Kelab Greenboc |
- Terbakar Lagi - 2 Beranak Nyaris Maut
- Saman Ekor: DAP Cadang Heret Kerajaan Ke Mahkamah
- PAS Mengharapkan Tuhan Bekerja Untuknya?
- Pelanggan Kafe Siber Maut Diserang Sekumpulan 5 Lelaki
- Facebook Palsu Muslimat PAS Kelantan
- [Bergambar & Video] Skim Al-It'Am Kelantan - Kembalikan Hak Rakyat Kepada Rakyat
- Rumah Mewah Anak Ghaddafi Di London Ditawan Pemberontak
- Dasyat: Penyewa Tak Bayar Sewa Larikan Rumah Yang Disewa
- Pelajar Sekolah Bertudung Jual Tubuh RM10 Sejak Usia 15 Tahun
- Najib Semakin Keterlaluan Seolah Ajak Rakyat Ke Jalanraya
- Berjuta Ikan Mati Di LA
- PKR Desak Gobala Disiasat, UMNO BN Bakal Tumbang Dengan Sendirinya
- MB Kedah: 'BN Kedah Gila Talak'
- Najib Razak - Hosni Mubarak: Banyak Persamaan Yang Ketara
- UMNO Senawang Tak Hormati Titah Agong, Sebar Risalah Untuk Wujudkan Ketegangan Kaum
- Rakyat Tak Perlu Bayar Saman Apabila JPJ & Polis Sendiri Tak Patuh Undang-undang
Terbakar Lagi - 2 Beranak Nyaris Maut Posted: 11 Mar 2011 12:45 AM PST Bandar Jerantut – Dua beranak nyaris maut apabila kereta jenis proton Wira yang dipandu seorang wanita tiba-tiba mengeluarkan asap sebelum terbakar dalam kejadian kira-kira 1.05 petang semalam. Mangsa iaitu seorang suri rumah, Hasliza Sharif, 34, bersama anak lelakinya, Izul Hazim Zahari, 5, ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut. Menceritakan detik cemas itu, Hasliza berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja keluar dari arah lampu isyarat kompleks kerajaan menuju ke rumah setelah membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat asma. Menurutnya, mereka mendengar siaran radio ketika kejadian itu namun ia tiba-tiba terpadam sendiri. "Radio itu tidak berbunyi dan mati dengan sendirinya dan secara tiba-tiba, keluar kepulan asap kecil dari arah radio dalam kereta. "Mujur saya tidak panik dan cepat bertindak dengan memberhentikan kereta di bahu jalan. Saya mendukung anak dan berlari keluar untuk mendapatkan perlindungan agak jauh sedikit dari kereta itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian. Hasliza berkata, selepas keluar, asap hitam tebal mula memenuhi kereta diikuti percikan api yang seterusnya marak membakar seluruh kereta. Menurutnya, dia tidak pernah berhadapan dengan kes kemalangan dan kejadian itu pertama kali ditempuhinya sepanjang memiliki lesen dan memandu kenderaan. "Walaupun kereta musnah terbakar, saya amat bersyukur kerana kami dua beranak selamat. Hanya nyawa yang difikirkan ketika itu dan bantuan orang ramai menghubungi bomba juga amatlah dihargai sepenuhnya. "Bekalan ubat yang diperoleh dari hospital juga turut terbakar bersama kereta, namun dokumen penting sempat diselamatkan," katanya. Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Ali Abdul Rahman berkata, dia sendiri terkejut apabila pertama kali melihat insiden kereta terbakar. Menurutnya, tiada sesiapa berani mendekati kenderaan itu kerana bimbang ia meletup, namun dia dan anaknya nekad untuk berjumpa mangsa dan memberikan pertolongan termampu. "Syukur semuanya selamat dan atas bantuan orang ramai serta bomba, keadaan dapat diselamatkan daripada menjadi lebih teruk," katanya. Catat empat kes kebakaran kenderaan Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Yahaya Hanafi berkata, kejadian kebakaran kereta semalam merupakan kes keempat dicatatkan berlaku pada tahun ini. Menurutnya, kes kenderaan terbakar itu membabitkan tiga kereta dan sebuah lori pada awal tahun ini. "Kita masih menyiasat punca kenderaan semalam terbakar dan pemandu diharap tidak panik jika berdepan dengan kes sebegini. "Jika berlaku masalah, mereka diharap dapat bertindak segera dengan memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan keluar menyelamatkan diri terlebih dahulu," katanya. Bagi Ketua Operasi Balai Bomba Penyelamat Jerantut, Osman Malik pula berkata, satu jentera dengan kekuatan enam anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus mendapat aduan semalam. Menurutnya, tiada sebarang kecederaan berlaku berikutan mangsa sempat menyelamatkan diri, manakala operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya kira-kira sejam kemudian. -SH |
Saman Ekor: DAP Cadang Heret Kerajaan Ke Mahkamah Posted: 11 Mar 2011 12:14 AM PST Manjung – DAP Perak akan membawa isu saman ekor ke mahkamah jika gagal diselesaikan selepas tempoh lanjut berakhir semalam. Pengerusi DAP Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, beliau menjuruskan perkara itu kepada kesilapan saman ekor ke atas beberapa individu yang tidak pernah melakukan kesalahan sepertimana notis tawaran kompaun saman ekor. Menurutnya, perkara itu adalah mengikut peruntukan undang-undang yang mengatakan seseorang individu tidak boleh dianggap bersalah, selain dibuktikan dalam mahkamah. "Perlembagaan jelas mengatakan, tindakan tidak boleh diambil ke atas individu sebelum dibuktikan bersalah dalam mahkamah termasuk menahan cukai jalan mengikut peruntukan undang-undang negara ini. "Ada banyak kes yang diadukan termasuk kepada saya sendiri apabila individu berkenaan jelas tidak melakukan kesalahan seperti dinyatakan dalam notis tawaran kompaun saman ekor," katanya kelmarin. Koo Ham berkata, beliau mendapat aduan dua kes terbaru di mana melibatkan seorang guru apabila tarikh dan masa yang dinyatakan dalam notis berkenaan adalah waktu beliau berada di sekolah dan sedang mengajar. Satu kes lagi, berkenaan kesilapan jenis kenderaan iaitu nombor pendaftaran kenderaan yang di saman didaftarkan ke atas kereta, bukan motosikal sepertimana dinyatakan dalam notis tawaran kompaun saman ekor. "Kita telah menghantar surat kepada polis meminta supaya notis tawaran kompaun saman ekor yang silap dikeluarkan ini dibatalkan, tetapi polis enggan berbuat demikian. Sehubungan itu, beliau meminta rakyat bersatu hati menentang sikap kerajaan berhubung isu saman ekor. -SH
|
PAS Mengharapkan Tuhan Bekerja Untuknya? Posted: 10 Mar 2011 11:00 PM PST Amaran keras dari Merlimau, Kerdau Oleh Ahmad Lutfi Othman Kekalahan "teruk" PAS di Kerdau dan Merlimau -- dengan majoriti BN yang lebih besar -- mengundang banyak kritikan. Saya kira, adalah baik sekiranya pemimpin PAS dapat meneliti setiap teguran yang dikemukakan bagi melakukan proses penambahbaikan. Tentunya dalam PAS sindrom penafian belum menjadi wabak sehingga segala pandangan berbeda diketepikan begitu sahaja. Bukankah siri pilihan raya kecil selepas tsunami politik Mac 2008, sama ada mencatatkan kemenangan atau kekalahan, dapat menghimpunkan iktibar sekali gus mendorong pembaharuan dilakukan sebelum Parlimen dibubarkan nanti? PRU13 dijangka merupakan "medan pertempuran" paling sengit bakal disaksikan sepanjang sejarah pilihan raya di negara kita. Buat pertama kali rakyat Malaysia benar-benar ada pilihan dan berpeluang untuk menukar kerajaan persekutuan. Justeru, semua parti politik begitu serius mengatur persiapan rapi daripada semua segi, selain bersedia mengambil manfaat daripada apa jua insiden, khususnya kelemahan yang tertonjol dalam pilihan raya kecil, bagi memastikan target tidak tersasar. Umumnya, Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional kini masih dalam keadaan bertahan. Daripada 16 kali pilihan raya kecil, kedudukannya seri 8-8. Namun, yang lebih menarik perhatian umum adalah kawasan-kawasan yang menyaksikan peralihan kerusi. PAS dapat merebut satu kerusi Umno, Parlimen Kuala Terengganu tetapi hilang Dun Galas, manakala DAP mencipta sejarah di Sibu dan MIC berjaya merebut Hulu Selangor. Di Semenanjung, selepas BN meningkatkan undi di Bagan Pinang, parti yang menerima tamparan hebat pada Mac 2008 itu terus melonjak. Selain berjaya merampas kerusi KeADILan di Hulu Selangor, Umno menguasai semula Galas dan meningkatkan majoriti kemenangan di Tenang, Merlimau dan Kerdau. Bagi PAS, kekalahan dengan kemerosotan undi di Melaka dan Pahang (sebelum itu Johor) perlu dibedah-siasat secara menyeluruh. Segala kealpaan atau kepincangan harus diakui bagi dirumuskan jalan keluar yang tepat dan berkesan. Reformasi masih sempat dilakukan jika didapati ia memerlukan berbuat demikian. (Sehebat mana pun sesebuah parti, ia masih terbuka kepada pembaharuan). Tiada hinanya mengaku kesilapan dan bersedia membuat pembaharuan daripada hanya berkeras menyalahkan pihak musuh. Mungkin ia bukan lagi melibatkan perubahan dalam soal-soal taktikal dan penyelarasan jentera pilihan raya, tetapi juga membabitkan hal-hal lebih besar seperti penekanan, keutamaan dan pendekatan parti. Sebarang persepsi negatif tidak boleh dibiarkan biarpun ia mungkin nampak tidak berasas. Dan yang perlu dirombak atau diperbetulkan bukan sekadar berkaitan sesebuah parti yang bertanding, misalnya PAS dalam kes Kerdau dan Merlimau, tetapi juga parti-parti sekutu, seperti KeADILan dan DAP. Bagi Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Sufian, kejayaan Umno-BN di Merlimau dan Kerdau, dengan majoriti lebih besar memberikan signal jelas kepada Pakatan bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan sokongan rakyat. Isu-isu yang memberi kelebihan kepada Pakatan dalam PRU12 mungkin tidak lagi memberi kesan kepada pengundi. Tambahnya, trend nasional menunjukkan pengundi Melayu masih memihak BN. Beliau turut menegur pendekatan PAS menangani beberapa isu lokal, termasuk berkaitan Felda. "Misalnya, bagaimana hendak mengatasi perasaan terima kasih kepada kerajaan yang masih sangat tebal?" ujarnya. Dahulu, ketiga-tiga negeri di selatan yang menjadi gelanggang siri pilihan raya kecil terkini itu bukan dikira wilayah tradisi PAS (walaupun prestasi PAS di Pahang pada 1999 boleh dianggap membanggakan juga). Bagaimanapun selepas 2008, apabila Putrajaya dilihat turut terbuka untuk dikuasai Pakatan, maka setiap kerusi tidak boleh diremehkan. Di pihak Pakatan, sasaran bukan lagi menjadi pembangkang yang kuat di peringkat Dun, tetapi adalah mengambil alih teraju pemerintahan negeri-negeri berkenaan. Tidak pelik apabila pemimpin BN sering mengingatkan agar setiap penggerak kempennya agar tidak memandang rendah kemampuan calon Pakatan meskipun melibatkan kerusi yang dahulunya tidak tergambar dapat dimenangi pihak lawan. Segala kekuatan dan sumber (tentunya daripada kerajaan) dikerah semaksimum mungkin. Sepanjang kempen, media, khususnya akhbar harian dan siaran berita TV, diperalatkan dengan begitu dahsyat. Lihatlah cara agresif Ali Rustam dan Adnan Yaakob berkempen. Mungkin komitmen mereka menemui pengundi jauh lebih besar berbanding sikap sebahagian pemimpin Pakatan sendiri. Sementara itu, penganalisis politik, Dr Abu Hassan Hasbullah mendedahkan, kekalahan berturut-turut PAS itu juga menunjukkan wujudnya kelemahan dari aspek strategi, taktikal dan operasi politik apabila kepentingan-kepentingan demografi, geografi dan antropologi politik tidak diterjemahkan dengan sempurna sebaliknya kebergantungan terhadap kepercayaan dan amalan politik lama. "PAS belum mampu memperbaiki imej dan strategi dengan mengukuhkan bentuk dan kandungan pembawaan politik yang lebih moden, lebih dinamik, lebih pragmatik tanpa bergantung secara total pada nilai-nilai ulama, sebaliknya mesti menjadi sebuah sistem dan organisasi yang memiliki kekuatan kedua-duanya iaitu ulamak dan profesional," tegasnya. Seterusnya beliau menggesa PAS agar mempunyai strategi komunikasi dan rencana ekonomi, politik dan sosial yang benar-benar bersepadu dan terancang dalam membina kepercayaan, terutama di kalangan orang Melayu. "Kepercayaan ini tidak hanya boleh dibina dengan nilai-nilai perlawanan setiap masa, ada kala nilai-nilai progresif iaitu konstruktif perlu dibentuk juga. PAS perlu melihat sikap baru yakni menerima intelektualisme, profesionalisme, progresvisme sebagai bentuk dan kandungan politik maka barulah masyarakat akan lebih menerima dan yakin," tambah Dr Abu Hassan. Kerdau dan Merlimau membabitkan dua Dun di kawasan majoriti Melayu ketika slogan "PAS Ganti Umno" mula dipopularkan. PAS pula pada akhir Februari lalu menggariskan 12 jaminan yang ditawarkan kepada orang Melayu. Di Tenang, PAS turut dilihat gagal menarik sokongan pengundi Melayu. Malah sebelumnya juga di kerusi majoriti Melayu, di Manek Urai, Kelantan, walaupun PAS bertahan tetapi majoritinya jauh merosot, daripada 1,352 undi kepada hanya 65. Ramai pemerhati menjangkakan pengundi Cina masih meyakini Pakatan dalam PRU13 nanti. Mereka bimbang masyarakat India akan kembali kepada BN. Lebih kritikal adalah sikap pengundi Melayu. Jika mereka bertahan seperti tahun 2008, BN tetap mengekalkan kuasa, tetapi andai kata benar pengundi Melayu (apatah lagi jika membabitkan orang muda dan kelas menengah) mulai mempercayai Umno, Pakatan berada pada kedudukan berbahaya. Apakah sebilangan besar pengundi Melayu masih sangsi dengan keupayaan, kemampuan dan keikhlasan PAS untuk membela dan mempertahankan hak Melayu, seperti sering ditohmahkan? Berkesankah propaganda media yang membayangkan PAS hanya alat kepada DAP dan mudah bertolak-ansur sehingga meleburkan prinsip perjuangan? Ataupun, pimpinan PAS dianggap tidak berketrampilan untuk sama-sama menerajui Pakatan bagi membentuk kerajaan persekutuan nanti? Bagi sesetengah pemerhati politik, PAS yang mendapat manfaat besar daripada peralihan undi orang Melayu pada 1999 kini seolah-olah berada di persimpangan. Apakah ia terpaksa menukar strategi untuk menawan hati pengundi Melayu? "PAS tidak boleh dilihat panik mengubahsuai pendekatan politiknya, dibimbangi pengundi bukan Melayu curiga dengannya, tetapi orang Melayu pula, terutama di luar bandar, masih ragu-ragu memberi sokongan," kata seorang pensyarah IPTA. "Mesej pilihan raya kecil memang penting tetapi ia harus ditafsirkan seadanya sahaja," tambahnya. Dalam pada itu, ada pemimpin PAS sendiri yang membuat teguran sinis: "Tak ramai wakil rakyat kita yang turun berkempen, apatah lagi untuk berkampung di sana, seperti dilakukan pemimpin tertinggi BN dan para menterinya. Ramai pemimpin PAS yang berkempen 'Touch-N-Go' saja, sekadar berceramah, tidak menyapa dan menyantuni rakyat secara dekat dan rapat, malah ada yang tak turun langsung. Hinggakan saya sendiri malu untuk bermunajat dengan Tuhan meminta pertolongan. Apakah kita sudah bekerja bersungguh-sungguh atau hanya mengharapkan Tuhan bekerja untuk kita?" Blogger Nobisha, dalam analisisnya terhadap keputusan di Merlimau dan Kerdau menekankan: "Sejak mara bergaya dalam pilihan raya umum pada Mac 2008, parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah melakukan banyak kesilapan. Malangnya, apabila ada pihak yang menegur, maka mereka dilabel sebagai pecacai Uumno atau BN. Akhirnya, ramai juga yang mengatakan, biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya. Nak kritik tak boleh, nak tegur pun tak boleh. Semua orang yang menegur Pakatan Rakyat dianggap "jahat" dan mempunyai motif tersembunyi. Mungkin atas sebab itu jugalah, sesetengah bloggers pro-Pakatan Rakyat mendiamkan diri sewaktu PRK Merlimau dan Kerdau." Beliau turut memuji sikap Pengerusi BN, Najib Razak, yang dilihat lebih reseptif kepada kritikan. Nobisha yang sering diundang dalam Analisis Awani, terutama pada malam keputusan pilihan raya kecil diumumkan, menulis: "Saya fikir "transformasi politik" yang disebutkan Najib adalah merupakan respon beliau kepada kritikan rakyat yang ingin melihat BN berubah. Kesediaan Najib untuk berubah adalah merupakan satu sikap yang cukup merendah diri. Bukan mudah untuk melihat pemimpin politik berkata, "saya sanggup berubah"." Mungkin pandangan-pandangan yang dilemparkan itu tidak menggambarkan realiti sebenar, namun banyak manfaatnya jika kritikan berkenaan boleh diolah untuk kebaikan parti. Ulasan GB GB dah utarakan di dalam tulisan ini: Teropong: Ada YB PAS Tak Turun Bantu Kempen Di Merlimau & Kerdau |
Pelanggan Kafe Siber Maut Diserang Sekumpulan 5 Lelaki Posted: 10 Mar 2011 09:00 PM PST Kuala Lumpur – Seorang pelanggan sebuah pusat Internet maut selepas tengkuknya patah akibat terjun dari tingkat satu bangunan lot kedai empat tingkat di Taman Melati, Wangsa Maju di sini semalam. Gambar: TEMPAT Khairul Helmi ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan lot kedai ketika cuba menyelamatkan diri daripada diserang lima lelaki di Taman Melati, Kuala Lumpur semalam. Kejadian itu berlaku ketika mangsa cuba menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa serangan sekumpulan lima lelaki. Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, dua pelanggan lain di pusat Internet itu patah kaki kerana terjun dari tingkap di tingkat satu bangunan kedai itu. Seorang pelanggan pusat Internet itu pula dibawa lari menaiki sebuah kereta dan sehingga petang semalam polis belum mengetahui nasib pelanggan itu. Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad berkata, sebelum kejadian, pemuda yang terbunuh itu Khairul Helmi Kamaruddin, 22, mengunjungi pusat Internet itu sebelum sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang, batang besi dan juga rantau menyerang premis itu. -kosmo
|
Facebook Palsu Muslimat PAS Kelantan Posted: 10 Mar 2011 08:18 PM PST Kota Bharu: Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan mendedahkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah membuka akaun facebook dengan menyamar sebagai milik dewan berkenaan. Setiausahanya, Zainiah Abdul Halim ketika memberitahu Harakahdaily berkata, individu atau pihak tersebut telah menyamar menggunakan nama "Muslimah Pas Negeri Kelantan". Katanya, bukan sahaja membuka facebook sebaliknya telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan serta tidak sejajar dengan dasar perjuangan PAS. Sehubungan itu, menurutnya, DMPN Kelantan dengan tegas meminta pihak yang tidak beretika itu menutup akaun facebook tersebut dengan segera. Zainiah juga turut berpendapat, facebook itu diwujudkan bertujuan untuk memburukkan imej PAS di samping memberi gambaran buruk pada masyarakat berhubung dasar perjuangan parti yang kini semakin diterima pelbagai bangsa dan rakyat di negara ini. "Facebook rasmi Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan adalah "Dewan Muslimat Pas Kelantan"," ujarnya pada satu kenyataan. -HD |
[Bergambar & Video] Skim Al-It'Am Kelantan - Kembalikan Hak Rakyat Kepada Rakyat Posted: 10 Mar 2011 06:53 PM PST Salor, Kelantan - Lebih 100 orang rakyat di DUN Salor yang terdiri dari warga tua, orang kurang upaya, anak yatim, golongan miskin yang layak telah menerima bantuan beras percuma melalui Skim Al-It'Am kerajaan negeri Kelantan . Skim Al-It'Am yang dioperasikan oleh kerajaan negeri Kelantan di seluruh DUN dalam negeri kelantan adalah untuk membantu meringankan beban rakyat yang amat memerlukan bantuan dan pembelaan tambahan pula semasa era kenaikan barangan makanan dan minyak serta pelaksanaan kutipan saman ekor. Bantuan disampaikan kepada rakyat dalam satu majlis ringkas di dalam rutin perjumpaan ramah mesra di antara ADUN Salor, YB Dato Haji Husam Musa dengan rakyat di DUN Salor. YB Dato Haji Husam Musa yang juga Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan dilaporkan berkata "Ini beras milik rakyat, jadi kerajaan kelantan bertanggungjawab beri semula kepada rakyat yang memerlukan bantuan dan pembelaan tanpa memaksa rakyat untuk mengisi borang untuk menjadi ahli parti PAS dan mendengar ceramah berjam-jam lamanya". Lebih ramai lagi rakyat kelantan yang akan dapat dibantu oleh kerajaan negeri jika royalti petroleum dikembalikan kepada rakyat kelantan yang berhak menerimanya. Beliau juga turut menyentuh bahawa Skim Al-It'Am mungkin adalah 1 % dari gerak kerja pelaksanaan awal isi kandungan di dalam buku Jingga Pakatan Rakyat. Kerajaan pakatan rakyat juga tidak ingin melihat rakyat terus hidup miskin dan susah, malah ingin membantu rakyat hidup berdikari memajukan sosio-ekonomi mereka. YB Dato Haji Husam Musa juga merujuk kepada Kejatuhan Maharaja Czar di Rusia pada zaman dahulu adalah kerana membuat zalim kepada rakyat sehingga rakyat yang hidup susah kebuluran tanpa makanan manakala pemerintah hidup bermewah-mewah. YB Dato Haji Husam Musa juga berkata bahawa Kerajaan negeri Kelantan akan terus membela nasib rakyat yang memerlukan merangkumi Rohani dan Jasmani. -husammusa.com Pemimpin yang durhaka kepada Rabbnya (Tuhannya) dan bertindak zalim kepada rakyatnya menjadi sebab dihancurannya suatu negeri. Allah Ta'ala berfirman, |
Rumah Mewah Anak Ghaddafi Di London Ditawan Pemberontak Posted: 10 Mar 2011 06:08 PM PST Setinggan, pembantah duduki rumah anak Gaddafi LONDON: Kira-kira 20 setinggan dan orang buangan Libya menduduki sebuah rumah milik Encik Saif Al-Islam, anak lelaki pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, yang bernilai lebih £12 juta (RM58.5 juta) di London, kelmarin. Para aktivis menggantung sepanduk di bumbung rumah yang diperbuat daripada batu bata itu sambil menggesa Encik Gaddafi 'Keluar dari Libya' dan 'Keluar dari London'. Polis berkata mereka tidak membuat tangkapan dan menganggap pendudukan itu satu 'perkara sivil'. Encik Saif Al-Islam membeli rumah di kawasan Hampstead Garden Suburb, di utara London, yang eksklusif pada 2009, kata laporan media. Rumah empat tingkat itu diiklan untuk dijual di laman web hartanah setempat dengan harga £pounds;12.5 juta. Para setinggan yang menggelar diri mereka sebagai 'Topple the Tyrants' itu berkongsi rumah itu dengan para pembantah daripada kumpulan anti-Gaddafi dan Kempen Perpaduan Britain-Libya (BLSC). Mereka memanjat bumbung rumah itu dan mengibarkan bendera. 'Kami mahu memberitahu rejim Libya bahawa (pemerintahan) mereka sudah tamat dan mahu memastikan Gaddafi tidak diingini di Britain,' kata Encik Azeldin El Sharif kepada agensi berita Reuters. Salah seorang setinggan, yang hanya memberi namanya sebagai Encik Dariush, berkata: 'Kami sudah menduduki rumah ini dalam perpaduan dengan orang-orang yang berjuang di Libya dan kami berhasrat mendudukinya sehingga ia diberi semula kepada rakyat Libya.' Encik Saif Al-Islam adalah bekas mahasiswa Sekolah Ekonomi London, yang pengarahnya, Encik Howard Davies, minggu lalu terpaksa meletak jawatan kerana menerima pembiayaan daripada sebuah badan kebajikan kendaliannya. Britain membekukan aset yang dimiliki dan dikuasai Encik Gaddafi dan anak-anaknya, yang dilaporkan bernilai beberapa bilion dolar di London. -- Reuters. |
Dasyat: Penyewa Tak Bayar Sewa Larikan Rumah Yang Disewa Posted: 10 Mar 2011 04:52 PM PST Kangar – Setelah lima bulan tidak mendapat duit sewa, seorang pemilik rumah tergamam apabila mendapati kediamannya itu 'lesap' dipercayai dilarikan penyewanya di Kampung Bakau di sini baru-baru ini. Pada mulanya, pemilik rumah tersebut, Zuria Ali, 30, tidak mempercayai berita orang kampung yang memberitahu rumah papan dua tingkat itu 'lesap'. Dia yang tinggal di Perak kemudian balik ke Kampung Bakau pada Jumaat lalu dan terkejut apabila melihat rumahnya betul-betul sudah tiada. Apa yang tinggal di tapak rumah itu hanyalah 24 pelapik tiang, cebisan papan buruk yang berselerak dan televisyen yang sudah rosak manakala bahagian bumbung, dinding papan dan tiang rumah sudah dikebas. Cerita Zuria, banyak perkakas dalam rumah miliknya turut dikebas antaranya pinggan mangkuk, almari, perabot, meja makan dan peti sejuk. "Saya mengesyaki penyewa sebelum ini terlibat membawa lari rumah saya selain tidak membayar sewa," katanya yang kemudian membuat laporan polis. Zuria memberitahu, rumah pusaka tersebut berusia lebih 60 tahun dan selama ini dijaga oleh rakannya, Rosni Putih, 57, bagi mengutip sewa RM100 sebulan daripada sebuah keluarga yang tinggal di rumah itu sejak lima tahun lalu. |
Pelajar Sekolah Bertudung Jual Tubuh RM10 Sejak Usia 15 Tahun Posted: 10 Mar 2011 04:15 PM PST Kota Kinabalu: Hanya RM10. Itu bayaran dikenakan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang masih bersekolah kepada rakan sekelas yang mahu mengadakan hubungan seks dengannya. Remaja berkenaan juga tidak kisah melakukan perbuatan terkutuk itu pada siang hari di hotel murah pilihannya dan lebih memeranjatkan sudah melakukannya sejak berusia 15 tahun lagi. Dalam pertemuan dengan wartawan Harian Metro, pelajar itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lina berkata, dia mula membabitkan diri dengan kegiatan tidak bermoral itu selepas dipengaruhi beberapa rakan wanita lebih tua yang dikenalinya ketika melepak di kompleks beli-belah di bandar raya ini. "Ketika itu, saya memerlukan wang untuk membeli pakaian berjenama selain mendapatkan peralatan sekolah lebih lengkap, sedangkan keluarga tidak mampu menyediakannya termasuk buku latihan disebabkan faktor kemiskinan," katanya. Lina berkata, selepas menceritakan masalah kewangan dihadapinya, seorang rakan mempengaruhi supaya melakukan pekerjaan itu kerana boleh memperoleh wang dengan mudah. "Pada mulanya, saya pelik dengan pekerjaan ditawarkan kerana dibawa ke sebuah bilik hotel dengan alasan untuk 'ditemu duga' sebelum didatangi seorang lelaki berusia sekitar 30-an. "Sebelum berbual, saya melihat lelaki berkenaan menyediakan segelas air sebelum memasukkan sejenis pil lalu mengarahkan saya meminumnya dengan alasan untuk menghilangkan perasaan takut dan gemuruh," katanya. Katanya, selepas beberapa minit meneguk air berkenaan, dia berasa ghairah sebelum lelaki berkenaan mengarahkannya berbaring. "Saya hanya tersedar beberapa jam selepas itu dalam keadaan tidak berpakaian. Pada masa itu, saya hanya mampu menangis, namun ditenangkan rakan itu sambil menunjukkan sejumlah wang untuk saya," katanya. Lina berkata, selepas kejadian itu, dia semakin ketagih untuk melakukan hubungan seks dan mula menawarkan diri kepada rakan lelaki yang dikenali saja. "Selepas kejadian itu, saya sering mengulangi perbuatan sama terutama selepas waktu sekolah hingga mampu hidup senang. "Bagaimanapun, disebabkan terlalu kerap melakukan hubungan seks dengan pelbagai lelaki, saya mengalami jangkitan kuman pada kemaluan," katanya. Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia berhenti daripada kegiatan itu dan akhirnya menyesal dengan apa dilakukannya. "Mungkin itu balasan atas perbuatan saya kerana mahu mencari wang dengan mudah. Mujur saya tidak mengandung, jika tidak pasti nasib lebih buruk," katanya. -hm Ulasan GB Moralnya: Kisah di atas baru seorang. Sudah pasti ada yang lain-lain. Bukan sahaja di KK, tetapi seluruh negara. Msti ada usaha bersepadu untuk mengesan dan menjejaki kes-kes seperti di atas dan juga kesungguhan yang berterusan jika kita menganggap ia sebagai sesuatu yang serius. |
Najib Semakin Keterlaluan Seolah Ajak Rakyat Ke Jalanraya Posted: 10 Mar 2011 02:42 PM PST Pilihanraya: Najib keterlaluan, seolah ajak rakyat ke jalan raya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kini dilihat semakin keterlaluan sehingga seolah-olah telah mengundang rakyat mengalihkan tumpuan daripada pilihan raya kepada demonstrasi ke jalan raya. Sehubungan itu, Badan Bertindak Demokrasi PAS dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) II menuntut pihak pemerintah supaya mengadakan pilihanraya yang adil di negara ini. Pengerusi Badan Bertindak Demokrasi PAS, Mohamad Sabu menegaskan, Perdana Menteri perlu menilai kembali segala tindakan yang telah dilakukannya dalam perjalanan pilihanraya di negara ini agak benar-benar berada pada landasan demokrasi. Menurut beliau, tujuan tuntutan pilihanraya yang adil dibuat supaya setiap keputusan pilihanraya akan dapat diterima oleh seluruh rakyat negara ini. Katanya, namun keadaan hari ini berada di sebaliknya. Setiap keputusan pilihan raya amat meragukan semua pihak terutama pembangkang kerana ia dijalankan tanpa keadilan. "Pihak Umno BN yang memerintah bukan sahaja mempergunakan segala jentera kerajaan dengan sewenang-wenengnya, tetapi juga turut mengawal dan memaksa SPR supaya memihak kepada Umno BN dalam pelbagai aspek," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini. Disebabkan keadaan itu, menurut beliau, hak-hak pihak pembangkang dinafikan sama sekali oleh pihak pemerintah dalam perjalanan pilihanraya di negara ini sama ada pada pilihanraya umum, pilihanraya negeri dan pilihanraya kecil. "Terbaru, perkara itu boleh dilihat dalam perjalanan pilihanraya dan kempen pilihan raya kecil Dun Merlimau dan Kerdau 6 Mac lalu yang jelas memperlihatkan tindakan SPR yang dikawal oleh Umno BN sehingga seratus peratus memihak kepada Umno BN. "Dalam masa yang sama, pihak pembangkang pula ditekan dengan pelbagai peraturan yang bukan-bukan termasuk dilarang mengadakan pondok panas dan pemasangan bendera parti. Kesemua itu bertujuan untuk memberikan kemenangan kepada BN," katanya yang juga AJK PAS Pusat. Menyentuh tentang perjalanan pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi yang turut memperlihatkan beberapa peraturan baru diperkenalkan SPR, beliau mengatakan kesemua itu jelas menunjukkan sikap SPR yang tidak profesional dan adil dalam melaksanakan perjalanan pilihanraya di negara ini. Menerusi peraturan baru itu, SPR akan membenarkan tempoh berkempen selama 7 hari sahaja. Antara alasan yang diberikan pula termasuklah disebabkan kebimbangan SPR dengan kemungkinan tindakan provokasi oleh pihak pembangkang yang jelas tidak masuk akal. "Dalam kita menuntut supaya tempoh kempen dipanjangkan kepada 3 minggu, SPR pula membuat peraturan baru seperti itu. Ini jelas memperlihatkan sikap perlawanan SPR dengan pembangkang, pada hal tuntutan kita itu adalah untuk keadilan dalam pilihanraya. "Dengan tempoh kempen sependek itu, apa yang pembangkang boleh buat? Pembangkang sudahlah tidak diberikan ruang bersuara menerusi media kerajaan dan media arus perdana, tidak banyak wang pula. "Jadi kesemua itu adalah untuk memberikan keuntungan dan kemenangan kepada Umno BN yang memerintah dengan cara yang cukup jelas dan terang-terangan," katanya. Dengan itu juga, tegasnya, bagaimana rakyat boleh bertahan yang tentunya akan memaksa rakyat berpilihanraya ke jalan-jalan raya nanti seperti yang telah berlaku di Mesir dan Libya. Turut hadir pada sidang media itu, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Syed Azman Syed Mohd Nawawi dan calon PAS Dun Merlimau yang baru lalu, Yuhaizad Abdullah. -HD |
Posted: 10 Mar 2011 07:44 AM PST Los Angeles – Jutaan ikan ditemui mati di King Harbor, Redondo Beach, dekat Los Angeles, Amerika Syarikat. Menurut pejabat setempat, ikan-ikan ini kemungkinan mati kerana kekurangan oksigen di dalam air. Dalam beberapa hari terakhir, kematian jutaan ikan di pelabuhan tersebut menjadi perhatian bagi para pengkaji dan menimbulkan pelbagai spekulasi atas penyebabnya. Namun para pengkaji dari Jabatan Perikanan California (CDFG) mengatakan, ujian yang dilakukan atas ikan menunjukkan mereka mati kerana kekurangan oksigen. Menurut para pengkaji juga, hembusan angin mencapai 45 meter per jam mendorong kawanan ikan sardin bersama makarel dan ikan kakap putih, berkumpul di pelabuhan dalam beberapa hari terakhir. Akibatnya, pergerakan air berkurang dan meminimakan kadar oksigen. Ikan sardin biasanya bergerak dalam kumpulan raksasa, terkadang disebut bola umpan. Jurucakap CDFG Andrew Hughan mengatakan, para pengkaji menyakini kumpulan ikan ini tersesat dan salah selekoh ke perairan di pelabuhan, demikian disiarkan oleh Xinhua. Penelitian awal menunjukkan, tidak ada tanda keracunan alam, seperti domoic acid, yang terkadang membunuh kehidupan laut. Hughan menyatakan, kota Redondo Beach tidak memiliki risiko bahaya kesihatan dan telah melakukan pekerjaan yang baik dalam menangani pembersihan. Datuk Bandar Redondo Beach, Mike Gin mengatakan pembersihan ikan dijangka memakan waktu seminggu dan belanja sekitar USD100,000. |
PKR Desak Gobala Disiasat, UMNO BN Bakal Tumbang Dengan Sendirinya Posted: 10 Mar 2011 06:51 AM PST Kuala Lumpur: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat mengenai kemampuan kewangan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan menjelaskan bayaran pajakan tanah di Kelantan bernilai RM1.4 juta. Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mendakwa, pihaknya mempunyai bukti berupa dua salinan cek Hong Leong Bank masing-masing bernilai RM700,000 bertarikh 12 Januari 2011 dan RM701,250 bertarikh 15 Mac 2011. Menurut Saifuddin, kedua-dua cek berkenaan bagi menjelaskan bayaran pajakan tanah seluas 40.47 hektar di Lojing, Kelantan di antara syarikat milik Gobalakrishnan iaitu Embun Megah Sdn Bhd dengan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad. "Adalah aneh secara tiba-tiba Ahli Parlimen Padang Serai dapat menjelaskan bayaran berkenaan sejurus selepas keluar parti dan berterusan menyerang PKR. "Dari mana sumbernya, siapa yang bermurah hati menolong, urusniaga apa yang dilakukan beliau hingga memungkinkan wang sebanyak itu diperolehnya? "Januari dan Mac adalah kemuncak tempoh serangan, kecaman dan fitnah Gobalakrishnan terhadap PKR dan ketika ini jugalah beliau secara tidak semena-mena mampu membayar RM1.4 juta untuk bayaran tanah ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Khamis. Gobalakrishnan mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas pada 29 Januari lalu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu yang dianggap gagal menyelesaikan masalah kaum India. Selain itu Saifuddin mendakwa, PKR mengesyaki pengkhianatan beberapa Ahli Parlimennya yang bertindak keluar parti adalah atas dorongan habuan lumayan. Sementara itu, pada sidang media berasingan, Gobalakrishnan menafikan menerima wang berjumlah RM1.4 juta seperti yang didakwa Saifuddin. Malah beliau turut bersedia disiasat oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan berkenaan. "Saya sedia untuk disiasat pada bila-bila masa. Saya tidak pernah menerima apa-apa bayaran berjumlah RM1.4 juta daripada mana-mana pihak seperti yang dikatakan mereka. "Anda boleh periksa tandatangan saya, malah saya tak ada tunaikan apa-apa cek lagi pada tahun ini," katanya. Menurutnya lagi, syarikat Embun Megah Sdn Bhd yang dimaksudkan Saifuddin bukan miliknya. "Syarikat itu bukan milik saya, sebaliknya keluarga saya mempunyai kepentingan di dalamnya, bukan saya," katanya. -mstar Ulasan GB Kita tidak tahu berapa juta yang sebenarnya telah digunakan oleh UMNO BN untuk membeli ahli-ahli parlimen dan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat semenjak peristiwa "Rampasan Perak". Maka tidak hairan laporan-laporan ada ADUN-ADUN melompa ini tiba-tiba menjadi "jutawan segera" yang mampu berbelanja mewah. Itu baru YB-YB. Di dalam pilihanraya-pilihanraya kecil pula jutaan ringgit lagi digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk pembelian undi dan sogokan tertentu bagi mendapatkan kemenangan. Kesemuanya itu sebenarnya bakal menghancurkan UMNO BN sendiri kerana ia adalah kemenangan palsu yang bukan bertunjang kepada sokongan sebenar hati nurani rakyat. UMNO BN bakal bangkrapkan dirinya dan negara dan UMNO BN bakal tumbang dengan sendirinya tanpa perlu dilawan oleh sesiapa. Demikian Hukum Alam. Hanya menunggu masa! |
MB Kedah: 'BN Kedah Gila Talak' Posted: 10 Mar 2011 05:00 AM PST Kota Sarang Semut - Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak mempertahankan pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di Kedah sejak tiga tahun lalu dan menyifatkan segala tohmahan Barisan Nasional (BN) terhadap Kerajaan Negeri sejak pilihan raya umum (PRU) yang lalu sebagai 'gila talak'. Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, di sebalik keupayaan Kerajaan Negeri PR memerintah Kedah mengatasi jangkaan UMNO dan BN, barisan pembangkang masih memandang rendah kerajaan pimpinannya dan berlagak seperti pemerintah. Menurutnya, dakwaan Kerajaan Negeri gagal menunaikan manifesto pilihan raya lalu juga tidak benar kerana tindakan penurunan cukai tanah, perbelanjaan wang Kerajaan Negeri dengan lebih berhemah, pembatalan projek loji penapisan minyak di Yan dan tender pembalakan secara terbuka tidak pernah dilakukan UMNO dan BN sebelum ini. "Dulu UMNO dan BN dengan angkuhnya mengatakan PR tidak akan memerintah lebih tiga bulan, tapi sekarang usia Kerajaan Negeri sudah tiga tahun. "Dulu UMNO dan BN kata pertumbuhan ekonomi negara Kedah tidak akan melebihi 2.5 peratus. Namun, pencapaian ekonomi negeri membanggakan dan antara empat negeri terbaik di Malaysia. Sekiranya mereka menilai pencapaian kami hanya 2.5 peratus, saya anggap pencapaian mereka hanya 1.5 peratus semata-mata," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Buku Jingga peringkat negeri Kedah di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, semalam. Turut hadir ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa; Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Lee Guan Aik dan barisan Jawatankuasa Pas, PKR dan DAP negeri. Azizan berkata, Kerajaan Pusat juga bersandiwara untuk menunjukkan kononnya mereka bersikap prihatin terhadap rakyat apabila pada mulanya sanggup mengeluarkan belanja yang besar untuk membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di Mesir daripada krisis negara itu sebelum ini. Bagaimanapun, mereka bertindak menghantar semula pelajar itu ke Mesir dalam masa sebulan, malah mengecualikan pembiayaan tambang ke atas pelajar yang tinggal di negeri pembangkang. "Bila berlakunya pemberontakan rakyat terhadap kepimpinan Presiden, Hosni Mubarak di Mesir, mereka cepat-cepat membawa pulang pelajar kita, kononnya bimbang atas keselamatan mereka. "Bila hendak dihantar pulang semula, mereka serahkan beban itu kepada kita. Tapi tidak mengapa, Kerajaan Negeri tidak ada masalah menanggung pembiayaan tambang penerbangan pulang ke Mesir berserta wang poket RM500 kerana wang sebanyak RM2.5 juta yang digunakan adalah wang rakyat," katanya. Azizan berkata, UMNO dan BN turut disifatkannya lebih teruk daripada Jepun kerana mengkritik apa jua pelaksanaan Kerajaan Negeri terhadap rakyat secara konsisten tanpa memikirkan kerelevanan tindakan itu. "Sebelum ini, bila tarif air dinaikkan 10 sen, banyak orang termasuk pemimpin UMNO dan BN yang beria-ria mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Wisma Darulaman, kononnya Kerajaan Negeri berlaku zalim. "Kini mereka mula protes tindakan Syarikat Air Darul Aman (Sada) menghentikan khidmat Pos Malaysia sebagai ejen kutipan bayaran bil walaupun Pos Malaysia bertindak menaikkan upah perkhidmatan daripada 70 sen kepada 90 sen bermula bulan ini. "Atas dasar keprihatinan tidak mahu membebankan rakyat, kami menghentikan khidmat Pos Malaysia. Saya hendak tanya, adakah UMNO dan BN ada kepentingan dengan Pos Malaysia sehingga beria-ria menghentam Kerajaan Negeri?" katanya. Ditanya dakwaan Kerajaan Negeri akan melaksanakan cukai pintu di pekan kecil setiap daerah dalam masa terdekat, Azizan menjelaskan beliau tidak tahu mengenainya kerana tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat. -SH |
Najib Razak - Hosni Mubarak: Banyak Persamaan Yang Ketara Posted: 10 Mar 2011 04:30 AM PST Najib dan Mubarak: Persamaan yang ketara Najib menggunakan cara-cara yang sama dengan Mubarak dalam usahanya untuk mengekalkan kuasa BN - Naib Presiden PKR. PETALING JAYA: Terdapat persamaan yang luar biasa antara pemerintahan autoritarian selama 30 tahun di Mesir oleh Presiden Hosni Mubarak dan pemerintahan menindas selama 53 tahun oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN) ke atas Malaysia. "Najib menggunakan cara-cara yang sama dengan Mubarak dalam usahanya untuk mengekalkan kuasa BN keatas negara kita," kata Naib Presiden PKR N Surendran dalam satu kenyataan media hari ini. Menurut beliau, antara persamaannya adalah: pergantungan kerajaan atas suatu sistem polis yang agam untuk menumpaskan pihak Pembangkang; kawalan ketat ke atas media cetak dan television serta tahanan tanpa bicara yang bermotifkan politik. "Persamaan lain ialah keadaan darurat berdekad yang tidak dibatalkan; sistem kehakiman yang berat sebelah dan berpihak kepada kerajaan serta pilihan raya yang tidak bebas ataupun adil," katanya. Beliau berkata, seperti Mubarak dan Parti Demokratik National (NDP), Najib dan BN telah secara konsisten menggunakan apa-apa cara, walaupun jahat, untuk terus kekal berkuasa. "Tetapi yang amat ketara katanya, kedua-dua Mesir dibawah pemerintahan Mubarak dan Malaysia dibawah Najib, dari masa ke semasa mengheret pesaing politik ke Mahkamah untuk menghadapi tuduhan jenayah yang direka-reka," terang beliau. Ujar Surendran, "objektifnya adalah untuk menghancurkan pesaing politik secara politik dan peribadi, dan oleh demikian menghapuskan ancaman kepada pemerintahan mereka. "Rejim-rejim yang tidak bertoleransi dengan pasti akan menggunakan kaedah seperti ini kerana mereka tidak mempunyai pertimbangan keadilan dan tidak memperduli kedaulatan undang-undang," jelas beliau. Penganiayaan kehakiman terhadap Anwar Katanya lagi, dalam penganiayaan kehakiman yang sekarang berlangsung ke atas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Najib dengan ketara mencerminkan Mesir semasa di bawah Mubarak. "Serangan mempergunakan sistem kehakiman ke atas Anwar yang ingin membawa perubahan dimulakan oleh pemerintah kuku besi mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam tahun 1998. Dr Mahathir baru-baru ini katanya, menerbitkan sejilid memoirnya yang menipu dan tidak wajar bagi seorang bekas perdana menteri. "Lebih satu dekad kemudian, Kerajaan Najib menggunakan taktik yang sama sahaja," ujar beliau. Beliau berkata, Mubarak dengan terkenalnya menggunakan mahkamah Mesir untuk memenjarakan Ayman Nour, pemimpin Parti El Ghad (Parti Esok). Ayman Nour adalah seorang pemimpin pembangkang yang utama dan merupakan pesaing Mubarak dalam pilihanraya Presiden tahun 2005. "Berikutan suatu perbicaraan yang rata-rata dikecam dan farsa, Ayman Nour dipenjarakan selama lima tahun dengan kerja berat. Persamaan dengan pendakwaan Anwar yang sekarang berlangsung adalah amat ketara," terangnya. Rakyat Malaysia katanya, bersama dengan dunia, berasa girang melihat pemergian penzalim Mubarak dan kemenangan rakyat Mesir. "Sekarang, kita mengalu-alukan hari yang cemerlang apabila rakyat Malaysia mengakhiri pemerintahan membazir, lembap dan menindas BN dan pemimpinnya Najib. "Pemerintahan BN yang mencerminkan pemerintahan Mubarak ke atas Mesir, mesti berakhir. Untuk kebaikan negara, BN perlu disingkirkan," ujar beliau. -FMT |
UMNO Senawang Tak Hormati Titah Agong, Sebar Risalah Untuk Wujudkan Ketegangan Kaum Posted: 10 Mar 2011 02:55 AM PST Seremban - Pebuatan keji UMNO Cawangan Taman Rasa Sayang Umno di Senawang dalam bahagian Rembau mengedarkan risalah yang menimbulkan ketegangan di antara bangsa Melayu dan Cina menyebabkan Pakatan Rakyat membuat laporan polis di sini. Setiausaha PKR Rembau, Norazizi Abdul Aziz, menyatakan risalah lapan halaman yang dilampirkan di minit mesyuarat UMNO Bahagian itu mengandungi perkataan dan gambar berunsur hasutan meruju kepada pemimpin-pemimpin PR. "Kandungan dokumen itu, bertarikh 5 Mac, jelas berbaur hasutan dan bertujuan untuk menimbulkan ketegangan kaum diantara bangsa Melayu dan Cina di dalam Pakatan," jelas Norazizi selepas membuat laporan polis di balai polis daerah di sini. Bertajuk "Pendedahan Untuk Kesedaran" meletakan gambar Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan tajuk kecilnya berbunyi : "DAP Anti Islam" dan perkataan-perkataan "Ketuanan Rakyat" (yang diperjuangkan Pakatan Rakyat) ditukar menjadi "Ketuanan Cina". Satu lagi gambar memaparkan Kit Siang sedang menyampaikan ucapan dan tajuknya ditulis: "Kita hapuskan hak Melayu, kita tolak Islam! Mari bersama kami, PAS, PKR dan DAP" Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim digambarkan sebagai Penipu No 1 dan dicopkan sebagai Pengkhinat Bangsa, Agama Dan Negara. Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Nik Aziz tidak terkecuali dengan tindakan mereka. Satu karikatur menunjukkan Ahli Parlimen Taiping dan bekas exco Perak Nga Kor Ming sebagai imam sedang mengetuai solat dengan Nik Aziz dan Anwar di belakang Kor Ming. Gambar sejadah-sejadah yang digunakan mempunyai logo DAP di atasnya. Nik Aziz dan Anwar di lukiskan dengan sejadah dari logo parti masing-masing. Yang Dipertua PAS Kawasan Rembau, Mohd Taufek Abdul Ghani, menyelar tindakan Umno kerana tidak menghormati ucapan DYMM Yang Dipertuan Agong sewaktu membuka sesi parlimen Isnin lepas. Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah Seri Paduka Baginda memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu sensitif dan berbaur perkauman serta mempolitikkan perkara yang tidak sepatutnya. Mohd Taufek meminta Umno tidak menggunakan taktik murahan dan merbahaya untuk memecah-belahkan kaum. Mesyuarat Umno tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau. |
Rakyat Tak Perlu Bayar Saman Apabila JPJ & Polis Sendiri Tak Patuh Undang-undang Posted: 10 Mar 2011 01:30 AM PST Mahfuz: Jangan bayar kompaun saman ekor! Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menasihatkan mangsa saman ekor agar tidak membayar kompaun yang dikenakan biarpun tempoh promosi pembayaran berakhir hari ini,. Harakahdaily memetik pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, sekiranya selepas ini mereka disenarai hitam, Kase akan membantu untuk berdepan masalah berkenaan di mahkamah. "Rakyat tidak perlu bayar, yang penting ambil insurans bawa ke JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) untuk perbaharui cukai jalan, kalau JPJ tak benar, wajib pengarah JPJ kena bagi jawapan bertulis, kenapa. "Kemudian bawa insurans dan surat itu, kalau polis tahan, biar dia saman, kita lawan di mahkamah," katanya ketika ditemui selepas membangkitkan perkara itu di parlimen semalam. Tambahnya, keputusan sama ada seseorang itu bersalah dan perlu membayar kompaun hanya ditentukan mahkamah, dan bukan oleh notis saman yang dikeluarkan. Menurutnya lagi, tindakan JPJ menyenarai hitam pesalah saman ekor adalah salah mengikut keputusan Mahkamah Kucing dalam kes Leonad Lim Yaw Chiang melawan Pengarah JPJ negeri Sarawak pada 2007. Dalam kes itu hakim memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam mengikut Seksyen 17(1)(d) adalah tidak betul dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. "Kita minta Peguam Negara nasihat JPJ supaya akur keputusan mahkamah iaitu tak boleh blacklist. "Rakyat tidak boleh dipaksa membayar kompaun yang ditawarkan," katanya. 2 Mac lalu kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pemberian diskaun 50 peratus bagi pembayaran saman trafik bermula 1 Mac sehingga 10 Mac ini. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rintihan orang ramai yang ingin menjelaskan saman itu tetapi tidak dapat berbuat demikian berikutan masalah sistem tergendala serta kesesakan di kaunter untuk membuat pembayaran. Namun mengikut perangkaan, hanya kira-kira empat peratus atau 700,000 daripada kira-kira 17.3 juta saman telah dibayar. Ulasan GB GB sudah menyatakan sebelum ini, bawa berjuta-juta rakyat yang tak bayar saman ekor ke mahkamah kerana mahkamah yang berhak menentukan samada tindakan polis berkenaan betul atau salah. Kita perlu hentikan salahlaku pihak polis dan JPJ yang menyenaraihitam pemandu kerana mahkamah telah membuat keputusan di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang telah memutuskan bahawa tindakan JPJ menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) tanpa siasatan dan alasan yang wajar adalah salah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Malaysia. |
You are subscribed to email updates from Kelab Greenboc To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan