to email updates from Kelab Greenboc To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan